SME 6044 : ISU KONTEMPORARI
DALAM PENDIDIKAN MATEMATIK
KAJIAN TINDAKAN :
KAEDAH MENINGKATKAN KEBERKESANAN GURU
BUKAN OPSYEN MATEMATIK MENGAJAR TOPIK
PYTHAGORAS THEOREM MENGGUNAKAN KAEDAH
KONSTRUKTIVISME
PENSYARAH
PROF DR MARZITA BINTI PUTEH
MARDHIYATUL HUDA BINTI HAMDAN M20112001423
NORFAZELAWATI BINTI ABD KADIR M20112001424
ISI KANDUNGAN
ABSTRAK 1
1.0 Pengenalan 1
1.1 Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran 2
1.2 Fokus Kajian 3
2.0 Tinjauan Literatur Berkaitan Dengan Isu Kajian
2.1 Kaedah Pengajaran Guru 4
2.2 Teori Konstruktivisme 5
3.0 Objektif Kajian 6
4.0 Kumpulan Sasaran 6
5.0 Kaedah Perlaksanaan Kajian 6
5.1 Tinjauan Masalah 6
5.2 Analisis Tinjauan Masalah 7
6.0 Kaedah Pengumpulan Data 9
7.0 Tindakan Yang Dijalankan
7.1 Kolaborasi Bersama Guru Bukan Opsyen 10
7.2 Kaedah Pengajaran Menggunakan Kaedah Konstruktivisme 10
8.0 Keputusan Dan Analisis Data
8.1 Pemerhatian 11
8.2 Temubual 11
8.3 Perbandingan skor Ujian Pra dan Ujian Pasca 11
9.0 Refleksi Selepas Kajian 14
10.0 Cadangan dan Penambahbaikkan 14
RUJUKAN 16
KAEDAH MENINGKATKAN KEBERKESANAN GURU BUKAN OPSYEN
MATEMATIK MENGAJAR TOPIK PYTHAGORAS THEOREM MENGGUNAKAN
KAEDAH KONSTRUKTIVISME
ABSTRAK
Kajian tindakan ini dilaksanakan ke atas seorang guru bukan opsyen matematik dan 28 orang
pelajar Tingkatan 2 Teratai dari SMK (P) Methodist, Raub, Pahang. Fokus kajian adalah untuk
meningkatkan keberkesanan guru bukan opsyen mengajar tajuk Pythagoras Theorem.
Pemerhatian, temubual, Ujian Pra dan Ujian Pasca telah dijalankan untuk menganalisis dan
menyelesaikan masalah kaedah pengajaran yang dialami oleh guru bukan opsyen. Dapatan
kajian menunjukkan kemahiran guru bukan opsyen dalam menyampaikan isi kandungan topik
Pythagoras Theorem telah meningkat. Selain bermotivasi dan lebih berkeyakinan, guru juga
berpuas hati dengan kaedah Konstruktivisme yang digunakan berdasarkan hasil pembelajaran
serta sikap yang ditunjukkan oleh pelajar selepas kajian dijalankan. Peningkatan yang ketara di
dalam markah ujian pasca telah menyokong dapatan kajian dengan membuktikan kaedah
pengajaran berasaskan teori konstruktivisme adalah lebih baik berbanding kaedah tradisional.
Data yang diperoleh telah membuktikan bahawa penggunaan kaedah konstruktivisme amat
berkesan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi topik Pythagoras
Theorem Tingkatan 2.
1.0 Pengenalan
Kekurangan guru opsyen di sesebuah sekolah bukanlah satu isu baru dalam sistem pendidikan di
Malaysia. Ia perlu diberi perhatian oleh semua pihak yang terbabit khususnya dalam dunia
pendidikan. Keperluan guru untuk sesebuah sekolah adalah dibekalkan berasaskan pindaan yang
menetapkan bilangan guru yang layak diterima oleh sesebuah sekolah (Surat Pekeliling 3/67).
Banyak masalah yang timbul akibat daripada kekurangan guru. Paling ketara apabila sesuatu
mata pelajaran itu terpaksa diambil alih oleh guru yang bukan dalam bidangnya. Pemilihan
dengan bersandarkan paksaan seperti ini tidak akan menghasilkan pengajaran yang berkesan
terutamanya jika guru tersebut adalah dari aliran sastera dikehendaki mengajar aliran sains dan
matematik (Azizi Hj. Yahaya, Jamaluddin Ramli, dan Yusof Boon, 2000).
Fenomena yang berlaku ialah guru bukan opsyen ini tidak berminat untuk mengajar subjek yang
dipertanggungjawabkan kepada mereka. Impaknya, kelemahan dan kepincangan akan berlaku
dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Ini antaranya berpunca daripada
tahap penguasaan pengetahuan pedagogi isi kandungan (PPIK) yang lemah dalam kalangan guru
bukan opsyen. Beberapa kajian lepas mendapati bahawa kebanyakan guru masih lemah PPIK
dan terdapat guru-guru yang mengajar sesuatu tajuk dengan kefahaman konsep yang tidak
mencukupi dan tidak mampu untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang bermakna dan
mencabar (Norasliza Hassan, 2008).
Pendekatan penggunaan teori pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan penting dalam
menentukan keberkesanan sesuatu pengajaran dan pembelajaran. Salah satu daripada pendekatan
ini ialah Konstruktivisme. Pendekatan konstruktivisme dilihat sebagai salah satu idea yang
sangat baik dan berkesan kerana ianya mempunyai impak yang kuat ke atas pembelajaran
mereka khususnya dalam mata pelajaran Matematik. Meor Ibrahim (2001) telah menyatakan
bahawa dalam pengajaran dan pembelajaran matematik, walau apapun strategi yang digunakan
oleh guru, penekanan perlu diberikan kepada teori konstruktivisme. Konstruktivisme
menganggap bahawa pelajar adalah sentiasa aktif dalam membina pengetahuan baru melalui
interaksi dengan orang lain dan melalui pengolahan pengetahuan dan pengalaman yang telah
mereka kuasai sebelum ini. Justeru kajian ini berfokus kepada meningkatkan kaedah pengajaran
guru bukan opsyen menggunakan teori konstrutivisme bagi tajuk Pythagoras Theorem.
1.1 Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran
Kajian ini dijalankan kepada 28 orang pelajar Tingkatan 2 Teratai di Sekolah Menengah
Kebangsaan Perempuan Methodist, Raub, Pahang. Sekolah ini mempunyai 9 kelas
keseluruhannya. Bilangan guru matematik yang sepatutnya dibekalkan ke sekolah ini ialah 2
orang. Namun begitu, kekurangan guru matematik di daerah Raub menyebabkan hanya seorang
sahaja guru opsyen matematik yang ditugaskan ke sekolah ini. Seorang lagi guru iaitu beropsyen
Pendidikan Seni Halus terpaksa diberi tanggungjawab untuk mengajar kesemua kelas Tingkatan
2. Pihak pentadbiran sekolah memilih guru ini berdasarkan keputusan Matematik Moden SPM
beliau yang cemerlang. Namun begitu, guru ini sejak awal diberi tugas dilihat tidak berminat
serta kurang keyakinan diri untuk mengajar subjek matematik di kelas tersebut. Daripada rekod
keputusan peperiksaan Ujian Penilaian 1/2012, didapati prestasi pelajar kelas 2 Teratai dalam
subjek Matematik adalah menurun dan tidak mencapai target yang ditetapkan.
Daripada pemerhatian awal yang dijalankan, didapati kaedah pengajaran adalah berpusatkan
guru dan bergantung kepada buku teks semata-mata. Guru sering menyatakan kebimbangan
beliau setiap kali sebelum masuk ke kelas dan memulakan pengajaran. Selain tidak
menggunakan kaedah pengajaran yang berkesan, guru ini juga kurang pengetahuan yang
mendalam tentang isi kandungan subjek matematik. Memandangkan masalah kefahaman pelajar
adalah berpunca daripada kaedah pengajaran guru bukan opsyen maka, penyelidik mengambil
inisiatif untuk meningkatkan kaedah pengajaran guru supaya dapat membantu pelajar menguasai
konsep serta isi kandungan topik Pythagoras Theorem ini dengan lebih baik dan berkesan.
1.2 Fokus Kajian
Kajian ini dijalankan untuk mengkaji masalah yang dihadapi oleh guru bukan opsyen yang tidak
dapat menyampaikan pengajaran dan pembelajaran konsep Pythagoras Theorem dengan baik
untuk pelajar tingkatan 2 Teratai di SMK (P) Methodist, Raub. Kaedah pengajaran guru bukan
opsyen sukar difahami oleh para pelajar. Masalah guru ini menyebabkan pelajar tingkatan 2
Teratai tidak dapat memahami konsep Pythagoras Theorem dengan baik. Fokus kepada kajian
tindakan ini ialah:
i. Guru dapat meningkatkan kaedah dan teknik pengajaran topik Pythagoras Theorem
untuk hasil pembelajaran yang berkesan.
ii. Kefahaman pelajar berkaitan topik Pythagoras Theorem meningkat apabila guru
mengajar dengan menggunakan kaedah Konstruktivisme.
2.0 Tinjauan Literatur Berkaitan Dengan Isu Kajian
2.1 Kaedah Pengajaran Guru
Kurikulum matematik KBSM membekalkan pendidikan matematik yang umum, menyeronokkan
dan mencabar bagi semua pelajar yang memberi fokus kepada keseimbangan antara kefahaman
terhadap konsep dengan penguasaan kemahiran, penggunaan matematik dalam situasi sebenar,
kemahiran menyelesaikan masalah serta cara pemikiran yang logik, kritis dan bersistem (Nik
Azis, 1992). Turut diberi perhatian ialah penerapan nilai murni untuk melahirkan warganegara
yang dinamik dan amanah. Manakala matlamat pendidikan matematik KBSM pula adalah untuk
memperkembang pemikiran logik, analitis, kritis dan bersistem, kemahiran penyelesaian masalah
serta kebolehan menggunakan pengetahuan matematik dalam kehidupan seharian supaya pelajar
dapat berfungsi dengan berkesan dan penuh bertanggungjawab serta menghargai kepentingan
dan keindahan matematik (KPM, 2011).
Aspek seperti pemahaman, amalan dan penghayatan kurang diberi perhatian yang sewajarnya
oleh kebanyakan guru. Aktiviti yang melibatkan murid secara aktif sangat terhad (Nik Azis,
1992). Menurut laporan Jemaah Nazir Sekolah (2001) masih terdapat kira-kira 25% daripada
guru-guru sekolah menengah yang masih kurang pengetahuan, kefahaman dan kemahiran dalam
pelajaran yang disampaikan mengikut kehendak dan keperluan KBSM. Pelajar mestilah
dilibatkan secara aktif di dalam membina konsep dan pengetahuan berhubung dengan setiap isi
pelajaran yang dipelajari (Nik Azis, 1992). Pertubuhan matematik profesional seperti “National
Council of Teachers of Mathematics (NCTM)” dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia
melalui KBSM telah menegaskan bahawa guru-guru perlu mengembangkan kurikulum
matematik di mana para pelajar digalakkan untuk membina secara aktif kefahaman matematik
mereka melalui penyiasatan, menguji hipotesis, membuat anggaran, menyelesai masalah,
berbincang dan berkongsi idea (NCTM, 2000).
Kelemahan yang berlaku dalam proses pengajaran dan pembelajaran antaranya berpunca
daripada kepercayaan guru bahawa pengetahuan matematik boleh dipindahkan daripada guru
kepada murid dalam bentuk yang serba lengkap. Ditambah pula dengan kelemahan dalam
penguasaan isi kandungan serta kejahilan di dalam memilih pendekatan dan kaedah serta teknik
terbaik untuk menyampaikan sesuatu konsep kepada pelajar. Pengkonsepan pengetahuan
matematik bagi seseorang pendidik adalah merupakan aspek penting dan kritikal sebelum
mereka mampu membimbing murid menguasainya (Swafford, et, al., 1997).
2.2 Teori Konstruktivisme
Nik Aziz(1992), menyebut konstruktivisme adalah tidak lebih daripada satu komitmen terhadap
pandangan bahawa manusia membina pengetahuan sendiri. Ini bermakna bahawa sesuatu
pengetahuan yang dipunyai oleh seseorang individu adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan
oleh individu tersebut dan bukan sesuatu maklumat atau pengajaran yang di terima secara pasif
daripada luar. Pengetahuan tidak boleh dipindahkan daripada pemikiran seseorang individu
kepada pemikiran individu yang lain. Sebaliknya setiap insan membentuk pengetahuan sendiri
dengan menggunakan pengalamannya secara terpilih. Berdasarkan pandangan-pandangan di atas
maka pengertian pembelajaran secara konstruktivisme bolehlah dirumuskan sebagai satu
fahaman bahawa pelajar membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan
pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Dalam proses ini, pelajar akan menyesuaikan
pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru.
Implikasi dari teori ini adalah pengajaran dan pembelajaran akan berpusatkan pelajar.
Pengetahuan yang dipunyai oleh pelajar adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh
pelajar tersebut dan bukan pengajaran yang diterima secara pasif. Krulik, S., Rudnick, J., Milou,
E. (2003) berpendapat guru berperanan sebagai fasilitator yang membantu pelajar membina
pengetahuan dan menyelesaikan masalah. Guru juga sebagai pereka bentuk bahan pengajaran
yang menyediakan peluang kepada pelajar untuk membina pengetahuan baru. Guru akan
mengenal pasti pengetahuan sedia ada pelajar dan merancang kaedah pengajarannya dengan sifat
asas pengetahuan tersebut.
3.0 Objektif Kajian
Objektif kajian ini adalah untuk meningkatkan kemahiran guru mengajar dengan kaedah
pengajaran berbeza iaitu Konstruktivisme bagi topik Pythagoras Theorem di Tingkatan 2
Teratai SMK(P) Methodist, Raub.
4. 0 Kumpulan Sasaran
Kajian ini melibatkan seorang guru bukan opsyen matematik (Opsyen Pendidikan Seni Halus)
dan 28 orang pelajar Tingkatan 2 Teratai SMK(P) Methodist, Raub. Semua pelajar adalah
pelajar perempuan.
5.0 Kaedah Pelaksanaan Kajian
5.1 Tinjauan Masalah
Untuk melaksanakan kajian ini, tinjauan masalah dibuat berdasarkan kaedah pemerhatian dan
temu bual. Tinjauan masalah merupakan kaedah yang akan digunakan untuk mengenalpasti
kelemahan yang wujud ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini sangat membantu
penyelidik dalam mengenalpasti sikap dan mencari punca mengapakah guru bukan opsyen
tersebut gagal menyampaikan isi kandungan topik Pythagoras Theorem dengan baik.
5.1.1 Pemerhatian
Pemerhatian awal telah dibuat ketika guru menyampaikan pengajaran dan pembelajaran topik
Pythagoras Theorem. Kaedah pemerhatian yang digunakan adalah bertujuan untuk menganalisis
dan menterjemahkan masalah yang timbul berkaitan dengan pengajaran guru bukan opsyen.
5.1.2 Temu Bual
Kaedah lain yang digunakan adalah temu bual secara tidak formal yang dijalankan terhadap guru
dan pelajar-pelajar daripada kumpulan sasaran. Temu bual yang dijalankan kepada guru
bertujuan untuk mengetahui tentang kesediaan dan keyakinan guru untuk mengajar topik
Pythagoras Theorem. Temu bual ini secara tidak langsung dapat mengenali punca sebenar guru
tidak dapat menyampaikan isi pengajaran dengan baik. Selain itu, temu bual ini juga bertujuan
untuk mengetahui punca pelajar tidak dapat menguasai konsep dan isi kandungan Pythagoras
Theorem. Hasil maklumat daripada temubual akan dijadikan panduan asas bagi merangka kaedah
instrumentasi bagi kajian ini.
5.1.3 Ujian Pra
Ujian Pra dijalankan untuk menyokong dapatan kajian mengenai keberkesanan guru mengajar
serta menguji tahap kefahaman dan pengetahuan sedia ada pelajar. Ujian Pra dijalankan sebelum
kajian iaitu setelah guru mengajar menggunakan kaedah tradisional. Soalan Ujian Pra ini
menguji tahap kefahaman pelajar mengenai topik Pythagoras Theorem yang terdiri daripada 15
soalan subjektif dengan 30 markah penuh.
5.2 Analisis Tinjauan Masalah
5.2.1 Pemerhatian
Hasil daripada pemerhatian mendapati, guru hanya menggunakan buku teks sepenuhnya semasa
mengajar di dalam kelas. Guru dilihat kurang bermotivasi untuk mengajar dengan hanya berdiri
di hadapan kelas sahaja tanpa bergerak mendekati pelajar. Guru juga dilihat kurang bekeyakinan
memberi jawapan apabila diajukan pertanyaan oleh pelajar. Ini membuatkan pelajar menjadi
bosan dan kurang mengambil bahagian semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
Pelajar kurang berminat dan tidak memberi tumpuan semasa guru mengajar dan sebahagian
daripada mereka tidak menunjukkan respon yang baik terhadap soalan yang diajukan oleh guru
mereka. Malahan pelajar tidak dapat menjawab soalan yang diberikan oleh guru di akhir
pengajaran walaupun soalan yang mudah.
5.2.2 Temu Bual
Hasil daripada temubual, guru menyatakan beliau tidak berkeyakinan dan belum bersedia untuk
mengajar topik Pythagoras Theorem kerana tidak menguasai isi kandungan topik ini dengan baik.
Ini juga disebabkan oleh faktor guru tidak mempunyai latihan perguruan untuk mengajar mata
pelajaran matematik. Pelajar pula menyatakan mereka kurang berpuas hati dengan cara guru
mengajar serta tidak faham tentang keseluruhan tajuk Pythagoras Theorem. Mereka juga tidak
berminat dan beranggapan topik ini sukar untuk difahami.
5.2.3 Skor Ujian Pra
Keputusan pelajar menunjukkan 21 orang pelajar (75%) gagal mendapat separuh daripada
markah penuh iaitu 15 markah keatas dan tidak ada pelajar yang mendapat 30 markah penuh.
Keputusan Ujian Pra pelajar adalah seperti berikut :
Jadual 1 : Skor Ujian Pra
Bil Nama Skor Ujian Pra
1 Adila Syahida Binti Sarodin 10
2 Aida Hanani Bt Rosli 12
3 Aina Irdina Bt Josffian Redza 4
4 Amira Zaqirah Binti Azain 8
5 Amrina Rashada Azlin Binti Azmy 8
6 Chang Zhi Xuan 16
7 Chong Wen Ling 18
8 Hooi May Zheng 12
9 Karin Wong 10
10 Khalida Najwa Binti Khairuddin 14
11 Khew Wei Ly 18
12 Lai Pui Yee 20
13 Noor Alfira Edzlin Bt Noorazlan 6
14 Norazlina Binti Ibrahim 8
15 Normaisarah Binti Sazali 10
16 Nur Fatehah Binti Pauzi 10
17 Nur Hidayah Binti Kamaruzaman 16
18 Nur Syafiqah Binti Yon Afrizal 14
19 Nur Syafitri Binti Yon Afrizal 12
20 Nurul Asyikin Bt Mohamad Ragi@Mohamad Rosdi 8
21 Nurul Atiqah Binti Hairol Sahrri 8
22 Nurul Fazierra Binti Basri 10
23 Nurul Hafizah Binti Zaidi 18
24 Nurul Naziera Bt Sharudin 6
25 Nurul Shaidatul Aishah Binti Amiruddin 8
26 Siti Nor Atikah Bt Anuar 12
27 Then Hui Lin 14
28 Uma a/p Alagu 20
6.0 Kaedah Pengumpulan Data
Kajian tindakan ini dilakukan dalam tempoh 2 minggu. Kajian adalah berbentuk kuantitatif
deskriptif. Kajian ini hanya memberi tumpuan kepada seorang guru bukan opsyen Matematik
dan 28 orang pelajar tingkatan 2 Teratai. Batasan kajian ini dihadkan bagi memudahkan kajian
dijalankan. Penyelidik menggunakan teknik pengumpulan data dengan kaedah pemerhatian,
temubual serta Ujian Pra dan Pasca sebagai menyokong dapatan kajian. Pemerhatian dilakukan
ke atas perubahan tingkah laku dan respon pelajar sebelum, semasa dan selepas proses
pengajaran dan pembelajaran berlangsung.Temubual pula dilakukan sebelum dan selepas proses
pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Kaedah pengumpulan data melalui Ujian Pra dan Pasca
adalah untuk menyokong dapatan kajian dalam melihat keberkesanan guru bukan opsyen
mengajar topik Pythaoras Theorem menggunakan kaedah yang berbeza iaitu Konstruktivisme.
7.0 Tindakan Yang Dijalankan
7.1 Kolaborasi Bersama Guru Bukan Opsyen
Kolaborasi bermaksud perbincangan bersama guru bukan opsyen dengan guru yang
berpengalaman dan guru opsyen. Guru berpengalaman yang dimaksudkan ialah Guru Kanan
Matapelajaran Sains dan Matematik (GKMP) yang telah berkhidmat lebih 10 tahun mengajar
manakala guru opsyen ialah guru yang mendapat latihan khusus dalam bidang Pendidikan
Matematik. Tujuan utama perkongsian ilmu ini merangkumi kaedah pengajaran matematik yang
berkesan, penyelesaian masalah pembelajaran yang lebih efektif, galakan untuk guru menjadi
lebih kreatif, serta meningkatkan motivasi guru.
Di samping itu, perbincangan bersama rakan sekerja seumpama ini mampu meningkatkan tahap
kesediaan dan keyakinan guru sebelum masuk ke kelas. Malahan, kerja berpasukan seperti ini
merupakan salah satu dimensi yang boleh menyumbang ke arah peningkatan kualiti pendidikan
matematik. Guru bukan opsyen diterangkan tentang langkah-langkah pengajaran yang berkesan
untuk subjek matematik bermula daripada set induksi sehingga rumusan di akhir pengajaran.
7.2 Kaedah Pengajaran Menggunakan Kaedah Konstruktivisme
Kaedah pengajaran menggunakan Teori Konstruktivisme telah dipilih untuk diaplikasikan di
dalam kajian ini. Dewasa ini, pendekatan penggunaan teori pengajaran dan pembelajaran
memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan sesuatu pengajaran dan
pembelajaran dalam bidang pendidikan. Pendekatan konstruktivisme dilihat sebagai salah satu
idea yang sangat baik untuk guru bukan opsyen mengajar tajuk Pythagoras Theorem. Ini kerana
konstruktivisme bukan sahaja mengkaji bagaimana pelajar membina ilmu pengetahuan tetapi
juga melibatkan cara perubahan konseptual berlaku dengan cepat di dalam pembelajaran. Selain
itu, konstruktivisme mengganggap pelajar adalah sentiasa aktif dalam membina pengetahuan
baru melalui interaksi dengan orang lain dan melalui pengolahan pengetahuan dan pengalaman
yang telah mereka kuasai sebelum ini. Dalam tajuk Pythagoras Theorem yang dikaji, pelajar
dikehendaki meneroka dan mengkaji hubungan di antara panjang sisi segitiga bersudut tegak.
Berikut adalah contoh persediaan pengajaran dan pembelajaran yang dicadangkan kepada guru :
Tajuk : Theorem Pythagoras Tingkatan 2
Objektif : Diakhir pembelajaran, pelajar dapat menunjukkan ;
i) Bagi segitiga bersudut tegak, kuasa dua hipotenus adalah bersamaan dengan hasil tambah
kuasa dua bagi dua sisi yang lain.
Aktiviti ;
Langkah 1: Pelajar dikehendaki mengukur sisi 4 segitiga di dalam helaian kertas yang
diberikan oleh guru.
Langkah 2 : Pelajar merekod ukuran sisi segitiga di dalam jadual yang diberikan.
Jadual 2 : Hubungan antara a2, b
2 dan c
2
a b c a2
b2 c
2 Hubungan antara a
2, b
2 dan c
2
Segitiga 1 3 4 5 9 16 25 9 + 16 = 25
Segitiga 2 6 8 10
Segitiga 3 5 12 13
Segitiga 4 7 24 25
Langkah 3 : Pelajar dikehendaki membina perhubungan di antara sisi-sisi segitiga
menggunakan a2, b
2 dan c
2.
8.0 Keputusan dan Analisis Data
8.1 Pemerhatian
Hasil daripada pemerhatian yang dijalankan semasa proses pengajaran dan pembelajaran
menggunakan kaedah kostruktivisme, didapati guru berkeyakinan dan bersemangat dalam
menyampaikan isi pengajaran. Guru juga dapat menerangkan isi kandungan pengajaran dengan
berkesan. Selain itu guru lebih ceria dan harmonis dalam menarik minat pelajar dengan
menimbulkan keseronokan dalam suasana pembelajaran. Pelajar juga dilihat teruja dengan
memberi respon yang baik apabila guru menerangkan tentang aktiviti yang akan dijalankan
untuk membuktikan Pythagoras Theorem. Pelajar dan guru menunjukkan minat dan sikap
kerjasama sepanjang proses pembelajaran berlaku.
8.2 Temu Bual
Temu bual yang dijalankan kepada guru selepas proses pengajaran dan pembelajaran bertujuan
untuk mengetahui tentang perasaan dan pandangan guru setelah mengajar topik Pythagoras
Theorem menggunakan kaedah Konstruktivisme. Guru menyatakan rasa berpuas hati dan
gembira dengan hasil pembelajaran yang ditunjukkan oleh para pelajar. Guru mengakui telah
berjaya menguasai isi kandungan topik Pythagoras Theorem dengan lebih baik serta berhasil
menyampai segala ilmu pengetahuan yang diperolehi kepada pelajar. Guru juga menyatakan
hasrat untuk belajar lebih banyak kaedah pengajaran yang berkesan untuk subjek Matematik.
8.3 Perbandingan skor Ujian Pra dan Ujian Pasca
Ujian Pasca dijalankan selepas 2 minggu selesai proses pengajaran menggunakan kaedah
Konstruktivisme. Ujian ini bertujuan untuk menyokong dapatan kajian mengenai keberkesanan
guru menyampaikan isi kandungan pengajaran. Soalan Ujian Pasca ini menguji tahap kefahaman
pelajar mengenai topik Pythagoras Theorem yang terdiri daripada 15 soalan subjektif yang lebih
mencabar berbanding ujian Pra dengan 30 markah penuh. Hasil dapatan daripada skor Ujian
Pasca ini telah menunjukkan peningkatan peningkatan kefahaman pelajar dalam menjawab
soalan. Skor bagi keseluruhan pelajar telah meningkat. Seramai 15 pelajar (54%) telah mendapat
markah penuh. Purata skor bagi Ujian Pasca juga meningkat iaitu 25.71 berbanding purata Ujian
Pra iaitu 11.93 sahaja. Dapatan ini menunjukkan kaedah pengajaran guru menggunakan teori
konstruktivisme adalah lebih baik dan berkesan.
Jadual 3 : Perbandingan Ujian Pra dan Ujian Pasca
Bil Nama Skor
Ujian Pra
Skor
Ujian Pos
1 Adila Syahida Binti Sarodin 10 26
2 Aida Hanani Bt Rosli 12 30
3 Aina Irdina Bt Josffian Redza 4 20
4 Amira Zaqirah Binti Azain 8 18
5 Amrina Rashada Azlin Binti Azmy 8 16
6 Chang Zhi Xuan 16 30
7 Chong Wen Ling 18 30
8 Hooi May Zheng 12 30
9 Karin Wong 10 22
10 Khalida Najwa Binti Khairuddin 14 30
11 Khew Wei Ly 18 30
12 Lai Pui Yee 20 30
13 Noor Alfira Edzlin Bt Noorazlan 6 18
14 Norazlina Binti Ibrahim 8 18
15 Normaisarah Binti Sazali 14 30
16 Nur Fatehah Binti Pauzi 10 26
17 Nur Hidayah Binti Kamaruzaman 16 30
18 Nur Syafiqah Binti Yon Afrizal 14 30
19 Nur Syafitri Binti Yon Afrizal 12 28
20 Nurul Asyikin Bt Mohamad Ragi@Mohamad Rosdi 8 20
21 Nurul Atiqah Binti Hairol Sahrri 8 18
22 Nurul Fazierra Binti Basri 10 30
23 Nurul Hafizah Binti Zaidi 18 30
24 Nurul Naziera Bt Sharudin 6 18
25 Nurul Shaidatul Aishah Binti Amiruddin 8 22
26 Siti Nor Atikah Bt Anuar 12 30
27 Then Hui Lin 14 30
28 Uma a/p Alagu 20 30
Purata Keseluruhan Skor 11.93 25.71
9.0 Refleksi Selepas Kajian
Secara keseluruhannya, kajian tindakan yang dijalankan ini telah berjaya dalam meningkatkan
keberkesanan guru bukan opsyen Matematik mengajar topik Pythagoras Theorem menggunakan
kaedah Konstruktivisme di Tingkatan 2 Teratai SMK (P) Methodist, Raub, Pahang. Aktiviti-
aktiviti yang dijalankan sepanjang proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas telah
dapat membina motivasi dan keyakinan diri yang tinggi dalam diri guru bukan opsyen. Secara
tidak langsung aktiviti yang berlandaskan teori konstruktivisme ini dapat menimbulkan minat
pelajar terhadap guru mereka dan subjek Matematik amnya. Guru berasa selesa berhadapan
dengan pelajar apabila menggunakan kaedah pengajaran Konstruktivisme ini kerana pelajar lebih
banyak melibatkan diri dalam situasi pembelajaran berbanding kaedah tradisioanl yang
diamalkan sebelum ini. Selain itu pembelajaran berasaskan konstruktivisme ini juga dilihat
sangat berkesan untuk memantapkan sesuatu konsep matematik sehingga pelajar dapat
menguasai sepenuhnya isi kandungan topik tersebut. Suasana semasa kerja berkumpulan dalam
membina konsep juga dapat membantu pelajar memupuk kemahiran sosial dalam menggalakkan
kerjasama dan membina keyakinan diri.
10.0 Cadangan dan Penambahbaikkan
Berdasarkan kepada dapatan kajian tindakan ini, beberapa cadangan dan penambahbaikkan boleh
diberi terhadap kaedah yang digunakan iaitu kaedah konstruktivisme dalam pembelajaran topik
Pythagoras Theorem. Guru perlu lebih kreatif dalam merancang pengajarannya dan sentiasa
menggalakkan pelajar membuat sesuatu yang baru agar diri dan jiwa pelajar sentiasa ingin maju
ke hadapan. Kreativiti guru amat membantu perkembangan kognitif pelajar khususnya bagi
pelajar yang bermasalah dalam pembelajaran. Pelajar memerlukan aktiviti pengajaran yang
menarik dan tidak membosankan. Sebagai contoh guru boleh mengaplikasikan Pembelajaran
Berbantu Komputer (PBK) ke dalam pengajaran dengan membina perisian multimedia
berteraskan teori Konstruktivisme yang berkaitan dengan topik Pythagoras Theorem ini.
Menurut Jamalludin dan Zaidatun (2003), kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa
penggunaan multimedia seperti perisian pengajaran mampu meningkatkan minat dan pencapaian
pelajar dalam akademik.
Secara kesimpulannya, pengetahuan tentang pedagogi pengajaran sesuatu topik adalah
sangat penting bagi seseorang guru bukan opsyen untuk meningkatkan mutu pengajaran di dalam
bilik darjah. Guru bukan opsyen sebenarnya memerlukan kursus pedagogi isi kandungan yang
lengkap kerana mereka diberikan tanggungjawab untuk mengajar subjek yang bukan dari opsyen
asal mereka. Harapan penyelidik ialah kajian tindakan ini dapat menjadi rujukan pihak
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam memperkasakan lagi bidang pendidikan melalui
pengagihan tugas guru-guru yang lebih relevan dan berkesan. Di samping itu, diharap agar kajian
ini dapat membantu pihak sekolah untuk mengatasi permasalahan yang sering wujud
terutamanya dalam lingkungan guru-guru bukan opsyen Matematik berkaitan kaedah pengajaran
yang berkesan.
RUJUKAN
1. Azizi Hj. Yahaya, Jamaluddin Ramli, dan Yusof Boon. 2000. Sumbangan Sikap Terhadap
Matapelajaran Matematik : Sejauhmanakah Hubungan Ini Relevan? Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi Malaysia.
2. Jamalludin Harun & Zaidatun Tasir. 2000. Pengenalan Kepada Multimedia. Edisi Pertama.
Kuala Lumpur : Venton Publishing.
3. Jamalludin Harun & Zaidatun Tasir. 2003. Multimedia dalam Pendidikan. Bentong: PTS
Pubilications & Distributors Sdn. Bhd.
4. Jemaah Nazir Sekolah. 1996. Perlaksanaan program KBSM dalam bilik darjah.
5. Krulik, S., Rudnick, J., Milou, E. 2003. Teaching Mathematics in Middle Schoolc: A Practical
Guide. Pearson : New York.
6. Meor Ibrahim Kamaruddin. 2001. Modul Pembelajaran Sains dan Matematik. Skudai: Fakulti
Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.
7. National Council for Teachers of Mathematics (NCTM). 2000. Principles and standards for
school mathematics. Reston, VA: NCTM.
8. Nik Azis Nik Pa. 1992. Agenda Tindakan : Penghayatan Matematik KBSR dan KBSM. Kuala
Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
9. Norasliza Hassan. 2008. Pengetahuan Pedagogi Kandungan Guru Pelatih Matematik Sekolah
Menengah. Seminar Kebangsaan Pendidikan Sains dan Matematik. Universiti Teknologi
Malaysia.
10. Surat Pekeliling Bil 3 /1967. Buku Perintah Am dan Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam.
11. Swafford, J.O., Jones, G A. & Thornton, C.A. 1997. Increasing Knowledge in Goemetry and
Instructional Practice. Journal for Research in Mathematics Education, 28(4), 467−483.