1
Lembaga Tabung Haji Laksana Projek Iqra’
PENDANG, KEDAH : Isnin, 7 Oktober 2013: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini
mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Projek Iqra’ Tahun 2013 bagi
Peringkat Negeri Kedah Darul Aman. Majlis penyampaian sumbangan tersebut
telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Ayer Puteh, Pendang, Kedah
Darulaman.
Projek Iqra’ ini merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat
(CSR) TH yang mensasarkan para pelajar kurang bernasib baik dan
berkemampuan dari seluruh negara. Pada 2013 ini, TH mengunjurkan
pengagihan zakat pendidikan ini berjumlah RM1.4 juta kepada lebih 2,812
pelajar.
Negeri Kedah Darulaman merupakan negeri pertama pada tahun ini menerima
sumbangan dan akan disusuli dengan negeri-negeri lain termasuk Sabah dan
Sarawak. Pada majlis yang diadakan hari ini, sejumlah 111 pelajar dalam
kategori asnaf daripada tiga (3) buah sekolah terpilih daripada Daerah
Pendang, Kedah telah menerima sumbangan. Jumlah keseluruhan sumbangan
yang disalurkan adalah bernilai RM55,500. Setiap seorang pelajar terpilih telah
menerima sumbangan zakat pendidikan berjumlah RM500.00 yang berupa
kelengkapan sekolah dan juga wang tunai.
2
Pemberian sumbangan ini sebagai tanda keprihatinan pihak TH kepada
golongan yang kurang bernasib baik di samping sebagai usaha menyokong
program Kerajaan dalam membangun serta melestarikan komuniti Islam di
negara ini. TH berharap sumbangan ini menjadi suntikan pendorong dan
motivasi kepada pelajar untuk gigih berusaha menuntut ilmu dan menempa
kecemerlangan di dalam bidang akademik. Di samping itu, TH juga berharap
agar para pelajar ini dapat menjadi pemangkin perubahan dalam
meningkatkan taraf sosio ekonomi diri dan juga keluarga pelajar-pelajar
berkenaan pada masa hadapan melalui bidang pendidikan.
Selain daripada Projek Iqra’ ini, TH juga melaksanakan beberapa program CSR
lain, seperti :
Projek Ehsan iaitu agihan zakat kepada golongan asnaf warga emas,
fakir miskin dan ibu tunggal yang dilaksanakan sempena bulan
Ramadhan dan Aidilfitri; dan
Projek Baiti iaitu agihan zakat yang peruntukkan untuk pembinaan atau
penambahbaikan rumah bagi golongan asnaf fakir miskin.
-Tamat-
3
Lembaga Tabung Haji
Lembaga Tabung Haji (TH) adalah sebuah badan berkanun yang diperbadankan di
bawah Akta Lembaga Tabung Haji, 1995 (Akta 535). Aktiviti utama TH adalah dalam
operasi pengurusan Haji, tabungan dan pelaburan. Antara sektor pelaburan terasnya
adalah perladangan, hartanah, pembinaan, perbankan, teknologi maklumat, minyak
& gas asli, pelancongan, perkhidmatan dan makanan halal. TH mempunyai 119 buah
cawangan di seluruh negara dan satu cawangan di Jeddah, Arab Saudi. Untuk
maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan Tabung Haji, sila lawati
www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre ditalian 03-6207
1919.
Top Related