PENGHARGAAN
Syukur kehadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan rahmatnya, kajian ini dapat
disiapkan seperti yang dirancangkan.
Bagi menyiapkan kajian ini, penulis merasa amat terhutang budi dan berterima kasih
yang tidak terhingga kepada Prof. Madya Dr. Noriah Taslim. Selaku seorang penyelia, beliau
sesungguhnya seorang yang sangat membimbing dan memberi tunjuk ajar dengan sepenuh
hati. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada para pensyarah PPIK USM lainnya,
disebutkan sekadar beberapa nama seperti Profesor Hj. Ali Ahmad dan Dr. Sohaimi Abdul
Aziz atas keikhlasan membantu kerja-kerja penulisan.
Didedikasikan kajian ini istimewanya buat bonda Hjh. Azizah Ahamad dan ayahanda
Hj. Amzah bin Tawil serta ahli-ahli keluarga lainnya di Melaka dan Batu Pahat. Juga
didedikasikan buat saudara Mohd Hisham b. Rubani dan sahabat-sahabat penulis terutamanya
kumpulan pertama program Mod Campuran Ijazah Sarjana Sastera, PPIK USM sesi 98/99,
Pn. Rahimah, saudari Nik Hasnani, dan lain-lainnya atas segala sokongan dari anda semua,
doa dan sokongan dari anda semua, saya tidak mempunyai kekuatan dalam melaksanakan
kajian ini.
Akhir kata, tidak lupa diucapkan terima kasih kepada kakitangan Pusat Pengajian Ilmu
Kemanusiaan, USM atas segala bantuan yang dihulurkan. Semoga kajian ini dapat
menyemarakkan lagi perkembangan dunia kesusateraan tanah air.
JADUAL KANDUNGAN
LIPU LARA: SATU ANALISIS GENRE DARI ASPEK KEINDAHAN
PENGHARGAAN iiJADUAL KANDUNGAN iiiABSTRAK vABSTRACT vii
BAB 1 PENDAHULUAN
1.1 PENGENALAN GENRE
1.2 TINJAUAN KAJIAN LALU
1.3 OBJEKTIF KAJIAN
1.4 METODOLOGI KAJIAN
1.5 ORGANISASI BAB
BAB 2 TEORI KEINDAHAN DAN TEORI SFERA
2.1 KONSEP “KEINDAHAN” DARI KACA MATA
MASYARAKAT MELAYU TRADISIONAL
2.2 TEORI KEINDAHAN
2.2.1 ASAL USUL KEINDAHAN
2.2.2 SIFAT-SIFAT IMMANEN KEINDAHAN
2.2.3 PSIKOLOGI PERSEPSI KEINDAHAN
2.3 TEORI SFERA
2.3.1 SFERA KEROHANIAN
2.3.2 SFERA FAEDAH
2.3.3 SFERA KEINDAHAN
BAB 3 ANALISIS GENRE (BERDASARKAN TEKS HIKAYAT AWANG
SULUNG MERAH MUDA DAN HIKAYAT MALIM DEMAN)
BAB 4 KESAN DAN PENGARUH KEINDAHAN
4.1 ASAS ESTETIKA MELAYU
4.2 HUBUNGAN DI ANTARA EMOSI DAN PSIKOLOGI MODEN
4.3 KESAN KEINDAHAN KE ATAS PENGARANG
4.4 KESAN KEINDAHAN KE ATAS KHALAYAK
BAB 5 RUMUSAN
SENARAI RUJUKAN
ABSTRAK
Lipur lara adalah satu daripada genre sastera Melayu dalam bentuk cerita rakyat.
Genre ini memperlihatkan keistimewaan-keistimewaan tertentu dari sudut puitika
(penciptaan) dan estetikanya (keindahan). Maka kajian mengenainya perlu dilakukan bagi
tujuan untuk menyumbangkan pengetahuan yang bererti dalam bidang estetika kesusateraan
Melayu tradisional.
Tesis yang bertajuk “Lipur Lara : Satu Analisis Genre Dari Aspek Keindahan”,
adalah satu kajian struktural untuk melihat ciri-ciri keindahan dalam genre ini. Beberapa buah
buku teks lipur lara Melayu dipilih untuk memperlihatkan sifat dan ciri genre ini secara
umumnya, manakala untuk analisis khusus dan mendalam teks Hikayat Awang Sulung Merah
Muda dan Hikayat Malim Deman akan digunakan sebagai dasar. Untuk menilai aspek `indah’
dalam genre lipur lara ini, Teori Keindahan yang dikemukakan oleh Braginsky akan dijadikan
landasan. Di samping itu, Teori Sfera Fungsional oleh tokoh yang sama diaplikasikan dalam
kajian ini untuk melihat kedudukan lipur lara ini dalam hierarki sistem sastera Melayu
tradisional.
Konsep keindahan dalam sastera Melayu klasik didapati mengandungi unsur-unsur
pengaruh yang kuat dari tradisi kesusasteraan slam, Jawa kuno dan sedikit dari teori rasa -
`dhivani’ India. Unsur-unsur dari tradisi yang berbeza ini telah dicerakinkan dan
diasimilasikan dengan mesra untuk membentuk satu konsep estetika Melayu yang utuh.
Keindahan yang tersendiri dalam genre ini, membentuk puitikanya yang khusus dan
juga tersendiri. Puitika khusus genre ini dapat dilihat dari aspek dalaman (isi) dan luaran
(aspek stalistik) karyanya. Puitika dan estetika genre ini yang istimewa akhirnya telah
menetapkan bahawa fungsi asas genre ini sebagai alat untuk menghiburkan @ melipurkan.
Justeru itu, genre ini berdasarkan Teori Sfera Fungsional Braginsky, boleh diletakkan dalam
sfera keindahan (fungsional), iaitu sfera terendah dalam hierarki sastera Melayu tradisional.
Dengan itu, kajian ini merupakan satu usaha yang diharapkan dapat memberi
sumbangan kepada pengajian kesusasteraan Melayu seterusnya.
ABSTRACT
Lipur lara is one of the genres of Malay folklore. This genre manifests a certain
poetical and aesthetical uniqueness which need to be studied. Such study will help contribute
towards enriching our knowledge in traditional Malay aesthetics.
The thesis titled as “Lipur Lara: An Analyisis Of Genre From The Aspect Of
Beauty” is an attempt to analyze this genre structurally with the aim of investigating its
aesthetics qualities. For this purpose several texts belonging to this genre are selected as
corpus of study, but two texts entitled “Hikayat Awang Sulung Merah Muda” and “Hikayat
Malim Deman” are specifically chosen for more detailed analysis. To assess the nature of
beauty in these texts, Braginsky’s theory on ‘The concept of the beautiful in Malay traditional
literature” is used as basis of reference. In addition, his theory on the “Functional spheres of
traditional Malay literature” is also used to determine the position of this genre within the
Malay traditional literary system.
The concept of beauty in traditional Malay literature has been found to bear a strong
resemblance to Islamic literary tradition, to ancient Javanese esthetics and the concept of
`rasa’ –dhivani in Hindu esthatics. Various elements from these different traditions are
assimilated smoothly by traditional Malay authors, providing a somewhat clear of Malay
aesthetics.
The uniqueness of its beauty has given this genre a distinct poetics features. Its poetics
could be discerned from its internal (content) and external (style). The distinct and aesthetic
quality of this genre had subsequently determined the basic function of this genre, that is to
entertain or to soothe away cares. Consequently, this genre can be positioned within the
functional spheres of beauty which is, in accordance to Braginsky, the lowest sphere in the
hierarchy of classical Malay literary system.
This research therefore is, hopefully an effort an effort, to provide a meaningful
contribution to a further study of Malay traditional literature.
BAB 1
PENDAHULUAN
1.0 Pengenalan Genre
Sastera rakyat merupakan satu bentuk sastera yang paling tua yang dimilki oleh semua
bangsa di dunia ini.
Selalu di-katakan orang bahawa chorak kesusasteraan yang paling tua sa-kali ia-lah kesusasteraan berchorak lisan – atau sekarang ini dipanggil umum-nya kesusasteraan ra’yat. (Mohd Taib Osman, 1965:6)
Dari segala seginya, sifat-sifat kesusasteraan rakyat dari pelbagai bangsa di dunia ini tidak
banyak berbeza sama ada dari segi corak sasteranya ataupun isi cerita. Bahkan ada keadaan di
mana cerita-cerita disampaikan itu seakan-akan sama. Pengalaman budaya dan sejarah yang
hampir sama, unsur-unsur arketaip, agama dan sosial serta dimensi pemikiran yang serupa
menyebabkan adanya keselarian di antara hasil-hasil sastera di dunia. Persamaan ini juga
mempunyai kaitan erat dengan pertembungan dan asimilisi pelbagai budaya bangsa. Sintesis
sastera ini berlaku disebabkan oleh aktiviti perpindahan (migrasi) dan penjajahan sama ada
dalam bentuk fizikal ataupun mental.
Sastera rakyat ini adalah naratif yang berfungsi dalam sesuatu kehidupan masyarakat,
kerana ia mempunyai langsung dengan budaya sesebuah masyarakat meliputi bahasa, agama,
kepercayaan, nilai sosial, ritual keagamaan dan keperluan hiburan. Sastera rakyat ini menjadi
sebahagiaan dari budaya rakyat kerana ia digunakan untuk upacara-upacara tertentu seperti
{mantera} (jampi serapah), tradisi perbomohoman, pantun untuk peminangan}, atau
digunakan untuk merakamkan kejadian-kejadian persekitaran dalam bentuk kiasan dan
sindiran {peribahasa dan perumpamaan} atau juga diceritakan dalam bentuk persembahan
kepada masyarakat {penglipur lara, mak yong dan seumpanya}. Dalam kata lain sesuatu
tradisi dari sesebuah bangsa dibentuk oleh persekitaran serta budaya yang khusus, hal ini ada
dijelaskan oleh Jan Vasina (1965) dalam bukunya Oral Traditions,
Every tradition arises and is preserved within a particular cultural environment, and is modelled after the cultural pattern. To understand a tradition, therefore it is necessary to know the cultural which gives rise to it (Jan Vasina, 1972: 188)
Sastera rakyat juga dikenali sebagai lisan kerana sebelum manusia mengenal tulisan
sastera rakyat ini diperturunkan secara warisan dari satu generasi ke generasi selanjutnya
melalui pertuturan – lisan.
Oral traditions are historical sources of a special nature. Their special nature derives from the fact that they are `unwritten’ sources couched in a form suitable for oral transmission, and their preservation depends on the powers of memory of successive generation of human beings (Jan Vasina, 1972: 1)
Oleh kerana sastera ini melalui proses transmisi dari mulut ke mulut, maka ia cenderung
untuk mewujudkan berbagai- bagai versi dan variasi terutama dari segi isi cerita. Melalui
perantaraan lisan ini kerap kali berlaku tokok-tambah atau pengurangan isi cerita untuk
disesuaikan dengan tempat, upacara, dan kehendak masyarakat setempat. Ini mengakibatkan
hilangnya keaslian bentuk dan isi cerita yang asal. Dalam menjelaskan keadaan ini, Jan
Vansina menyatakan bahawa,
All such anonymous traditions shares the common characteristics of being transmitted spontaneously from one person to another, and during this process the original form is lost and the content becomes fluctuating and blurred (Jan Vasina, 1972:5)
Sastera rakyat ini dapat dibahagikan kepada dua bentuk iaitu berbentuk naratif (prosa) dan
bukan naratif (puisi). Bentuk naratifnya, terdiri dari kelompok genre lipur- lara, cerita jenaka,
cerita lagenda, mitos dan cerita binatang. Sastera rakyat dalam bentuk puisi pula adalah terdiri
dari segala hasil gubahan dan ungkapan yang menggunakan bahasa puitis dan indah. Dalam
khazanah sastera Melayu lama, puisi Melayu tradisional ini terdapat dalam dua belas bentuk
iaitu pantun, gurindam, teka-teki, seloka, syair, nazam, peribahasa, teromba, talibun
(sesomba), prosa lirik (prosa berirama), mantera dan dikir atau zikir.
Dari kelompok naratif ini, genre lipur-lara merupakan cerita rakyat Melayu yang
paling sering diperkatakan dan mendapat perhatian para pengkaji kesusateraan Melayu klasik.
Lipur lara ini dibina oleh dua frasa perkataan iaitu lipur dan lara. Secara ringkasnya istilah
lipur lara ini bolehlah didefinasikan sebagai,
“Lipur bermakna liput, menghilangkan atau libur maknanya menyukakan hati. Lara pula bermakna sedih dan dukacita” (Mustafa Mohd Isa, 1984: 17)
Maka jika kedua-dua perkataan ini digabungkan secara semantiknya, maka lipur lara
ini bermakna menyukakan hati atau menghilangkan kesedihan dan dukacita.
Keistimewaan genre lipur lara ini banyak terletak kepada sifat atau ciri-ciri struktur
genre ini (puitika) dan keindahan sasteranya (estetika) yang unik berbanding dengan cerita-
cerita rakyat yang lain. Keunikan cerita-cerita lipur lara bukan sahaja terletak pada ceritanya
tetapi juga pada penutur dan persembahannya. (Zalila Sharif, Jamilah Haji Ahmad, 1993: 80)
Lipur Lara atau folk romances pada pengistilahan yang diberikan oleh Winstedt, (R.O.
Winstedt, 1969: 26) disebut pula oleh Stith Thompson sebagai marchen, (Mustafa Mohd Isa,
1987: 4) atau dikenali sebagai fairy-tales (cerita pari).
Lipu lara ini bersifat court-romance bukan kerana ia dilahirkan di istana tetapi
ceritanya menyalurkan propaganda feudalistic kerana dengan amat baik mengeksploitasi latar
istana dan watak-watak dari keturunan raja bangsawan. Dalam kata lain walaupun genre lipur
lara ini termasuk dalam korpus sastera rakyat (folk-literature) tetapi dari segi isi cerita, ia
hanya berkisar tentang perjalanan kehidupan anak-anak raja bermula dari kelahirannya,
pengemberaan, perkahwinan dan akhirnya mewarisi takhta kerajaan. Golongan elit ini
diperikan dengan keistimewaan dan keajaiban meliputi wajahnya, kebijaksanaan, keberanian
dan kekuatannya berbanding dengan sifat rakyat biasa.
Ia sebenarnya dilahirkan dalam konteks masyarakat yang digelar oleh para ahli
antropologis sebagai simple society1. Masyarakat ini adalah masyarakat kolektif pra moden
yang buta huruf dan dibendung oleh budaya partisipatoris2.
Berdasarkan kaedah `The function of Dramatis Personae’, oleh Valdimir Propp
struktur atau plot cerita tebina daripada komponen-komponen morfologikal yang diistilahkan
sebagai `fungsi’. Fungsi ini merujuk kepada aksi watak atau dramatis personae yang
mempengaruhi keseluruhan perjalanan cerita, Fungsi ini ditakrifkan sebagai,
A function is an act of a character, defined from the point of view of its significance for the course of action of the tale as a whole, and the sequence of functions is identical. Functions serves as stable, constant elements in a tale, independent of how and by whom they are fulfilled. (Propp, 1968: 21-22)
1 Simple society, merujuk kepada masyarakat Melayu lama yang hidup dalam keadaan serba sederhana, hidup terpencil di kawasan-kawasan pedalaman. Manjalankan kegiatan hidup seperti bertani dan nelayan. Masyarakat ini masih dikongkong kuat oleh adat, budaya dan tradisi tinggalan nenek-moyang mereka. 2 Diistilahkan oleh W.J.Ong (1982) sebagai ‘particitory noetics’ – speaker and listener share a story of knowledge. Ia juga dikenali sebagai budaya perkongsian, di mana segala sesuatu dalam masyarakat itu adalah hak kolektif bukannya individu. Budaya seni itu adalah tertakluk kepada ketetapan konvensi dan dikongsi bersama. (lihat Noriah Taslim, 1983a:163 )
Lipur lara adalah roman Melayu yang berunsur adventure, kerana hampir sama cerita-
ceritanya dibina oleh tema pengembaraan3. Walaubagaimanapun terdapat perbezaan dalam
tujuan mengembara dan tokoh (wira) yang mengembara. Menurut Propp (1968) ada dua
faktor utama yang mendorong berlakunya pengembaraan, iaitu berpunca dari –a- kekurangan
(lack) dan fungsi –A- penganiyaan (villainy requital). Dua fungsi ini kemudiannya akan
membentuk beberapa pergerakan pengembaraan seterusnya seperti,
Antara aksi dan pergerakan lain yang disebabkan oleh dua fungsi di atas ialaf fitnah, ramalan nujum yang diselewengkan, mencari isteri, mencari ubat atau penawar kepada keluarga sakit dan sebagainya (Noriah Taslim, 1987:20)
Pengembaraan wira selalunya akan diransang oleh sesuatu unsur. Dengan ransangan
dimaksudkan segala alasan dan tujuan watak-watak yang menyebabkan mereka melakukan
berbagai-bagai tindakan (Noriah Taslim, 1987: 88). Mimpi merupakan antara ransangan yang
kerap digunakan dalam cerita lipur lara ini. Dalam Hikayat Malim Deman contohnya, mimpi
telah meransang wira untuk keluar mengembara mencari bakal isteri yang dimimpikannya
(merujuk kepada fungsi –a- dalam skema morfologi Propp, bagi mengatasi masalah
kekurangan yang ada pada dirinya).
“...suatu malam ia pun berangkatlah masuk ke tempat peraduan...lalu bermimpilah ia datang seorang tua sayid keramat wali Allah...Seraya berkata wali Allah itu, Ayuhai Tuanku Malim demam putera tuanku Gombang Malim Dewa, apakah faedah anakanda duduk seperti yang demikian ini? Tiadakan hendak beristeri rasanya? Jikalau sekiranya hendak beristeri,...berangkat ke hulu negeri Bandar Muar ini,...tuan puteri tujuh beradik turun dari kayangan...Seorang yang teramat elok rupanya mengalahkan sifat sekalian perempuan di dalam negeri kayangan...”
(HMD, hlm. 3)
3 Ini dapat dibuktikan berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Mustafa Mohd Isa ( tesis Sarjana, 1979), dari 16 buah cerita Awang Belanga yang dikaji, 15 darinya membawa tema pengembaraan dan hanya satu sahaja tidak memperlihatkan tema ini.
Bagaimana mimpi ini meninggalkan kesan yang `hebat’ ke atas diri Malim Deman sehingga
menyebabkan anak raja ini;
“ Hatta, Tuanku Malim Deman terkejutlah daripada beradu lalu bangun memikirkan mimpinya itu, seraya ia menangis bercucuran air matanya bagai manik diurai...seolah-olah sudah terpandang kepada matanya cahaya muka Tuan Puteri...
(HMD, hlm. 4)
Rentetan dari mimpi inilah yang akhirnya meransang Tuanku Malim Deman untuk,
“ hendak memohon berjalan ke hulu negeri Bandar Muar, akan mencari jodoh pertemuan kakanda”
(HMD, hlm. 9)
Watak-watak dalam roman ini terdiri dari anak raja dan tuan puteri yang unggul sifatnya
berbanding manusia biasa. Keunggulan itu akan ditonjolkan di bahagian awal melalu
kelahirannya itu. Awang Sulung Merah Merah sebagai contohnya untuk `mendapatkannya’,
kedua ibu bapanya terpaksa berkaul dan berniat di Lautan Tanjung Jati. Semasa di dalam
kandungan, ketokohannya terserlah melalui ibunya yang mengidam hendak makan pelanduk
putih jantan mengandung dan ikan terubuk jantan mengarang telur. Wira kemudiannya akan
`dilahirkan’ dalam keadaan dan situasi alam yang aneh dan istimewa. Suasana luar biasa yang
terjadi akibat kelahiran seorang wira antaranya digambarkan seperti dalam petikan berikut;
“ Maka putera itu keluar daripada kandungan bondanya:Tujuh bilah lantai terpatah,Tujuh mengkawan atap terpatah,Berderu-deru hujan panas,Panah-memanah halilintar,Berbunyi sekalian bunuyi-bunyian”
( HASMM, hlm. 15)
Keelokan rupa paras wira juga tiada tolok bandingan. Umumnya dalam cerita-cerita lipur lara,
si penutur akan memperincikan secara jitu dan berlebih-lebihan setiap aspek dari anggota
badan wiranya. Antara gambaran `keelokan’ rupa paras, dapat ditunjukkan dari pemerian rupa
Awang Sulung Merah Muda,
“ Pipi bagai pauh dilayang,Hidung kuntum bunga serayu,Telinga telapuk layu,Dahi bagai sehari bulan,Kening bagai bentuk taji,Leher jinjang buyung Petani,Lengan seperti baur panah,Jari halus tombak serai,
Malah keelokan rupa paras Awang Sulung, telah diperhebatkan dengan menyatakan bahawa
beliau mempunyai gigi yang bercahaya seperti,
“...cahaya giginya tiada tertentang nyata, laksana kilat sembur-menyembur cahayanya”
(HASMM, hlm. 34)
Ada juga keadaan yang menunjukkan wira dilahirkan bersama benda-benda sakti
seperti keris, parang puting dan sebagainya. Raja Muda dalam Hikayat Raja Muda, ketika
dilahirkan oleh ibunya Tuan Puteri Nur Lela telah keluar bersamanya sebilah parang puting.
“ Tuan Puteri pun lalu pengsan tiada kabarkan diri-nya, lalu berputera sa-orang laki-laki membawa sa-bilah parang putting di-tangan-nya:
Tiga bilah lantai patah
Tiga gelegar yang patah
(HRM, hlm. 5)
Dalam episod pengembaraan pula demi menonjolkan kesaktian dan kegagahannya,
wira akan diuji dengan pelbagai dugaan. Segala rintangan ini sama ada bertemu musuh,
meredah hutan belantara yang tebal dan sebagainya akan dapat diatasi dengan jayanya oleh
wira dengan bantuan alat-alat (senjata) dan kuasa magis. Wira juga akhirnya akan mendapat
jodoh dengan seorang tuan puteri yang cantik jelita tanpa tolok bandingnya.
Wira dan wirawati selalunya mempunyai pengikut atau teman pendamping yang setia
seperti Bujang Selamat, Si Kembang Cina dan Nenek Kebayan. Penyudahan cerita selalunya
diakhiri dengan kejayaan wira mencapai matlamatnya. Dalam kata lain, aspek yang paling
penting dalam cerita lipur lara ini ialah menonjolkan akan ciri keluarbiasaan dan keanehan
segala sesuatu dari cerita terbabit.
Struktur plot lipur lara secara stereotaipnya terdiri dari tiga peristiwa besar iaitu
kelahiran, pengembaraan dan penyelesaian (kejayaan). Struktur plot konvensional ini
membentuk skema yang diulang-ulang hamper dalam setiap cerita penglipur lara.
Being oral, folk literature had to rely heavily on pre-existing schemata (formula, themes, motifs) for its materials. Furthermore, oral society was a “closed” society which offered the creative man with almost no alternative models and thus also placing a constrain on his creativity man with almost no alternative models and thus also placing a constrain on his creativity and individuality (Noriah, 1996: 9)
Perulangan tema, motif dan formula ini seperti satu kaedah yang menyediakan kerangka
asas dalam ingatan si penutur. Skema ini menjadi arah pandu penuturnya ketika bercerita,
bagi mengelakkan si penutur terlupa atau sengaja melakukan penyelewengan. Inilah penyebab
yang menjadikan genre lipur lara ini statik dan beku. Tambahan pula dalam masyarakat
tradisional ini kebenaran adalah bertunjangkan kepada kesahihan tradisi lampau dan
kebaharuan serta penyelewengan itu tidak diterima kerana ia mengancam kefahaman dan
penerimaan khayalak seterusnya ia deianggap sebagai perombakan tradisi.
Pengulangan cerita yang sama pada setiap persembahan akan menjadikan penuturnya
mahir dan professional dalam bidangnya serta melancarkan persembahannya, manakala
kebaharuan akan menyebabkan kegagapan, tersekat-sekat dan lupa hingga boleh menjejaskan
reputasinya sebagai seorang dalang. Apabila berada dalam keadaan tidak fasih dan tidak
lancar, maka wajar jika cerita itu diragui, tidak dipercayai dan seterusnya ditolak oleh
khayalak pendengarnya. Penyangkutan dan pertautan kepada tradisi ini dijelaskan dengan
baiknya dalam petikan di bawah,
In order to be relevant, knowledge was to be repeated time and again. In order to be
true, it had to lay claims to origins in the past...to be convincing, to be listened to at all,
the narrator had to drawn his material from the past, he had to appeal to elements that it
could be claimed, had been preserved since day of old. Memory had maintained what was
relevant for the community in the present knowledge was based on past experience
(dipetik oleh H.M.J Maeir, 1988:86).
Oleh kerana wahana penyampaiannya adalah secara verbal, maka lipur lara adalah satu
seni sastera yang bersifat persembahan. Wahana penyampaian setiap penglipur lara tetap
sama iaitu secara lisan- (bercerita) tetapi kaedah penyampaian ceritanya itu berbeza.
Ada yang bercerita secara pertuturan biasa atau speech, ada yang bercerita secara berdikir atau chanting, ada yang bercerita secara berlagu atau singing dan ada yang bercerita secara mendendangkan puisi atau rhythmic. (Haron Daud, 1994: 108)
Lipur lara adalah sebuah seni sosial memandangkan genre ini sangat sesuai dengan
cara hidup tradisional orang-orang Melayu. Cerita-cerita lipur lara ini berperanan dalam
situasi atau upacara-upacara tertentu dalam masyarakat seperti majlis perkahwinan, kenduri-
kendara ataupun dalam masa-masa di mana komuniti ini berkumpul bersama. Ia akan
dipersembahkan di malam hari dengan mengambil masa berjam-jam atau mungkin juga
ceritanya itu terlalu panjang hingga memakan masa bermalam-malam untuk disudahkan.
Dalam suasana dan aktiviti kemasyarakatan sebegini, cerita-cerita penglipur lara bukan sahaja
memeriahkan suasana, malah ia dapat membantu meringankan kerja-kerja yang dilakukan.
Selain itu lipur lara juga berguna untuk merintang dan memenuhi masa lapang masyarakat
yang menaunginya. Ia dijadikan satu aktiviti hiburan untuk merehatkan diri setelah penat
bersawah, menangkap ikan, ke hutan berburu dan seumpamanya. Bolehlah dianggap bahawa
inilah sahaja bentuk hiburan yang ada dalam masyarakat primitif dan tertutup ini. Dengan itu
wajarlah diklasifikasikan lipur lara ini sebagai sebuah seni sosial memandangkan fungsinya
sesuai dengan pola-pola ekonomi dan sosial masyarakat Melayu tradisional.
Seorang penglipur lara akan menyampaikan cerita dan masyarakat yang lainnya
bertindak sebagai pendengar yang responsif. Pendengar ini menjadi pendengar aktif kerana
bukan setakat mendengar dan mendengar dan menerima sahaja cerita yang disampaikan
secara pasif, tetapi mereka- the listener must use his own faculties to re-create and dramatize
the tale in his mind (Sweeney, 1980: 22). Mata dan telinga mereka peka kepada segala
pergerakan, pertuturan dan penceritaan sipenutur di samping minda mereka secara aktif
mentransformasikan cerita yang disampaikan itu ke dalam bentuk rentetan imej-imej dalam
fikiran mereka. Reaksi dan kepekaan pendengar boleh mempengaruhi persembahan pencerita.
Mereka menghayati sepenuhnya cerita dan merasai diri mereka sebahagian dari cerita.
Keterlibatan secara aktif ini menjadikan mereka seronok dan tidak jemu-jemu mengikuti
cerita yang disampaikan. Sebagai seorang pendengar yang responsif, mereka juga bertindak
mengawal si penutur agar tidak tergelincir dari landasan cerita yang asal. Mereka merupakan
pendengar yang peka dalam mengecam penceritaan agar si pencerita tidak lari dari ketetapan
konvensi. Tindak-balas dan reaksi pendengar responsif ini sedikit sebanyak berupaya
mepengaruhi persembahan penutur seperti yang disarankan oleh Sweeney berdasarkan proses
pengamatan beliau kendalikan.
While a Wayang Kulit (shadow- play) audience can sometimes radically alter the course of a performance by its reactions, in other genres, such as Tarik Selampit, I have found that audience feedback has little effect upon the teller’s presentation (Sweeney, 1980: 38)
Warisan yang diperturunkan secara lisan ini amat menuntut si penutur kepada kekuatan
daya ingatan dan kemampuannya menghafal.
Situasi lisan menuntut penghafalan dan pengingatan kembali yang baik, untuk membolehkan seseorang penutur cerita itu mencipta ceritanya dengan spontan dan menyampaikannnya secara licin dan meyakinkan (Noriah Taslin, 1194b: 185)
Kaedah mengingat dan menghafal ini telah menghadkan sipencerintanya kepada
bentuk-bentuk pernyataan verbal yang diistilahkan oleh Sweeney (1980) sebagai skemata dan
formulaic dalam pentakrifan A.Lord (1960). Tradisi yang berasaskan oral aural ini telah
menghadkan teknik penyampaian sipenutur kepada pola-pola ayat yang distrukturkan agar
mudah di hafal dan diingat. Penyampaian yang menggunakan selain dari kaedah ini, adalah
tidak praktikal kerana ia tidak berkeupayaan menyimpan maklumat dalam ingatan secara
maksimum dan tidak dapat diingat kembali dengan berkesan.
Terikat dengan kaedah penciptaan skematik ini, menyebabkan si penutur tidak
mempunyai banyak ruang untuk mengembangkan kreativiti diri sepenuhnya. Improvisasi dan
variasi hanya dilonggarkan kepada aspek stailistik dan teknik penyampaian serta wawasan
untuk penerokaan plot yang lebih kompleks. Tunduk kepada tuntutan tradisi ingatan dan
hafalan inilah yang menyebabkan pemerian-pemerian dan olahan cerita lipur lara,
...bersifat stereotaip, konvensional, superficial dengan satu skema plotnya yang mudah dan aksi-aksi yang sudah dapat diduga (Noriah Taslim, 1994b: 186)
Pernyataan bersifat skematik ini antaranya dapat dilihat dari pemerian rupa paras tuan
puteri atau para wira, perincian watak-watak secara stereotaip dan pipih bagi memenuhi
sesuatu fungsi atau tiap perjalanan cerita dan sebagainya. Petikan berikut merupakan satu
contoh schemata konvensional bagi memerihalkan rupa paras tuan puteri,
Muka bujur sirihDahi sehari bulanKening bentuk tajiHidung kuntum serojaTelinga telipuk layuGigi delima merekahJari tombak serai...
Ia bercerita daripada ingatannya, tetapi kecekapannya bukan sahaja bergantung kepada
kemampuan ia mengingatkan cerita-cerita itu, malah kepada kecekapannya mengolah dan
mempersembahkan ceritanya kepada khalayak ramai (Jamilah Haji Ahmad, 1981: 30)
Lipur lara wujud dalam sebuah tradisi yang bertungjangkan kepada budaya
pertisipatoris atau pengongsian. Pencerita dan khayalak tradisi diikat oleh satu budaya yang
digelar sebagai cultural vraisemblance4, iaitu satu budaya yang menuntut penerimaan dan
kefahaman melalui penggunaan model-model budaya `cultural-repertoire’ seperti rumus-
rumus, tema, motif dan lain-lain yang bertindak sebagai pengecam atau pengikat antara
penutur dan khalayak. Penutur hanya akan menebar dan menuturkan pengetahuan yang telah
sedia dikenali dan dilazimi oleh pendengarnya. Keadaan-keadaan inilah yang telah
mengongkong kuat puitika penciptaan genre ini. Penciptaannya terikat ketat oleh estetika
persamaan yang menetapkan bahawa dasar keindahan terletak pada persamaan dan
perulangan bukannya pembaharuan. Kecenderungan untuk diterima inilah yang menyebabkan
penglipur lara mempersembahkan ceritanya secara stereotaip dan mengulang.
4 Cultural vraisemblance, istilah yang diperkenalkan oleh Jonathan Culler (1975). Ia merujuk kepada satu stok budaya atau pengetahuan yang diterima pakai dalam masyarakat. ( untuk huraian lanjut rujuk Noriah Taslim 1993a:162)
The writer or storyteller is bound by his own moral universe; he is limited by his conditioning to the norms and values of his own society. It was essential to be a well-integrated member of society. Individualism was not encouraged; on the contrary, the non-conformist would be seen as a threat to the solidarity of the group (Sweeney, 1980: 25)
Di bawah belenggu kontrak naratif 5 ini, khalayak tradisional tidak mengharapkan
malah tidak mungkin menggemari sesuatu perubahan, penyimpangan dan pembaharuan atau
unsur-unsur naratif yang tidak pernah didengar oleh mereka sebelumnya atau tidak dapat
dicam. (Noriah Taslim, 1993: 164) Perhubungan timbal-balik antara khalayak dan penutur
dalam masyarakat partisipatoris ini diistilahkan oleh W.J. Ong sebagai:-
`participatory noetics’ – speaker and listener share a store of knowledge and `participatory poetics’ – the public oral performer typically is speaking for everyone to everyone about what every adult knows, and asking no questions. (H.M.J Maier, 1988: 84-85)
Selain itu, persembahannya perlu menarik dan menyeronokkan agar tidak
menjemukan penonton. Dari sudut keperluan puitika lisan dan konvensi budaya partisipatoris,
untuk menjadikan ceritanya menarik dan sedap didengar, penutur perlu kepada teknik
penyampaian yang mengeksploitasi unsur-unsur bunyi, rentak dan irama.
Unsur pertama yang dieksploitasi oleh si penglipur lara ini untuk menjadikan
persembahannya menarik ialah aspek stailistik, iaitu kaedah penggunaan bahasa yang
berirama. Ini dilakukan denag pertolongan rentak, sajak, rangkap, pemilihan kata-kata yang
indah, irama dan juga lagu. (Mustafa Mohd Isa, 1987: 9). Penggunaan bahasa yang bersukat,
berentak dan berirama ini bukan sahaja memikat tetapi sebenarnya ia juga adalah `formula’
yang digunakan oleh sipenutur untuk memudahkan mereka mengingat. Kemampuan
menghafaz dan mengingat akan lebih berkesan jika pola perkataan dan ayat ini distrukturkan
dengan retak dan bentuk tertentu, tambahan pula ingatan ini mempunyai hubungan langsung
5 Kontrak naratif ialah satu ikatan kuat yang mengongkong masyarakat Melayu tradisional. Di bawah ikatan ini, khalayak dan penutur tertakluk kepada persefahaman timbale-balik, iaitu dunia yang ditawarkan oleh penutur mestilah dunia yang dikenali oleh khalayaknya. Kefahaman sebeginilah yang menjamin kesahan tradisi.
denagn bentuk-bentuk verbal. Hal ini sesuai dengan pandangan yang diuatarakan oleh Noriah
Taslim iaitu,
`...dalam budaya lisan primer, pernyataan linguistic itu harus dalam bentuk-bentuk yang bukan sahaja dapat diselaraskan dengan media pengucapan (lisan), malah dapat ditampung oleh ingatan. Demikian seorang penutur lisan memanfaatkan apa yang diistilahkan sebagai teknologi verbal untuk membantu penghafazan, pengingatan dan penyampaian. (Noriah Taslim, 1993: 176)
Teknik penyampaian yang mengeksploitasi unsur-unsur bunyi dan rentak ini
merupakan satu keperluan yang penting memandangkan audien dalam komuniti verbal ini
menikmati karya melalui deria kerana rata-ratanya buta huruf6.
Di samping itu terdapat juga penglipur lara yang menyampaikan cerita dengan
melakukan sedikit pergerakan badan, tangan dan kepala mengikut irama yang dilagukan serta
alat muzik yang digunakan. Tindakan ini membantu penutur untuk menggambarkan
peristiwa-perstiwa yang sedang diceritakan atau membayangkan pergerakan dan aksi para
watak dalam cerita. Dengan melakukan sedikit pergerakan badan, perjalanan ceritaannya
menjadi tidak statik dan kaku. Teknik ini dapat mempengaruhi dan menarik minat penonton
untuk mengikuti cerita mereka seara berterusan dan penuh minat. Kemampuan aksi dan
pergerakan penutur dalam menghidupkan ceritanya selaras dengan pendapat Muhammad Haji
Salleh yang mengatakan bahawa,
The gestures and suitable body movements raise the narrative to another level that contains elements of stage drama. This is really a part of acting, imitating gestures as if to copy the real ways of character and therefore heightening to illusion, or if we prefer, the reality of the story. Without these gestures the narration would be poorer, thinner and less realistic (Muhammad Haji Salleh, 1991: 58)
6 Masyarakat buta huruf adalah masyarakat yang kurang terpelajar, belum terdedah kepada budaya membaca dan menulis. Hanya segelintir dari mereka yang bernasib baik seperti bomoh, dalang, penghulu, penglipur lara dan sebagainya yang mempunyai bakat dan kemampuan tersendiri. Golongan bernasib -baik inilah yang dibebankan untuk menyampaikan ilmu yang ada pada mereka.
Selain itu, ada beberapa cara atau teknik tertentu yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh
seseorang pencerita untuk memukau perhatian para pendengar. Sebagai sebuah seni oral-
aural, di mana karya itu dinikmati melalui deria inderanya, penutur perlu dalam satu masa
meransang dan menyentuh kedua-dua deria mata dan telinga pendengar. Selain dari
memerhatikan aksi dan pergerakannya, si penutur memukau pandangan audien melalui
pemakaian topeng-topeng khas.
To enhance the reality of the characters further, over and above movements and gestures, Mahmud would put on masks of the hulubalang (warrior) or nujum (soothsayer) whenever he came to these parts in his stories. In the masks we may read also a dramatisation of these roles and the desire to get as close as possible to `real’ characters (Muhammad Haji Salleh, 1991: 58)
Setiap satu watak yang merangkumi watak raja, hulubalang atau penjarah, si penutur
akan mengenakan satu topeng tertentu yang memberikan gambaran wajah setiap watak
terbabit. Aksi dan perlakuan watak juga akan disesuaikan dengan topeng dipakainya. Ini dapat
dibuktikan melalui kajian cerita-cerita Awang Belanga yang dilakukan oleh Mustafa Mohd
Isa. Antaranya seperti dalam petikan seterusnya,
Apabila cerita tiba pada babak yang melibatkan peranan hulubalang, Awang Belanga akan memakai topeng atau `muka peran’ hulubalang. Topeng ini dibuat daripada sejenis kertas keras yang menggambarkan satu bentuk muka yang lucu yang iaitu berhidung tajam, bermulut luas, berdagu kecil dan berdahi sempit {topeng yang khusus}...Apabila Pak Mahmud memakai topeng itu, ia akan bertutur mengajuk pertuturan hulubalang dan bergaya sebagai seorang hulubalang seperti mengegadah atau membongkok, atau mengangkat kedua-dua bahunya {aksi yang sesuai}. (Mustafa Mohd Isa, 1987: 56)
Bagi meransang deria pendengaran khalayaknya, bukan sahaja terbatas kepada
penggunaan dan ungkapan bahasa yang berirama, malah intonasi suara juga memainkan
peranan yang tidak kurang pentingnya. Turun naik suarannya ada kaitan erat dengan topeng
yang dipakai. Jika watak seorang hulubalang, maka intonasi dan pertuturan seorang ahli
nujum diajukkan secara terketa-ketar, perlahan dan tidak jelas kedengaran.
Sebagai kesimpulannya, untuk menjadikan persembahannya menarik, seorang penutur
lisan perlu kreatif dan bijak menggabungjalinkan pelbagai teknik-teknik persembahan iaitu
menggunakan alat muzik yang sesuai, pemakaian topeng-topeng khas serta intonasi suara
yang bersesuai untuk cerita yang dituturkan. Kepelbagaian teknik penyampaian ini penting
kerana seni persembahan lipur lara ini dicerap dengan indera zahir dan bukannya akal.
“Mahmud the exponent of Awang Batil, recites his story and accompanies himself on a batil. He also make use of mask during his peformace,...When either of thse characters appers in the story, Mahmud dons the relevant mask and continues his narrative thus attired while describing the actions and voicing the words of hulubalang or nujum. Thus, although the form is still narrative, a dramatic element is introduced” (Sweeney, 1974: 54-55).
Penggunaan loghat daerah dan bahasa pertuturan setempat juga dapat menjadikan
ceritanya lebih menarik kepada khalayak setempat. Selalunya cerita-cerita lipur lara itu
keseluruhannya akan disampaikan dalam loghat-loghat daerah dan dialek tempatan
berdasarkan situasi atau tempat diceritakan. Contohnya, jika di Kedah pencerita akan
menggunakan loghat Kedah dan demikian jugalah keadaan di Kelantan. Melalui penggunaan
bahasa tempatan ini si penglipur lara dapat membuatkan audien merasa dekat dengan
ceritanya. Apabila cerita itu disampaikan dalam loghat bahasa mereka masing-masing, ia
dapat memupuk rasa mesra dan `sense of belonging’ pendengarnya. Ini memudahkan mereka
memahami, mengikuti jalan cerita dan seterusnya menghayati cerita tersebut dengan lebih
baik dan berkesan. Dalam cerita-cerita Awang Belanga Perlis yang dikumpulkan oleh
Mustafa Mohd Isa, penggunaan loghat daerah Kedah antaranya dapat dilihat dalam cerita
Cerita Awang Denoi @ Raja Kamaruzaman. (Perkataan yang dicetak dalam huruf condong
merupakan istilah sebenar dalam Bahasa Melayu baku)
Tengah-tengah kisah seronok ramai, hilang kisah raja timbui {timbul} kisah orang tua miskin dua beranak dalam negeri Raja Kamaruzaman. Jadi anaknya nama Awang Denoi, yang mak nama Seri Paduka, kalau gitu {begitu} cara dia makan, bila nak cari tinggai {tinggal} pengasuh tak dak {tiada}. Jadi dia tambat anak dia Awang Denoi dalam acak {air limbah}. Kalau gitu dia buat
keje cari makan, ambik upah pawah {bersawah}. Bila rembang {petang} mai dia balik {pulang}, baru rongkai {lepaskan} anak dia dalam acak dok tambat {diikat} anak dia dalam acak. Seri Paduka ini lebih kurang pukui {pukul} sepuluh lalulah Tuk Khalifah Pondok, dia jalan dalam daerah kampung, kelihlah {lihat} budak ini dok berkubang {berendam, bergelumang} dalam acak. (Mustafa Mohd Isa, 1987: 108)
Persembahan ini juga diceriakan dengan penggunaan alat-alat muzik yang berperanan
mengiringi cerita yang disampaikan. Antara alat muzik yang biasa digunakan adalah seperti
batil/belanga, gong, rebab, gendang keling dan biola. Penggunaan alat-alat muzik ini wajar
kerana ia berkeupayaan meningkatkan lagi kesan kederiaan kepada khalayaknya. Apa yang
menarik ialah penglipu lara dari daerah berlainan akan menggunakan alat muzik yang berbeza
untuk persembahan mereka. Perbezaan alat muzik yang digunakan ini jugalah yang
memungkinkan wujudnya perbezaan dalam cara mereka menyampaikan cerita mereka. Ini
dapat dibuktikan melalui kajian-kajian yang dilakukan oleh Amin Sweeney.
Jadual 1: Alat-alat muzik yang digunakan(dipetik dari Sweeney, 1974: 53)
Genre Area Presentation Music
Tarik Selampit Kelantan
Pattani
Perlis
Singing
Chanting
Speech
Rebab
Selampit Perlis
Langkawi
Chanting Gendang keling or
none
Awang Batil Perlis
Langkawi
Singing
Or Rhymatic
Chanting
Batil
Jubang Kedah Singing or chanting Rebana or none
Ahli cerita Pahang
Terenggganu
Singing or chanting Rebana or none
Kaba Selangor Chanting Biola or Rebab
Sebagai kesimpulannya, lipur lara ini adalah satu tradisi yang hidup satu masa dahulu
kerana ia didukung kuat oleh cara persembahannya yang menarik. Bukan sahaja ceritanya itu
menarik tetapi kemampuan dan keupayaan si penutur menyampaikan dan menghidupkan
cerita tersebut juga antara faktor penting kepada kelangsungan tradisi ini. Namun
perkembangan budaya manuskrip dan literasi barat telah secara perlahan-lahan mengambil
alih kewibawaan tradisi lisan ini.
1.2 Tinjauan Kajian Lalu
Pengetahuan dan maklumat tentang masyarakat Melayu tradisional terlalu sukar untuk
dikumpulkan. Menyedari akan kepentingan genre ini dalam memahami budaya dan
masyarakat Melayu tradisional, lipur lara sering mendapat perhatian di kalangan para
pengkaji. Kajian yang pada tahap awal iaitu di tahun-tahun 50-an dan 60-an dipelopori oleh
sarjana-sarjana Barat seperti R.O Winstedt, J.C. Bottoms, R.J. Wilkinson, A.j. Strurrock dan
sebagainya. Kini kajian kesusasteraan tradisional sudah mula Berjaya menebar minat sarjana-
sarjana tempatan.
Genre lipur lara juga nampaknya sudah menjadi satu tajuk kegemaran bagi penulisan-
penulisan ilmiah dan akademik di peringkat pengajian tinggi. Antara kajian yang pernah
dijalankan ialah seperti kajian oleh seorang sarjana yang tidak asing lagi dalam bidang sastera
rakyat Melayu iaitu Professor Amin Sweeney. Antara kajian awal yang dilakukan oleh beliau
ialah “The Tree in Wayang Siam”, pada peringkat PhD di tahun 1970. Beliau mengkaji genre
ini dalam bentuk seni persembahan. Tujuan kajiannya adalah untuk menganalisis cara
penyampaian, bentuk persembahan dan gaya bahasa genre-genre sastera rakyat (bentuk lipur
lara) dalam wayang kulit Siam ini. Kajian ini juga mendedahkan tentang variasi teks dalam
perhubungan di antara teks yang wujud di kawasan-kawasan di mana wayang ini
dipersembahkan. Bagi memastikan kajiannya dibuat dalam lingkungan konteks budaya
masyarakat yang melahirkannya, kajian ini dilihat dari aspek budaya, sosio ekonomi dan
peranan yang dimainkan oleh seseorang dalang. Kajian ini kemudiannya telah dibukukan oleh
Universiti Kebangsaan Malaysia (1972) dengan tajuk “The Ramayana and the Malay
Shadow-play”.
Selain itu beliau juga banyak menghasilkan artikel dan buku-buku lain yang
menyentuh tentang aspek stail dan persembahan sastera lisan Melayu. Antaranya ialah seperti
dalam kertas kerja beliau yang diterbitkan dalam JMBRAS (1974), bertajuk “Professional
Malay Story Telling: Some Questions of Style and Presentation”. Kertas kerja ini
membicarakan dengan amat teliti tentang aspek-aspek persembahan penglipur lara Melayu,
terutamanya Awang Batil.
Kajian tentang lipur lara yang lebih komprehensif sifatnya telah dilakukan oleh
Mustafa Mohd Isa, dengan tajuk `Awang Belanga: Penglipur Lara Dari Perlis’. Kajian ini
dilakukan bagi memenuhi keperluan Sarjana Kesusateraan di PPIK, USM pada tahun 1979.
Dua aspek penting yang menjadi inti kajian beliau. Persoalan pertama tentang ketokohan Pak
Mahmud sebagai penutur cerita-cerita Awang Belanga Kedah. Kajian pada tahap ini lebih
bersifat autobiografi kerana membicarakan riwayat hidup, kepercayaan, cara penyampaian
Pak Mahmud. Aspek kedua pula lebih tertumpu kepada kerja-kerja pengumpulan, proses
transliterasi dan analisis cerita-cerita Awang Belanga untuk melihat keseragaman dan ciri-ciri
umum dari enam-belas buah cerita Awang Belanga. Pendekatan yang digunakan untuk
menganalisis cerita-cerita ini ialah pendekatan struktural, dengan melihat unsur-unsur
dalaman seperti motif, tema, tipa cerita dan sebagainya.
Siti Aishah Mat Ali juga menjalankan kajiannya dalam “Satu Kumpulan Cerita
Rakyat dari Kampung Mentuan Kelantan: Klasifikasi Motif dan Taip Cerita”. Ia merupakan
kajian beliau di peringkat sarjananya di Jabatan Pengajian Melayu, UM tahun 1974.
Berbanding dengan Mustafa, kajian ini lebih berfokus kepada certa-cerita penglipur lara
Kelantan yakni Tok Selampit. Kajiannya ditumpukan kepada 3 buah cerita iaitu Cerita
Selampit, Cerita Si Gembang serta Cerita Raja Dera. Disamping kerja-kerja pengumpalan
dan proses transliterasi, analisis yang dibuat adalah berasaskan motif dan tipa cerita dalam
ketiga-tiga cerita terbabit untuk melihat persamaan dan perbezaan yang wujud dalam isi
cerita. Analisis yang bersifat induktif dan empirical ini dilakukan untuk memperlihatkan
bahawa setiap unsur itu mepunyai makna dan peranannya yang tersendiri.
Kajian seterusnya dilakukan oeh Jamilah Hj. Ahmad, `Analisis Isi Cerita Rakyat
(Marchen) Yang Tercetak’ dari Dewan Bahasa dan Pustaka (Mohd Taib Osman, 1991: 107-
150). Kajian adalah dibataskan kepada marchen (lipur lara) yang tercetak dalam bentuk cerita.
Beliau memilih secara rambang beberapa teks lipur lara Melayu. Dalam kajian ini, beliau
menggunakan pendekatan sosio-budaya, iaitu melihat cerita-cerita marchen ini dapat
menyampaikan pandangan hidup (world-view), amanat serta kepercayaan dan nilai
masyarakat Melayu lama.
Kajian yang dikelolakan oleh Inon Sharudin (983) dengan judul `Si Miskin: A
Structural Study’, adalah satu kajian yang mengaplikasikan Teori Morfolgi Propp, ke atas
genre lipur lara. Kajian ini berfokuskan kepada teks Hikayat Si Miskin dan dilakukan analisis
perbandingan ke atas struktur hikayat ini yang melibatkan teks bertulis, lisan dan
persembahan wayang kulit.
The main aim of the investigation is to distinguish the different structure of the various form of the tale of Si Miskin, and the limitation that are placed upon the genre which made the acquire their own particular form. (Inon Shahruddin, 1983: 7)
Dari himpunan penulisan tentang lipur lara nampaknya belum ada satu lagi kajian
yang khusus dan terperinci untuk membicarakan nilai-nilai keindahan yang terdapat dalam
genre ini. Sumbangan terbesar dan terulung dalam bidang ini telah dilakukan oleh
Braginksky, apabila beliau telah mengemukakan dasar-dasar teori keindahan dalam sastera
Melayu. Kajian ini diikuti oleh satu penerapan teori tersebut ke atas teks Hikayat Inderapura.
Namun selepas Braginsky, nampaknya tidak ada lagi percubaan lain (sejauh yang diketahui)
untuk mengaplikasikan teori tersebut ke atas teks-teks lipur lara yang lain secara sistematik
dan terperinci.
Bertolak dari kekosongan inilah maka dirasakan perlunya satu kajian terperinci dan
khusus untuk membicarakan aspek dan konsep keindahan yang terdapat dalam genre lipur-
lara ini. Diharapkan hasil kajian ini mampu untuk mengenengahkan dan menyegarkan semula
genre ini yang semakin dipinggirkan oleh peminat-peminat sastera Melayu. Kajian ini juga
bermanfaat untuk memperlihatkan lipur lara sebagai karya yang unik dan tersendiri dam
himpunan genre-genre sastera Melayu tradisional lainnya.
1.3 Objektif Kajian
Pengenalan secara ringkas tentang genre ini di bahagian awal memperlihatkan bahawa
lipur lara ini adalah tinggalan seni yang tinggi mutunya. Ia adalah genre yang mantap dan
`tersendiri’ - dalam erti kata lain ia mempunyai pensejarahannya, puitika penciptaannya
dan dasar estetikanya yang tersendiri berbeza dari sastera rakyat yang lain. Keunikan dan
keistimewaan ini dirasakan perlu dipertonjolkan semula memandangkan penerimaan yang
semakin menyusut daripada masyarakat terhadap kesusateraan Melayu tradisional. Genre ini
perlu diselamatkan dari terus tenggelam akibat tewas dalam persaingan dengan sastera moden
dan pasca-moden. Kepupusannya juga diakibatkan oleh ketiadaan pencerita dan khalayak
yang mendukung hayatnya. Penelitian mendalam ke atas genre ini bukan semata-mata
bermanfaat dari segi mencungkil aspek `kesasteraan’ yang ada padanya, tetapi ia juga dapat
digunakan untuk melihat pemikiran dan sikap masyarakat terhadap genre ini. Sehubungan
dengan ini, objektif kajian adalah untuk,
1. Meneliti dasar-dasar keindahan genre lipur-lara.
2. Menghubungkan keindahan genre lipur-lara dengan fungsinya.
Untuk tujuan tersebut satu analisis terperinci ke atas teks-teks lipur lara akan
dilakukan.
1.4 Metodologi Kajian
Kajian ini akan bertumpu kepada genre lipur lara, yakni genre yang dibicarakan dalam
bab 1. Penelitian ke atas genre lipur lara ini akan ditumpukan kepada aspek keindahan yang
terdapat di dalamnya. Untuk melihat keindahan genre ini, kajian akan bertitik tolak dari Teori
Keindahan dan Teori Sfera Fungsional dikemukakan oleh Braginsky. Seterusnya kajian ini
akan cuba melihat hubung kait di antara keindahan yang ditawarkan oleh genre lipur lara ini
dan fungsinya.
Braginsky, dalam Teori Keindahannya, telah mengenalpasti konsep dan dasar-dasar
keindahan sastera Melayu tradisional yang dihubungkan kepada akar umbi Islam. Ini
menjadikan dasar-dasar keindahan dalam sastera Melayu tradisional itu agak universal
sifatnya. Maka dasar-dasar keindahan yang dikemukakan oleh beliau akan dijadikan kayu
pengukur utuk menilai aspek-aspek keindahan dalam genre ini.
Untuk melihat fungsi genre ini pula, kajian akan mengaplikasikan Teori Sfera
Fungsional yang juga dikemukakan oleh Braginsky. Berdasarkan Teori Sfera Fungsional ini,
pengkategorian dalam sastera Melayu tradisional adalah berdasarkan kesadaran sastera
pengarang tentang fungsi genre yang diciptanya. Fungsi inilah yang menentukan cirri-ciri
puitika sesebuah karya sastera. Berdasarkan Teori Sfera ini, lipur lara akan dapat
dikelompokkan dalam hierarki fungsionalnya yang khusus, sesuai dengan cirri-ciri puitika dan
estetikanya.
Walaupun Teori Sfera Fungsional genre ini akan berdasarkan kepada teori Braginsky,
namun perbincangan tentang kategori seni ini akan juga memasukkan pandangan-pandangan
lain secara umum. Pandangan dari Ken Wilber, Affandi Hassan dan Pitirim Sorokin akan
dirujuk sebagai perbandingan kepada pandangan Braginsky.
Konsep dan dasar keindahan ini akan dilihat melalui unsur-unsur naratif seperti aspek
stailistik (struktur luaran) dan aspek isi (struktur dalaman). Bagi tujuan penelitian, kajian akan
dilakukan penelitian terhadap beberapa buah teks lipur lara yang terpilih. Teks yang dipilih
ialah Hikayat Awang Sulung Merah Muda dan Hikayat Malim Deman. Kedua-dua teks ini
adalah dalam bentuk bertulis, namun pada bentuk asalnya adalah berdasarkan cerita-cerita
yang dituturkan oleh Pawang Ana dan disunting semula oleh Raja Haji Yahya dari Kampung
Cenderiang, Perak. Naskah asal teks ini telah diterbitkan di Singapura oleh Malaya Publishing
House pada tahun 1960, berdasarkan edisi terakhir kepunyaan R.O Winstedt dan R.J.
Sturrock. Ia kini diterbitkan semula oleh penerbit Fajar Bakti.
1.5 Organisasi Bab
Keseluruhan kajian ini mengandungi 5 bab. Bab 1 merupakan bab pendahuluan yang
di dalamnya terkandung Pengenalan Tentang Genre (Genre Lipur Lara), Objektif Kajian,
Batasan Kajian, Tinjauan Kajian Lalu dan Organisasi Bab.
Bab 2 merupakan bab yang memberi penjelasan tentang konsep keindahan dalam
sastera Melayu tradisional. Bab ini akan menghuraikan Teori Keindahan dan Teori Sfera
Fungsional yang disarankan oleh Prof. Dr. V.I. Braginsky. Oleh kerana keindahan itu akan
dilihat dalam hubungkaitnya dengan fungsi genre maka teori sfera fungsional Braginsky akan
dihuraikan juga di sini.
Bab 3 pula merupakan intipati kajian ini. Dalam bab ini kedua-dua teori yang disebut
di atas akan diaplikasikan ke atas beberapa teks lipur lara yang terpilih iaitu Hikayat Malilm
Deman dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda. Bahagian awal akan cuba mencerakinkan
nila-nilai keindahan dari teks. Keindahan ini akan dilihat dari kedua-dua aspek dalaman dan
luaran yang membina karya. Akan dianalisiskan juga bagaimana unsur-unsur dalaman dan
luaran yang membina teks ini dapat menimbulkan kesan keindahan.
Kajian seterusnya di dalam bab 4 diteruskan dengan menganalisis kesan yang
ditinggalkan oleh keindahan. Pertamanya dilihat kesan keindahan ke atas khalayak iaitu kesan
psiko-terapetik dan homoepatik dan kemudian menilai pula kesan emosi yang dilahirkan oleh
keindahan terutamanya kesan sublimasi dan katarsis dalam diri pengarang.
Bab 5 pula merupakan bab yang merumuskan dan menyimpulkan hasil kajian yang
telah dijalankan.
BAB 2
TEORI KEINDAHAN DAN TEORI SFERA OLEH BRAGINSKY
2.1 Konsep ‘Keindahan’ Dari Kaca Mata Masyarakat Melayu Tradisional.
Bab ini akan bertitik-tolak dari Teori Keindahan yang diperkenalkan oleh Braginsky.
Seterusnya kajian akan membincangkan kefahaman masyarakat Melayu tentang sifat-sifat
sesuatu yang dianggap ‘indah’. Khusus untuk membincangkan konsep keindahan ini, kajian
akan ditumpukan kepada lingkungan sastera Melayu serta masyarakatnya yang berada di
Abad Pertengahan7. Abad pertengahan merujuk kepada abad 16 hingga 19, iaitu satu zaman
selepas kedatangan Islam. Sasteranya dikenali sebagai medieval Malay literature ( Braginsky,
1993: 20 ) kerana berada di tengah-tengah antara literasi Sanskrit ( abad 7 hingga 15 ) dan
literasi Inggeris ( selepas abad 19 ).
Malay classical literature dates from the period beginning in the second half of sixteenth century and lasting through the first half of the nineteenth century (Braginsky, 1993: 29 )
Zaman tersebut telah memunculkan diri pengarang akan fungsi seninya yang akhirnya
membawa kepada penyusunan dan penyemakan semula seluruh korpus sastera Melayu.
Situasi inilah yang disebut oleh Braginsky sebagai kesadaran diri sastera Melayu (literary
self-consciousness). Abad pertengahan ini merupakan zaman emas kepada perkembangan
kesusasteraan Melayu kerana di abad inilah Kesusasteraan Melayu tradisional berada di
puncak kegemilangannya.
This process of self-reflection and re-imagining affected such notion as the creative process, the function of beauty, the didactic value of literature and the modes for
7 Merujuk juga kepada masyarakat Melayu tradisional.
creating literary works. In a word, this period saw the emergence of self-awareness in Malay literature ( Braginsky, 1993: 1 ).
Kesusasteraan merupakan khazanah terunggul dan berharga tinggalan warisan
kebudayaan Melayu terutamanya di Abad Pertengahan – Kesusasteraan Melayu Abad
Pertengahan. Selain menjadi cerminan kepada pemikiran dan kepercayaan masyarakat
Melayu tradisional, kesusasteraan merupakan teras yang hakiki kepada kebudayaan Melayu
itu sendiri, Ini diakui oleh Braginsky dengan menyatakan bahawa,
“Tiada bidang lain dalam kebudayaan tradisional yang dapat ‘menandingi’ kesusasteraan klasik dalam mencerminkan segala aspek kehidupan rakyat Melayu sampai ke akarnya yang tersembunyi” ( Braginsky, 1994a: 4 )
Masyarakat Melayu Abad Pertengahan menikmati dan melihat hikmat kesusasteraan
itu dari dua sudut, iaitu keindahan dan manfaatnya. Masyarakat Melayu ini mempunyai
fahaman mereka yang tersendiri tentang keindahan dan teknik yang tertentu untuk
memunculkan keindahan ini dalam karya-karya mereka. Keindahan itu dilihat wujud dari dua
keadaan iaitu dari dalaman dan luaran. Dalam membincangkan konsep keindahan ini,
Braginsky ( 1994 ) telah memetik pandangan beberapa ilmuan Islam dan juga dari karangan
tasawuf Melayu tentang dua jenis keindahan ini. Imam Ghazali contohnya, mengistilahkan
keindahan dalaman itu sebagai ‘mujarad’ dan keindahan luaran itu sebagai ‘maujud’.
Keindahan ‘maujud’ itu menurutnya adalah keindahan yang terdedah pada penglihatan dan
dapat dicerap oleh pancaindera, manakala keindahan ‘mujarad’ itu terlindung dan hanya
dapat dicerap oleh akal.
Konsep keindahan dalaman dan luaran ini juga dihuraikan oleh Braginsky berdasarkan
pandangan dari Abd al-Karim al-Jili, seorang penganut aliran sufi Wahdatul al-Wujud. Beliau
memandang keindahan dalaman ini sebagai keindahan – jamal, iaitu merujuk kepada
keindahan Illahi, dan keindahan luaran itu berpunca dari keindahan alam fizikal, atau
diistilahkannya sebagai – husn.
Persepsi keindahan dari kaca mata orang-orang Melayu juga tidak banyak berbeza
dengan pandangan-pandangan di atas Karya sastera dan karangan tasawuf Melayu sering
menggunakan perkataan ‘elok’ dan ‘indah’ untuk membezakan di antara keindahan
mutlak-‘jamal’ daripada keindahan fenomenal – ‘husn’.Keindahan dalaman dalam masyarakat
Melayu sering diseertikan dengan kata ‘elok’,sementelaah keindahan luaran pula cenderung
menggunakan kata ‘indah’. Kedua-dua perkataan ‘indah’ dan ‘elok’ walaupun digunakan
saling berganti dalam sastera Melayu klasik, perkataan ini sebenarnya mempunyai konotasi
yang berbeza.
Berdasarkan kajian beliau juga. Perkataan ‘indah’ bagi orang Melayu sinonim dengan
perkataan ‘endah’ dalam bahasa Jawa yang membawa maksud bagus, luar biasa, ganjil,
menarik dan aneh, sekaligus ‘yang menonjol’, ‘yang menjolok mata’ . Perkataan ‘elok’ pula
lebih dekat dengan makna yang mengutamakan pengertian ‘baik’, ‘berguna’, ‘berfaedah’,
‘baik dipakai’.Pengunaan kedua perkataan indah dan elok ini berbeza kerana ‘elok’
cenderung digunakan untuk memerikan indah dan elok ini berbeza kerana ‘elok’ cenderung
digunakan untuk memerikan alam batin dan mengenal hakikat rohani. Ia digunakan bersilih
ganti dengan perkataan Arab ‘jamal’,bersama-sama pengertian tasawuf yang asas seperti
untuk menghuraikan perkara-perkara di luar akliah seperti kewujudan Allah, sifat Allah dan
sebagainya. Perkataan ‘indah’ pula secara meluas digunakan dalam penulisan hikayat, untuk
menerangkan keadaan sesuatu benda yang nyata dan tampil di mata (termasuklah
pemandangan istana, alam, taman-taman bunga, pakaian dan lain-lain lagi). ‘Indah’ juga
sering digunakan untuk menggambarkan sifat bunyi sama ada secara tersurat atau tersirat
(termasuklah percakapan, muzik, nyanyian dan mahupun tentang bagusnya bunyi –
pernyataan karangan itu sendiri). Ini merujuk kepada keharmonian dan kemerduan karya itu
sendiri yang dnegan agak baik mengeksploitasi penggunaan bahasa, rentak, dan irama. Selain
itu, aksi dan tindakan seperti pertempuran, penerbangan dan sebagainya juga sering diperikan
dengan menggunakan perkataan indah.
Walaupun sastera Melayu tradisi lebih menekankan penggunaan perkataan ‘indah’
untuk memerikan alam zahir ( pemandangan, bunyi dan tindakan ), namun ia sekali-kali tidak
digunakan untuk pemerian wajah. Pemerian wajah akan digantikan dengan perkataan elok,
kerana keelokan wajah adalah ‘manifestasi’ terus dari zat Allah. Sebagai contoh, perkataan
‘elok’ digunakan dalam teks ‘Hikayat Malim Dewa’ ( selepas ini akan disebut sebagai HMD )
untuk memerikan kecantikan rupa- paras Tuan Puteri Gondang Gentasari.
“Maka ada ia beranak seorang perempuan, dinamakan Tuan Puteri Gondang Gentasari, terlalulah amat elok rupanya, hitam manis, agung, sederhana, sedang panjang lampai tubuhnya,....
( HMD, hlm. 28 )
Oleh itu, konteks penggunaan kedua perkataan ‘indah’ dan ‘elok’ ini perlu diteliti secara
terperinci kerana keduanya mempunyai titik pertemuan dan juga perbezaannya yang
tersendiri. Sebagai kesimpulannya penggunaan kedua-dua istilah ini dapat dirumuskan seperti
dalam petikan berikut,
“ ‘Indah’ lebih menitikberatkan aspek luaran yang sudah dinyatakan dan dapat dirasakan oleh pancaindera. Sebaliknya ‘elok’ menekankan aspek dalaman yang hakiki dan tersembunyi. Aspek dalaman itu berkait dengan pengertian ‘kebaikan’, ‘kebajikan’. Oleh itu, perkataan Arab yang seerti dengan ‘indah’ adalah ‘husn’ ; dan yang seerti dengan elok adalah ‘jamal’.... ( Braginsky, 1994a: 25 ).
Aspek keindahan sama ada keindahan dalaman atau luaran inilah yang mendedahkan
kekayaan dan kedalaman makna kesusasteraan Melayu Abad Pertengahan itu. Keindahan ini
perlu diselidiki dan dihuraikan secara terperinci kerana penggunaannya dalam karangan-
karangan Melayu bukan bersifat hiasan semata-mata tetapi ia mempunyai kewajaran serta
kepentingannya yang khusus dan tersendiri. Masyarakat Melayu Abad Pertengahan ini,
mempunyai fahaman dan tanggapan yang tersendiri tentang erti keindahan dalam karya
sastera mereka. Keindahan itu juga dimunculkan dalam karya-karya Melayu klasik dengan
menggunakan cara yang tertentu. Sebagai sebuah hasil seni yang lahir dalam masyarakat
‘partisipatoris’, keindahan sastera itu – meliputi sifat-sifat keindahan dan cara pemeriannya,
didapati hampir sama dalam setiap hasil sastera Melayu. Fahaman tentang sifat keindahan dan
teknik pemeriannya itulah yang membentuk konvensi dan puitika sastera Melayu lama dan
seterusnya membezakan hasil sastera ini dengan hasil kalam dari warisan peradaban tamadun
bangsa dan budaya yang lain.
2.2 Teori Keindahan
Berdasarkan Teori Keindahan yang dikemukakan oleh Braginsky, terdapat tiga aspek
keindahan dalam sastera Melayu tradisional. Ketiga-tiga aspek ini bersifat universal dan
stereotaip kerana selain dinyatakan dengan jelas dalam karya ia juga hadir dalam setiap hasil
persuratan Melayu baik dalam bentuk prosa mahupun puisi.
2.2.1 Asal Usul Keindahan
Aspek keindahan yang pertama adalah berkait rapat dengan ontological – asal usul dan
punca keindahan itu sendiri. Keindahan dilihat sebagai manifestasi dari kekuasaan dan
kekayaan Allah. Aspek pertama ini berhubung rapat dengan kedatangan Islam ke alam
Melayu. Proses Islamisasi yang berlaku sepanjang abad ke 14 hingga abad ke 16 telah
menyemarakkan pengajaran teologi dan tasawuf Islam. Kesan yang lebih penting ke atas
orang Melayu akibat dari pengaruh fahaman Islam ini ialah mereka mula menyedari
kesusasteraan mereka terutamanya tentang proses penciptaan dan matlamat penciptaan
kesusasteraan itu Dalam kata lain, kesedaran diri atau self-consciousness masyarakat Melayu
Abad Pertengahan ini telah menyedarkan diri mereka sebagai sebuah bangsa yang bersastera.
Kesedaran tentang proses penciptaan menjadikan mereka berfikir semula tentang proses
kreatif yang dilalui semasa berkarya. Ini mengembalikan mereka kepada mengenal dan
mengakui hakikat kewujudan dan kekuasaan Allah yang maha Esa. Aspek ini sering
dicerminkan melalui penggunaan istilah ‘indah’ bagi menggantikan ‘kekayaan’ dan
‘kekuasaan’ Tuhan. Petanda kepada ‘kudratNya’ digunakan dalam dua cara, iaitu melalui
prolog – di dalam pengantar karya tersebut, atau ditunjukkan secara langsung dalam karya.
Pengarang yang menganggap dirinya sebagai dagang sentiasa “...disclaims all wisdom,power
and ability, and denies, or even rejects, all wordly success:. ( Koaster, 1996: 94). Kebesaran
Tuhan diperlihatkan oleh pengarang yang merenungkan kedaifan dirinya dibandingkan
dengan kuasa kreatif Illahi yang tidak bertepi. Sedar aakn keterbatasan diri dan akal,
pengarang meminta diberikan rahmat oleh Illahi agar memperoleh sedikit kebijaksaan untuk
berkarya. Kesedaran keagamaan ini, dapat dilihat dalam teks-teks sastera Melayu tradisional
yang memulakan karangannya dengan puji-pujian kepada Allah.
{ Bismillah itu permulaan kata / Alhamdulillah puji yang nyata / berkat Muhammad penghulunya kita / fikir mengarang satu cerita // }(1) { fakir yang adif dagang yang hina / mengarang syair sebrang guna / sajaknya janggal / banyak tak kena / daripada akal tidak sempurna // }(2) { jikalau ada khilaf dan sesat / janganlah tuan sahaya diumpat / diambil kalam dicecah dakwat / hati mengingatkan tangan menyurat // }(3) { awal mula hamba berfikir / di Tanjung Karang tenpat musafir / menghilangkan dendam sebab khawatir / dikarangkan nazam suatu syair.}(3) (Lithograph UB 895 D 6.) (Koster, 1997: 65 ).
Kata-kata yang memuji Tuhan diwakili oleh frasa ayat (1), prolog ini kemudiannya
diteruskan dengan pengarang mengakui hakikat keterbatasan proses kreativitinya (2). Oleh
kerana sedar akan keterbatasan kuasa kreatifnya itu, maka pengarang meminta agar dirinya
tidak diumpat dan dicerca, kerana dia menulis untuk tujuan mengingat (3). Akhirnya
pengarang menyatakan kepada kita bahawa tujuan beliau mengarangkan syair ini adalah
untuk menghilangkan rasa dendam, gundah gulana dan tidak ketentuan rasa hatinya (4).
Menyedari akan kenaifan diri berbanding dengan keagungan dan kekuasaan Tuhan,
pengarang kerap kali memohon rahmat dan petunjuk dari-Nya untuk berkarya. Hal ini dapat
diperkuatkan dengan pandangan Koster yang menyebut bahawa,
“...the narrator recalls that man is dependent in all his actions on God and implores His help for the creation of his work” (Koster, 1997: 102).
Koster ( 1997 ), melihat proses penulisan sebegini amat terikat dan ketat oleh satu
‘episteme’ yang dinamakan sebagai ‘commemeoration’- mengingat. Tugas pengarang dengan
itu haruslah ‘mematutkan’ dan bukannya ‘memanjangkan’ hingga boleh membawa kealpaan
dan kelupaan. Dwi-fungsi mengingat perlu dilaksanakan oleh pengarang. Mengingat pada
tahap pertama adalah membawa mesej orang terdahulu dan yang keduanya adalah sebagai
pengajaran kepada orang lain agar sesuai dengan norma agama dan masyarakat. ‘Literary self
consciousness’ ini akan memberi kesedaran kepada masyarakat Melayu Abad Pertengahan ini
bahawa sasteranya itu harus bersumberkan yang Esa dan harus kembali kepada yang Esa.
“... ‘His term for this erasure of illusionary self, and return by commemoration to one’s real self and, by way of this real self, to the One and Only Reality determining all that was, is and will be, is mengingat “ ( Koster, 1996: 113 ).
Kekuasaan Allah yang tidak terbatas dan serba lengkap diperikan secara sempurna
dalam karya melalui keindahan hasil ciptaanNya. Contoh yang sangat baik bagi menunjukkan
keadaan ini adalah berdasarkan teks Hikayat Inderaputera ( selepas ini disebut sebagai HI ).
“Maka Inderaputera pun datanglah ke padang itu, dan ada suatu bukit terlalu elok rupanya, dan airnya pun mengalir daripada pihak bukit itu terlalu sejuk, dan di bawah bukit itu beberapa pohon kayu berbagai-bagai rupanya, berbagai-bagai jenis warnanya. Kalakian maka didengar oleh Inderaputera bunyinya segala bunyi-bunyian ini seperti orang berpantun. Ada yang seperti orang bersyair dan bermadah dan berpantun. Maka Inderaputera pun berhenti melihat ‘kekayaan’ Tuhan dan bertambah-tambah yang indah-indah itu. Setelah itu demikian maka Inderaputera pun kenyang rasanya sebab melihat sekelian itu. Maka ia pun mengucap syukurlah kepada Allah....( HI,hlm. 26-27 )
2.2.2 Sifat-sifat Immanen Keindahan
Aspek keindahan yang kedua pula berkait rapat dengan sifat-sifat immanen yang
dimiliki oleh keindahan itu sendiri. ‘Indah’ dalam dunia persuratan Melayu selalunya merujuk
kepada sesuatu yang luar-biasa. Secara semantiknya, istilah luar-biasa ini muncul dalam
beberapa perkataan-perkataan lain seperti ajaib, hairan, gharib, temasya dan sebagainya.
Justeru itu, perkataan-perkataan ini digunakan secara timbal-balik apabila memerikan
perkara-perkara yang luar biasa. Malah ajaib, gharib, heran dan seumpamanya itu juga
digunakan sebagai menunjukkan kesan atau rasa hati yang dialami apabila berhadapan dengan
sesuatu yang luar biasa.
Banyak perkara , benda mahupun peristiwa luar biasa yang terdapat dalam karangan-
karangan Melayu. Gambaran setiap satunya akan diperincikan dengan teliti untuk
memperlihatkan sifat luar biasa itu berbanding dengan keadaan dunia biasa atau dunia
sebentar. Sifat luar biasa antaranya dapat dilihat dari keelokan rupa paras wira dan
wirawatinya yang tiada langusng cacat celanya. Contohnya dapat dilihat dalam teks ‘Hikayat
Anggun Cik Tunggal’ (selepas ini akan disebut sebagai HACT)
“Ayuhai cunda, adapun cunda memakai pakaian paduka ayahanda itu, pada pemandangan nenda suatu pun tiada cacat celanya, makin bertambah elok paras cunda, makin berseri paras cunda laksana matahari terbit pagi nenda lihat...(HACT,hlm. 21)
Selain dari keelokan paras rupa, keindahan pakaian juga sering digambarkan sebagai
luar biasa cantiknya. Pakaian itu sempurna dan lengkap dengan seluar, selendang, tengkolok,
tali pinggang serta juga alat kebesaran seperti keris, dihiasi pula oleh pelbagai jenis emas,
mutiara, batu delima dan hiasan seumpamanya. Apabila pakaian penuh hiasan ini dikenakan
kepada wiranya maka keelokan dan ketampanan wira akan lebih terserlah hingga sesiapa yang
memandang bukan sahaja digambarkan berada dalam keadaan hairan dan tercengang-
cengang malah mampu menyebabkan mereka jatuh berahi, mabuk dan lalu pengsan.
Contohnya seperti yang terdapat dalam teks ‘Hikayat Raja Muda’ ( kemudian ini akan
digantikan dengan HRM ).
“... maka ia pun berangkat ke-dalam peraduan memakai seluar, gemerlapan chermin di-kaki; di kena pula baju alang sayap laying-layang bertelepok, perbuatan orang dahulukala, lalu memakai kain chindai jantan berbenang emas, diikatkan kepada pinggangnya sembilan belit; disisipkan pula keris yang bernama cherita lok sembilan belas, berkurai, pamor ular lidi menyeberang tasek; berselubong kain, bertabor perada telepok. Maka lalu pula memakai tengkolok alang bersurat kalimah halimunan Sulaiman, beberapa ilmu hikmat pemanis serta pelias peperangan. (HRM, hlm.20)
Kekayaan sebuah Negara juga sering dilebih-lebihkan untuk memberikan gambaran
kekayaan yang luar biasa dan melimpah ruah. Kekayaannya meliputi istana yang tersergam
indah, dihias pula dengan pelbagai batu mutiara, bersalutkan emas, tembaga, suasa serta luas
dan bertingkat-tingkat ruang istananya. Ruang istana yang besar sering menjadi lambing
kepada kekayaan dan kekuasaan seseorang pemerintah. Negeri Bandar Muar yang diperintah
oleh Tuanku Raja Muda Ulama contohnya, terlalu besar takhta kerajaannya, lengkap dengan
sekalian orang besar-besar, tentera dan rakyatnya.
Maka terlalu indah negerinya itu :
Kota melintang empat persegi,
Lompong meriam memutih kelihatan,
Kedai beratur berbaris-baris,
Pohon nyiur berbanjar-banjar,
Pohon pinang seperti pagar,
Istana besar sembilan ruang,
Balai penghadapan peseban agung,
Tujuh ruang tujuh pemanah,
Selenjang kuda berlari-lari,
Selelah burung terbang,
(HMD, hlm.1)
Penggunaan latar juga sering dieksploitasi untuk meninggalkan kesan
keluarbiasaan itu. Sastera Melayu tradisional ini cenderung menggunakan latar tempat dan
latar masa yang sukar hendak dipastikan realitinya. Pemilihan dan pemerian latarnya
menitikberatkan unsur-unsur dongeng, fantasi dan khayalan yang tidak boleh diterima akal.
Satu petikan daripada teks Hikayat Inderaputera, dapat memberikan sekilas gambaran tentang
keindahan yang luar biasa pada sebuah tasik.
Maka dilihat oleh Inderaputera pasirnya daripada emas urai, dan batunya itu daripada permata yang indah-indah. Syahdan kersiknya daripada mutiara, dan rumputnya daripada kumkuma, dan tanahnya daripada kesturi, dan airnya daripada air mawar, dan di tepi tasik itu beberapa pohon anggur dan pohon zabib dan pohon delima dan buah-buahan yang indah-indah di tepi sungai itu. (HI, hlm. 40-41).
Latar alam yang dipilih bukan hanya terhad di dunia nyata – latar istana dan
latar taman tetapi kerap-kali juga latar kayangan digunakan dalam karangan-karangan
Melayu. Jika bersandarkan logik akal, pemilihan latar kayangan ini sangat tidak munasabah.
Tetapi oleh kerana yang dipentingkan adalah unsur-unsur fantasi yang dapat membangkitkan
rasa ketakjuban yang luar biasa, serta pula bertunjangkan hukum-hukum kewajaran yang
tersendiri, ketidakmunasabahan ini dibenarkan. Ia bukan sahaja diterima pakai, malah
dieksploitasi dengan begitu teliti bagi bagi menunjukkan keajaiban dan keindahan yang luar
biasa sifatnya. Bersesuaian dengan latar khayalan ini, ceritanya akan direncamkan lagi
dengan kehadiran watak tujuh orang puteri kayangan dengan baju layang masing-masing.
Puteri tujuh ini bebas terbang berulang-alik dari negeri kayangan mereka ke dunia nyata, di
rumah nenek kebayan untuk bermain-main. Bagi menjadikan episod ini lebih dramatik,
diselitkan pula kisah percintaan penuh rindu dendam dan cumbu-cumbuan antara wira dan
puteri kayangan yang bongsu. Sekaligus dalam sebuah cerita Melayu klasik dua aspek latar
(alam kayangan dan dunia nyata) serta dua jenis manusia (manusia biasa dan manusia
kayangan) akan digabungjalinkan untuk menjadikan ceritanya luar biasa, ajaib dan gharib.
Kekayaan raja-raja yang memerintah juga selalunya digambarkan dalam
keadaan yang berlebih-lebihan dan melimpah-ruah. Kekayaan seseorang raja itu penting
kerana ia dapat memberikan maklumat tambahan tentang kekuasaan dan keharmonian
pemerintahannya. Kekayaannya ditunjukkan dari bilangan hamba sahaya yang tak terpemanai
banyaknya, istana tersergam indah serta bergemerlapan oleh pantulan kilauan emas
permatanya, persalinan pakaian serba lengkap penuh hiasan, limpahan harta pusaka dan juga
dari pesta keramaian yang diadakan. Sesuatu pesta atau temasya ini selalunya akan
berlangsung hingga berbulan-bulan lamanya, beratus-ratus ekor lembu kambing, ayam dan
itik akan dikorbankan, dihidangkan dengan pelbagai jenis juadah, menggunakan piala-piala
minuman keemasan, bersedekah kepada ribuan rakyat jelata yang miskin dan sebagainya.
Pesta akan diadakan semasa menyambut kelahiran cahaya-mata, istiadat pertabalan, istiadat
perkabungan, persediaan anak raja hendak keluar memburu dan upacara perkahwinan.
Tambahan pula di dalam lipur lara, yang sebenarnya menjadi penegasan wira yang utama bukan aspek kepahlawanan, tetapi ciri-ciri keajaiban, ketakjuban dan keluarbiasaan yang dibangkitkan melalui pemerian-pemerian dan gambaran-gambaran tentang kecantikan dan keindahan putera-puteri raja, kemewahan istana termasuk pakaian dan perhiasannya, upacara-upacara pertabalan serta cirri-ciri magis yang melibatkan gambaran-gambaran
mengenai kayangan, penjelmaan, makhluk-makhluk seperti dewa-dewi, kuda terbang, raksasa, ular, naga dan lain-lain (Noriah Taslim, 1986: 25)
Satu fragmen dari teks Hikayat Inderaputera dapat memberikan gambaran tentang
dongeng kekayaan dan kemeriahan majlis pertabalan raja-raja dalam hikayat Melayu
tradisional.
Maka perarakan itu daripada emas sa-puloh mutu bertatahkan ratna mutu ma’nikan berumbaikan mutiara. Maka di-perbuat-nya perarakan yang terbesar itu sembilan pangkat dan puchok perarakan itu di-taroh-nya sa-buah gemala bergantong berbagai-bagai warna-nya dan perbuatan-nya perarakan itu. Jala-jala-nya dan ma’nikam di-karang dan pangkat itu berjalakan intan di-karang, di-tambahi-nya dengan nilam pualam, puspa logam dan beberapa emas, perak dan suasa. (HI, hlm. 315)
Sifat keindahan yang kedua pula ialah keanekaragaman. Iaitu gambaran atau keadaan
sesuatu benda itu dinyatakan dengan berbagai-bagai cara. Dalam hikayat klasik Melayu
kepelbagaian ini dapat ditemui dalam deskripsi berbagai-bagai bunga-bungaan, pakaian, alat-
alat muzik, pepohonan, irama dan sebagainya. Istilah indah yang memerikan keanekaragaman
ini dalam hikayat-hikayat Melayu lama adalah sinonim dengan perkataan ‘berbagai-bagai’,
‘aneka warna’, ‘banyak ragam’ dan sebagainya. Antara contoh yang dapat diambil adalah
berdasarkan sifat burung bayan yang dikirimkan oleh Tuan Puteri Gengorak, dari negeri
Meliuh kepada Tuanku Gombang Malim Dewa untuk tujuan mencari jodoh.
“Maka berbunyilah kepak dan sayapnya itu dua belas ragam:
Bunyi herebab dengan kecap,
Bunyi biola dengan dandi
Bunyi serunai dengan bangsi,
Bunyi...
“...maka adalah seekor burung bayan terlalu amat indah-indah rupanya serta pula pandai bermain aneka jenis bunyinya, dua belas ragam, ada ia hinggap di atas....” (HMD, hlm. 21-23)
Kepelbagaian jenis alat muzik dan permainan pula selalunya dapat disaksikan dalam
episod-episod pesta keramaian dan upacara-upacara diraja. Antaranya adalah seperti dari
petikan berikut,
“... maka terdiri-lah chogan alam, tunggul panji-panji merual, paying ubor-ubor yang bermacham-macham jenis warna-nya itu...tiap-tiap hari pula permainan daripada herebab, kechapi, dandi, muri, serdam, bangsi, kopok, cherachap, dengan segala permainan tepok, tari, judi tiada-lah terhingga lagi ramai-nya bersukaan di-dalam istana pun,...terlalu azamat segala bunyi-bunyian...Maka meriam pun berbunyi-lah di-atas kota sembilan kali berturut-turut serta pula bersambutan dengan segala bunyi-bunyian nobat, napiri, serunai, bangsi dua belas ragam bunyi-bunyian itu. Maka terdiri-lah alamat kebesaran chogan alam, tunggul panji-panji, payung ubor-ubor bersambutan dengan merual berkibaran di-tiup oleh angin terlalu amat indah-indah rupa-nya. (HRM, hlm. 72-74)
Sifat keindahan yang ketiga adalah harmoni. Akhirnya ialah bukan sekadar ‘berbagai-
bagai’ dan ‘banyak raga,’ kerana keanekaragaman itu teratur dan penuh harmoni (Braginsky,
1994a: 26). Ini menjelaskan keadaan wujud sesuatu benda yang beraneka ragam itu perlu
teratur dan harmoni dalam keadaan yang tersusun, tertib dan berstruktur. Kepelbagaian itu
perlu disegandingkan, dipadukan serta saling melengkapi untuk member kesan keseimbangan.
Fahaman masyarakat Melayu Abad Pertengahan menekankan keadaan di mana dalam
kewujudan yang pelbagai itu, ia harus wujud dalam keadaan harmoni dan serasi sama ada dari
aspek dalaman mahupun luarannya dan bukannya wujud dalam keadaan kacau-bilau dan
mencapah. Keteraturan dan keharmonian yang terhasil dari kepelbagaian ini akan
memberikan kesan keseimbangan dan apabila berada dalam kedudukan seimbang, maka
barulah wujud sesuatu benda itu berada dalam kesempurnaan.
Konsep tentang adanya keharmonian pada sesuatu benda, perkara dan seumpamanya
yang akhirnya membawa kepada kesempurnaan wujudnya sesuatu itu selari dengan
pandangan yang dikemukan oleh seorang ahli sufi dan falsafah Islam iaitu Al-Ghazali. Beliau
merumuskan hubungan di antara keindahan dan kesempurnaan ini sebagai ;
Setiap yang indah pula adalah sesuatu yang sempurna. Manusia akan berusaha untuk mencapai kesempurnaan hidup kerana setiap yang berkurangan adalah sesuatu yang tidak sempurna. Sesuatu yang tidak sempurna adalah sesuatu yang tidak indah. ( Hamidah Abdul Hamid, 1995: 26 )
Keharmonian dalam teks-teks Melayu klasik berdasarkan anggapan Braginsky, dapat
dikesan melalui kemerduan yang dihasilkan oleh karya itu sendiri. Kemerduan ini selalunya
dilambangkan dengan deskripsi perkataan-perkataan seperti ‘merdu’ dan ‘terlalu indah bunyi-
bunyian’. Braginsky, (1994) mendefinisikan perkataan ‘merdu’ sebagai bersamaan dengan
bunyi yang berpadanan, selaras bunyinya. dan tidak ada bunyi yang sumbang.
“...terlalu amat azamat-nya sekalian bunyi-bunyian daripada gong, gendang, serunai, napiri, herebab, kechapi, serdam, bangsi, kapok, cherechap. Maka terdiri-lah chogan alam, tunggul panji-panji, merual, maka terkembanglah paying iram-iram kekuningan, enam belas di-kanan, enam belas di-kiri, bersambutan pula dengan bunyi-nya dua belas lagu pancharagam terlalu amat indah merawankan hati orang yang mendengar dia...(HRM, hlm. 54)
Atau kemerduan itu diperikan sebegini gayanya;
“Maka keluarlah bunyinya batu permata yang seratus dua belas ragam itu terlalu sekali merdu bunyinya” (HIY, hlm. 21)
Braginsky amat membataskan pandangan beliau tentang sifat keindahan yang ketiga ini,
iaitu keadaan penuh harmoni. Sebenarnya jika dilakukan penelitian yang cermat terhadap
teks-teks Melayu klasik, kesan keharmonian itu juga dapat dikesan melalui isi cerita dan
struktur pembinaan karya, dan bukan hanya terbatas kepada bunyi merdu yang dihasilkan oleh
karya. Keharmonian isi cerita, antaranya dapat dibuktikan melalui pemusatan kepada watak
dan perwatakan wira dalam cerita tersebut. Ini diperlihatkan melalui penampilan dirinya
sebagai seorang manusia yang unggul sifatnya. Wira digambarkan wujud sebagai seorang
manusia yang serba sempurna tanpa sebarang cacat-cela sama ada dari segi rupa, kekayaan,
ketangkasan bermain senjata, keberanian, kebijaksanaan dan mahupun jodoh pertemuannya.
Tiada satu pun sifat atau keadaan yang berkontradik dan bercanggah dengan wira terbabit
yang boleh menjejaskan keharmonian isi cerita.
Raja Muda dalam Hikayat Raja Muda, adalah contoh wira yang serba sempurna dan
unggul sifatnya. Keelokan rupa parasnya tiada bandingan dan boleh mendatangkan berahi
kepada sesiapa yang memandang. Sebagai seorang dari keturunan bangsawan, Raja Muda
bukan sahaja memiliki rupa paras yang menawan, malahan kekuatan dan ketangkasannya
ketika berhadapan dengan musuh juga mengkagumkan. Ketangkasan baginda terlihat dalam
episode baginda bertarung dengan tujuh orang penyamun di Gunung Berapit kiri dan kanan.
Selain itu, keelokannya ditambah pula dengan kecantikan pakaian yang dipakainya ketika
hendak menikah dengan Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri. Pelengkap kepada keelokan sifat
dan penampilan dirinya itu, wira juga akan dijodohkan dengan Tuan Puteri yang terlalu elok
majelis sifatnya. Jodohnya sesuai, sama cantik dan sama padan, dalam hal ini karangan-
karangan Melayu kerap mengibaratkan keharmonian pasangan wira ini dalam pepatah yang
berbunyi ;
Kalau diukor sama panjang
Kalau dibidas sama besar,
Kalau peroman sama baik,
Sireh pulang ke ganggangny,
Pinang pulang ke tampoknya,
Kuah tumpah ke nasinya,
Harta pulang ke empunyanya,
Orang setumbok bagai gelang,
Orang sejodoh bagai cincin.
(HMD, hlm 52)
Jika dilihat dari sudut pembinaan struktur karya keharmonian cerita-cerita klasik ini
juga dimunculkan melalui ketertiban dan keteraturan susun-lapis para-para menteri, bentara,
hulubalang dan rakyat jelata ketika mengadap rajanya. Susun-lapis kedudukan mereka ini
bergantung kepada pangkat dan hierarki mereka dalam strata social masyarakat Melayu
feudal. Setiap hari golongan ini akan memangku dan memegang alat-alat kebesaran yang
sesuai dengan taraf social masing-masing. Perhatikan ketertiban dan keharmonian susun-lapis
masyarakat Melayu lama yang dilindungi oleh system feudal yang kuat seperti dalam petikan
berikut,
Sa-telah itu maka Inderaputera dan Nobat Rom Shah pun berbuat perarakan daripada emas dan perak bertatahkan ratna mutu manikam berumbai-rumbaikan mutiara tujuh pangkat terlalu indah-indah rupanya. Maka terdamparlah sakhlat dan baldu pada setingkat anak perdana menteri memangku puan yang keemasan dan serahi emas kain songket, dan ketiga pangkat bentara menyandang pedang kerajaan dan yang keempat pangkat anak-anak dara duduk memegang kipas, dan pada kelima pangkat segala anak perwira, dan pada keenam pangkat tempat jejaka, dan pada pangkat yang ketujuh segala anak hulubalang masing-masing dengan pakaiannya lengkap dengan alat senjatanya terlalu hebat rupanya. (HI, hlm. 86)
Ketertiban dan keteraturan isi cerita juga dapat dilihat melalui upacara serta adat-istiadat
diraja. Istiadat dan upacara ini adalah seperti istiadat perkabungan, perkahwinan, upacara
melenggang perut, menimang cahaya mata dan seumpamanya. Upacara dan adat istiadat ini
akan dilaksanakan penuh tertib dengan yang dahulu didahulukan, dan yang kemudian
dikemudiankan. Kepekaan dan kepatuhan kepada ketertiban ini mempunyai asas yang kukuh
dalam bangsa Melayu yang sememangnya satu bangsa yang sangat teguh menjunjung adat.
Ketaksuban kepada adat ini dibuktikan melalui satu peribahasa Melayu yang berbunyi “biar
mati anak, jangan mati adat”.
Satu fragmen menyambut kelahiran putera raja dari teks Hikayat Raja Muda,
dipaparkan di sini untuk menunjukkan tentang ketertiban dan keharmonian adat-istiadat
kelurga diraja.
Maka lalu-lah di-jampi oleh tok bidan dan tabib, bomoh dan dukun itu untuk membuangkan jemalang-nya, lalu-lah segera di-taborkan berteh, beras kunyit dan diperchekkan ayer tepong tawar kapada putera baginda. Maka tok bidan yang tua pun lalu merambas dengan kain tujuh warna, pertama-tama kain puteh, kedua kain hitam...Sa-telah sudah di-rambas tok bidan tua tujuh kali itu, maka putera baginda pun lalu-lah di-angkat oleh bidan tua itu daripada dalam lobang lalu di-dukong-nya dengan kain tujuh warna itu, lalu di-bawa naik ka-atas istana di-siramkan dan di-kerat pusat lalu di-bedong dengan kain antelas yang keemasan. (HRM, hlm. 6)
Beginilah gambaran keharmonian isi cerita dalam hikayat-hikayat lipur lara Melayu.
Setiap satunya disusun disusun dengan penuh tertib dan beradat sesuai dengan cara hidup
masyarakat Melayu yang kaya dengan tatasusila dan kesopanan. Perincian yang dilakukan
tidak menampakkan sebarang kekurangan atau cacat-cela yang boleh menggugat keharmonian
dan kesempurnaan jalan cerita terbabit.
Keharmonian juga dapat dilihat melalui kesesuaian pemilihan dan pemakaian bahasa
yang digunakan untuk memerihalkan sesuatu objek atau perkara. Objek, perbuatan, perkara
dan benda yang selalunya serba elok dan sempurna sifatnya diperikan dengan langgam
bahasa serba puitis, indah dan berirama. Dalam kata lain keelokan dan keindahan sesuatu itu
diungkapkan dengan bahasa yang sesuai dan berpadanan. Pemilihan perkataan dan bahasa
yang tepat dengan segeranya dapat memetakan imej spontan dalam minda pendengar.
Contohnya, apabila si penutur ingin membayangkan tentang keelokan paras rupa seseorang
wira atau wirawati, beliau akan memerikannya secara berlebih-lebihan (hiperbolik) dan
terperinci. Pendengar akan dengan segera dapat menangkap maksud penutur dan seterusnya
membuat bayangan awal dalam kotak fikiran mereka. Kehebatan seseorang tokoh atau
keindahan sesuatu benda itu berjaya dihidupkan oleh penutur melalui penggunaan kata-kata
yang berpadanan dan bertepatan dengan sifatnya. Peringkat jiwa yang dipengaruhi karangan-
karangan sfera keindahan luaran menuntut “puitika deskripsi yang aktif – emosional
(Braginsky, 1994b: 2). Terlalu banyak contoh-contoh dalam teks-teks Melayu yang dapat
membuktikan tentang kesesuaian di antara pemilihan dan penggunaan bahasa untuk
menyatakan keadaan sesuatu objek atau perkara yang hendak dilambangkan. Inilah antara
anak kunci lain yang menghasilkan keharmonian dan kesempurnaan dalam cerita-cerita lipur
lara Melayu.
Sebagai sebuah seni yang bertunjangkan tradis oral, bahasa lisan yang digunakan
berbeza dari bahasa pertuturan seharian.
Suffice it for me to say here that the intonation and delimitation of stretches of utterance in professional storytelling are not those of normal speech. The tales are sung, chanted or recited, and the length of each utterance is geared to the phrase of the melody or the rhythm of the chant...Thus in coordinating words with chant or melody, he may prolong or compress the latter to fit the former, or vice versa. Through this may lead to some irregularity of rhythm,there is still, nevertheless, a strong sense of balance, and this is
reflected in and reinforced by the extensive use of parallelism and patterns of alliteration and assonance (Sweeney, 1980: 17).
Bahasa lisan ini lebih mendekati bentuk puisi kerana ia memanfaatkan unsur rentak,
bunyi dan pemilihan kata-kata yang istimewa. Kemerduan cerita-cerita lisan, dengan ini
diperkukuhkan lagi melalui penggunaan bahasa yang bersukat, berentak dan berirama.
Pemilihan kata-kata yang tersusun, padat dan puitis dalam bentuk-bentuk sastera yang
berlagu, berirama dan bersajak mempunyai keseimbangan dan menimbulkan irama keindahan
yang tidak ternilai. Kemerduan karya ini dimunculkan melalui penggunaan gaya bahasa yang
pelbagai seperti pantun, syair, perbilangan, perumpamaan dan seumpamanya. Antara contoh
gaya bahasa pantun adalah seperti berikut;
Maka di-sahut-lah oleh Tuan Puteri Nilawati seraya berpantun. Demikian-lah bunyi-nya :
Menyambar puteri di-dalam taman,
Garuda di-panah Betara Sakti;
Bermain ini ditinggalkan zaman,
Tiada-lah sedap rasanya hati,
Maka di-sahut oleh Tuan Puteri Kilam Rakna seraya berpantun. Demikian-lah pula bunyinya :
Garuda di-panah Betara Sakti,
Turun dari atas kayangan,
Tiada-lah sedap rasa-nya hati,
Harus-lah agak mendapat kemalangan.
(HRM, hlm.26)
Kemerduan gaya bahasa bersyair pula adalah seperti contoh berikut,
Maka lalu-lah segera bershair pula, dengan halus manis bunyi suara-nya.
‘Ayohai kekanda muda terala,Negeri adinda Merchu Kemala;Di atas kayangan gerangan pula,Bersama baginda Bertala Kala.
Maharaja Dewa nama ayahanda,Bidadari Segerba nama adinda;Puteri Bungsu timangan bunda,Yang keenam ini paduka kakanda. (HRM, hlm.31)
Pemilihan perkataan yang tepat dan tersusun, juga terdapat dalam pola-pola ayat
perbidalan yang berentak dan bersukat melalui perulangan anafora ‘yang’ di setiap awal
baris. Percampuran dan penyusunan kata-katanya tepat dan seimbang menjadikan ia enak
didengar.
Yang chapek datang bertongkat,Yang buta teraba-raba,Yang tuli leka bertanya,Yang kechil terambin lintang,Yang jarak tolak-tolakan,Yang pendek bertinjau-tinjau,Yang kurap mengekor angin,Yang pekak pembakar meriam,Yang buta penghembus lesong,Yang lumpoh penghalau ayam,Yang pekong penjemoran,Yang kurap pemikul buloh,
Selain dari gaya bahasa berpantun, bersyair dan teknik perbilangan, ungkapan-ungkapan
perumpamaan (perbidalan) juga sering digunakan. Selain dapat mengumpamakan sesuatu itu
sebagai amat besar, kuat atau cantik, teknik perumpamaan ini meninggalkan kesan kemerduan
dan menjadikan ia sebagai satu formula yang diulang-ulangkan oleh si penglipur lara. Dipetik
satu contoh perumpamaan dari teks Hikayat Anggun Cik Tunggal untuk menggambarkan sifat
Raja Bedurai Putih yang terlalu amat besar orangnya;
Tujuh hasta bidang dadanya,Tujuh cap pokok lengannya,
Gerahamnya empat serumpun,Segantang makan daging,Dua cupak lekat di giginya.
(HACT, hlm. 3)
Kesimpulannya, aspek keindahan kedua yang merujuk kepada sesuatu yang pelbagai
dan beraneka ragam. Keanekaragaman itu atau keseluruhan manifestasi kepelbagaiannya ini
diatur serta disesuaikan dengan penuh harmoni dan seimbang.
2.2.3 Psikologi Persepsi Keindahan
Aspek keindahan yang ketiga adalah bersangkutan dengan psikologi persepsi keindahan
itu sendiri. Disebabkan keindahan itu sesuatu yang gharib, aneh, dan luar biasa sifatnya, serta
dinyatakan dalam pelbagai bentuk, bau, warna dan sebagainya, lalu membawa kepada
keharmonian, maka ia tentunya akan meninggalkan kesan ke atas jiwa seseorang yang
membaca, mendengar atau menatapnya.
Because it is unusual, the beautiful arrests the recipient’s believed to be especially keen in its reaction to the sound of beautiful music or of orderly speech, that is, to literary work. Sometimes such love may be so strong that it can cause a distrupture of the soul’s proper structure and a state of shock, or a loss of consciousness (lupa, merca) (Braginsky, 1993: 36).
Kesan keindahan itu berbeza bergantung kepada keadaan penerimaan seseorang. Jika
keadaan itu dicerap oleh pancaindera zahir seperi deria mata, telinga dan sebagainya, maka
kesannya lebih bersifat duniawi atau luaran. Inilah yang mencetuskan kesan rasa seperti
terpikat, terpegun, berahi dan seumpamanya.
“Maka di-chium oleh Raja Muda terlalu amat harum bau ambar kasthuri dan narwatu semerbak, bau tiap-tiap papan dondang itu. Maka angin pun bertiup-tiup sepoi bahasa di puput bayu dari atas
angkasa. Maka Raja Muda pun ajaib melihatkan kebesaran pohon kayu itu. Maka baginda pun hendak terlalai rasa-nya menchium bau-bauan itu datanglah ashek berahi-nya.” (HRM, hlm. 24)
Jika kesan keindahan itu terlalu kuat dan hebat dan ia tidak dapat diimbangi oleh
kekuatan akal, maka ia akan meninggalkan si penerima dalam keadaan jiwa yang tidak
berimbang, celaru dan kacau. Inilah akhirnya mengakibatkan kepada timbulnya keadaan
seperti lupa diri, merca, mabuk dan hingga boleh membawa pengsan.
“Hatta, maka sangat-lah ashek berahi baginda memandang rupa Tuan Puteri Bidadari Segerba, rasa tidak dapat di-kabarkan. Maka baginda pun menghadirkan diri-nya. Maka Tuan Puteri Bidadari Segerba pun terpandang-lah kepada baginda sa-konyong-konyong laki-laki chantek mejelia muda belia, maka terlalu amat elok paras-nya. Maka Tuan Puteri pun rasakan terbang roh semangat-nya dengan ketika itu juga jatoh kaseh kepada baginda. Maka baginda pun segera mendapat tuan puteri Bidadari Segerba langsong naik ka-atas papan dondang-nya bersama-sama berbuai...Maka baginda pun sambil memelok, menchium Tuan Puteri itu. Maka Tuan Puteri Bidadari Segerba pun berpaling sambil tersenyum...baginda pun menyambut Tuan Puteri lalu diribanya, dipujok baginda dengan shair madah chumbuan...” (HRM, hlm. 28-29)
Keindahan itu jika dicerap oleh akal akan member kesan yang lebih mendalam dan
lebih bijaksana. Apabila menggunakan kekuatan akal menanggapi sesuatu keindahan itu, si
penerima tentunya akan kembali kepada mengakui hakikat asal-usul dan punca keindahan itu
sendiri. Seperti yang termaklum bahawa keindahan itu berpunca dari kekuasaan dan kekayaan
Allah yang tidak bertepi. Kesan akhir yang ditinggalkan oleh keindahan ini ialah rasa penuh
takjub, kagum ke atas kekayaan Tuhan. Ini seterusnya dapat melahirkan rasa kesyukuran dan
seterusnya meningkatkan keimanan kepada pencipta keindahan itu sendiri.
‘Hai adinda, kelakuan Allah Subhanahu wa Taala, Tuhan sarwa sekalian alam, maka pada fikiran kakanda sedang dalam dunia lagi
demikian, istimewa pula jikalau dalam akhirat lagi’. Maka sahut permaisuri: ‘Sungguh seperti titah tuanku itu, indah-indah sekali patik melihat kebesaran Tuhan, sarwa sekalian alam, dan ....’ (HIY, hlm.25).
Untuk dapat meninggalkan kesan psikologi yang kuat, keindahan itu haruslah sesuatu
yang dapat mencakup semua deria – deria lihat, deria bau, deria rasa, deria dengar dan deria
sentuh. Kesatuan dari semua deria ini dipanggil synaesthetic.
“Maka di dalam peti gading itu adalah sebuah peti kaca terlalu indah-indah perbuatannya....maka keluarlah dua ekor merak terlalu amat indah-indah rupanya. Maka suatu permata lagi ditaruh dalam serahi kaca itu terlalu indah-indah bunyinya, seratus dua belas ragam bunyinya....Syahdan sinarnya pun kena dengan mahligai, maka baginda dua laki-isteri dan segala dayang-dayang biti perwara itu pun sekalian melihat akan sinarnya berbagai-bagai warnanya. Setelah ligatlah pusingnya, maka keluarlah bunyi seratus dua belas ragam itu terlalu sekali merdu bunyinya.... (HIY, hlm.24)
Keindahan yang dibina oleh sifat-sifatnya yang luar biasa, beraneka ragam dan
harmoni inilah yang membezakan genre lipur lara ini dari genre-genre sastera lainnya.
Keindahan menjadi intipati dasar genre ini bersesuaian dengan fungsi sasteranya yang
menghibur melalui keindahan.
2.3 Teori Sfera
Bahagian ini akan membincangkan tentang hierarki system sastera Melayu tradisional,
berdasarkan Teori Sfera yang dikemukakan oleh Braginsky. Ia akan menjelaskan tentang
kategori sfera sastera Melayu tradisional dan justeru itu akan dapat mengkategorikan lipur
lara dalam sfera fungsional yang sesuai dengan ciri-ciri keindahannya.
Literary self-consciousness, iaitu satu kesedaran diri tentang sastera yang berlaku di
abad pertengahan telah menyedarkan masyarakat Melayu bahawa bangsanya adalah bangsa
yang bersastera. Kesedaran yang berakar-umbikan ajaran Islam ini telah menampilkan
kesusasteraan Melayu sebagai sebuah system sastera yang utuh, teratur dan berhierarki.
Self-consciousness ini telah member kesedaran kepada pengarang sebagai seorang
individu. Ini mempengaruhi pengarang dalam proses kreatif dan sekaligus mempengaruhi
sekali puitika (hokum-hukum penciptaan) dan estetika (dasar-dasar keindahan). Konsep
kepengarangan telah mula dipraktikkan dengan pengarang telah mulai memasukkan nama
mereka apabila berkarya. Kesedaran ini penting kerana ia menyebabkan manusia Melayu
Abad Pertengahan membuat penilaian semula tentang genre dan korpus sastera Melayu.
Kesedaran ini berkait rapat dengan weltanchung atau wold-view sufi. Di bawah naungan
Islam, ilmu itu bukan lagi milik elitis istana sahaja, tetapi telah didemokrasikan untuk semua.
Konsep keindividualan di zaman sekularisme, tetapi individuality yang mempunyai hubungan
langsung dengan Tuhan. Individualiti yang dianjurkan oleh Islam ini member kesedaran
kepada pengarang tentang tugas dan tanggungjawabnya untuk member pengajaran dan
mendidik manusia lain melalui karyanya.
Berdasarkan falsafah Islam, kewujudan alam semesta ini dilihat sebagai satu system
yang teratur dan hierarki. Ada konsep duality di antara alam transenden dan alam fizikal.
Kewujudan manusia dilihat sama seperti wujudnya alam, maka manusia dianggap sebagai
dunia microcosm, salinan kepada alam semesta – dunia macrocosm. Proses-proses yang
berlaku di alam jagat raya dan diri manusia pada hakikatnya sama sahaja. Manusia dilihat
sebagai wujud dalam hierarki, iaitu reality alam ketuhanan (nomenan) dan reality alam
manusia (fenomenan). Aliran ini melihat bahawa roh manusia mempunyai ciri-ciri yang sama
dengan reality ketuhanan. Konsep duality di antara binaan diri manusia dan reality ketuhanan
telah dijelaskan dengan amat baik sekali oleh Huston Smoith (1989) dalam bukunya Beyond
the Post Modern Mind. Hierarki dan kesatuan antara reality ketuhanan dan diri manusia
digambarkan seperti Rajah 2 di bawah.
“The psychology that finds in the soul something similar to, or even identical with, divine realty” (Huston Smith, 1984: 49)
Rajah 2 (dipetik dari Huston Smith, 1989: 50)
Calestial
Soul
Intermediate
Mind
Terrestial
Body
Falsafah abadi ini adalah satu metafizik yang mengakui bahawa reality ketuhanan ini
menjadi punca kepada kewujudan reality nisbi yang lainnya. Realiti alam tinggi (Levels of
Reality) dan reality dalam diri manusia (Levels of Selfhood) adalah terdiri daripada beberapa
tahap.
Setiap dari tahap-tahap pembinaan diri manusia (Levels of Selfhood), yang terdiri dari
body {jasad}, mind {minda}, soul {jiwa} dan spirit {roh} mempunyai peranan dan pengaruh
tertentu dalam mencorakkan kehidupan seseorang individu. Spirit adalah bahagian yang kekal
berbnding dengan soul, mind dan body kerana ia bersifat abadi. Etika hidup yang terbaik
adalah untuk menggilap ‘spirit’ agar dapat mendekatkan diri dengan Tuhan dan melupakan
tahap-tahap lain.
A life that identifies primarily with its physical pleasure and needs (getting and spending we lay waste our day) is superficial;
One that advances its attention to mind can be interesting;
If it moves on to the heart (synonym for soul) in can be good;
And if it passes on to spirit – that saving self-gorgetfullness and egalitarianism in which one’s personal interests loom no larger than those of others – it would be perfect. ( Huston Smith, 1989: 52 )
Berdasarkan cirri-ciri atau binaan dalam diri manusia ini, sastera Melayu juga dilihat
sebagai muncul dalam satu bentuk yang bersifat hierarki. Sistem kesusasteraan disusun secara
berperingkat-peringkat kerana setiap golongan karangan dihubungkan dengan peringkat
masing-masing berdasarkan hierarki diri manusia. Setiap penggolongan sastera itu juga
dikaitkan dengan peringkat tertentu dalam struktur rohani manusia. Konsep hierarki ini
penting kerana ia mempengaruhi cara manusia untuk mendapatkan ilmu (epistemologi).
Berdasarkan epistemology Islam, ada tiga cara manusia mendapatkan ilmu;
1. mata hati – akal kully
2. mata batin – akal rasional
3. mata kasar – pancaindera
Pengkategorian tentang epistemology di atas boleh dilihat berdasarkan dua terminology yang
berlainan. Pertamanya berdasarkan konsep epistemology Islam dan jika berdasarkan
pengkategorian oleh Wilber (1990), tiga tahap pengamatan ini, pertamanya disebut sebagai
‘eye of transcendelia’, diikuti oleh ‘eye of intelligibia’ dan di peringkat ketiga pula dinamakan
sebagai ‘eye of sensibilia’. Ketiga-tiga jenis mata ini dapat mencakup dan menggarap tahap-
tahap reality yang berbeza, justeru itu menghasilkan kategori sastera dan fungsi sastera yang
juga berbeza.
Sistem kesusasteraan Melayu yang tersusun mengikut tahap-tahap rohani manusia dan
proses epistemology ini menyebabkan hasil karangan-karangan Melayu itu wujud secara
hierarki. (rujuk rajah 3). Berdasarkan pandangan ini kita mungkin boleh memahami
pembahagian sastera dalam system sastera Melayu tradisional yang dilakukan oleh Braginsky.
Sfera tertinggi dinamakan sfera kerohanian, diikuti pula sfera faedah di antaranya dan
kategori seni terendah dikelompokkan sebagai sfera keindahan.
Sistem nilai kesusasteraan Melayu (rajah 3) yang tersusun mengikut dunia rohani
manusia menyebabkan hasil karya yang dilahirkan juga membentuk sejenis hierarki. Sastera
tertinggi adalah sastera ‘canon of sacred text’ (Braginsky, 1993: 14) yang menjadi pusat
pengawal kepada kelahiran teks-teks yang lain. Teks-teks canon terdiri daripada sastera kitab,
sastera keagamaan, sastera sufi dan seumpamanya yang bertujuan mencerahkan kerohanian
dan membolehkan manusia mendekatkan diri kepada Tuhan. Sastera di peringkat kedua,
adalah bersifat didaktik yang bertujuan untuk membentuk akal budi yang sempurna.
Manakala sastera yang semakin jauh kedudukannya dari pusat lingkungan sastera canon,
adalah semakin rendah mutu sasteranya kerana meletakkan keindahan itu sebagai asas.
Selain dari Braginsky, terdapat juga pandangan-pandangan lain, seperti Pitirim Sorokin,
Ken Wilber dan Affandi Hassan yang juga melihat sastera sebagai wujud dalam system yang
bertakah-takah. Pandangan-pandangan ini akan dihuraikan secara perbandingan dalam
perbincangan seterusnya.
2.3.1 Sfera kerohanian
Dalam system sastera Melayu klasik, sfera kerohanian menduduki peringkat yang
tertinggi kerana bermatlamat untuk menyempurnakan rohani pembaca. Pengarangnya adalah
seorang yang sedar bahawa punca kreativiti adalah Tuhan dan bakat menulis itu perlu dipohon
dari Illahi. Ilmu pada peringkat ini dicerap oleh akal kully aatu lapisan supra-consciousness
yang tajam. Ilham yang muncul adalah ilham sejati yang datangnya dari Illahi dalam bentuk
intuisi ataupun wahyu. Pengarang pada peringkat ini mesti ‘mematutkan’ dan ‘mewajarkan’
rentetan imej-imej yang diterimanya supaya serasi dengan norma-norma sastera, agama dan
masyarakat.
Tugas ini hanya boleh dijalankan oleh seorang pengarang yang telah melalui proses
penyucian jiwa yang sistematis dan terarah. Bagi orang-orang Islam, proses ini dikenali
sebagai ‘Tazkiyyah al-Nafs’ atau satu proses komtemplasi-tafakur ‘Yoga’ bagi penganut yogi.
‘Nur’ atau ilham itu akan dilimpahkan kepada pengarang dalam keadaan hening cipta. Beliau
perlulah aktif dan bijaksana agar tidak lebur dalam keindahan. Maka proses kreativiti ini
bukanlah lahir dari kelangsungan ego atau limpahan emosi yang meluap-luap tetapi proses
kreatif yang amat terkawal. Braginsky (1994), menyatakan bahawa pada tahap kerohanian ini
rahmat Allah hanya dilimpahi kepada mereka yang dipilih-Nya dan membuka hati nurani
manusia itu, lalu menjadikan hatinya mampun memandang atau bermeditasi (memusyahadah)
haq terhala. (Braginsky, 1994a: 63).
Affandi Hassan, (1992) dalam bukunya ‘Asas-asas Falsafah Dalam Pendidikan Tauhid’
pula melihat dimensi transenden ini hanya diperoleh melalui wahyu dan bukannya melalui
akal dan pemerhatian biasa, kerana akal dan pemerhatian terbatas kepada sifat bukannya zat.
Akal dan pengalaman manusia amat nisbi sifatnya maka daya kreatif manusia juga terbatas.
(Affandi, 1992: 39) Beliau yang banyak dipengaruhi oleh pemikiran al-Jurjani dan al-Faruqi
menegaskan bahawa aalm ketuhanan itu tidak boleh difigurakan walau dalam apa cara
sekalipun. Seni itu bukanlah peniruan – mimesis, kerana seni yang berasaskan naturalisme,
realisme, romantisme, absurdisme dan seni seumpamanya yang meniru alam,perasaan,
tingkah-laku manusia dengan seada-adanya.
Untuk dapat menggarap reality transenden, pengarang perlu kepada teknik seni yang
disarankan oleh al-Faruqi (dalam Affandi Hassan, 1992) iaitu teknik stylization. Melalui
teknik ini, pemikiran dan makna diberi bentuk sehabis indah dan unik. Maka seni yang
sebentar (seni haq) adalah seni yang indah dan bermakna, didasarkan pada ilmu dan akal yang
sihat. Sistem nilai yang dipegang adalah nilai tauhid yang bersumberkan ketentuan Allah dan
sunnah nabi – ‘God as the measure of value’. Inilah sumber nilai yang mutlak, tidak berubah,
definitive dan menjadi common denominators kepada semua ukuran. Seni ini dinamakan oleh
Affandi Hassan seni estetis-intelektual.
Pitirim Sorokin, iaitu seorang ahli sosiologis pula membahagikan seni berdasarkan tiga
tahap perkembangan budaya dan masyarakat.
....each of three main culture – ideational, idealistic and sensate – has
its own form of fine arts, and that these differ profoundly from one
another in their external style as well as in their internal content. The
essential traits of each of the fine arts follow from the major premise
of each of these system of culture. (Sorokin, 1945: 30)
Seni yang menduduki hierarki tertinggi dikenali sebagai ideational. Seni ini dilahirkan
oleh masyarakat yang kuat pegangan agamanya – masyarakat theomorphous, iaitu masyarakat
yang percaya dan sedar tentang adanya hubungan di antara manusia dan Tuhan. Karya yang
dilahirkan sangat tidak membincangkan perihal manusia, benda-benda atau apa sahaja perkara
dari dunia empirical tetapi memfokus kepada membincangkan perkara-perkara bersifat sakral
dan ketuhanan.
Its “heroes” are God and other deities, angels, saints and sinners, and
the soul, as well as the mysteries of Creation, Incarnation,
Redemption, Crucifixion and Salvation, and other transcendental
events. (Sorokin, 1945: 31).
Objektif seni ini sama seperti yang disarankan oleh Affandi dan Braginsky, iaitu
bukan untuk tujuan hiburan dan keseronokan tetapi membawa kepada mendekatkan diri
kepada Tuhan. Maka seni ideational ini tidak memanfaatkan atau bermain dengan sebarang
bentuk ;
‘...it does not admit any sensualism, eroticism, comedy, caricature, farce
or anything extraneous to its nature. Its emotional tone is pious ethereal
and ascetic.’ (Sorokin, 1945: 31)
Stail penulisannya kaya dengan ciri-ciri simbolisme yang stereotaip dan universal
seperti symbol sauh, ranting pohon zaitun dan sebagainya.
Jika Sorokin melihat seni berdasarkan evolusi pemikiran manusia, Wilber (1990) pula
melihatnya berdasarkan epistemology ilmu. Menurut Wilber, untuk mendapat ilham yang suci
dan murni, seseorang itu perlu melatih mata batinnya – eyes of the soul. Dengan
menggunakan mata batin, seseorang itu akan dapat melihat ‘....new, higher and wider
dimensions of existence’, maka ‘only in the highest development do they acquire an internal
meaning and an inner resonance’. (Wilber, 1990: 207-208). Seni ini kerana menggunakan
‘eye of the soul’ maka ia dapat menggarap dunia transcendental. Seni yang berasaskan dunia
transpersonal ini dinamakan oleh beliau sebagai ‘seni transcendelia’.
Braginsky (1984) mengelompokkan tiga golongan genre yang terdapat dalam sfera
kerohanian ini iaitu :
1. Hikayat-hikayat agiografi (riwayat hidup orang suci). Hikayat ini dibahagikan
kepada beberapa siri, didahului dengan cerita-cerita tentang nabi (Kisas Al-Anbiya,
Hikayat Nabi Yusuf, Hikayat Zakaria dan sebagainya. Siri kedua merupakan cerita-
cerita perihal keajaiban Nabi Muhammad dan siri yang ketiga pula menceritakan
tentang para sahabat dan juga musuh Nabi.
2. Kitab-kitab
3. Karangan tasawuf
2.3 Sfera Faedah
Sfera faedah adalah peringkat kedua tertingi dalam system hierarki sastera Melayu
tradisional. Ia terdiri dari dua kumpulan genre iaitu karya-karya ‘cermin’ atau karya adab dan
karya-karya sejarah. Atas kesedaran bahawa manusia itu adalah makhluk yang boleh dididik
untuk menjadi manusia yang beradab dan berakhlak maka genre sastera dalam sfera faedah ini
berfungsi sebagai pengajar dan pelentur tingkah-laku manusia. Karya-karya dalam sfera
faedah ini mampu mendidik akal budi pembaca melalui pengajaran dan nasihat. Maka untuk
membaca karya-karya sebegini, ia menuntut kepada ketajaman akal agar dapat membuat
penaakulan dan tafsiran dari maksud karya yang tersirat. Walaupun bukan termasuk dalam
kumpulan karya yang bersifat sacral – suci, tetapi ia merupakan himpunan karya-karya yang
serius sifatnya. Ia berat dengan falsafah moral dan alegori politik. Terdapat juga unsur-unsur
kiasan, tamsilan dan ibarat dimasukkan untuk menyindir dan menyelar golongan manusia
tertentu.
Seni peringkat kedua ini dikenali oleh Sorokin sebagai idealistic art. Kedudukan seni
ini berada di tengah-tengah antara seni ideational dan seni sensate.
Its world is partly supersensory and partly sensory...Its heroes are partly gods and other transcendental creatures; partly the empirical man,...Its style is partly symbolic and allegoric, partly realistic and naturalistic. (Sorokin, 1945: 33-34)
Manakala Wilber pula melihat seni ini sebagai seni intelligibia, yang digarap oleh mata
minda – ‘the eye of mind’. Cakupan alam yang dapat digarap oleh mata minda ini ialah
dimensi alam simbolik, konseptual dan ilmu bahasa. Dalam tradisi sastera Melayu, sfera
faedah ini merujuk kepada karangan-karangan cermin seperti Taj as-Salatin dan Bustan as-
Salatin yang memberi sedikit panduan memerintah dan tunjuk ajar ringkas kepada para raja.
Hikayat-hikayat berbingkai seperti Kalilah dan Daminah, Hikayat Bakhtiar, Hikayat Bayan
Budiman juga merupakan antara karya yang sesuai dengan tugas adab. Genre sejarah pula
diwakili oleh karangan-karangan ‘historiografi’ seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Sejarah
Melayu dan seumpamanya yang membicarakan tentang salasilah raja-raja Melayu. Karangan
dari genre sejarah ini menjalankan dua fungsi, iaitu yang pertamanya bertujuan untuk
mempertahankan legitimacy pemerintahan sesebuah keluarga raja dan yang keduanya untuk
dijadikan pengajaran buat generasi akan datang. Tugas ini sering diperlihatkan di bahagian
prolog dan mukadimah sesebuah karya itu.
‘bahawa beta minta perbuatkan hikayat pada Bendahara, peri peristiwa dan peraturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkannya oleh mereka itu, syahdan beroleh faedahlah ia daripadanya.’ (Sejarah Melayu, 1996: 2-3)
Cerita-cerita sejarah ini bukan sahaja berfungsi untuk memaparkan sejarah sesebuah
Negara kota beserta jurai keturunan raja-raja yang memerintah, tetapi pada masa yang sama ia
sebenarnya membawa falsafah sejarah bersamanya. Fungsi ini diistilahkan oleh Braginsky
sebagai historiosofi (Braginsky, 1994a: 88). Matlamat karangan-karangan historiosofi ini
lebih jauh mendalam berbanding fungsi historiografi, kerana ia lebih bertujuan untuk
mentafsirkan makana sejarah yang tersirat di sebalik cerita. Maka, historiosofi ini
menyediakan sebuah karangan adab bercorak sejarah bagi panduan dan pegangan kepada raja-
raja yang memerintah.
2.3.3 Sfera Keindahan
Merupakan peringkat terendah dalam sistem sastera Melayu klsik. Karya-karya yang
terangkum dalam sfera ini adalah karya-karya yang bertujuan member keseimbangan jiwa dan
keharmonian diri dari segala tekanan.Ia wujud dalam tiga bentuk sama ada bertulis, lisan atau
persembahan.
Keindahan isi hikayat ini dihasilkan melalui ciri-ciri penulisan yang mementingkan
unsure-unsur deskriptif, unsure-unsur hiasan atau decorum, dan teknik komposisi ornamental.
(Braginsky, 1994a: 56). Komposisi ornamental iaitu penyusunan episode-epidos cerita dalam
satu struktur yang rapi mendasari penceritaan sesebuah hikayat. Dalam komposisi ini
perhubungan plot ini tidak dipentingkan kerana siri-siri episod ini mendukung ceritanya yang
tersendiri dan ia boleh berdiri dengan sendirinya. Teknik penulisan yang lebih diutamakan
ialah unsur-unsur deskripsi yang terperinci dan berulang-ulang. Deskripsi yang bersifat emotif
ini dapat mempengaruhi emosi pembaca atau pendengar apabila mereka terperangkap dalam
satu keadaan. Kehadiran ini dapat mencetuskan intipati emosi yang lebih segar dan tulen.
Dengan itu sasteranya sangat bersifat kederiaan dan keduniaan kerana lebih
menekankan kepada tujuan merangsang deria supaya tenggelam dalam keasyikan dan
khayalan. Sasteranya sering dikaitkan dengan fungsi psiko-terapeutik kerana kemampuannya
menyembuhkan jiwa yang tidak seimbang. Bagi seorang pengarang pula, hikayat-hikayat
yang penuh keindahan ini adalah satu sublimasi kepada segala keinginan hidupnya, manakala
bagi si pendengar atau pembaca hikayat sebegini memberi satu kelegaan atau catharsis
kepada segala tekanan perasaan yang membendung hidupnya.
Maka karya-karya dalam sfera ini mengeksloitasi dengan baik, ciri keindahan yang
penuh dengan unsur-unsur luar biasa, pelbagai dan harmoni. Affandi Hassan (1992) melihat
seni dalam peringkat terendah ini sebagai seni palsu (batil). Seni palsu ini didasarkan kepada
sistem nilai budaya hawa nafsu yang menjadikan manusia sebagai ukuran segala nilai – ‘man
as the measure of value’. Maka nilai yang disandarkan ini, adalah relative kepada dimensi
kebendaan semata-mata yang tidak tetap, bersifat sementara, tidak sejagat sifatnya dan palsu.
Apabila nilai kebendaan ini yang dipegang maka cakupannya terbatas kepada kemampuan
pancaindera dan pengalaman manusia semata-mata. Oleh kerana berdasarkan emosi dan
nafsu, maka fungsi sasteranya juga adalah untuk menghibur, propaganda dan menyeronokkan
sahaja. Seni palsu ini dinamakan beliau sebagai seni estetis emosional.
Jika dilihat dari perspektif pemikiran dan budaya manusia, seni dalam sfera ini
dihasilkan oleh budaya hawa nafsu – hendonistik, yang menilai sesuatu berdasarkan
kegunaannya dan kegunaannya itu dihubungkan pula dengan keseronokan. Sorokin melihat
seni dalam tahap ini timbul akibat dari kemenangan sains dan akal mencabar kekuasaan
Tuhan dan agama. Seni ini beliau istilahkan sebagai sensate art. Tujuan seni ini dengan itu
adalah memenuhi kepuasan lahiriah semata-mata.
Its aim is to afford a refined sensual enjoyment: relaxation, excitation of tired nerves, amusement, pleasure, entertainment (Sorokin, 1945: 32).
Maka untuk member kesan kelegaan ini, seni kederiaan ini lebih menekankan kepada
unsur-unsur,
...it must be sensational, passionate, pathetic, sensual and incessantly new. (Sorokin, 1945: 33)
Sifat seni ini jelas secular kerana terpisah dari nilai-nilai agama, budaya, moral, justeru
itu seni ini hanyalah “art for art ‘s sake”. Teknik penulisannya adalah bersifat visual,
realistik dan naturalistik tanpa penggunaan symbol atau makna yang transendan. Ia hanya
dapat memantulkan dan mencerminkan bahagian permukaan fenomena empirical semata-
mata.
Wilber pula mengistilahkan seni dalam kategori ini sebagai seni sensibilia.
Berdasarkan system epistemology, seni sebegini dilihat dengan menggunakan mata kasar –
‘the eye of flesh’, maka ia hanya dapat menggarap ...’the material, concrete and sensual
world’ (Wilber, 1990: 201)
Karya-karya sintesis – gabungan dan campuran dari tradisi Jawa, India dan Timur
Tengah seperti Hikayat Inderaputera dan seumpamanya, genre hikayat dan syair-syair cinta
seperti Syair Bidasari, Syair Selindang, Syair Selindang Delima serta syair-syair alegori
merupakan sebahagian dari hasil sastera yang dikelompokkan ke dalam genre ini. Genre-
genre ini menjalankan fungsinya menghiburkan hati melalui keindahan dalaman karya- isi
cerita atau keindahan luaran, iaitu merujuk kepada penggunaan bahasa yang bersukat,
berentak dan berirama.
Their effectiveness was due to both to external (the beauty of the sound, bunyi) and the internal (the beauty of the content, isi) factors (Braginsky, 1993: 47).
Sebagai kesimpulannya, ketiga-tiga sfera {sfera kerohanian, sfera faedah dan sfera
keindahan} yang terkandung dalam sistem kesusasteraan Melayu klasik ini sangat berlainan
kerana berpunca dari sumber-sumber yang berbeza, lalu membentuk genre-genre sastera
masing-masing.
Ascension to the lowest level resulted in the creation of a work endowed with beauty and, for that very reason capable of harmonizing the soul and promoting courtly behaviour. Ascension to the higher level brought fourth texts which strengthened reason with ‘benefits’. And, finally, the attainment of the highest level engendered works that granted perfect knowledge of theology and of the ways of God and prepared his ‘ spiritual heart’ for illumination (Braginsky, 1993: 39)
Sepanjang period klasik ini yang bertonggakkan kepada islamisasi kebudayaan Melayu-
Islam yang utuh, terbentuklah rasa kesedaran diri – Malay literary self consciousness.
Kesedaran inilah yang bertanggungjawab dalam mengacuankan dasar-dasar puitika dan
estetika sastera Melayu tradisional. Hasilnya kini, sastera Melayu wujud sebagai sebuah
sistem kesusasteraan yang teguh dan tersendiri.
Demikianlah, setelah melahirkan kesedaran diri yang tertentu dan setelah mencipta sintesis tersebut, kesusasteraan Melayu klasik wujud sebagai sebuah sistem yang teratur. Pada satu pihak, kesusasteraan berkenaan merupakan salah sebuah system kesusasteraan dunia Islam. Pada pihak yang lain pula, kesusasteraan ini ialah sebuah sistem kesusasteraan Asia Tenggara. (Braginsky, 1994a: 70)
Hierarki dalam system sastera yang wujud berdasarkan tahap epistemologi ( atau jenis
‘mata’) yang digunakan mempengaruhi sekaligus ruang lunjuran alam yang dicakupinya,
tahap ‘kesedaran’ seorang pengarang, fungsi dan genre karya sastera yang dilahirkan.
Pembahagian ini boleh dijelaskan melalui jadual 3 berikutnya.
Jadual 3 : Hierarki Sistem Sastera Melayu Tradisional
Mata hati
Eye of trancendelia
Mata batin
Eye of intelligibilia
Mata kasar
Eye of sensibilia
Cakupan alam Alam tinggi
(transendan)
Alam intelligibilia
(akal rasional)
Alam sensibilia
(duniawi)
Tahap pengarang Lapisan alam
roh/jiwa
Lapisan alam minda Lapisan alam jasad
Fungsi sastera Penyempurnaan
rohani
Didaktik / adab Keindahan
Jenis
(Genre sastera)
Sastera sufi, sastera
keagamaan, sastera
kitab dsb.
Karya-karya annal Roman dan penglipur lara
Sfera sastera Sfera kerohanian Sfera faedah Sfera keindahan
BAB TIGA
ANALISIS GENRE : BERDASARKAN TEKS HIKAYAT AWANG SULUNG
MERAH MUDA (HASMM) DAN HIKAYAT MALIM DEMAN (HMDn)
Bab ini akan mengkhusus kepada menganalisis dua buah teks lipur lara Melayu yang
sedia dimaklumi ramai, iaitu Hikayat Malim Deman (selepas ini akan disebut sebagai
HMDn) dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda (diikuti kemudiannya sebagai HASMM).
Pemilihan kedua-dua teks ini dirasakan sesuai memandangkan keduanya sememangnya
bersumberkan dari tradisi lisan. Pada bentuk asalnya teks-teks ini adalah himpunan cerita-
cerita penglipur lara yang dituturkan oleh Pawang Ana. Cerita-cerita ini kemudiannya disusun
dan disunting semula oleh Raja Haji Yahya dari kampong Cenderiang, Perak.
Atas inisiatif beberapa orang pentadbir colonial British seperti Richard Winstedt, R.J.
Wilkinson, A.J. Sturrock dan William Maxwell, cerita-cerita ini akhirnya telah dirakam dalam
bentuk tulisan. Usaha pertama ini kemudiannya direnteti oleh kerja-kerja penyuntingan dan
pembukuan yang akhirnya menemukan kita dengan karangan-karangan semula teks Hikayat
Awang Sulung Merah Muda (HASMM), Hikayat Malim Dewa (HMD), Hikayat Malim Deman
(HMDn) dan lain-lain lagi. Ia kini bukan lagi dalam bentuknya yang asli kerana sepanjang
kerja-kerja pengeditan ini telah berlaku proses pengurnagan dan tokok tambah untuk
disesuaikan dengan isi dan bentuknya. Walaupun demikian, cirri-ciri lisan masih lagi ketara
dalam teks-teks ini, yang contohnya dapat dilihat melalui penggunaan formula, schemata,
perulangan dan sebagainya.
Analisa yang akan dilakukan dalam bab ini adalah bertujuan untuk melihat teks-teks
terbabit sistem secara Melayu tradisional, iaitu sfera keindahan. Kajian ini dengan demikian
cuba untuk menunjukkan bagaimana teks-teks ini memunculkan keindahannya demi
menjayakan fungsinya yang umumnya diketahui sebagai alat melipur lara. Hal ini dianggap
wajar memandangkan lipur lara ini adalah sebuah genre yang menghibur melalui
keindahannya. Keindahan yang ditawarkan oleh cerita-cerita penglipur lara ini diakui mampu
menjadi pelerai dan pelega dari rasa duka nestapa dan kecewa serta member ketenangan
kepada jiwa yang tertekan.
Ciri-ciri keindahan dalam teks-teks lipur lara Melayu ini dimunculkan dengan
menggunakan teknik-teknik tertentu. Sesuai dengan fungsinya yang paling dasar iaitu fungsi
psikoterapik, agen penyembuh hati yang duka-lara, lipur lara mengeksploitasi asas-asas
estetikanya yang khusus dan tersendiri melalui struktur dalaman dan luarannya.
Melalui pembinaan strukturnya, penglipur lara memang bertujuan
untuk merangsang perasaan dan deria khalayaknya, menggetar dan
mempesonakan, melalai dan mententeramkan jiwanya (Noriah Taslim,
1993: 154).
Keindahan itu dpaat dibina dari dua sudut iaitu, dari sudut dalamannya (isi cerita) dan
dari aspek luarannya (pemakaian bahasa). Maka untuk menganalisi dua teks ini, kajian akan
menekankan kepada kedua-dua aspek luaran (stailistik) dan dalaman karya terbabit.
Keindahan luaran (aspek stailistik) ini merujuk kepada penggunaan gaya bahasa, alat muzik
yang digunakan dan intonasi suara. Manakala keindahan dalaman teks lipur lara dpaat dilihat
melalui isi kandungan (content) cerita tersebut yang dibumbui oleh motif-motif ajaib, eleman-
elemen ‘joy’ unsur-unsur fantasi dan spektakular, unsur-unsur naratif yang emotif dan
ekspresif dan sebagainya.
Akibat kecenderungan yang kuat untuk membangunkan tindak balas psikologis, genre
lipur lara ini sangat mementingkan dan menekankan penggunaan peranti-peranti stailistik
untuk mengekspresikan sesuatu benda, perkara dan peristiwa. Melalui peranti stailistik ini,
sesuatu objek itu dikemukakan melalui perincian-perincian mimetic secara jitu dan berlebih-
lebihan. Sering sesuatu peristiwa, episod atau perkara-perkara dalam cerita terbabit dibesar-
besarkan dari keadaannya yang asal dan biasa menjadi hingga menjadi sesuatu yang
menakjubkan agar ia dapat melalaikan dan mengasyikkan perasaan khalayaknya.
Ketersendirian hukum-hukum logika dan kewajaran dalam dunia sastera Melayu
sememangnya mengizinkan malah membiarkan teknik-teknik pemerian yang selalunya tidak
masuk akal juga bertentangan dengan hokum kebenaran dalam dunia sebenar ini.
Bagi memenuhi fungsi yang selalunya dikaitkan untuk tujuan hiburan, memberi
ketenanga,keseimbangan kepada hati yang duka-lara dan kerehatan kepada saraf-saraf yang
kejang dan lesu, lipur lara pada sifatnya yang paling utama adalah sebuah naratif yang berat
dengan emosi. Ceritanya tidak dapat lari dari membawa tema percintaan di antara putera raja
dan tuan puteri yang cantik jelita. Siteruna demi untuk mendapatkan idaman hatinya perlu
sama ada keluar berkelana atau terpaksa berhadapan dan bertarung dengan tunangan wirawati
demi merebutkannya. Percintaan kedua mereka akan menempuh pelbagai halangan dan
rintangan, tetapi di akhir cerita, semestinya dihabiskan dengan kedua-dua pasangan ini
Berjaya disatukan dan seterusnya hidup bahagia. Untuk menjadikan kisah ini lebih ekspresif
dan emotif sifatnya, cerita ini akan diselitkan dengan motif-motif cinta berahi, rindu dendam,
pujuk rayu dan senda gurauan antara kedua-duanya. Elemen-elemen cinta berahi ini akan
lebih berfungsi untuk merayu emosi pendengarnya. Contohnya dapat dilihat dalam teks
HMDn,
Maka Tuanku Malim Deman dipimpin oleh Nenek Kebayan masuk ke dalam bilik mendapatkan Tuan Puteri Bongsu. Maka Tuan Puteri Bongsu pun hendak larilah, malu akan Tuanku Malim Deman. Maka segeralah dipujuk oleh Tuanku Malim Deman dengan perkataan yang lemah-lembut. Maka telah lembutlah hati Tuan Puteri mendengarkan titah Tuanku Malim Deman itu lalu bersuka-sukaan seperti adat orang laki isteri, lalulah beradu keduanya.
Keasyikan cinta ini diperkukuh dan diperhebatkan lagi dengan penggunaan gaya bahasa
yang dapat menakluki emosi dan perasaan khalayak. Sebagai individu yang hidup dibendung
oleh hukum-hukum dan adat tradisi yang kukuh, kedua-dua pasangan ini sering menyatakan
perasaan dan gelora jiwa mereka dalam bahasa yang penuh berkias dan berirama. Keadaan ini
dapat dilihat dalam teks melalui perlakuan wira dan wirawati yang saling bergurindam,
bersyair ataupun jua berbalas pantun untuk meluahkan isi hati masing-masing. Sebagai
contohnya, dpaat dilihat dalam teks HASMM, di halaman 56.
Maka Tuan Puteri Dayang Nuramah pun dengan dukacita hati bercucur-cucuran air matanya, seraya berpantun,
“Pertemas condong ke Jawa,Sorek di mana ditukarkan?Angkatlah beban, tuan bawa,Kita di mana ditinggalkan?
Maka balaslah Awang Sulung Merah Muda,
“Antara padi jantan semantung,Di situ sorek ditinggalkan,Antara hati dengan jantung,Di situ adik ditinggalkan.
Lipur lara pada sifatnya yang asas ialah sebuah wacana fantasi (fantasy discourse,
Schlobin, 1982 ). Sememangnya sebagai sebuah wacana fantasi, lipur lara benar-benar kaya
serta memanfaatkan unsur-unsur luar biasa, ajaib, gharib dan seumpamanya. Pembaca
mahupun pendengar, jika terlibat dalam sebuah karya yang bersifat fantasi, sudah tentu
dalam pemikiran audiens ini sudah dapat membayangkan dan menjangkakan pelbagai benda
atau perkara yang pelik-pelik. Unsur fantasi ini yang dibina oleh sesuatu yang luar biasa,
ajaib dan gharib ini sememangnya sesuai dijadikan dasar cerita lipur lara, memandangkan
unsur-unsur keajaiban, keluarbiasaan dan keghariban ini adalah dasar kepada keindahan
(aspek keindahan yang pertama dalam Teori Keindahan oleh Braginsky). Maka wajarlah
unsure-unsur luar biasa ini juga dieksploitasi sebaik mungkin, atas kesedaran bahawa
keluarbiasaan dan sifat-sifat seumpamanya itu mampu berfungsi untuk memanjangkan
imaginasi khalayaknya.
Genre ini dengan amat baiknya menggunakan konsep dislokasi latar dunia sekunder.
Latar alam dalam cerita rakyat ini dicipta sebagai dunia gentian kepada dunia reliti yang
sebenar. Di dalam dunia alternatif ini segala peristiwa, watak, aksi dan benda-benda
diletakkan di bawah hukum-hukum kewajaran dan kemungkinan yang berkontradik dengan
dunia sebenar. Demi kerana naratifnya dilatarkan dalam dunia sekunder yang memegang set
logika alam yang berbeza, maka ia juga menciptakan satu dimensi dunia utopia (satu
keadaan yang ideal dan terlalu sempurna). Dalam dunia ini, kehadiran burung bayan yang
petah berkata-kata (teks HMD), kuda terbang (HI), merak yang boleh mengeluarkan bunyi
dua belas ragam (teks HMD), dunia kayangan beserta tujuh orang puteri, nenek kebayan
(teks HMDn) serta kebarangkalian lain seumpamanya adalah sesuatu yang diperakukan
sebagai benar dan sahih.
Latar dalam dunia sekunder ini berkemungkinan menggunakan latar kayangan atau juga
berpaksikan dunia fizikal ini. Walau dari mana pun latar itu diambil, ia sebenarnya tidak
merujuk kepada sesuatu tempat secara khusus. Jika nama-nama tempat yang digunakan dalam
cerita itu bersamaan dengan nama tempat yang wujud secara sah dari sudut sejarah atau
geografi, (contohnya dalam teks HMDn, ada disebut nama tempat seperti Bandar Muar,
manakala dalam teks HASMM, pula menyebut nama-nama tempat seperti Kuala Kedah, Pulau
Pinang, Gunung Jerai dan sebagainya) sebenarnya ia adalah secara kebetulan semata-mata.
Tempat yang dimaksudkan dalam teks adalah dunia antah-berantah, yang tidak wujud
sebenarnya. Sering dalam ceritanya, ia akan berlatarkan tempat atau negeri khayalan dan
imaginasi pengarangnya, seperti negeri Pati Talak Terengganu, Lautan Tanjung Jati, Bandar
Mengkaleh (dalam teks HASMM). Dalam dunia ilusi ini, hukum kebenaran adalah
bersandarkan logic latar tersebut. Di dunia ini apa sahaja boleh berlaku tanpa perlu terikat dan
patuh kepada logik alam atau logik akal. Kewajaran hukum dan logickyang tersendiri dalam
dunia sekunder ini, ada dinyatakan oleh Noriah Taslim sebagai,
.....penglipur lara perlu meletakkan naratifnya secara keseluruhan dalam satu latar sekunder dunia fantasi, kerana hanya dalam dimensi
latar yang beginilah segala-gala yang mustahil mengikut ukuran kemunasabahan dunia primer, menjadi mungkin (Noriah Taslim, 1993b: 61)
Bagi memastikan cerita yang disampaikan itu mampu mengkhayalkan khalayaknya,
maka si penutur akan memberikan gambaran atau imej yang indah-indah, mengasyikkan dan
mengagumkan. Oleh kerana sesuatu yang indah itu luar biasa dan menakjubkan, maka reaksi
spontan yang khalayak melihatnya, tentulah merasa hairan, takjub, gharib dan seumpamanya.
Kesan sebab akibat antara gambaran imej {indah, luar biasa} yang ditonjolkan dengan rasa
hati yang dicetuskan {hairan, gharib} itu penting kerana cerita penglipur lara adalah satu
rawatan psikoterapi melalui keindahan. Dalam dunia lipur lara ini, sesuatu yang indah itu
seharusnya dapat membangkitkan psikologi penerimanya agar jatuh berahi, asyik, merca dan
pengsan.
Antara yang sering digambarkan secara fantastik dan melampau adalah kecantikan
istana dan negara kota, pakaian anak-anak raja, hiasan taman-taman bunga dan sebagainya.
Sesebuah Negara kota sering diperincikan secara berlebih-lebihan untuk menunjukkan akan
kemakmuran, kekayaan, keamanan dan negara tersebut. Secara simboliknya, gambaran
sebuah Negara kota yang penuh keharmonian ini dapat melambangkan akan kekuasaan dan
kedaulatan seorang pemerintah atau raja. Gambaran sebuah negeri yang menakjubkan
umpamanya terdapat dalam teks Hikayat Malim Deman.
.....serta pula berpatutan dengan peraturan bangunan sifat negeri itu, terlalu permai
elok majelis rupanya:
Medannya indah bukan kepalang,
Rantaunya luas bagai dibentang,
Tebingnya tinggi bagai diraut,
Pasirnya serong bentuk taji,
Batunya ada besar dan kecil,
Bayangkanlah betapa elok dan terancangnya kedudukan negeri Bandar Muar ini.
Dengan memasukkan unsure fantasi dalam latar fizikal Negara kota ini dan diperikan secara
berlebih-lebihan, penutur Berjaya membuatkan khalayaknya berada dalam keadaan takjub dan
asyik semasa membayangkan negeri ini. Bagaimana agaknya rupa sebuah negeri yang
bertebing tinggi bagai diraut, berpasir serong bentuk taji dan sebagainya seperti yang
diceritakan? Logik atau tidak logik, gambaran yang diberikan itu tidak penting, kerana yang
lebih diutamakan ialah setakat mana segala gambaran itu dinyatakan dengan penuh ajaib, luar
biasa dan pelik, kerana sesungguhnya sifat sebegitu adalah dasar kepada keindahan
berdasarkan pandangan Braginsky.
Kekayaan sesebuah negeri juga kerap kalinya akan dibesar-besarkan dengan
menunjukkan keadaan kaya-raya rajanya yang luar biasa. Istananya adalah bangunan yang
tersergam indah dengan salutan dan kilauan emas permata dan mutiara yang berumbai-
rumbai. Keluasan dan kebesaran tapak istananya yang sering dicerminkan dari frasa-frasa ayat
seperti “selejang kuda berlari” atau “selelah burung terbang” dan sebagainya. Harta
kekayaannya melimpah ruah dengan binatang ternakannya yang pelbagai jenis dan
bilangannya menjangkau hingga ratusan ekor. Rakyat dan hamba sahayanya tidak terbilang
banyaknya sehingga diumpamakan seperti, “ada yang empat senama, ada yang lima senama”
melalui ungkapan “bombastic” seumpamanya yang lain seperti yang terdapat dalam teks
HMDn.
Awak tua bandar terbuka, {1}Emas habis, dagangan mudah, {2}Kerbau kambing sesak di padang, {3}Itik angsa tenang kuala, {4}Merpati lindungan langit, {5}Rengkiang tujuh sejanjar, {6}Teman dengan sekerat kota, {7}
Emas perak penuh di rumah, {8}Tangga rumah emas bertuang, {9}Ibu tangga emas bertitik, {10}Batuan sawa mengulur, {11}Penuh sesak hamba sahaya, {12}Ada yang empat senama, {13}Ada yang lima senama, {14}Dilaung di rumah di tanah menyahut, {15}Dilaung di tanah di rumah menyahut. {16}
Beginilah gambaran streotaip tentang kekayaan rajanya yang disampaikan melalui
penggunaan metafora serta bahasa yang bersukat dan berentak. Jangan dipersoalkan tentang
kemunasabahan binatang ternakannya yang pelbagai {baris 3,4,5}, emas peraknya yang
banyak {baris 8,9,10} dan jumlah hamba sahayanya yang tak terbilang jumlahnya {baris 12
hingga 16} kerana semua ini memang sengaja diada-adakan oleh pencerita untuk menjadikan
pendengarnya merasa takjub dan terpesona. Kembali kepada sifat keindahan itu sendiri yang
mensyaratkan bahawa sesuatu karangan itu dianggap indah hanya jika ceritanya dibumbui
oleh segala macam keajaiban dan keluarbiasaan hingga dapat membangkitkan perasaan asyik
berahi dan tercengang-cengang di khalayak.
Kemakmuran pegangan ekonomi negara pula ditunjukkan dengan kepesatan sector
perdagangan yang berjaya memenuhkan pelabuhan negara dengan berbagai-bagai kapal
dagangan, sekaligus membawa dan menarik masuk pelbagai pedagang dan saudagar dari
serata ceruk dengan membawa aneka jenis barang dagangan. Keadaan ini antaranya dapat
digambarkan melalui teks HMDn.
Maka banyaklah sekalian dagang senteri berhimpun masuk berniaga; penuh pelabuhan kuala negeri dengan bahtera, jong pelang.
Selup wangkang bergandingan,Berjenis-jenis gada-gadanya,Ada yang merah gada-gadanya,
Muatan sutera dan mastuli,Ada yang putih gada-gadanya,Muatan lilin dengan getah,Ada yang hijau gada-gadanya,Muatan kesumba dengan malau,Ada yang kuning gada-gadanya,Muatan emas dengan perak.
Cerita-cerita lipur lara bukan sahaja sesak dengan gambaran yang indah-indah dan
mengasyikkan, malah ia juga memasukkan perkara-perkara yang bersifat penuh ajaib, dan
luar biasa. Dalam teks-teks lipur lara Melayu, keganjilan dan keluarbiasaan ini selalunya
merujuk kepada benda-benda ajaib yang mempunyai kuasa magis dan hikmat sakti yang
tertentu. Unsur-unsur magis ini dapat contohnya dilihat melalui motif-motif yang digunakan.
Motif ini merujuk kepada elemen terkecil dalam plot yang mengandungi idea tertentu.
Ia bersifat universal dan kerap diulang-ulang untuk membantu kea rah pemahaman karya.
Motif atau tema-tema kecil ini juga berkeupayaan mempengaruhi emosi dan mood pembaca, .
Motif yang digunakan bersifat fantastic untuk meninggalkan kesan hairan, kagum dan gharib.
Dalam hukum kewajaran dunia lipur lara, apabila sesuatu benda itu luar biasa, pelik dan ajaib
hingga menimbulkan rasa kagum, hairan dan terpegun, maka semestinyalah karangan itu
indah sifatnya. Antara motif yang selalu digunakan adalah seperti burung bayan, mimpi,
puteri kayangan tujuh beradik dan sebagainya. Kedua-dua teks Hikayat Malim Deman dan
Hikayat Awang Sulung Merah Muda juga tidak terlepas dalam memasukkan tema-tema kecil
ini di dalam ceritanya.
Maka lalu Tuanku Malim Deman mengambil kemenyan mandung jati yang kesaktian itu lalu dibakarnya serta diasapkannya cincin dan rambut Tuan Puteri Bongsu serta pula beryang-yang dan berseru-seru, demikianlah bunyinya, ‘Ya Allah, ya Saidi, ya Maulai, ya Tuhanku, jikalau sah beta raja yang berasal berturun-temurun, ayah beta yang bernama Tuanku Gombong Malim Dewa, datuk yang
bernama Tuanku Malim Perman, mohonlah dengan berkat sah kesaktian segeralah turun Tuan Puteri Bongsu dari kayangan.
Motif kemenyan mandung jati – ‘kemenyan putih berat sekati’ dalam petikan di atas
yang terdapat dalam teks HMDn ini adalah berupa kesaktian yang sering diguanakn oleh para
wira untuk membantu mereka mencapai sesuatu hajat. Keajaiban berlaku apabila dengan
hanya beryang-yang dan berseru hikmat kemenyan ini, bukan sahaja ia akan memakbulkan
segala impian, malahan ia juga akan menyelamatkan wira dari sebarang kesulitan. Jika dalam
petikan teks HMDn di atas, kemenyan mandung jati digunakan untuk memuja tuan puteri,
tetapi dalam teks HASMM pula ia digunakan oleh wira sebagai perantara untuk meminta
bantuan ketika berada dalam kesusahan.
....maka berjumpalah sebatang kayu yang amat besarnya iaitu tujuh hari mengelilingi lalu ditebang tiga takuk beliung pun lalu diletakkan diambil kemenyan mandung putih berat sekati.
Diambil setahil, ditinggal sekati,
Dibakarnya lalu berseru-serulah ia, “Hai, ya Allah, ya Saidi, ya Maulai, Tuhan yang sebenarnya, jikalau sah beta raja asal berasal berkat malaikat datuk, nenek moyang, saka berbaka berjalanlah sendirinya kapak dengan beliung ini membuat kakap: Maka datanglah tukang empat puluh empat orang dari udara bekerja membuat kakap tujuh hari tujuh malam hingga lengkap kakap sekalinnya dengan cantik, tiada terbandingnya: cukup terpasang gambar-gambaran di tepi.
Motif mengidam juga antara yang diselitkan dalam cerita-cerita penglipur lara sebagai
satu bahan untuk bermain dengan emosi khalayaknya. Kehebatan wira akan ditunjukkan dari
awal semenjak dia masih di dalam kandungan ibunya. Contohnya dalam teks HASMM, Tuan
Puteri Si Helang Bakau semasa mengandungkan puteranya si Awang Sulung Merah Muda
telah mengidam untuk makan makanan yang pelik-pelik dan tidak boleh diperolehi dengan
menggunakan cara yang biasa digunakan. Tabiat mengidamnya bukan seperti tabiat dan
keadaan mengidam manusia biasa, tetapi ia penuh keganjilan dan kepelikan. Keluarbiasaan
tabiat mengidamnya dapat dilihat atas keinginan watak tersebut yang menginginkan sesuatu
yang luar biasa dan hanya akan diperolehi menggunakan kaedah atau cara yang juga luar
biasa. Ia selalu menuntut si ayah untuk melakukan sedikit pengorbanan dan kesungguhan
mendapatkannya dan juga terpaksa pergi ke satu tempat tertentu untuk mendapatkannya.
Hatta apabila Tuan Puteri Si Helang Bakau telah hamil tiga bulan lamanya, ia pun mengidam hendak santap pelanduk putih jantan mengandung. {merujuk kepada sesuatu yang luar biasa}
Maka Tuanku Si Helang Laut pun berangkat membawa anjing Sembilan hendak pergi memburu; tengah hari rembang tiba di Lubuk Kembang Dalam, anjing Sembilan pun menyalak:
Berderu-deru hujan panas,Sabung-menyabung kilat,Panah memanah halilintar,{merujuk kepada keadaan luar biasa}
Maka turunlah seekor pelanduk putih jantan mengandung, lalu diterkam baginda.
Maka apabila Tuan Puteri Si Helang Bakau telah hamil tujuh bulan lamanya, ia pun mengidam pula hendak santap ikan terubuk jantan mengarang telur. {merujuk kepada sesuatu yang luar biasa}
Maka Tuanku Si Helang Laut berangkat ke laut membawa pukat lalu memukat daripada pagi hingga petang, sisik ikan pun tiada terdapat. Maka ia pun berangkat kembali ke istananya serta duduk termenung berfikir, ....
Lalu diambilnya kemenyan mandung jati berat sekati:
....dibakar, diasapkan baju....sambil berseru-seru beryang-yanglah...mintalah dapat seekor ikan terubuk jantan mengarang telur.”
Maka Tuanku Si Helang Laut pun masuk beradu, sudah lena bermimpilah ia seorang keramat wali Allah:...datang berkata...”jikalau hendak mendapat terubuk jantan mengarang telur, pergilah bawa jala sutera bungkal emas menjala di Lautan Tanjung Jati” {merujuk kepada kaedah atau cara mendapatkannya yang luar biasa}
Motif yang paling terkenal sekali dan hadir dalam hamper setiap cerita-cerita lipur lara
adalah mitos kehadiran tujuh orang puteri dari negeri kayangan. Mereka ini akan turun ke
bumi bermain-main bersiram ke dalam taman memetik bunga mengarang kuntum di rumah
Nenek Kebayan. Selalunya puteri yang ketujuh, atau nama lainnya Puteri Bongsu merupakan
yang paling cantik berbanding enam orang saudaranya yang lain juga berbanding perempuan-
perempuan lain di dunia. Puteri Bongsu ini jugalah yang lumrahnya akan dimimpi, digilai
seterusnya dikahwini oleh wira dalam cerita terbabit. Manusia kayangan ini contohnya dapat
dilihat dari teks HMDn.
ALKISAH, maka tersbutlah suatu cerita raja di negeri kayangan terlalu besar kerajaannya. Maka adapun baginda itu ada berputera tujuh orang, perempuan semuanya....Adapun tuan puteri ketujuh bersaudara itu selalu turun ke dunia, ke rumah Nenak Kebayan bersiram berpukas di dalam tamannya itu...Masing-masing terlalu elok majelis, sebarang kelakuannya pantas manis semuanya, tetapi yang terlebih elok Tuan Puteri Bongsu itu juga, tiada terbanding di dalam kayangan kepada zaman itu.
Kehadiran watak manusia kayangan ini akan menggerakkan minda dan memanjangkan
imaginasi khalayaknya untuk membayangkan akan rupa, pakaian, tingkah laku dan
terutamanya cara mereka melayang dari kayangan ke bumi. Jika bersandarkan hokum sebab
akibat saintifik sekarang ini, manusia dari kayangan ini adalah sesuatu yang tidak diperakukan
sebagai benar, malah dalam dunia serba moden ini sesiapa yang mempercayainya dianggap
kolot dan ketinggalan zaman. Tetapi tidak dalam dunia lipur lara masyarakat Melayu
tradisional dahulu, kehadiran manusia ajaib ini dianggap sebagai patut dan wajar. Watak-
watak ini sesuai dan selaras dengan sifat cerita lipur lara itu sendiri yang dibina berasaskan
unsur-unsur fantasi dan khayalan. Episod ini dimaksudkan sebagai satu cara untuk
menimbulkan ketakjuban, kehairanan dan keghariban agar hati yang mendengarnya menjadi
asyik berahi, terpikat dan lupa. Malah dasar keindahan itu sendiri telah menetapkan bahawa
sesuatu yang indah itu harus meninggalkan semacam rasa terpikat, terpegun kepada jiwa yang
menanggapinya.
Cerita tentang puteri kayangan sesungguhnya sesuatu yang diperakukan sebagai satu
elemen yang dapat menarik perhatian khalayaknya. Ini kerana ia hadir dalam hamper setiap
cerita penglipur lara, tetapi dalam keadaan dan fungsi yang sedikit berbeza. Tetapi
walaubagaimana sekalipun cara ia diceritakan, ia tetap akan menimbulkan rasa kehairanan
dan ketakjuban pada khalayaknya, kerana perkara ajaib ini tidak mungkin berlaku dalam
dunia biasa. Berlainan pula dengan cerita Hikayat Awang Sulung Merah Muda, kehadiran
tuan puteri tujuh beradik mempunyai maksud dan tujuan yang berbeza daripada biasa.
Hilang asap kemenyan, Awang Sulung pun tidurlah bersandar di banir kayu besar. Maka turunlah tuan puteri tujuh orang dari udara membawa hidangan...Maka Awang Sulung pun terkejut. Maka dilihatnya di kiri berasnya bercampur dengan padi, di kanan hidangan terletak cukup lengkap santapnya empat puluh empat piring:
Padi renik jintan Rawa,Dicubit canggal panjang,Melintang sama melintang,Membujur sama membujuDi tengah awan berarak.
...Lalu ia bersantap:...setelah sudah, tidurlah ia; hidangan pun diangkat puteri bertujuh itu balik ke udara.
Di samping itu, penglipur lara juga melipurkan dan mengasyikkan khalayaknya
melalui episode-episod yang penuh kemeriahan dan keceriaan. Elemen ‘joy’ ini merupakan
pati yang penitng dalam sebuah wacana fantasi kerana ia memberikan rasa kepuasan dan
keseronokan yang melekakan. Keceriaan ini penuh dengan unsur-unsur fantastik dan
imaginative yang boleh melalaikan pendengarnya. Keseronokan inilah ‘joy’ yang menyentuh
dan merangsangkan deria mata dan telinga para khalayak. Keseronokan ini perlu kerana
sebagai sebuah seni yang berada dalam sfera keindahan, umunya sependapat bahawa fungsi
adalah untuk menghiburkan dan melipurkan hati khalayaknya.
Kemeriahan dan keseronokan pula seringkali ditimbulkan melalui upacara-upacara
keramaian seperti pertabalan raja, menyambut kelahiran putera raja, majlis perkahwinan,
perkelahan dan seumpamanya. Upacara-upacara keramaian ini berlangsung dalam keadaan
amat meriah kerana diserikan dan disemarakkan dengan aneka macam bunyi-bunyian,
permainan dan tarian. Kemeriahan ini diceritakan secara langsung seperti dalam teks HASMM
Hatta, maka dimulai berjaga-jaga, cukuplah permainan sabung dengan judi, catur dengan jogar, pencak dengan silat, makyung dengan wayang semuanya.
atau juga kemeriahan ini dilagukan dengan menggunakan formula yang tertentu seperti :
Maka berkumpullah sekalian juak-juak, panglima perang kanan, panglima perang kiri, panglima raja, panglima besar, raja, menteri, laksamana, masing-masing memegang kebesaran.
Maharaja Menteri pun menjulang Awang Sulung Merah Muda. Kadi berselawat tiga kali dengan nyaring suaranya, sehingga menderamlah bunyi dijawab orang.
Bedil kecil merendang garam,Bedil besar sederam-sederam,Sebelah kanan orang berdikir,Sebelah kiri orang penyanyi,Sebelah kanan orang memencak,Sebelah kiri orang bersilat,
Lalulah berarak keliling kota istana tujuh kali:
Pendekar leka bersilat,Ahli leka berdikir,Khalifah leka berdabus.
Keanekaragaman dan kepelbagaian ini diperincikan secara teliti memandangkan ia
merupakan salah satu dasar keindahan dalam sastera Melayu tradisional (dasar keindahan
yang kedua – anekaragam ). Upacara keramaian ini yang berterusan dan berlarutan hingga
berhari-hari malah juga berbulan-bulan akan menghimpunkan rakyat dari segenap peringkat
umur dan kedudukan. Golongan rakyat ini akan sama-sama berkumpul di perkarangan istana
untuk memulakan kerja berjaga-jaga bagi membuat persiapan bagi upacara-upacara tertentu.
Gambaran kemeriahan upacara keramaian ini antaranya dapat dilihat dari teks HMDn.
Maka titah baginda, ‘Jikalau telah siap kelengkapan itu, bolehla kita mulai berjaga-jaga itu.’Maka baginda pun lalu memulai pekerjaan berjaga-jaga. Maka sekalian sida-sida bentara sekalian pun menghiasi istana dan penghadapan terlalulah indah-indah peraturannya. Maka kepada masa ketika yang baik malam Ahad bersusun Senin bekerjalah tiga bulan lamanya;
Sabung tak berhenti tiga bulan,Sabung bertunda bulu ayam,Air didih menganak sungai,Kerak nasi membusut jantan,Terung berbuah di gelegar,Kunyit berhimpun atas para,Serai beranak atas dapur.
Lipur lara benar-benar memanfaatkan elemen ‘joy’ ini dengan memerikan kemeriahan,
keseronokan dan keceriaannya secara berlebih-lebihan. Perasaan khalayak akan hanyut
bersama-sama dengan keseronokan ini yang secara realitinya adalah sesuatu yang mustahi;l
untuk berlaku dalam kehidupan seharian mereka. Kemeriahan yang mengasyikkan ini akan
membawa khalayak berfantasi agar merasa dirinya sama-sama berada dalam suasana tersebut
dan seterusnya merasai kemeriahannya.
Bagi mengindahkan lagi cerita, aspek-aspek hiasan – decorum juga dimanipulasi dalam
cerita-cerita penglipur lara. Bersandarkan teori keindahan Braginsky, yang indah itu bukan
sahaja luar biasa, malah dalam keadaan luar biasa itu ia harus pula dinyatakan dengan
berbagai cara ( aneka ragam ) dan keanekaragaman itu pula diatur dengan penuh
keharmonian. Pakaian oleh keluarga bangsawan serta istana kediaman mereka antaranyang
sering dihias indah oleh pencerita. Hiasan gilang-gemilang yang terdiri selalunya dari emas
permata, mutiara, intan dan sebagainya bukan sahaja untuk menunjukkan kecantikan pakaian
atau istana tersebut, malah dapat menunjukkan aspek kepelbagaian dan keanekaragaman
pakaiannya.
Keistimewaan pakaian wira pertamanya dapat dilihat dari kepelbagaian ( sifat
keindahan kedua, beranekaragam ) giasan yang dikenakan dibajunya. Pakaiannya serba
sempurna kerana lengkap dengan tengkoloknya, kain ikat pinggang, keris, minyak wangi dan
sebagainya. Pakaiannya bukan sahaja indah kerana dikenakan dengan pelbagai jenis
perhiasan, malah ia kelihatan sempurna dan harmonis ( aspek keindahan yang ketiga ) kerana
adanya pelengkap kepada pakaian tersebut. Jelas di sini bahawa ketelitian dan kepekaan para
penglipur lara Melayu untuk memunculkan ‘keindahan’terserlah kerana bukan hanya
menyebut tentang bagusnya baju tersebut, tetapi diperlengkapkan kebagusan baju itu dengan
perhiasan lain seperti tengkolok, keris, minyak wangi dan sebagainya. Apabila keindahan itu
dinyatakan dalan pelbagai caradan disusun pula dengan penuh harmoni dan sempurna, maka
ia seterusnya mampu menjadikan objek itu luar biasa. Oleh kerana ynag indah itu merujuk
kepada sesuatu yang luar biasa, maka cerita ini tentulah sesuai sebagai sebuah seni yang
berada dalam sfera keindahan. Kesempurnaan dan keindahan pakaian ini contohnya seperti
terdapat dalam teks HASMM.
Maka Awang Sulung pun… membuka peti gewang, mengambilbarang-barang pakaiannya: Seluar panjut panjang kaki, Meratus cermin di kaki, Meribu larat di pinggang; Pesak kecil bercermin kecil, Pesak besar bercermin besar, Pesak gadang tulang-temulang, Penurung patang dewangga, Kiriman anak kari Sutan Kainnya kain Bugis Kembayat, Bukan Kembayat zaman ini, Tengkolok kampuh pelangi, Bukan pelangi zaman ini, Pelangi zaman dahulu, Tiap sudut ada hikmat, Telepok lengkok ada hikmat, Kerisnya sempana ganja iras, Retak diturur panjut putih, Pedang jenawi lantai balai
Bukan sahaja pakaian akan dihiasi dengan cara luar biasa, malah istana di dalam dunia
sekunder juga dihiasi dengan pelbagai batu permata, nilam, intan yang bergemerlapan dan
beraneka ragam bentuknya. Kepelbagaian itu semestinya sesuatu yang indah-indah, maka
keindahan itu tentunya menakjubkan dan menghairankan mata yang memandang serta
telinga yang mendengar. Istana dan kelengkapannya yang sarat dengan pelbagai jenis hiasan
yang berkilau-kilau tentunya menjadikan mata yang memandang merasa takjub dan hairan.
Bukan sahaja khalayak dalam penglipur lara akan terpesona dengan kecantikannya, malah
kita sendiri tetunya dapat membayangkan betapa indah dan berseri-serinya istana hiasan
dalam dunia sekunder ini. keindahan ini penting kerana lipur lara adalah sebuah seni
kederiaan, maka kejayaan ceritanya diukur atas kemampuannya meransang dan menyentuh
deria khalayaknya. Teks HMDn, contohnya ada menunjukkan akan keindahan hiasan istana
rajanya.
Setelah mustaid baginda memakai itu, lalu dipimpin oleh orang
besar-besar, dinaikkan ke mongkor jempana yang keemasan yang bertatahkan ratna mutu manikam, berumabai-umbaikan mutiara, berkemuncak intan dikarang serta pula bertatahkan nilam pualam pusparagam. Maka terdirilah cogan alam, tunggul panji-panji payung ubur-ubur, dipegang oleh jawatan sekalian anak raja-raja dan anak orang besar-besar, sida-sida bentara. Maka berbunyilah nafiri, bersambutan pula dengan bunyi- bunyian sekalian:
Luar biasa dan eloknya peribadi wira bukan setakat terletak pada rupa paras semata-
mata tetapi juga dicerminkan melalui dirinya yang juga seorang yang arif dan bijak bistari.
Kearifannya dan kebijakannya terlihat sedari kecil lagi apabila beliau cukup pintar menerima
dan memahami segala ilmu yang diajarkan seperti yang terdapat dalam cerita HASMM..
… maka Tuan Malim Kecil lalu mengambil kitab dan Diajarinya, barulah Awang Sulung Merah Muda mengikutPengajaran Tuan Malim Kecil itu. Maka sukalah Tuan Maim Kecil: Guru membaca sehelai, Ia membaca sepuluh helai, Guru membaca tiga helai, Ia membaca tiga puluh helai.
Maka habislah dapat kepadanya sekalian kitab Tuan MalimKecil lebih kurang setinggi duduk. Maka Tuan Malim Kecil punHairanlah hatinya, “Keramat sungguh putera raja ini rupanya,Padanlah sehari ia lahir ke dunia sehari ayah bondanyamangkat.”
Berbagai-bagai cara nampaknya digunakan oleh pencerita untuk hendak membuktikan
bahawa wira ini bijak orangnya. Beliau bukan sahaja bijak dalam menuntut ilmu, tetapi juga
bijak berhelah ketika berhadapan dengan musuh, bijak bermain senjata dan sebagainya.
Manusia ini digambarkan sebagai makhluk yang ideal dan sempurna sifatnya, tidak ketemu
rasanya kita seorang manusia sebegini sempurna di dalam dunia sebenar. Watak begini
tentunya menyebabkan audiennya merasa kagum dan takjub atas keutuhan peribadi wira.
Seterusnya boleh menyebabkan khalayak yang mendengar cerita terbabit leka dan lupa diri.
Khalayak lelaki tentunya akan mengidentifikasikan diri mereka dengan watak terbabit.
Manakala dengan khalayak wanita lelaki dengan segala sifat yang luar biasa tentulah menjadi
idola dan impian mereka. di sinilah terletak kekuatan cerita penglipur lara sebagai alat
psikoterapi dan ‘escapism’ kepada masyarakat terdahulu.
Dan, watak yang benar-benar luhur tidak pernah kecundang sungguhpun seringkali
diancam dengan kehancuran (Noriah Taslim, 1993: 61). Ini dibuktikan dengan ketangkasan
wira bermain senjata dan kecekapannya apabila bertarung dengan musuh-musuh. Pantas dan
teratur langkahnya menepis setiap serangan dari pihak lawan. Walau berpuluh atau beratus
pun lawannya, wira dengan sekelip mata dapat menghapuskan semuanya. Apabila bertarung,
wira selalunya menang besar kerana tidak akan mengalami sebarang luka-luka atau
kecederaan kecil yang lain.
Demi didengar oleh anak raja mambang, maka bangunlah ia
Merah padam warna mukanya, lalu menghunus pedang yang
Selebar daun birah, seraya ia bertampil melompat ke halaman
istana, serta mencencang bertalu-talu akan Awang Sulung Merah
Muda.
Cencang ke kiri, ia lompat ke kanan,
Cencang ke kanan, ia lompat ke kiri,
Cencang ke atas. Ia lompat ke bawah,
Cencang ke bawah,ia lompat ke atas.
Wira dalam cerita penglipur lara sememangnya manusia yang unggul kerana tidak ada sifat-
sifat yang berkontradik dengan diri wira. Kebulatan peribadi dan sifat wira ini penting untuk
menonjolkan keharmonian dalam cerita.
Demikianlah bagaimana struktur dalaman lipur lara ini ( tema, motif-motif kecil, elemen
joy, perwatakan, penggunaan latar ) bertindak untuk memunculkan keindahan dalam karya-
karya lipur lara Melayu. Segala-galanya diperincikan secara berlebih-lebihan semata-mata
hendak menunjukkan akan keluarbiasaan dan kesempurnaan diri wira. Ini sesuai dengan sifat
seni ini yang ditanggap bukan dengan akal tetapi pancaindera zahir semata-mata. Maka untuk
mampu menyentuh deria khalayak, maka teknik-teknik yang digunakan tersebut diatas adalah
sesuai. Wajarlah wira diberikan sifat-sifat yang serba elok dan luar biasa agar kelak
gambaran tersebut menjadikan mata yang memandang dan telinga yang mendengar menjadi
leka, asyik berahi, terpegun dan seumpamanya. Pembinaaan struktrur dalaman ini sesuai
dengan sifat seni yang lebih berfungsi untuk memberi hiburan. Kesan keindahah cerita ini
dapat digarap dnegan lebih efektif melalui kedah perincian mimentik. Oleh kerana
keindahannya hanya dapat dicerap oleh pancaindera zahir semata-mata, maka wajarlah seni
ini dikategorikan sebgaai seni kederiaan mengikut pandangan Sorokin. Sebagai sebuah seni
kederiaan, lipur lara ;
…hanya mampu menyentuh pancaindera luaran manusia, Sekaligus mementingkan aspek keindahan luaran, perhiasan- perhiasan, pemerian-pemerian yang menyeronokkan dan mententeramkan keperluan nafsu badanlah. (Noriah Taslim, 1993a:155)
Selain dari gambaran-gambaran yang penuh keseronokan dan keindahan, lipur lara juga
dapat membangkitkan emosi para khalayaknya dengan aksi-aksi para wataknya terutamanya
melalui babak-babak yang penuh spektakular, memeranjatkan dan menakutkan. Ceritanya
dibumbui dengan adegan-adegan mendebarkan serta kehadiran benda-benda dan perkara ajaib
seperti kuda terbang, masuk mulut naga, serangan raksaksa dan geroda, diterbangkan jin dan
sebagainya.
Hatta ada yang diatas singa terbang dan ada di atas kuda dan
Ada di atas naga terbang di udara . Maka Raja Dewa Lela
Mengerna pun mengeluarkan satu hikmat. Maka turunlah
Hujan ayer mawar dan Nobat Rum Shah pun memanah ke
udara. Maka gugur hujan mutiara dan ratna mutu manikam.
Maka segala orang isi negeri Sementa Beranta itu pun
ramailah memungut segala permata.
Aksi dan suasana peperangannya juga diperkayakan dengan unsur-unsur ajaib dan luar biasa.
Suasana peperangan diperlihatkan penuh ketegangan,gegak gempita, riuh rendah dan kacau
bilau oleh bunyi senjata dan tempikan tempikan suara masing-masing. Suasana peperangan
yang porak poranda ini menjadi satu adegan yang hebat dan justeru itu ia meninggalkan kesan
menakjubkan pada persepsi penerimanya.
…. istinggar pun diletupkan. Maka demikian juga terjatuh anting-anting yang ditelinga Tuan Puteri Dayang Nuramah. Maka di isipula oleh Tuan Puteri Dayang Nuramah sekali lagi laludiletupkannya. Maka kenalah pula gelang Tuan Puteri Dayang SeriJawa...
Maka terperanglah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan Tuan Puteri Nuramah tujuh hari tujuh malam lamanya; bingkaslah Meriam:
Sabung menyabung peluru ke tengah,Datang rantai berdepa-depa,Tiba ke geliung menjadi simpai,Datang besi berkerat-kerat,Tiba ke geliung menjadi paku,Datang timah berjongkong-jongkong,Tiba ke geliung menjadi lapis.
Kelam-kabutlah matahari dan bulan kerana asap meriam, asapbedil, asap istinggar. Setelah hilang asapnya itu,...
Peperangan itu bukan sahaja penuh hebat dan menakjubkan melalui gambaran suasana
porak-peranda yang dimunculkan, malah unsur-unsur luar biasa juga dimasukkan. Perhatikan
fragmen teks HASMM di atas dan bayangkanlah segala keajaiban yang berlaku bilamana
rantai yang di kirim bertukar menjadi simpai, besi pula berubah rupa menjadi paku dan timah
berjongkong-jongkong menjadi lapis apabila sampai ke geliung. Malah muncul pula
berbagai-bagai dan beraneka rupa asap dari asap meriam, asap bedil dan juga asap istinggar.
Tidak perlu hairan tentang bagaimana segala perkara-perkara mustahil yang terjadi. Kembali
kepada ciri genre lipur lara yang meletakkan ceritanya dalam dunia utopia lalu mewajarkan
serta membenarkan segala keajaiban itu berlaku. Tambahan pula, sebagai sebuah seni dari
peringkat sfera terendah, yang perlu bagi seni ini ialah memunculkan sesuatu itu dalam
keadaan luar biasa, gharib dan ajaib agar akhirnya dapat meninggalkan aidiennya dalam
keadaan hairan, kagum dan merca oleh keajaiban tersebut.
Keindahan teks-teks penglipur lara Melayu juga banyak bergantung kepada struktur
luaran teks terbabit. Struktur luaran ini dapat dikesan melalui aspek-aspek statistik,
penggunaan dan pemakaian bahasanya. Oleh kerana kajian ini bersifat tektual, maka ciri-ciri
luaran seperti persembahan, muzik dan seumpamanya tidak akan dibincangkan, walaupun
mungkin akan disebut. Ini bermaksud, kaedah penceritaan seperti teknik bercerita, intonasi
suara, penggunaan alat-alat muzik atau alat bantu lain tidak akan dibincangkan. Untuk
menunjukkan bagaimana lipur lara dapat menjalankan fungsi lipur laranya dengan baik
sekali, maka kajian akan menumpukan kepada aspek-aspek stailistik seperti penggunaan
bahasa yang bersukat, berirama dan berentak untuk menilai sejauhmana keupayaan teknik ini
menimbulkan kesan keindahan bunyi yang mengasyikkan.
Sekali lagi perlu diingat bahawa lipur lara ini ditanggapi bukan melalui kaedah bacaan
tetapi secara pandang dengar. Jika melalui struktur dalaman yang diperincikan melalui
gambaran-gambaran penuh indah, ajaib dan luar biasa, lalu dapat menyentuh deria pandang
khalayak, maka bahagian ini pula akan cuba menunjukkan bagaimana aspek stailistik mampu
meransang deria dengar khalayaknya. Sudah jelas bahawa yang indah itu juga harus mampu
menyentuh semua deria, iaitu mencipta semacam kesatuan synaesthetic. Maka jika menurut
psikologi tradisonal, kesemua kesan deria-deria ini disatukan sehingga menjadi sebuah imej
yang padu dan utuh dengan perasaan menyeluruh’ (hiss al musytarak, sensus communis)
(Braginsky,1994a:29).
Dalam budaya lisan ini, penutur sedar bahawa khalayaknya ini seluruhnya buta huruf.
Maka ceritanya itu dihayati secara penglihatan (lakonan dan pergerakan badan) serta
pendengaran. Inilah sebabnya yang menyebabkan si penutur akan mempergunakan seluruh
seni bunyi, rima, lagu, alat muzik, intonasi suara dalam menyampaikan ceritanya. Lipur lara
dengan ini amat memanifestasikan gaya bahasa formulaic (bersukat dan berentak) seperti
peribahasa, pepatah, pantun, runs dan seumpamanya untuk menjadikan karya ini,
meninggalkan bunyi merdu dan seronok didengar oleh kahlayaknya. Antara aspek bahasa
yang kerap digunakan ialah runs. Runs ini ialah,
Satu sifat umum dalam cherita-cherita folktales di-kalangan
bangsa-bangsa di-dunia ia-lah ada-nya ungkapan-ungkapan yang
terator yang di-uchapkan berulang-ulang pada tempat-tempat
tertentu dalam cherita ini. Ini di-namakan runs. (Mohd Taib Osman,
1965:23)
Runs atau istilah lainnya talibun (Zalila Sharif dan Jamilah Ahmad, 1993: 129)
umumnya adalah teknik penceritaan atau pemerian yang terperinci tentang sesuatu objek atau
aspek, sama ada dalam ucapan atau bentuk cerita. Ia khususnya terdapat dalam genre lipur
lara. Dari segi strukturnya, talibun atau teromba ini tergolong dalam bentuk puisi bebas.
Bebas dari segi bentuknya, bilangan rangkap, jumlah baris dan kata serta rima akhir yang
tidak tetap terikat tetapi mempunyai keseimbangan dalam bilangan sukukata setiap baris.
Runs ini istimewa kerana ia digunakan secara berulang-ulang dalam konteks dan maksud
yang sama dan ia seterusnya menjadi sebahagian dari sesebuah cerita. Pemerian yang diliputi
oleh talibun atau runs ini adalah seperti (Zalila dan Jamilah,1993: 129),
1. Benda – pakaian, senjata dan sebagainya
2. Manusia – rupa atau sifat seseorang watak
3. Aksi – cara berjalan,menyembah,makan dan sebagainya
4. Situasi (keadaan persekitaran) – waktu kelahiran, waktu sesuai dan sebagainya.
5. Rasa hati – gembira, sedih, marah, sakit, dan sebagainya
6. Tradisi, salasilah, kepercayaan dan sebagainya.
Runs ini istimewa kerana keindahan bunyi yang dihasilkan dari bunyi, rentak dan
intonasi pengucapan yang tinggi rendah ini harmonis didengar. Oleh kerana salah satu dari
dasar keindahan adalah harmonis, maka runs ini ternyata penting sekali. Secara umumnya
keenam-enam elemen ini terdapat dalam setiap teks lipur lara Melayu. Berdasarkan penelitian
yang saya lakukan, terdapat satu lagi bentuk pemerian yang dapat diperikan oleh runs ini iaitu
aspek latar. Latar ini meliputi latar istana yang menjadi sebagai model alam yang menentukan
tingkahlaku dan pemikiran pendukung-pendukung budaya feudal ( Noriah Taslim,1994: 260)
dan juga latar dunia luar. Dunia luar istana ini ialah alam luas terbuka yang diandaikan
muncul di sekitar pusat pertama dan diasosiasikan dengan segala ancaman , konflik dan
kacau-bilau (Noriah Taslim,1994:266).
Runs yang selalu digunakan untuk memerikan sesebuah latar tempat, seperti hutan (alam
luar istana) adalah seperti yang terdapat dalam teks HMDn.
Tempat jin yang banyak, {1}Tempat syaitan yang banyak;{2}Masuk hutan keluar hutan,{3}Masuk padang keluar padang,{4}
Masuk rimba keluar rimba;{5}Bertemu cangkat didakinya,{6}Bertemu lurah sama dituruni,{7}Habis hari berganti hari,{8}Habis malam berganti malam,{9}Habis bulan berganti bulan,{10}Habis tahun berganti tahun,{11}Bukan ia mencari buruan,{12}Gajah dijumopai tidak ditembak,{13}Rusa dijumpa tidak dikejar,{14}Badak dijumpa tidak diturut,{15}
Bagaimana runs tersebut dapat memunculkan kemerduan bunyi? Perulangan epifora
dalam pekataan-perkataan masuk (di baris 3, 4 & 5), bertemu (baris 6 & 7), habis (baris
8,9,10,11) memberikan satu rentak kepada runs ini. Malah apabila perulangan ini digunakan
berulang-ulang kali ia boleh memukau dan melekakan deria dengar khalayaknya. Ini
menjadikan khalayaknya tenggelam dalam keindahan bunyi cerita terbabit hingga menjadi
leka, lalai dan lupa diri kerana dibuai oleh alunan rentak runs ini oleh sipenutur.
Latar sebuah negara kota (alam istana) contohnya seperti yang terdapat dalam teks
HASMM, dinyatakan sebagai;
...telah sudah, lalulah dipersembahkan kepada Tuanku Si Helang
Laut dan Tuan Puteri Si Helang Bakau sebuah kota:
Kota besar sembilan ruang,
Sepuluh dengan rembat guntung,
Sebelas dengan pancung serong,
Dua belas dengan anjung tinggi,
Tiang sudut menteri delapan,
Tiang panjang maharajalela,
Tiang tengah syukur menanti,
Galang-galang ular berang,
Kasau kecil puteri menyembah,
Bagi tujuan untuk memerikan sesuatu benda seperti pakaian, runs ini didapati paling
popular dan digemari oleh pencerita,antaranya seperti yang terdapat dalam teks HASMM.
Seluar intan dikarang,Karangan Husin dengan Hasan,Tidak dapat zaman sekarang,Nantikan angin bergilir musim,Bajunya beledu tengkuk kuning,Selempang kain Bugis Kembayat;Kerisnya jalak jantan,Berkerawang dipangkalnya,Di hujungnya subhana Allah,Tengkolok kampuh pelangi,Bukan pelangi zaman ini,
Runs tentang pemakaian pakaian ini, mampu meransang kedua-dua mata dan telinga
khalayak sekaligus. Indera lihat akan kagum, hairan dan asyik melihat akan indahnya hiasan
pakaian tersebut yang pelbagai rupa , jenis dan bentuk. Kepelbagaian ini akhirnya menjadikan
pakaian lengkap dan sempurna , kesan darinya adalah harmonis. Telinga khalayak tentu sekali
akan terpaut pada keindahan rentak dan irama yang apabila runs itu dinyanyikan oleh si
penglipur lara.
Watak dan penampilan watak seorang wali Allah sering digambarkan seperti berikut.
Contohnya seperti yang terdapat dalam teks HASMM.
Janggut panjang hingga riba,Jubah meleret hingga kaki
Walau bagaimanapun, penampilan dan perwatakan seorang putera atau puteri raja sering
diberi gambaran yang luar biasa cantik dan menawan,sesuai pula dengan bahasa berirama
yang digunakan untuk menyampaikan maksud tersebut. Dalam memerikan keelokan rupa
paras wira. Bunyi runs itu menjadi lunak dan merdu apabila ia diperikan secara perbandingan.
Ini dapat dilihat melalui ungkapan-ungkapan kata seperti bagai, seperti dan seumpamanya.
Perhatikan bagaimana dibandingkan keelokan Awang Sulung, melalui kata-kata perbandingan
seperti pipi,bagai pauh dilayang, lengan seperti baur panah dan seumpamanya, seperti yang
dapat dilihat dalam fragmen berikut.
Pipi bagai pauh dilayang,Hidung kuntuk bunga serayu,Telinga telepuk layu,Dahi bagai sehari bulan,Kening bagai bentuk taji,Leher jinjang buyung petani,Lengan seperti baur panah,Jari halus tombak serai,Pinggang secekak jari manis,Betis bagai bunting padi,Tumit bagai telur burung,Ibu kaki bungkal setahil.
Perlakuan dan aksi watak-watak dalam cerita juga diperikan dalam bentuk runs ini. Aksi
para rakyat yang pelbagai keadaan dan sifat fizikal mereka ketika dipanggil seringkali
berbentuk seperti ini :
Yang capik datang bertongkat,
Yang buta datang berpimpin,
Yang pekak leka bertanya,
Yang kecil terambin lintang,
Yang jarak tolak-tolakan,
Yang pendek tinjau-meninjau,
Yang kurap mengekor angin.
Masing-masing dengan gunanya:
Yang pekak pembakar meriam,
Yang buta penghembus lesung,
Yang lumpuh penghalau ayam,
Yang pekung penjemuran,
Yang kurap pemikul buluh.
Teknik pengulangan sangat ketara terdapat dalam runs di atas. Perkataan ‘yang’ diulang
guna berkali-kali di setiap awal baris. Tambahan pula setiap baris itu diisi dengan bilangan
patah perkataan yang hampir setara, iaitu antara tiga hingga empat patah perkataan sebaris.
Keharmonian baris ini diperkukuhkan lagi oleh keenakan bunyi yang dikeluarkan. Malah
apabila dilagukan setiap baris tersebut seperti ada hentian di dalam barisnya. Contohnya,
seperti ;
Yang capik {hentian} datang bertongkatYang buta {hentian} datang berpimpin
Maka ia menjadikan runs ini dalam bentuk bahasa yang bersukat dan berentak, maka tentunya
bunyi itu lebih sedap didengar berbanding jika dinyatakan secara pertuturan biasa.
Bagi menuturkan aksi atau perlakuan di istana seperti cara santap para raja, cara
berpakaian dan sebagainya adalah lebih bersopan bunyinya. Runs seterusnya pula dapat
memperlihatkan ketertiban susun adat bersantap. Apabila dinyatakan dalam keadaan tertib
begitu, maka runs dari teks HASMM ini lebih harmonis bunyinya.
Santap ia santap beradat,Dua suap ketiga sudah,Keempat basuh tangan,Kelima kumur-kumur,Keenam makan sirih,kelat jatuh ke rongkongan,Seri naik ke peroman,Paya-paya berserang panjang
Penglipur lara ini juga mempunyai cara berbahasa yang tersendiri untuk menyatakan
sesuatu jangka masa yang tertentu. Untuk mengadakan kenduri-kendara,atau masa berlakunya
sesuatu peristiwa penting pilihan masanya adalah seperti berikut;
Hari Ahad bertimpa Senin,Duabelas haribulan purnama,Dua belas tapak bayang-bayang
Bagi menyatakan rasa hati dan perasaan seseorang, terdapat juga runs tertentu yang
digunakan. Perasaan yang tak ketentuan hala atau resah gelisah sering dipantunkan seperti;
‘jikalau kulurut padiku ini, Jikalau kulurut pecah batang;Jikalau kuturut hatiku ini, Jikalau kuturut salah datang
Bagi menyatakan perasaan kecewa, sedih dan merajuk hati pula;
Zaman dahulu bertikar pucuk, Zaman ini bertikar mengkuang;Zaman dahulu kita dipujuk, Zaman ini kita dibuang.
Mengkuang konon kayu petani, Tersandar di kayu kelat;Terbuang sudah rupanya kami, Bagai ikan diluar belat
Runs ini mendekati bentuk pantun Melayu tradisional. Pantun memang sudah
dimaklumi ramai bahawa ia merupakan satu gaya bahasa yang indah kerana melibatkan
pemilihan kata yang puitis dan dibantu pula oleh irama merdu yang dihasilkan. Perasaan
mendayu-dayu dan gundah-gulana para watak dapat disampaikan dengan baik melalui pantun
di atas. Adanya unsur pembayang (dua rangkap di atas) dan unsur maksud (dua rangkap di
bawah) , diperkukuhkan lagi dengan kombinasi bunyi yang dihasilkan oleh aliterasi dan
asonansi. Rima akhir (aaaa atau abab), bilangan sukukata sebaris dan bilangan perkataan
sebaris yang sekata jumlahnya membantu menjadikan ia merdu dan berirama. Ini tentunya
dapat melalaikan dan melekakan khalayak yang mendengarnya.
Adat kepercayaan dan salasilah juga mempunyai bahasa pemeriannya yang tersendiri.
Adat untuk mengadap raja, adat menyembah, adat pertabalan menggunakan bahasa yang
berbeza dari bahasa pertuturan seharian. Petikan di bawah meruoakan satu contoh bagi
menunjukkan bahasa adat menyembah raja. Dari petikan tersebut ia dapat menunjukkan
kepada kita akan ketertiban dan keharmonian bunyi dan isi cerita (dasar keindahan yang
ketiga).
Dari jauh menjunjung duli,
Sudah dekat langsung menyembah,
Terangkat kadam jari sepuluh,
Kuncup seperti sulur bakung,
Jari seperti susun sirih,
Selain dari mempunyai adat dan budaya yang luhur dan dijunjung, masyarakat Melayu
lama juga sangat tebal dengan kepercayaan dan fahamannya yang tersendiri. Comtohnya,
apabila hendak menyabung ayam, mereka percaya bahawa semangat ayam tersebut perlu
dipanggil terlebih dahulu sebelum dilagakan. Mereka yakin bahawa apabila semangat itu
ditiupkan ke atas ayam terbabit, ayam itu pasti akan menang persabungan.
Maka berpantunlah Awang Sulung Merah Muda,
“Hai jalak unang kelabu unang, Patah gading belalai tumbuh;Pesan nenak dengan moyang, Kinantan suci jangan dibunuh.”
Lalulah ia berseru-seru tuah ayamnya:
“cahaya gading baru dilarik, Mahligai perak kemuncak intan;Sudahlah sama orak-arik, Pernikamnya belum sah dan pentan.”
Sesungguhnya pemakaian bahasa yang pelbagai ini menunjukkan kebijaksanaan dan
kekereatifan penutur-penutur cerita penglipur lara Melayu ini. Ungkapan bahasanya teratur
dan indah sesuai dengan maksud yang hendak disampaikan. Inilah mungkin yang
menyebabkan tradisi lisan ini boleh hidup dalam jangka hayat yang lama sebelum bermulanya
literasi tulisan. Walaupun ia kerap diualang-ulangkan tetapi ianya tidak menjemukan kerana
irama dan rentakyang dihasilkan oleh perulangan itu merdu dan penuh keindahan. Teknik
pemakain bahasa ini sangat berkesan kerana ayat-ayat ini apabila dipola dan distrukturkan
akan memudahkan hafalan bagi si penutur,dan bagi pendengar pula lebih sedap halwa telinga
mendengarnya berbanding diceritakan seperti biasa.
Selain dari kaya dengan ungkapan-ungkapan dalam bentuk runs, genre lipur lara ini juga
menggunakan puisi melayu lama dalam bentuk seloka. Seloka adalah sejenis puisi bebas,
berangkap atau tidak berangkap. Tetapi secara umumnya ia memerlukan beberapa baris atau
rangkap untuk menyampaikan sesuatu idea. Seloka memainkan fungsinya yang
tersendiriseperti hendak mengejek, menyindir secara serius atau jenaka. Kadang-kala seloka
juga mengandungi maksud perasaan berahi, asyik khayal dan mimpi. ( Zalila dan
Jamilah ,1993: 123)
Antara seloka menyindir secara serius yang terdapat dalam hikayat-hikayat Melayu,
dapat dikesan dalam teks Hikayat Awang Sulung Merah Muda. Ia diutarakan oleh Tuan Puteri
Dayang Seri Jawa ketika menempelak ayahnya Nakhoda Tua kerana tidak dapat menilai akan
kehebatan Awang Sulung Merah Muda;
“Tua orang tua berakal,Makin tua makin berminyak,Tua ayah tua cendawan,Makin tua makin busuk.”
Peribahasa juga antara gaya bahasa yang terdapat dalam teks-teks yang dikaji. Secara
amnya, peribahasa boleh berupa perumpamaan, papatah, bidalan, kiasan ibarat dan tamsilan.
Peribahasa ibarat juga terdapat dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda iaitu apabila Tuan
Puteri Dayang Seri Jawa menyindir jurumudi yang sengaja mencaci-caci Awang Sulung dan
berangan-angan ingin mengahwini beliau ;
“Baik-baik mengail tenggiri, Jangan kena jambatan larangan ;Baik-baik menghina diri,
Jangan muka disapu arang.”
Oleh kerana lipur lara adalah sebuah seni kederiaan,maka ia amat perlu untuk
menyentuh dan meransang deria khalayaknya. Sama ada deria dengar atau deria pandang
khalayaknya perlu dikuasai oleh perincian-perincian dari teks. Maka aspek stailistik
merupakan teknik terbaik yang dapat membangkitkan rasa seronok dan terhibur khalayak
sepanjang mengikuti cerita-cerita tersebut.
BAB EMPAT
KESAN DAN PENGARUH KEINDAHAN
Dalam analisis bab yang lalu telah dibuktikan bahawa lipur lara yang dibina oleh unsur-
unsur luar biasa, beraneka ragam dan harmonis, adalah sebuah seni yang berada dalam sfera
keindahan pada fungsinya yang paling asas ialah sebagai sumber hiburan. Seni ini
memberikan kesan ‘psycotherapeutic’ kerana ia menyediakan semacam jalan keluar untuk
menguraikan segala tekanan emosi yang terlibat.
Khalayak pada keinginannya yang normal mengimpikan sebuah kehidupan serna
sempurna dan serba menyeronokkan seperti yang terdapat dalam dunia sekunder lipur lara.
Kemiskinan antara factor yang paling kuat menghalang mereka dari mengecapi dan
menikmati keseronokan hidup tersebut. Segala keinginan dan kemahuan itu dicapai melalui
kaedah pelencongan yang disediakan oleh cerita-cerita penglipur lara. Maka seni lipur lara ini
menjanjikan dan meletakkan individu terbabit berada dalam kepuasan gantia kepada kepuasan
sebenar yang diingininya. Penyamaran keinginan ini akhirnya menjadikan jiwa khalayak pulih
dan kembali kepda keadaan normal dan berimbang.
Cerita-cerita lipur lara sering menjadi mangsa selaran dan cemuhan oleh para orientalis
sebagai tidak intelek, tidak mengandungi fakta dan maklumat melainkan hanya dipenuhi
dengan dongeng dan fantasi. Untuk sekian lamanya, pemikiran kita telah dijebakkan oleh
prasangka dan prejudis para orientalis melalui hegemony mental yang diserapkan ke dalam
pemikiran orang-orang Melayu. Wilkinson umpamanya telah menyelar sastera Melayu
sebagai,
...”a very poor one indeed”. The old Malay romances “pompous”, “pretentions” and “verbose”. They are full of degression and repetition....Their moral tone is bad,...
Manakala Winstedt pula memandangnya sebagai,
...the germ of every Malay romance is a folktale....manipulated by man wildly ignorant.....(dipetik oleh Sweeney, 1980: 1)
Namun jika dikaji secara teliti cerita-cerita penglipur lara ini dari akar umbinya, kita
akan ditemukan dengan kesempurnaan penciptaan, kesempurnaan fungsi dan kesempurnaan
nilainya. Sebenarnya cerita-cerita penglipur lara bukan setakat berfungsi sebagai sebuah cerita
khayalan semata-mata, tetapi ia mendukung falsafah estetikanya yang tersendiri. Keindahan
yang ditawarkan oleh genre lipur lara ini bukan terhenti setakat menghiburkan malah ia
berkeupayaan untuk meransang tindak-balas psikologis, ke atas diri khalayak dan
pengarangnya. Dalam kata lain, keindahan yang dimiliki oleh cerita lipur lara ini mampu
mentransformasikan keadaan jiwa khalayak dan pengarangnya dari gugatan perasaan cinta
berahi kepada keadaan normal. Bertolak dari andaian inilah maka kajian pada bab ini akan
bertumpu kepada membincangkan kesan dan pengaruh yang ditimbulkan oleh hasil karangan
sastera yang indah terhadap pengarang dan khalayaknya.
4.1 Asas Estetika Melayu
Walau bagaimanapun untuk memahami dan lebih dimengerti fungsi karya sastera
sebagai penghibur, terlebih dahulu kajian ini perlu secara sepintas lalu mengimbau kembali
konsep estetika dan beberapa tradisi sastera yang mapan dan berpengaruh terhadap dasar
estetika kesusasteraan Melayu. Puitika sastera Melayu sebenarnya banyak terbina dari
asimilasi dan sintesis dari tradisi sastera Islam dan Jawa Kuno.
Fungsi sastera sebagai alat ‘psychoterapeutic’ mempunyai akar umbi yang kuat dari
unsur-unsur tradisi Islam. Sarjana-sarjana agung Islam seperti Ibn Sina, al-Farabi, Nizami
Aruzi Samarkandi dan sebagainya ada membincangkan konsep sastera sebagai penawar jiwa
dalam karangan-karangan perubatan, etika, puitika dan seumpamanya. Kesan
‘psychoterapeutic’ dicapai apabila keindahan imej yang diperikan melalui ungkapan-
ungkapan puitika diterima dan seterusnya meransang imaginasi (al-kuwat al-mutakhayilat).
Pada tahap awal ini kuasa magis bahasa amat penting kerana ia mampu mencipta realtiti baru
kepada sesebuah cerita. Imaginasi ini seterusnya dapat mempengaruhi dan menyeimbangkan
daya amarah (al-kuwat al-ghazbani) dan daya berahi (al-kuwat al-syahwani) audien. Apabila
jiwa mereka dalam berimbang inilah maka ia dapat menyembuhkan pesakitnya dari segala
himpitan perasaan. Berkenaan dengan proses penyembuhan ini, Braginsky (1998) telah
memetik pandangan Aruzi Samarkandi tentang pengaruh puisi;
“Puisi merupakan suatu seni, yang dengan itu penyair menyusun premis-premis imajiner (muqaddimat-I muhama) dan mengubah silogisme-silogisme yang efektif (qiyasat-I muntaja) sedemikian rupa sehingga ma’na (yaitu motif puisi, ‘ide-citra;V.B) yang kecil (=tidak penting) diubah [nya] menjadi ma’na yang besar (=penting) dan ma’na yang besar menjadi ma’na yang kecil. Kepada yang bagus (=indah) diberinya pakaian yang buruk, dan [benda-benda] yang buruk ditampilkan dalam rupa (surat) yang bagus. Dan melalui pengaruhnya terhadap imajinasi maka kerana pengaruh terhadap imajinasi ini, tabiat-tabiat manusia (tiba’) mengalami ekspensi (insibat), dan ini menyebabkan perbuatan-perbuatan hebat terjadi di dalam susunan dunia” (dipetik oleh Braginsky, 1998: 202 )
Ibnu Sina pula menawarkan teknik komunikasi verbal sebagai rawatan psikoterapi
terhadap ‘penyakit cinta berahi’ seseorang individu. Tiga cadangan dikemukakan sebagai
agen penyembuhan penyakit jiwa tersebut, yang setiap satu cadangan itu bertolak dari tiga
‘daya’ atau ‘kekuatan’ jiwa iaitu (daya fikir, daya amarah dan daya berahi). Strategi
perawatan menggunakan tiga daya ini adalah seperti berikut;
Pertama – mempengaruhi akal {daya fikir} dengan pertolongan, nasihat, tegur sapa dan sebagainya.
Kedua – mempengaruhi efek berlebihan yang merusuhkan jiwa {daya amarah}, dengan jalan meransang afek yang berlawanan terutamanya ‘amarah’ untuk mengimbangi ‘kemasygulan’ orang yang mabuk asmara itu;
Ketiga – membiarkan afek yang berlebihan itu (yaitu berahi=cinta) {daya berahi} tinggal tak tersentuh tetapi dipindahkan ke sasaran lain diteruskan dengan ‘memadamkannya’, jadi semacam sublimasi afek berlebihan tersebut. (Braginsky, 1998: 203)
Kaedah-kaedah psikoterapi inilah yang digunakan dalam karya-karya sastera yang
‘indah’ untuk member kesukaan kepada orang yang menghayatinya. Kemampuan dan
keupayaan menghibur melalui ‘kata-kata yang indah’ dapat dilihat melalui kata-kata
pengantar atau mukaddimah sesebuah karya itu, abik dalam bentuk puisi mahupun prosa. Di
sini diperturunkan kutipan-kutipan prolog yang dikumpulkan oleh Braginsky dalam bukunya
“Yang Indah, Berfaedah dan Kamal: Sejarah Sastera Melayu Abad 7-19” (1998) untuk
menunjukkan kesedaran pengarang tentang fungsi karyanya sebagai alat yang mampu
mentransformasikan keadaan jiwa dari gugatan perasaan cinta berahi kembali menjadi tenang
dan berimbang. Daalm prolog Syair Perang Mengkasar, fungsi sastera itu dinyatakan seperti ;
“Fakir yang gharib punya karangan,Kalamnya tidak berpanjangan,Kertas sekeping bekal tanganAkan penghiburlak angan-angan”
(dipetik oleh Braginsky, 1998: 201)
Deskripsi tentang fungsi sastera penenag juga terdapat dalam genre hikayat. Perhatikan
kutipan seterusnya dari Hikayat Anak Pengajian.
“Maka segala laki-laki dan perempuan jikalau mendengar hikayat yang baik ceritanya manjadi rindu dendamlah ahtinya dan jadi berahi hatinya pada hikayat itu. Adalah setengahnya yang berahi kepada yang membaca istimewa yang baik suaranya dan lagunya, maka bertambahlah berahi hati yang mendengar itu. Jangankan perempuan tiada menjadi girang hatinya, sedangkan laki-laki kebanyakan menjadi berdebar hatinya mendengar ceritera hikayat ini berpatutan dengan suara orang yang membaca. Maka setengahnya adalah orang yang membaca sendiri mendengar suaranya sendiri dan memikirkan ceriteranya hikayat amat indah karangannya, maka ia pun terkadang jadi rindu dan dendam dengan suaranya sendiri seraya berkata di dalam hatinya, maka jadilah seperti orang gila sekalian manusia yang tersebut itu” ( dipetik oleh Braginsky, 1998: 198)
Dari petikan kata pengantar di atas ia bukan hanya memperlihatkan
kewibawaan ceritanya yang indah-indah untuk menggirangkan sekaligus hati
khalayak dan pengarangnya, malah ia juga membuktikan tentang ideology Islam
secara umumnya. Islam melihat bahawa keindahan itu terhasil dari paduan dua
esensi harmonis, iaitu keindahan bunyi karya dan keutuhan harmonis jiwa
(....yang membaca istimewa yang baik suaranya dan lagunya...) dan kehalusan
jiwa yang menanggap karya terbabit (...maka bertambah berahi hati yang
mendengar,...menjadi berdebar hatinya...) Dengan kata lain, asas estetika Islam
terbentuk dari dua esensi harmonis (Braginsky, 1998: 199) iaitu keutuhan
harmonis karya sastera (sifat karya – dari aspek fonetik, bentuk) dan juga
keutuhan harmonis jiwa. Pandangan Ibn Khaldun dalam karangan Mukaddimah
(1958), membuktikan dan memperkukuhkan lagi konsep dua esensi harmonis
sebagai asas estetika dari kaca mata Islam. (Perkataan berhuruf condong di dalam
petikan merupakan huraian dan ulasan lanjut dari pandangan Braginsky).
“Seperti telah ditetapkan di tempat buku ini yang semestinya, kesenangan ialah tercapainya yang serasi [bagi jiwa]. Dalam persepsi indrawi, [yang demikian itu], ialah hanya satu kualitas. Jika kualitas itu patut dan sesuai {ini merujuk kepada sifat benda} bagi orang yang mempersepsikan, orang merasakan kesenangan { sifat jiwa }. Jika memuakkan atau sumbang baginya, dia merasakan kesakitan....Kesan-kesan penglihatan dan pendengaran yang serasi itu disebabkan oleh serasinya {merujuk kepada keadaan jiwa} dalam penyusunan bentuk-bentuk dan sifat {merujuk kepada benda-benda yang dilihat atau didengar} itu. Penyusunan ini, berkat keharmonisannya member kesan pada jiwa sebagai serasi dan lebih cocok terhadapnya” (dipetik oleh Braginsky, 1998: 199)
Selain dari dipengaruhi oleh ideologi Islam, estetika sastera Melayu juga terhasil dari
asimilasi tradisi Jawa Kuno. Teori estetika Jawa ini nampaknya bukan sebuah teori estetika
yang tersendiri kerana berdasarkan kajian-kajian yang telah dilakukan oleh S.Robson dan
Zoetmulder, didapati bahawa unsur-unsur teori puitika India (Sanskrit) iaitu teori ‘rasa’
terdapat dalam estetika Jawa. Latar belakang pengaruh Hindu ini dapat dilihat melalui
persamaan konsep-konsep setetika antara kedua tradisi ini.
Teori estetika Hindu ini bertolak dari teori ‘rasa’ yang telah dicerakinkan dan
diperkemaskinikan oleh ahli-ahli falsafah Hindu seperti Bharata, Abhinavagupta, Nayaka,
Sansuka dan sebagainya. ‘Rasa’ atau pengalaman estetika ini adalah bersumberkan
sthavibhava, atau diterjemahkan sebagai emosi tetap (Sohaimi, 1998: 47), yang wujud dalam
bentuk mendapan dan berada dalam lapisan psikik bawah sedar (unconscious) manusia.
Emosi ini terbentuk secara semulajadi dan akan muncul dalam psiki sedar apabila diransang.
‘Rasa’ ini boleh dilahirkan dan diransang melalui kombinasi tiga unsur iaitu penentu
(vibhana) – {penentu ini terdiri dari watak (alambana vibhana) dan perwatakan (uddipana
vibhana)}, kesan-akibat (anubhava) – {kesan-akibat ini merujuk kepada ekspresi emosi
yang dialami} dan emosi pelengkap (vybhicari-bhava) {emosi pelengkap ini ialah reaksi
fizikal di luar kawalan } (Sohaimi, 1998: 46). Melalui dorongan-dorongan yang ditimbulkan
oleh mana-mana satu dari unsur-unsur di atas atau melalui kombinasi tiga unsure tersebut,
sesebuah karya itu mampu untuk membenihkan rasa emosi tertentu dan si pembaca seterusnya
akan dapat ‘merasai’ pengalaman estetika ‘rasa’ terbabit.
Pengecapan rasa itu dicapai apabila individu tersebut diuniversalkan dengan menolak
ego dirinya. Emosi individu ini akan ditukar kepada pengalaman keindahan ‘rasa’. Penolakan
terhadap ‘diri’ sendiri akan membawa pembaca ke tahap penemuan kenikmatan serta
penyatuan diri dengan Brahman. Pelenyapan ego diri inilah yang dapat membawa individu
mengecap nikmat kebahagiaan yang tertinggi. Pengalaman menikmati karya – ‘rasa’ melalui
penyatuan diri dengan Brahman, dapat diperjelaskan dalam petikan di bawah. Penerangan
lanjut tentang hal ini dicetak dalam huruf condong.
Bahagia, kebahagiaan, lupa diri (camatkara, ‘kagum’, ‘nikmat’, ‘pesona’ [Warder, 1970: 35], dan juga ‘yang menimbulkan nikmat’, ‘yang mengkagumkan’, ‘yang memesona’ yang dialami pembaca ialah perbuatan kognisi diri oleh subjek yang bebas dari batas-batas ego yang mementingkan ‘diri’ sendiri, dan tidak dirintangi oleh sesuatu
apa pun {penolakan terhadap ‘diri’}. Bahagia itu serupa dengan ‘manifestasi Diri Mutlak atau Brahman di dalam diri individu (Ginster, 1996:143) {menjelaskan tentang penyatuan diri dengan ‘Brahma’}. Dengan Brahman inilah rasa tersebut disamakan (dipetik oleh Braginsky, 1998: 207 )
Pengaruh teori Sanskrit tentang rasa dapat dilihatdalam kesusasteraan Jawa jika
diperhatikan secara teliti dasar-dasar estetika sastera Jawa kuno. Melalui istilah asas dalam
estetika Jawa kuno iaitu konsep lango (keindahan), didapati segala unsur pokok daripada teori
rasa dan camatkara (Sanskrit: bukan sahaja ‘kagum’, ‘takjub’ tetapi juga ‘yang
mengkagumkan’, ‘yang memeranjatkan’, ‘yang memikat’) sebaagi hakikat rasa (Braginsky,
1994: 36). Penafsiran lango oleh Profesor Zoetmulder, dapat memperlihatkan persamaan di
antara tradisi sastera Hindu dan tradisi sastera Jawa kuno itu sendiri.
“Di antara istilah-istilah itu (yi. Istilah untuk pengertian: ‘estetis’, ‘indah’; V.B) kata lango, lengeng, lengleng serta kata-kata jadiannya menduduki tempat utama. Yang hendak dinyatakan oleh kata-kata itu, mungkin paling tepat jka diterjemahkan sebagai ‘rasa terpesona’. Yaitu semacam perasaan hilang kesadaran, oleh kerana subjek sama sekali tertelan dan menjadi hilang di dalam objeknya; daya tarik objek itu begitu kuatnya sehingga yang lain lenyap dan dilupakan. Segala kegiatan intelektual berhenti; persepsi terhadap obejk itu sendiri menjadi kabur, dan pengalaman kemanunggalan yang mengaburkan perbedaan antara subjek dan objek, serta kesadaran terhadap diri pun menjadi lenyap pula.
Kata alango di samping berarti ‘terpesona’ juga berarti
‘mempesonakan’. Kata ini dapat dipakai baik untuk pemandangan yang indah, maupun untuk orang yang terharukan oleh keindahannya itu. Kata itu mempunyai segi yang boleh disebut ‘subjektif’ dan ‘objektif, kerana baik di dalam subjek mahupun objek itu terdapat unsur yang sama – yang menyebabkan kedua-duanya bersifat sama dan layak untuk menjadi satu (dipetik oleh Braginsky, 1998: 208).
Dalam pengistilahan konsep lango yang dibentangkan oleh Zoetmulder, dapat dikesani
unsure-unsur dan konsep asas teori rasa dan camatkara. Braginsky seterusnya merumuskan
bahawa istilah Jawa kuno – lango, adalah satu istilah yang tepat dan sepadan dengan istilah
camatkara. Kedua-dua istilah ini membawa maksud yang sama iaitu ‘nikmat’, ‘kagum’, dan
sekaligus ‘yang menyebabkan nikmat dan kagum’, dan ‘yang memesona’. Selain itu kedua-
dua tradisi ini mementingkan tahap pelenyapan ego individu (subjek) untuk bersatu dan
tenggelam dalam karya (objek). Istilah lango dari sastera Jawa kuno itu sendiri
membayangkan keadaan perpaduan antara subjek dan objek, manakala dalam tradisi Hindu,
keadaan ini dialami dengan pengeluaran rasa melalui dhavani.
Berdasarkan latar belakang ilmu puitika Jawa (dipengaruhi kuat oleh tradisi Hindu) dan
Islam, ternyata bahawa kedua-dua estetika ini mempunyai persamaan yang sangat dekat
dengan estetika sastera Melayu. Dalam hal ini ‘kesadaran diri’ sastera Melayu ternyata
merupakan “suatu fakta dengan motivasi ganda”. Pada satu pihak dimotivasi oleh estetika
Hindu (dalam bentuknya yang Jawa); dan pada lain pihak, oleh ajaran estetika Islam
(Braginsky, 1998: 210). Estetika Jawa kuno sangat mirip dengan estetika Melayu klasik
terutamanya dari sudut penciptaan dan fungsi karya sastera.
Konsep-konsep ‘keindahan’ dalam sastera Jawa kuno lango dan indah dalam sastera
Melayu mempunyai titik persamaan yang sangat jelas. Dalam pengistilahan Jawa, lango itu
merujuk kepada sifat-sifat sesuatu objek yang boleh menarik perhatian seseorang
terhadapnya.
Secara objektif lango ialah kualiti yang menjadi daya tarik obejk ke arah perasaan estetis. Ini terjadi tidak disebabkan oleh keindahannya yang jernih dan dapat disentuh langsung, tetapi sebaliknya, justeru kerana kelihatannya jauh, agak tersembunyi dan terasa tak terjangkau, kerana keindahan itu mengesankan, tetapi tidak menyatakan diri sepenuhnya; kerana memikat namun membayangkan seperti kesempurnaan yang belum tersingkap....(dipetik oleh Braginsky, 1999: 206).
Jika bertolak dari kaca-mata masyarakat Melayu, perkataan indah juga merujuk kepada sifat-
sifat dalaman sesuatu yang dianggap indah.
Yang indah ialah sesuatu yang luar biasa, yaitu sesuatu yang hairan
(takjub), ajaib, gharib (ganjil), tamasya (pemandangan menarik hati)
(Braginsky, 1998: 193).
Maka jelas bahawa kedua-dua tradisi ini menganggap bahawa lango atau indah
itu merujuk kepada kualitas dan sifat-sifat khusus yang harus ada pada sesuatu
objek itu.
Pertindihan konsep keindahan antara dua tradisi ini juga dapat dibuktikan
melalui tanggapan mereka terhadap pengaruh atau kesan keindahan tersebut.
Menurut keduanya, sifat sesuatu yang indah atau lango itu akan menyebabkan
leburnya ego seseorang, dan individu terbabit akan berada dalam keadaan fana
semasa menikmati keindahan. Bertolak dari teori estetika Jawa, kesan keindahan
itu sangat kuat dalam mempengaruhi jiwa dan keadaan diri penerimanya.
‘yang hendak dinyatakan oleh kata-kata itu, mungkin paling tepat jika diterjemahkan sebagai rasa terpesona. Yaitu semacam perasaan hilang kesadaran, oleh kerana subjek sama sekali tertelan dan menjadi hilang di dalam objeknya daya tarik objek itu begitu kuatnya sehingga segala yang lain lenyap dan dilupakan (dipetik oleh Braginsky, 1998: 208).
Estetika Melayu menjelaskan tentang psikologi persepsi keindahan itu adalah satu
keadaan di mana keindahan yang ditanggap dengan ‘pacaindera lahir’ akan menimbulkan
rasa terikat, berahi dan terpaut kepada jiwa orang yang menatapnya.
Keindahan membangkitkan rasa berahi (cinta) dan kagum terhadapnya sendiri. Apabila terlampau kuat dan tidak bias dikendalikan akal, akan menyebabkan semacam “kelumpuhan” jiwa dan kehilangan kesadaran yang sangat membahayakan. Namun demikian, jika bias disalurkan dengan tepat, akan memberi pengaruh penyembuhan dan penenteraman terhadap jiwa (Braginsky, 1998: 197).
Hubungan pengaruh yang terjalin antara estetika Islam, estetika Jawa dan estetika Hindu
ke atas sastera Melayu akhirnya telah memberi manfaat terhadap kemantapan ilmu puitika
dan estetika sastera itu sendiri. Hal ini diakui sendiri oleh Braginsky, yang pandangannya
dapat dilihat daalm kutipan seterusnya.
Terutama ia juga mengubah sejarah sastra Melayu menjadi sejarah sintesis sastera, dan membuat period sastra Melayu klasik menjadi tingkatan terpenting untuk sintesis ini, ketika ia, sebagai suatu keutuhan yang lengkap, disempurnakan dan disudahi dengan konsep sastra dan kreativitas sastra Muslim (Braginsky, 1998: 210)
Namun bukan semua yang dibawa dari tradisi luar ini diterima bulat-bulat, tetapi teori
dan ilmu itu ditapis dan disaring untuk disesuaikan dengan budaya Melayu itu sendiri dan
tradisi Islam pada umumnya. Berbeza dengan system estetika Sanskrit dan Jawa kuno,
estetika Melayu memperkenalkan idea tentang persepsi psikologi keindahan yang boleh
merosakkan jiwa. Bahaya ini mempunyai hubungan yang sangat erat dengan keadaan jiwa
dan personaliti seseorang yang mempersepsikan keindahan tersebut. Ini bermakna seseorang
yang menikmati keindahan itu dengan mata zahirnya (indera) dan bukan mata akal yang akan
ditewaskan oleh keindahan tersebut. Perasaan terlalu kagum, hairan, ajaib akibat pesona oleh
keindahan alam fenomenan inilah yang boleh merosakkan struktur jiwa seseorang hingga
menjadikannya lupa, merca dan hinggakan pengsan. Di tahap ini individu terbabit seakan-
akan hanyut oleh keindahan dan melupakan dirinya. Ideologi Islam tentang keadaan jiwa yang
perlu sentiasa diseimbangkan oleh akal menyerap dan tersebar dengan baik dalam kebudayaan
sastera Melayu.
Sesungguhnya nilai keindahan karya sastera dalam estetika sastera Melayu lebih bersifat
kederiaan kerana fungsinya dikaitkan dengan aspek kejiwaan semata-mata terutamanya dalam
genre lipur lara. Keindahan pada sifanya yang asas adalah untuk memberikan kenikmatan
lahiriah sahaja kepada individu yang menanggapinya. Dengan inderanya dikuasai sepenuh
oleh keindahan, maka ia tidak mampu menjaan kegiatan intelektual, dan jauh sekali dapat
menyempurnakan rohani pembaca.
Akhirnya, konsep Melayu tentan fungsi sastra yang menyukakan dan mengharmonikan jiwa (penghibur/penglipur), hanyalah bersifat etis sahaja dan psikoterapi, serta tidak mencapai tingkatan sebagai jalan khusus dalam alam keagamaan. (Braginsky, 1998: 211)
4.2 Hubungan Emosi Dengan Psikologi Moden
Bagi menjelaskan kesan keindahan ke atas jiwa seorang penglipur lara, kajian pada
bahagian ini terlebih dahulu akan bertitik-tolak dari proses-proses jiwa yang dilaluinya. Perlu
dinyatakan di sini bahawa bahagian ini tidak akan membincangkan proses kreatif seorang
pengarang biasa kerana kajian adalah dalam ruang lingkup sastera Melayu klasik. Dalam
dunia sastera Melayu klasik, abad pertengahan iaitu di sekitar kurun ke-14-16, konsep
kepengarangan adalah samar. Tradisi penulisan adalah bertunjangkan pengongsian, di mana
semua hasil sastera adalah milik kolektif, bukannya milik peribadi seseorang pengarang.
Inilah keadaan sejarah persekitaran yang mengongkong kuat tradisi penghasilan genre
lipur lara. Identiti sebenar pengarang yang asal tidak diketahui kerana cerita-cerita penglipur
lara itu diwarisi secara turun-temurun melalui lisan. Walaupun proses kreatif antara
pengarang dan penglipur lara berbeza, namun demikian pengkaji berpendapat bahawa
penglipur lara juga layak digelar sebagai seorang seniman dalam konteks zamannya.
Walaupun sebenarnya penglipur lara bukan seorang pengarang yang individual sifatnya,
tetapi kebolehan dan kemampuan yang dimiliki oleh mereka untuk menyampaikan cerita
adalah sesuatu yang unik dan tersendiri. Jika pengarang perlukan origanaliti dan
ketersendirian teknik berbahasa dan gaya penulisan, si penglipur lara pula perlu menguasai
beberapa kemahiran tertentu untuk mampu diiktiraf sebagai pencerita. Bukan sahaja perlu
kepada kekuatan daya ingatan dan hafalan, mereka perlu menguasai ilmu tertentu, mahir
menggunakan alat bantu bercerita seperti alat muzik, topeng dan sebagainya malah mereka
juga perlu kepada gaya tersendiri agar dapat menyampaikan cerita dengan baik.
Walaupun konsep kepengarangan di antara pengarang dan penglipur lara itu jelas
berbeza, tetapi pengkaji merasakan bahawa proses-proses jiwa yang dialami oleh keduanya
sama. Untuk memahami kemelut kejiwaan ini, kajian akan berlandaskan kepada Teori
Psikoanalisis yang dikemukakan oleh Sigmund Freud. Psikoanalisis Freud ini merupakan
analisis yang paling sistematis tentang aktiviti yang berkait dengan minda dan mental
seseorang manusia.
Freud melihat diri manusia dibina oleh tiga lapisan psiki – id, ego dan superego yang
sentiasa berinteraksi untuk mempengaruhi tindak-tanduk manusia. Topografi Freud ini boleh
dijelaskan melalui gambarajah yang beliau ilhamkan sendiri. (rujuk rajah 4 di halaman
berikutnya).
Freud menjelaskan struktur psiki yang dibahagikan kepada tiga tahap ini sebagai:
Much of what had formally been assigned to the unconscious become the id and structural distinction between consciousness and the unconsciousness was replaced by the three part organisation of id, ego and superego (Calvin s. Hall,1954: 54)
Rajah 4 (dipetik dari Guerin et. All, 1966: 88)
Id ialah lapisan bawah sedar manusia yang gelap dan terlindung, menakung segala
naluri kebinatangan (libido) dan naluri primitive. Ia merupakan lapisan nafs-amarah kerana
kecondongan id itu sendiri kepada prinsip keseronokan dan kepuasan batiniah sahaja
(pleasure principles). The Id is in short, the source of all our aggressions and desires (Guerin,
1966: 89). Bertentangan dengan Id, Superego adalah lapisan atas sedar yang mengandungi
nilai-nilai keunggulan agama, masyarakat dan adat (reality principles)
“....the representative of all moral restrictions, the advocate of the impulse toward perfection, in short it is as much as we have been able to apprehend psychologically of what people call the ‘higher things in human life” (Guerin, 1966: 90)
Manakala ego adalah lapisan perantara / jalan tengah antara sesetengah tuntutan id dan
sesetengah tuntutan super ego. “...that which protects the individual, is the Ego.This is the
rational governing agent of psyche”(Guerin, 1966: 89).
Freud beranggapan bahawa kehidupan manusia ini lebih didorang untuk memenuhi
keinginan dan keseronokan yang bertolak dari lapisan id. Namun keinginan melampaui batas
kepada kekayaan, kuasa, wanita dan seumpamanya ditebat oleh lapisan superego yang tunduk
kepada tuntutan agama dan masyarakat. Penebatan dan penekanan (repression) keinginan
secara berterusan ini boleh mewujudkan konflik dalam diri seseroang. Minda manusia
nampaknya mempunyai mekanisme pelindung yang tersendiri yang bertujuan untuk
mengelakkan neurosis (Noriah Taslim, 1997: 2). Mekanisme pelindung yang menyalurkan
tuntutan id kea rah yang lebih selamat adalah seperti mimpi, angan-angan dan kepuasan-
kepuasan gentian yang lain termasuklah aktivit-aktiviti kreatif seperti seni dan sastera. Maka
aktiviti pelancongan seperti sastera sama ada dalam bentuk penulisan mahupun persembahan,
adalah satu aktiviti yang penting dari pemikiran psikoanalisis.
Aktiviti mengarang bagi seorang pengarang dan seni persembahan bagi seorang
penglipur lara merupakan satu jalan keluar (sublimasi) bagi kedua-dua individu ini untuk
menyalurkan segala keinginan-keinginan mereka. Terdapat keselarian di antara proses
kreativiti (pengarang) dengan proses menyampaikan atau mempersembahkan cerita
(penglipur lara) kerana kedua-dua mereka boleh dilihat sebagai manusia neurotik.
“...seniman adalah seorang introvert, seorang penyendiri, yang selalu amat suka mencipta atau merekakan fantasi....seniman selalu ditekankan oleh segala macam keinginan yang agak kuat. Ia selalu mimpikan kehormatan, kekuasaan, kekayaan, kemasyhuran dan cinta wanita (Hashim Awang, 1988: 136)
Mereka ini demi untuk mengelakkan diri dari terus terperangkap di dalam
ketidakseimbangan jiwa, perlu melepaskan segala gesaan-gesaan emosi dan keinginan mereka
melalui fantasi dan imaginasi. Hasil karya (oleh pengarang), dan cerita-cerita lipur lara (oleh
penglipur lara) inilah yang menakung dan menampung segala angan-angan mereka yang tak
tercapai dalam dunia nyata. Keadaan ini bertindak sebagai satu kepuasan gentian
‘wishfulfilment’, dan pemenuh kepada segala keinginan mereka. Hal ini dapat diperjelaskan
lagi melalui hujahan sokongan di bawah.
Seimbangan dengan ini pula, seniman mempunyai kebolehan yang istimewa untuk melakukan kesubliman. Mengikut Freud, seniman dapat mengadakan semacam kelonggaran kepada segala macam penekanan (repression) yang membentuk konflik atau pertikaian; seniman seperti mempunyai “... a certain flexibility in the repressions the conflict”.Kebolehan ini menjadikan seniman dapat membebaskan keseluruhan atau hanya sebahagian dari konfliknya yang bersifat neurotic di dalam bentuk sublimasi yang seni. Sifat “flexibility in the repressions” inilah sebenarnya yang memberikan segala kegiatan bawah sedar (unconscious) atau yang disebut sebagai ‘id’, bersuara.
Kegiatan bawah sedar inilah yang kerapkali pula mendesak dengan agak kuat untuk keluar supaya terbentuk sebagai satu pernyataan atau penglahiran. Inilah akhir-akhirnya menjadi sebuah mimpi pada waktu malam; atau, selepas melalui proses kesublimasian, ini akan menjelma sebagai suatu penciptaan atau karya seni (Hashim Awang, 1988: 145).
4.3 Kesan Keindahan Terhadap Pengarang
Dalam dunia lipur lara Melayu, kesedaran diri pengarang tentang hakikat bahawa
sasteranya itu mampu menghibur jelas dapat dilihat dalam prolog-prolog atau mukaddimah
sesebuah cerita. Pada bahagian pengantar, sangat jelas ditunjukkan bagaimana pengarang
merasakan bahawa dengan berkarya atau bercerita itu dia dapat menghiburkan hatinya sendiri.
Mereka seperti manusia lain yang hidupnya dihimpit oleh pelbagai masalah dan tekanan.
Konflik ini dileraikan oleh pengarang dengan menulis cerita. Malah mereka juga sedar
bahawa cerita yang dibaca, dipersembah atau ditulis itu juga mampu menghiburkan hati
khalayaknya. Malah mereka juga sedar bahawa cerita yang dibaca, dipersembah atau ditulis
itu juga mampu menghiburkan hati khalayaknya. Marilah kita teliti dn halusi tentang
kesedaran pengarang bahawa ceritanya itu mampu menghiburkan hatinya sendiri berdasarkan
kata pengantar sebuah syair didaktis, iaitu Syair Dagang;
“Hai sekalian hamba dan taulan ! {1}
Hamba mengarang suatu jalan, {2}Suatu rencana hamba khabarkan, {3}Daripada sangat hatiku rawan {4}Rasa binasa di dalam hati, {5}Rasanya badan bagaikan mati, {6}Syair ini penghibur hati” {7} (dipetik oleh Braginsky, 1998: 201)
Berdasarkan kutipan prolog yang dikumpulkan oleh Braginsky di atas, ingin saya
menarik perhatian anda untuk membincangkan tentang keyakinan si pengarang bahawa
karangannya yang indah itu benar-benar dapat menghiburkan. Perhatikan frasa ayat dibaris
{4,5 dan 6}, pengarang mengkhabarkan kepada kita akan keadaan dirinya (terutamanya aspek
jiwa) yang tidak ketentuan rasa hingga menyebabkan dia merasakan dirinya seakan mati.
Tekanan perasaan sebegitu hebat inilah yang mendorong beliau untuk berkarya (mengarang
syair ini) – ini dapat dibuktikan melalui frasa ayat dibaris {2 dan 3}. Tekanan yang
disublimasikan dalam bentuk syair inilah yang akhirnya dapat menyeimbangkan semula
emosinya dan menenangkan kembali dirinya. Maka syair ini dikarang oleh pengarang dengan
tujuan untuk menyukakan hatinya – ini dibuktikan pada baris terakhir {7}. Satu persoalan
menarik timbul di sini apakah yang menyebabkan mereka yakin bahawa sastera mereka itu
mampu memberikan hiburan dan kelegaan kepada diri sendiri ?
Pertamanya disebabkan oleh sifat karya itu sendiri yang indah-indah, lalu mampu
meransang berahi dan cinta menggelora. Berdasarkan analisis yang telah dilakukan di bab-bab
awal, kita telah didedahkan dengan ciri-ciri genre lipur lara itu yang berat dengan unsur-unsur
emotif dan ekspresif. Ceritanya sesak dengan adegan cinta berahi dan rindu dendam, aksi-aksi
spektakular yang memeranjatkan, gambaran kecantikan yang mengkhayalkan serta pemerian
kekayaan yang melimpa-ruah. Cerita-cerita sebegini menawarkan satu dunia gentian
(substitute gratification) serba sempurna kepada pengarangnya. Persekitaran dan kehidupan
sebenar mereka bertentangan dengan dunia sekunder lipur lara kerana mereka hidup dalam
serba kekurangan. Dunia mereka adalah kawasan-kawasan kampong yang terpencil, hidup
dibelenggu oleh bebanan kerja seharian yang menjemukan di sawah, di kebun, di laut dan
seumpamanya. Jika berdasarkan teori psikoanalisis Freud, mereka ni secra realitinya
menginginkan kehidupan yang dibayangi oleh kekayaan dan keseronokan. Segala keinginan
inilah akan disublimasikan oleh penglipur lara dalam cerita-ceritanya. Maka cerita mereka itu
dengan demikian dapat dilihat sebagai satu (escapism) dan agen therapeutic, pelerai dan
penyembuh kepada segala tekanan neurosis mereka.
Selain dari ceritanya yang indah-indah lalu melalaikan dan meriangkan hati, penglipur
lara juga dapat melipurkan hatinya sendiri melalui gaya penceritaan beliau sendiri. Alunan
suara yang merdu dan mendayu-mendayu dibantu oleh bunyi-bunyian dari alat muzik yang
sesuai ketika bercerita, ia memberi satu kepuasan kepada segala rasa hati sendiri. Jika
difikirkan secara logic, kaedah ini amat berkesan untuk mengharmonikan struktur jiwa.
Intonasi suara dan penggunaan naratif bahasa yang berat dengan emosi ini membawa bersama
gelodak jiwa mereka. Semakin pilu dan rawan rasa hatinya, maka ceritanya akan
dipersembahkan dengan lebih mendayu-dayu dan membuai-buai. Inilah agaknya kunci yang
menyebabkan si penglipur lara dapat menguasai dan menyampaikan ceritanya dengan
berkesan sekali. Fragmen prolog seterusnya dari Hikayat Anak Pengajian, dapat
membuktikan andaian ini bahawa melalui penyampaian cerita dengan cara bagus-bagus
sekali, penglipur lara mengaku yang ia mampu menghiburkan hatinya sendiri.
Adalah setengahnya yang berahi kepada yang membaca istimewa yang baik suaranya dan lagunya, maka bertambahkah berahi hati yang mendengar ini....Maka setengahnya adalah orang yang membaca sendiri mendengar suaranya sendiri dan serta memikirkan ceriteranya hikayat amat indah karangannya, maka iapun terkadang jadi rindu dan dendam dan berahi dengan suaranya sendiri seraya di dalam hatinya,....(dipetik oleh Braginsky, 1998: 198)
4.4 Kesan Keindahan Kepada Khalayak.
Sastera sejak zaman Greek Purba lagi sastera telah sering dikesansampingkan
berbanding cabang ilmu lain seperti falsafah, sains, logik dan seumpamanya kerana
peranannya yang dilihat tidak lebih dari mainan emosi semata-mata. Malah, Plato dengan
sinisnya telah menyelar ilmu sastera itu sebagai “.....the growth of passion” maka dengan itu
sifatnya hanya terbatas kepada “form of play, not to be taken seriously” (Ross, 1969: 7).
Pandangan Plato itu nampaknya begitu menarik untuk dijadikan tirai pembukaan bagi
membincangkan bahagian ini. Lipur lara seperti yang telah dijelaskan di bab-bab awal adalah
satu kelompok genre sastera Melayu yang dipenuhi dengan segala macam sifat-sifat indah
yang fungsinya dasarnya diterima umum sebagai menghiburkan.
Lipur lara adalah dunia yang dibina oleh kata-kata. Keberkesanan penyampaian si
penglipur lara banyak bergantung kepada keupayaannya memanipulasi aspek bahasa agar ia
menjelma kepada bentuk yang lebih ‘persuasif, emotif dan ekspresif. Bahasa sebeginilah yang
mampu merayu emosi audien agar mereka turut sama-sama terjebak dengan inti karya
terbabit. Lipur lara kerana fungsinya yang bersifat psikoterapi, maka ia amat kaya dengan
unsur-unsur luar biasa, ajaib, gharib dan seumpamanya. Keluarbiasaan ini dilihat dari rupa
paras, kekayaan, pesta keramaian dan sebagainya. Oleh kerana ‘keindahan’ adalah sifat asas
karya ini, maka segala yang luar-biasa itu perlu diperi dan diperincikan dengan cara yang juga
luar biasa. Maka di sinilah terletaknya kewajaran penggunaan kata-kata yang konotatif,
ekspresif dan emotif tadi.
Tetapi amat malang sekali kerana aspek bahasa inilah yang sering menjadikan sastera
dicemuh, misalnya seperti yang dikemukakan oleh Ross,
“The metaphors, ambiguities and indirect means of expression used in literature (and othr form of art) are often blamed for its unliteral and imprecise qualities” (Stephen D.Ross, 1969: 9)
Sedangkan dalam dunia lipur lara bahasa begini perlu untuk menjadikan pemerian
tentang rupa putera-puteri itu ‘hidup’, memperlihatkan akan gambaran kekayaan
dan kemewahan istana itu seperti ‘real’ dan membuatkan gelodak perasaan dan
konflik jiwa watak-wataknya lebih menyayat hati dan menyentuh perasaan.
Kerana sebagai sebuah karya yang berada dalam sfera keindahan, pemerian
karyanya itu harus dapat menyentuh aspek deria dan indera khalayaknya, agar
tenggelam dalam keindahan.
Selain dari ditandai oleh pemilihan dan penggunaan bahasa sebegini, lipur lara juga
sebuah cerita yang berat dengan emosi. Gambaran peperangannya penuh dengan perkara –
perkara sakti dan magis, aksi-aksi spektakular dan menakutkan serta berlangsung dalam
keadaan gamat dan gegal gempita oleh bunyi senjata, meriam, pedang dan sebagainya. Kisah
cinta wira dan wirawati pula sarat dengan luahan rasa cinta berahi, rindu dendam dan adegan
cumbua-cumbuan. Malah untuk menjadikan episod percintaan itu lebih tragik, diselitkan pula
pelbagai halangan dan rintangan yang mengancam keharmonian cinta mereka. Perjalanan dan
pengendalian sesebuah majlis keramaian dilaksanakan dengan penuh kemeriahan dan
keceriaan. Upacara keramaian tersebut akan memakan masa hampir berbulan-bulan lamanya,
disemarakkan pula dengan pelbagai jenis bunyi-bunyian dan permianan serta diserikan
dengan kehadiran rakyat pelbagai rupa dari segenap lapisan masyarakat.
Sesungguhnya cerita yang berta dengan gabungan pelbagai perkara-perkara yang luar-
biasa, aneh, ajaib dan gharib ini semuanya memang bertujuan ingin menimbulkan rasa
takjub,hairan, kagum di dlaam minda khalayaknya. Perasaan-perasaan begini penting kerana
ia boleh melekakan, mengkhayalkan, melalaikan mereka. Maka apabila cerita itu mampu
memukau audien, dengan itu ceritanya berjaya meninggalkan kesan psikoterapetik
(penyembuhan) yang merupakan antara dasar utama dalam keindahan. Dalam kata lain, sifat-
sifat indah karya itu bukan hanya melekakan sahaja malah ia boleh menjadi penawar jiwa
kepada sesiapa yang menghayatinya. Inilah kesan ‘keindahan’ yang dapat dicerap oleh
audien dari karya sebenarnya. Hujah Plato bahawa, sastera itu hanyalah sekadar,
“as nothing but a source of pleasure and entertainment, witahout greatIntellectual pretensions or serious content, then it destroys the moral Fibre of our souls and corrupts our very being. It appeals to sentiments That overpower reason and rule without knowledge or understanding, leading to moral degenaration” (Stephan D. Ross,1969: 8)
Pandangan Plato nampaknya perlu dinilai semula. Walaupun fungsi lipur lara tidak
dapat membawa audiennya mencapai tingkat keintelektualan dan kerohanian namun fungsi
psikoterapi yang menyukakan dan mengharmonikan jiwa (penghibur/penglipur), ini sangat
penting.
Fungsi psikoterapi seni melalui dunia emosinya gagal dilihat oleh Plato kerana pada
anggapannya pengarang (dalam kes ini merujuk kepada penglipur lara) yang menyajikan
kepada audiennya cerita-cerita yang emotif dan ekspresif hanya
“...produces in us fear , sorrow, terror and pity, all of which weakenthe character ang degrade the mind rather than strengthening the noble part of us and inspiring us with conviction and self-discipline”( Ross, 1969: 8)
Idea Plato ini telah disangkal oleh anak muridnya sendiri iaitu Aristotle. Aristotle
menerima secara positif pandangan Plato bahawa ‘poetry waters the growth of passion’
kerana baginya penyuburan emosi ini penting, kerana ia akhirnya akan membawa kepada
pembersihan emosi yang berlebihan tersebut. Proses ini dikenali sebagai katarsis atau pelerai
emosi. Audien yang ada pada pandangan Plato akan menjadi seorang yang lemah kerana
dihantui oleh perasaan sedih, takut, sedih dan sebagainya,apabila melaui proses katarsis,
individu terbabit sebenarnya akan dapat membersihkan dan melenyapkan perasaan-perasaan
tersebut sehingga akhirnya menjadikan audien itu lebih kuat untuk berhadapan dengan realiti.
Aristotle dalam menentang idea Plato telah menghujahkan;
Tragedy produces a catharsis of pity and fear which transforms thenature of such feelings, even into morally desirable attitudes and orientations. The portrayal of terrible events in the theatre is not necessarily corrupting; it may well serve to develop revulsion andrepudiation in the audience, and end by strengthning rather than weakening moral conviction (Ross, 1969: 8)
Aristotle dalam hal ini menyatakan bahawa kesan yang ditinggalkan bukanlah
merendahkan emosi dan perasaan pembaca malah ia meningkatkan lagi rasa kemanusiaan si
pembaca. Contohnya jika dia menyaksikan atau membaca kisah-kisah perang yang penuh
dengan kekejaman dan keganasan, ini tidak akan membentuk peribadinya menjadi ganas
kejam tetapi dia sebenarnya akan benci kepada kekejaman dan kekejaman tersebut.
Aristotle’s reply goes far beyond the mere affirmation that art can serve to develop revulsion and repudiation in audience , and suggest even more that it may do so in ways far from obvious (Ross,1969 : 8)
Konsep katarsis ini mungkin boleh disamakan dengan konsep sublimasi dalam
pemikiran Freud. Emosi berlebihan ini jika tidak dikeluarkan akan menekan manusia dan
menjadikannya berada dalam keadaan ‘neurosis’
Lipur lara melalui dunia fantasi yang ditawarkan oleh si penuturnya juga dapat
melarikan diri audiennya (escapism) dari segala kepayahan hidup seharian ( Freud menyebut
hal ini sebagai kepuasan gantian). Cerita-cerita penglipur lara ini sebenarnya cerita untuk
diceritakan atau untuk melipur lara dikalangan masyarakat yang berada jauh dari kota.
Mereka ini rata-ratanya adalah masyarakat bawahan yang hidup berasaskan ekonomi tani
seperti bersawah dan berkebun serta aktiviti penangkapan ikan. Khalayak tradisional ini
sebenarnya hidup dalam keadaan serba kekurangan dan kemiskinan. Hiburan yang ada dalam
masyarakat tertutup dan konservatif adalah terhad sekali. Maka inilah antara punca yang
menyebabkan mereka keluar di malam-malam hari untuk mengunjungi dan menyaksikan
persembahan para penglipur lara ini sebagai pelarian dari bebas kerja seharian.
Mereka adalah manusia biasa yang perlukan sedikit hiburan dalam hidup. Mereka juga
mempunyai keinginan-keinginan tinggi kepada kemewahan, kecantikan dan kekuasaan. Jika
berdasarkan topografi pemikiran Frued segala keinginan yang bertakung dalam id ini perlu
dilepaskan atau tidak manusia-manusia ini mengalami neurosis. Untuk dapat berdepan dengan
realiti, mereka ini lari mencipta fantasi dan ilusi demi untuk memenuhi segala tuntutan-
tuntutan libidinal yang tidak dapat dicapaidan dipuaskan melalui saluran-saluran biasa kerana
ditekan oleh prinsip superego. Dunia lipur lara adalah saluran terbaik bagi mereka ini
memenuhi segala hasrat mereka ini. Ini bersesuaian dengan cerita-cerita penglipur lara yang
memfokuskan ceritanya tentang manusia istimewa, iaitu anak-anak raja dan tuan-tuan puteri
yang sifat serta peribadinya penuh kehebatan dan keunggulan. Berlatar belakangkan istana-
istana yang besar dan tersergam indah serta taman-taman bunga yang indah dihiasi dengan
pelbagai bunga-bunga , batu-batuan dan baunya yang harum semerbak. Semuanya ini
memberikan rasa terpaut, terpegun dan terpesona mereka yang akhirnya menjadikan mereka
tenggelam dan hanyut dibuai oleh cerita-cerita yang mengasyikkan ini. Inilah faktor ynag
menguatkan pandangan bahawa lipur lara ini merupakan satu daya untuk lari dari kenyataan
hidup sebenar (escapism) .
Mendengarkan kisah-kisah khayalan ini dapat mengalihkan jiwa dan fikiran mereka
kepada gambaran serba indah , mengasyikkan, dan menggharibkan yang dipaparkan oleh si
penglipur lara. Oleh kerana dalam keadaan semulajadi segala keseronokan ini tidak dapat
dipenuhi , maka dengan hanya mendengar dan menghayati cerita-cerita penglipur lara, mimpi
dan keinginan kepada keseronokan ini akan berlingkar di dalam khayalan dan angan-angan
mereka. Mereka semacam mencipta satu pembohongan fantasi (delusion of phantasy). Sering
kali juga mereka akan mengidentifikasikan diri mereka dengan watak-watak dalam cerita
untuk menjadi kaya, masyhur, cantik, bijaksana, dan sebagainya. Maka inilah bagaimana
sastera itu menjadi satu escapism kepada masyarakat melayu dahulu;
Golongan masyarakat yang hidup dalam serba kesederhanaanBerlumang dalam sawah dan mengharungi sungai dan lautan untukPenghidupannya, dapat melupakan sebentar kenyataan hidupnyaDengan berangan – angan tentang anak-anak raja dan tuan-tuan Puteri dalam istana yang besar tersergam dan kebun bunga yangindah berwarna – warni. ( Jamilah Hj.Ahmad, 1981: 13)
perbicaraan tentang fungsi sastera yang indah – indah sebagai penenang dan
penyembuh banyak terdapat dalam kata-kata pengantarsesebuah karangan Melayu tradisional.
Kesedaran tentang kesan ‘keindahan’ yang ditawarkan oleh karya ini contohnya ada
dinyatakan oleh seorang dalang yang menyampaikan cerita Hikayat Andekan Penurat;
Alkisah inilah suatu hikayat cerita Jawa, dipindahkan kepadaBahasa Melayu yang terlalu indah –indah karangannya, dipatutOleh dalang yang arif lagi bijaksana yang amat masyur di tanahJawa. Maka ada menaruh percintaan sekalipun, maka hilanglahpercintaannya, sebab mendengar hikayat inilah yang meliputi
dendam dan berahi sekalian, astamewa yang ada menaruh rindudendam akan kekasihnya ( dipetik oleh Koster,1996: 80)
kesedaran pengarang tentang keupayaan ceritanya itu melegakan hati audiennya dapat
diperkukuhkan lagi melalui pandangan yang dikemukakan oleh Koster.
As the prime effect of his story, on its audience or readers the narrator as dalang promises that it will soothe all feeling of yearning and desire, especially of those who are in love( Koster, 1996:82)
Untuk lebih membuatkan karyanya itu mempengaruhi jiwa pendengarnya maka cerita
itu harus diperpanjangkan. Kerana jika cerita menjadi cukup panjang, maka pengaruh yang
ditimbulkan olehnya akan mencapai intensitas yang diingini (Braginsky, 1998: 204). Tidak
hairanlah mengapa cerita-cerita penglipur lara itu akan mengambil masa bermalam-malam
untuk dihabiskan. Mungkin dengan lebih banyak masa diperuntukkan, maka si penutur ini
berpeluang untuk menokok-tambah dan membesar-besarkan lagi segala gambaran yang
indah-indah, ajaib dan gharib dalam ceritanya. Secara lojiknya juga apabila cerita itu panjang
maka audien turut akan memanjangkan angan-angan dan khayalannya agar selari dengan
cerita terbabit. Kesan ‘keindahan’ dari cerita selama satu malam tentunya tidak sehebat kesan
yang dialami oleh audien yang mendengar cerita selama tiga malam.
Bahawa ini ceritera orang dahulu kala dari pada bahasa Melayu dan Jawa, diceriterakan oleh dalang dan bujangga yang pramakawi di tanah Jawa dipindahkan dengan bahasa Melayu, maka akan jadi penghibur rasa yang dendam dilelakonkan. Dalam itu pun masyghul di mana kan hilang? Dendam pun tiada berbilang! Akan perinya juga pun dalang katakana akan pemadam hati yang berahi, maka dalang panjangkan lelakon ini supaya menjadi lanjut tembang dan kidung dan kekawin segala yang arif bijaksana daripada menyatakan isyki dalam kalbu...(dipetik oleh Braginsky, 1998: 200).
Selain itu pengaruh yang ditinggalkan juga banyak bergantung kepada keupayaan si
penutur dalam menyampaikan ceritanya dan kemampuan pendengar menangkap maksud
penglipur lara terbabit. Ini bermakna perlu berlaku pertembungan ufuk pemahaman antara
pendengar dan penglipur lara.
Penceritaan harus dilakukan oleh seorang yang arif, dan harus pula ditujukan kepada seorang pendengar atau juga memiliki akal yang luhur dan adatb resam jiwa yang halus, atau pada seroang yang cerdik pandai..(Braginsky, 1998: 204).
Jika bertolak dari teori rasa-fenomenologi, (Sohaimi, 1998) tingkat penerimaan
seseorang khalayak itu akan melalui dua tahap persepsi, iaitu persepsi literal dan persepsi
estetik. Bermula dari persepsi literal hingga kepada persepsi estetik, pembaca akan melalui
tiga peringkat iaitu (i) peringkat deria, (ii) peringkat imaginative dan (iii) peringkat
identifikasi (Sohaimi, 1998: 75). Pada peringkat deria, ia lebih bertujuan untuk pemahaman
tentang representasi (karya yang ditanggapi) melalui bantuan indera. Pemahaman dalam teori
rasa-fenomenologi bukan bertujuan mendapatkan makna konseptual, tetapi membolehkan
khalayak terbabit tenggelam dalam cerita. Di peringkat imaginasi, unsure naratif dan teknik
penulisan (penceritaan) si penutur akan bertindak sebagai mekanisme yang meransang
imaginasi khalayak. Pada tahap ini, khalayak yang sudah dapat memahami cerita akan mula
membuat bayangan atau mengimaginasikan cerita terbabit. Di peringkat terakhir iaitu,
peringkat identifikasi, khalayak akan mula bersatu dengan karya dengan dia mula merasai dan
menghayati watak dan cerita terbabit. Dengan melewati ketiga-tiga proses tersebut barulah
cerita penglipur lara itu akan mengalami perubahan dari sebuah objek seni ke objek estetik.
Objek estetik ini akan ditanggapi oleh pengalaman estetik (yang ada pada diri
khalayak), maka ia seterusnya akan mengarah kepada proses pengkonkritan estetik. Apabila
ini berlaku dan ditambah pula dengan intensity kepekaan dan sensitivity yang tinggi dari
khalayak , maka barulah cerita ini dapat dihayati dan dialami dengan lebih berkesan. Kesan
dan pengaruh keindahan dari karya (objek estetik) dengan itu akan lebih cepat diresapi dan
ditanggapi oleh minda khalayak. Dengan mengaplikasikan sebahagian dari teori rasa-
fenomenologi ke atas genre lipur lara ini kita dapat melihat perkaitan bagaimana pengalaman
menikmati keindahan karya itu ditimbulkan. Apabila khalayak dapat menikmati karya
terbabit, maka tidak sukar untuk kita menjelaskan tentang bagaimana keindahan itu akhirnya
berfungsi (meninggalkan kesan) ‘kataris’, ‘escapism’ dan ‘psikoterapik’ ke atas khalayak.
Inilah ciri-ciri terpenting dalam konsep sastera Melayu tentang fungsi sastera sebagai
penghibur hati. Keindahan dalam genre lipur lara ini dilihat berdasarkan kemampuannya
membangkitkan tindak balas psikologis sama ada pada diri pengarang mahupun khalayaknya.
Keindahan dari karya bukan setakat melalaikan, melekakan hingga membawa kepada keadaan
lupa, merca dan pengsan, tetapi keindahannya mampu menyeimbangkan struktur jiwa yang
dihimpit oleh keinginan dan desakan kebendaan.
“ keindahan yang dicipta, disampaikan dan dihayati secara teratur oleh arif bijaksana yang pengawasan akalnya atas jiwa cukup kuat bukan sahaja tidak berbahaya, malah dapat menjadi penghibur hati atau penglipur lara. Keindahan yang demikian itu dapat memulihkan harmoni perasaan-perasaan di dalam jiwa dan menghapuskan kekuatiran, keresahan, kemasygulan dan perasaan-perasaan lain yang semacamnya. Kalau hati tersiksa kerana cinta yang tidak berbalas, maka pembacaan karangan indah, konon bisa melenyapkan rasa pahit itu, kerana melahirkan keghairahan untuk terus membaca dan menikmatinya, yang lebih kuat daripada cinta yang tidak berbalas tersebut (sublimasi perasaan aatu afek)” (Braginsky, 1998: 213).
BAB LIMA
RUMUSAN
Keindahan itu dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu pertamanya ialah keindahan
ciptaan Tuhan yang terjelma dalam bentuk alam dan makhluk. Manakala jenis keindahan
yang berikutnya adalah keindahan yang dicipta oleh manusia seperti keindahan dalam bentuk
seni lagu, seni bunyi, seni bahasa dan sebagainya.
Apabila melihat atau menanggapi sesuatu keindahan ada dua perkara atau aspek yang
perlu diambil perhatian sewajarnya. Aspek penting yang pertama-tamanya perlu diberi
perhatian ialah sifat atau keadaan sesuatu objek yang dianggap ‘indah’. Berdasarkan fahaman
masyarakat Melayu Abad Pertengahan (masyarakat Melayu tradisional), sifat-sifat keindahan
selalunya merujuk kepada beberapa ciri dan unsur. Yang indah itu harus pertamanya luar
biasa, keduanya beranekaragam dan ketiganya harmonis.
Aspek kedua yang perlu diambil kira apabila ‘melihat’ sesuatu keindahan ialah meneliti
tentang implikasi atau kesan yang akan ditinggalkan oleh sesuatu objek yang ‘indah’. Nilai
keindahan sesuatu objek yang ‘indah’ sangat bergantung kepada persepsi penerima keindahan
tersebut. Proses penerimaan keindahan ini mempunyai perkaitan erat dengan struktur jiwa dan
tahap epistemology seseorang individu. Jika keindahan itu dicerap dengan menggunakan
indera zahir dan struktur jiwanya pula berada dalam keadaan tidak berimbang maka ia
menyebabkan individu terbabit tenggelam dalam keindahan terbabit hingga menjadi lupa diri,
mabuk, merca dan jatuh pengsan. Jika keindahan itu dicerap dengan menggunakan mata batin
(akal rasional), keindahan itu mampu meninggalkan kesan kebijaksanaan. Keindahan itu akan
dapat memperkukuhkan dan menyempurnakan akal manusia. Manakala, jika keindahan itu
dicerap dengan menggunakan mata hati (akal kully) ia mampu membawa individu terbabit
kembali mengakui hakikat ‘kebesaran’ pencipta keindahan tersebut. Dalam kata lain, ia
mampu menyempurnakan rohani dan menyucikan kalbu individu tersebut untuk mencapai
tahap penghayatan yang hakiki ke atas kuasa Ilahi yang tidak bertepi. Namun untuk dapat
meninggalkan kesan psikologi yang kuat, keindahan itu harus bersifat menyeluruh dan
mencakup. Ini bermakna keindahan itu seharusnya dapat menyentuh seluruh pancaindera
penerima terbabit, termasuklah indera mata, indera telinga dan seumpamanya.
Semua aspek yang di atas, telah dijelaskan dengan baik dan terperinci oleh Braginsky
melalui dua teorinya yang terkenal iaitu Teori Keindahan dan Teori Sfera Fungsional. Kedua-
dua teori ini telah dihuraikan dalam bab 2.
Dalam korpus sastera Melayu tradisional, terutamanya dari himpunan cerita-cerita
rakyat, genre lipur lara merupakan hasil sastera yang kaya dengan nilai-nilai keindahan.
Keindahan genre ini dibina berdasarkan struktur dalamannya (isi cerita, motif, tema dan
sebagainya) dan struktur luarannya (aspek stailistik, alat muzik, suara dan seumpamanya).
Puitika yang membina genre inilah yang menjadikan lipur lara ini sebagai sebuah seni yang
‘indah’.Keindahan inilah kemudiannya yang menentukan pula fungsi utama genre ini, iaitu
sebagai seni yang bermatlamat untuk mengharmonikan kekacauan jiwa.
Namun, dalam masa yang sama, kita tidak dapat menafikan fungsi lipur lara yang
lainnya, iaitu sebagai membawa pengajaran – didaktik. Seperti ubat yang pahit tetapi ada
hikmahnya sebagai penawar, maka begitu jugalah dengan fungsi lipur lara ini. Melalui isi
ceritanya lipur lara dapat menyelitkan amanat moral tentang tanggungjawab, kesetiaan dan
yang paling utama sekali menyampaikan kepada audiennya model tingkahlaku yang
sempurna melalui keunggulan dan keutuhan peribadi para wira dalam cerita. Kajian tentang
cerita panji yang dilakukan oleh Koaster (1997) dalam bukunya ‘Roaming through Seductives
Garden’, dapat membantu pemahaman yang lebih mendalam tentang fungsi seni ini sebagai
alat yang menghibur dan mendidik.
Lipur lara ini dibina oleh dunia yang dalamnya penuh dengan segala unsur-unsur luar
biasa, gharib, ajaib, pelbagai, beranekaragam dan harmonis. Berdasarkan sifat dan ciri genre
lipur lara ini yang lebih khusus fungsinya sebagai alat penghayatan sensual maka ia sesuai
untuk dikelompokkan dalam kategori sfera keindahan dalam hierarki sistem sastera Melayu
tradisional. Teori keindahan dan Teori Sfera (sfera keindahan) oleh Braginsky juga
menampakkan lebih tertumpu untuk membincangkan sifat-sifat karya yang bertunjangkan
elemen keindahan. Maka di sini jelas terlihat akan kesesuaian dan kewajaran mengaplikasikan
Teori Keindahan dan Teori Sfera Fungsional ke atas genre lipur lara Melayu.
Genre lipur lara ini sesungguhnya merupakan satu genre yang masih menanti untuk
dikaji dan dianalisis. Sebarang kajian ke atas genre akan dapat menampilkan dan
menghidupkan genre di kalangan khalayak sastera masa kini. Saya berharap kajian ini,
walaupun amat terbatas bentuknya akan dapat memberi sumbangan ke arah menyemarakkan
minat terhadap genre ini yang akhirnya akan dapat membuka laluan kepada penerokaan-
penerokaan yang lebih tuntas. Sesungguhnya masih banyak lagi aspek yang boleh diterokai,
terutama yang berkait dan aspek-aspek estetika dan puitika genre ini.
BIBLIOGRAFI
A.Bakar Hamid (1982). Diskusi Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ali Ahmad (1965). Hikayat Inderaputera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ali Ahmad (1994). Pengantar Pengajian Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Anas Haji Ahmad (1964). Sastera Melayu Lama. Singapura: Sinaran Bros.
Braginsky, V.I (1993). The System of Classical Malay Literature. Leiden: KTLV.
Braginsky, V.I. (1994a). Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam Kesusasteraan Melayu
Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Braginsky, V.I. (1994b). Nada-nada Islam dalam Sastera Melayu Klasik. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Braginsky, V.I. (1998). Yang Indah, Berfaedah dan Kamal: Sejarah Sastera Melayu dalam
Abad 7-19. Jakarta: INIS.
Guerin, et. al (1966). A Handbook of Critical Approaches to Literature. New York: Harper &
Row Publisher.
Hall, Calvin S. (1954). A Primer of Freudian Psychology. USA: The World Publishing.
Hamidah Abdulhamid (1995). Pengantar Estetika, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hashim Awang (1988). “Freud dan Kesusasteraan Melayu” Dalam Konsep dan Pendekatan
Sastera. Penyelenggara Hamzah Hamdani. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hashim Awang, et. al (1995). Mendekati Kesusasteraan Melayu. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Hooykas, C. (1981). Perintis Sastera. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Inon Shaharuddin (1983). Si Miskin: A structural Study (Monograf 2). Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Ismail Hussein (1974). The Study of Tradisional Malay Literature with a Selected Bibliography.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jamilah Ahmad, penyeleggara (1981). Kumpulan Esei Sastera Melayu Lama. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamal Ariffin (1984). Sejarah Sastera Melayu Klasik dan Moden. Kuala Lumpur: Supreme
Marketing.
Koster, G.L. (1997). Roaming through Seductives Gardens. Leiden: KTLV.
Mahmood Nazar Mohamad, terjemahan (1992). Tiga Pemikiran Psikologi: Dari Perspektif
Freud, Skinner dan Rogers. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Maier, H.M.J. (1988). In The Centre of Authority. Ithac/ New York: Cornell South East Asia
Program.
Matlob (1962). Gelombang Sastera. Singapura: Malaya Publishing.
Mohd Affandi Hassan (1992). Pengantar Estetika. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Taib Osman (1965). Kesusteraan Melayu Lama. Kuala Lumpur: Penerbitan Federal.
Mohd Taib Osman, penyelenggara (1991). Pengkajian Sastera Rakyat Bercorak Cerita. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Haji Salleh (1991). Yang Empunya Cerita: The Mind of the Malay Author. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Haji Salleh (1992). Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan. Kuala Lumpur:
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Muhd. Mansur Abdullah (1988). Pengantar Kesusasteraan Melayu Lama. Kuala Lumpur: Nurin
Enterprise.
Mustafa Mohd Isa (1984). Penglipur Lara Melayu. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Mustafa Mohd Isa (1987). Awang Belanga: Penglipu Lara Dari Perlis. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Noriah Taslim (1986). Asas-asas Pembinaan Epik. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
Noriah Taslim, terjemahan (1987). Morfologi Cerita Rakyat V. Propp. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Noriah Taslim (1993a). Teori dan Kritikan Sastera Melayu Tradisional. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.
NoriahTaslim (1993b). “Perubahan Tanggapan Terhadap Alam Istana: Dari Penglipur Lara ke
Naratif Sejarah”. Dalam Dewan Sastera, Oktober.
Noriah Taslim (1994). “Struktur Ruang dan Konsep Kebangsawanan dalam Roman Penglipur
Lara” Dalam Budi Kencana: Kumpulan Makalah Memperingati Persaraan Profesor Tan
Sri Dato’ Ismail Hussein. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Noriah Taslim (1996). “Perpetuation of Tradition: Cosmic Myth, Coutly Culture and Structure
of Space in Malay Folk Court Romance” Dalam Jurnal Persuratan Melayu. Bangi:
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Noriah Taslim (1997). “Kedah Bacaan Teks Mengikut Teori Psikoanalisis dan Resepsi”. Kertas
Kerja Bengkel Penulisan Kreatif dan Kritikan Sastera, anjuran Pusat Pengajiaan Ilmu
Kemanusiaan, USM pada 27 hingga 29 Januari.
Pitrim, Sorokin (1945). The Crisis of Our Age, New York: E.P. Dutton & Co. Inc.
Propp, Valdimir (1968). Morphology of the Folktale. Austin and London: University of Texas.
Ross, Stephen D. (1969). Literature and Philosophy. New York: Appleton Century Crofts.
Shellabear, W.G. (1966). Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Smith, Huston (1989). Beyond the Post Modern Mind. Wheaton: Thesopical Publishing House.
Sohaimi Abd. Aziz (1998). Rasa Fenomenologi: Penerapan Terhadap Karya A. Samad Said.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Supardi Muradi (1989). “Freud, Psikoanalisis dan Topografi Pemikiran. Dalam Dewan Sastera,
Ogos & September.
Sweeney, Amin (1972). The Ramayana and theMalay shadow-Play. Kuala Lumpur: Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Sweeney, Amin (1973). Authors and Audience in Traditional Malay Literature. Berkeley:
University of California.
Sweeney, Amin (1974). Profesional Malay Story Telling: Some Questions of Style and
Presentation, Dalam Michigan Papers On South and Southeast Asia, Michigan: Ann
Arbor.
Vasina, Jan (1965). Oral Tradition. Terjemahan H.M.Wright. London: Routledge & Keagen
Paul.
Wiber, Ken (1990). Eye to Eye: The Quest for the New Paradigm. Boston & Shaftesburry.
Winstedt, R.O. (1960). A History of Classical Malay Literature. Kuala Lumpur: OUP.
Winstedt, R.O. dan Sturrock, A.J., ed. (1968). Hikayat Raja Muda. Singapura: Malay
Publishing House.
Winstedt, R.O dan Sturrock, A.J., ed. (1983). Hikayat Malim Dewa. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Winstedt, R.O dan Sturrock, A.J., ed (1984). Hikayat Malim Deman. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Winstedt, R.O. dan Sturrock, A.J., ed (1985). Hikayat Awang Sulong Merah Muda. Petaling
Jaya: Fajar Bakti.
Winstedt, R.O. dan Sturrock, A.J, ed (1985). Hikayat Anggun Cik Tunggal. Petaling Jaya: Fajar
Bakti.
Zalila Sharif dan Jamilah Haji Ahmad, penyelenggara (1993). Kesusteraan Melayu Tradisional.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.