1
MANIFESTASI INSTITUSI KEKELUARGAAN MELAYU DALAM
NOVEL HATIMU AISYAH KARYA ZURINAH HASSAN
Oleh
Halis Azhan bin Mohd Hanafiah
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia, Malaysia
ABSTRAK
Kajian ini dilakukan untuk membincangkan institusi kekeluargaan Melayu dalam
novel Hatimu Aisyah karya SN Zurinah Hassan. Institusi kekeluargaan merujuk
kepada suatu institusi sosial paling asas yang dianggotai oleh seseorang individu
dan boleh mempengaruhi kehadirannya dalam institusi-institusi sosial yang lebih
besar. Institusi kekeluargaan juga merupakan kontak paling awal bagi seseorang
individu sebelum mengenali kontak-kontak lain dalam lingkungan sosialnya. Dalam
konteks dunia Melayu, institusi kekeluargaan ini dikatakan terbina dalam fahaman
dan kepercayaan umum bahawa terhadap hubungan yang akrab antara adat resam
Melayu dengan ajaran Islam, sehingga sebati dan mempengaruhi kehidupan
masyarakat Melayu seluruhnya. Sehubungan dengan itu, kajian ini menggariskan
tiga objektif yang ingin dicapai. Pertama, mengklasifikasikan jenis-jenis keluarga
yang membentuk institusi kekeluargaan Melayu dalam novel Hatimu Aisyah. Kedua,
menganalisis jenis-jenis keluarga yang membentuk institusi kekeluargaan Melayu
2
dalam novel Hatimu Aisyah. Ketiga, merumuskan hubungan antara pengaruh adat
resam Melayu dan ajaran Islam dengan dinamika institusi kekeluargaan Melayu
dalam novel Hatimu Aisyah. Untuk mencapai ketiga-tiga objektif ini, kajian ini
memanfaatkan teori Pengkaedahan Melayu yang digagaskan oleh Hashim Awang
(1989) sebagai kerangka kajian. Teori Pengkaedahan Melayu terbahagi dua iaitu
Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Keagamaan. Pengkaedahan Alamiah
terdiri daripada Pendekatan Gunaan, Pendekatan Moral dan Pendekatan Firasat,
manakala Pendekatan Keagamaan pula terdiri daripada Pendekatan Dakwah,
Pendekatan Kemasyarakatan dan Pendekatan Seni. Prinsip-prinsip pendekatan
dalam Pengkaedahan Melayu ini digunakan secara bersama bagi mencapai ketiga-
tiga objektif kajian. Melalui pengamatan terhadap institusi kekeluargaan yang
mendasari kehidupan protagonisnya, iaitu watak Aisyah, kajian ini mendapati
bahawa terdapat tiga jenis institusi kekeluargaan Melayu dalam novel yang dikaji,
iaitu “keluarga asas”, “keluarga luas” dan “keluarga gabungan”. Bertolak daripada
kehadirannya sebagai seorang anak perempuan dalam sebuah “keluarga asas”,
novel menceritakan bagaimana watak Aisyah setelah mendirikan rumah tangga
melihat keluarganya membesar membentuk “keluarga luas” dan “keluarga
gabungan”. Kajian turut mendapati bahawa terdapat hubungan langsung antara
pengaruh adat resam Melayu dan ajaran Islam dengan kerukunan institusi
kekeluargaan Melayu dalam novel yang dikaji.
Kata Kunci: Institusi Kekeluargaan Melayu, Novel, Melayu, Islam, Hatimu Aisyah
3
Pengenalan
Penelitian terhadap teks-teks sastera berorientasikan sistem-sistem sosial lazimnya
dapat merintis dua pemahaman penting. Pertama, teks sastera tidak akan berdiri
sendiri tanpa dokongan dan terapan unsur-unsur di luar teks yang berada dalam
lingkaran kehidupan penulis. Dengan dokongan terapan unsur-unsur inilah, teks
sastera berupaya hadir sebagai suatu dokumen sosial yang sah (legitimate) dan
berautoriti. Dengan kata lain, teks sastera menjadi dokumen yang menampung dan
seterusnya mengungkapkan maklumat-maklumat penting tentang sesebuah
masyarakat dalam lingkungan suatu tempat, masa dan zaman. Kedua, manifestasi
aspek masyarakat yang terpancar dalam teks turut menyerlahkan hubungan akrab
antara tiga pihak, iaitu penulis, karya sasteranya dan masyarakat. Hubungan ini
berbentuk timbal balik, sekali gus menyerlahkan keupayaan teks sastera untuk
mengungkapkan pelbagai realiti sosial. Antaranya ialah kecenderungan sosial, politik
dan ekonomi, persekitaran sosial, pensejarahan bangsa dan kepelbagaian institusi
sosial.
Pengamatan awal secara umumnya mendapati bahawa aspek masyarakat
kerap menjadi perhatian dalam kajian-kajian terdahulu, sama ada kajian-kajian luar
negara dan dalam negara, dan rata-ratanya menyentuh realiti sosial masyarakat
Melayu. Antaranya, kajian oleh Banks (1990) yang membincangkan pengaruh Islam
dan Melayu dalam kalangan masyarakat Melayu luar bandar dalam Krisis (1966)
karya Alias Ali, Garis Hitam Membelah Langit (1966) karya Ruhi Hayat, Seluang
Menodak Baung (1978) karya Shahnon Ahmad dan Saudagar Besar dari Kuala
Lumpur (1982) karya Keris Mas mendapati bahawa terdapat hubung kait yang erat
4
antara kedua-dua elemen ini dengan perubahan sosial, ekonomi dan politik yang
berlaku di persekitaran masyarakat. Seterusnya, kajian terhadap masyarakat luar
bandar turut dilakukan oleh Watson (1989) melalui penelitiannya terhadap watak-
watak ahli masyarakat yang miskin dalam lima buah novel Melayu iaitu Jalan ke
Kubur (1969) oleh Khadijah Hashim, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979)
karya Anwar Ridhwan, Perjudian (1973) karya S. Othman Kelantan, Rentong (1965)
karya Shahnon Ahmad dan Sehingga Jatuhnya Matahari (1974) karya A. Shukor
Harun. Kajian ini mendapati bahawa watak-watak protagonis yang dikaji rata-rata
percaya bahawa alat-alat penting untuk membebaskan diri daripada belenggu
kemiskinan ialah pendidikan dan bantuan kerajaan dalam bentuk galakan dan
latihan. Kajian oleh pengkaji tempatan pula antaranya dilakukan oleh Misran
Rokimin, Mawar Safei dan Che Abdullah Che Ya (2011) yang membincangkan
aspek “mobiliti sosial” watak-watak terpilih dalam novel Interlok (1971) karya
Abdullah Hussain. Kajian ini mendapati bahawa watak Melayu yang menjadi anak
tempatan mengalami mobiliti sosial yang bergerak mendatar (iaitu tidak mengalami
perubahan) manakala watak Cina dan India mengalami mobiliti sosial yang bergerak
menegak (iaitu mengalami perubahan) berikutan tuntutan-tuntutan sosial, ekonomi
dan politik negara. Kajian terhadap novel Melayu turut dilakukan oleh Hanapi Dollah
(2008) yang membincangkan masalah kemelaratan masyarakat Melayu pinggiran di
Singapura dalam novel Salina (1961) karya A. Samad Said. Kajian ini mendapati
bahawa ahli-ahli masyarakat Melayu pinggiran dalam novel yang dikaji tidak
berupaya mengeluarkan diri daripada belenggu kemiskinan berikutan masalah tahap
pendidikan yang rendah. Akhir sekali, kajian oleh Halis Azhan Mohd. Hanafiah
(2019) terhadap institusi sosial dalam novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur
(1982) karya Keris Mas mendapati bahawa perubahan-perubahan dalam institusi
5
sosial masyarakat bandar dan luar bandar dalam novel berkenaan berlaku berikutan
perubahan-perubahan yang timbul dalam sistem sosial, ekonomi dan politik di
Malaysia pada zaman yang dibangkitkan dalam cerita.
Novel Hatimu Aisyah (2016) merupakan satu-satunya karya dalam genre
novel yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara Zurinah Hassan. Novel ini
menghadirkan cerita tentang seorang gadis daripada sebuah keluarga miskin di
Kampung Simpor bernama Aisyah. Setelah meningkat dewasa, dia telah dijodohkan
dengan seorang lelaki Melayu bernama Ayub. Watak Aisyah kemudian berpindah ke
Tikam Batu (iaitu sebuah pekan kecil tidak jauh dari bandar Sungai Petani, Kedah)
kerana mengikut suaminya yang mendapat pekerjaan sebagai seorang guru agama
di sekolah kerajaan. Novel seterusnya menceritakan bahawa seiring dengan
peningkatan usianya, watak Aisyah mendapati bahawa keluarga kecilnya telah
berkembang. Dengan itu, tugas dan tanggungjawab watak Aisyah diceritakan turut
berubah dan bertambah. Mengambil premis bahawa watak Aisyah boleh mewakili
dunia masyarakat Melayu seluruhnya, maka kajian ini berusaha membangkitkan
manifestasi institusi kekeluargaan Melayu yang dapat ditemukan dalam novel
Hatimu Aisyah.
Skop Perbincangan
Seperti yang telah dijelaskan lebih awal, kajian ini dilakukan bertujuan untuk meneliti
manifestasi institusi kekeluargaan Melayu dalam novel Hatimu Aisyah karya Zurinah
Hassan. Dalam hal ini, Kamus Dewan (2007: 725) mentakrifkan “keluarga” sebagai
6
“1. Sekalian orang yang mempunyai perhubungan keturunan antara satu sama lain
(sama nenek moyang mereka); 2. Seisi rumah tangga (yang terdiri daripada suami
dan isteri atau berserta anak-anak), kelamin, famili.” Lammana, Reidmann dan
Stewart (2018: 4) menjelaskan bahawa “keluarga” boleh terbentuk melalui pertalian
biologi antara ibu bapa dengan anak-anak, serta sanak saudara yang lain, dan
lazimnya dipertautkan melalui keturunan, perkahwinan atau penerimaan
(adoptation). Ahli-ahli keluarga dikatakan saling mengambil berat antara satu sama
lain, memahami ciri-ciri khusus keluarga mereka dan sepanjang masa berusaha
mengekalkan hubungan mereka. McKie, Cunningham-Burley dan McKendrick (2005:
14) seterusnya menjelaskan bahawa ciri-ciri yang khusus dalam sesebuah keluarga
jugalah yang menjadi acuan kepada identiti seseorang. Dalam hubungan yang
sama, McKie (2005: 14) turut menegaskan bahawa “keluarga” boleh menjadi suatu
aspek pengenalan bagi seseorang individu dalam kelompok masyarakatnya. Finch
dan Mason (1999: 300) pula menegaskan bahawa peranan setiap individu dalam
sesebuah keluarga menjelaskan tugas dan tanggungjawabnya yang perlu
digalasnya. Antara peranan ini ialah sebagai seorang suami, isteri, anak, ayah, ibu,
abang, kakak, adik dan sebagainya.
Perbincangan tentang aspek “keluarga” yang menjadi dasar kepada penelitian
“institusi kekeluargaan” dalam kajian ini seterusnya dilanjutkan dengan pemahaman
tentang jenis-jenis “keluarga”. Secara umumnya, Rohaya Yusof (1996: 152)
mengelaskan “keluarga” kepada tiga kumpulan besar iaitu “keluarga asas”
(nuclear/immediate family), “keluarga luas” (extended family) dan “keluarga
gabungan” dan/atau ”keluarga campuran” (joint family). Jenis keluarga yang
pertama, iaitu “keluarga asas” atau nuclear/immediate family merupakan keluarga
7
asal yang lazimnya dimiliki oleh setiap individu sejak awal kelahirannya, (ataupun
sejak awal kehadirannya, dalam konteks anak angkat). Menurutnya lagi, keluarga ini
mengandungi ibu, bapa dan anak sendiri (atau anak angkat), manakala dalam
keadaan pasangan suami isteri tidak dikurniakan anak, dipanggil conjugal family.
Kottak (2017: 200) pula membahagikan keluarga asas kepada dua kategori.
Kategori pertama ialah “keluarga orientasi” (family of orientation), iaitu keluarga yang
dianggotai seseorang sejak detik kelahirannya. Kategori kedua ialah “keluarga
kelahiran” (family of procreation) iaitu keluarga yang terbentuk apabila seseorang
bayi dilahirkan. Seterusnya, jenis keluarga yang kedua ialah “keluarga luas” atau
extended family. Riggs dan Tweedell (2010: 10) menjelaskan bahawa keahlian
“keluarga luas” melewati keahlian “keluarga asas”, dengan keahliannya mencakupi
datuk dan nenek, ayah saudara dan ibu saudara, serta saudara pupu. Menurut
Abdul Halin Hamid (2003: 87), keahlian “keluarga luas” boleh melibatkan sekurang-
kurangnya tiga generasi, dengan setiap ahli mempunyai pertalian darah antara satu
dengan yang lain. Pada masa yang sama, Riggs dan Tweedell (2010: 10)
menegaskan bahawa hubungan pertalian darah ini tidak akan terputus meskipun
terdapat pasangan suami isteri yang bercerai atau berkahwin semula. Akhir sekali,
jenis ketiga dalam institusi kekeluargaan ialah “keluarga gabungan” dan/atau
“keluarga campuran”. Menurut Abdul Halin Hamid (2003: 87), “keluarga gabungan”
terbentuk lanjutan daripada perkahwinan anak-anak dalam “keluarga asas”, yang
kemudian akan mempunyai anak-anak mereka sendiri. Gabungan “keluarga asas”
inilah yang membentuk “keluarga gabungan” kerana pertalian darah ahli-ahlinya
berasal daripada induk yang sama, iaitu datuk dan nenek mereka. Bagi “keluarga
campuran” pula, Rohaya Yusof (1996: 152) menjelaskan bahawa keluarga seperti ini
terbentuk apabila terjadinya perceraian dalam sesebuah “keluarga asas”, dan suami
8
dan isteri daripada keluarga yang asal kemudian berkahwin semula dan mempunyai
anak-anak dengan pasangan baharu masing-masing. Jenis-jenis keluarga inilah,
sekiranya ada, akan diklasifikasi dan dianalisis dalam kajian ini.
Seterusnya, skop perbincangan yang mencakupi soal “institusi kekeluargaan”
dalam Hatimu Aisyah dibataskan pula kepada keberadaan watak Aisyah, iaitu
protagonis dalam novel ini, dalam lingkungan keluarganya. Bacaan awal mendapati
bahawa kehadiran watak Aisyah ditandai dalam novel melalui beberapa fasa
kehidupan. Sebagai seorang gadis sunti dan anak sepasang suami isteri yang
miskin, watak Aisyah diceritakan tinggal di Kampung Simpor, iaitu sebuah kampung
pedalaman yang tidak mempunyai banyak prasarana. Seperti kebanyakan kanak-
kanak kampung yang lain pada zaman sebelum kemerdekaan, watak Aisyah tidak
ke sekolah berikutan kejahilan ibu bapanya tentang kepentingan pendidikan sebagai
alat untuk mengubah taraf kehidupan. Dengan itu, watak Aisyah diceritakan lebih
banyak mempelajari hal-hal kehidupan daripada orang tua dan sanak saudaranya,
yang rata-rata tinggal dan menetap di kampung yang sama. Kehidupan watak
Aisyah beralih ke fasa seterusnya iaitu sebagai seorang isteri dan ibu, dan seperti
yang dijelaskan lebih awal, telah mengikut suaminya yang ditawarkan berkhidmat di
sekolah kerajaan ke pekan Tikam Batu. Di pekan ini, watak Aisyah mendapati
bahawa hal-hal kehidupan sehariannya berubah apabila anak-anaknya berpeluang
menikmati pendidikan formal berikutan prasarana yang lebih baik yang ditawarkan di
tempat baharunya. Pada masa yang sama, watak Aisyah masih menjalankan
tugasnya sebagai anak, dengan kekerapannya menziarahi keluarga di kampung.
Kehidupan watak Aisyah kemudian beralih ke fasa yang lebih besar setelah usianya
meningkat, dan dengan tugas yang berganda apabila suami dan ibu bapanya
9
meninggal dunia. Sebagai seorang wanita yang berusia, watak Aisyah diceritakan
sedar bahawa kehidupan yang dijalani oleh anak-anak dan cucu-cucunya tidak
mempunyai banyak persamaan lagi dengan kehidupan awalnya di Kampung Simpor
berikutan perubahan-perubahan sosial dan ekonomi yang berlaku dalam
masyarakat. Melalui premis-premis inilah, manifestasi institusi kekeluargaan Melayu
dalam novel Hatimu Aisyah diungkapkan dan dijelaskan dengan bersandarkan
petikan-petikan yang sesuai.
Objektif Kajian
Kajian ini menggariskan tiga objektif yang ingin dicapai, seperti yang berikut:
(i) mengklasifikasikan jenis-jenis keluarga yang membentuk institusi
kekeluargaan Melayu dalam novel Hatimu Aisyah
(ii) menganalisis jenis-jenis keluarga yang membentuk institusi kekeluargaan
Melayu dalam novel Hatimu Aisyah
(iii) merumuskan hubungan antara pengaruh adat resam Melayu dan ajaran Islam
dengan dinamika institusi kekeluargaan Melayu dalam novel Hatimu
Aisyah,
Metodologi Kajian
Kajian ini berbentuk analisis kandungan. Bagi mencapai objektif-objektif kajian yang
digariskan, kajian ini akan menggemblengkan teori Pengkaedahan Melayu yang
10
digagaskan oleh Hashim Awang (1989). Kajian ini terlebih dahulu mengklasifikasikan
dan menganalisis jenis-jenis keluarga yang terdapat dalam novel menerusi
penelitian terhadap watak Aisyah. Seterusnya, dengan maklumat-maklumat yang
diperolehi, kajian akan merumuskan hubungan antara pengaruh adat resam Melayu
dan ajaran Islam dengan dinamika institusi kekeluargaan Melayu, seperti yang
diserlahkan dalam novel Hatimu Aisyah.
Teori Pengkaedahan Melayu
Pada tahun 1989, Hashim Awang menggagaskan teori Pengkaedahan Melayu yang
bertolak daripada penelitian dan kesedarannya bahawa kajian-kajian semasa
terhadap karya-karya sastera Melayu kebanyakannya dilakukan dengan
bersandarkan teori-teori Barat. Pada tanggapan Hashim Awang (2013: 212), teori-
teori Barat ini tidak bersesuaian dengan tujuan sesuatu kajian berkenaan dilakukan
kerana lazimnya menyerlahkan sikap, cara hidup dan pemikiran Barat yang berbeza
dengan sikap, cara hidup dan pemikiran orang Melayu. Justeru, beliau berpendapat
bahawa adalah lebih adil sekiranya kajian-kajian ini memanfaatkan suatu teori yang
bersandarkan pemikiran dan cara hidup orang Melayu. Dalam hal ini, Hashim Awang
(2013, 236) menegaskan lagi bahawa masyarakat Melayu secara umumnya
merupakan masyarakat yang kreatif dan berdaya cipta, serta peka dan akan
mengasosiasikan hasil ciptaannya dengan sumber alam dan persekitarannya. Hasil
daripada pengamatan inilah yang diterjemahkan dalam apa-apa jua bentuk,
termasuklah karya-karya sastera Melayu tradisional dan moden. Dengan kaedah ini,
11
karya-karya itu dianggap berhasil dalam memaparkan sikap, cara hidup dan
pemikiran Melayu dan Islam (iaitu agama yang dianuti oleh orang-orang Melayu).
Dalam usaha memanifestasikan sikap, cara hidup dan pemikiran Melayu ini,
Hashim Awang (2013: 239) membahagikan gagasan Pengkaedahan Melayu kepada
Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Keagamaan. Kedua-dua pengkaedahan
ini saling berkait rapat dan memerlukan. Melalui Pengkaedahan Alamiah, Hashim
Awang menjelaskan lagi bahawa orang Melayu mengapresiasikan alam dalam
membentuk sikap, cara hidup dan pemikirannya. Dengan ini, Hashim Awang
memanfaatkan kandungan kitab Tajukmuluk bagi menjelaskan perkaitan manusia
dengan alam yang dihadirkan melalui perbincangan tentang enam perkara pokok,
iaitu mengenai manusia, kesihatan (perubatan) manusia, sifat dan gerak laku
manusia, mimpi dan firasat, cakerawala dan perumahan. Perkara-perkara pokok
inilah yang seterusnya dianggap membantu peragaan alam Melayu dalam karya
sastera. Sehubungan dengan itu, Hashim Awang membahagikan cabang pertama,
iaitu Pengkaedahan Alamiah, kepada tiga pendekatan. Pendekatan pertama ialah
pendekatan gunaan yang menggagaskan karya sastera sebagai sebahagian
daripada objek alam. Penghasilan sesebuah karya dianggap bersumberkan sebab,
hikmah dan fungsi dan seharusnya dapat dimanfaatkan oleh manusia. Pendekatan
kedua ialah pendekatan moral yang membina tanggapan bahawa unsur alam
berperanan sebagai pemberi petunjuk atau teladan kepada manusia dalam
kehidupannya. Pendekatan terakhir ialah pendekatan firasat yang menganggap
bahawa karya sastera sebagai suatu kejadian alam yang memberikan manusia
pengalaman hidup. Pengalaman ini dikaitkan dengan ‘mimpi’ dan dicapai melalui
12
proses takbir, atau tafsiran terhadap lambang-lambang yang wujud dalam kehidupan
manusia.
Hashim Awang seterusnya menjelaskan bahawa Pengkaedahan Keagamaan
yang menjadi cabang kedua Pengkaedahan Melayu terbahagi kepada tiga
pendekatan. Pengkaedahan Keagamaan digagaskan dengan menjadikan keimanan
dan akidah Islam yang berpandukan al-Quran dan hadis sebagai teras, bertujuan
menonjolkan sifat-sifat keagungan Allah dan mempertingkatkan ketakwaan manusia
terhadap-Nya. Pendekatan pertama ialah pendekatan dakwah yang menjadikan
karya sastera sebagai suatu wadah untuk meningkatkan ketakwaan manusia
kepada Allah. Dalam hal ini, karya sastera seharusnya mengandungi nilai-nilai yang
dapat mendekatkan manusia kepada ajaran Islam dan disampaikan melalui
peragaan watak-watak terpuji yang memancarkan sifat seseorang beragama Islam
yang sebenar. Pendekatan kedua iaitu pendekatan kemasyarakatan menjadikan
sastera sebagai alat untuk mendedahkan persoalan-persoalan kebaikan dan
keadilan dalam kehidupan manusia. Akhir sekali, pendekatan ketiga iaitu
pendekatan seni menjadikan keindahan estetika sesebuah karya sastera sebagai
tarikan untuk menyerlahkan nilai-nilai etika Islam, yang tidak bertentangan dengan
ajaran Islam.
Kajian in menganggap bahawa nukilan sesebuah karya sastera Melayu
lazimnya tidak terlepas daripada menyerlahkan ciri-ciri kehidupan masyarakat
Melayu dan Islam. Ini bererti, teori Pengkaedahan Melayu berupaya menawarkan
beberapa prinsip yang dianggap dapat membantu analisis kajian ini. Pertama, karya
sastera Melayu menyerlahkan tatacara kehidupan masyarakat Melayu yang
13
dipraktikkan dalam segenap aspek kehidupan. Kedua, karya sastera Melayu
mencerminkan keupayaan masyarakat Melayu dalam menyerap dan menyesuaikan
perubahan dalam kehidupan. Dan ketiga, karya sastera Melayu mengungkapkan
hala tuju masyarakat Melayu tanpa melepaskan nilai-nilai alamiah dan keagamaan
yang sebati dalam kehidupan. Prinsip-prinsip ini secara kolektif dianggap berupaya
membantu perbincangan tentang manifestasi institusi kekeluargaan Melayu dalam
novel Hatimu Asiyah yang menjadi fokus kajian ini.
Perbincangan
Seperti yang telah dijelaskan lebih awal, perbincangan terhadap institusi
kekeluargaan Melayu adalah bertolak daripada penelitian terhadap kitaran dan
perubahan kehidupan watak Aisyah, iaitu protagonis novel Hatimu Aisyah. Dengan
kata lain, pengklasifikasian dan penganalisisan institusi kekeluargaan Melayu yang
menjadi aspek kajian ini dilakukan dengan meneliti jenis-jenis keluarga yang
melingkari watak Aisyah, serta watak-watak lain yang akrab dalam cerita. Dengan
ini, perbincangan ini dimulakan dengan meneliti jenis keluarga yang pertama, iaitu
“keluarga asas”. “Keluarga asas” pertama yang ditemukan ialah “keluarga orientasi”
Aisyah. Dalam hal ini, novel menceritakan bahawa watak Aisyah dilahirkan dalam
sebuah keluarga Melayu yang miskin, yang tinggal di sebuah kampung di
pedalaman Kedah, iaitu Kampung Simpor. Keluarga Aisyah diceritakan terdiri
daripada watak Abu Hassan (iaitu ayah Aisyah), watak Aminah (iaitu watak ibu
Aisyah), watak Abang Mat atau Ahmad (iaitu abang Aisyah), watak Lijah (iaitu adik
perempuan Aisyah) dan watak Dollah (iaitu adik lelaki Aisyah). Watak Aisyah
14
dihadirkan dalam novel sebagai anak ketiga pasangan Abu Hassan dan Aminah
(dengan salah seorang daripada abang/kakak Aisyah meninggal dunia ketika
dilahirkan) dan hal ini dengan sendirinya menjadi Aisyah sebagai anak perempuan
sulung mereka. Sebagai anak perempuan, sejak kecil lagi watak Aisyah dikehendaki
membantu ibunya melakukan pelbagai kerja rumah, seperti mengemaskan rumah,
memasak dan membasuh pinggan mangkuk, serta menjaga adik-adik ketika ayah
dan ibunya bertanam padi di bendang. Dalam hal ini, penting dijelaskan bahawa
pada zaman sebelum kemerdekaan (iaitu latar masa dalam beberapa bab awal
novel), kebanyakan ahli masyarakat Melayu terutamanya yang tinggal di kawasan-
kawasan pedalaman masih jahil tentang kepentingan pendidikan sebagai alat untuk
mengubah kehidupan. Dengan itu, seperti kebanyakan anak perempuan kampung
itu yang lain, watak Aisyah tidak dihantar belajar di sekolah kerajaan. Sekali gus, hal
ini bermakna pandangan alamnya terhadap perkara-perkara yang berlaku di luar
kehidupan seharian adalah sangat terbatas. Dengan kata lain, watak Aisyah
menerima panduan dan bimbingan daripada keluarga asasnya sepenuhnya,
terutamanya melalui ibunya, untuk mengetahui dan memahami tugas dan
tanggungjawabnya sebagai seorang anak perempuan. Secara umumnya, pada
zaman sebelum kemerdekaan, kanak-kanak Melayu membesar dengan meneladani
tugas dan tanggungjawab ibu bapa mereka sebagai persediaan menempuh alam
rumah tangga. Dalam hal ini, pada masa-masa tertentu watak Aisyah diceritakan
cemburu akan kehidupan watak Abang Mat yang lebih bebas, sedangkan dia terikat
dengan pelbagai kerja rumah, seperti yang terdapat dalam petikan-petikan yang
berikut:
... alangkah beruntungnya kalau dia menjadi Abang Mat. Abang Mat
lebih tua daripadanya tetapi dia tidak payah mencuci pinggan dan tidak
15
payah mendukung adik. Sebaliknya dia bermain-main sesuka hati. Dia
bebas berjalan ke sana ke mari.
Abang Mat tidak akan kena marah kalau rumah semak atau kalau adik
terjatuh. Aisyahlah yang menerima leteran ibu. Kadang-kadang Aisyah
cemburu melihat betapa mudahnya hidup Abang Mat. Betapa senangnya
menjadi seorang lelaki dan sukarnya menjadi seorang perempuan...
...
...
Setelah selesai makan malam, ibu dan Aisyah jugalah yang
mengemas dan membasuh pinggan. Ketika itu ayah dan Abang Mat
sudah duduk-duduk di ambin di hadapan tangga. Pak Anjang Mail dan
jiran-jiran lelaki yang lain sering bertandang dan mereka akan berbual-
bual. ...
Abang Mat boleh turut mendengar perbualan mereka. Dengan cara ini
dia lebih tahu tentang perkara-perkara yang berlaku di sekeliling mereka.
(Zurinah Hassan, 2016: 8 - 9)
Berdasarkan petikan-petikan di atas, adalah jelas bahawa dalam konteks
dunia Melayu tradisional, kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki menerima
bentuk layanan yang berbeza ketika mereka sedang membesar. Watak Aisyah
diceritakan perlu melaksanakan banyak kerja rumah yang memenatkan, kerana
lazimnya apabila anak-anak perempuan akil baligh, maka ibu bapa akan berusaha
mencarikan jodoh yang sesuai untuknya. Dengan kata lain, watak Aisyah dibimbing
melakukan kerja-kerja yang sedemikian sebagai persediaan menjadi seorang isteri
yang baik. Selain itu, ibu bapa juga cenderung menghalang anak-anak perempuan
bergaul bebas kerana perbuatan ini tidak disenangi dalam kalangan masyarakat
Melayu. Sebaliknya, dalam petikan-petikan yang sama, watak Abang Mat mendapat
lebih banyak kebebasan dan kebenaran untuk bergaul dengan orang-orang dewasa.
Sebagai anak lelaki, watak Abang Mat dijangka akan mengikut jejak langkah
ayahnya. Setelah berumah tangga kelak, dia dijangka akan bekerja keras di
16
bendang atau di ladang dengan tujuan mencari rezeki untuk keluarganya sendiri.
Sebagai anak yang terdidik dengan ajaran Islam, watak Aisyah diceritakan patuh
akan aturan kedua-dua orang tuanya itu. Apatah lagi, dia tidak menerima apa-apa
pendidikan formal dan tidak mengetahui banyak perkara yang berlaku di luar
kampung halamannya.
Seterusnya, perbincangan beralih kepada “keluarga asas” kedua yang disertai
oleh watak Aisyah, iaitu “keluarga kelahiran”. Novel menceritakan bahawa setelah
watak Aisyah akil baligh dan setelah ibu bapanya percaya bahawa dia berupaya
menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang isteri (dan seterusnya
seorang ibu), maka dia dikahwinkan dengan seorang pemuda pilihan bernama Ayub.
Hasil perkahwinan ini, watak Aisyah dan watak Ayub dikurniakan sebanyak lima
orang anak, iaitu Jamilah, Latifah, Hamid, Aziz dan Rohani. Novel turut
menceritakan bahawa tidak lama selepas kelahiran Jamilah (iaitu anak pertama
mereka), watak Aisyah dan watak Ayub membina rumah sendiri tidak jauh daripada
rumah ibu bapa Aisyah. Seperti keluarga mentuanya, watak Ayub diceritakan
berasal daripada keluarga miskin dan tidak mempunyai banyak harta. Dengan itu,
watak Ayub mengambil upah bertanam padi di bendang, serta melakukan kerja-kerja
kampung yang lain. Apabila bilangan ahli keluarganya bertambah, watak Aisyah
diceritakan sedar bahawa dia dan suaminya perlu bekerja lebih keras untuk
menikmati kehidupan yang lebih selesa. Pada awalnya, watak Aisyah dibenarkan
untuk turut mengambil upah di bendang. Akan tetapi, novel menceritakan bahawa
watak Ayub yang pernah belajar di sekolah pondok kemudian berhasrat mengikuti
kursus yang dianjurkan oleh kerajaan untuk menjadi guru agama. Melalui kursus ini,
watak Ayub berharap agar dia dapat diserapkan sebagai seorang penjawat awam di
17
sekolah kerajaan kelak. Susulan hasrat watak Ayub ini, watak Aisyah diceritakan
bersedia mengambil alih tugas mencari rezeki ketika suaminya mengikuti kursus
berkenaan. Dalam hal ini, watak Aisyah diceritakan yakin bahawa pengorbanannya
itu akan membuahkan hasil pada hari-hari yang mendatang. Selain itu, kesediaan
watak Aisyah juga diceritakan berpunca daripada kesedarannya bahawa dia dan
Ayub tidak boleh bergantung kepada belas ihsan dan bantuan ibu bapanya selama-
lamanya kerana abang dan adik-adiknya, iaitu turut menjejaki kemiskinan orang tua
mereka. Dengan kata lain, watak Aisyah dan watak Ayub perlu berikhtiar untuk
menikmati kehidupan yang lebih selesa dan terjamin, seperti dalam petikan yang
berikut:
Lebih jauh daripada itu, Aisyah tahu apa yang lebih penting bagi
mereka sekeluarga ialah sekeping tanah dan sebuah rumah sebagai
tempat perlindungan yang tetap. Mereka mesti mencari wang untuk
jaminan masa depan. Mereka tidak boleh berharap untuk tinggal di tanah
ayah sampai bila-bila. Tanah ayah pun cuma sebidang ini sahajalah
selain daripada beberapa petak bendang. Tidak lama lagi, Abang Mat
akan berkeluarga. Lijah pun sudah jadi anak dara. Tentu juga dia akan
dipinang orang. Adik-beradiknya pun mempunyai hak untuk tinggal di
tanah ayah.
(Zurinah Hassan, 2016: 131)
Berdasarkan petikan di atas, adalah jelas bahawa tanpa pendidikan formal
yang baik, anak-anak Melayu di kampung pada masa itu dijangka akan mewarisi
kehidupan ibu bapa mereka yang serba kekurangan. Anak-anak Melayu ini rata-
ratanya akan mengerjakan tanah bendang dengan tanaman padi, melakukan kerja-
kerja kampung dan setelah berkeluarga akan membina rumah tidak jauh daripada
rumah orang tua masing-masing. Akan tetapi, watak Ayub yang pernah bersekolah
18
(meskipun dalam bentuk pendidikan tidak formal di sekolah pondok) diceritakan
percaya dan dapat meyakinkan isterinya bahawa sekiranya dia dapat mengikuti
kursus berkenaan, maka masa depan mereka boleh berubah. Hal ini dijangkakan
boleh berlaku kerana bidang pekerjaan sebagai seorang guru di sekolah kerajaan
pada zaman awal kemerdekaan menjamin pendapatan yang tetap dan lumayan,
serta dipandang tinggi oleh masyarakat. Novel seterusnya menceritakan bahawa
kegigihan watak Aisyah menyara keluarga dan ketekunan watak Ayub belajar
membuahkan hasil apabila watak Ayub lulus peperiksaan dan ditawarkan bekerja di
Tikam Batu. Pada masa yang sama, watak Ayub dilantik menjadi imam dan guru
agama di sebuah masjid di pekan kecil itu. Dengan kerjaya sebagai seorang
penjawat awam, watak Ayub diceritakan dapat membeli sebidang tanah dan
membina sebuah rumah baharu yang lebih baik untuk keluarganya. Di tempat
baharu itu, dan sepanjang membesarkan anak-anaknya, watak Aisyah diceritakan
dapat melihat perubahan berlaku dalam keluarganya apabila anak-anaknya
berpeluang belajar di sekolah kerajaan, iaitu suatu peluang yang tidak pernah
dinikmatinya pada zaman kanak-kanaknya dahulu. Sepanjang mengurus “keluarga
kelahiran”nya di pekan Tikam Batu, watak Aisyah diceritakan masih menjalankan
tugas dan tanggungjawabnya terhadap “keluarga orientasi”nya. Dia dan suaminya
diceritakan kerap membawa anak-anak mereka pulang ke Simpor.
Perbincangan terhadap keluarga asas yang melingkari kehidupan watak
Aisyah dianggap membantu kepada perbincangan seterusnya terhadap “keluarga
luas”. Dengan cerita-cerita awal tentang kehidupan watak Aisyah sejak dari zaman
kanak-kanaknya hingga mendirikan rumah tangga dan mempunyai beberapa orang
anak, adalah jelas bahawa dia menjadi ahli kepada sebuah keluarga besar yang
19
dapat mewakili masyarakat Melayu seluruhnya. Di kampung halamannya, dan di
sebalik cerita-cerita tentang keterikatannya dengan kerja-kerja rumah yang diaturkan
saban masa oleh ibunya, watak Aisyah membesar dengan dikelilingi oleh sanak
saudaranya. Novel menceritakan bahawa rumah Aisyah dikelilingi rumah-rumah
sanak saudaranya yang terdiri daripada datuk dan nenek (sebelah ibunya), ayah-
ayah dan ibu-ibu saudaranya dan sepupu-sepupunya. Seperti ibu bapa Aisyah,
sanak saudara mereka juga melakukan pekerjaan yang sama. Selain itu, mereka
diceritakan menjalani kehidupan yang rukun dan mengamalkan adat resam
masyarakat Melayu dan ajaran Islam sepenuhnya. Hubungan akrab ini dijelaskan
dalam novel mengenai cerita-cerita tentang kecenderungan ahli-ahli keluarga luas ini
menghadapi masa senang dan masa susah bersama-sama. Antaranya, suasana
meriah pada hari perkahwinan Aisyah dan keadaan getir yang dialami oleh watak
Aisyah sendiri ketika melahirkan anak sulungnya, seperti yang terdapat dalam
petikan-petikan yang berikut:
... “Cepat pergi duduk rumah Mak Anjang,” ibu mengarahkan. Aisyah
sudah sedia maklum yang dia tidak boleh duduk di rumah sendiri pada
waktu siang kerana rumahnya akan penuh sesak dengan para jemputan.
Rumah nenek pun akan penuh sesak. Pengantin tidak boleh dilihat pada
siang hari. ...
...
...
Senda gurau dan hilai tawa sanak saudara dan sahabat handai tidak
putus-putus kedengaran. Mereka menyediakan pinggan mangkuk dan
apa-apa sahaja yang perlu. Gulai daging kerbau sudah pun masak.
(Zurinah Hassan, 2016: 89 - 90)
Ayub pun mengikut sahaja cakap ibu. Apabila ayah balik dari perigi, ibu
suruh ayah memanggil Nek Munah, Mak Long dan Anjang Sidah. Emak
20
menggosok perut Aisyah dengan minyak selusuh yang sudah diminta
daripada Pawang Bakar sebulan lalu. ...
Mak Long dan Anjang Sidah berlari-lari anak ke rumah Aisyah...
(Zurinah Hassan, 2016: 117)
Berdasarkan petikan-petikan di atas, novel menjelaskan bahawa ahli-ahli
“keluarga luas” watak Aisyah bekerjasama sekiranya ada dalam kalangan ahlinya
memerlukan pertolongan. Ketika meraikan perkahwinan Aisyah, watak Mak Anjang
(iaitu ibu saudara Aisyah) bersedia membenarkan rumahnya dijadikan tempat
Aisyah bersiap-siap sebelum menaiki pelamin. Dalam adat istiadat perkahwinan
orang Melayu, kelibat dan rupa paras pengantin perempuan dikatakan tidak boleh
didedahkan kepada khalayak sebelum upacara naik pelamin berlangsung kerana
dipercayai serinya akan hilang. Ketika watak Mak Andam (iaitu jurusolek pengantin
dalam adat istiadat perkahwinan orang Melayu) sedang mempersiapkan Aisyah,
ahli-ahli “keluarga luas” yang lain bertungkus lumus di rumah Aisyah dan rumah
neneknya menyediakan juadah kepada para jemputan. Seterusnya, ahli-ahli
“keluarga luas” Aisyah diceritakan turut menghulurkan bantuan ketika dia sudah
sampai masa melahirkan Jamilah. Dalam hal ini, adalah penting untuk dijelaskan
bahawa perkhidmatan kesihatan awam pada zaman sebelum dan awal
kemerdekaan belum meluas sehingga ke kampung-kampung di pedalaman. Dengan
itu, ahli-ahli masyarakat Melayu di kampung-kampung ini bergantung sepenuhnya
kepada khidmat dan kepakaran bidan kampung sebelum, semasa dan selepas
seseorang ibu melahirkan anak. Novel turut menjelaskan bahawa suasana getir
menjelang kelahiran Jamilah itu dikongsi oleh beberapa orang ahli keluarga luas
Aisyah, iaitu watak Mak Long dan watak Anjang Sidah (ibu-ibu saudara Aisyah) dan
watak Nek Munah (iaitu nenek Aisyah), yang segera pergi ke rumah Aisyah.
21
Walaupun tidak memiliki apa-apa kepakaran seperti watak Tuk Yam (iaitu bidan
kampung yang ditempah), akan tetapi kehadiran mereka dianggap penting bagi
membantu kerja-kerja yang tidak sempat dilakukan oleh ibu Aisyah lagi. Kerjasama
sedemikian dianggap penting bagi ahli-ahli masyarakat Melayu pada masa itu
kerana proses kelahiran seseorang bayi adalah sukar dan boleh menyebabkan ibu
dan/atau anak kehilangan nyawa.
Seterusnya, novel menunjukkan bahawa setelah watak Aisyah meningkat
dewasa, kedudukan dan peranan sebagai induk “keluarga luas” Aisyah beralih pula
kepada ayah dan ibunya. Novel menceritakan bahawa anak-anak Aisyah sangat
akrab dengan datuk dan nenek mereka. Apatah lagi, ketika watak Aisyah dan watak
Ayub sedang sibuk mengukuhkan kehidupan mereka, watak Abu Hassan dan watak
Aminah kerap membantu anak dan menantu mereka dari segi kewangan dan
tenaga. Antaranya, sekiranya watak Aisyah dan suaminya keputusan wang, mereka
membantu dengan membeli barang-barang keperluan, terutamanya susu. Apabila
watak Aisyah dan suaminya keluar bekerja, mereka membantu dengan menjaga
Jamilah, Latifah dan Hamid (manakala Aziz dan Rohani lahir dan membesar di
Tikam Batu). Apabila berpindah ke tempat baharu, watak Aisyah dan watak Ayub
juga tetap menjambatani hubungan ahli-ahli keluarga luas daripada dua generasi itu
dengan kekerapan membawa anak-anak mereka pulang ke Kampung Simpur.
Walau bagaimanapun, dengan pekerjaan baharunya sebagai seorang guru sekolah
kerajaan, novel menunjukkan bahawa pengetahuan dan pengalaman watak Ayub
sebagai seorang penjawat awam turut membuka luas pandangan alamnya. Pada
tahap ini, watak Ayub diceritakan sedar bahawa pendidikan adalah penting bagi
masa depan anak-anaknya. Dengan itu, watak Ayub berhasrat memastikan anak-
22
anaknya bersekolah sehingga tahap tertinggi yang mampu dicapai. Akan tetapi,
novel menjelaskan lagi bahawa hasrat dan kecenderungan watak Ayub ini adalah
tidak senada dengan kehendak watak Aminah (iaitu ibu mentuanya) yang bertegas
mengatakan bahawa anak-anak perempuan tidak sepatutnya berada lama di bangku
sekolah. Bagi watak Aminah, keberadaan cucu-cucu perempuannya di sekolah
boleh mengundang banyak masalah, terutamanya daripada aspek pergaulan
dengan murid-murid lelaki. Watak Aminah berpendapat bahawa watak Jamilah dan
watak Latifah seharusnya belajar setakat darjah enam sahaja, dengan tahap
sebegini masih dianggap lebih baik daripada watak Aisyah yang tidak pernah
bersekolah. Perbezaan pandangan tentang kedudukan dan peranan kanak-kanak
perempuan Melayu ini menimbulkan konflik antara watak Aisyah dan watak Ayub
dengan watak Aminah. Pada akhirnya watak Ayub diceritakan terpaksa mengalah
kepada kehendak ibu mentuanya, dan hal ini kemudian menimbulkan kekesalan
yang berterusan kepadanya seperti dalam petikan yang berikut:
Ayub memandang ke belakang rumah dan ternampak Jamilah yang
sedang memberi makan ayam itik. Impiannya untuk menghantar Jamilah
ke maktab perguruan di Melaka telah berkubur begitu sahaja. Sekarang
Jamilah hanya duduk di rumah, menjadi gadis pingitan seperti kemahuan
neneknya. Pada tahun ini, Latifah pula yang sedang belajar di dalam
darjah enam. Nampaknya dia juga akan menerima nasib yang sama
seperti kakaknya. Takkan Aisyah berani mengecilkan hati ibunya, apatah
lagi ketika orang tua itu sedang sakit-sakit sekarang.
(Zurinah Hassan, 2016: 178)
Berdasarkan petikan di atas, adalah jelas ahli-ahli “keluarga luas” yang
berlegar di sekitar kehidupan Aisyah menghadapi cabaran-cabaran yang berbeza
dalam dua persekitaran yang berbeza. Bagi watak Aminah, yang lahir, membesar
23
dan meningkat usianya dalam persekitaran tradisional yang disulami adat resam
Melayu dan ajaran Islam, maka perubahan-perubahan sosial dan ekonomi yang
melanda negara selepas kemerdekaan dianggap boleh menghakis nilai-nilai yang
sebati dengan dirinya sejak kecil. Walau bagaimanapun, bagi watak Jamilah dan
watak Latifah, mereka mula menyedari bahawa sanggahan-sanggahan yang
sedemikian sebaliknya menghakis peluang mereka untuk mendapat pendidikan
yang lebih baik. Apatah lagi, kedua-duanya menunjukkan potensi yang baik ketika
belajar di sekolah rendah. Novel menceritakan bahawa meskipun watak Aisyah
sependapat dengan suaminya, bahawa nilai-nilai tradisi masyarakat Melayu tidak
akan luntur sekiranya anak-anak perempuan mereka itu terus belajar di sekolah
menengah dan ke peringkat yang lebih tinggi, akan tetapi dia akur bahawa
masyarakat Melayu di kampung pada masa itu belum dapat menerima sepenuhnya
bentuk persekolahan moden yang dirangka oleh kerajaan. Baginya, Jamilah dan
Latifah berkomunikasi dengan murid-murid lelaki bagi tujuan pendidikan semata-
mata dan hal ini tidak akan meminggirkan nilai-nilai tradisi masyarakat Melayu yang
kekal berpegang dengan adat resam Melayu dan ajaran Islam. Tegasnya, ahli-ahli
“keluarga luas” Aisyah menanggapi hal-hal ini dengan persepsi yang berbeza
berikutan pengetahuan terhadap perubahan-perubahan sosial dan ekonomi yang
terbatas.
Seterusnya, perbincangan tentang institusi kekeluargaan Melayu dalam novel
Hatimu Aisyah diteruskan dengan meneliti jenis “keluarga gabungan”. Pembentukan
“keluarga gabungan” dalam novel ini dapat dilihat dengan lebih jelas setelah usia
watak Aisyah meningkat dan kedudukan dan peranannya mula berubah menjadi
induk “keluarga luas”. Pada masa ini, anak-anak Aisyah telah bersuami/beristeri dan
24
mempunyai anak-anak, serta telah memilih tempat tinggal masing-masing yang
terletak jauh dari rumah Aisyah. Dalam hal ini, watak Jamilah dan watak Latifah yang
terikat dengan tuntutan-tuntutan nenek mereka telah dijodohkan dengan lelaki
pilihan keluarga (yang turut ditentukan oleh watak Aisyah dan watak Ayub). Novel
menunjukkan bahawa dalam hal ini, watak Jamilah dan watak Latifah tidak
mempunyai pilihan, melainkan menurut aturan keluarga untuk dijodohkan dengan
pasangan yang tidak dikenali berikutan tahap pendidikan mereka yang rendah dan
tidak memiliki apa-apa kerjaya. Sebaliknya, hal yang sama didapati tidak berlaku
kepada adik-adik mereka, iaitu watak Hamid, watak Aziz dan watak Rohani. Ketiga-
tiganya diceritakan berkelulusan tinggi dan mempunyai kerjaya yang setaraf dengan
tahap pendidikan masing-masing. Novel menceritakan bahawa watak Hamid mula-
mula sekali menyanggahi aturan ini, apabila dia menolak permintaan ayah dan
ibunya untuk disatukan dengan Zaharah (iaitu sepupunya; anak perempuan watak
Abang Mat). Dia kemudian memilih sendiri jodohnya dengan seorang gadis
Tionghua yang memeluk agama Islam. Hal yang sama juga berlaku pada watak Aziz
yang memilih rakan setugasnya di universiti sebagai pasangan hidup. Novel
mengungkapkan kekecewaan watak Aisyah terhadap hal ini seperti dalam petikan
berikut:
... Aisyah tidak berkata apa-apa tetapi terfikir dalam hati. “Oh,
sungguh jauh bezanya budak-budak sekarang dengan kami dahulu. Kami
dahulu tidak berani berkata mahu atau tidak mahu. Kalau emak bapa
hendak menjodohkan kami dengan sesiapa pun kami terima sahaja.”
(Zurinah Hassan, 2016: 225)
25
Berdasarkan petikan di atas, adalah jelas bahawa pada tahap ini, watak
Aisyah mula menyedari bahawa perubahan-perubahan sosial dan ekonomi yang
berlaku di seluruh negara mula meninggalkan kesan terhadap keluarganya. Tidak
seperti ayah dan ibunya, dia bukan sahaja tidak memiliki kuasa mutlak dalam
menentukan jodoh anak-anaknya, malah dia juga tidak dapat mempengaruhi
keputusan mereka dalam menentukan tempat tinggal masing-masing. Meskipun dia
dan suaminya masih dapat memilih jodoh untuk watak Jamilah dan watak Latifah,
akan tetapi tahap pendidikan yang dimiliki oleh kedua-dua menantu pilihan itu
memungkinkan mereka memilih tempat tinggal yang jauh dari pekan Tikam Batu.
Pada masa yang sama, watak Hamid, watak Aziz dan watak Rohani juga diceritakan
memutuskan untuk membeli rumah di kota-kota besar di mana kerjaya masing-
masing berkembang. Dengan itu, anak-anak Aisyah yang membentuk “keluarga
gabungan” dalam institusi kekeluargaan Melayu ini hanya berpeluang untuk
menziarahi watak Aisyah (setelah watak Ayub meninggal dunia ketika mengerjakan
haji di Mekah) pada musim cuti sekolah atau pada hari cuti perayaan sahaja. Secara
perbandingan, keadaan ini sangat berbeza seperti yang dilihat sendiri oleh watak
Aisyah pada zaman kanak-kanaknya, iaitu anak-anak dalam “keluarga asas” yang
sama berusaha membina rumah masing-masing berdekatan dengan rumah ibu bapa
mereka. Kesannya, mereka dapat membentuk “keluarga luas” dan “keluarga
gabungan” dalam kumpulan masyarakat Melayu yang sama, dan terus sepakat
dalam mengamalkan adat resam Melayu dan ajaran Islam yang diwarisi sejak turun-
temurun. Pada masa yang sama, jarak tempat tinggal yang jauh itu menyebabkan
watak Aisyah tidak berupaya mempengaruhi anak-anaknya untuk mematuhi segala
aturan dan kehendaknya, sebagaimana yang dilakukan oleh ibunya ketika zaman
kanak-kanaknya dahulu. Umpamanya, watak Jamilah menolak membuat lenggeng
26
perut (iaitu suatu adat orang Melayu untuk mengurut perut wanita yang mengandung
tujuh bulan dan meletakkan kepala bayi dalam kandungan di muka rahim) dan
memilih untuk melahirkan bayi sulungnya di hospital. Dengan kata lain, perubahan
sosial dan ekonomi setelah beberapa lama negara mencapai kemerdekaan
menyebabkan induk dalam “keluarga gabungan”, seperti yang dialami oleh watak
Aisyah, mula hilang cengkaman dan pengaruhnya dalam mengekalkan nilai-nilai
tradisi yang diwarisi. Sebaliknya, nilai-nilai yang berteraskan adat resam Melayu dan
ajaran Islam ini diterapkan dan disesuaikan oleh ahli-ahli “keluarga gabungan”
dengan perubahan-perubahan semasa.
27
Kesimpulan
Dengan memanfaatkan Aisyah sebagai protagonis, kajian ini merumuskan bahawa
terdapat tiga jenis keluarga yang membentuk institusi kekeluargaan Melayu dalam
novel Hatimu Aisyah, iaitu “keluarga asas”, “keluarga luas” dan “keluarga gabungan”.
Dalam novel ini, watak Aisyah diceritakan membesar dengan menjalani kehidupan
yang sarat dengan nilai-nilai tradisi berteraskan adat istiadat Melayu dan ajaran
Islam dalam segenap aspek kehidupan. Nilai-nilai ini ditunjukkan melalui amalan,
pantang larang dan petua, yang menjadi sandaran kepada tingkah laku dan
perwatakan orang-orang Melayu sejak turun-temurun dan dianggap perlu
diperturunkan kepada generasi seterusnya. Dengan itu juga, dapatlah dikatakan
bahawa terdapat hubungan langsung antara pengaruh adat resam Melayu dan
ajaran Islam dengan kerukunan institusi kekeluargaan Melayu dalam novel yang
dikaji. Walau bagaimanapun, berikutan perubahan-perubahan sosial dan ekonomi
selepas negara mencapai kemerdekaan, ahli-ahli masyarakat Melayu yang
berpendidikan dan mempunyai pandangan alam yang lebih luas mula menentukan
nilai-nilai tradisi yang bersesuaian dengan keperluan kehidupan mereka.
28
Rujukan
Abdul Halin Hamid. (2003). Mengenali Institusi Sosial. Serdang: Penerbit Universiti
Putra Malaysia.
Banks, D. J. (1990). “Resurgent Islam and Malay rural culture: Malay novelists and
the invention of culture”. American Ethnologist. 17(3). 531 – 548
Finch, J. & Mason, J. (1999). “Obligations of Kinship in Contemporary Britain: Is
There Normative Agreement?” dalam Allan, G. (peny), The Sociology of the
Family: A Reader. Oxford: Blackwell.
Halis Azhan Mohd. Hanafiah (2019). “Manifestasi Institusi Sosial Melayu dalam
Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur”. Makalah ini dibentangkan di
Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu
Kedua 2019 (SAPBaSBUM 2) pada 25 - 26 Mac 2019, di Universiti Goethe,
Frankfurt, Jerman.
Hanapi Dollah. 'Melayu Pinggiran: Salina dalam Bacaan Pengajian Budaya'.
Makalah dibentangkan di Seminar Pemikiran Sasterawan Negara A. Samad
Said pada 13 - 15 Mei 2008, di Dewan Seminar DBP, Menara DBP, Kuala
Lumpur, Malaysia.
Hashim Awang (2013). ‘Pengkaedahan Melayu dalam Kajian dan Kritikan’ dalam
Citra dan Visi Sastera Melayu. Hamzah Hamdani (penyelenggara). Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan. 2007. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kottak, C. P. (2017). Cultural Anthroplogy: Appreciating Cultural Diversity. New York:
McGraw – Hill Education.
29
Lamanna, M. A., Reidmann A. & Stewart S. (2018) Marriages, Families and
Relationship: Making Choice in Diverse Society. Boston: Cengage Learning.
McKie, L. (2005). Family, Violence and Social Change. Beckshire: Open University
Press.
McKie, L., Cunningham-Burley, S., & McKendrick J. H. (2005). Families and
Societies: Boundaries and Relationships. Linda McKie dan Sarah Cunnigham-
Burley (peny). Bristol: The Policy Press.
Misran Rokimin, Mawar Safei & Che Abdullah Che Ya. “Mobiliti Sosial dalam Interlok
karya Abdullah Hussain”. Jurnal Melayu. (8). 2011: 91 – 110.
Riggs, B. A. & Tweedell, C. B. (2010). Marriage and Family. Indiana: Triangle
Publlishing.
Rohana Yusof. (1996). Asas Sains Sosial dari Perspektif Sosiologi. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Watson, C. W. (1989). “The Experience of Rural Poverty in Malay Novels”. Modern
Asian Studies. 23. 25 – 47.
Zurinah Hassan. (2016). Hatimu Aisyah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Top Related