PERANAN YANG BOLEH SAYA LAKUKAN DALAM MENJAYAKAN DASAR “MEMARTABATKAN BAHASA
MELAYU DAN MEMPERKASAKAN BAHASA INGGERIS”
Peranan guru amat besar dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan
dasar memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris
( MBMMBI ) .Tema hari guru pada tahun ini iaitu “ Guru Penjana Transformasi Pendidikan
Negara” amat bertepatan dengan fungsi dan peranan guru sebagai tunjang utama dalam
memperkasakan dan memajukan bidang pendidikan di negara ini, seterusnya memastikan
hasrat kerajaan dalam melaksanakan dasarnya mencapai objektif yang diharapkan. Fungsi
dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf kerana tugasnya bukan sahaja penyampai
ilmu, pencorak minda, penyubur perpaduan, jurutera sosial, pembangun sahsiah, malahan
amat penting sekali ialah sebagai agen perubahan. MBMMBI tidak akan memberi sebarang
makna tanpa para pendidik sebagai golongan yang berada di barisan hadapan dalam
memacu arus pendidikan sentiasa dinamik dan progresif.
Saya adalah seorang pendidik. Oleh yang demikian saya memikul
tanggungjawab dan peranan yang besar bagi memastikan MBMMBI yang direncanakan oleh
kerajaan ini mencapai hala tujunya. Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada
proses transformasi sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan generasi masa depan
yang intelek, berdaya saing, berjati diri, kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama
dan nilai sejagat. Ini bermakna kita sebagai guru bertanggungjawab dalam mencorak dan
membentuk generasi hari muka yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi,
rohani , intelek dan sosialnya ( JERIS ). Dalam melaksanakan dasar memartabatkan bahasa
Melayu dan Memperkasakan bahasa Inggeris ini, kita boleh sama-sama memainkan peranan
agar dasar kerajaan melalui pendidikan ini mencapai hasratnya.
Antara peranan besar bagi saya menjayakan MBMMBI ini ialah penggunaan
teknologi maklumat dan komunikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (p&p).
Penggunaan teknologi maklumat ( ICT ) seperti perisian e-mel, laman sembang dan laman
web dapat membantu saya menyediakan p&p yang bersifat interaktif serta menghiburkan
murid-murid. Melalui penggunaan teknologi maklumat, kita sebenarnya boleh menyediakan
satu portal untuk menghimpunkan bahan penulisan sama ada di dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris daripada murid-murid . Selain itu kita juga boleh
menyediakan forum khas untuk mereka berbincang, mengkaji dan mencari maklumat
berkaitan tentang tugas yang diberi. Sebagai contoh, saya akan meminta murid-murid saya
menyediakan satu portfolio bertajuk “ Mari Berpantun” atau “Poem”. Murid-murid saya boleh
menggunakan teknologi maklumat ini untuk mencari bahan , berbincang atau mengkaji
berkaitan tugasan yang telah diberi. Aplikasi komputer dapat memberi gambaran visual dan
audio yang bermutu tinggi dan jelas untuk membina pemahaman murid-murid saya. Namun
apa yang pasti, perkakasan dan perisian yang disediakan perlu sesuai serta boleh digunakan
oleh murid-murid dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Saya akan
memastikan murid-murid saya menguasai dunia teknologi maklumat tanpa memandang ke
belakang lagi seperti kata cerdik pandai, jangan memikirkan masa lampau atau masa akan
datang, tetapi tawanlah saat ini dan ambil manfaatnya.
Dalam menjayakan MBMMBI, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi akan
memudahkan pembelajaran murid-murid. Saya akan menggunakan komputer sebagai medium
untuk membimbing murid-murid dalam mencari dan mengakses maklumat dari CD rom,
internet, gerbang maklumat dan lain-lain. Murid-murid saya boleh mengalami, mempelajari dan
mengkaji sesuatu fenomena secara simulasi komputer dalam pembelajaran bahasa Melayu
atau bahasa Inggeris. Ianya pasti akan menyeronokkan murid-murid dan pemudahcara bagi
diri saya. Walaupun begitu, saya akan memastikan penggunaan komputer tersebut digunakan
bersesuaian dengan kurikulum dan menyokong pendekatan pengajaran dan pembelajaran
saya. Ianya perlu digunakan secara terancang, dan amat penting sekali hendaklah
bersesuaian dan berfikrah dengan murid-murid . Ini bagi memastikan proses pengajaran dan
pembelajaran yang dirancang berjalan dengan lancar, cekap dan berkesan. Apa yang utama
proses pengajaran dan pembelajaran saya melalui kaedah teknologi maklumat dan komunikasi
bukan ibarat bidan terjun atau melepaskan batuk di tangga sahaja. Ianya sama sekali tidak
bertujuan untuk menyelesaikan peruntukan waktu pengajaran dan pembelajaran yang
dikhaskan untuk saya . Sikap sebegini bukan sekadar mencabar tanggungjawab dan
profesionalisme diri saya sebagai seorang guru, malahan merugikan murid-murid . Sekiranya
ini berlaku, sudah pasti MBMMBI tidak akan mencapai hasratnya macam daun terap;
bunyinya degah-deguh, tapi jatuh ke tanah berdeser sahaja.
Pelaksanaan MBMMBI menggantikan PPSMI amat bermakna dalam mencorakkan
fasa pendidikan di Malaysia dan seharusnya kita terima dengan fikiran terbuka. Lagi pun
sepenuh-penuh peti takkan tak muat lagi sehelai sapu tangan. Bagi saya ini merupakan
satu idea dan era perkembangan yang patut dipuji demi kemajuan pendidikan dan
kecemerlangan murid-murid di negara kita. Bagi menjayakan MBMMBI, peranan lain yang
saya boleh saya lakukan ialah melalui Penggunaan Bahasa Standard Merentas Kurikulum.
Saya berpegang kepada kata-kata bahasa jiwa bangsa. Bahasa ialah semangat sesuatu
bangsa. Bahasa ialah ciri pengenalan atau identiti bangsa. Saya tidak sanggup melihat murid-
murid melupakan bahasa sendiri walaupun mereka fasih bahasa asing kerana bahasa jiwa
bangsa. Hanya dengan itu mereka akan dihormati oleh bangsa lain dan bahasa
menunjukkan bangsa mereka. Datuk Laksamana Hang Tuah pernah berkata takkan
Melayu hilang di dunia. Bayangkan sekiranya bahasa Melayu terus terpinggir dan berakhir
dengan lenyap di telan zaman, pasti kata-kata Hang tuah tidak akan menjadi kenyataan.
Saya tidak sekali-kali membiarkan bangsa saya lenyap kerana kehilangan identiti bangsanya.
Amat malang sekiranya murid-murid kita melupakan bahasa ibundanya kerana mengejar
kemajuan era globalisasi. Ingatlah hilang bahasa lenyaplah bangsa.
Saya adalah salah seorang pendidik yang akan mencorak dan membina anak bangsa,
maka sayalah di antara insan yang mengharapkan sepenuh minda dan kudrat dalam
memartabatkan bahasa Melayu agar ianya bercorak indah dan berkembang mekar di hati
anak-anak didik saya . Ini kerana mereka adalah pelapis generasi akan datang. Biarlah
patah tumbuh hilang berganti. Pengkhususan atau bidang pilihan saya ketika belajar di
maktab perguruan ialah Kemahiran Hidup. Namun agak melucukan saya tidak pernah
mengajar mata pelajaran tersebut. Pemikiran yang positif membawa saya berasa amat
penting . Walaupun saya bukan terdiri dari opsyen Bahasa Melayu, namun saya berasa amat
bertuah dapat bersama-sama rakan sejawat yang mengambil pengkhususan ini. Ini kerana
saban tahun, saya akan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan merupakan guru wajib
yang akan mendidik bakal peserta untuk ke Pertandingan Bercerita Bahasa Melayu tidak kira
prasekolah, tahap 1 atau tahap 2 . Oleh yang sedemikian, secara tidak langsung, saya
tergolong di kalangan guru yang berusaha untuk memartabatkan bahasa ibunda di tanah air
tercinta ini .
Saya akan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan membina budaya
berbahasa Melayu di kalangan murid -murid. Berpegang prinsip melalui peribahasa melentur
buluh biarlah daripada rebung, saya akan berusaha sedaya upaya membawa murid-murid
bersama-sama berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu standard. Saya akan sering
mengajak murid-murid berkarya seperti mengarang atau mendeklamasikan sajak , berpantun
, bercerita dan sebagainya. Mereka juga dibimbing menggunakan penjodoh bilangan dan
simpulan bahasa ketika berkomunikasi. Mengimbas kembali nostalgia sepanjang pengalaman
mengajar bahasa Melayu , saya begitu seronok dan bersemangat ketika berkomunikasi
menggunakan teknik sedemikian. Ini berkemungkinan penggunaan bahasa standard
memerlukan lisan dan penulisan yang agak teratur, lebih tersusun, cermat dan ketelitian kalau
tidak biasa ketika membina ayat berbanding menggunakan ‘ bahasa rojak’ atau ‘bahasa
pasar’ yang boleh dihentam keromo. Sebagai contoh, “ Tulisan awak buruk seperti cakar
ayam”, kata salah seorang murid saya kepada rakannya atau “ Cikgu, saya berasa suka hati
kerana telah dua kali lulus dalam mata pelajaran Matematik !”, luahan ceria salah seorang
anak murid seolah-olah menagih pujian saya suatu ketika dahulu. Saya bukanlah ingin
mengingati kisah silam untuk berundur setapak ke belakang, tetapi cukuplah membuktikan
betapa elok dan indahnya penggunaan bahasa Malaysia standard merentas kurikulum itu
direalitikan.
Gerbang MBMMBI diharap dapat membuka lembaran baharu di dunia pendidikan.
Kejayaan MBMMBI bukan lahir seperti kata pepatah yang bulat datang bergolek, yang
pipih datang melayang, yang jauh menjadi dekat tetapi melalui komited, usaha, iltizam,
dan bersatu padu dalam menjayakan sesuatu yang diidamkan. Usaha yang gigih bagai
genggam bara api biar sampai menjadi arang boleh membantu MBMMBI mencapai
hasratnya. Menurut Datuk Abd. Ghafar Mahmud, langkah untuk meningkatkan
profesionalisme guru akan meningkatkan martabat keguruan untuk terus dihormati, disegani
dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Usaha memartabatkan profesion keguruan tidak akan
mencapai sasaran jika dirancang dan dilaksanakan pada peringkat kerajaan atau kementerian
sahaja. Warga pendidik sendiri selaku agen perubahan perlu memainkan peranan berkesan
dengan cara sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing. Guru janganlah
jemu berusaha untuk menambah baik amalan pengajaran semasa dan sentiasa berfikiran
proaktif, kreatif serta inovatif. Oleh demikian, untuk meningkat dan kepentingan profesion,
saya mesti selalu bertindak aktif dengan melaksanakan perubahan yang sewajarnya demi
murid-murid tanpa mengenal letih dan jemu . Saya adalah pemangkin masa depan negara.
Melalui seruan ini, saya berbesar hati terlibat secara langsung dengan dasar tersebut.
Masih melalui Penggunaan Bahasa Malaysia Standard Merentas Kurikulum, saya boleh
menggalakkan murid-murid bergerak aktif bukan setakat berkarya malahan menyertai
pertandingan bercerita. Tajul Ariffin Nordin ( 1991) ,pernah menyarankan supaya diadakan
usaha memperkembangkan dan memperkaya penyelidikan asli karya-karya dalam bahasa
Melayu dalam semua bidang. Sebagai permulaan sekolah rendah, dalam memartabatkan
bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris, saya akan menggalakkan murid-murid
saya berkarya mengikut tahap kecerdasan dan berdasarkan pola pemikiran mereka sahaja.
Saya akan sentiasa memberi dorongan, kata-kata semangat atau habuan untuk mereka agar
meminati mata pelajaran ini. Selain itu, saya akan memastikan penggunaan sistem bahasa
yang dalam mata pelajaran lain akan menyokong pengajaran dan pembelajaran bahasa
Melayu. Penggunaan dialek tempatan atau bahasa pasar mesti dipantau agar tidak
menjejaskan standard dan mutu bahasa Melayu itu sendiri. Saya turut bekerjasama dengan
guru-guru bahasa Inggeris dalam memperkasakan bahasa tersebut.
Peranan lain yang boleh saya lakukan ialah melalui didik hibur. Sebagai seorang guru,
sudah pasti saya inginkan murid-murid dapat berfikir secara kreatif, malahan secara kritis.
Saya gemar menggunakan kaedah didik hibur untuk murid-murid. Didik hibur dan seni dalam
pengajaran dan pembelajaran merupakan satu pembaharuan yang diperkenalkan oleh
Kementerian Pelajaran kepada murid-murid sebagai kaedah alternatif semasa proses
pengajaran bahasa Melayu. Tujuannya supaya bahasa Malaysia menjadi seronok untuk
diikuti oleh murid-murid. Namun bagi saya ianya tidak menjadi salah sekiranya diadaptasikan
dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris. Ibarat menyelam sambil minum air,
didik hibur membantu proses pengajaran dan pembelajaran menjadi amat menghiburkan.
Ianya merupakan satu pendekatan yang menggabungkan unsur-unsur pendidikan dan
hiburan. Pengajaran dan pembelajaran didik hibur berbentuk serampang dua mata. Melalui
didik hibur, saya boleh menjadikan pengajaran dan pembelajaran saya sesuatu yang
menghiburkan murid-murid. Saya boleh menggunakan pelbagai kaedah bagi menyediakan
suasana yang menyeronokkan dan menarik. Kemahiran mendengar, bertutur, membaca,
menulis dan tatabahasa boleh saya sulam dengan aktiviti penerokaan, pencarian maklumat,
pelaporan dan penghasilan produk. Contohnya, murid-murid saya boleh belajar bahasa
sambil menyanyi. Bagi saya, kaedah ini merupakan satu kaedah berinteraksi yang boleh
menjadikan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu atau bahasa Inggeris menjadi lebih
menarik dan menghiburkan. Para guru pasti akan dapat menggelakkan rasa bosan dan
mengantuk murid-murid di dalam kelas. Aktiviti berlakon pula akan menggalakkan murid-
murid saya berfikir dengan lebih kreatif dan kritis.
Didik hibur juga menjadi begitu menarik dan mampu menceriakan suasana,
mengirangkan hati murid-murid sekiranya kita sendiri mampu berlawak, berlakon, berpantun
dan sebagainya. Semasa mengaplikasikan didik hibur dan seni, saya boleh melakukan
aktiviti-aktiviti berikut seperti berpantun, menyanyi, melukis, bersajak, bercerita atau berlakon.
Namun begitu, paling penting saya perlu memastikan pengajaran dan pembelajaran pada hari
tersebut mencapai objektifnya. Amatlah tidak wajar pengajaran yang ingin disampaikan
kepada murid-murid menjadi sia-sia dan membuang masa saja laksana golok kayu,
ditetakkan tak makan, dijual tak laku. Walau bagaimanapun, didik hibur akan menjadi lebih
kreatif dan seronok sekiranya kita sememangnya berbakat dalam seni dan ikhlas untuk
melakukannya untuk murid-murid. Namun yang paling saya minati untuk digunakan selain
nyanyian di dalam pengajaran dan pembelajaran ialah aktiviti bercerita. . Melalui aktiviti
tersebut, murid-murid saya diharapkan dapat mengujarkan bahasa yang indah dan
menggunakan bahasa badan dengan kreatif semasa bercerita secara didik hibur.
Sebenarnya aktiviti bercerita memang telah lama menjadi sebahagian daripada teknik
pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan telah diamalkan
sejak sekian lama. Melalui aktiviti ini, banyak kemahiran penting dalam berbahasa dapat
dikuasai khususnya dalam kemahiran lisan. Namun sejak kebelakangan ini, aktiviti bercerita
kurang diaplikasikan oleh guru dalam pengajaran kerana sistem pendidikan lebih
menekankan ‘exam oriented’ yang mementingkan pencapaian dalam peperiksaan awam.
Adalah diharap kini, kemunculan kemahiran didik hibur yang berkesan ini membongkar dan
mencorakkan kembali teknik pengajaran dan pembelajaran dalam usaha memartabatkan
bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris murid-murid sekolah di Malaysia.
Melalui kemahiran asas berbahasa atau dalam bahasa Inggerisnya disebut “ Basics
to Basics”, saya boleh bekerjasama dengan guru-guru dalam setiap program yang diadakan.
Menurut Roselan ( 2003 ), kemahiran berbahasa merupakan kemahiran asas yang amat
penting dan perlu ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Guru
merupakan pelaksana kurikulum perlu mengambil berat tentang objektif kurikulum yang
digubal bagi membolehkan hasrat kerajaan tercapai. . Bagi mencapai objektif tersebut, saya
akan bersedia melibatkan diri dalam program-program yang dijalankan di sekolah. Contohnya
dalam Program Literasi dan Numerasi ( LINUS ) , saya bersedia melibatkan diri atau
berperanan penting dalam menjayakan program tersebut. Bagi memartabatkan bahasa
Melayu, saya akan berusaha menjayakan program ini kerana ianya memberi penekanan
kepada literasi bahasa Melayu iaitu lisan dan bacaan. Berdasarkan Buku panduan Am
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah ( KPM 2003 ), bahawa setiap murid adalah berbeza
antara satu sama lain dari segi pengalaman, tingkahlaku, amalan, bakat dan kebolehan. Oleh
yang demikian, saya seharusnya memahami keperluan konsep pemulihan di dalam bilik
darjah bagi mengatasi pemasalahan menguasai kemahiran membaca dan menulis di
kalangan murid. Bagi memartabatkan bahasa Melayu juga, asas bahasa saya lakukan secara
berstruktur dan sistematik. Saya akan menjalankan asas berbahasa pradengar, prabunyi,
prabaca dan pratulis untuk murid-murid saya yang diperkukuh melalui modul pengajaran dan
pembelajaran. Semasa proses pengajaran dan pembelajaran, saya boleh menjalankan
pertandingan seperti membaca lancar, kemahiran menulis, membaca dan sebagainya.
Pengajaran dan pembelajaran tatabahasa yang saya jalankan adalah berasaskan sistem
bahasa yang betul yang dilakukan secara bersepadu dalam konteks. Sekiranya kesilapan
dilakukan oleh murid, saya akan membimbing membetulkan kesilapan mereka. Kesilapan
perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mengukuhkan kefahaman murid-murid saya.
Selain memberi dorongan, saya akan bersama-sama membantu guru pemulihan bagi
mengatasi pemasalahan tersebut dengan menyenaraikan murid yang memerlukan bimbingan.
Bagi saya pendidikan pemulihan merupakan satu wadah yang dapat membantu
meningkatkan potensi murid-murid yang mengalami masalah dalam kemahiran membaca dan
menulis. Saya akan sentiasa memberi dorongan kepada murid-murid untuk memantap dan
mengukuhkan penguasaan pembelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mereka
kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Bagi menunaikan impian
tersebut, saya akan sentiasa memastikan penggunaan bahan bantu mengajar adalah
bersesuaian dengan kebolehan dan penguasaan membaca murid. Ini dapat menjadikan
suasana aktiviti membaca menjadi berkesan dan bermakna kepada murid-murid lain. Untuk
mengukuhkan bahasa Inggeris , saya boleh bekerjasama dengan Panitia Bahasa Inggeris.
Baru-baru ini, panitia tersebut mengadakan ‘Program Spell Right’ . Saya telah berganding
bahu dengan melibatkan diri sebagai ahli jawatankuasa untuk program tesebut. Penglibatan
saya diharap dapat membantu memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris murid-murid di
sekolah kami.
Persekitaran pembelajaran yang kondusif juga penting bagi merealisasikan harapan
dalam memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris. Murid-murid
saya sudah pasti tidak dapat belajar dengan selesa dan berada dalam situasi selamat
sekiranya persekitaran mereka terdapat pelbagai gangguan seperti vandalisme, peras ugut,
buli dan sebagainya. Bagi memastikan murid-murid dapat belajar dengan selesa dan selamat ,
kita tidak boleh seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Setiap
guru adalah guru disiplin. Saya berlapang dada bekerjasama dengan pihak pentadbir, guru-
guru, ibu bapa, Persatuan ibu bapa dan guru ( PIBG ) dalam melakukan pemantauan di
persekitaran sekolah. Pemantauan tersebut akan sering dilakukan. Pemantauan tersebut
terdiri daripada aspek kebersihan, keceriaan dan keselamatan (3K ). Guru-guru yang terlibat
berkemungkinan terdiri daripada ahli jawatankuasa disiplin, guru kaunseling, Penolong
Pentabiran, Penolong Kanan HEM, Guru Besar dan sebagainya. Kebersihan, keceriaan dan
keselamatan sekolah akan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan
saiz kelas, serta keadaan fizikal bilik darjah dan sekolah lebih kondusif untuk pengajaran dan
pembelajaran. Masalah pelajar boleh diumpamakan sudah terhantuk, baru terngadah . Saya
tidak akan membiarkan keadaan semakin rumit barulah ianya akan diperkatakan atau
diselesaikan. Jangan menunggu nasi menjadi bubur baru hendak menyelesaikan masalah
murid-murid. Masalah-masalah yang menganggu pembelajaran di sekolah perlu dikenalpasti
daripada akar umbinya supaya dapat diselesaikan bagaikan menarik rambut di dalam
tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak . Iklim pembelajaran yang kondusif
dan dorongan daripada saya dan guru-guru lain pasti dapat mewujudkan motivasi dan
merangsang minat murid-murid agar terus belajar. Mereka pasti bersedia untuk menguasai
ilmu dengan seronok tanpa mengalami sebarang tekanan dan gangguan di sekolah .
Kesimpulannya, memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris
merupakan satu wadah murni. Sebagai bangsa Melayu saya bertanggunjawab mendaulatkan
bahasa kebangsaan ini. Guru bahasa Melayu adalah pemangkin akauntabiliti bangsa dan
bangsa Melayu. Namun demikian, bahasa Inggeris tidak wajar dipinggirkan. Sebagai bahasa
kedua di Malaysia, memperkasakan bahasa tersebut adalah sesuatu yang boleh diterima
akal. Cuak dalam memperkasakan bahasa tersebut akan memungkinkan kita dan murid-
murid ketinggalan dari gedung ilmu dunia . Saya bersama-sama warga pendidik yang sepakat
akan seciap bagai ayam, sedenting bagai besi tegas beriltizam dan komited dalam
meningkatkan profesionalisme keguruan. Usaha inilah yang boleh saya lakukan bagi
melaksanakan hasrat kerajaan demi memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan
bahasa Inggeris agar pendidikan di Malaysia dipandang tinggi di mata dunia.
Top Related