PERSEKITARAN FIZIKAL PINGGIR PANTAI
Pinggir pantai sangat penting untuk Malaysia. Secara langsung dan tidak
langsung ia banyak menyumbang kepada rakyat Malaysia terhadap ekonomi dan
pelancongan. Sehingga kini masih belum terdapat satu takrifan zon pinggir pantai
yang diterima pakai oleh setiap pengkaji daripada pelbagai disiplin. Secara
umumnya istilah zon pinggir pantai masih didasari oleh kepentingan sesuatu bidang
ilmu sama ada daripada segi kepentingan fizikalnya, kepentingan pelbagai
sumberjaya yang terdapat, kepentingan ekonomi dan perdagangan, kepentingan
penyelidikan dan saintifik, kepentingan arkeologi, ataupun untuk tujuan politik, dan
pertahanan. Secara umumnya, zon pinggir pantai adalah merupakan pertembungan
kritikal antara daratan, laut dan atmosfera. Zon tersebut dapat didefinisikan
sebagai suatu jaluran daratan dan ruang laut yang bersebelahan dengannya
(perairan pinggir pantai dan tanah yang tenggelam) yang saling bergantungan
diantara satu dengan lain. Menurut Ketchum (1972), zon pinggir pantai terdiri
daripada unsur-unsur yang terdapat pada tiga zon utama yang saling
bergantungan, iaitu daratan, teteluk-muara sungai yang cetek, dan marin, ataupun
ditinjau daripada sudut lain zon ini terdiri daripada dataran pinggir pantai, zon
pesisir, dan zon hampir pesisir (Inman & Brush 1973).
(Sumber: PELAN PENGURUSAN PERSISIRAN PANTAI BERSEPADU (INTEGRATED SHORELINE MANAGEMENT PLAN) PULAU PINAN PELAN PENGURUSAN PERSISIRANPANTAI BERSEPADU.2008)
Jelasnya zon pinggir pantai adalah merupakan suatu zon yang paling dinamik
dan juga rapuh. Kedinamikan zon pinggir pantai terletak pada kewujudan faktor-
faktor fizikal daratan yang terdiri daripada batuan, pantai dan bentuk-bentuk lain
yang terdiri daripada bahan yang tidak terkonsolidat, muara sungai, paya, dan
terumbu karang di samping faktorfaktor fizikal lautan yang semestinya melibatkan
perairan pinggir pantai dan agen-agen yang bertindak terhadap persekitaran fizikal
zon pinggir
pantai seperti ombak, arus, pasang surut, dan angin. Tindakan factor fizikal lautan
serta tindakbalas yang diwujudkan berlaku berterusan secara semulajadi dalam
rangka mewujudkan suatu keadaan keseimbangan dinamik yang boleh dikesan
secara keratan rentas ataupun keratan memanjang. Zon pinggir pantai dianggap
rapuh kerana apa sahaja bentuk gangguan di zon pinggir pantai mampu
menyebabkan perubahan. Malahan setiap perubahan pula akan mempengaruhi
tindakan yang seterusnya. Sekiranya sesuatu gangguan hanya menyebabkan
perubahan yang kecil, biasanya agen agen yang bertindak mampu memulihkan
keadaan secara semulajadi (Jamaluddin Md. Jahi. 1996, 2000a, 2000b).
Bagaimanapun, sekiranya gangguan itu berterusan dan melampaui had
kemampuan untuk pemulihan secara semulajadi oleh agen-agen yang bertindak,
biasanya gangguan berkenaan akan menimbulkan masalah dan menyebabkan
kemerosotan kualiti persekitaran fizikal sesuatu zon pinggir pantai. Umum
mengetahui bahawa masyarakat pinggir pantai bergantung pada sumber semula
jadi pinggir pantai untuk sumber makanan dan kehidupan mereka. Ikan menjadi
sebahagian penting keperluan protein, sementara hutan paya bakau menjadi
sumber pelbagai produk. Penggunaan secara tradisional mempunyai impak yang
kecil terhadap zon pinggir pantai. Bagaimanapun, pembangunan pesat dalam
bidang pertanian, akuakultur, industri dan pembandaran telah bukan hanya
mengganggu ekosistem zon pinggir pantai, tetapi memusnahkannya. Pembangunan
bandar, industri, pertanian, pembalakan, infrastruktur dan perlombongan di
kawasan pedalaman juga telah menyebabkan pemendapan dan pencemaran di zon
pinggir pantai. Sebenarnya di zon pinggir pantai terdapat beberapa tempat yang
menarik yang mampu menjadi tarikan pelancong dan juga untuk tujuan
pembangunan pelancongan. Di seluruh dunia tarikan utama pelancong di zon
pinggir pantai adalah kewujudan pantai yang cantik berserta sinaran matahari,
mempunyai persekitaran yang bersih, landskap yang menarik, serta perairan
pinggir pantainya yang bersih dan juga selamat. Di kawasan tropika seperti di
negara ini, tarikan pelancong bukan hanya bergantung pada pantai dan
persekitarannya, tetapi juga disebabkan keunikan terumbu karang, dan paya bakau
yang kaya dengan kepelbagaian flora dan faunanya.
AGEN-AGEN YANG MEMPENGARUHI KETERUBAHAN PINGGIR PANTAI
Ombak
Sebahagian besar permukaan bumi diliputi oleh air iaitu 71%. Penyerapan
tenaga matahari akan mewujudkan perbezaan suhu air laut dan menghasilkan arus
udara. Arus ini akan bergerak sehingga ke kawasan pantai untuk membentuk
ombak(wind wave). Tenaga yang dijanakan arus ini dianggarkan 1.39 megawatts
per kilometer. Magnitude ini boleh bertambah sehingga 25 kali ganda sekiranya
berlaku rebut. Ombak ini merupakan factor yang menyebabkan hakisan di kawasan
pantai dan mengakibatkan kerosakan kepada struktur-struktur pantai. Aliran kocak
dan arus rip adalah sebahagiannya berpunca daripada ombak ini.
Terdapat beberapa perbezaan di antara ombak pembina dengan ombak
pembinasa. Perbezaan pertama ialah proses geomorfologi. Ombak pembina, giat
melakukan pemendapan di pinggir pantai manakala ombak pembinasa giat
melakukan proses hakisan di pinggir pantai. Kedua-dua proses ini telah
mewujudkan pelbagai bentuk muka bumi hakisa dan pemendapan di pinggir pantai.
Perbezaan juga sangat nyata dari segi panjang, ketinggian dan kekerapan ombak.
Ombak pembina terdiri daripada ombak yang panjang dan ketinggian yang rendah
serta kekerapan damparan ombak yang sampai ke pinggir pantai yang rendah iaitu
6 hingga 8 kali seminit sahaja. Ombak pembinasa merupakan ombak yang pendek
tetapi tinggi serta kekerapan damparan yang tinggi iaitu 10 hingga 12 kali seminit.
Perbezaan juga dapat dilihat dari segi kekuatan damparan berbanding
unduran ombak. Ombak pembina mempunyai damparan yang kuat di pinggir pantai
dan sebaliknya unduran atau basuhan-baliknya lemah. Damparan yang kuat seiring
dengan proses pemendapan. Ombak pembinasa pula mempunyai damparan yang
lemah dan unduran ombak yang kuat. Unduran ombak yang kuat bertindak
menghakis kawasan pinggir pantai. Perbezaan juga dapat dilihat dari segi kawasan
pemecahan ombak di pinggir pantai. Ombak pembina yang biasa akan terbentuk di
pinggir pantai yang cetek. Ia akan pecah di luar pinggir pantai apabila ketinggian
ombak melebihi kedalaman dasar laut pantai. Ombak pembinasa pula terbentuk di
pinggir pantai yang dalam dan pecah di tebing pinggir pantai.
Ombak merupakan salah satu daripada daya hidrolik yang bertindak keatas
pantai. Ia terhasil apabila menerima tenaga daripada angin. Antara lain ilmuan
mendefinisikan ombak sebagai istilah yang digunakan untuk menerangkan keadaan
turun naik aras laut di bahagian permukaan dengan merujuk kepada suatu titik
yang lazimnya adalah di daratan.
Ombak oceanografi meliputi frekuensi yang meluas dan memiliki pelbagai
jenis. Kebanyakan ombak di jana oleh angin dan dikenali sebagai ombak angin dan
ada juga yang terhasil daripada pergerakan dasar laut (tsunami) atau apabila
berlaku perubahan pada tekanan atmosfera di permukaan air tenang (seiches).
Ombak angin adalah selalu digunakan oleh para jurutera pantai dalam analisis
kejuruteraan.
Apabila angin bertindak keatas permukaan laut, ia berada dalam keadaan
yang tidak seragam dan berbeza-beza daripada segi tekanan dan kelajuan. Oleh itu,
magtitud ombak adalah bergantung pada jarak dan tempoh masa angin bertiup.
Lebih panjang jarak rambatan ombak dan lebih lama angin bertiup, maka lebih
besar ombak akan terhasil dan mampu mengubah struktur pinggir pantai.
Contohnya melalui tindakan Hidraulik. Hidrolik merupakan tindakan hakisan
yang disebabkan oleh kuasa air laut itu sendiri tanpa melibatkan bahan/muatan
yang dibawanya. Ombak yang menghempas pantai (swash) akan
memampatkanudara yang terdapat dalam rekahan batuan menyebabkan rekahan
mengalami pengembangan. Apabila ombak mengundur (backwash) udara dalam
rekahan menguncup maka rekahan mengalami kenduran. Proses yang berulang-
ulang menyebabkan batuan pecah dan runtuh.
Pasang Surut
Pantai akan mengalami kenaikan dan penurunan aras air mengikut sela masa
tertentu yang dikenali sebagai pasang dan surut. Secara umumnya, pasang surut di
Malaysia di pengaruhi oleh pasang surut astronomi dan ia disebabkan oleh interaksi
tarikan graviti yang melibatkan matahari-bumi-bulan. Biasanya keadaan ini di
sebabkan oleh tarikan graviti bulan, matahari dan komponan astronomi yang lain.
Air pasang surut lebih di pengaruhi oleh bulan daripada matahri. Hubungan
lokasi matahari dengan bulan mempunyai pengaruh yang besar kepada lingkungan
pasang surut. Dalam satu bulan (30 hari), bulan mengambil masa selama 4 minggu
untuk mengelilingi bumi. Dalam masa yang sama terdapat 2 kali air pasang perbani
(spring tide) dan 2 kali air pasang anak (neap tide).
Air pasang perbani berlaku apabila bulan baru dan apabila bulan penuh, pada
keadaan ini bumi, bulan dan matahari berada dalam satu garisan. Pada masa itu,
tarikan graviti bagi matahari dabn bulan akan bergabung dan keadaan pasang surut
akan mencapai linkungan yang maksimum. Air pasang dan surut berupaya untuk
menghakis, mengangkut dan memendapkan bahan di kawasan pinggir pantai.
Contohnya melalui tindakan kikisan atau lelasan. Tindakan ini melibatkan
bahan-bahan muatan yg di bawa ombak dgn batuan di kakicenuram atau tanjung
yg mengadap ombak. Bahan ombak seperti batu pasir, kerikil,batu lada, serpihan
batuan akan bertindak sebagai alat penghakis untuk mengeseldan menghauskan
kaki cenuram tadi. Keberkesanan proses ini amat dipengaruhi olehbahan yg dibawa
oleh ombak.
Tsunami
Istilah tsunami' menerangkan satu siri ombak lautan yang panjang yang terbentuk
selepas sejumlah isipadu air dipindahkan secara tiba-tiba. Tsunami adalah daripada
perkataan Jepun. Tsunami dalam erti kata lain adalah ombak-ombak mempunyai
cirri-ciri pergerakan yang pantas, kadang-kadang mempunyai ketinggian ombak
yang tinggi, dan jarak ombak panjang oleh itu tsunami-tsunami adalah seharusnya
ombak-ombak raksasa.
Tsunami memang boleh menghancurkan apabila jarak jauh di bawah lautan
semakin kurang apabila menuju ke darat. Kelajuan pergerakan tsunami juga
merupakan suatu ciri yang hebat. Tsunami boleh bergerak disepanjang lautan
dengan sangat pantas, biasanya dari 500 ke 1000 kilometer sejam, dengan
tenaganya yang agak konsisten dan agak sukar kelihatan dilaut.
Tsunami boleh menghakis pasir dari pantai-pantai melalui proses lagaan iaitu
bahan-bahan yang dibawa oleh ombak berlaga atau berlanggar sesama sendiri
sehingga pecah dan melibatkan perubahan saiz bahan, menghapuskan pokok-
pokok, dan bahkan memusnahkan sama sekali seluruh pekan-pekan seperti yang
terjadi pada bencana tsunami di Selatan Asia. Satu istilah yang biasa digunakan
untuk menerangkan tsunami-tsunami ialah ‘tidal wave’ Ini telah digunakan kerena
kekencangan tsunami-tsunami yang boleh dilihat hampir sama dengan ombak yang
cepat.
Pertembungan Proses Pinggir Pantai dengan Muara Sungai
Di Muara Sungai, pertemuan diantara ombak, arus, pasang surut dan aliran sungai
sering kali menimbulkan konflik. Pertembungan ini kerap kali memberikan impak
ketidakstabilan terhadap profil muara sungai sehingga mewujudkan hakisan yang
serius di kiri dan kanan muara sungai tersebut. Walaupun di anggap sebagai zon
penapisan dan pemendapan semula jadi bagi sendimen yang di angkut oleh aliran
sungai (Bird 1969), sering kali isipadunya di tokok oleh kautan sedimen yang
dihasilkan oleh ombak di pesisiran muara menyebabkan kawasan ini mengalami
hakisan sepanjang tahun.
Kajian mengenai hakisan di muara sungai mendapati proses timbal balik
berlaku diantara bahan yang dihakis, diangkut dan dimendapkan ke suatu kawasan.
Umpamanya, kerja penambakan laut yang dilaksanakan di Pantai Padang Temu,
Melaka pada tahun 1996 telah mengakibatkan persisiran muaranya mengalami
hakisan. Sendimen yang di hakis kemudiannya di mendapkan oleh aliran sungai di
bahagian muka muara sungai Doyung menjadikan kawasan ini cetek
danmendatangkan masalah keatas navigasi nelayan (Jabatan Pengairan dan Saliran
Melaka 1998).
Pengurusan Pinggir Pantai
Pengurusan pinggir pantai terbahagi kepada dua iaitu dari segi perundangan dan
bukan perundangan. Terdapat dua contoh pengurusan dari segi perundangan iaitu
Pusat Kejuruteraan Teknikal Pinggir Pantai (CETC) dan Penilaian Ipak Alam Sekitar
(EIA) dan Majlis Kawalan Hakisan Pantai Negara (MKPHN). Melalui bukan
perundangan pula terdapat enam contoh pengurusan pinggir pantai iaitu
pengurusan menggunakan paya bakau, benteng hakisan, blok Labuan, pemecah
ombak, penyuburan semula pantai , dan lapis lindung.
Perundangan
Melalui segi perundangan, perungurusan yang selalu dilakukan sebelum
membuat projek atau pembinaan di pinggir pantai haruslah melalui CETC. Segala
permohonan yang dibuat perlulah melalui agensi ini sebelum menjalankan sesuatu
pembangunan di pinggir pantai. Setelah itu, laporan daripada EIA amat penting
sebelum meluluskan permohonan yang dibuat. Pihak EIA adalah badan yang
mengkaji permohonan yang dibuat oleh pemohon dan setelah itu CETC akan
meluluskan setiap permohonan sekiranya permohonan spesifikasi yang ditetapkan
agar tidak member impak negative kepada pinggir pantai. Kedua-dua agensi ini
amat memainkan peranan yang penting dalam permohonan yang dibuat bagi
menjalankan pembangunan di pinggir pantai.
Selain itu, MKPHN juga memainkan peranan dalam pengurusan pinggir
pantai. Majlis ini ditubuhkan di bawah unit penyelarasan (UPP) di Jabatan Perdana
Menteri bagi menetapkan had piawaian kerja pengawalan persisiran pantai dan
muara di Malaysia. Melalui kajian UPP, pantai di Negara ini kebanyakannya musnah
akibat pembangunan yang yang menyebabkan pinggir pantai mudah terhakis. Hal
ini agak sukar dikawal kerana ada segelintir pengusaha tidak mengikuti spesifikasi
pembangunan pinggir pantai walaupun di atas kertas mereka mengikuti piawaian.
Dengan cara ini, pengusaha dapat mengurangkan kos pengeluaran mereka.
Bukan Perundangan
Salah satu pengurusan pinggir pantai dari segi bukan perundangan ialah
penanaman pokok paya bakau. Penanaman paya bakau ini dapat mempengaruhi
pergerakan angin dari laut. Fungsinya yang menjadi benteng semulajadi yang
menghalang hempasan tsunami atau ombak kuat ke kawasan yang lebih jauh.
Selain itu, ia juga dapat mengurangkan angin kencang untuk sampai terus ke
pinggir laut yang boleh membuatkan ombak menjadi ombak pembinasa.
Seterusnya, penanaman pokok paya bakau dapat mengurangkan tekanan
gelombang ombak.
Selain itu, pemasangan benteng hakisan di tepi pantai. Melalui cara ini, ia
dapat menstabilkan pantai semulajadi atau buatan daripada hakisan. Pemasangan
benteng ini adalah untuk benteng hakisan berstruktur panjang. Biasanya pantai
yang lurus dan serenjang dengan garis pantai. Oleh yang demikian, sistem benteng
hakisan menghasilkan garis pantai berbentuk gerigi dalam lapangan benteng
hakisan dan aras pantai. Contoh yang terdapat di negara ini ialah di Wilayah
Persekutuan Labuan.
Seterusnya, blok labuan. Ianya berstruktur blok jisim yang konkrit. Blok ini
dibina mengikut keadaan fizikal pantai. Selain itu, ianya dibina menggunakan bahan
yang terdapat di kawasan tersebut. Pengurusan seperti ini hanya menggunakan
modal yang rendah dan ianya mudah dialihkan dan diangkut ke tempat lain. Ianya
berfungsi melindungi hakisan pantai dalam tempoh tiga hingga lima tahun untuk
menyerap tenaga ombak.
Sumber: Department of Irrigation & Drainage, Jalan Sultan Salahuddin,50626 Kuala
Lumpur,Malaysia.
Pemecah ombak juga berfungsi untuk mengurangkan hakisan pinggir pantai.
Pemecah ombak ini dibina untuk mengurangkan tindakan ombak yang kuat.
Tindakan ombak dapat dikurangkan melalui gabungan pemantulan dan pelesapan
tenaga ombak mendatang. Ia juga berfungsi untuk memperbaiki keadaan oleh
gerakan di pintu masuk sungai. Pemecah ombak terbahagi kepada dua jenis iaitu
struktur depan cerun dan tegak.Gambar di bawah menunjukkan Pemecah ombak di
Sungai Marang ,Terengganu.
Sumber: Department of Irrigation & Drainage, Jalan Sultan Salahuddin,50626 Kuala
Lumpur,Malaysia.
Kelima, penyuburan pantai. Ianya dikenali sebagai pengisian semula pantai,
penyuapan pantai atau cas semula pantai. Penyuburan pantai ialah penyelesaian
struktur lembut yang digunakan untuk pencegahan hakisan garis pantai. Sumber
bahan yang digunakan ialah yang sesuai yang perlu dicari iaitu yang serasi tetapi
tidak semestinya serba sama dengan bahan pantai yang akan disuburkan. Tempoh
penyuburan pantai adalah lebih kurang lima hingga sepuluh tahun.
Seterusnya, lapis lindung. Lapis lindung ini dipasang terus pada pantai,
benteng, atau tambakan. Ianya dibuat bagi melindungi kawasan pantai daripada
tenaga ombak dan arus yang kuat. Biasanya ia dibina untuk mengekalkan
penggunaan pantai yang sedia ada serta berfungsi untuk melindungi kawasan
bercerun pantai. Ia dibina secara meliputi permukaan cerun secara keseluruhan
bagi membenarkan air mengalir melaluinya setelah ombak dilesapkan.
Sumber
Goh Chen Long. 2010. Atlas Sumber dalam Geografi Fizikal: Resource Atlas in
Physical Geografi. Institut Terjemahan Negara Malaysia. Perpustakaan
Negara Malaysia.
M Sulaeman.2004. Lebih Dekat Dengan Alam. PT Setia Purna Inves. Jakarta
Guan Hoe Teh et. Al. 2001.Geological Society of Malaysia: Annual Geological
Conference. Jabatan Mineral dan Geosains, Malaysia.
Cicin-Sain B. & Knecht R.W. 1998. Integrated Coastal Management -Concepts and Practices. Island Press. Washington D.C.
Jamaluddin.2009. Pembangunan Pelancongan dan Impaknya terhadap Persekitaran Fizikal Pinggir Pantai.Malaysian Journal Of Environment Management. Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
Jabatan Alam Sekitar. 2000. Laporan kualiti alam sekeliling 1999. Kuala Lumpur: Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.
Top Related