Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi telah banyak mempengaruhi budaya
kehidupan masa kini, dalam bidang pendidikan khususnya, pengaplikasian teknologi ini dalam
pengajaran dan pembelajaran memberikan satu anjakan baru dalam teknik pedagogi guru.
Beberapa penyelidikan lepas telah membuktikan bahawa penggunaan teknologi telah dapat
merevolusikan teknik pengajaran guru, kaedah murid belajar dan secara keseluruhannya cara
pendidikan dikendalikan sesuai dengan era masa kini. Penggunaan komputer dalam pengajaran
bahasa mampu mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru dan penguasaan kemahiran bahasa
pelajar. Menurut Grove et al. (2004), nilai teknologi di dalam bilik darjah telah menimbulkan isu
dan perdebatan dalam kalangan ahli teknologi pendidikan sedangkan dalam kajian Roblyer &
Schwier (2003) mendapati teknologi telah dibuktikan dapat meningkatkan produktiviti,
menambahkan motivasi, menyokong pengajaran secara tidak langsung, kebolehan pengajaran
yang bersifat unik, dan meningkatkan literasi maklumat. Menurut Cuban (2001), justifikasi ini
timbul di dalam iklim kritikan berasaskan pelaburan yang besar dalam teknologi yang diragui
keberkesanannya. Dalam hal ini, ahli teori telah meletakkan diri mereka sebagai penyokong
kepada perspektif yang menjurus kepada efektifnya penggunaan teknologi.
Menurut Mohammed Sani (1998), penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi
menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih efisien tanpa menganggu objektif
pelajaran yang telah ditetapkan. Guru-guru juga perlu mengintergrasikan teknologi maklumat
dan komunikasi dalam kurikulum sekolah untuk mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran
yang telah ditetapkan.
Terdapat banyak kelebihan di dalam penggunaan pendekatan ini. Antara kelebihannya, ia
amat sesuai digunakan di dalam kelas yang mengandungi bilangan pelajar yang ramai dengan
kemampuan yang berbeza. Justeru itu ia dapat membantu pelajar yang lemah mengikuti
pengajaran guru berdasarkan kemampuan kendiri. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu, guru boleh memberi tumpuan kepada sebahagian pelajar melaksanakan tugasan-
tugasan yang telah ditetapkan, manakala sebahagian yang lain pula boleh meneruskan
menggunakan komputer. Keadaan ini dapat mempertingkatkan keberkesanan dan kualiti
pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan perisian pendidikan yang berbeza mengikut
tahap kemampuan pelajar. Dalam masa yang sama bagi pembelajaran dalam kalangan pelajar
yang lebih cekap diberikan aktiviti pengayaan dengan memberi peluang melayari laman web
yang lebih mencabar minda pelajar. Pelajar digalakkan menjawab soalan-soalan atau gerak kerja
yang terdapat di dalam laman web bagi meningkatkan kecekapan pembelajaran mereka.
Top Related