[ ] 2011
1.0 PENDAHULUAN
Pendidikan khas merupakan salah satu bahagian dalam sistem operasi
pendidikan yang memerlukan formula sistem pembelajaran yang khas dan
bersesuaian mengikut keperluan kanak-kanak istimewa. Untuk itu semua
guru yang terlibat dengan pendidikan khas kanak-kanak istimewa perlu
mempunyai kelayakan dan latihan yang professional demi memastikan corak
pengajaran yang disampaikan bersesuaian dengan kanak-kanak istimewa.
Langkah ini diambil untuk menyediakan peluang latihan professional kepada
guru-guru dan mereka yang berminat dalam pendidikan khas kerana sedar
kurangnya peluang-peluang seperti ini ditawarkan. Ianya diharap dapat
menyumbang kepada pendedahan kepada guru khasnya dan masyarakat
tentang pendidikan khas kanak-kanak istimewa.
1.1 Refleksi pengajaran dan pembelajaran lalu
Selain berkomunikasi secara lisan ataupun melalui bacaan, manusia
juga berkomunikasi melalui tulisan. Malah bahasa tulisan adalah satu
bentuk komunikasi yang paling tinggi dan kompleks. Menulis adalah
satu kemahiran dan juga sebagai saluran untuk seseorang melahirkan
perasaan dan idea. Kemahiran menulis ini mengabungkan aspek-aspek
visual, motor dan keupayaan membentuk konsep-konsep.
Menurut Hughes, Mercor, Lenz dan Hoffman (1991) tulisan juga
adalah saluran utama bagi murid-murid untuk menunjukkan
pengetahuan mereka dalam mata pelajaran akademik yang lebih
1
[ ] 2011
tinggi. Sebelum seseorang dapat menggunakan tulisan sebagai media
untuk berkomunikasi, ia perlu menguasai kemahiran menulis secara
mekanis dahulu dan selepas itu barulah ia dapat menulis untuk tujuan
berkomunikasi dengan orang lain. Seseorang individu menulis untuk
menyatakan idea dan perasaannya atau apa sahaja yang ingin
disampaikannya supaya dapat dibaca dan difahami oleh orang lain.
Kebanyakkan kanak-kanak bermasalah pembelajaran di kelas
Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) tidak menguasai
kemahiran menulis, sama ada tulisan mekanis ataupun tulisan
mentalis.
Penemuan kepada masalah ini bermula apabila saya memulakan
pengajaran kelas dengan menjalankan pengajaran pertama berkenaan
dua kemahiran utama iaitu membaca dan menulis terhadap murid-
murid kelas Harmony Enam. Pada 13 Februari 2011, penyelidik
menjalankan pengajaran tersebut kepada kesemua ahli kelas iaitu
seramai enam orang. Semasa peringkat awal pengajaran tersebut,
semua murid dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran dengan
baik, namun apabila tiba pada langkah yang ketiga dalam pengajaran
tersebut iaitu menulis, dua orang murid ini mula menunjukkan
kelemahan. Murid mula menulis huruf secara terbalik dan bentuk huruf
yang ditulis tidak sama seperti yang ditulis oleh rakan-rakan lain.
Selain daripada itu, pada bahagian nama di muka surat hadapan
lembaran kerja yang diberikan, nama yang ditulis adalah terbalik
2
[ ] 2011
daripada nama asal mereka. Sebagai guru, saya ingin memastikan
masalah yang yang dihadapi oleh kedua-dua orang murid ini untuk
mencari penyelesaian yang secepat mungkin. Saya meneruskan
eksperimen kedua saya untuk mengetahui dengan lebih lanjut
mengenai masalah yang dihadapi oleh dua orang murid saya ini yang
bernama Auni dan Izzati. Pada 3 Mac 2011, penyelidik mengajar tajuk
tulisan dan mengariskan kemahiran mengenal, menekap suku kata
dan huruf dengan betul kepada semua murid kelas Harmony Enam ini.
Dengan menggunakan kad imbasan pada langkah pertama, penyelidik
menggunakan kaedah pandang sebut dan semua murid boleh
menyebut dan mengenal huruf dengan baik. Apabila diminta menyalin
semula huruf yang terdapat pada kad imbasan pada langkah kedua,
dua orang murid iaitu Auni dan Izzati gagal berbuat demikian.
Berdasarkan pemerhatian penyelidik terhadap mereka, mereka
menghadapi masalah dalam motor halus dan koordinasi mata dengan
tangan. Mereka tidak dapat menterjemahkan apa yang mereka lihat
pada kad imbasan untuk menulis di atas sekeping kertas yang kosong
dihadapan mereka. Penyelidik perlu melakukan sesuatu agar dapat
menangani masalah yang dihadapi oleh murid-murid ini sekurang-
kurangnya mereka dapat membentuk huruf dengan baik dan betul.
1.2 Sorotan literatur (berdasarkan refleksi)
3
[ ] 2011
Program Integrasi Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran di Malaysia disediakan untuk
kanak-kanak kurang upaya termasuklah terencat akal minima, autisme, hiperaktif,
masalah bahasa dan pertuturan dan kurang upaya dalam pembelajaran. Ia adalah selaras
dengan Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan pendidikan ( Pendidikan Khas 1997
Bahagian 113(2) ) yang menyediakan pendidikan khas dan kemudahan-kemudahan untuk
murid bermasalah penglihatan dan perdengaran manakala pendidikan khas integrasi pula
adalah untuk mereka yang bermasalah pembelajaran.
Berdasarkan perkara di atas, ternyata program ini telah lama di wujudkan bagi
membantu golongan kanak-kanak yang berkeperluan khas ini. Salah satu komponen yang
di ajar di sekolah ialah kemahiran menulis kanak-kanak ini sendiri. Apakah sebenarnya
yang dimaksudkan dengan tulisan itu sendiri? Juriah Long et. al, 1989 menyatakan
bahawa tulisan ialah lambang-lambang bunyi bahasa yang telah dipindahkan ke dalam
bentuk grafik bagi melahirkan perasaan, fikiran dan idea. Menulis adalah proses
memindahkan lambang-lambang bunyi yang tersusun dan teradun bagi melahirkan bunyi-
bunyi yang bermakna serta dijadikan alat komunikasi. Tulisan ialah bahasa yang bertulis
dengan lambang-lambang bunyi (Kamarudin Hj. Husin, Siti Hajar Hj Abdul Aziz, dan
Arb’ie Sujud, 1996). Mereka juga menyatakan peranan tulisan ialah untuk mendirikan
asas yang kukuh supaya seseorang kanak-kanak itu dapat melahirkan idea, fikiran serta
perasaan dengan baik, pantas dan cekap. Selain itu, tulisan membolehkan kanak-kanak
menyusun huruf-huruf menjadi suku kata, perkataan dan ayat sebagai alat komunikasi
dalam kelompok masyarakat. Peranan yang paling penting mengenai tulisan ini ialah bagi
menyediakan, menyemai, mengasah serta mengukuhkan minat serta bakat kanak-kanak
4
[ ] 2011
sebagai memenuhi kehendak masyarakat moden kerana membaca, menulis dan mengira
merupakan sebahagian daripada asas utama keperluan hidup pada masa kini.
Wiederholt, Hammill dan Brown (1983) mencadangkan guru-guru sekolah rendah
memperuntukkan 10 hingga 15 minit setiap hari untuk mengajar tulisan tangan
(mekanis). Berdasarkan cadangan ini amatlah berkait rapat dengan permasalahan yang
dihadapi oleh murid-murid penyelidik. Jika semua guru dapat menjalankan atau mengikut
cadangan yang dikemukakan oleh Wiederholt, Hammill dan Brown ini, maka murid-
murid berkeperluan khas ini dapat menguasai kemahiran tulisan ini dengan lebih bagus
lagi. Sebagai seorang guru, penyelidik akan memikirkan suatu kaedah yang dibantu
dengan alat bantu mengajar untuk membantu murid-murid ini menguasai kemahiran
menulis secara berperingkat-peringkat.
Secara tuntasnya pada bab yang pertama ini menerangkan bagaimana penyelidik
telah menemui masalah yang ingin dikaji. Tindakan seterusnya adalah untuk mengariskan
satu fokus kajian yang baik supaya kajian yang akan dijalankan oleh penyelidik berjaya
dicapai dan dapat membantu murid-murid khas ini berjaya menguasai kemahiran menulis
dengan baik.
5
[ ] 2011
2.0 FOKUS KAJIAN
Langkah seterusnya yang perlu diambil ialah menulis tinjauan dan analisis
masalah. Bab kedua ini akan membingcangkan secara lebih terperinci lagi
mengenai permasalahan yang dihadapi oleh murid-murid yang menjadi
responden. Selain itu, penerangan tentang kecacatan yang dialami oleh
murid juga turut ditulis.
2.1 Tinjauan Masalah
6
[ ] 2011
Murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran biasanya
mempunyai masalah menulis. Mercer (1985) yang bersetuju dengan
pendapat Hidreth (1947) menyatakan bahawa punca utama ialah
masalah ‘psikomotor’, masalah emosi, kegagalan pengamatan
terhadap huruf dan perkataan serta daya ingatan yang lemah. Jenis-
jenis masalah tulisan tangan atau tulisan mekanis ini ialah lambat,
arah tulisan yang tidak betul, terlalu jarak atau terlalu dekat,
bercelaru, senget, terlalu menekan ketika menulis dan tulisan berlapis-
lapis.
Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian yang dibuat oleh
saya, kebanyakkan kanak-kanak pendidikan khas masalah
pembelajaran ini tidak menguasai kemahiran menulis sama ada tulisan
mekanis ataupun tulisan mentalis. Tulisan mekanis menekankan aspek
tulisan yang betul, kemas, cantik dan mudah dibaca. Tulisan ini diberi
tumpuan pada peringkat awal persekolahan kanak-kanak iaitu di
peringkat pra sekolah dan tahap satu sekolah rendah. Tulisan mentalis
pula ialah merupakan tulisan yang menunjukkan penglahiran idea,
perasaan, memberi maklumat dan juga bercerita. Merujuk kepada
masalah yang dilihat, kanak-kanak berkeperluan khas bermasalah
pembelajaran menunjukkan penguasaan kemahiran menulis secara
mekanis yang sangat lemah. Mereka didapati sukar menulis huruf-
huruf dengan betul dan juga menulis huruf yang salah.
7
[ ] 2011
2.2 Analisis Masalah
Kemahiran menulis merupakan satu kemahiran yang sukar dan hanya
dapat dikuasai melalui pengajaran. Menulis merupakan satu proses
untuk menyampaikan buah fikiran, idea atau pendapat dengan tepat
dan berkesan kepada khalayak atau pembaca dengan menggunakan
simbol-simbol atau bentuk grafik iaitu huruf-huruf atau gabungan
huruf-huruf yang mempunyai hubungan dengan bunyi bahasa dalam
pertuturan lisan (Juriah Long et. Al., 1989 : 180-181). Menurut
Kamaruddin Hj. Husin, Siti Hajar Hj. Abdul Aziz, dan Arb’ie Sujud
(1996:244), menulis merupakan kegiatan menghasilkan simbol-simbol
grafik yang disusun atur berdasarkan pertuturan yang membentuk
perkataan dan seterusnya disusun menjadi ayat-ayat.
Masalah yang dihadapi oleh dua orang murid ini ialah penulisan
yang tidak kemas dan tidak tersusun serta sukar difahami oleh orang
lain. Mereka tidak dapat membentuk huruf dengan betul dan
kadangkala menulis sesuatu abjad secara terbalik. Selain daripada itu,
murid ini menulis dari kanan ke kiri dan menulis abjad tidak lengkap
atau tidak siap. Gabungan daripada semua kesalahan ketika menulis
dilakukan oleh murid-murid ini akhirnya menghasilkan satu tulisan
yang kabur sehingga sukar untuk dibaca.
Masalah khusus bagi kedua-dua murid ini ialah Dysgraphia.
Dysgraphia bermaksud seseorang individu yang menghadapi masalah
8
[ ] 2011
tulisan yang sangat teruk atau ketidakupayaan melaksanakan
pergerakan motor yang diperlukan untuk menulis. Antara punca yang
dapat dilihat bagi masalah ini ialah dari segi aspek fizikal murid, aspek
pembelajaran, aspek pengamatan dan kesukaran dalam koordinasi
mata dan tangan.
Kaedah yang saya ingin aplikasikan kepada murid-murid ini ialah
kaedah surihan. Kaedah ini dapat dilihat dalam Model Pengajaran
Fernald yang dipelopori oleh Fernald G. M (1943) dan Helen B. K
(1988). Di dalam model ini menerangkan bahawa murid perlu melihat
huruf, mendengar murid menyebut huruf, murid menyebut huruf, rasa
pergerakan otot semasa membuat surihan huruf, rasa permukaan
huruf dengan hujung jari, melihat pergerakan tangan semasa
melakukan surihan dan mendengar sendiri huruf yang disebut semasa
membuat surihan. Kaedah ini sesuai dilakukan pada kedua-dua murid
saya kerana mereka lebih cenderung untuk mendengar arahan guru
dan suka melakukan aktiviti.
Konklusinya, berdasarkan pemerhatian dan rujukan yang dibuat
ini dapat membantu saya lebih memahami masalah tulisan mekanis
yang dihadapi oleh murid-murid ini. Selain faktor kecacatan yang
dialami, kaedah pengajaran yang diterapkan selama ini juga kurang
membantu mereka menguasai tulisan dengan baik.
9
[ ] 2011
3.0 OBJEKTIF DAN SOALAN KAJIAN
3.1 Objektif Kajian
Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah surihan untuk
meningkatkan keupayaan murid berkeperluan khas untuk menulis
huruf konsonan k, b dan z.
3.2 Soalan Kajian
Adakah kaedah surihan ini mampu meningkatkan keupayaan murid
berkeperluan khas yang mengalami kecacatan sindrom down dan
autisme daripada kelas Harmony Enam, Sekolah Kebangsaan Sungai
Korok Lama menulis huruf konsonan k, b, dan z dengan betul?
4.0 KUMPULAN SASARAN
Kajian ini melibatkan dua orang murid dari kelas Harmony Enam
Program Khas Bermasalah Pembelajaran di Sekolah Kebangsaan
Sungai Korok Lama. Kedua-dua murid ini adalah perempuan. Prestasi
akademik bagi kedua-dua murid ini adalah sama iaitu tidak dapat
10
[ ] 2011
menguasai kemahiran menulis dengan baik. Jenis kecacatan yang
dialami oleh responden pertama ialah sindrom down dan responden
yang kedua pula mengalami kecacatan autisme. Antara ciri-ciri murid
sindrom down ialah mempunyai iras wajah yang sama, mempunyai
jari-jari yang pendek dan jari kelingking yang membengkok ke dalam
serta mereka mempunyai otot yang lemah memyebabkan mereka
lembik dan lewat perkembangan motor kasar. Melalui pemerhatian
yang dibuat, koordinasi mata dan tangan kedua-dua murid ini juga
lemah serta keupayaan motor halus yang agak terhad.
5.0 PERANCANGAN PELAKSANAAN KAJIAN
Bagi membantu murid-murid ini menguasai kemahiran menulis dengan lebih
baik, penyelidik akan menggunakan kaedah surihan. Kaedah ini adalah
gabungan pendekatan pengalaman bahasa dan pembelajaran yang
berasaskan pendekatan deria (VAKT).
5.1 Langkah-Langkah Tindakan
I. Membelah udara
Aktiviti yang pertama untuk kaedah surihan ini ialah membelah
udara. Penyelidik akan menulis huruf b, k dan z dengan saiz yang
besar pada kad manila dan menampalnya pada papan putih
yang terdapat di dalam kelas. Penyelidik akan menunjukkan
bagaimana untuk menyurih huruf tersebut diikuti oleh murid.
11
[ ] 2011
Semasa melakukan surihan, murid harus mengikut pergerakan
dan sebutan yang dilakukan oleh penyelidik. Surihan di udara ini
akan dilakukan mengikut jarak yang berbeza dari tempat murid
berdiri dengan papan putih di dalam kelas.
II. Sutera Lutcahaya
Aktiviti yang kedua ini dinamakan sutera lutcahaya. Mengapa
penyelidik menamakan aktiviti ini dengan nama tersebut?
Penyelidik menggunakan kertas surih untuk membantu murid-
murid menulis huruf b, k dan z ini dengan lebih baik dan betul.
Bagi menjimatkan kos serta memudahkan murid memadam
semula huruf yang ditulis pada kertas surih, kertas surih tersebut
akan di laminate dan murid akan dibekalkan dengan sebatang
pen marker setiap seorang. Bagi permulaan aktiviti ini murid
diminta menekap dan menyambung titik-titik seperti garisan zig
zag, berombak dan bentuk-bentuk asas. Kemudian, murid akan
diberikan kertas A4 yang mengandungi tulisan huruf b, k dan z.
Dengan menggunakan kertas surih, murid menulis huruf-huruf
tersebut mengikut bentuk dan saiz yang betul.
III. Udang di Sebalik Batu
Udang di sebalik batu merupakan aktiviti yang ditingkatkan
daripada aktiviti membelah udara dan sutera lutcahaya.
Penyelidik akan menyediakan sebuah buku yang mempunyai
12
[ ] 2011
helaian kertas surih dan A4 yang disusun secara berselang seli.
Pada helaian A4 tersebut akan mengandungi huruf b, k dan z
pelbagai saiz. Buku yang disediakan ini akan memudahkan murid
untuk terus menulis di atasnya tanpa sebarang gangguan. Selain
itu, penyelidik juga akan menyediakan satu lagi buku iaitu buku
petak-petak bagi memudahkan murid untuk meniru semula huruf
b, k dan z yang ditulis oleh guru.
5.2 Cara Mengumpul Data
5.2.1Ujian Pra dan Pos
Memperoleh keputusan yang cepat dan tepat memerlukan
kaedah yang bersesuaian dengan perkara yang ingin di uji.
Sebelum memulakan pengajaran kaedah surihan ini, penyelidik
terlebih dahulu perlu mengetahui tahap pencapaian murid ini
mengenai tulisan. Penyelidik akan menjalankan ujian pra untuk
memperoleh data awal mengenai masalah yang dihadapi oleh
murid dan ujian pos pula akan dijalankan selepas selesai sahaja
penyelidik mengaplikasikan kaedah surihan dalam waktu
pengajaran dan pembelajaran. Tujuan menjalankan kedua-dua
ujian ini untuk memudahkan penyelidik membuat perbandingan
dan mengukur sejauh mana keberkesanan kaedah surihan ini
untuk murid-murid berkeperluan khas menguasai kemahiran
menulis.
13
[ ] 2011
5.2.2Temu Bual
“Perbualan di antara dua pihak melalui inisiatif penemubual
dengan tujuan memperoleh maklumat yang relevan untuk kajian
dan difokus olehnya, sesuatu kandungan spesifik ditentukan
seperti objektif deskripsi, ramalan atau huraian dengan secara
sistematik. Definisi panjang lebar ini telah diterangkan mengikut
Cannell dan Kahn (1968). Melihat penerangan ini, maka kajian
temu bual merupakan sesuatu yang unik kerana ia melibatkan
pungutan data melalui lisan dalam pertemuan di antara dua
pihak secara langsung. Tambahan pula, kaedah temu bual ini
adalah amat berguna, terutamanya apabila responden yang
ditemu bual tidak tahu membaca dan menulis. Terdapat tiga
konsep temu bual yang utama, Kitwood (1977). Konsep yang
pertama ialah temu bual dirupakan sebagai sesuatu cara yang
berupaya memindah maklumat yang tulen. Sesuatu jenis
transaksi pula merupakan konsep temu bual yang kedua. Hal ini
kerana akan terkandung unsur berat sebelah yang tidak dapat
dielakkan, dan perlu dikenal pasti dan dikawal. Perkara
seumpama ini berlaku kerana proses temu bual melibatkan
interaksi di antara dua individu atau sekumpulan individu yang
mempunyai perbezaan emosi, sikap, percayaan dan konsep
kendiri masing-masing. Konsep temubual ketiga ialah dipandang
14
[ ] 2011
sebagai pertemuan sosial yang merangkumi perkongsian
pelbagai aspek kehidupan harian.
Penyelidik akan menemu bual kedua-dua responden secara
individu pada masa yang berlainan bagi setiap murid. Kaedah
temubual yang akan dijalankan terhadap murid-murid ini akan
dianalisa untuk mendapatkan respon mereka terhadap aktiviti
surihan yang dibuat. Menerusi kaedah temu bual ini, penyelidik
boleh mengajukan beberapa soalan kepada murid ketika atau
selepas proses pengajaran dan pembelajaran. Setiap jawapan
yang diberikan oleh murid akan dicatatkan dalam buku catatan
sebagai bukti pengumpulan data maklumat daripada hasil
jawapan murid. Penyelidik turut menggunakan rakaman pita
untuk merakamkan perjalanan sesi temu bual antara penyelidik
dan murid. Selain itu, penyelidik juga akan menggunakan
transkripsi untuk mencatatkan data bagi mengurangkan masalah
kehilangan dan kesalahan tafsiran data daripada rakaman pita.
Didalam transkripsi, penyelidik akan mencatatkan setiap kata
responden, intonasi, suara, nada, hentian, kesenyapan,
perasaan, laju, penjelasan, gangguan dan sebagainya.
5.2.3Pemerhatian
Pemerhatian merupakan salah satu jenis kaedah soal selidik
yang digunakan untuk memungut data kajian. Menurut Kamus
15
[ ] 2011
Dewan (1998), pengamatan diertikan sebagai pengawasan atau
penelitian. Secara spesifiknya, pengamatan adalah sama maksud
dengan perkataan persepsi iaitu gambaran atau bayangan dalam
hati atau fikiran (tentang sesuatu), pandangan (menerusi
pancaindera), atau tanggapan.
Penyelidik akan menggunakan kaedah pemerhatian
sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran dengan
menggunakan kaedah surihan ini. Penyelidik akan sediakan satu
senarai semak sebagai garis panduan ketika menjalankan proses
pemerhatian ketika sesi pengajaran dan pembelajaran
berlangsung. Senarai semak ini turut digunakan untuk
mengenalpasti kemahiran-kemahiran yang telah dikuasai murid
dan akan dilakukan disetiap peringkat aktiviti surihan. Bagi
melancarkan kerja ini, penyelidik akan meminta pertolongan
daripada rakan guru pelatih untuk membuat pemerhatian ketika
proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung.
Penyelidik juga akan menggunakan perakam video untuk
merakam perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran yang
akan dijalankan nanti. Tujuan utama kaedah pemerhatian ini
dijalankan adalah untuk melihat dan menilai keberkesanan
kaedah surihan ini sama ada berjaya atau sebaliknya dalam
usaha meningkatkan penguasaan murid untuk menulis huruf
konsonan b, k dan z. Selain itu, kaedah pemerhatian ini
16
[ ] 2011
dijalankan juga adalah untuk melihat respon dan tingkah laku
murid terhadap aktiviti surihan yang telah disusun untuk
mereka.
5.2.4Penelitian Dokumen atau Data
Kaedah ini akan digunakan apabila penyelidik ingin
mendapatkan data daripada dokumen-dokumen yang berkaitan.
Tujuan penyelidik menggunakan penelitian dokumen ini adalah
untuk menyokong dapatan yang sedia ada. Data daripada
dokumen boleh diperoleh dengan menggunakan borang senarai
semak fail murid.
5.3 Cara Menganalisis Data
Data akan dianalisis berdasarkan kaedah atau cara
pengumpulan data dibuat. Antara kaedah yang digunakan oleh
penyelidik ialah ujian pra dan pos, pemerhatian dan juga
temubual. Data-data yang dikumpul akan dianalisis untuk
memperoleh keputusan dan melihat sejauh mana keberkesanan
kaedah surihan ini kepada murid-murid bekerperluan khas
menguasai kemahiran menulis dengan lebih baik.
17
[ ] 2011
5.3.1Analisis Ujian Pra dan Ujian Pos
Instrumen pengumpulan data pertama yang akan digunakan adalah ujian bertulis yang
terbahagi kepada ujian pra dan ujian pos. Analisis keputusan ujian pra dan ujian pos akan
ditunjukkan dalam Jadual Satu.
Bil. Nama Ujian Pra (%) Ujian Pos (%)
1. Responden 1
2. Responden 2
Jadual Satu
5.3.2Analisis Temu Bual
Apabila data daripada temubual dipungut, analisisnya akan
dibuat dengan menggunakan teknik enkod. Secara lazimnya, analisis
data merangkumi beberapa peringkat berikut:
i. Mendengar temu bual secara keseluruhan.
ii. Menimbang peruntukan unit-unit yang bermakna
iii. Mengeluarkan data berlebihan.
iv. Mengeklasifikasi, mengkategori dan menyusun urutan unit-
unit dengan bermakna.
v. Menstrukturkan deskripsi kandungan temu bual.
vi. Menginterpretasi data temu bual.
5.3.3Analisis Pemerhatian
18
[ ] 2011
Instrumen yang digunakan untuk pemerhatian ini ialah borang senarai semak
semasa proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Pemerhatian yang
dibuat ini terbahagi kepada dua iaitu berstruktur dan tidak berstruktur. Pemerhatian
berstruktur dianalisis menggunakan frekuensi dan peratus melalui senarai semak yang
disediakan. Antara aspek yang diperhatikan ialah masa dan tempat pemerhatian
dijalankan, keadaan tempat pemerhatian, aktiviti yang dijalankan dan refleksi daripada
saya ataupun pemerhati lain. Bagi memudahkan lagi proses pemerhatian ini dijalankan,
bantuan daripada rakan guru amatlah diperlukan. Selain itu, data yang berjaya dikumpul
berkemungkinan akan berlaku perbezaan dan sebagai manusia biasa, saya mungkin juga
akan terlepas pandang sesuatu yang mungkin menganggu murid saya ketika pengajaran
dan pembelajaran berlaku.
5.3.4 Analisis Penelitian Dokumen Dan Fail
Lembaran-lembaran kerja yang telah disiapkan oleh murid akan dikumpulkan oleh guru
dan dimasukkan dalam satu fail yang khas. Hal ini akan memudahkan saya untuk
membuat perbandingan dari semasa ke semasa. Penelitian dokumen adalah merangkumi
seperti jurnal, surat khabar, hasil kerja murid, latihan penulisan, surat-surat dan dokumen
yang berkaitan digunakan untuk menganalisis data kajian. Perkara-perkara seumpama ini
boleh di dapati di dalam internet,fail peribadi murid dan juga latihan-latihan secara
berkala oleh guru.
5.4 Jadual Pelaksanaan Kajian Tindakan
Bil. Aktiviti Tarikh Catatan
19
[ ] 2011
1. Mengenal pasti masalah dan pengumpulan data awal. 3 Mac 2011
2. Menulis proposal kajian. 20 Mac 2011
3. Perbentangan proposal kajian 25 April 2011
4. Ujian Pra 4 Julai 2011
5. Melaksanakan tindakan – Membelah Udara 6 Julai 2011
6. Membincangkan masalah yang timbul dalam tindakan 1 7 Julai 2011
7. Melaksanakan tindakan – Sutera Lutcahaya 12 Julai 2011
8. Membincangkan masalah yang timbul dalam tindakan 2 13 Julai 2011
9. Melaksanakan tindakan – Udang Di Sebalik Batu 19 Julai 2011
10. Membincangkan masalah yang timbul dalam tindakan 3 20 Julai 2011
11. Ujian Pos 25 Julai 2011
12. Refleksi kajian 28 Julai 2011
13. Menulis laporan kajian 9 Ogos 2011
14. Pembentangan dapatan kajian 19 September 2011
*Tertakluk kepada pindaan tarikh.5.5 Kos Kajian
Bil Jenis Bahan Kuantiti X Harga Seunit Jumlah Kos
1 Kertas A4 1 X RM 13.00 RM 13.00
20
[ ] 2011
2 Kertas Surih 4 X RM 0.50 RM 2.00
3 Buku Surihan 4 X RM 1.50 RM 6.00
4 Pen Marker 4 X RM 2.00 RM 8.00
5 Kad Manila 3 X RM 0.70 RM 2.10
6 Photostat Bahan &
Laporan Kajian
RM 50.00
Jumlah
RM81.10
6.0 KESIMPULAN
Kemahiran menulis sangat penting kepada kanak-kanak kerana ia
dapat mengambarkan perasaan dan kematangan mereka. Lebih-lebih
lagi kepada murid yang berkeperluan khas ini, mereka sentiasa
inginkan perhatian daripada guru untuk membantu mereka dalam apa
jua keadaan. Saya telah membaca banyak kajian-kajian yang telah
dilakukan oleh orang-orang yang ternama dan telah lama di dalam
bidang pendidikan khas ini. Berdasarkan pembacaan saya itu, saya
merasakan bahawa kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan
bantuan dan mereka ini boleh dibentuk supaya dapat menikmati hidup
yang lebih berjaya di masa hadapan kelak. Melalui kaedah surihan
yang dibuat oleh saya ini, harapan agar murid-murid yang menjadi
responden saya dapat menguasai tulisan mekanis sekurang-kurangnya
21
[ ] 2011
dapat membentuk huruf dengan betul dan mudah difahami oleh orang
lain. Tuntasnya, terima kasih kepada semua pihak yang memberikan
kerjasama kepada saya untuk menyiapkan proposal kajian ini.
22
[ ] 2011
RUJUKAN
Goh Yin Soon, Wan Mohd Nazif Wan Mohd Nori (2006) Kemahiran Menulis., Selangor.
PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.
Jamilah Ahmad (1999) Panduan Pengajaran Pemulihan Bahasa Melayu KBSR &
KBSM., Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Shah Alam, Selangor.
Zainal Kasan & Suhaila Abdullah (2010) Pendidikan Disleksia. Selangor Darul Ehsan .,
Penerbitan Multimedia
Mok Soon Sang (2010) Penyelidikan Dalam Pendidikan: Perangcangan Dan Pelaksanaan
Penyelidikan Tindakan., Ipoh, Perak. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang (2008), Pengurusan Bimbingan & Kaunseling, Puchong. Penerbitan
Multimedia. Sdn. Bhd.
Rahil Mahyuddin, Habibah Elias, Kamariah Abu Bakar (2009), Amalan Pengajaran
Berkesan, Selangor Darul Ehsan. Karisma Publications Sdn. Bhd.
Tengku Sarina Aini Tengku Kasim, Yusmini Md.Yusoff (2006), Kaedah Mengajar &
Kemahiran Interpersonal Guru., Selangor. PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.
23