Rampasan Kuasa Tatmadaw & Peranan ASEAN Tangani Konflik Serantau | 1
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
RAMPASAN KUASA TATMADAW &
PERANAN ASEAN TANGANI KONFLIK SERANTAU
MUHAMMAD HAFIZ BIN MANSOR
Rampasan Kuasa Tatmadaw & Peranan ASEAN Tangani Konflik Serantau | 2
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Pendahuluan
Pada awal Februari yang lalu, suatu rampasan
kuasa telah berlaku terhadap Kerajaan Myanmar
di Yangon yang dipimpin oleh Jeneral Min Aung
Hlaing. State Counsellor, Aung San Suu Kyi,
pemimpin de facto Myanmar serta beberapa orang
pemimpin kanan yang lain telah ditahan.
Berdasarkan laporan media juga turut
mendedahkan 14 ketua-ketua menteri ditahan oleh
pihak tentera.
Jeneral Min Aung Hlaing mengumumkan bahawa
Myanmar akan diletakkan dalam keadaan darurat (state of emergency) selama setahun serta
pilihanraya yang baru yang lebih “bersih” akan dilaksanakan dalam tempoh masa yang tidak
ditentukan. Pihak tentera atau dikenali sebagai Tatmadaw turut menjelaskan tindakan rampasan
kuasa ini dilakukan bertitik tolak daripada dakwaaan salah guna kuasa dalam Pilihanraya Umum
Myanmar pada penghujung tahun 2020 yang lalu. Pihak Tatmadaw mendakwa terdapat 8.6 juta
pengundi daripada 314 kawasan yang tidak dapat dikenal pasti menyebabkan kononnya berlaku
pengundian berulang kali. Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak disokong oleh bukti yang
kukuh. Suruhanjaya Pilihanraya Myanmar juga telah menolak dakwaan Tatwadaw mengenai
wujudnya penipuan dalam Pilihanraya Umum 2020.
Dalam Pilihanraya Umum Myanmar 2020, parti National League for Democracy (NLD) yang dipimpin
Suu Kyi telah memperolehi majoriti besar dengan penguasaan terhadap 396 kerusi daripada jumlah
keseluruhan 476 kerusi, manakala parti yang didokong pihak tentera iaitu Union Solidarity and
Development Party (USDP) hanya memperoleh 33 kerusi.
Situasi rampasan kuasa ini mengundurkan semula langkah Myanmar ke arah pembentukan sebuah
negara demokrasi. Ia juga membelakangi semangat disiplin demokrasi (disciplined democracy) yang
pernah digembar-gemburkan oleh Tatmadaw sejak tahun 2003 selain komitmen berulang kali pihak
Tatmadaw untuk menyerahkan pentadbiran negara kepada Kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
Penulisan ini akan meneliti dalam konteks peranan rantau ASEAN dalam berhadapan dengan konflik
serantau termasuk perkembangan yang sedang berlaku di Myanmar. Nyata apa yang menjadi teras
dalam perbincangan ini adalah norma tiada campur tangan (non-interference) sesama negara
anggota ASEAN. Norma ini telah menjadi asas kepada bentuk kerjasama multilateral ASEAN serta
banyak memandu tingkah laku serta pendekatan negara-negara anggotanya berhadapan dengan
konflik yang berlaku.
Myanmar: Sepintas Lalu
Myanmar atau dalam Bahasa Burma dikenali sebagai “Myanma” (Mranma Pran) merupakan sebuah
negara anggota ASEAN. Sebelum tahun 1989, ia dikenali sebagai Burma (the Union of Burma), nama
yang diguna pakai sejak tahun 1885. Myanmar memperoleh kemerdekaan pada 4 Januari 1948
daripada penjajahan British dengan U Nu telah diangkat sebagai Perdana Menteri pertamanya.
Meskipun negara ini merupakan negara bekas jajahan British, namun Myanmar menolak untuk
berada di bawah negara Komanwel disebabkan faktor anti-British yang menebal (Godrej, 2008).
Pemerintahan junta bermula pada tahun 1962 apabila Jeneral Ne Win melakukan rampasan kuasa
melalui jalan kudeta dan Burma (Myanmar) diletakkan di bawah penguasaan Burma Socialist
Programme Party (BSPP). Pemerintahan diktator ini berterusan sehinggalah pada tahun 1988
Rajah 1: Jeneral Min Aung Hlaing (Sumber: Nikkei Asia)
Rampasan Kuasa Tatmadaw & Peranan ASEAN Tangani Konflik Serantau | 3
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
menyaksikan munculnya gerakan prodemokrasi yang bangkit menentang regim kuku besi Ne Win.
Beliau telah meletakkan jawatan akibat protes kumpulan prodemokrasi, namun kemudiannya kembali
mempertahankan kuasa dengan memperkenalkan The State Law & Order Restoration Council
(SLORC).
Kerajaan junta telah berjanji sejak daripada perlaksanaan Pilihanraya Umum 1990 untuk
menyerahkan Myanmar kepada mereka yang diberikan mandat oleh rakyat. Malangnya, ia tidak
berlaku meskipun parti NLD mendapat kemenangan yang besar. Malah, lebih parah lagi Aung San
Suu Kyi serta beberapa pimpinan pembangkang yang lain dikenakan perintah tahanan rumah dalam
tempoh yang lama.
Pada September 2003, Kerajaan junta mengetengahkan prinsip disiplin demokrasi (disciplined
democracy) serta rancangan deraf Perlembagaan baharu Myanmar yang akhirnya digazetkan pada
tahun 2008. Ia juga mendorong kepada pembebasan Suu Kyi pada tahun 2010. Meskipun begitu, ia
tidak menampakkan suatu kesungguhan yang jitu oleh pihak Tatmadaw untuk memperkukuhkan
demokrasi di Myanmar.
Parti prodemokrasi, NLD telah
memperolehi kira-kira 86 peratus kerusi
Parlimen (Assembly of the Union) pada
tahun 2015. Calon pilihanraya yang
mendapat undi terbanyak selayaknya
menduduki kerusi nombor satu Myanmar.
Namun, kemenangan itu tidak
membolehkan Suu Kyi, pemimpin utama
parti NLD untuk menduduki kerusi
Presiden disebabkan oleh peruntukan
Perlembagaan Perkara 59 (f) yang tidak
membenarkan seseorang yang
mempunyai kaitan dengan warganegara
luar untuk menjadi pemerintah negara.
Oleh kerana Suu Kyi mempunyai dua
orang anak berwarganegara British, jawatan State Councellor Myanmar diwujudkan untuk beliau dan
secara tidak langsung sebagai pemimpin de facto kepada Kerajaan Myanmar (Thuzar, 2015).
Selain itu, Suu Kyi juga terpaksa menyerahkan 25 peratus kerusi Parlimen Myanmar kepada pihak
Tatmadaw seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaannya. Situasi ini menjadikan pengaruh
Tatmadaw sentiasa mencengkam pentadbiran Suu Kyi dan ia tidak memberikan makna terhadap
pembangunan demokrasi negara tersebut. Selain soal perlembagaan yang jelas menyebelahi pihak
Tatmadaw, kelemahan institusi yang ada juga tidak mampu memperkukuhkan pengamalan
demokrasi yang sihat di negara itu (Thuzar, 2015).
Perlembagaan 2008: Daripada Junta Kepada Junta
Naypyidaw berdepan secara langsung dengan kuasa tentera yang kukuh berakar dalam institusi-
institusi utama di Myanmar. Pihak Tatmadaw telah memperkukuhkan kuasanya melalui
Perlembagaan Myanmar yang dibentuk oleh Kerajaan junta pada tahun 2008. Perlembagaan
“berdarah” ini telah memberikan kuasa konstitutif kepada pihak Tatmadaw untuk terus mengukuhkan
kuasa mereka dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan di Myanmar.
Beberapa peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan tersebut jelas memberikan kuasa yang
istimewa kepada pihak Tatmadaw. Berdasarkan Perkara 74 Perlembagaan tersebut, Parlimen
Myanmar atau dikenali sebagai „Pyidaungsu Hluttaw’ perlu menyerahkan 25 peratus kerusi kepada
pihak Tatmadaw yang akan dilantik oleh ketua tentera. Ia melibatkan 166 kerusi untuk diserahkan
Rajah 2: Kemenangan NLD dalam PRU 2015 dan 2020 menggugat Tatmadaw
(Sumber: Global Risks Rights)
Rampasan Kuasa Tatmadaw & Peranan ASEAN Tangani Konflik Serantau | 4
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
kepada Tatmadaw, manakala baki 498 kerusi lain akan dipilih melalui undi pilihanraya (Seethi, 2021).
Daripada keseluruhan 664 kerusi Parlimen Myanmar, 224 daripadanya adalah kerusi Dewan Senat,
‘Amyotha Hluttaw, manakala 440 kerusi lainnya adalah daripada Dewan Rakyat, Pyithu Hluttaw.
Tambahan lagi, pengisytiharan darurat oleh Tatmadaw tempoh hari adalah berdasarkan kepada
Perkara 417 Perlembagaan yang menjelaskan bahawa seorang Presiden boleh mengisytiharkan
darurat, selepas rundingan bersama Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara, jika terdapat
sebarang ancaman terhadap kedaulatan dan kesatuan negara. Manakala, berdasarkan Perkara 419
pula menjelaskan bahawa selepas pengisytiharan darurat, kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman
hendaklah diserahkan kepada Ketua Panglima Tentera (Chief-In-Command) (Seethi, 2021).
Perkara ini sudah pasti menimbulkan pelbagai persoalan. Selain soal peruntukan terhadap
pengisytiharan darurat yang dianggap tempang, Perlembagaan yang mula diguna pakai sejak tahun
2008 ini sendiri menjelaskan persamaannya terhadap „Garrison State‟ yang diperkenalkan Harold
Lasswell pada tahun 1941. Ia melambangkan “specialist on violence” sebagai kumpulan
berkepentingan paling berkuasa. Dalam konteks Myanmar, Tatmadaw adalah Garrison State dan
perkara ini ditunjukkan melalui kuasa yang terkandung dalam Perlembagaan 2008 selain rampasan
kuasa yang berlaku tempoh hari. (Seethi, 2021)
Pendekatan ASEAN Dalam Konflik Serantau
The ASEAN Way
Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) ditubuhkan pada tahun 1967 dan dikaitkan
dengan Perang Dingin. Ia bermula dengan perjanjian Deklarasi Bangkok yang ditandatangani di
antara negara Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia. Kemudian ia
berkembang dengan penyertaan Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam. Secara spesifiknya,
Myanmar menyertai ASEAN pada 23 Julai 1997 bersama-sama Laos ketika itu.
Slogan The ASEAN Way sememangnya menjelaskan suatu prinsip asas terhadap bentuk hubungan
pelbagai pihak (multilateralism) negara-negara anggota ASEAN. Prinsip-prinsipnya terkandung dalam
ASEAN’s Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia (TAC) yang telah ditandatangani pada
tahun 1976. Kandungan utama perjanjian kerjasama tersebut adalah prinsip mutual respect, tiada
campur tangan (non-interference) terhadap konflik dalaman, penyelesaian konflik secara aman dan
tidak menggunakan jalan kekerasan serta pembentukan kerjasama yang efektif di antara negara
anggota (Alpern, 2012).
Prinsip tidak campur tangan (non-interference) ini juga ditekankan dalam Pelan Tindakan Komuniti
Keselamatan ASEAN 2012. Ia menjelaskan pendekatan ASEAN dalam menangani isu-isu yang
mempunyai kepentingan bersama berpandukan kepada prinsip tiada campur tangan dan proses
penentuan keputusan secara kolektif, menghormati kedaulatan negara-negara anggota selain
memastikan sebarang pertikaian diselesaikan melalui jalan aman.
Tambahan lagi, prinsip tiada campur tangan ini juga bertitik tolak daripada pengalaman negara
ASEAN yang pernah berhadapan dengan campur tangan asing semasa Perang Dingin dan pada era
selepasnya. Oleh itu, amat penting bagi ASEAN mempertahankan prinsip tersebut bagi memastikan
perkara tersebut tidak berulang pada masa akan datang (Cothay, 2016) dan ia menjadi doktrin teras
kepada ASEAN sama ada melibatkan intra-ASEAN, apatah lagi melibatkan campur tangan kuasa-
kuasa luar seperti China dan India yang sedang meningkat naik.
Maklum Balas Awal Negara-negara ASEAN Terhadap Rampasan Kuasa
Tragedi rampasan kuasa yang berlaku di Myanmar sememangnya mengejutkan meskipun ia telah
disebut-sebut sejak berakhirnya Pilihanraya Umum Myanmar tahun lalu. Lebih memeritkan, ia berlaku
Rampasan Kuasa Tatmadaw & Peranan ASEAN Tangani Konflik Serantau | 5
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
ketika global masih bertungkus lumus untuk keluar daripada ancaman pandemik COVID-19.
Pengerusi ASEAN ketika ini, Brunei Darussalam telah mengeluarkan kenyataan untuk memanggil
semua negara anggota ASEAN berdialog bagi mencapai kata sepakat menghadapi perkembangan
terbaharu di Myanmar. Presiden Indonesia, Joko Widodo turut mengulas perkembangan di Myanmar
dengan mengharapkan agar ia dapat diselesaikan melalui “jalan perundangan” selain mengajak
semua pihak “menghormati prinsip yang terkandung dalam Piagam ASEAN (ASEAN Charter)” yang
menerapkan nila-nilai asas demokrasi.
Ia juga mendapat maklum balas daripada Perdana Menteri Malaysia sendiri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin yang menggesa agar ASEAN mengadakan “mesyuarat tergempar” bagi membincangkan
perkara tersebut serta menganggap apa yang berlaku di Myanmar sebagai “langkah mengundur ke
belakang”. Tambahan lagi, isu rampasan kuasa di Myanmar ini dijangka akan menjadi tumpuan
utama dalam Sidang Kemuncaknya yang dijadualkan berlangsung pada April tahun ini.
Secara umumnya, negara anggota ASEAN telah bersetuju terhadap Piagam ASEAN yang mula
diperkenalkan pada tahun 2008. Bahagian pendahuluan Piagam tersebut menjelaskan komitmen
yang jitu negara anggota terhadap prinsip-prinsip demokrasi, kedaulatan undang-undang dan
pentadbiran yang baik dan bersih. Ia turut dikuatkan lagi dalam Perkara 1 dan 2 Piagam yang sama
dengan menjelaskan ketiga-tiga tunjang di atas sebagai teras dalam prinsip keanggotaan dalam
ASEAN. Walau bagaimanapun, di peringkat rantau dan antarabangsa, bagaimana teras-teras
tersebut beroperasi dalam setiap negara anggota ASEAN masih menjadi persoalan. (Marthur, 2021).
Kebanyakan pendekatan yang diambil ASEAN terhadap konflik yang berlaku di rantau ini berasaskan
kepada dialog dan meja rundingan sebagai langkah asas menyelesaikan kemelut yang berlaku. Ini
dapat dilihat daripada beberapa kenyataan awal pemimpin utama ASEAN yang mahu isu rampasan
kuasa di Myanmar tersebut dirundingkan secara kolektif dan tidak campur tangan secara terus. Maka,
berdasarkan perbahasan tersebut, pendekatan ASEAN terhadap perkembangan di Myanmar ketika
ini sudah dapat diduga. Kesemua ini bertitik tolak daripada prinsip tiada campur tangan yang menjadi
norma kepada pertubuhan serantau ASEAN.
Dilema ASEAN Menangani Konflik
Perbahasan terhadap prinsip tidak campur tangan oleh ASEAN ini mempunyai kelebihan dan
kelemahan yang tertentu. Daripada perspektif yang positif, pendekatan ini dapat mengurangkan
ketegangan yang berlaku daripada terus merebak. Bentuk kesepakatan ini telah memberikan nilai
tambah terhadap kekuatan yang jitu bagi mengukuhkan kerjasama di peringkat rantau (Cothay, 2016
& Rosyidin, 2017).
Namun, daripada sisi yang lain, pendekatan tersebut dilihat “perlahan” dan kurang efektif kerana
mengambil masa untuk meredakan konflik semasa yang sedang memuncak (Cothay, 2016). Ia telah
menyebabkan konflik terus berlanjutan sehingga menyebabkan lebih ramai yang telah menjadi
mangsa. Malah, sikap yang sama juga telah menyebabkan negara-negara anggota ASEAN seolah-
olah dilihat tidak mengambil berat terhadap konflik yang sedang berlaku meskipun ia telah menjadi
isu yang mendapat perhatian di peringkat global (Rosyidin, 2017).
Perkara ini berlaku ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 yang berlangsung pada April 2015 di
Kuala Lumpur. Ketika dunia sedang digemparkan dengan siri-siri berterusan serangan penghapusan
etnik Rohingya di Wilayah Rakhine, isu tersebut bagaimanapun tidak berbangkit ketika sidang
kemuncak yang berlangsung dalam tempoh tersebut. Walaupun beberapa pemimpin negara ASEAN
mengeluarkan kecaman terhadap serangan tersebut, namun norma tiada campur tangan dalam
kalangan negara anggota ASEAN memperjelaskan sisi-sisi kelemahannya yang tersendiri apabila
isu-isu utama seperti itu tidak diketengahkan dalam sebuah acara utama dalam kalangan ASEAN. Ia
adalah suatu dilema di antara menghormati kedaulatan negara anggota serta komitmen sebagai
sebuah kerjasama pelbagai pihak (multilateralism) dan konteks rantau.
Rampasan Kuasa Tatmadaw & Peranan ASEAN Tangani Konflik Serantau | 6
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Negara-negara anggota ASEAN sewajarnya melihat dalam kaca mata kolektif identiti untuk
membantu Myanmar keluar daripada konflik sedia ada. Perkara ini penting sebagai suatu orientasi
ASEAN tidak hanya bersifat negara (states) tetapi juga lebih merangkumi orientasi serantau di bawah
payung ASEAN (Rosyidin, 2017). Prinsip tiada campur tangan ini perlu diurus dengan cermat supaya
kerjasama dan keputusan kolektif di peringkat serantau lebih efektif dan ia tidak menjadi alasan untuk
ASEAN seolah-olah dilihat menutup mata terhadap sebarang konflik serantau yang melanda.
Pemantau Pilihanraya ASEAN
Walaupun pendekatan tiada campur tangan ASEAN mempunyai pelbagai perbahasan tertentu,
namun komitmen ASEAN untuk memperkukuhkan amalan demokrasi dalam kalangan negara
anggotanya tidak boleh sesekali dipertikaikan. ASEAN telah memperkenalkan pendekatan untuk
memantau perlaksanaan pilihanraya sebagai salah satu tapak asas kepada pembentukan sistem
politik yang stabil di rantau berkenaan. Perkara ini juga dilihat dapat membendung konflik-konflik
politik daripada berlaku (Marthur, 2021).
ASEAN Electoral Management Bodies (EMBs) telah mula diperkenalkan ketika ASEAN berada di
bawah kepimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada tahun 2011. Ia telah melibatkan lima
negara utama ASEAN iaitu Indonesia, Thailand, Kemboja, Filipina dan Malaysia. EMBs telah menjadi
pemangkin terhadap langkah ASEAN bagi mengukuhkan sistem perjalanan pilihanraya negara-
negara anggotanya dengan tertegaknya Deklarasi Jakarta terhadap Komuniti Elektoral di Asia
Tenggara. Deklarasi ini memberikan tumpuan utama terhadap penambahbaikan pilihanraya
khususnya terhadap “partisipasi rakyat dalam sektor politik, ekonomi dan sosial serta
penambahbaikan terhadap peraturan parti-parti politik negara anggota”.
Pada tahun 2012, ASEAN menghantar kumpulan pemerhati bagi memantau pilihanraya kecil di
Myanmar, manakala pada tahun 2015, Filipina pula telah mengeluarkan laporan mengenai langkah
ke arah penubuhan pasukan pemantau pilihanraya ASEAN. Secara tidak langsung, ia
memperlihatkan komitmen negara anggota ASEAN bagi memastikan perjalanan demokrasi berjalan
dengan teratur.
Meskipun pelbagai inisiatif telah diketengahkan bagi memperkukuhkan pengamalan demokrasi dalam
negara anggotanya, usaha-usaha ini masih tidak bersambut. Marthur (2021) menjelaskan ia adalah
sikap daripada tidak agresif (non-aggression) yang menjadi norma dalam pembentukan rantau seperti
ASEAN. Tambahan lagi, soal kredibiliti selain pertembungan kepentingan (conflict of interest)
menjadikan usaha tersebut dipandang sepi (Alpern, 2012).
Penutup
Berdasarkan perbahasan di atas, jelas sekali prinsip tiada campur tangan (non-interference) telah
menjadi norma yang sebati dalam ASEAN. Namun, ia tidak sewajarnya menjadi alasan untuk negara-
negara anggota ASEAN berdiam diri daripada menyatakan pendirian terhadap kemelut yang sedang
melanda khususnya kepada Myanmar ketika ini. Prinsip tersebut sewajarnya dipandu dengan betul
supaya penyelesaian konflik serantau ini lebih efektif, mengekalkan keamanan di wilayah Asia
Tenggara serta dalam masa yang sama masih mempertahankan kedaulatan negara-negara
anggotanya.
Peranan ASEAN terhadap kemelut yang berlaku di Myanmar sememangnya menjadi perhatian. Jelas
sekali ASEAN terus memainkan peranannya dengan baik di peringkat rantau serta masih
mengekalkan identiti untuk tidak campur tangan secara terus terhadap konflik yang melanda. Walau
bagaimanapun, ia menimbulkan persoalan terhadap sejauh mana pendekatan semasa ini efektif
setelah Myanmar berhadapan dengan campur tangan junta dalam Kerajaannya. Malah, dalam masa
yang sama, rampasan kuasa tersebut menumbangkan sebuah Kerajaan prodemokrasi yang menjadi
teras dalam Piagam ASEAN 2008.
Rampasan Kuasa Tatmadaw & Peranan ASEAN Tangani Konflik Serantau | 7
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Jika diteliti dengan kaca mata yang lebih meluas, masa depan hubungan intra-ASEAN ini sentiasa
menjadi persoalan teras terhadap hubungan rantau ASEAN. Acharya (2011) menjelaskan konflik-
konflik yang berlaku dalam rantau Asia Tenggara perlu ditangani dengan cermat bagi memastikan ia
tidak menjejaskan kesatuan dalam ASEAN. Selain itu, kerjasama serta kesatuan negara-negara
anggota ASEAN dilihat mampu mencorakkan masa depan kuasa rantau di rantau Asia dan global
amnya.
Rampasan Kuasa Tatmadaw & Peranan ASEAN Tangani Konflik Serantau | 8
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
SENARAI RUJUKAN
Acharya, A. (2011, February 15). ASEAN in 2030. Didapatkan dari East Asia Forum:
https://www.eastasiaforum.org/2011/02/15/asean-in-2030/
Alpern, V. J. (2012). Promoting Election Integrity In Southeast Asia: ANFREL and ASEAN.
Stockholm, Sweden: International Institute for Democracy and Electoral Assistance.
AP News. (2021, January 29). Myanmar Election Comission Reject's Military Fraud Claims.
Didapatkan dari AP News: https://apnews.com/article/aung-san-suu-kyi-elections-myanmar-
cc1b225b806c27dda748d3ab51d0e47f
Cothay, E. (2016). The ASEAN Doctrine of Non-Interference in Light of the Fundamental Principle of
Non-Intervention. Asian-Pacific Law & Policy Journal, 17(2).
Godrej, D. (2008, April 18). A Short History of Burma. Didapatkan dari New Internatiolist:
https://newint.org/features/2008/04/18/history
Marthur, S. (2021, February 3). Myanmar’s Coup D’Etat: What Role for ASEAN? Didapatkan dari The
Diplomat: https://thediplomat.com/2021/02/myanmars-coup-detat-what-role-for-asean/
Rosyidin, M. (2017). Why Collective Identity Matters: Constructivism and the Absence of ASEAN‟s
Role in the Rohingya Crisis. Asia-Pacific Social Science Review, 17(1), 52-65.
Seethi, K. M. (2021). Military coup in Myanmar: „Garrison State‟ back to dismantle democracy? Global
South Colloquy.
Thuzar, M. (2015). Myanmar’s 2015 Elections: New Hope on the Horizon? . Singapore: Yusof Ishak
Institute - ISEAS.