KAWAN NYAWA KEDUA ANDA
-Pada Hemat Pak Su -
KAWAN sememangnya merupakan rukun dalam kehidupan
seseorang di sepanjang zaman, dari kita kanak-kanak hinggalah lanjut
usia. Tanpa kawan, kita seolah-olah tiada atau kurang makna dalam
kehidupan. Kawan membentuk lingkungan sosial yang membolehkan
kita berinteraksi, berkomunikasi, berkongsi perasaan, kasih sayang,
maklumat, pandangan, nilai, kepercayaan serta menjadi sumber
inspirasi dan motivasi.
Bagi anda yang mempunyai tret personaliti extrovert, dalam
kebanyakan masa dan situasi anda mendapat sumber tenaga dan
motivasi daripada interaksi bersama kawan-kawan. Dalam hal ini,
kawan ibarat nyawa kedua anda. Bagi anda yang memiliki tret
personaliti introvert pula, anda akan mendapat sumber tenaga dan
motivasi dari dalam diri anda. Dalam kebanyakkan situasi, anda akan
cuba mengelakkan diri daripada berinteraksi dengan orang lain.
Dari sudut psikologi, kawan mempuyai pengaruh yang sangat
besar dalam mencorakkan kehidupan seseorang. Pengaruh ini boleh
berbentuk positif atau negatif. Kecenderungan anda untuk meniru atau
mengikut pola pemikiran dan tingkah laku kawan sememangnya
sangat tinggi kerana wujud unsur kepercayaan dan penerimaan yang
ditawarkan oleh kawan melalui interaksi anda dengan mereka.
Menyedari hakikat ini, anda harus bijak dalam memilih kawan
kerana apabila tersilap memilih kawan, anda akan menanggung
padahnya. Jika kawan anda baik, anda berkecenderungan untuk
menjadi baik. Jika kawan anda jahat, anda juga berkecenderungan
untuk menjadi jahat. Anda boleh lihat di sekeliling, ada kawan anda
yang masuk ke universiti, sememang tidak pernah menghisap rokok
dari zaman sekolah tetapi apabila berkawan dengan kawan-kawan
yang menghisap rokok, akhirnya dia juga mula menghisap rokok.
Lebih buruk lagi apabila dia terlibat dengan penagihan dadah dan
akhirnya dibuang dari universiti.
“ Jika baik kawan kita, ada kecenderungan untuk kita
menjadi baik. Jika jahat kawan kita, maka ada kecenderungan untuk kita menjadi jahat”
Pusat Kerjaya dan Kaunseling, Aras 5, Bangunan Budisiswa, Universiti Teknologi MARA, 40450 Shah Alam. Tel: 0355442630 Faks : 0355443493
https://careercounselling4u.uitm.edu.my https://counselling2u.uitm.edu.my https://www.facebook.com/PKKUiTM/ Editor: Pn Siti Nuraini Amran K.B.,P.A.
SALAM KAUNSELOR BIL. 7 (2018)
Terdapat juga kawan anda yang masuk universiti dan tidak berapa
pandai membaca Quran, malahan solat pun tidak cukup tetapi apabila
sering berkawan dengan kawan-kawan yang rajin membaca Quran
dan solat, akhirnya dia pandai membaca Quran dan rajin solat. Lebih
memeranjatkan lagi, dia boleh mengajar orang lain membaca Quran.
Begitu juga dalam hal akademik. Jika anda suka berkawan
dengan dengan mereka yang rajin belajar, rajin berdiskusi, rajin ke
perpustakaan, rajin berjumpa pensyarah, rajin buat ulangkaji dan
sekiranya tabiat ini berterusan anda sebenarnya sudah membuka
lorong untuk cemerlang dalam pengajian. Sebaliknya jika anda suka
berkawan dengan mereka yang rajin ponteng kuliah, rajin main
games, rajin bersembang, rajin buang masa di luar kampus dengan
aktiviti yang kurang berfaedah, rajin menangguh tugasan pensyarah,
rajin menonton video, rajin melayani media sosial, anda sebenarnya
sedang membuka lorong untuk kecundang dalam pengajian dan
mungkin kecundang dalam kehidupan juga.
FAKTOR YANG MENYEBABKAN PELAJAR MUDAH
TERPENGARUH DENGAN KAWAN YANG NEGATIF KETIKA
BERADA DALAM ALAM KAMPUS IALAH :
Kurang pengetahuan dan penghayatan amalan
kerohanian / agama dalam kehidupan seharian.
Tidak mempunyai prinsip hidup yang jelas.
Suka mencuba perkara baharu berasaskan keseronokan
sementara.
Mudah terpengaruh ajakan dan pujukan rakan sebaya
kerana bimbang kehilangan kawan.
Tidak menetapkan matlamat yang jelas dari segi
pencapaian akademik, kerjaya dan personaliti.
Mempunyai hubungan yang kurang baik dengan ibubapa
dan ahli keluarga.
Kurang kemahiran berfikir secara kritikal dan analitikal.
“Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka
berwaspadalah / bersikap bijaksanalah dalam memilih sahabat ”
- HR : Imam Ahmad -
Panduan Kepada Pelajar Baharu Dalam Merangka Untuk Menjadi Pelajar Cemerlang
Dan Membina Jalinan Hubungan Yang Positif Dengan Kawan.
1. Pilih Kawan Yang Baik
Sifat remaja memang sukakan kawan yang ramai kerana pengiktirafan rakan sebaya amat penting dalam proses kematangan
diri. Kelompok kawan atau rakan ini akan membentuk sub-budaya yang akan mempengaruhi cara anda berfikir, bertindak,
berinteraksi dan bersosial. Dalam hal ini, anda perlu bijak dalam memilih kawan. Cari kawan yang boleh dijadikan sahabat baik,
yang sentiasa mendorong anda untuk lebih berjaya dan menjadi insan yang baik. Walaupun ada sebahagian rakan anda
semasa di sekolah dianggap sebagai ‘budak baik’ tetapi apabila menikmati sedikit kebebasan di universiti dan tersalah pilih
kawan, ramai juga yang terjerumus dengan aktiviti yang negatif dan merosakkan masa depan mereka.
2. Bina Prinsip Hidup Yang Jelas
Ada orang yang mengatur kehidupannya berdasarkan prinsip dan ada orang yang mengatur kehidupannya berdasarkan
persekitaran. Jika anda orang yang berpegang teguh dengan prinsip kehidupan yang jelas, anda percaya dan yakin untuk apa
hidup dan ke mana akhir kehidupan ini, anda akan sentiasa berada dalam landasan yang betul. Lebih-lebih lagi jika prinsip
kehidupan ini berasaskan nilai agama. Dalam hal ini anda akan sentiasa berhati-hati dalam memilih kawan supaya mereka tidak
merosakkan pegangan prinsip hidup anda. Orang yang kehidupannya berasaskan persekitaran akan sentiasa terdedah dengan
pengaruh persekitaran terutama pengaruh rakan sebaya.
3. Bina Konsep Kendiri Yang Positif
Konsep kendiri adalah penilaian seseorang ke atas dirinya sendiri atau bagaimana anda menganggap tentang diri sendiri sama
ada secara positif atau negatif. Ia berkait rapat dengan perasaan anda terhadap kebolehan diri. Jika anda melihat diri anda
secara negatif, anda akan berasa tidak yakin dengan kemampuan diri sendiri. Ini akan mendedahkan diri anda kepada
pengaruh kawan. Sebaliknya jika anda melihat diri secara positif, anda akan lebih yakin dengan diri sendiri dan berusaha
mengatasi kekurangan yang ada dengan cara yang positif. Untuk membina konsep kendiri yang positif anda perlu melatih minda
berfikir secara positif dan berada dalam lingkungan sosial yang positif.
4. Latih Diri Berfikir Secara Kritikal Dan Analitikal
Jika anda tidak mempunyai kemahiran berfikir secara kritikal dan analitikal pada tahap yang tinggi, anda akan mudah
terpengaruh dengan unsur luar termasuk kawan. Apabila anda malas berfikir, anda akan mengikut sahaja pola pemikiran orang
lain. Apa sahaja perkara atau unsur luar yang datang dalam kehidupan anda, lihat dan fikir secara kritikal dan analitikal. Lihat
dari berbagai sudut dan perspektif, apa baik, buruk dan apa kesannya. Jika anda mempunyai sedikit maklumat tentangnya,
carilah maklumat dari sumber yang lain atau rujuk kepada yang pakar, buat pertimbangan yang rasional dan secara objektif,
barulah anda boleh membuat keputusan.
5. Amalkan Tabiat Asertif
Apabila anda berkomunikasi dengan orang lain, adakalanya anda menampilkan tingkah laku asertif, pasif atau agresif. Anda
akan lebih selamat dari pengaruh orang lain jika anda sentiasa bertindak secara asertif iaitu menyatakan ketegasan pendirian
anda secara terus terang tanpa menyentuh perasaan dan hak orang lain. Jika anda berani mengatakan tidak mahu, ia
menunjukkan anda tegas dengan pendirian anda. Tidak ada sesiapa yang boleh mempengaruhi anda kerana itu adalah
pendirian anda, keyakinan anda dan cara anda. Jika anda agresif, akan ada orang yang berasa sakit hati. Jika anda pasif, anda
memberi ruang untuk orang lain menguasai diri anda.
6. Wujudkan Rangkaian Sahabat Baik Melalui Media Sosial
Anda sekarang berada dalam dunia digital. Wujudkan rangkaian sahabat baik melalui media sosial seperti WhatsApp Group
Mengaji Quran, AJK Persatuan, Tugasan Kumpulan dan lain-lain di mana anda menghimpunkan sahabat-sahabat baik yang
saling bantu-membantu, saling mendorong dan tegur-menegur ke arah kebaikan bersama.
7. Programkan Minda Anda
Sebenarnya minda anda boleh diprogramkan. Setiap individu mempunyai minda sedar dan minda bawah sedar. Semua
tindakan seharian anda adalah berdasarkan program yang sudah ada dalam minda bawah sedar yang berstatus kepercayaan
atau keyakinan. Jika anda diminta untuk makan batu, anda tentu menolaknya kerana ada program dalam minda bawah sedar
yang menjelaskan bahawa batu itu tidak boleh dimakan dan anda benar - benar meyakini bahawa batu tidak boleh dimakan.
Jika unsur pengaruh kawan anda itu bersifat “batu”, mengapa mesti anda terima dan mengapa mesti anda telan? Anda terima
kerana anda telah mengubah program “batu” dalam minda anda yang bermaksud anda yang mempunyai kuasa untuk
memprogramkan minda anda dan bukan kawan anda. Anda adalah apa yang anda fikir. Dalam menjalin hubungan dengan
kawan, anda harus sentiasa memprogramkan minda dengan perkara-perkara yang positif sahaja.
Top Related