Semangat Patriotisme Dan Kebersamaan Rakyat
Terkini
Aug 31, 2015
65
Dengan menjunjung Jalur Gemilang sambutan Hari Kebangsaan 2015 bermula dengan perbarisan disertai
jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta dan para anggota pasukan keselamatan melangkah gagah dan
tangkas dalam perbarisan di Dataran Merdeka. - Foto BERNAMA
0 0 0 0
KUALA LUMPUR – Semangat cintakan negara terpancar di setiap wajah
ribuan insan daripada segenap lapisan dan kaum yang membanjiri Dataran
Merdeka di sini hari ini untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2015.
Lautan manusia termasuk pelancong asing mengambil peluang menghayati
tema sambutan ‘Sehati Sejiwa’ dengan menampilkan semangat patriotisme
dan kebersamaan pada acara sambutan peringkat kebangsaan penuh warna-
warni dan meriah itu.
Semangat kesatuan itu ditunjukkan melalui persembahan bertenaga dan
perbarisan oleh hampir 13,000 peserta pelbagai kontinjen termasuk daripada
sektor awam dan swasta, pelajar serta anggota pasukan keselamatan.
Berangkat pada acara perbarisan dan perarakan sambutan di dataran penuh
bersejarah itu ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam
Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri
Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis dan barisan menteri Kabinet
serta perwakilan asing.
Sejurus berangkat tiba, Tuanku Abdul Halim menerima tabik hormat dan
memeriksa perbarisan pasukan Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada
empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu
Diraja dari Kem Sungai Besi diketuai Mejar Mohd Herdi Ismail.
Ia diikuti acara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Laut Diraja
Malaysia (TLDM), diiringi nyanyian lagu kebangsaan Negaraku.
Serentak dengan itu, kedengaran 14 das tembakan meriam oleh 41 Bateri
Istiadat Rejimen Artileri Diraja.
Acara sambutan dimulakan dengan acara ‘Derap Seragam’, iaitu
persembahan terbaharu oleh 900 pegawai dan anggota Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) disusuli persembahan serentak bersama-sama pelajar
dengan melakukan kawad berirama.
Acara sambutan turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen
tempatan.
Penonton di lokasi turut dapat menyaksikan menerusi acara secara jelas
menerusi skrin LED berukuran 108 meter panjang dan sembilan meter tinggi,
iaitu skrin terbesar pernah digunakan dalam mana-mana sambutan dalam
negara.
Acara bacaan ikrar oleh lima ikon generasi muda dengan diketuai Noradzmi
Baba daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang
telah terlibat dalam acara sambutan Hari Kebangsaan sejak 1987.
Mereka adalah anak muda kelainan upaya Muhammad Zahriff Affandi yang
juga penerima anugerah Ikon Belia Negara, personaliti televisyen dan radio
Fara Fauzana, ratu wushu negara Diana Bong Siong Lin, malim gunung Mohd
Rizuan Kauhinin dan guru, Louis Marie Neubert Ambrose.
Bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme pada acara itu, gandingan
tiga pengacara majlis iaitu Saiful Khairi Ahmad, Rudiyan Shah dan Atikah
Mahali, turut menyelitkan bacaan puisi antaranya sajak ‘Di Tanah Malaysia’,
karya Razali Mohd Yussof dan ‘Lentera Zaman’ oleh Mahaya Mohd Yassin.
Mendahului acara perbarisan adalah kontinjen pembawa Jalur Gemilang dan
bendera negeri-negeri oleh para pelatih Institut Kemahiran Belia Negara,
disusuli kontinjen Eksplorasi Sehati Sejiwa.
Kontinjen eksplorasi itu yang dipelopori Kementerian Komunikasi dan
Multimedia dan gabungan sektor kerajaan, badan bukan kerajaan dan sektor
korporat menjelajah ke seluruh negara dengan membawa gelombang
semangat patriotisme ‘Sehati Sejiwa’ untuk rakyat dan ia akan menamatkan
ekspedisi pada Hari Malaysia.
Turut menarik perhatian adalah penyertaan sekumpulan malim gunung yang
menyertai kontinjen negeri-negeri. Mereka memainkan peranan tersendiri
dalam melaksanakan misi menyelamat mangsa gempa bumi di Gunung
Kinabalu, 5 Jun lepas.
Penonton khususnya kanak-kanak pula dilihat teruja menyaksikan pelbagai
maskot daripada animasi terbitan syarikat-syarikat animasi tempatan
antaranya Upin dan Ipin dan BoboiBoy yang menyertai kontinjen animasi,
diikuti beberapa kontinjen lain.
Perarakan aset-aset daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) antaranya
motosikal Kawasaki GTR 1400 dan Honda ST 1300 yang digunakan untuk
mengawal lalu lintas, kenderaan pengiring orang-orang kenamaan dan
rondaan, selain beberapa kenderaan lain turut menarik perhatian orang ramai.
ATM mempersembahkan aset pertahanan terkini daripada ketiga-tiga cabang
perkhidmatannya iaitu darat, laut dan udara termasuklah kenderaan pembawa
senjata jenis G. Wagon yang digunakan pasukan infantri untuk membuat
tinjauan, selain kenderaan perisai dan meriam.
Deruan jet-jet aset pertahanan udara yang melintasi ruang udara sekitar
Dataran Merdeka turut membuatkan penonton teruja sebaik ia melaksanakan
pelbagai formasi di udara.
Antara yang memukau penonton ialah formasi penerbangan sembilan
pesawat Pilatus PC 7 yang digunakan sebagai pesawat latihan asas untuk
juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pesawat pengangkut
TUDM, selain 11 pesawat tempur Sukhoi SU 30 MKM.
Majlis sambutan diakhiri dengan persembahan khas tarian kebudayaan oleh
Komponen Rakyat Bersepadu yang menampilkan lebih 1,000 peserta
pelbagai kaum. – BERNAMA
Top Related