Tiga Tumpuan Dasar Kerajaan Pasca PKP | 1
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
PENDAHULUAN
Pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah mengubah cara hidup dan bekerja
rakyat Malaysia dan global secara keseluruhannya. Krisis yang bermula daripada
sektor kesihatan ini telah memberikan implikasi negatif terhadap pelbagai sektor lain
seperti ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan politik sesebuah negara. Bagi tempoh
Januari sehingga Jun 2020, kebanyakan negara termasuk Malaysia telah
melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) untuk membantu rakyat dan
menstabilkan struktur negara secara keseluruhannya. Bagi Malaysia, sebanyak
empat PRE telah diumumkan dan dilaksanakan dengan tujuan memberikan sokongan
kepada rakyat dan membangunkan kembali kesemua sektor yang merosot akibat
COVID-19.
Selain memberikan penyelesaian dalam jangka masa pendek melalui pendekatan
intervensi fiskal, menjadi keutamaan kepada Kerajaan untuk menilai semula serta
memperbaharui polisi-polisi sedia ada bagi perlaksanaan yang lebih efisyen kelak.
Perkara ini penting bagi sesebuah negara supaya sentiasa berada dalam mode
bersedia menghadapi pelbagai risiko dan cabaran pada masa hadapan. Kesemua
polisi ini perlu mengambil kira pelbagai faktor khususnya pengalaman berhadapan
dengan pandemik COVID-19 yang memerlukan persediaan, keupayaan serta
kemampuan dalam menghadapinya.
Kertas Polisi Outlook ini mengemukakan pandangan secara umum terhadap tiga
sektor terpilih seperti sektor kesihatan, ekonomi dan sumber manusia. Kesemua
sektor ini dipilih berdasarkan tiga sebab utama. Pertama, ia menyentuh hampir
keseluruhan segmen rakyat Malaysia yang berjumlah hampir 32 juta orang. Kedua,
kemerosotan sektor-sektor ini memberikan impak yang tinggi dan menjejaskan
kehidupan rakyat Malaysia selama hampir empat bulan akibat Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac 2020.
Ketiga, kesemua sektor ini memerlukan perhatian yang serius dan segera daripada
pihak Kerajaan dan pihak yang berkepentingan. Hal yang demikian kerana impak
pandemik tersebut juga telah menyumbang kepada peningkatan kadar
pengangguran, kejatuhan KDNK negara, penutupan sekolah-sekolah dan kesemua
impak tersebut berlegar dalam aspek perincian yang dibahaskan dalam kertas ini.
Oleh itu, sewajarnya kertas ini mendapat perhatian serius daripada Kerajaan supaya
ia dapat menyerap impak bagi menghadapi sebarang kemungkinan luar jangka pada
masa akan datang.
Tiga Tumpuan Dasar Kerajaan Pasca PKP | 2
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
SEKTOR KESIHATAN: KE ARAH PENDEKATAN SECARA
HOLISTIK
Malaysia mula mengorak langkah ke depan dengan rekod kes positif yang semakin
menurun hari demi hari. Sehingga 30 Jun 2020, hanya dua kes positif yang dicatatkan
dengan sifar kematian. Penularan wabak yang semakin berkurangan sejak Mei adalah
hasil tindakan hemat dari Kerajaan seperti Perintah Kawalan Pergerak (PKP) yang
bermula pada 18 Mei 2020 sehinggalah kepada Perintah Kawalan Pergerakan
Pemulihan (PKPP) yang berkahir pada 31 Ogos 2020. Walaupun penularan virus
COVID-19 semakin menurun, namun tidak mustahil akan berlaku peningkatan
mendadak jika tidak dikawal dengan cermat seperti mana yang berlaku di China dan
Korea Selatan setelah ‘lockdown’ ditamatkan. Oleh itu, Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) perlu terus-menerus melakukan beberapa langkah kesiapsiagaan
dalam mendepani cabaran tersebut.
Antaranya dengan memperkukuhkan saringan di Klinik Kesihatan dan Jabatan
Kecemasan hospital serta bekerjasama dengan pelbagai agensi yang berkaitan di
pintu masuk negara bagi mengekang penularan yang disebabkan oleh pengembara
dan pelancong yang bergejala. Selain itu, KKM juga telah menyediakan Rapid
Response Team (RRT) dan Rapid Assesment Team (RAT) bagi menjalankan aktiviti
pengesanan kontak di lapangan sekiranya terdapat kes positif dilaporkan.
Namun begitu, terdapat beberapa aspek yang perlu diberikan perhatian bagi
mencapai akses sejagat kepada penjagaan kesihatan berkualiti. Antaranya adalah
berkaitan dengan penawaran dan permintaan (supply and demand) yang masih belum
dinikmati sepenuhnya oleh beberapa golongan antaranya masyarakat pelarian dan
orang asli. Perbahasan ini akan lebih menumpukan kepada kedua-dua kelompok ini
kerana ia turut memerlukan perhatian khusus daripada Kerajaan.
PELARIAN
Setakat 20 Mac 2020, seramai 179,520 pelarian dari pelbagai negara telah berdaftar
dengan Laporan Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(UNHDR) dengan lebih setengah juta pelarian masih belum berdaftar. Ini
menyebabkan dasar dan polisi sedia ada bagi melindungi pelarian di Malaysia tidak
dapat dilaksanakan. Selain itu, perkara ini memberikan kesukaran kepada mereka
dalam menguruskan kehidupan seharian dan juga untuk mendapatkan rawatan dan
saringan kesihatan (Illisha, 2020). Di samping itu, wujudnya implikasi besar dalam
mengesan keberadaan mereka terutama bagi menjalankan pengesanan (kontak) dan
saringan ekoran tindakan mereka yang tidak mendaftar dengan pihak berwajib.
Buktinya, pengesanan peserta yang menyertai perhimpunan tabligh tidak dapat
dilakukan dengan sebaiknya apabila hampir 2,000 peserta tidak dapat dikesan
disebabkan mereka merupakan pelarian Rohingya. Kesannya, rantaian penularan
pastinya sukar ditamatkan disebabkan mereka yang tidak dapat dikesan ini (Ilisha,
2020).
Tiga Tumpuan Dasar Kerajaan Pasca PKP | 3
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Kejadian seperti ini mendesak pihak Kerajaan untuk mempertingkatkan
penguatkuasaan Sistem Pengesan Maklumat Pelarian (TRIS) bagi memudahkan
proses pengesahan identiti mereka dan kedudukan mereka di Malaysia terutama
ketika musim penularan virus COVID-19. Pengkalan data khusus berdasarkan data
biometrik termasuklah aspek kesihatan dan keselamatan semestinya memudahkan
pihak Kerajaan mengesan keberadaan mereka sekaligus memberi peluang kepada
golongan tersebut untuk mendapatkan ujian saringan bagi memastikan rantaian
penularan virus ini benar-benar dapat diputuskan.
ORANG ASLI
Masyarakat pribumi antara golongan yang paling terjejas disebabkan pandemik
COVID-19. Hal ini kerana kedudukan geografi mereka yang agak terpencil serta
keterbatasan sumber makanan dan kekurangan fasiliti kesihatan. Selain itu,
kekurangan nutrisi dan daya lawan penyakit menyebabkan mereka terdedah kepada
risiko yang tinggi terhadap jangkitan virus. Tambahan pula, PKP yang dilaksanakan
memberi implikasi kepada sumber pendapatan dan makanan mereka (Roslan Mohd,
2020).
Pihak Kerajaan telah menyediakan bantuan kepada golongan ini berbentuk bantuan
bakul makanan yang bernilai keseluruhannya RM11 juta. Bantuan ini bagi memastikan
mereka mendapat nutrisi yang mencukupi untuk meningkatkan ketahanan badan
melawan virus. Namun begitu, sumbangan Kerajaan dalam membantu masyarakat ini
masih tidak merangkumi keseluruhan bilangan golongan ini. Hal ini kerana kehidupan
mereka yang sentiasa berpindah randah telah menyukarkan pihak berkuasa untuk
mengesan keberadaan mereka (Jaymal, 2020).
Kesannya, ratusan bahkan berkemungkinan mencecah ribuan masyarakat pribumi
masih tidak mendapat bantuan yang disediakan oleh Kerajaan. Apa yang lebih
membimbangkan, penularan virus yang berlaku dalam kalangan mereka tidak dapat
dikesan disebabkan kelemahan data sedia ada. Oleh itu, menjadi suatu keperluan
yang penting dan segera kepada Kerajaan untuk mewujudkan pengkalan data yang
komprehensif berkaitan dengan komuniti ini. Data tersebut mestilah sentiasa
dikemaskini, lengkap dan tepat. Hal ini kerana, pengkalan data yang tidak dikemaskini
dan lengkap menyebabkan banyak bantuan tidak sampai ke tangan mereka sekaligus
usaha mengekang penularan tidak dapat dijalankan sehingga ke akar umbi.
Kesimpulannya, keselamatan dan kesihatan segenap pelusuk masyarakat terutama
golongan pelarian dan orang asli wajar diberi perhatian yang lebih mendalam.
Hasilnya, pembersihan virus di bumi Malaysia dapat dijalankan secara menyeluruh.
Perkara ini selari dengan kenyatan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia,
“Tidak ada seorang pun akan tertinggal dalam Kerajaan ini”.
Tiga Tumpuan Dasar Kerajaan Pasca PKP | 4
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
SEKTOR EKONOMI: NEGARA PASCA COVID-19
Para penganalisis dan Kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk mengikuti secara
rapat perkembangan ekonomi, industri dan pasaran. Jangkaan prestasi ekonomi
negara dan dunia secara umumnya dijangka akan merosot bagi tahun 2020. Namun
begitu, dari sudut pandang positif, krisis ini telah mempercepatkan proses digitalisasi
yang semakin berkembang di dalam pelbagai aktiviti ekonomi di Malaysia. Menurut
Perdana Menteri, selain menarik pelaburan langsung asing (FDI) secara agresif ke
dalam negara, pihak kerajaan juga mengalu-alukan pendekatan mesra-teknologi di
dalam semua sektor bagi memulihkan kembali ekonomi Malaysia. Ini bermakna,
negara sedang memasuki fasa ekonomi digital secara lebih serius terutamanya
selepas berlakunya krisis COVID-19.
EKONOMI DIGITAL SUATU PENDEKATAN BAHARU
Ekonomi digital merujuk kepada aktiviti ekonomi yang menggunakan komunikasi
elektronik dan teknologi digital untuk menyediakan barang dan perkhidmatan.
Terdapat empat kriteria utama yang membangunkan ekonomi digital (Saini, 2019).
Pertamanya adalah pendigitan dan penjejakan (digitization). Dengan kewujudan
teknologi, sesuatu objek boleh menghasilkan isyarat digital yang dapat diukur, dikesan
dan dianalisis untuk membantu dalam membuat keputusan yang lebih baik. Kriteria
kedua adalah penyambungan (connection). Ekonomi digital membantu dalam
menghasilkan komunikasi yang lebih baik dan pantas dengan menghubungkan
pembekal aset, pekerja dan pihak berkepentingan yang secara tidak langsung
meningkatkan keselamatan, kecekapan, dan kebolehan jangkaan pada sesuatu
pekerjaan atau perniagaan.
Kriteria ketiga adalah perkongsian (sharing). Ekonomi digital berfungsi dengan
adanya perkongsian. Apa yang diperlukan oleh satu syarikat dipenuhi oleh syarikat
yang lain dan ini adalah proses perkongsian mereka iaitu membekalkan serta membeli
produk dan perkhidmatan yang diperlukan. Kriteria keempat adalah Personalization.
Ekonomi digital bergantung sepenuhnya kepada data peribadi pelanggan. Sesebuah
syarikat akan berusaha memberikan produk mengikut keperluan dan permintaan
pelanggan yang mana ianya juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor ekonomi yang
membawa kepada perkembangan ekonomi itu sendiri.
IMPAK EKONOMI DIGITAL
Setiap perkara yang ada di dunia ini samada sistem, produk atau perkhidmatan
pastinya mempunyai kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Terdapat tiga
kebaikan di dalam perlaksanaan ekonomi digital. Pertama, ia menggalakkan
penggunaan internet. Sebahagian besar kerja yang dilakukan pada hari ini adalah
melalui medan yang menggunakan internet. Kesannya adalah peningkatan hasil
secara drastik di dalam pelaburan teknologi yang secara tidak langsung telah
mempengaruhi sektor import dan eksport.
Tiga Tumpuan Dasar Kerajaan Pasca PKP | 5
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Kebaikan kedua adalah peningkatan perkhidmatan e-dagang di dalam pasaran.
Setiap tugas yang berkaitan dengan pembelian, pengedaran, pemasaran,
pembuatan, penjualan boleh dilakukan dengan hanya beberapa klik sahaja
disebabkan oleh ekonomi digital. Ketiga adalah aktiviti penjualan dan pembelian
barangan dan perkhidmatan secara digital. Pada masa ini, kebanyakan barangan dan
perkhidmatan sudah tersedia secara digital seperti barang keperluan rumah,
barangan peribadi, perkhidmatan bank, hiburan dan sebagainya dengan adanya
bantuan internet. Perkembangan ini memberikan penjimatan yang optimum dari sudut
kos membeli, masa dan tenaga pelanggan di samping ianya boleh dilakukan pada
bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Namun begitu, umumnya terdapat juga tiga kekurangan pada ekonomi digital.
Pertamanya adalah kerugian di dalam sektor pekerjaan. Oleh kerana kebergantungan
yang tinggi pada teknologi, dunia secara tak langsung semakin menjauh dari sumber
semula jadi dan sumber daya manusia. Ini akan menyebabkan ramai akan kehilangan
pekerjaan dan meningkatkan kadar pengangguran di dalam negara.
Kedua, kurangnya kepakaran di dalam sektor digital. Untuk mewujudkan ekonomi
digital, pelaburan besar serta sumber daya diperlukan dan berkemungkinan akan
menghadapi cabaran besar untuk dilaksanakan di kawasan luar bandar. Ini
menyebabkan ekonomi digital tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan sukar
untuk didapati di kawasan luar bandar dan separa luar bandar.
Keburukan ketiga adalah melibatkan pelaburan yang sangat tinggi. Infrastruktur yang
kuat, Internet yang berfungsi tinggi, rangkaian mudah alih yang kuat dan
telekomunikasi adalah semua perkara penting untuk melaksanakan ekonomi digital.
Justeru, ia melibatkan kos dan pelaburan yang besar serta proses yang sangat
perlahan, meletihkan dan mahal untuk diusahakan (Saini, 2019).
BERSEDIAKAH MALAYSIA?
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Datuk Seri Mustapa
Mohamed, Kerajaan telah meneliti perjalanan negara ke arah ekonomi digital yang
lebih luas. Namun begitu, beberapa perubahan asas perlu dilakukan dan negara perlu
mengenalpasti kelemahan yang timbul daripada perlaksanaan ekonomi digital seperti
pengukuhan pangkalan data perusahaan mikro, pendigitalan, pemerkasaan e-dagang
dan sebagainya. Walaupun pelaburan ke arah ekonomi digital bakal menelan
perbelanjaan yang tinggi, Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan bahawa
transformasi digital mampu memberikan peningkatan dari RM 435 Billion (US$100
Billion) sehingga RM 592 Billion (US$136 Billion) kepada KDNK negara menjelang
2025 (BERNAMA, 2020).
Berdasarkan analisis yang dibuat oleh syarikat Google dan Mckinsey, Malaysia sudah
mencapai prestasi yang cukup baik untuk beralih kepada ekonomi digital. Salah satu
ukuran kemajuan ini adalah sektor perkhidmatan dan produk digital yang telah
Tiga Tumpuan Dasar Kerajaan Pasca PKP | 6
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
mencecah sehingga 18.3 peratus daripada KDNK pada tahun 2017. Menariknya,
sebanyak 68 peratus populasi Malaysia yang bersamaan dengan 20.6 juta rakyat
adalah pengguna internet yang aktif manakala kadar penyambungan dari rumah dan
telefon muda alih masing-masing adalah sebanyak 30 dan 143 peratus. Namun
begitu, Malaysia perlu menetapkan visi dan objektif yang lebih tinggi iaitu agar lebih
berdaya saing di peringkat global dalam ekonomi digital kerana dunia kini didasari
oleh aliran pengetahuan digital, perkhidmatan dan data tanpa sempadan.
Tambahan pula, Institut Pembangunan dan Pengurusan Antarabangsa (IMD) yang
berpengkalan di Switzerland telah menjalankan suatu projek bagi mengukur
keupayaan dan kesediaan 63 negara terpilih untuk mengadaptasi dan meneroka
teknologi digital sebagai pemacu utama transformasi ekonomi dalam perniagaan,
kerajaan dan masyarakat yang lebih meluas (Singh, 2019). Mengikut ranking IMD
World Digital Competitiveness 2019 yang dikeluarkan pada September 2019,
Malaysia berada di tempat ke-26 dari 63 negara dengan dominasi Amerika Syarikat,
Singapura dan Sweden yang menduduki Tiga Ranking Teratas (Top Three)
(Stephenson & Sen, 2020). Ini bermakna, Kerajaan masih perlu menggandakan usaha
ke arah memanifestasikan ekonomi digital di Malaysia.
Kesimpulannya, penting bagi Malaysia untuk memahami ekonomi digital serta
menyedarii kesan baik dan buruk secara menyeluruh seterusnya memanfaatkan
sebaik mungkin kelebihan ekonomi digital di dalam perkembangan teknologi seperti
pada hari ini. Segala usaha untuk menambahbaik pelbagai kekurangan yang timbul
perlu ditangani dengan sebaiknya agar ekonomi negara dapat dipacu ke arah yang
lebih baik pada masa akan datang.
Tiga Tumpuan Dasar Kerajaan Pasca PKP | 7
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
SEKTOR SUMBER MANUSIA: IMPAK COVID-19
Sektor pendidikan negara tidak terkecuali menerima tempias akibat penularan
COVID-19. Impak daripada tempoh PKP yang lalu, dianggarkan hampir 4,734,760
pelajar dan 419,904 guru di seluruh negara menggunakan medium pembelajaran atas
talian (e-pembelajaran) (KPM, 2019). Tidak ketinggalan, tenaga pengajar dan
mahasiswa universiti awam dan swasta turut mengaplikasikan e-pembelajaran
sepenuhnya bagi menggantikan sesi pengajaran konvensional secara bersemuka di
dalam dewan kuliah dan bilik tutorial, sebelum sektor ini dibuka secara berperingkat
baru-baru ini.
Begitu juga sektor pekerjaan, norma baharu sepanjang tempoh PKP menunjukkan
hampir kebanyakan penjawat awam dan kakitangan swasta bekerja dari rumah,
kecuali bagi petugas-petugas barisan hadapan dan lapisan kedua yang membantu
usaha petugas kesihatan serta keselamatan membendung COVID-19 dan
menguatkuasakan PKP (Adnan Mat, 2020). Namun, memasuki tempoh PKPP yang
dijadualkan berakhir 31 Ogos ini, kebanyakan majikan telah mewajibkan pekerja
kembali bekerja di lapangan dan pejabat masing-masing seperti biasa. Walaupun
terdapat kajian daripada sebuah syarikat pengurusan antarabangsa yang
berpengalaman, Qualtrics, menyatakan bahawa 69 peratus rakyat Malaysia masih
belum selesa kembali ke tempat kerja, namun 62 peratus pekerja dijangka kembali ke
tempat kerja bermula pada bulan Julai (Bernama, 2020).
DASAR BAHARU SUATU KEPERLUAN
Tempoh PKP baru-baru ini menunjukkan walaupun dalam situasi kritikal dan terdesak,
rakyat sebenarnya masih mampu untuk menggunakan apa sahaja sumber yang ada
untuk meneruskan kehidupan. Contoh seperti penggunaan medium e-pembelajaran
secara sepenuhnya oleh guru dan pelajar di seluruh negara walaupun terdapat jurang
perbezaan yang ketara dari aspek capaian internet bagi pelajar yang tinggal di bandar
dan luar bandar. Berdasarkan data rasmi Jabatan Statistik Negara 2019, jurang
agihan internet antara lokaliti bandar dan luar bandar di Malaysia pada tahun 2018
adalah sangat besar iaitu pada nisbah 70:30 (Luqman Arif, 2020).
Sekiranya usaha menjalankan e-pembelajaran ini dilupakan terus selepas
berakhirnya COVID-19, ia adalah merupakan suatu kerugian yang amat besar bagi
sistem pendidikan negara. Oleh yang demikian, Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) perlu mengukuhkan sistem ini dengan suatu dasar baharu iaitu Dasar
Pendidikan Teradun (DPT) (Hamzah Mahizer, 2020). DPT menekankan sistem
penggiliran antara sesi Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) atas talian dan secara
bersemuka, di antara guru dan murid di dalam bilik darjah. Sebagai contoh, pihak KPM
boleh menetapkan polisi 3:2 iaitu 3 hari PdP di dalam bilik darjah dan 2 hari PdP
secara atas talian dari rumah.
Tiga Tumpuan Dasar Kerajaan Pasca PKP | 8
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Untuk mengimbangi perbezaan capaian internet bagi setiap lokaliti yang berbeza,
para guru perlu kreatif dalam mengaplikasikan e-pembelajaran segerak dan tidak
segerak. Bagi kawasan yang mempunyai akses internet yang baik dan stabil, aplikasi
e-pembelajaran segerak menggunakan medium seperti Skype, Zoom, Webex dan
Google Meet amat sesuai dijalankan. Aplikasi segerak merujuk kepada sesi
pembelajaran atas talian yang boleh dihadiri secara langsung oleh guru dan pelajar
pada waktu yang sama.
Manakala aplikasi e-pembelajaran tidak segerak pula ialah guru merakam sesi
pengajaran lalu dimuatnaik ke platform atas talian seperti facebook atau kumpulan
whatsapp yang dikongsi bersama pelajar. Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan 97.3 peratus pelayar internet di Malaysia
merupakan pengguna facebook, manakala pengguna aplikasi whatsapp adalah
sebanyak 98 peratus (Luqman Arif, 2020).
Justeru e-pembelajaran tidak segerak menggunakan kedua-dua aplikasi tersebut
adalah alternatif terbaik bagi kawasan yang kekurangan akses internet yang baik dan
stabil memandangkan kedua-dua perisian facebook dan whatsapp tidak memerlukan
kepada capaian internet yang terlalu kuat.
Begitu juga dengan sektor pekerjaan. Cadangan polisi Bekerja Dari Rumah (BDR)
perlu menjadi salah satu pilihan yang boleh diambil oleh pekerja. Terdapat majikan
yang curiga sama ada pekerja yang bekerja dari rumah mampu melaksanakan
tugasan kerja yang diberikan dengan baik atau sebaliknya. Dalam situasi ini, majikan
boleh mengambil inisiatif memberi tempoh percubaan mengikut kesesuaian norma
syarikat untuk melihat sama ada para pekerja mampu menggalas tugasan yang
diberikan atau sebaliknya apabila mereka melakukan kerja dari rumah.
Dari sisi lain, polisi seperti ini bagus untuk para majikan mengenal pasti pekerja-
pekerja yang berbakat dan komited kerana apabila seseorang pekerja mampu
mengendalikan segala tugasan yang diberikan dengan sempurna walaupun bekerja
dari rumah, itu menunjukkan pekerja tersebut sangat berintegriti dan cekap mengatur
pembahagian antara tugasan kerja dan urusan keluarga.
Polisi BDR memerlukan sektor kerajaan sebagai pelopor yang akan menjadi ikutan
bagi sektor swasta. Walau bagaimanapun, polisi BDR hanya sesuai untuk sektor dan
perjawatan tertentu sahaja. Dalam situasi ini, ketua jabatan perlu mengenal pasti skop
bidang tugas jabatan masing-masing sama ada bersifat teras yang memerlukan
pekerja bawahannya berurusan secara langsung dengan pelanggan dan bersifat
dalaman seperti pengurusan sumber manusia atau menerima aduan untuk disalurkan
kepada pihak yang tertentu. Pekerja yang bidang tugasnya berhubung terus dengan
pelanggan tidak sesuai mengamalkan polisi BDR manakala bagi pekerja yang
pelanggannya bersifat dalaman boleh memohon untuk bekerja dari rumah.
Tiga Tumpuan Dasar Kerajaan Pasca PKP | 9
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
KEPENTINGAN POLISI BAHARU PASCA COVID-19
Kedua-dua sektor pendidikan dan pekerjaan memerlukan platform atas talian sebagai
tunjang utama. Menuju matlamat sebagai sebuah negara maju, Malaysia perlu
memperkasakan teknologi dalam semua aspek terutamanya aspek pendidikan dan
sumber manusia itu sendiri. Tempoh PKP adalah merupakan medan eksperimen
menyeluruh merangkumi keseluruhan rakyat Malaysia. Dalam keadaan terpaksa dan
dipaksa, rakyat perlu menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi terkini
walaupun mungkin bagi sesetengah pihak, perkara itu agak rumit dan menyusahkan.
Dunia kini sedang bergerak ke arah Revolusi Industri 4.0 iaitu segalanya berpaksikan
teknologi. Justeru, Malaysia bakal ketinggalan sekiranya peluang memanfaatkan
penggunaan teknologi ini dikesampingkan.
Polisi ini juga sebagai kesiapsiagaan negara sekiranya berlaku krisis yang
menatijahkan kesan seumpama COVID-19 pada masa akan datang. Norma baharu
pasca penularan COVID-19 menunjukkan kepentingan penggunaan teknologi dalam
memastikan kedua-dua sektor terus bergerak walaupun dalam keadaan semua orang
harus kekal di rumah masing-masing. Penggunaan teknologi dalam mana-mana
sektor hari ini bukanlah suatu pilihan tetapi adalah kemestian. Walaupun bukanlah
sesuatu yang mudah terutama bagi golongan pekerja dalam kategori Baby Boomers
yang berusia 55 hingga 65 tahun, keadaan ini adalah sesuatu yang perlu dipelajari
dan diadaptasi sesuai dengan peredaran dan perkembangan teknologi semasa,
apatah lagi sekiranya ia menjadi suatu keperluan dalam kehidupan.
Tiga Tumpuan Dasar Kerajaan Pasca PKP | 10
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
PENUTUP
Penularan COVID-19 menyaksikan negara mengharungi krisis berganda, iaitu krisis
kesihatan yang tidak pernah terjadi sebelum ini serta kemelut ekonomi yang
menjejaskan banyak sektor serta periuk nasi rakyat. Di awal tempoh perlaksanaan
PKP, segalanya agak kabur dan kurang meyakinkan. Dengan kekalutan barisan
hadapan yang terpaksa berhadapan norma baharu, sistem pendidikan atas talian
yang mendatangkan rungutan pelbagai pihak dan kedapatan di mana-mana rakyat
kehilangan mata pencarian dan terputus bekalan makanan.
Namun, dengan kebijaksanaan Kerajaan yang didokong oleh kerjasama hampir
seluruh rakyat Malaysia, sedikit demi sedikit negara mampu bangkit daripada musibah
ini. Sektor kesihatan yang semakin cekap mengurus dan mengawal keadaan serta
pesakit COVID-19, PdP secara atas talian masih terus giat dijalankan, peniaga pula
semakin celik akan kepentingan ekonomi digital dengan memanfaatkan sistem
perniagaan atas talian dan yang paling utama, Kerajaan dan rakyat menyedari akan
pentingnya negara dan individu mempunyai sistem kewangan yang kukuh sebagai
persediaan pada waktu krisis yang boleh berlaku tanpa diduga. Justeru, sebagai pihak
yang bertanggungjawab terhadap negara dan rakyat, Kerajaan perlu bersedia dari
sekarang untuk mempersiapkan negara ke arah yang lebih baik dan efisyen.
Tiga Tumpuan Dasar Kerajaan Pasca PKP | 11
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
SENARAI RUJUKAN
Arif Luqman. (2020, April 16). Berita Harian Online. Retrieved from PKP: e-Pembelajaran Tidak
Segerak Sesuai di Luar Bandar, Pedalaman:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/677952/pkp-e-pembelajaran-tidak-
segerak-sesuai-di-luar-bandar-pedalaman
Asyraf Harits. (2020, April 05). Astro Awani. Retrieved from http://www.astroawani.com/berita-
malaysia/usaha-malaysia-dalam-menangani-pandemik-covid-19-236795
BERNAMA. (2020, April 26). Astro Awani. Retrieved from Gen Z Paling Bersedia Dengan Norma Kerja
Baharu Pasca COVID-19: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/gen-z-paling-bersedia-
dengan-norma-kerja-baharu-pasca-covid-19-240153
BERNAMA. (2020, April 10). Kerajaan Bersedia Kemungkinan Selepas COVID-19. Retrieved from
Berita Harian Online:
https://www.sinarharian.com.my/article/78259/KHAS/Koronavirus/Kerajaan-bersedia-
kemungkinan-selepas-Covid-19
BERNAMA. (2020, Jun 23). Sinar Harian Online. Retrieved from Lebih 69 Peratus Pekerja Tidak Selesa
Kembali ke Tempat Kerja:
https://www.sinarharian.com.my/article/89083/BERITA/Nasional/Lebih-69-peratus-pekerja-
tidak-selesa-kembali-ke-tempat-kerja
Hamzah Mahizer. (2020, April 19). Berita Harian Online. Retrieved from Sedia Hadapi Kelas Maya
Sesuai Normal Baharu: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/679003/sedia-h
adapi-kelas-maya-sesuai-normal-baharu
Ilisha. (2020, April 10). ISIS Malaysia. Retrieved from https://www.isis.org.my/2020/04/10/health-
insecurity-and-its-impact-on-refugees-in-malaysia/
Illisha. (2020, April 02). Isis. Retrieved from https://www.isis.org.my/2020/04/02/put-refugees-in-
national-database/
Jaymal. (2020, April 20). MalayMail. Retrieved from
https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/04/20/group-calls-for-centralised-database-
as-covid-19-relief-still-beyond-reach/1858306
KPM. (2019, Januari 31). Kementerian Pendidikan Malaysia. Retrieved from Statistik Bilangan Sekolah,
Murid dan Guru: https://www.moe.gov.my/en/statistik-menu/statistik-bilangan-sekolah-murid-
guru
Mat Adnan. (2020, Mei 2). Berita Harian Online. Retrieved from Warga Kerja Perlu Menjiwai Normal
Baharu: https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2020/05/684207/warga-ke rja-perlu-
menjiwai-normal-baharu
Roslan Mohd. (2020, April 4). Berita Harian. Retrieved from
https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2020/04/672739/impak-virus-kepada-
masyarakat-peribumi-global
Saini, S. (2019, Oktober 8). What is Digital Economy? Meaning, Advantages & Disadvantages.
Retrieved from Finance Insurance: https://financeninsurance.com/digital-economy/
Singh, K. (2019, October 16). Budget 2020: Accelerating Transition to a Digital Economy. Retrieved
from Digital News Asia (DNA): https://www.digitalnewsasia.com/digital-economy/budget-2020-
accelerating-transition-digital-economy
Tiga Tumpuan Dasar Kerajaan Pasca PKP | 12
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Stephenson, M., & Sen, N. (2020, April 15). How Digital Investment Can Help the COVID-19 Recovery.
Retrieved from World Economic Forum: https://www.weforum.org/agenda/2020/04/covid-19-
digital-foreign-direct-investment-economic-recovery/
Worldmeter. (2020, Julai 01). COVID-19 Coronavirus Pandemic. Retrieved from Worldmeters.info:
https://www.worldometers.info/coronavirus/
Top Related