Kepelbagaian Aliran Pemikiran Ulama Di Malaysia

download Kepelbagaian Aliran Pemikiran Ulama Di Malaysia

of 24

Transcript of Kepelbagaian Aliran Pemikiran Ulama Di Malaysia

Melaka Learning Centre, Open University Malaysia,No. 2.2-1, 2-2, Jalan KPA A3, Kompleks Perniagaan al Azim, 75150 Bandar Bukit Baru, Melaka, Malaysia.

MASTER OF ISLAMIC STUDIES 2013

ISU KONTEMPORARI DALAM PENGAJIAN HADITHAMSH5103

PUSPA BINTI [email protected]

NAMA PENSYARAH EN. ABD. AZIZ BIN ABDULLAHTAJUK :KEPELBAGAIAN ALIRAN ULAMA DI MALAYSIA( KAUM MUDA DAN KAUM TUA )

PENGHARGAAN Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.Bersyukur kepada Allah kerana dengan limpah kurniaNya, telah memberi kekuatan dan hidayah dalam menyiapkan tugasan bertajuk Kepelbagaian aliran ulama di Malaysia ( kaum Tua dan kaum Muda ) pada kali ini.Terima kasih tidak terhingga kepada seluruh ahli keluarga saya yang begitu memahami serta memberi galakan sepenuhnya kepada saya dalam meneruskan tuntutan terhadap tugasan dan pembelajaran saya di OUM Melaka ini. Tidak lupa juga kepada seluruh warga OUM semester Mei 2013 ini terutamanya rakan-rakan seunit yang telah memberikan kerjasama yang baik dalam membantu saya menyelesaikan tugasan.Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah yang di hormati, En. Abd. Aziz bin Abdullah kerana telah memberi panduan dan tunjuk ajar kepada saya dan rakan-rakan dalam menghasilkan tugasan yang dikehendaki. Tanpa tunjuk ajar dan kerjasama yang diberikan tidak mungkin saya dapat menghasilkan tugasan ini. Akhir sekali, yang baik datangnya dari Allah dan segala kelemahan adalah dari diri saya sendiri. Wallahu a'lam.Sekian , terima kasih. ISI KANDUNGAN

HALAMAN

Penghargaan

Pendahuluan1

1.0

Definisi1.1 Kaum Tua1.2 Kaum Muda12

2.0

Sejarah kaum Tua dan kaum Muda2.1 Sejarah kaum Tua2.2 Sejarah kaum Muda2.3 Sejarah pertembungan kaum Tua dan Muda2.4 Isu-isu perdebatan kaum Tua dan Muda3447

3.0

Tokoh-tokoh3.1 Kaum Tua3.2 Kaum Muda1012

4.0

Sudut positif dan negatif pelbagai aliran4.1 Sudut positif4.2 Sudut negatif4.3 Penerimaan Masyarakat 4.3.1 Penerimaan terhadap aliran pemikiran kaum Tua 4.3.2 Penerimaan terhadap aliran pemikiran kaum Muda1314

1516

5.0Cadangan penyelesaian18

Penutup

20

Bibliografi

PENDAHULUANDewasa ini muncul kepelbagaian method dan aliran pemikiran hasil daripada perbezaan fahaman (i'tiqad). Kepelbagaian ini berdiri atas dasar pembawaan perjuangan masing-masing, sehingga timbul impak yang besar kepada masyarakat seperti perpecahan, perbalahan, dan tiada kesatuan dalam masyarakat. Antara contoh-contoh metod dan aliran pemikiran ini ialah kaum tua, kaum muda, anti hadis, Al Arqam, Tabligh dan lain-lain.Tugasan ini menjelaskan tentang sejarah kaum tua dan muda, sejarah pertembungan kedua-duanya, isu-isu perdebatan, tokoh-tokoh yang mewakili kedua-duanya, sudut positif dan negatif kepelbagaian aliran dan cadangan penyelesaian kepada keadaan negatif kepelbagaian method dan aliran ulama di Malaysia. 1.0 DEFINISI

1.1KAUM TUASecara umumnya, kaum tua boleh didefinasikan sebagai ulama-ulama tradisional yang berpegang kepada tradisi konservatif atau mempertahankan yang lama. Sesuai dengan pengertian konservatif, ulama-ulama ini sebagaimana biasanya cuma melihat sejarah atau masa lampau sebagai sumber inspirasi atau sesuatu yang harus dipertahankan. Di dalam banyak perkara, mereka lebih suka mengekalkan status quo sesuatu amalan yang telah lama bertapak di dalam masyarakat.Justeru itu, pendokong kaum tua ini dilihat seringkali bersikap negatif terhadap pembaharuan dan perubahan. Golongan tradisionalis ini seringkali menganggap bahawa kemunduran umat Islam adalah kerana mereka menjauhkan diri daripada ajaran-ajaran generasi yang lalu. Mereka lebih selesa untuk mengurung Islam dalam satu benteng tanpa jendela dan pintu keluar, tanpa ruangan terbuka ke arah langit, serta mempertahankan seluruh tradisi yang telah diwarisi oleh nenek moyang tanpa membezakan ajaran Islam yang tulen atau campuran dari pelbagi pengaruh yang lain.Kaum tua dikenali sebagai "..ulama-ulama yang enggan menerima pemikiran yang baru yang bercanggah dengan aliran-aliran pemikiran Islam yang sudahpun berakar umbi di kalangan masyarakat Melayu tempatan..".Kaum Tua atau dikenali sebagai 'Khalafi' yang berpegang kepada mazhab Syafie pula berhasrat memudahkan orang awam yang dirasakan kebanyakannya kurang mampu untuk mengikuti kaedah tadi, lalu mereka mempopularkan cara taqlid sebagai medium penyatuan dalam masyarakat dan juga ibadah, selain menganugerahkan kemudahan buat masyarakat yang majoritinya tidak mempunyai kemampuan untuk mengkaji secara mendalam hingga ke tahap dalil bagi sesuatu ibadat. Selain itu, mereka juga risau akan munculnya individu yang tidak berkelayakan lalu menggunakan kaedah rujukan dalil tadi sehingga menyeleweng. Menurut mereka lebih baik bertaqlid kepada satu mazhab (Syafie) berbanding silap atau menyeleweng atau lebih baik ber kepada pegang pendapat ulama syafie berbanding pendapat sendiri yang amat tidak 'alim.1.2 KAUM MUDAKaum Muda ialah gelaran yang diberikan oleh ulama-ulama tradisional (ulama-ulama Kaum Tua) terhadap beberapa ulama di pantai barat Tanah Melayu, Pulau Sumatera dan Mesir. Gelaran ini diberikan oleh kerana ulama-ulama ini dikatakan cuba membawa suatu ciri yang baru di dalam ajaran agama.Kaum Muda yang di namakan juga 'salafi', 'tajdid', 'sunnah' atau dicop juga sebagai 'wahabi' menginginkan seluruh masyarakat lebih 'selamat' dan hampir kepada Al-Quran dan as-Sunnah iaitu dengan cara membawa mereka kepada pegangan aqidah dan ibadat yang berdasarkan dengan dalil sahih tanpa hanya terikat dan taqlid kepada satu aliran atau pendapat sahaja. Ia satu niat yang amat baik dengan mengembalikan fungsi akal yang dikurniakan Allah S.W.T serta memurnikan ibadat dari rekaan-rekaan yang dijangkakan boleh menghilangkan pahala yang diletakkan oleh Rasulullah S.A.W (Ahmad Faidzurrahim, 2013).

2.0SEJARAH KAUM TUA DAN KAUM MUDA

2.1SEJARAH RINGKAS KAUM TUA

Permulaan kedatangan pengaruh Asia Barat terhadap alam melayu boleh dikatakan bermula dengan kepulangan mahasiswa melayu dari Mekah. Hasil dari kesinambungan tersebut maka lahirlah sebuah institusi pendidikan iaitu institusi pondok yang memberikan sumbangan terbesar dalam mempamerkan imej dan pengaruh Asia Barat di bumi Melayu. Antara pondok-pondok yang cukup terkenal ialah Dala, Bermin, Semela, Dual dan Teluk Manak di Pattani. Pondok-pondok tersebut bukan sahaja menjadi tumpuan penuntut tempatan, malahan juga penuntut dari luar negeri terutamanya dari kepulauan nusantara seperti Sri Lanka, Burma, Kemboja, Vietnam, Tanah Melayu, Filipina dan Indonesia.

Manakala ulama-ulama Pattani yang terkenal dan banyak menulis kitab agama dalam bahasa melayu ataupun bahasa arab ialah seperti Syeikh Daud Abdullah al-Fatoni, Sheikh Muhammad Zain al-Fatoni dan Sheikh Zainal Abidin al-Fatoni. Mereka bukan sahaja mengajar di rantau ini malahan berkesempatan mengajar di Masjid al-Haram, Mekah. Sistem dan kaedah yang diterapkan di dalam institusi ini ada persamaan dengan sistem pendidikan yang dilaksanakan dalam kaedah pembelajaran di Masjid al-Haram.

Perkara ini terus berkembang hingga sampai ke Tanah Melayu seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Pendidikan agama mengalami perubahan dan perkembangan baru sebaik sahaja idea pembaharuan (islah) dari asia barat terutamnya Mesir mulai meluas di kalangan masyarakat Islam pada masa itu. Setelah itu, lahirlah sistem madrasah yang lebih sistematik dan lebih formal dari sistem pondok (Mahfuz Muhammad, 2008)

Di antara ulama-ulama yang berpegang kuat dengan aliran kaum tua ialah Haji Noh Penambang, HajiYaakub Legor(1892-1971), HajiOsmanJalaluddin al-Kelantani (1880-1952).Akhir sekali, timbulnya dari kaum tua nama-nama Ulama yang tidak asing bagi kita semua seperti Fathullah Suhaimi, Syeikh Sulaiman Ar-Rasuli, Abu Bakar Muar, Syeikh Ahmad Khatib al-Minangkabawi, Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad, Syeikh Abdullah Fahim dan lain-lain lagi. (Ahmad Fadhli bin Shaari, 2008).

2.2SEJARAH RINGKAS KAUM MUDADari sudut sejarah, pertumbuhan aliran kaum Muda ini dikatakan bermula pada abad ke-17 dan 18M iaitu merujuk kepada peranan Muhammad bin Abdul Wahhab (1703-1787) (Nik Yusri Musa, 2005). Aliran reformasi ini sebenarnya telah bermula ketika kemunculan Ibnu Taimiyyah (1263-1328) yang disifatkan oleh Profesor Ismail al-Faruqi sebagai "the first and greatest Muslim reformer" (Mohd. Yusuf Khalid,2013). Perkembangan aliran reformis di peringkat dunia diwarnai dengan kemunculan beberapa orang tokoh yang dianggap sinonim dengan gerakan ini. Antaranya ialah Jamaluddin al-Afghani (1838M-1897M), Sheikh Muhammad Abduh (1849M-1905M) dan Rasyid Redha (1865M-1935M). Pemikiran tokoh-tokoh ini akhirnya mempengaruhi beberapa orang ulama Melayu yang menuntut di TImur Tengah pada akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20. Dalam konteks Tanah Melayu, gerakan Kaum Muda ini bermula dari selatan iaitu Singapura seterusnya merebak ke Pantai Barat dan Kelantan merupakan antara lokasi terakhir yang berjaya diserapi oleh idea-idea Kaum Muda. Di antara tokoh-tokoh yang boleh disifatkan sebagai kaum muda ialah Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin (1869-1956), Syeikh Muhammad Salim al-Kalali, Syed Syeikh al-Hadi (1867-1934), Syed Muhammad Aqil dan Haji Abbas Mohd Taha. Mereka ini bergabung untuk menerbitkan majalah al-Imam (1906-1908) iaitu mirip majalah al-Manar dari sudut semangat dan prinsipnya. Selain dari mereka, Dr. Burhanuddin al-Hilmi, Haji Abbas Taha dan Za'ba sendri merupakan tokoh-tokoh pemikir yang mempunyai serapan pemikiran kaum Muda ini (Nik Yusri Musa, 2005).

2.3SEJARAH PERTEMBUNGAN KAUM TUA DAN KAUM MUDAPertembungan yang berlaku ke atas penganut Mazhab Shafi'i (KAUM TUA) melalui 3 gelombang;Gelombang pertama berlaku pada tahun 20-an dan 30-an. Pada masa itu gerakan kaum muda cuba mengemukakan idea-idea baru yang berbeza dengan pegangan sedia ada dalam masyarakat Melayu yang berpegang kepada Mazhab Shafi'i. Perkara yang ditimbulkan oleh golongan kaum muda ini menyentuh tentang peranan akal dalam memahami hukum, persoalan-persoalan hukum ikhtilaf dan tentang bid'ah. Gelombang pertama berlakunya gugatan terhadap aliran mazhab Shafi'i ialah pada awal abad ke-20 di mana beberapa orang pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Arab Saudi, Mesir dan India telah terpengaruh dengan pemikiran gerakan Islah di sana.Hijaz ketika itu dipengaruhi oleh pemikiran Muhammad Abdul Wahab yang mendokong idea Ibn Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah yang kedua-duanya beraliran Mazhab Hanbali dalam fiqh. Manakala gerakan Islah di Mesir pula dipelopori oleh Muhd Abduh dan Rashid Rida yang beraliran Mazhab Hanafi. Gerakan Islah ini cuba menimbulkan kembali idea ijtihad untuk menyelesai keperluan hukum supaya kembali kepada sumber asal al-Qur'an dan Sunnah. Dengan seruan kepada ijtihad menolak taqlid yang diamalkan dalam masyarakat .Aliran pemikiran Islah telah dapat mempengaruhi beberapa orang pelajar antaranya Sheikh Muhd Tahir bin Jalaluddin al-Azhari yang berkesempatan belajar di Mekah dan Qahirah yang terpengaruh dengan pemikiran Muhd Abduh dan Rashid Ridha. Manakala pelajar-pelajar yang belajar di Mekah dan di India ada yang terpengaruh dengan ajaran Sheikh Waliyullah al-Dahlawi yang dibawa oleh Maulana Ubaidullah al-Sindhi seperti Haji Nik Abdullah, Haji Nik Mahmud Haji Wan Musa, Hj. Abdul Rahman Haji Nik Mahmud yang beraliran Islah. Pemikiran Islah ini juga dapat mempengaruhi golongan yang berpendidikan bukan agama, yang membaca bahan-bahan aliran demikian dari Majalah Islamic Review yang diterbitkan oleh Kamaluddin Khaja di Waking England dan sumber-sumber lain.Mereka yang terpengaruh dengan gerakan Islah di Saudi, Mesir dan India telah menyebar idea mereka kemudiannya di Malaysia. Sheikh Tahir yang bergerak di kawasan utara Pantai Barat Malaysia telah dapat mempengaruhi Sayyid Sheikh Ahmad al-Hadi, Haji Abbas Mohd Taha dan Sheikh Mohd Salim al-Kalil. Aliran pemikiran Sheikh Waliyullah al-Dahlawi pula tersebar di Kelantan dan Terengganu yang dibawa oleh Nik Abdullah, Hj. Nik Mahmud dan Nik Abdul Rahman.Gelombang kedua berlaku antara tahun empat puluhan dan enam puluhan. Gelombang kedua ini adalah sebagai menyambung usaha yang berlaku sebelumnya. Penumpuan kebangkitan pada waktu ini lebih banyak menumpukan kepada persoalan-persoalan khilafiyyah yang lebih khusus sehingga menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat awam terutamanya dalam Parti Islam Setanah Melayu ketika itu yang merasa tertekan dengan keadaan yang berlaku. Timbulnya isu-isu khilafiyyah yang membawa perpecahan di kalangan masyarakat ini menyebabkan satu ijtima' diadakan untuk membuat satu keputusan dalam isu-isu yang dibangkitkan. Akhirnya mereka sepakat memutuskan bahawa persetujuan dicapai terhadap pendirian ulama-ulama beraliran Mazhab Shafi'i dalam isu-isu yang dibangkitkan. Antara isu-isu yang dibangkitkan adalah seperti menyebut 'usolli' dalam solat, talqin kematian, tahlil arwah dan sebagainya. Persoalan khilafiyat ini juga menimbulkan perbincangannya di Kelantan dan Terengganu. Bagi membendung pemikiran aliran baru dalam isu-isu khilafiyat ini, maka Jawatankuasa Ulama' Majlis Ulama' Kelantan telah mengeluarkan sebuah buku yang bertajuk Kitab al-Qawl al-Mufid Li ifadat al-Mustafid, karangan Hj. Muhammad bin Idris iaitu salah seorang anggota Jawatankuasa Ulama Majlis.Gelombang ketiga pula berlaku dari tahun 70-an sehingga kini yang dipelopori oleh golongan muda yang terdedah kepada pengajian di Saudi dan di Indonesia. Gelombang yang berlaku ini seolah-olah sebagai menyambung pemikiran dan pendekatan golongan kaum muda sebelumnya. Mereka mempertikai beberapa amalan yang ada dalam masyarakat yang diambil daripada ulama'-ulama' beraliran Mazhab Shafi'i. Satu gerakan yang berpusat di Kuala Pilah ada membuat pengisytiharan yang dikeluarkan pada 22hb Julai 1966 dalam memorandum pertubuhannya berbunyi:Ahli Sunnah tidak bertaqlid kepada sesuatu mazhab masyhur atau tidak masyhur, tetapi ia boleh melakukan ittiba' atau mengikut sesuatu pendapat Ulama setelah diketahui keterangannya dengan jelas daripada Qur'an dan Hadith sahih. Bahawa ahli Sunnah tidak bersandar kepada sebarang mazhab yang ada dalam negeri ini melainkan kembali kepada Allah dan Rasul-Nya, jadi salahlah orang yang memperkatakan isu Mazhab Shafi'i itu benar atau semua isi Mazhab Hanafi itu benar dan lain-lainnya.Kenyataan di atas menunjukkan bahawa golongan ini tidak mengikat diri dengan mana-mana mazhab yang muktabar yang diiktiraf di dunia Islam dan mazhab Shafi'i di negara ini. Mereka beranggapan mereka mempunyai kelayakan yang cukup untuk berijtihad mutlak, seperti imam-imam yang muktabar, kerana ulama' itu adalah manusia dan mereka juga manusia tidak ada bezanya (Zamihan al-Ghari, 2007).Berijtihad tanpa asas ilmu yang lengkap dari sudut ilmu utama syariah dan ilmu pelengkap dalam Bahasa Arab serta tidak terikat dengan kaedah Usul al-Fiqh boleh membawa kepada penyelewengan dan kesesatan dari kebenaran. Hal ini dapat dilihat bibit-bibitnya pada masa kebelakangan ini dengan kemunculan kelompok liberal yang tidak mahu terikat dengan kaedah epistemologi Islam dan kaedah usulnya dalam memahami Qur'an dan Sunnah yang akhirnya membawa kepada kecelaruan tafsiran terhadap sumber-sumber dan ajaran-ajaran Islam.

2.4 ISU-ISU PERDEBATAN KAUM TUA DAN KAUM MUDA

Kebanyakan isu-isu ini terjadi sekitar perbahasan Khilafiyyah kebanyakannya. Antara contoh-contoh yang dapat diketengahkan:

Talqin :Haji Wan Musa dan anaknya Haji Nik Adullah tidak sependapat dengan para ulama di zamannya yang mengatakan talqin itu sunat. Bagi beliau dan ulama-ulama kaum Muda yang lain, tidak ada nas yang memerintahkan supaya dibaca talqin kepada jenazahditanahperkuburan. Hal ini bertentangan dengan ulama-ulama yang lain di masa itu. Untuk memuaskan hatinya, beliau sendiri menulis surat kepada Sayid Muhammad Rashid Redha meminta pandangannya mengenai hukum talqin.Pada jawapannya, Rashid Redha menulis: Maksud : Keterangan - keterangan yang disebut oleh al-Barmawi itu tidaklah kerana tidak ada satu hadith pun mensabitkan talqin itu sunat atau tidak oleh para sahabat, bahkan tidak ada satu hadith sahih atau hassan mengenai talqin. Hanya satu hadith yang dhaif (yang ada di dalam masalah talkin ) tidak dikeluarkan oleh pengumpul - pengumpul hadith sahih dan sunan.Sekiranya ditinjau pada pandangan golongan salaf, talqin dikatakan makruh kerana tidak mendatangkan sebarang faedah berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud : "Apakah Aku akan mencari Tuhan selain Allah, padahal dia adalah Tuhan bagi segala sesuatu. dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudharatannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitakanNya kepadamu apa yang kamu perselisihkan." (al-An'am 6 : 64)

Manakala sebahagian ahli ilmu dan Imam Syafie sendiri berpandangan bahawa talqin diharuskan berdasarkan hadis daripada al-Tabrani yang meriwayatkan dari Abi Amamah bahawa dia menyuruh supaya ditalkinkanmayat.(Ridzuan Ahmad,2012)

Talfiq :Talfiq mazhab di mana Haji Wan Musa telah mengemukakan pendapatnya kepada Yang Mulia Tengku Ibrahim (yang kemudiannya menjadi Sultan Kelantan : 1944-1960) bahawa umat Islam boleh memelihara dan memegang anjing tanpa disamak bekas air mulutnya kiranya perlu bagi menjaga keselamatan rumah tangga. Pandangan beliau ini yang didorong oleh anaknya Nik Abdullah mencetuskan polemik hebat mengenai isu jilatananjingpadamasaitu. Pada tahun 1937, satu perbahasan terbuka telah diadakan oleh Raja Kelantan di Istana Seri Cemerlang. Haji Wan Musa, Haji Abbas Taha dan Dr. Buhanuddin al-Hilmi. Pihak Haji Wan Musa menafsirkan ayat al-Quran di dalam surah al-Baqarah, ayat 233 yang bermaksud : Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurutkemampuannya. Oleh yang demikian, mereka mengeluarkan pandangan yang kontroversi itu. Perdebatan yang berlangsung itu berakhir dengan masing-masing kekal dengan hujah. Sultan Kelantan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan sendiri menurut pemerhatian mereka. Sekalipun Kaum Muda memberikan hujah yang agak mantap dengan bantuan ulama-ulama dari luar Kelantan, teori yang mereka utarakan sebenarnya tidak mendapat sambutan dari masyarakt. Ini boleh dilihat sehingga ke hari ini boleh dikatakan tidak ada di kalangan umat Islam di Kelantan yang memelihara anjing sebagaimana keharusannya yang didakwa oleh Kaum Muda. Bina Masjid dari Zakat Fitrah :Haji Wan Musa tidak sependapat dengan keputusan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan yang hendak membina Masjid Muhammadi Kota Bharu dari wang kutipan zakat fitrah. Beliau menentang keputusan Jemaah Ulama' Majlis kerana beliau berpendapat bahawa zakat fitrah adalah hak kepada oang-orang miskin. Beliau berdasarkan ayat 60 dari surah al-Taubah yang bermaksud : Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu'allaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yuang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha mengetahui lagiMahaBijaksana. Haji Wan Musa menyatakan bahawa berdasarkan ayat ini tidak terdapat nas yang jelas yang mengharuskan pembinaan masjid dengan menggunakan duit zakat. Bagaimanapun Kaum Tua menegaskan bahawa pembinaan masjid diharuskan dengan duit zakat fitrah berdasarkan keumuman frasa iaitu di jalan Allah. Masalah usalli :Haji Wan Musa yang mewakili kaum muda berpendapat bahawa kalimah usalli ketika hendak mengerjakan solat adalah tidak sunat berdasarkan hadis Bukhari yang bermaksud : "Apabila kamu berdiri untuk sembahyang hendaklah kamu takbir.." Berasaskan pemikiran kaum muda maka amalan-amalan berikut hukumnya bida'ah mengikut penilaian mereka, antaranya : Menentukan bilangan minima jamaah sembahyang Jumaat seramai 40 orang. Melakukan sembahyang Zuhur selepas sembahyang fardu Jumaat sebagai Ihtiyat. Azan pertama pada hari Jumaat. Mengucap perkataan 'Sayyidina' dalam selawat atas Nabi SAW. Berdiri ketika membaca marhaban atau selawat. Sembahyang sunat qabliyyah Jumaat. Kenduri dan tahlil kematian. Membuat bubur ashura pada hari sepuluh bulan Muharram. Sembahyang tarawih 20 rakaat. Berdoa selepas sembahyang. Membaca qunut sembahyang subuh. Sembahyang Tasbih.Selain itu terdapat juga beberapa amalan masyarakat yang diikuti mengikut tafsiran imam Shafi'i yang dianggap tidak tepat dengan kehendak nas pada pandangan mereka. Antaranya : Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan membatalkan wudhu'. Namun, bagi mereka tidak membatalkan wudhu. Ma'mum membaca Fatihah dalam solat untuk sah solatnya sekalipun dia berimam. Bagi mereka tidak perlu membaca. Membasuh siku harus dimulakan dari atas atau bawah. Bagi mereka membasuh siku mesti dimulai dari tangan. Membaca Fatihah dimulai dengan Bismillah, bagi mereka dimulai dengan al-Hamdulillah. Menyamak bekas jilatan anjing. Bagi mereka tidak wajib disamak.

3.0TOKOH-TOKOH3.1KAUM TUA.3.1.1Abu Bakar Muar benteng pertahanan kaum tua.Nama lengkapnya ialah Haji Abu Bakar bin Haji Hasan al-Muari bin Haji Ahmad bin Anggak bin Datuk Sijo Bukit Moh, Muar Bandar Maharani, Johor. Beliau dilahirkan pada tahun 1292 Hijrah/1875 Masihi, dan meninggal pada tahun 1357 /1938 . Selama 34 tahun beliau berada di Mekah untuk menuntut ilmu, iaitu ketika usianya enam tahun (1881 M/1299 H.) dan pulang ke tanah air pada tahun 1915.Ulama yang paling rapat dengannya ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Abu Bakar al-Muari adalah Qadi Muar dan pernah menjadi Mufti Johor, selama seminggu sahaja. Bersama-sama Abdullah bin Isa, Syed Abdul Qadir bin Muhammad, Abdus Syukur bin Ismail, Yusuf bin Muhammad, Syed Muhammad bin Othman bin Yahya, Haji Muhammad Yunus bin Haji Ibrahim dan Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, mereka menggubal `Undang-Undang Jam`iyah Percadangan'.Abu Bakar merupakan benteng pertahanan Kaum Tua, sedangkan Syeikh Tahir Jalaluddin adalah pelopor pergerakan Kaum Muda. Abu Bakar juga mengarang risalah menolak pendapat Hasan Bandung. Sebuah karyanya di dalam bahasa Arab menolak beberapa pendapat Sayid Rasyid Ridha, ulama Mesir, tokoh reformis yang sangat terkenal. Karya-karya Abu Bakar Muar yang bercorak polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin yang telah ditemui ialah Taman Persuraian, ditulis pada 6 Ramadan 1346 Hijrah/1927 Masihi di Muar, Bandar Maharani. Kandungannya menyatakan tentang sunat sembahyang ba'diyah Jumaat dan qabliyahnya. Ia membatalkan perkataan Syeikh Thahir Jalaluddin al-Minangkabawi, guru Madrasah Al-Haji Taib Parit Jamil Muar yang mengatakan sembahyang qabliyah itu bidaah.(Wan Mohd. Shaghir Abdullah, 2008).

3.1.2Saiyid Alwi bin Thahir al HaddadNama lengkapnya ialah Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad bin Abdullah bin Thaha Abdullah bin Umar bin Alwi bin Muhammad bin Alwi bin Ahmad bin Abi Bakar Abu Thahir al-Alawi asy-Syarif al-Huseini. Sampai nasabnya kepada Saidina Ali bin Abi Thalib yang kahwin dengan Saidatina Fatimah binti Nabi Muhammad s.a.w. Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad lahir di Bandar Qaidun, Hadhramaut, Yaman pada 14 Syawal 1301 H/7 Ogos 1884 M (Nik Yusri Musa, 2005).Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad bertugas sebagai Mufti Kerajaan Negeri Johor dari tahun 1934 1961. Mengenai nama ini hendaklah diperhatikan bahawa pada hujung nama sama-sama menggunakan 'al-Haddad'. Jadi bererti ada dua orang keturunan 'al-Haddad' yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Johor. Saiyid Alwi al-Haddad ialah seorang ulama yang berpendirian keras dan tegas mempertahankan hukum syarak. Gaya berhujah dan penulisannya banyak persamaan dengan yang pernah dilakukan oleh Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin Yahya al-Alawi, Mufti Betawi. Saiyid Alwi al-Haddad selain menyanggah pendapat dan pegangan Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati yang lebih keras dibantahnya ialah A. Hassan bin Ahmad Bandung (Nik Yusri Musa, 2005).Sebenarnya apabila kita meninjau sejarah pergolakan Kaum Tua dan Kaum Muda dalam tahun 1930-an itu dapat disimpulkan bahawa semua golongan 'Kaum Tua' menolak pemikiran A. Hassan Bandung itu khususnya Kerajaan Johor yang muftinya ketika itu Saiyid Alwi al-Haddad yang mengharamkan karya-karya A. Hassan Bandung di Johor. (Nik Yusri Musa, 2005)

3.2 KAUM MUDA3.2.1Syed Syeikh al HadiBeliau adalah reformis Islam yang ulung di Tanah Melayu yang memainkan peranan penting dalam memajukan sistem pendidikan negara, khususnya agama Islam. Ini termasuk sumbangannya memajukan pendidikan agama di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu seperti Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Tokoh berketurunan Arab yang lahir di Kampung Ulu Melaka pada tahun 1867 ini dikenali sebagai pelopor yang menyalurkan pemikiran dan falsafah perjuangan Kaum Muda. Hasil perjuangan itu, lahirlah sistem pengajian madrasah di Tanah Melayu.Pengasas Kaum Muda terdiri daripada Syed Syeikh Al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Mereka menganggap ajaran Islam harus menerima idea dan falsafah barat agar umat Islam mendapat kemajuan setanding dengan orang lain. Oleh itu, amalan sistem pengajian pondok yang mementingkan amalan keakhiratan saja mungkin ketinggalan zaman. Sistem pengajian itu juga memberi saingan kepada sistem pendidikan sekular yang dianjurkan oleh pejajah British. Sebaliknya sistem itu bertujuan melahirkan pelajar yang alim, berilmu, bertanggungjawab kepada diri, agama dan bangsa. Perjuangan Syed Syeikh dalam penyebaran dakwah Islam dan sistem pendidikan semakin ketara dalam usaha mendirikan Madrasah Al-Iqbal pada tahun 1907 di Selegie Road, Singapura. Madrasah Al-Iqbal didirikan untuk mengembangkan Islam, menyalurkan pemikiran menentang khurafat, membangunkan kembali sikap kritis umat Islam terhadap perubahan sekitar, khususnya kemodenan Barat. Walau bagaimana pun, madrasah Al-Iqbal kurang mendapat sambutan di kalangan masyarakat Islam dan dipindahkan ke Pulau Penyengat, Riau Lingga. Pada tahun 1916 Syed Syeikh Al-hadi kembali ke Melaka dan mendirikan Madrasah Al-Hadi di Bandar Kaba pada tahun 1917. Syed Syeikh Al-Hadi yang mendapat pendidikan agama dan akademik di Mesir mengunakan bahasa pengantar Arab di madrasah itu. Madrasah Al-Hadi telah menghadapi beberapa masalah. Di antaranya termasuklah masalah kewangan, pentadbiran, ketiadaan guru berkelayakan dan fenomena pemikiran masyarakat sekitar yang masih kolot. Ekoran daripada pelbagai masalah yang sering dihadapi menyebabkan Syed Syeikh Al-Hadi menutup madrasah itu pada tahun 1918. Sebab penutupan madrasah itu ialah pertentangan antara Kaum Muda dan Kaum Tua di Melaka. Selain itu, golongan anti Kaum Muda di Melaka turut memulau syarahan Syed Syeikh Al-Hadi. Pada tahun 1919, beliau berhijrah ke Pulau Pinang. Pertentangan di antara Kaum Muda dan Kaum Tua telah mencetuskan pergaduhan.Syed Syeikh Al-Hadi meninggal dunia pada Februari 1934 di Pualu Pinang.3.2.2Abu Bakar al- BaqirAbu Bakar bin Mohd Said dilahirkan pada tahun 1907 di Gunung Semanggol. Al-Baqir yang bermakna "amat pintar" adalah gelaran yang diberikan oleh gurunya kerana kepintarannya dalam pelajaran sejak kecil lagi. Sehingga kini beliau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung Semanggol dan pada tahun 1919 di Pondok Ar-Rahmaniah. Pada tahun 1924 di Pondok Da'irat Al-Ma'arif, Kepala Batas, Seberang Perai Utara. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir meneruskan pelajaran agama di Pondok Idrisiah, Kuala Kangsar dan kemudian menjadi ustaz pelatih di sekolah tersebut.Penglibatannya dalam persatuan-persatuan inilah yang menyebabkan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir amat rapat dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pemimpin PKMM, Dr. Burhanuddin Al-Helmy. PKMM ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di lpoh, Perak. Usaha pembaharuan pada akhir tahun 1920an, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah membuka kelas pendidikan Islam bernama Kanzal Ma'arif. Berlainan dengan sistem menadah kitab yang diamalkan pada masa itu, kelas-kelas ini memperkenalkan sistem perbincangan dan perbahasan bahan-bahan pengajian ilmu pengetahuan. Pada peringkat ini juga Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah terdedah dengan pemikiran Kaum Tua dan Kaum Muda. Disebabkan pengaruh gurunya serta pendedahan beliau di madrasah-madrasah yang digerakkan oleh gerakan Islah yang mewakili Kaum Muda, beliau lebih cenderung ke arah pendekatan pembaharuan.

4.0 SUDUT POSITIF DAN NEGATIF KEPELBAGAIAN ALIRAN DI MALAYSIA DAN PENERIMAAN MASYARAKAT.4.1 Sudut PositifTidak dinafikan bahawa kepelbagaian aliran pemikiran ulama mempunyai sudut pandangan positif antaranya ialah dengan kepelbagaian aliran pemikiran ulama di Malaysia mampu melahirkan pelbagai idea dan pandangan positif tentang sesuatu perkara. Masyarakat akan menilai pemikiran yang pelbagai dan mengambil pandangan yang positif sebagai panduan. Kepelbagaian aliran ini juga akan membuka ruang ke arah perkembangan ilmu pengetahuan. Masyarakat akan memberi pelbagai pandangan dan membuat kajian mengenai sesuatu isu yang diketengahkan. Keadaan ini akan menjadikan masyarakat lebih berilmu dan matang dalam membicarakan sesuatu isu.4.2 Sudut NegatifTidak dinafikan bahawa kesatuan umat Islam yang utuh merupakan asas utama kepada keharmonian dan kekuatan umat Islam sejak zaman berzaman. Oleh itu, perpecahan dan kacau bilau dalam masyarakat Islam adalah menjadi sebab utama kepada kelemahan dan kemunduran umat Islam. Di antara punca-punca utama yang mengundang perpecahan dan ketidaksepakatan umat Islam masa dulu dan kini ialah salah faham terhadap konsep mazhab fiqh serta kejahilan sebab-sebab yang mengundang kepada perselisihan pendapat ulama dalam isu-isu fiqh. ( Saadan Mat, 2009)Kesan negatif lain contohnya sikap keterlaluan reformis dalam memberi perhatian kepada sesuatu aspek perjuangan sehingga terlajak dari batas-batas yang sepatutnya. Akibatnya, reformasi itu sendiri membawa masalah baru di samping tidak mampu menyelesaikan masalah lama. Yusuf al-Qaradawi dalam karyanya al-Ijtihad al-Muasir, ada menyebut beberapa kesalahan umum dalam melakukan ijtihad kontemporari sebagai salah satu dari agenda islah. Antara kesalahan-kesalahan tersebut ialah kurang memahami realiti dan keterlaluan dalam memberi perhatian kepada sesuatu persoalan. Cara terbaik bukanlah menyogok masyarakat dengan fatwa-fatwa baru yang kontroversial, tetapi sebaliknya mendidik masyarakat secara sederhana ke arah perubahan paradigma tentang konsep hukum dan pemikiran fiqh itu sendiri. ( Saadan Mat, 2009)

Dalam sejarah Islam, ramai reformis yang menjadi korban kepada langkah atau gerakan reformasi yang mereka anjurkan sendiri. Sebab yang paling utama ialah tabiat semulajadi manusia yang sukar untuk berubah. Di samping itu, perubahan juga biasanya mengancam kedudukan pihak-pihak tertentu, dan kerana itu ia ditentang sama ada dipercayai tidak benar atau sebaliknya. Daripada fahaman ini maka terbentuklah pengikut-pengikut yang taksub kepada satu-satu aliran, akhirnya ketaksuban ini menghalang perpaduan ummah.

Kuwujudan pelbagai aliran pemikiran ini juga menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat awam dalam memahami agama. Perkara ini mendatangkan kesan yang lebih memudharatkan berbanding kebaikan. Golongan ulama dan umara seharusnya menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam menangani masalah ini. Siasah negara juga tergugat dengan pengikut-pengikut aliran fahaman yang taksub tetapi tanpa ilmu pengetahuan yang kukuh.

4.3 Penerimaan Masyarakat

4.3.1 Penerimaan terhadap kaum tua. Sumbangan ulama kaum tua dalam memartabatkan ajaran Islam dalam masyarakat adalah besar dan meliputi sumbangan kepada golongan pemerintah dan masyarakat umum. Sungguhpun ulama' tradisional mengambil Mazhab Shafi'i sebagai asas dalam tafsiran hukum dan fatwa bukanlah bermakna mereka tidak berijtihad, tetapi ijtihad mereka masih berada dalam kerangka mazhab dan menggunakan kaedah Usul al-fiqh.(Nor Hasanuddin,2012)Mungkin ijtihad mereka sangat menyumbang kepada perkembangan perundangan negara pada peringkat awal ialah pengkanunan undang-undang Islam untuk keperluan pelaksanaan pemerintah dimulai dengan Kanun Melaka pada 1444, kemudian diikuti dengan negeri-negeri lain seperti Pahang, Kedah dan lain-lain. Demikian juga ijtihad mereka dalam memilih amalan-amalan kerohanian untuk mengukuh hubungan masyarakat dan sosial seperti zikir-zikir kematian dan talqin, upacara-upacara keagamaan seperti mengingati kelahiran Nabi Muhammad S.A.W., tahun baru Islam, hari Asyura dan lain-lain.Selain itu mereka mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi. Hal ini dapat dilihat dalam usaha mereka mengembangkan bahasa Melayu dengan huruf Arab dalam bidang penyampaian ilmu dan pentadbiran negara, mereka juga amat menghormati budaya bangsa dalam berpakaian dan berda'wah . Mereka tidak membawa balik budaya Arab dalam berpakaian, tetapi melahirkan bentuk pakaian Islam yang bercorak budaya Melayu, seperti baju Melayu misalnya dan tidak membawa purdah untuk wanita. Mereka tidak menyekat wanita dari terlibat dalam kegiatan masyarakat sama ada untuk kepentingan duniawi seperti dalam ekonomi, pertanian dan perusahaan, begitu juga dalam sosial seperti gotong-royong dalam majlis kenduri, perayaan-perayaan keagamaan dan menyelesaikan keperluan masyarakat. Mereka juga tidak disekat daripada terlibat dalam kegiatan keilmuan dan kegiatan kerohanian seperti menghadiri majlis-majlis agama dan solat berjama'ah di masjid.Sumbangan ulama kaum tua dalam pembentukan budaya dalam masyarakat juga tidak dapat dinafikan. Budaya dalam majlis perkahwinan umpamanya, aspek agama turut diterapkan dan juga budaya seperti hiburan selawat dan paluan rebana diperkenalkan, majlis persandingan diadakan sebagai satu bentuk pengisytiharan perkahwinan dan persediaan jamuan makan serta buah tangan untuk tetamu. Demikian juga dalam pertukangan, perubatan, perbomohan dan perbidanan, ilmu mempertahankan diri, budaya berkhatan anak serta majlis khatam al-Qur'an. Karya-karya penting sepertiTafsir Baidawi,Ihya' Ulum al-Dinyang diberi judulSiyar al-Salikin, Bidayah al-Hidayahdengan tajukHidayah al-Salikinkarya Abdul Samad al-Falanbangi, demikian juga kitab-kitab lain sepertiMatlaat Badrain, furu' al-Masailoleh Sheikh Dawud dan lain-lain. Manakala karya dalam bahasa Arab pula didapatiTafsir al-Qur'andanMaraqiy al-UbudiyyahulasanBidayat al-Hidayahkarya Sheikh al-Nawawi al-Jawi.Dalam perundangan, mereka turut memberi sumbangan dalam bentuk susunan Kanun untuk pentadbiran keadilan pemerintah yang berbeza dengan penulisan buku-buku fiqh. Ulama kaum tua mengambil mazhab Shafi'i sebagai asas tafsiran hukum untuk kegunaan pemerintah dan masyarakat awam. Melalui pendekatan ini, memudahkan masyarakat memahami Islam dan memudahkan pemerintah melaksanakan Islam di peringkat negara. Dalam amalan keagamaan juga dari sudut fiqh umumnya berasaskan mazhab Shafi'i dan dalam kerohanian dan tasawwuf diambil pemikiran al-Ghazali dan al-Nawawi.Hasil daripada usaha ulama kaum tua yang menggunakan pendekatan dakwah mendampingi pemerintah dan rakyat telah memberi kesan yang sangat besar terhadap Islam dan pembangunan umat. Islam dapat bertapak dalam pemerintahan, bahasa Melayu dan budaya Melayu dapat menjadi alat perpaduan. Begitu juga tafsiran Islam yang seragam dalam bidang hukum di peringkat pemerintah dan rakyat dapat mengukuhkan perpaduan umat dan memudahkan pemerintah melaksanakannya. Umat Melayu bersatu menjadi umat yang kuat, menjadi tonggak kepada kedaulatan negara dan Islam dijadikan agama negara serta turut menjadi salah satu daripada ciri-ciri orang Melayu.Pendekatan penyebaran ilmu yang diasaskan oleh ulama kaum tua diwarisi oleh ulama-ulama kemudian yang terdidik di Al-Azhar dan Mekah dengan meneruskan pegangan amalan hidup keagamaan kepada mazhab Shafi'i dan menggunakan ijtihad dalam perkara-perkara yang diperlukan oleh masyarakat berasaskan kerangka mazhab mu'tabar dan kaedah usul al-fiqh.

4.3.2 Penerimaan terhadap aliran pemikiran kaum muda.

Terdapat golongan masyarakat yang menerima aliran pemikiran kaum muda contohnya Jemaah al-Quran Malaysia dan Sisters in Islam. Bagi golongan ini, pada masa sekarang, pemahaman terhadap ajaran Islam boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang mampu memahami bahasa Inggeris, khususnya dengan membaca bahan rujukan ajaran Islam yang dihasilkan oleh sarjana barat. Kemudiannya menolak hadith Rasulullah sebagai salah satu sumber hukum Islam yang berautoriti bagi memperincikan kandungan al Quran. Hadith bagi mereka adalah ciptaan ulama Islam pada abad kedua hijrah yang dinisbahkan kepada Rasulullah S.A.W. sebagai cara untuk mendapatkan pengesahan autoritinya.(Basri Ibrahim, 2010)Contoh lain ialah penganut fahaman Liberalis, berasal daripada Indonesia, yang menyebarkan fahaman mereka kepada penganut Islam di Malaysia. Walaupun pengaruh fahaman ini belum mendapat perhatian daripada penganut Islam di Malaysia, terdapat kebimbangan sesetengah pihak bahawa ianya akan turut dipegang oleh penganut Islam di Malaysia. Paradigma golongan ini lebih berupa penggunaan alat analisis terhadap permasalahan umat Islam semasa, yang secara terang-terangan mencabar metodologi sarjana Islam silam (pandangan bermazhab) dan terpengaruh dengan metodologi barat era pasca-kolonialisme.(Hafiz Hamzah,2004)Antara isu yang dibangkitkan dalam penganut fahaman ini ialah isu penentangan terhadap pendekatan teokrasi, iaitu kepentingan mewujudkan fahaman tajdid Islam baru yang gagal disentuh secara bijak oleh ulama Islam silam, isu cabaran tafsiran ulama silam, khususnya dalam bidang tafsir al Quran dan isu pluralism agama, yang menganggap semua agama adalh sama di sisi tuhan dan boleh membawa kesejahteraan kepada umat manusia.5.0 CADANGAN PENYELESAIAN KEPADA KEADAAN NEGATIF KEPELBAGAIAN METHOD DAN ALIRAN ULAMA DI MALAYSIA.

Menurut al-Qaradawi, umat Islam perlu menunjukkan sikap yang baik di dalam berdepan dengan perbezaan pendapat dalam aliran pemikiran, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh generasi awal Islam terdahulu. Antara sikap yang dicadangkan beliau dalam menghadapi perbezaan pendapat ialah: Menerima Perbezaan Pendapat Sebagai Satu Perkara Daruri. Umat Islam perlu menerima perbezaan pendapat dalam perkara cabang fiqh, sebagai satu perkara daruri dan penting, bahkan merupakan realiti yang tidak dapat dielakkan. Jangan cuba menghapuskannya atau menyempitkan ruang lingkupnya. Menerima Perbezaan Pendapat Sebagai Satu RahmatUmat Islam perlu menerima perbezaan pendapat dalam perkara cabang fiqh, sebagai satu rahmat dan keluasan. Mereka boleh memilih pendapat yang paling kuat. Apalagi Allah S.W.T mensyariatkan hukum untuk menegakkan maslahah para hambaNya di dunia dan juga Akhirat. Menerima Perbezaan Pendapat Sebagai Satu PerbendaharaanUmat Islam perlu menerima perbezaan pendapat sebagai satu perbendaharaan. Perbezaan pandangan ijtihad mengaya, memperkembang dan juga meluaskan lagi khazanah fiqh. Ini memandangkan setiap pendapat berdasarkan kepada dalil-dalil dan perkiraan-perkiraan syarak yang dicetuskan oleh akal-akal manusia yang berwibawa, yang berijtihad, mengeluarkan hukum, membuat perbandingan, mengadakan penilaian, membuat perseimbangan dan pemilihan, seterusnya mengemukakan asas-asas, meletakkan kaedah-kaedah dan mewujudkan berbagai cabang dan permasalahan. (Basri Ibrahim, 2010)

Umat Islam perlu menunjukkan sikap yang baik di dalam berdepan dengan perbezaan pendapat dalam aliran pemikiran, panduan mengenai adab-adab berselisih faham, antaranya ialah:

Berlaku Adil Kepada Orang Yang Tidak SehaluanOrang Islam yang sebenar ialah yang menghukum berdasarkan kepada keadilan dan berlaku adil kepada semua orang, baik yang baik mahupun yang jahat, baik yang Islam mahupun yang bukan Islam, baik yang dekat mahupun yang jauh dan baik kawan mahupun lawan. Bekerjasama Di Dalam Perkara Yang DisepakatiAliran-aliran pemikiran yang berbeza ini, tidak berselisih pendapat di dalam semua perkara. Mereka hanya berselisih pendapat dalam beberapa isu tertentu, tetapi bersepakat di dalam isu lain dan ini sudah menjadi satu sunnah Allah ke atas para makhlukNya.

Berdialog Dengan Cara Yang BaikUmat Islam diperintahkan supaya sentiasa berdialog dengan golongan yang tidak sehaluan, hatta dalam perkara akidah. Kalau dialog boleh dilakukan dalam perkara usul, bagaimana ia tidak boleh dilakukan dalam perkara cabang fiqh? Umat Islam diperintahkan berdialog dengan menggunakan cara yang terbaik, uslub yang paling utama dan ungkapan yang paling lembut. Mengadakan dialog serta perbincangan yang tertutup bagi ahl-ahli kumpulan ini bagi memastikan mereka benar-benar mengikut syariah yang telah ditetapkan serta memastikan mereka tidak menganggu ketenteraman awam. (Basri Ibrahim, 2010)Memberi pendedahan yang berterusan kepada rakyat mengenai wujudnya aliran pemikiran ulama yang berbeza di Malaysia. Pendedahan sebegini penting supaya mereka mengenali pengamal aliran yang berbeza dan bersedia menghadapi situasi begini serta tidak mudah terpedaya. Program yang boleh dilaksanakan antaranya kursus-kursus atau bengkel-bengkel yang berkaitan dengan aliran pemikiran kaum tua dan muda. Memantau serta mengawal pergerakan kumpulan-kumpulan aliran supaya tidak menyebarkan pemikiran mereka yang bertentangan dengan aliran ahli sunnah wal jamaah.

PENUTUPKepelbagaian method dan aliran ulama di Malaysia adalah satu fenomena yang berterusan dan tidak mampu bagi umat Islam ketika ini untuk mewujudkan satu aliran yang boleh diikuti oleh umat Islam seluruhnya. Perbezaan ini kadang-kala menimbulkan ketegangan dan perselisihan yang sememangnya tidak dibenarkan dalam syariah Islam. Kewujudan aliran pemikiran yang ekstrem dan mendakwa mereka paling benar boleh menggugat keharmonian dan ketenteraman umat Islam. Menurut Feisal Abdul Rauf (2004), pemikiran Islam yang ekstrem menakutkan golongan bukan Islam dan perkara ini merugikan dakwah Islamiyah.

Umat Islam di Malaysia yang sekian lama disuburkan dengan aliran Ahli Sunnah Waljamaah dan mazhab Syafie menjadi sedikit terganggu dan tidak kurang sebahagian kecil umat Islam dipengaruhi oleh aliran yang ini. Peningkatan ilmu agama berteraskan al-Quran dan As Sunnah serta pendedahan yang meluas mengenai kepelbagaian aliran pemikiran ulama-ulama ini dilihat sebagai kaedah terbaik untuk mewujudkan keharmonian dan ketenteraman berterusan umat Islam khususnya di Malaysia.

BIBLIOGRAFI

Ahmad Faidzurrahim. (2013). Darah Wahabi. Yamani Angle Sdn. Bhd.24

Basri Ibrahim. (2010). Perbezaan pendapat dalam perkara cabang fiqh: analisis terhadap pandangan al Qardhawi. Jurnal Syariah, Jil. 18, Bil. 1 (2010) .191-228

Feisal Abdul Rauf. (2004). Whats right with Islam. Harpersan Francisco. 251

Hafiz Hamzah. (Oktober,2004). Jamaluddin al Afghani Pencetus reformasi perpaduan ummah. Al Islam. Utusan karya Sdn. Bhd.26-27

Muhammad Yusuf Khalid. (2013). Wahabi sesatkah mereka (Hersi Mohamad Hilole, Terj). PTS Millenia Sdn. Bhd. 20

Nik Yusri Musa. (2005). Prosiding Nadwah Ulama 3. Bangi: Fakulti Pengajian Islam UKM.538

Tiada Pengarang. (Januari,2004). Ulama wahhabi kafirkan orang Islam bertaubat. Al Islam. Utusan karya Sdn. Bhd. 6

Ridzuan Ahmad. (2012). Fiqh Imam Syafie. PTS Millenia Sdn. Bhd. 170-171

Nor Hasanuddin, et.al. (2012). Ensiklopedia Imam Al Syafie (jilid 1). (Akram Yusuf Umar al Qawasimi,Terj). al Hidayah Publication. 325-326.

Saadan Man, et.al. (2009). Kesesuaian pemikiran dan amalan mazhab selain Syafii dalam masyarakat Islam di Malaysia : Satu analisis awal. Jurnal Fiqh, No. 6 (2009) 21-40

Zamihan al-Ghari. (2007). Ulama-ulama Wahhabi "Satu Penjelasan". Johor: Jabatan Mufti Johor.5.

Ahmad Fadhli bin Shaari.(2008).Polemik tafsir dian tara kaum tua dan muda. http :// yapis. blogspot. com/2006/11/polemik-tafsir-di-antara-kaum-tua-dan.html.Retrieved 7.6.2013

Wan Mohd. Shaghir Abdullah. (2008). Ulama nusantara. ulama-nusantara.Blogspot.com/2006/11/abu-bakar-muar-benteng-pertahanan-kaum.html.Retrieved 16.6.20134AMSH5103 Isu kontemporari dalam pengajian hadis [ pemikiran kaum muda dan kaum tua ]- Puspa Adam