Post on 15-Jan-2016
description
MODUL 12
KESINAMBUNGAN DAN PERUBAHAN
Membuat Kerajaan Di Johor
252
Objektif
1. Mengesan pergerakan dan perjuangan Sultan Mahmud dan zuriat-
zuriat baginda selepas berundur dari Melaka.
2. Menjelaskan kedudukan Johor-Riau sebagai pewaris Kesultanan
Melayu Melaka.
3. Menghuraikan ciri-ciri kesinambungan dan perubahan dalam kerajaan
Johor-Riau.
4. Meninjau kebangkitan Acheh dan kesan serta pengaruhnya ke atas
Johor dan Melaka.
Sebenarnya kekalahan/kejatuhan bandar Melaka ke tangan Portugis pada T.M. 1511,
bukanlah bererti keseluruhan tanah jajahan takluk Empayar Melayu Melaka dapat
pula dikuasainya. Malah Tun Seri Lanang (Sulalatus Salatin, 1612) tatkala
mencatatkan perbahasan antara pegawai-pegawai Kampar dengan sultan mereka, iaitu
Sultan Abdullah (menantu Sultan Mahmud?) yang berura-ura hendak berbaik-baik
dan menyebelahi Portugis/Feringgi, menyebut para pegawai itu sebagai berkata,
“Pada perasaan patik sekalian, jalan yang mana duli tuanku hendak mufarik dengan
paduka ayahanda? Kerana patik sekalian dengar, sebuah anak sungai pun tiada
terambil oleh Feringgi; sekaliannya mengadap paduka ayahanda ke Bintan.”
Kenyataan ini menjelaskan bahawa Sultan Mahmud masih sultan, atau Yang
Dipertuan bagi sebuah empayar Melayu dengan pelbagai jajahan takluknya,
termasuklah Johor-Riau. Kenyataan ini juga melambangkan bahawa Johor-Riau
ataupun beberapa bahagian daerahnya, pernah menjadi sebahagian daripada Empayar
Melayu Melaka yang agung itu. Oleh kerana itu bukanlah merupakan satu
kejanggalan, apabila Melaka alah (1511) raja-raja Melaka dan pengiring-pengiring
telah berundur ke Johor (Batu Hampar, Ulu Muar, Pagoh, Bentayan), kemudian
melalui Penarikan mereka ke Pahang. Selepas itu mereka ke Kopak (Bentan) dan
setelah Kopak diserang, dibakar serta dimusnahkan Portugis, mereka pindah pula ke
Kampar, Sumatera. Setelah Sultan Mahmud mangkat di Kampar pada T.M. 1528 dan
permaisuri baginda lebih awal sedikit dari tarikh tersebut, putera gahara baginda, iaitu
Raja Ali yang telah ditabalkan sebagai Sultan Alauddin Riayat Syah telah “keluar”
dari Kampar, pergi ke Pahang dan akhirnya membuat atau membuka kerajaan/negeri
di Kuala Johor. Ini berlaku kira-kira dua tahun selepas kemangkatan ayahanda
baginda, iaitu kira-kira T.M. 1529/1530. Walau bagaimanapun menurut Valentijn
253
menyebut bahawa selepas kekalahan Melaka kepada pihak Portugis Sultan Mahmud
telah berundur ke bahagian timur-laut Ujong Tanah, membuat kota di situ dan
menamakannya Johor. Pandangan ini hampir sama dengan yang diutarakan oleh Raja
Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis yang mengatakan bahawa setelah Melaka alah, Sultan
Mahmud dan rombongan telah berundur ke Hulu Muar, lalu ke Penarikan, berjalan ke
Hulu Pahang dan terus ke Pahang. Maka tiada berapa lama baginda itu di Pahang
pindahlah pula ke Johor lalu membuat negeri di situ. Walau bagaimanapun, Raja Ali
Haji mengatakan bahawa”… pada zaman Johor pula keturunan raja-raja Melayu itu
iaitu: yang pertama Sultan Alauddin Riayat Syah, iaitu putera Sultan Mahmud yang
tersebut itu. Sulalatus Salatin versi Raffles pula menyebut tentang adanya Sayong
sebelum Sultan Alauddin membuat negeri di Kuala Johor itu dan baginda hanya
“kembali ke Ujong Tanah, bersemayam di Pekan Tua dan membuat kota di tebing
sungai Johor ke hulu Sungai Telor,” iaitu selepas perkahwinan baginda dengan puteri
Kesuma Dewi di Pahang.
Johor-Riau Sebagai Waris
Apa yang dapat dirumuskan daripada catatan-catatan di atas itu ialah bahawa Johor-
Riau adalah pewaris Empayar Melayu Melaka. Ia telah didirikan sebagai tampok atau
pusat pemerintahan atau kekuasaan Melayu yang berwibawa sekitar dekad ketiga atau
keempat abad keenam belas Masehi itu. Ini meninggalkan ruang waktu yang sangat
pendek bagi era yang disebut sebagai pra-Kesultanan Johor itu; jikalau pun tempoh
ini wujud, maka perkiraannya bermula dari T.M. 1511 dan berakhir pada T.M. 1530-
an apabila Sultan Alauddin dan zuriat-zuriat baginda menetap di Johor. Akan
254
kerajaan/kesultanan Johor itu, mengikut Muhammad Said Sulaiman, “… pada zaman
dahulu suatu kerajaan yang besar dalam Tanah Melayu. Maka bolehlah dikatakan
pemerintahan Johor pada masa itu hingga meliputi separuh Tanah Besar Melayu,
ialah sebelah baratnya sampai ke Melaka dan Selangor, sebelah utaranya sampai ke
Pahang dan Terengganu, sebelah Timur sampai ke Pulau Tioman dan Pulau-pulau
tujuh dan sebelah selatannya hingga ke Pulau Riau.
Sumber tempatan khususnya Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) telah
mencatatkan beberapa peristiwa yang berlalu dalam zaman kerajaan Johor itu. Selain
daripada menceritakan tentang kekalahan Melaka dan pengunduran mereka ke Bentan
melalui hulu Muar, Penarikan, Pahang dan Johor, dimuatkan juga peristiwa
pembunuhan “secara senyap-senyap”akan Sultan Ahmad atas perintah ayahandanya
sendiri, iaitu Sultan Mahmud. Kemudian baginda mengangkat Raja Muzaffar sebagai
Tengku Mahkota dan seterusnya membuat negeri di Kopak, berpindah dari Bukit
Batu Pelabuhan. Tetapi kedudukan Raja Muzaffar juga kemudiannya telah ditarik
balik iaitu setelah Tun Fatimah, permaisuri baginda melahirkan seorang putera yang
diberi nama Raja Ali timang-timangnya Raja Kecil Besar dan kemudiannya bergelar
Sultan Alauddin Riayat Syah (II). Seterusnya disebut juga langkah-langkah yang
diambil oleh Raja Kampar, iaitu Raja Abdullah menantu Sultan Mahmud yang ingin
berbaik-baik dengan Portugis dengan harapan pihak Portugis akan menyerahkan
Melaka dan segala jajahan takluknya kepadanya. Tetapi pihak Portugis yang diketuai
kaptan Mor telah menangkapnya dan setelah sampai ke Melaka dihantar pula ke Goa.
255
Seterusnya dicatatkan juga tentang beberapa pelantikan baru untuk mengisi
jawatan-jawatan yang telah kosong akibat peperangan dengan Portugis dan
pergerakan berundur itu. Upacara ini dilakukan setelah Sultan Mahmud sewaktu
baginda menetapkan pusat negeri/kerajaannya yang baru, iaitu di Kopak, Bentan.
Misalnya, Tun Khoja Ahmad, anak bekas bendahara tepok (Lubuk Batu) telah
dilantik menjadi bendahara, bergelar Paduka Raja. Tun Abu Ishak, dijadikan Perdana
Menteri, bergelar Seri Amar Bangsa. Tun Hamzah, anak Seri Nara Diraja yang
selamat daripada terkena parang dalam tragedi pembunuhan Bendahara Seri Maharaja
Tun Mutahir, dijadikan Penghulu Bendahari bergelar Seri Nara Diraja juga. “Ialah
yang sangat dikasihi sultan tiada bandingnya zaman itu. Tun Mai Ulat bulu, tokoh
yang terkenal dengan pertelagahannya dengan gurunya Makhdum Sadar Jahan,
berhubung dengan pengajian dan sebutan perkataan dalam bahasa Melayu oleh
gurunya itu, dikekalkan sebagai Temenggung dengan gelaran Seri Udani. Kemudian
setelah Laksamana Khoja Hassan, yang turut terlibat dalam gerakan fitnah yang
mengakibatkan terbunuhnya Bendahari Tun Mutahir itu, mati “dengan
percintaannya,” Sultan Mahmud telah melantik Hang Nadim, menantu Hang Tuah,
menjadi Laksamana. Beliau itulah yang “sangat masyhur gagah berani dalam
peperangan, yang bertimbakan darah tiga puluh dua kali….”
Soalan Dalam Teks
Beri jawapan yang sesuai dengan soalan berikut:
256
1. Benarkah kuasa Portugis hanya berjaya menakluki bandar Melaka sahaja?
2. Apakah yang dilambangkan oleh kenyataan para pegawai Sultan Mahmud, "… kerana patik sekalian, sebuah anak sungai pun tiada diambil oleh Feringgi …?"
3. Jalan manakah yang dilalui oleh Raja Melaka dan rombongannya tatkala berundur ke Pahang?
4. Apakah nama kerajaan Melayu yang dianggap waris kepada Empayar Melayu Melaka?
5. Mengikut Tuhfat-al-Nafis, siapakah nama raja Johor-Riau yang pertama?
6. Di manakah Sultan Mahmud melakukan upacara pelantikan pegawai-pegawai baru setelah baginda berundur dari Melaka?
Peperangan Orang Melayu Dengan Portugis
Sultan Mahmud bersemayam di Kopak (Bentan) selama kira-kira 13 tahun (T.M.
1513-1526), iaitu sebelum Kopak itu dapat dikalahkan oleh pihak Portugis selepas
empat kali serangan (T.M. 1521, 1523, 1524 dan 1526). Setelah Kopak (Bentan) alah
dan dibinasakan oleh Portugis, Sultan Mahmud dan pengikut-pengikut berundur dan
bersemayam di Kampar. Di situ, Tun Fatimah telah meninggal dunia, Bendahara Tun
Khoja Ahmad juga meninggal dunia dan kemudian, pada T.M. 1528, Sultan Mahmud
juga telah mangkat.
Sultan Mahmud telah digantikan oleh puteranya yang bertakhta dengan
gelaran Sultan Alauddin Riayat Syah (1528-1564) yang telah keluar dari Kampar dan
akhirnya membuat negeri dan berkerajaan di Johor (Pekan Tua). Ini menampakkan
257
bahawa bagindalah sultan Johor yang pertama, iaitu seperti yang disebutkan di dalam
Tuhfat-al-Nafis itu. Bagaimanapun Hj. Buyong Adil, beranggapan bahawa Sultan
Mahmud, Raja Melaka yang terpaksa berundur akibat serangan Portugis itu adalah
Sultan Johor yang pertama kerana baginda telah menjadikan Pagoh sebagai tapak
pemerintahannya selepas Melaka. Namun itu hanyalah kedudukan sementara
sebelum baginda berpindah ke Kapok (Bentan) dan kemudian Kampar.
Peperangan juga berlaku antara Sultan Mahmud dan orang-orang Portugis
iaitu selepas kejatuhan Melaka itu. Suasana permusuhan itu memang ada
digambarkan di dalam Sulalatus Salatin itu, malah kekejaman pihak Portugis dalam
melakukan serangan ke atas orang-orang Melayu dan keberanian serta kegagahan
orang-orang Melayu dalam mempertahankan negerinya ataupun melakukan serangan
ke atas Melaka juga ada dinyatakan di sana sini. Misalnya, kekejaman pihak Portugis
dalam serangan mereka terhadap Kopak; mereka menyerang, membakar dan sudah
tentulah membunuh, iaitu bermula dari Bengkalis, kemudian Pulau Bulang,
seterusnya “kota kara” dan akhir sekali Kopak. Namun jika dihitung, hanya dua
peperangan sahaja disebut iaitu perang Pagoh dan perang Kopak itu. Serangan pihak
Sultan Mahmud ke atas Portugis di Melaka hampir tiada disebutkan kecuali dengan
memberi imbasan bersabit dengan ketokohan dan kehandalan Hang Nadim tadi.
Pada hakikatnya peperangan di antara orang Melayu dan Portugis berlaku
terus menerus. Di satu pihak, iaitu pihak Melayu, mereka terus menerus memerangi
Portugis kerana ingin merampas semula kotaraya Melaka dari kekuasaan Portugis
lantas dengan itu akan dapat menempatkan semula pusat pemerintahan/pentadbiran
258
empayar tersebut di situ. Pihak Portugis pula sentiasa memerangi orang Melayu
kerana ingin mengekal serta mengukuhkan kedudukan mereka di sebuah pelabuhan
yang menurut pandangan mereka sangat mewah dan strategik. Oleh yang demikian
tidaklah hairan jika Sultan Mahmud dan pengikut-pengikut baginda telah melakukan
tidak kurang daripada lima kali serangan ke atas orang-orang Portugis di Melaka
(T.M. 1512, 1516, 1519, 1521). Usaha baginda diteruskan pula oleh puteranya ialah
Alauddin Riayat Syah, antaranya telah melancarkan serangan terbesar ke atas
Portugis di Melaka pada T.M. 1551. Dengan bantuan perahu dan askar dari Perak,
Pahang dan Japara, terdiri dari 200 buah perahu dan 5,000 perajurit, baginda telah
mengepung Melaka selama tiga bulan.
Di pihak Portugis pula mereka telah memerangi pihak sultan Mahmud
sejumlah tidak kurang dari sepuluh kali, iaitu Bertam (Sept. 1511), Pagoh (Disember
1511), Pagoh (Julai/Ogos 1512), Pagoh (1519), Pagoh (1520), Bentan (1521), Bentan
(1523), Bentan (1524), Bengkalis (Okt. 1526), Pulau Bulang (Nov.? 1526), Kota
Kara, Bentan (Nov.1521), Kopak, Bentan (Dis.? 1526); Pekan Tua (Jun 1535),
Sayung (1536). Dan sesungguhnya permusuhan dan peperangan itu berterusan pula
hingga ke zaman pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah II (1586-1567,
1589).
Perubahan dan Kesinambangan
Pada mulanya orang-orang Melayu/Melaka menduga pihak Portugis akan
meninggalkan kota Melaka setelah mereka selesai merampas, merompak, menyamun
259
dan membunuh di situ terutamanya terhadap orang-orang Melayu dan mereka yang
beragama Islam. Oleh kerana itulah Sultan Mahmud hanya berundur ke Batu Hampar
dan Sultan Ahmad ke Bertam – kedua-duanya terletak tidaklah begitu jauh dari
bandar Melaka. Dengan firasat yang demikian, mereka tidak menjangka, malah tidak
berhajat, untuk “membuka” atau menjadikan Johor sebagai pusat pemerintahan yang
baru menggantikan kota Melaka dan mewarisi semua tradisi empayar itu. Tetapi
anggapan mereka tidak tepat kerana pihak Portugis ingin menetap di Melaka. Oleh
itu pihak Sultan Mahmud terpaksa memikirkan strategi alternatif bagi mengekalkan
kekuasaannya, keutuhan politik empayarnya dan juga kemasyhuran serta kemewahan
perdagangan yang pernah dinikmatinya di Melaka dahulu. Ertinya meneruskan
tradisi/budaya Melaka. Perpindahan baginda beserta pengikut-pengikut dari Melaka
ke Pahang, Johor, Bentan dan akhirnya ke Kampar, di samping berundur demi
keselamatan dari pihak yang datang menyerang bertubi-tubi, adalah juga mencari
tapak atau “negeri” bagi menggantikan kota Melaka itu.
Walaupun terpaksa berundur, tetapi hakikatnya baginda masih raja/sultan bagi
empayar yang agung itu. Pengunduran itu, walaupun dijangkakan sementara sahaja,
membawa juga bersamanya segala adat istiadat, cara berkerajaan dan berpolitik,
sistem kemasyarakatan yang terkenal berkelas atau “berbangsa-bangsa” itu, kegiatan
ekonomi, sikap atau psikologi kepahlawanan, pengorbanan, setiakawan dan sindir-
menyindir apatah lagi agama Islam yang telah terbentuk di sepanjang kelangsungan
Empayar Melaka itu. Semua itu adalah khazanah dan warisan yang akan ditempatkan
dan disuburkan semula di sebuah kesultanan “baru” yang merupakan waris kepada
Melaka. Dari satu segi perubahan tapak kerajaan adalah suatu perubahan lokasi yang
260
disertai dengan usaha menunju ke arah pemantapan semula kesultanan Melayu di
tapak yang baru itu. Dan salah satu unsur atau faktor yang berupaya serta
mewajarkan pemantapan semula itu ialah raja/sultan itu sendiri. Oleh itu benar dan
nampaklah kebijaksanaan Seri Nara Diraja, Tun Hamzah, apabila beliau meminta
Sultan Mahmud berundur dari Kopak dan mengatakan, “… hanya pada kali ini
tiadalah Duli Yang Dipertuan patik beri mati dengan negeri Kopak ini…”.
Sedangkan sebelum itu, Sultan Mahmud sudah bersedia memimpin bala tenteranya
dan berkorban untuk mempertahankan negerinya, “…kerana istiadat raja-raja itu,
negeri alah rajanya mati.
Kemunculan kuasa Acheh
Dalam pada itu pada masa pihak pewaris Melaka sedang hebat menjalankan usaha
menentang Portugis. Acheh muncul sebagai pusat perdagangan bagi orang Islam
yang datang dari Gugusan Kepulauan Melayu, Asia Barat, India dan juga negara-
negara di rantau ini. Acheh dan Johor mula bermusuhan. Semasa di bawah
pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah (lebih kurang 1537-1571) Acheh telah
menyerang Johor beberapa kali.
Portugis juga menjadi musuh Acheh serta Johor. Maka bermulalah perang
tiga penjuru yang merupakan persaingan untuk membolot perdagangan di Selat
Melaka. Tetapi Acheh mempunyai cita-cita yang lebih luas daripada Portugis.
Acheh ingin mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa politik utama di Selat
Melaka, menggantikan Johor.
261
Pada tahun 1536, Portugis menyerang Johor. Banyak kapal orang Johor
dibakar. Tetapi kerana bimbang ancaman Acheh, Johor telah berdamai dengan
Portugis selepas serangan itu. Persahabatan itu tidak kekal kerana pada tahun 1551,
berlaku lagi perang di antara Johor dengan orang Portugis. Johor mengepung Melaka
tetapi kemudian terpaksa berundur kerana kekuatan angkatan laut Portugis.
Soalan Dalam Teks
Berikan keterangan ringkas dan tepat mengenai soalan berikut:
1. Siapakah Hang Nadim yang telah dilantik oleh Sultan Mahmud sebagai Laksamana?
2. Berikan satu keterangan ringkas tentang kepentingan kota kopak.
3. Apakah keistimewaan Kampar dalam sejarah Melaka sekitar dekad 1520-an?
4. Beberapa kalikah peperangan yang dilancarkan oleh Sultan Mahmud dan waris-waris terhadap kuasa Portugis di Melaka?
5. Apakah yang dilakukan oleh orang-orang Portugis terhadap orang-orang Melayu setelah mereka mengalahkan bandar Melaka?
6. Apakah hasrat Sultan Mahmud dan waris-waris baginda setelah mereka menegakkan tapak pemerintahan dan pentadbiran yang baru selepas berundur dari Melaka.
7. Sebutkan khazanah dan warisan yang dibawa bersama oleh baginda dan rombongan ke tapak "kesultanan" yang baru itu.
8. Mengapakah T.M. 1641 dianggap sebagai satu tarikh yang memberi keistimewaan kepada Johor?
262
Selanjutnya, pada tahun 1564, Johor diserang pula oleh Acheh. Sultan
Alauddin dan keluarganya ditawan dan dibawa ke Acheh. Di sana, baginda mangkat
tetapi puteranya dibenarkan pulang ke Johor dan memerintah kerajaan itu dengan
gelaran Sultan Muzaffar Syah.
Persaingan tiga penjuru itu berterusan. Pihak yang paling lemah ialah Johor.
Pada tahun 1613, semasa Acheh diperintah oleh Sultan Iskandar Muda, sekali lagi
Acheh melanggar Johor. Acheh memusnahkan Batu Sawar di Sungai Johor. Sultan
Alauddin Riayat Syah (1597-1613) yang sedang memerintah kerajaan Johor bersama
keluarganya, termasuk saudaranya Raja Seberang (Raja Abdullah) serta beberapa
orang pembesar, dibawa ke Acheh. Raja Seberang dikahwinkan dengan puteri Sultan
Iskandar Muda dan seterusnya dihantar balik ke Johor untuk memegang teraju
pemerintahan dengan gelaran Sultan Hammat Syah, juga dikenali sebagai Sultan
Abdullah.
Sultan Hammat Syah mengambil langkah untuk memperkuatkan
kedudukannya. Oleh sebab takutkan Acheh, Sultan Hammat Syah juga mewujudkan
persahabatan dengan Portugis di Melaka. Ini membolehkan baginda mengusir orang
Acheh dari Johor. Sementara itu, baginda berpindah ke Bentan kerana Sungai Johor
dianggap kurang selamat. Tidak lama kemudian, baginda berpindah lagi dan pada
kali ini berpindah ke Lingga.
263
Di Lingga, Sultan Hammat Syah cuba memajukan perdagangan. Johor
berjaya menarik kapal-kapal dari Siam, Patani, Jawa dan Makasar datang ke
pelabuhannya. Beras dan berbagai-bagai barangan dibawa ke pulau itu. Dari sana,
barangan itu dieksport ke Melaka. Dengan perdagangan yang semakin berkembang,
Sultan Hammat Syah berjaya meningkatkan kekuatan kerajaannya. Malangnya, pada
tahun 1623, Acheh sekali lagi berjaya memusnahkan ibu kota Johor. Sultan Hammat
Syah terpaksa melarikan diri ke Pulau Tambelan, dan baginda mangkat di sana.
Pengganti Sultan Hammat Syah ialah Sultan Abdul Jalil (1623-1766). Pada
masa itu kerajaan Johor muncul kembali sebagai pusat perdagangan yang maju. Satu
faktor yang membantu Johor ialah ketewasan Acheh dalam satu pertempuran besar
dengan Portugis pada tahun 1629. Ini memberi peluang kepada Johor untuk
memulihkan kekuatannya di alam Melayu. Walaupun ancaman daripada Acheh
belum pudar sama sekali, namun kekuatan Acheh, sebagaimana yang telah
disebutkan, mula merosot selepas Sultan Iskandar Muda mangkat pada tahun 1636.
Pada tahun 1641, dua peristiwa berlaku yang memberi keistimewaan kepada
Johor. Sultan Iskandar Thani mangkat dan Acheh selanjutnya, sehingga hujung
kurun ke-17, diperintah oleh raja-raja perempuan. Melaka pula ditawan oleh Belanda
yang telah mendapat bantuan penting daripada Johor. Sehingga tahun 1699, Johor
terus makmur walaupun diserang oleh Jambi pada tahun 1673. Ramai pedagang dari
beberapa buah negara berkunjung ke Johor. Pembesar-pembesar Johor seperti
Bendahara, Temenggung, Laksamana dan Raja Indra Bongsu menjadi sangat kaya
dan berpengaruh. Menurut laporan Belanda pada tahun 1687, pelabuhan Riau
264
sentiasa penuh sesak kerana begitu banyak kapal datang ke sana. Barang-barang yang
dapat dibeli di Riau termasuklah sutera dari China dan benang emas serta candu dari
Jepun. Keadaan ini seolah-olah menampakkan adanya kesinambungan kerana
pemerintah yang berketurunan Melaka telah dapat mengwujudkan semula keadaan
kemakmuran seperti Melaka dahulu seperti mana mereka juga dapat meneruskan
suasana sosial dan politiknya.
Walau bagaimanapun perubahan tetap berlaku, terutamanya dari segi lokasi
dan waktu itu. Begitu juga dari kehadiran kuasa-kuasa Eropah, khususnya Portugis
dan kemudiannya Belanda, serta kemunculan kuasa Acheh yng mengeruhkan serta
menggentingkan lagi suasana politik di Selat Melaka dan perairan Johor-Riau itu.
Sedikit sebanyaknya ini telah melemahkan kuasa dan kekuatan kerajaan Johor.
Keadaan ini membolehkan pula negeri-negeri seperti Perak, Pahang, Terengganu
yang dahulu dapat dikuasai dengan kukuh oleh Melaka, menonjolkan diri masing-
masing. Bagaimanapun negeri-negeri tersebut didapati masih banyak mengekalkan
unsur-unsur sosiopolitik dan agama berupa warisan dari zaman Empayar Melayu
Melaka.
Soalan Penilaian
1. Kekalahan bandar Melaka ke tangan Portugis pada T.M. 1511, bukanlah bererti kekalahan keseluruhan Empayar Melayu Melaka. Bincangkan.
2. Huraikan faktor-faktor dan unsur-unsur yang menandakan bahawa Kerajaan Johor-Riau itu adalah pewaris Empayar Melayu Melaka.
265
3. Kemunculan Acheh di persada kekuasaan Selat Melaka telah menimbulkan persengketaan dengan Johor dan Melaka. Jelaskan.
266