Post on 24-Dec-2015
description
1.0 Pengenalan
Boneka adalah sejenis permainan kanak-kanak. Ia dibentuk dalam dua atau tiga dimensi.
Menurut kamus pelajar, boneka membawa maksud barang permainan yang menyerupai orang
atau patung orang. Menurut kamus Dewan Bahasa Edisi ke 4 pula, mentakrifkan boneka
sebagai anak patung, anak-anakan. Patung yang boleh digerakkan dengan menggunakan tali
atau dengan memasukkan tangan ke dalam dan menggerakkannya manakala menurut
Wikipedia, Ensiklopedia Bebas pula, boneka berasal daripada perkataan Portugis iaitu boneca
yang bermaksud sejenis mainan yang berbentuk pelbagai terutamanya manusia, haiwan, dan
tokoh-tokoh. Kamarudin Husin dan Siti Hajar Abdul Aziz (1998) dalam Rafiza Abdul Razak
mendefinisikan boneka sebagai objek atau bahan yang digerakkan serentak dengan skrip
bebas yang disesuaikan dengan bahan yang diceritakan. Secara keseluruhannya boneka
didefinisikan sebagai sebarang benda atau objek yang digerak dan dilakonkan oleh pemain
sama ada secara sentuhan atau arahan yang bertujuan bagi menyampaikan mesej tertentu.
Pemain akan cuba menghidupkan watak sama ada menerusi dialog yang dipertuturkan oleh
pemain atau aksi boneka tanpa sebarang dialog. Boneka juga berperanan sebagai alat untuk
menyampaikan cerita dengan berkesan. Secara tidak langsung pendengar dapat menghayati
disamping melibatkan diri secara tidak langsung melalui penggunaan boneka.
Di dalam Pendidikan Seni Visual, boneka merupakan salah satu aktiviti di dalam bidang
membentuk dan membuat binaan. Bidang ini merupakan bidang yang ketiga di dalam Sukatan
Pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah Rendah. Kandungan bidang membentuk dan
membuat binaan ini banyak menekankan kepada pemahaman dan penguasaan objek-objek
seni tiga dimensi. Objek tiga dimensi bersifat konkrit, berisipadu, mempunyai pandangan sisi,
kiri, kanan, atas dan bawah. Hasilan yang wujud daripada bidang ini dikenali sebagai objek
maujud iaitu objek nyata dan boleh dipegang. Penghasilan karya seni dalam bidang
membentuk dan membuat binaan ini juga mempunyai ciri-ciri binaan seperti bentuk, jalinan,
besar, kecil,, licin, kesat, keras dan lembut.
Didalam sesi pengajaran dan pembelajaran boneka kebiasaannya digunakan untuk mengajar
kelas pemulihan dan murid pra sekolah sebagai bahan bantu mengajar. Ia digunakan untuk
menyampaikan cerita agar penyampaian lebih menarik dan berupaya untuk menarik perhatian
kanak-kanak. Nillie Mc Caslin (1984) dalam Varuni Sankaran Nair menyatakan bahawa
boneka dapat berfungsi sebagai alat bantu mengajar dan dapat menarik perhatian pelajar,
1
menghidupkan suasana, menarik minat dan seterusnya dapat memberi motivasi kepada pelajar
untuk terus belajar.
Selain itu, boneka juga merupakan salah satu bahan hiburan orang zaman dahulu. Contohnya
wayang kulit. Boneka juga menjadi alat mainan untuk anak-anak kecil malah turut dijadikan
sebagai bahan hiasan terutamanya oleh kanak-kanak perempuan. Selain daripada itu, boneka
bukan sahaja merupakan mainan sepanjang zaman malah ia juga berfungsi sebagai objek yang
dapat mengasah perkembangan kreativiti kanak-kanak serta dapat meningkatkan daya
imaginasi mereka.
2.0 Sejarah Ringkas Boneka
Puppet atau boneka berasal daripada perkataan Latin. Menurut ahli sejarah, boneka mula
dijumpai kira-kira 3000 tahun sebelum masihi oleh orang-orang Mesir dan Cina. Bahan yang
digunakan untuk menghasilkan boneka pada waktu itu ialah kayu, tanah liat atau tulang
binatang. Boneka yang lebih cantik diperbuat daripada lilin dan gading gajah. Pada masa itu,
boneka digunakan untuk tujuan keagamaan atau upacara adat yang rasmi. Pada masa dahulu,
bentuk boneka tidak menarik dan kelihatan menyeramkan serta menakutkan sehinggakan
kanak-kanak tidak mahu memilikinya. Boneka tersebut juga kaku dan tidak boleh digerakkan.
Walau bagaimanapun, boneka dengan kaki dan lengan yang dapat digerakkan buat pertama
kalinya dihasilkan pada 600 tahun sebelum masihi.
2.1 Boneka Di Barat
Di Barat, boneka telah dijadikan sebagai alat mainan kanak-kanak semenjak
abad ke 15 iaitu di Kota Nurembergm, Augsburg dan Sonnneberg, Jerman.
Boneka tersebut dihasilkan menggunakan kayu, lilin dan tanah liat yang
kemudiannya dipakaikan dengan pakaian yang menggambarkan wanita di
zaman itu. Di British , Perancis, Itali dan Belanda, bagi jenis boneka yang
sama, mereka membuat pakaian khas mengikut daerah dan ia biasanya dijual
sebagai cenderahati. Belanda kemudiannya menunjukkan kemajuan dengan
menghasilkan boneka yang diperbuat daripada kaca dan ianya dapat
digerakkan menjadikannya kelihatan lebih hidup. Pada Tahun 1675, penciptaan
boneka maju setapak lagi dengan mengenakan rambut sebagaimana boneka
pada hari ini. Penghasilan boneka bertambah maju apabila sebuah kilang telah
2
berjaya mencipta boneka yang dapat menangis pada tahun 1710, manakala
boneka yang dapat berjalan pada tahun 1735.
Amerika pula telah berjaya muncul sebagai negara pengeluar boneka yang
terbesar di dunia pada akhir perang dunia pertama. Antara tahun 1925 dan
1941 industri pembuatan boneka akhirnya telah berjaya mencipta boneka yang
hampir sama dengan objek yang ditirunya iaitu dengan mengenakan mata yang
dapat mengerdip lengkap dengan bulu matanya, mulut pula dapat dibuka
memperlihatkan barisan gigi dan terdapat juga boneka yang dapat makan dan
minum dengan sendiri.
2.2 Boneka Di Malaysia
Penggunaan boneka di Malaysia lebih kepada alat mainan yang sangat popular
dikalangan kanak-kanak, dijadikan hiasan atau koleksi bagi orang dewasa.
Walau bagaimanapun, boneka juga turut digunakan bagi tujuan pemujaan suatu
ketika dahulu. Pada zaman ini, boneka sering dijadikan sebagai hadiah atau
cenderahati kepada kanak-kanak terutamanya pada majlis hari jadi. Dewasa ini,
terdapat banyak boneka yang hampir menyerupai manusia sehinggakan
terdapat segelintir kanak-kanak yang menjadikan boneka sebagai teman rapat
mereka. Boneka juga turut digemari oleh golongan dewasa. Boneka yang
terdapat di negara ini diperbuat daripada bahan seperti kayu, plastik, kapas,
kertas, kain dan yang seumpamanya. Ianya dijual secara meluas di kedai-kedai
peralatan mainan dalam berbagai bentuk dan rupa sama ada bentuk manusia
atau haiwan.
3.0 Jenis-jenis Boneka
Terdapat pelbagai jenis boneka yang dihasilkan dengan menggunakan pelbagai bahan yang
sesuai dengan bentuk dan kegunaannya. Setiap jenis boneka mempunyai kelebihan dan
kekuatan yang tersendiri. Boneka juga dihasilkan mengikut kreativiti individu yang
menghasilkannya. Di antara jenis-jenis boneka yang sering digunakan ialah boneka sarung
tangan, boneka jari, boneka beg kertas, boneka piring kertas, boneka tongkat, boneka bertali,
boneka wayang kulit dan boneka lidi.
3
3.1 Boneka Sarung Tangan
Boneka ini merupakan jenis boneka yang paling mudah dihasilkan. Ia
mempunyai bahagian kepala, bahagian pakaian, sepasang tangan dan kadang
kala dilengkapkan dengan sepasang kaki. Boneka ini sering digubah menjadi
badan dan anggota boneka. Semasa menggunakan boneka jenis ini, kesemua
jari atau hanya sebilangan jari dimasukkan ke dalam sarung tangan itu dan
ianya digerakkan bagi menghidupkan anggota boneka. Bagi menghasilkan
boneka jenis ini pelbagai bahan boleh digunakan. Antaranya ialah stoking,
sarung tangan atau kain belacu. Dengan menggunakan boneka jenis ini, kanak-
kanak lebih bebas membuat sebarang pergerakan.
Contoh Boneka Tangan
3.2 Boneka Jari
Boneka jari juga dikenali sebagai finger puppets merupakan boneka yang
dimainkan oleh kanak-kanak secara sendiri. Ia dimainkan dengan memasukkan
jari ke dalam boneka yang dihasilkan bersaiz jari. Jari digerakkan semasa
watak dimainkan. Boneka ini boleh dibuat daripada kertas yang dilukis
wataknya. Saiz boneka adalah mengikut saiz jari kanak-kanak. Ianya
diwarnakan dan digam pada keliling bentuk watak tersebut kecuali pada
bahagian untuk dimasukkan jari. Boneka jari amat seronok digunakan kerana
pelbagai watak boleh dimainkan secara bersama atau serentak.
4
Contoh Boneka Jari
3.3 Boneka Beg Kertas
Boneka ini diperbuat dengan menggunakan beg kertas.. Tangan dimasukkan ke
dalam beg kertas tersebut. Ia sangat sesuai untuk kanak-kanak kerana mudah
dihasilkan. Boneka ini juga sama seperti boneka tangan cuma pergerakannya
sahaja agak terbatas.
Contoh
Boneka Beg Kertas
5
3.4 Boneka Piring Kertas
Boneka ini diperbuat daripada piring kertas yang mudah didapati. Piring kertas
ini boleh diubahsuai menjadi objek haiwan, orang dan lain-lain.
Boneka
Piring Kertas
3.5 Boneka tongkat
Boneka ini berbentuk lengkap tetapi mempunyai tongkat seperti kayu, rotan,
buluh dan sebagainya di bahagian bawah boneka tersebut yang bertujuan untuk
menyokongnya. Boneka ini dibentuk mengikut objek yang dikehendaki sama
ada menyerupai haiwan, manusia dan sebagainya mengikut kesesuaian tema
atau watak yang hendak ditonjolkan. Kepala atau objek yang siap dibentuk
dipasangkan pada hujung rod kayu atau batang yang dipegang oleh juruboneka
untuk mengendalikannya atau menggerakkannya.
6
Contoh Boneka Tongkat
3.6 Boneka Bertali
Boneka bertali atau ‘marionette’ diperbuat daripada bahan-bahan keras
seperti papier mache, plaster-of-Paris atau kayu. Ia menggunakan tali
atau string puppets yang berbeza dari segi saiz dan rupa bentuk. Ia
kelihatan lebih kompleks kerana kepala watak akan dibentuk dan akan
diikat dengan tali yang bertujuan untuk menggerakkannya. Tali-tali
halus akan disambungkan kepada bahagian-bahagian boneka yang
boleh bergerak. Bahagian kaki dan tangan watak pula akan dibentuk
supaya boleh digerakkan dengan menggunakan tali boneka. Boneka
jenis ini sesuai digunakan bagi cerita-cerita yang memerlukan watak
tersebut membuat pergerakan lari, terbang, lompat dan menggelongsor.
Tali yang digunakan boleh berupa tali biasa atau pun tali tangsi. Semasa
boneka tersebut dimainkan, tali-tali itu ditarik-tarik untuk membuat
anggota-anggota boneka tersebut bergerak.
Contoh Boneka Bertali
3.7 Boneka wayang kulit
Boneka wayang kulit biasanya berbentuk dua dimensi. Rupa bentuk boneka
dilukis di atas kertas tabal. Kemudian ianya diwarnakan dan bentuknya
7
dipotong serta dikeluarkan. Secara tradisional boneka wayang kulit biasanya
direka daripada kulit kerbau. Oleh kerana kulit kerbau semakin sukar didapati,
maka pelbagai bahan-bahan moden digunakan sebagai ganti. Antara bahan-
bahan yang sering digunakan ialah filem pancaran –X yang terpakai, kepingan
plastik yang tebal dan kertas bod. Lidi-lidi halus turut digunakan dan
diletakkan pada bahagian-bahagian tertentu pada badan boneka tersebut.
Semasa memainkan boneka ini, ia ditempatkan di bahagian belakang atau skrin
putih. Lampu dinyalakan dan bayang-bayang boneka tersebut akan kelihatan di
atas skrin. Lidi digoyang-goyangkan untuk menggerakkan anggota boneka
tersebut. Selain itu, wayang kulit juga boleh dipersembahkan dengan
menggunakan OHP sebagai sumber cahaya dan imej boneka kemudiannya
akan terpapar di atas skrin. Di dalam persembahan boneka wayang kulit,
watak-watak hero atau utama digambarkan dengan sifat muka yang kacak dan
hidung yang mancung manakala sifat watak penjahat digambarkan dengan
mata yang besar, hidung yang besar, perut buncit dan dicatkan dengan
menggunakan warna yang garang.
Contoh Boneka Wayang Kulit
3.8 Boneka Lidi
Boneka ini seakan sama dengan boneka wayang kulit. Ia diperbuat daripada
bahan yang keras, kulit, plastik, lutsinar dan kertas tebal. Lidi panjang
kemudiannya diletakkan pada badan boneka termasuk pada bahagian-bahagian
8
tertentu yang bakal digerakkan semasa menggunakannya. Boneka tersebut
dijulang pada lidi utama manakala lidi-lidi yang lainnya digoyang untuk
menggerakkan anggota badan boneka tersebut.
Contoh Boneka Lidi
4.0 Proses Menghasilkan Boneka
Boneka yang akan dihasilkan ialah boneka patung iaitu sejenis boneka tongkat. Boneka
tongkat adalah sejenis boneka berbentuk lengkap tetapi mempunyai tongkat seperti kayu,
rotan, botol atau buluh yang diletakkan di bahagian bawah boneka tersebut dengan tujuan
untuk menyokongnya. Boneka ini dibentuk mengikut objek yang dikehendaki sama ada
menyerupai haiwan, manusia dan sebagainya mengikut kesesuaian tema atau watak yang
hendak ditonjolkan. Kepala atau objek yang siap dibentuk dipasangkan pada bahan yang
menjadi penyokong boneka atau batang yang dipegang oleh juruboneka bagi memudahkan
pengendalian atau menggerakkannya. Berikut adalah proses untuk menghasilkan boneka
tongkat.
4.1 Lakaran idea
Lakaran idea merupakan proses awal bagi menentukan jenis boneka yang akan
dihasilkan Pembentukan watak-watak juga memerlukan lakaran-lakaran idea
agar boneka yang akan dihasilkan dapat memenuhi citarasa penonton.
9
10
4.2 Pemilihan alat dan bahan
Proses ini amat perlu di dalam proses membuat boneka. Ini kerana alat dan
bahan-bahan yang digunakan adalah berbeza bergantung kepada jenis boneka
yang akan dihasilkan. Bagi menghasilkan boneka ini, antara alat dan bahan-
bahan yang digunakan ialah gunting, botol air mineral, span, reben, perca kain,
benang bulu kambing, benang, jarum jahit, gam UHU, mata boneka dan
barangan hiasan. Pemilihan bahan-bahan yang digunakan mengambilkira
ketahanan boneka tersebut supaya dapat digunakan dalam jangka masa yang
lebih lama.
11
Penyediaan alatan dan bahan
4.3 Teknik Pembuatan atau Penghasilan Boneka ( Sorotan Kajian )
Sediakan botol mineral saiz sederhana dan masukkan batu sebagai pemberat
yang seterusnya menjadikan boneka tersebut kukuh dan tidak mudah terbalik
apabila diletakkan. Span dipotong dalam bentuk bujur sebagai bentuk kepala
boneka. Letakkan span yang telah dipotong dan gamkan pada penutup botol.
Ikatkan span yang telah dibalut dengan kain perca putih dengan menggunakan
gelang getah. Kain putih digunakan bagi menyerlahkan bentuk wajah boneka
yang akan dihasilkan. Guntingkan kain perca pertama untuk membentuk baju
boneka dengan cara membentuk leher baju dan bahagian tangan baju. Jahit
bahagian tepi tangan baju supaya kelihatan kemas Kemudian guntingkan kain
perca yang kedua untuk membentuk skirt boneka. Lekatkan mata pada boneka
dengan menggunakan gam UHU serta bentukkan mulut boneka dengan
menggunakan reben merah. Hiaskan pakaian boneka dengan menggunakan
reben supaya kelihatan lebih menarik dan ceria bersesuaian dengan watak yang
akan ditonjolkan. Akhir sekali gunakan benang bulu kambing yang digunting
bagi membuat rambut boneka.
12
Kepala boneka dibentuk menggunakan span, getah dan perca kain berwarna putih.
13
Kain perca digunakan untuk membuat baju.
Kain perca yang lain digunakan untuk embuat skirt.
14
Boneka dihias dengan meletakkan mata, mulut dan lain-lain hiasan.
5.0 Persembahan Hasil Kerja
15
Boneka yang siap untuk dipamerkan bersama boneka kucing sebagai watak sampingan.
Persembahan boneka yang ditayangkan ternyata menarik perhatian para pelajar. Watak yang
dipertontonkan iaitu watak budak perempuan bersama watak kucing berjaya mencuri
tumpuan. Penyediaan pentas persembahan dengan latar belakang yang menonjol dan menarik
juga sesuai dengan tujuan penghasilan. Penggunaan pentas berjaya menghidupkan watak
budak perempuan yang diberi nama Aina dan kucing kesayangannya yang diberi nama Comel
dan Montel menarik minat pelajar untuk mengetahui mesej yang hendak disampaikan melalui
dialog dalam jalan ceritanya. Boneka tersebut juga yang kelihatan berwarna-warni dengan
hiasan yang pelbagai menonjolkan lagi penampilan watak-watak serta menepati tema dan
tajuk.
Persembahan boneka tersebut adalah objek buatan manusia di dalam bidang membentuk dan
membuat binaan. Tajuk cerita ialah Aina dan Kucing Kesayangannya. Bahan yang digunakan
amat sesuai dan relevan dengan tujuan hasilan. Penggunaan botol minuman yang dimasukkan
batu sebagai pemberat berfungsi sebagai bahan penyokong boneka tersebut. Semua bahan
yang digunakan ternyata dapat tahan lebih lama dan selamat. Disamping itu kain yang
digunakan tidak mudah koyak. Pakaian boneka juga turut dijahit bagi memperkemaskan
penghasilannya. Boneka ini boleh digunakan beberapa kali jika ianya disimpan dengan cara
yang betul. Ini kerana sekiranya boneka ini disimpan di tempat yang terdedah dengan cuaca
panas atau lembab dikhuatiri akan rosak dan warnanya juga akan pudar. Konsep kepelbagaian
bahan juga dapat diadun dengan baik sehinggakan penghasilannya membentuk suatu gubahan
yang menarik. Selain itu, boneka yang dipersembahkan mempunyai daya tarikan yang
tersendiri semasa ianya dilakonkan kerana ia mempunyai ketulenan dari segi penghasilannya.
Boneka yang dihasilkan juga berjaya memenuhi persepsi estetik iaitu membuat persepsi
dengan menggunakan bahasa seni visual yang ada pada boneka. Selain itu, ia juga memenuhi
prinsip-perinsip rekaan seperti imbangan iaitu sama ada simetri atau tidak simetri, mempunyai
penegasan yang dapat dilihat melalui muka boneka, prinsip pergerakan, kontra, warna dan
kesatuan yang menarik.
16
6.0 Proses Apresiasi
Berdasarkan penghasilan karya iaitu boneka patung iaitu jenis boneka tongkat dapat dilihat
objek buatan manusia di dalam bidang membentuk dan membuat binaan ini banyak
membantu di dalam perkembangan emosi dan imaginasi. Boneka yang dihasilkan juga amat
bersesuaian dengan tajuk dan tema. Pemahaman tentang asas seni visual juga turut
diperkembangkan melalui proses penghasilannya. Secara tidak langsung aktiviti-aktiviti yang
dilakukan membantu menyelaraskan idea, imaginasi dan fantasi ke arah perkembangan
persepsi dan pemikiran yang abstrak. Selain itu, alat dan bahan yang digunakan di dalam
proses penghasilan boneka tersebut sesuai dengan teknik pembuatan atau penghasilannya.
Melalui proses apresiasi ini, ianya banyak memberi pengalaman dan pengetahuan dari segi
jenis dan fungsi sesuatu alat dan bahan yang digunakan. Ini kerana bahan-bahan yang
digunakan adalah berbeza mengikut jenis boneka yang akan dihasilkan. Pemilihan dan
penentuan alat dan bahan yang digunakan juga telah mengambilkira aspek ketahanan boneka
tersebut.
Walau bagaimanapun, boneka tersebut perlu dibuat penambahbaikkan agar ianya bersesuaian
dengan watak mengikut jalan cerita. Contohnya rambut boneka tersebut dipanjangkan agar
watak boneka patung tersebut kelihatan lebih anggun dan lembut. Namun begitu, dari segi
reka bentuk warna dan padanan imej boneka tersebut kelihatan sepadan dan penampilan
boneka tersebut juga terserlah dan menonjol. Secara keseluruhannya, boneka tersebut berjaya
dihasilkan mengikut watak dan temanya malah ianya berjaya menarik minat penonton untuk
mengikuti persembahannya.
17
7.0 Kesimpulan
Penghasilan boneka merupakan satu bidang yang mengutamakan penguasaan kemahiran serta
penyesuaian watak-wataknya. Pengetahuan mengenai alat dan bahan amat diperlukan bagi
mengimbangi ciri-ciri reka bentuk dan kesesuaian terhadap mesej dan watak yang akan
dipersembahkan. Persembahan boneka ternyata dapat menarik minat dan fokus penonton
apabila watak-watak yang ditampilkan bertepatan dengan jalan cerita. Penggunaan boneka
banyak membantu perkembangan kemahiran afektif, kognitif dan fizikal sama ada kepada
guru dan juga pelajar. Boneka juga terbukti memberi kesan yang positif terhadap objektif
pembelajaran bagi sesuatu kemahiran. Peranannya sebagai salah satu bahan bantu mengajar
guru mampu menarik minat pelajar untuk terus mengikuti pengajaran dan pembelajaran
seterusnya. Ini kerana sekiranya penampilan boneka berlaku dalam situasi yang relevan, karya
ini juga akan kelihatan cantik dan menarik. Walau bagaimanapun perancangan yang rapi dan
teratur perlu dilakukan agar ianya memberi impak yang positif kepada mereka yang terlibat.
2628 patah perkataan
18
8.0 Rujukan
Kathleen Chee. (2000). Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah: Pendidikan Seni.
Penerbitan Pelangi. Selangor Darul Ehsan.
Mohd.Zairi Hussain. (2011). HBAE22203: Membentuk Dan Membuat Binaan. Open
University Malaysia. Selangor Darul Ehsan .
Varuni Sankaran Nair. (____). Kajian Ringkas Boneka. Online :
http://www.slideshare.net/VaruniSankaranNair/kajian-ringkas-boneka
http://www.slideshare.net/IfHim/pengenalan-boneka
http://www.slideshare.net/eela5346/boneka-prasekolah
http://www.slideshare.net/rafizaabdulrazak/86494264-boneka
19
LAMPIRAN
GAMBAR SUASANA PERSEMBAHAN BONEKA
20
21