Bab 1 Kajian Ilmiah

Post on 16-Jan-2016

18 views 0 download

description

kajian

Transcript of Bab 1 Kajian Ilmiah

BAB 1

PENGENALAN

Pendahuluan

Al Quran merupakan wahyu agung yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W

melalui perantaraan malaikat jibril khas bagi umat Nabi Muhammad sebagai umat yang

teristimewa. Al Quran hadir sebagai pelengkap bagi seluruh kitab samawi yang telah diturunkan

sebelum kedatangan Nabi Muhammad S.A.W lagi. Segala isi kandungan telah meliputi seluruh

syariat yang terkandung di dalam kitab Taurat, Zabur dan Injil. Oleh sebab itu, Allah telah

menjanjikan bahawa Al Quran sentiasa terpelihara isi kandungannya hinggalah ke hari kiamat

kelak. Dengan penurunan wahyu yang pertama iaitu surah al Alaq, bermulalah proses pendidikan

Al Quran kepada seluruh umat manusia. Al Quran diturunkan dalam tempoh dua puluh tiga

tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Malaikat Jibril merupakan guru yang

pertama bagi Rasulullah S.A.W apabila mengajar baginda membaca surah Al Alaq dalam

peristiwa wahyu pertama yang diturunkan di Gua Hirak.

Penerapan nilai-nilai Al Quran adalah amat penting dalam membentuk nilai-nilai jati diri

masyarakat Islam pada masa kini. Menerusi pendidikan yang berlandaskan Al Quran, ia dapat

membina masyarakat yang bertaqwa, masyarakat yang adil berasaskan kasih sayang, belas

kasihan, persaudaraan dan masyarakat yang bertolak ansur, bertanggungjawab, berfikiran bebas,

demokrasi, tidak zalim, tidak sombong dan masyarakat yang berjalan mengikut garis panduan

Al-Quran.Membaca Al Quran adalah dituntut dan hukumnya mempelajarinya adalah wajib.

Oleh itu, membaca Al-Quran dengan betul dari segi tajwid dan makhrajnya supaya tidak

terpesong pengertiannya adalah menjadi tuntutan agama ke atas orang Islam kerana membaca

Al-Quran dapat membentuk akidah dan akhlak individu.