Post on 22-Jan-2016
S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 75
UNIT 5
STILISTIK, SKEMA DAN MAJAZ
HASIL PEMBELAJARAN
Pada akhir unit ini, anda diharap dapat:
1. Mengenal pasti konsep dan pengertian stilistik
2. Menghuraikan kategori stilistik dalam penulisan
3. Menjelaskan strategi dan teknik stilistik dalam penulisan
Pengenalan
Stilstik merupakan salah satu ranting dalam ilmu retorika. Strategi stilistik lazimnya diaplikasi dalam
penulisan popular seperti dalam media massa atau dalam penulisan kreatif. Stilistik berkait rapat
dengan gaya bahasa dan teknik mengindahkan bahasa supaya tampak menarik bahkan maknanya
akan lebih mudah difahami dan lebih memberi kesan kepada pembaca. Hashim Awang (1987),
menyatakan bahawa gaya bahasa ialah cara menggunakan kata-kata dalam menyampaikan fikiran
dan perasaan. Gaya bahasa juga merupakan penyusunan kata sebagai satu cara yang baik dan
berkesan untuk menyatakan sifat individu pengarang, fikiran dan tujuannya.
Tanpa stilistik sesuatu teks akan kelihatan stereotaip, kaku dan mendatar. Pendek kata, ilmu
stilistik bertujuan melenturkan bahasa mengikut kehendak pengarang selari dengan maksud yang
hendak disampaikan. Pengarang-pengarang terkenal biasanya menguasai pelbagai teknik stilistik
sehingga tulisan-tulisan mereka terasa indah, mantap dan sedap apabila dibaca.
Ciri-ciri Stilistik
Gaya stilistik yang baik seharusnya mengandungi lima unsur, iaitu kejujuran, kesantunan, kejelasan,
kesingkatan dan menarik.
Kejujuran: Kejujuran bermaksud: (i) sanggup melakukan pengorbanan demi menyatakan sesuatu
secara ikhlas dan jujur (ii) mematuhi peraturan dan kaedah yang betul dalam
berbahasa (iii) menggunakan bahasa yang jelas dan mengelakkan kekaburan, dan (iv)
menyatakan sesuatu dengan tepat.
Kesantunan: Kesantunan bermaksud (i) memberi penghargaan atau menghormati pihak yang
terlibat, misalnya pendengar atau pembaca (ii) mewujudkan rasa nikmat melalui
penggunaan kata-kata, (iii) menyampaikan sesuatu dengan jelas.
S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 76
Kejelasan: Kejelasan dapat diperlihatkan dari segi ketatabahasaan, hubungannnya dengan fakta
yang diungkapkan melalui kata dan ayat, urutan idea secara logis dan penggunaan
kiasan serta perbandingan.
Kesingkatan: Kesingkatan dapat diwujudkan melalui usaha menggunakan kata secara efisien,
mengelakkan penggunaan kata yang sinonim, menghindari tautologi atau
pengulangan yang tidak perlu.
Menarik: Sesuatu gaya bahasa yang dikatakan menarik itu dapat diukur dari segi kewujudan
unsur-unsur yang berikut, iaitu (i) bervariasi, (ii) mengandungi humor yang sihat (iii)
mempunyai pengertian yang baik, (iv) mempunyai kekuatan (vitalitas) dan penuh
dengan daya khayal atau imaginasi.
Jenis-jenis Stilistik
Gaya bahasa atau stilistik boleh diklasfikasikan kepada beberapa kategori, iaitu berdasarkan:
i. Pengarang: gaya yang dapat dikaitkan dengan penulis tertentu, misalnya gaya Shahnon
Ahmad, gaya Usman Awang, gaya Keris Mas dan lain-lain.
ii. Masa: gaya yang dikaitkan dengan masa atau period tertentu, misalnya gaya klasik atau gaya
moden.
iii. Medium atau wahana: gaya yang dikaitkan dengan cara penggunaan sesuatu bahasa,
misalnya gaya Melayu, gaya Indonesia, gaya Utusan, gaya Berita Harian dan lain-lain.
iv. Subjek atau perkara: gaya bahasa yang ditentukan berdasarkan subjek yang diperkatakan,
misalnya gaya ilmiah, gaya popular, gaya falsafah, gaya kewartawanan dan sebagainya.
v. Tempat: gaya yang dihubungkan dengan lokasi atau tempat yang mempengaruhi
penggunaan ungkapan atau cara mengungkapkan sesuatu, misalnya gaya K.L., gaya
Kelantan, gaya Pulau Pinang, gaya Sabah dan lain-lain.
vi. Khalayak: gaya yang berdasarkan golongan sasaran, misalnya gaya popular untuk
masyarakat umum, gaya formal untuk suasana formal, gaya intim atau mesra untuk
lingkungan keluarga atau gaya orang yang akrab.
vii. Tujuan: gaya bahasa yang ditentukan oleh maksud atau tujuan atau apa-apa yang ingin
disampaikan oleh pengarang. Misalnya, gaya sentimental, gaya sarkastik (sindiran), gaya
diplomasi, gaya humor dan lain-lain.
S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 77
Selain itu, terdapat juga gaya bahasa yang berdasarkan teori dalam bidang bahasa dan
kesusasteraan, misalnya teori stilistik. Dalam unit ini akan dibincangkan dua strategi daripada teori
stilistik, iaitu aspek skema dan majaz.
Strategi Skema
Skema atau scheme berasal daripada bahasa Greek schema merupakan unsur stilistik dalam fakulti
elocutio atau gaya yang bermaksud bentuk (Corbett dan Connors, 1999: 379). Daripada ungkapan ini,
Corbett membentuknya menjadi suatu strategi dalam figures of Speech. Skema merupakan
penyimpangan atau perubahan dari segi bentuk ayat atau susunan perkataan. Selain itu, skema atau
orthographical schemes melibatkan perubahan dalam ejaan mahupun bunyi perkataan yang terhasil
dengan cara menambah atau mengurangkan huruf atau suku kata yang terletak di hadapan, tengah
mahupun di akhir perkataan ataupun melalui perubahan bunyi.
Quintilianus (1920) mendefinisikan skema sebagai suatu wacana berseni hasil manipulasi
kata-kata yang menyimpang daripada bentuk yang lazim. Golden (1983) pula mendefinisi skema
sebagai sebarang jenis perkataan, bentuk penyusunan kata-kata atau bentuk penulisan yang tidak
mengubah makna.
Laurie dan Kirszmer (1981: 208) memberikan makna skema sebagai merujuk kepada
pengukuran tentang kepandaian penulis menggunakan bahasanya, yakni sejauh mana penulis itu
berjaya mencapai matlamat stilistik. Daripada kepelbagian susunan rangkaian kata, ejaan mahupun
bunyi ini akan menentukan jenis strategi dalam kategori skema.
Dalam modelnya, Corbett dan Connors, (1999: 381-395) mengemukakan skema
kesamarataan (schemes of construction) yang merangkumi empat kategori, iaitu skema seimbang,
skema hiperbaton, skema pengulangan, skema pengguguran dan skema ragaman.
1. Skema Seimbang
Skema seimbang merujuk perubahan bentuk atau susunan sesuatu perkataan secara seimbang yang
menghasilkan kesan makna yang berbeza. Terdapat tiga teknik dalam skema ini, iaitu paralelisme,
antitesis dan isokolon.
Paralelisme Paralelisme merujuk kepada salah satu asas dalam ilmu stilistik. Corbett dan Connors (1999: 381) menterjemahkannya sebagai kesamaan struktur dalam pasangan atau siri kata-kata, frasa-frasa atau klausa-klausa yang berhubungan. Gaya ini mensejajarkan beberapa ayat yang berpola sama. Contohnya: Bapa memang meminati sukan air, tinju, ragbi dan jenis-jenis sukan yang memerlukan banyak stamina.
S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 78
Antitesis Menurut Lanham (1968: 12), antitesis adalah tindakan mengabungkan idea-idea yang bertentangan, manakala Umar Junus (1989: 213) pula menjelaskan istilah antitesis merujuk kepada bentuk peletakkan dua ayat atau kata yang bertentangan dalam kedudukan berdampingan. Contohnya: Besar kecil, tua muda, laki-laki perempuan, semua menyaksikan hiburan itu.
Isokolon
Isokolon adalah pengulangan frasa-frasa dalam kepanjangan yang sama dan lazimnya berstruktur
sejajar. Kerapkali juga isokolon membawa nada yang puitis. Isokolon terjadi apabila wujud elemen
yang tidak sahaja setara dari segi struktur malah elemen yang mempunyai kepanjangan yang sama.
Umar Junus (1989: 224) berpendapat isokolon adalah suatu pengertian dalam retorik klasik yang
digunakan untuk menyebut ‘perulangan dari baris atau fikiran yang sama’. Contohnya: Lain caranya,
lain gayanya dan lain rasanya.
2. Skema Perulangan
Skema perulangan merujuk kepada perulangan kata atau frasa yang menghasilkan kesan makna,
nada dan bunyi yang puitis, berirama atau pelbagai. Skema ini dibahagikan kepada sepuluh jenis
seperti berikut:
Anafora
Anafora ialah pengulangan perkataan yang sama atau sekumpulan perkataan pada permulaan klausa
yang berturutan. Pengulangan ini akan menghasilkan kesan emosi yang kuat (Corbett dan Connors,
1999: 390). Contohnya: Setiap musuh mesti dihapuskan. Setiap cabaran mesti dihadapi dengan
tabah.
Epistrop
Corbett dan Connors (1999: 391) menjelaskan bahawa epistrop adalah sejenis pengulangan kata-kata
yang sama atau kumpulan yang sama pada akhir klausa yang berturutan. Pengulangan ini
memberikan rima pada ayat dan memberikan penekanan yang khusus pada elemen yang diulang.
Lanham (1968: 125) pula mentakrifkan sebagai pengulangan kata atau kata-kata yang hampir pada
akhir beberapa klausa, ayat atau versi. Contohnya: Kelmarin adalah hari ini. Besok adalah hari ini.
Hidup adalah hari ini. Segala sesuatu buat hari ini.
Anadiplosis
Anadiplosis adalah pengulangan kata akhir dalam sesuatu klausa pada permulaan klausa yang
berikutnya. Umar Junus (1989: 210) mendefinisikannya sebagai pengulangan kata terakhir sesuatu
klausa pada awal klausa yang berikutnya. Contohnya: Hidup ini adalah suatu perjuangan.
Perjuangan dalam mencari ilmu pengetahuan.
S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 79
Poliptoton
Poliptoton adalah pengulangan perkataan yang berasal daripada kata akar yang sama (Corbett dan
Connors, 1999: 395). Umar Junus (1989: 233) menjelaskan bahawa poliptoton adalah permainan kata
hingga terasa ada dua kemungkinan makna. Contohnya: Makna memulakan dan mengakhir makna
atau kebencian bertemu dengan kebencian
Epanalepsis
Corbett dan Connors (1999: 392) mendefinisikannya sebagai pengulangan kata pada akhir sesuatu
klausa yang sudah dinyatakan pada awal klausa. Beliau menjelaskan bahawa jenis pengulangan ini
jarang terdapat dalam prosa. Epanalepsis adalah bentuk pengulangan yang menghasilkan kesan
emosi. Contohnya: Si isteri kalau masih tetap di kampung akan insaf bahawa dia hanya seorang
isteri.
Klimaks
Klimaks ialah penyusunan kata-kata, frasa-frasa atau klausa-klausa dalam urutan kepentingan yang
meningkat. Urutan ini disusun berdasarkan darjah topik (Corbett dan Connors, 1999: 393). Menurut
Umar Junus (1989: 225), klimaks ialah ayat atau wacana dengan urutan fikiran yang semakin menaik
dan penting. Contohnya: Dari desa, dusun, kampung dan kota, orang berkumpul menghadiri rapat
raksasa itu.
Antiklimaks
Antiklimaks merupakan susunan ayat atau wacana dengan urutan fikiran yang semakin menurun dan
berdarjah kepentingan maknanya (Umur Junus, 1989: 225). Contohnya, Dari gunung yang tinggi, ke
bukit bukau, dataran dan menyelinap ke hutan kecil di desa terpencil. Demikianlah pengembaraan
sang helang.
Antimetabole
Antimetabole adalah pengulangan kata-kata dengan aturan tatabahasa yang terbalik dalam klausa
yang berurutan (Corbett dan Connors, 1999: 394). Lanham (1968: 119) menjelaskannya sebagai
penginversian susunan perkataan yang diulang-ulang. Contohnya: Seseorang itu harus makan untuk
hidup, bukan hidup untuk makan.
Asonansi
Corbett dan Connors (1999: 389) mendefinisikan asonansi sebagai pengulangan bunyi vokal yang
sama dalam suku kata yang diberi penekanan pada kata-kata yang bersebelahan yang mungkin
didahului dan dikuti oleh konsonan yang berbeza. Selain mewujudkan rima dalam ayat, asonansi juga
menghasilkan kesan onomatopuisi (onomatopoetic) dan humor. Lanham (1968: 18) mendefinisikan
asonansi sebagai kesamaan dalam bunyi antara bunyi vokal yang didahului dan diikuti oleh bunyi
konsonan yang berbeza dalam kata-kata yang berhampiran. Skema ini lazimnya terdapat dalam puisi
S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 80
dan amat jarang ditemui dalam teks prosa. Contohnya: Kilau kilat membelah gelap, Lidah api
menjulang tinggi.
Kiasmus
Corbett dan Connors (1999: 394) menjelaskan bahawa kiasmus adalah kebalikan struktur tatabahasa
dalam urutan frasa atau klausa. Kiasmus sama seperti antimetabole kerana melibatkan penginversian
struktur tatabahasa. Yang berbeza, kiasmus tidak melibatkan pengulangan kata-kata sebagaimana
antimetabole. Berdasarkan definisi Lanham (1968: 119), kiasmus ialah susunan frasa atau klausa
pertama yang diterbalikkan pada frasa atau klausa yang kedua. Contohnya: Semua kesabaran kami
sudah hilang, lenyap sudah ketekunan kami untuk melanjutkan usaha itu.
Aliterasi
Corbett dan Connors (1999: 388) berpendapat aliterasi ialah pengulangan konsonan pertama atau
pertengahan dalam dua atau lebih kata-kata yang bersebelahan. Pengulangan ini mewujudkan rima
dalam ayat. Umar Junus (1989: 208) menjelaskan bahawa aliterasi adalah pengulangan konsonan
yang sama, biasanya pada awal kata. Skema jenis ini lazimnya lebih banyak ditemui dalam bahasa
puisi berbanding prosa. Contohnya: Bukan Beta Bijak Berperi.
3. Skema Penguguran
Terdapat dua bentuk skema jenis ini. Pertama, pengguguran kata hubung atau tanda mekanis.
Kedua, penggunaan kata hubung dengan jumlah yang melebihi kebiasaan. Tujuan penggunaan
skema ini untuk memberi kesan keunikan dan kepelbagaian gaya bahasa. Terdapat tiga strategi
dalam skema ini, iaitu elipsis, asindeton dan polisindeton.
Elipsis
Elipsis ialah pengguguran secara sengaja kata atau beberapa kata yang dibayangkan oleh konteks
(Corbett dan Connors, 1999: 386). Menurut Umar Junus (1968: 217) elipsis adalah pengsirnaan
unsur-unsur yang terdapat dalam ayat. Contohnya: Pelajar-pelajar itu berlari bertebaran di tepi pagar,
di padang, di kantin, juga di belakang bangunan sukan.
Asindeton
Asindeton ialah pengguguran kata hubung antara siri-siri klausa yang berhubungan (Corbett dan
Connors, 1999: 387). Lawan bagi asindeton ialah polisindeton, iaitu penggunaan kata hubung yang
banyak. Menurut Corbett, asindeton memberikan kesan rima yang tepat dalam ayat. Umar Junus
(1989: 214-215) pula mendefinisikan asindeton sebagai ketiadaan penggunaan kata hubung yang
menghubungkan satu ayat dengan ayat yang lain atau satu frasa dengan frasa yang lain. Contohnya:
Besarkanlah Tuhanmu, bersihkan pakaianmu, jauhilah perbuatan maksiat, janganlah kamu memberi
kerana hendak memperoleh yang lebih banyak.
S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 81
Polisindeton
Polisindeton menurut Corbett dan Connors (1999: 388) ialah penggunaan kata hubung yang melebihi
daripada jumlah yang lazim digunakan menurut rumus tatabahasa. Dengan kata lain, polisindeton
merupakan kebalikan asindeton. Menurut Corbett, strategi polisindeton bertujuan melambatkan irama
prosa dalam perenggan dan seterusnya menghasilkan kesan penegasan yang jitu. Polisindeton boleh
juga digunakan bagi menunjukkan penekanan terhadap sesuatu maksud. Perhatikan contoh berikut:
Wang dan harta dan pangkat dan kemewahan, semuanya menggelapkan matanya.
4. Skema Ragaman
Skema ragaman merujuk kepada manipulasi perkataan atau frasa yang tidak dapat dihimpunkan
dalam salah satu kumpulan skema disebabkan kepelbagaian bentuk, gaya dan penyusunan ayat yang
mencetuskan kesan yang berbeza. Terdapat enam jenis strategi dalam skema ini seperti yang berikut:
Umum – Khusus
Strategi umum – khusus merujuk kepada penggunaan kata atau frasa yang membawa makna umum
pada bahagian awal ayat sebelum bergerak kepada makna khusus pada bahagian tengah atau
pengakhiran ayat. Gandingan makna umum dengan makna khusus ini membentuk tangga makna
yang tersusun, lancar dan mudah difahami oleh khalayak. Contoh ayat yang menggunakan strategi
umum – khusus seperti berikut: Dia bermaksud hendak ke Kedah, tetapi lebih dahulu singgah di
Sungai Petani. Pengarang terlebih dahulu menyebut lokasi yang umum, iaitu Kedah sebelum
menjurus kepada lokasi yang khusus, iaitu Sungai Petani.
Khusus – Umum
Strategi khusus – umum adalah kebalikan strategi umum – khusus. Strategi ini meletakkan kata atau
frasa yang membawa makna khusus pada awal ayat sebelum bergerak kepada kata atau frasa yang
membawa makna umum pada pertengahan atau akhir ayat. Contohnya: Mulanya belajar di Azhar, lalu
melanjutkan ke Eropah. Dalam ayat ini, pengarang memulakannya dengan kata nama yang khusus,
iaitu Universiti Al-Azhar sebelum menyebut kata nama yang bersifat umum, iaitu Eropah.
Abstrak – Konkrit
Strategi abstrak – konkrit merujuk gandingan kata atau frasa yang ertinya berbentuk abstrak pada
awal ayat dengan kata atau frasa yang bermaksud konkrit atau yang dapat ditanggapi sifatnya pada
ayat berikutnya. Tujuan gandingan ini untuk memberi kesan keunikan pada ayat tersebut. Contoh ayat
yang menggunakan strategi ini seperti: Tiada lagi rindu, cuma sebuah coretan di kertas. Dalam ayat
ini, pengarang lebih dahulu menyebut kata abstrak, iaitu rindu sebelum bergerak kepada kata yang
konkrit, iaitu kertas.
S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 82
Konkrit – Abstrak
Strategi konkrit – abstrak berkaitan gandingan antara kata atau frasa yang ertinya berbentuk konkrit
pada awal ayat dengan kata atau frasa yang bermaksud abstrak atau ghaib pada ayat berikutnya.
Contoh ayat yang menggunakan strategi ini seperti: Tapi Sungai Ceper meninggalkan banyak
kenangan; kenangan hampir-hampir 60 tahun yang lampau. Dalam ayat ini, frasa Sungai Ceper
adalah sesuatu yang konkrit kerana sungai mempunyai bentuk dan dapat dilihat secara zahir, tetapi
kenangan adalah kata nama abstrak kerana hanya dapat digambarkan dalam minda dan perasaan.
Enumerasi
Strategi enumerasi bermaksud menyatakan frasa penting terlebih dahulu sebelum maksudnya
dijelaskan secara ringkas pada frasa atau klausa berikutnya. Menurut Adnani dan Sofjan (1970: 105),
enumerasi ialah penghuraian sesuatu peristiwa atau hal secara terperinci supaya terasa lebih hidup
dan lebih nyata.
Dengan kata lain, strategi ini merupakan pendefinisian ringkas terhadap sesuatu ungkapan
yang dirasakan penting oleh pengarang bagi memudahkan khalayak memahaminya, sama ada yang
berkaitan dialek, sosiobudaya, bahasa arkaik atau ungkapan yang jarang diketahui maknanya. Contoh
ayat yang menggunakan strategi ini seperti: Gigi air ialah pasir-pasir dalam bumi yang tersusun dan
bergerak mengikut aliran air itu.
Frasa gigi air yang berbentuk simpulan bahasa diberi penghuraian lanjut oleh pengarang
bagi memudahkan pembaca memahami maksudnya dengan jelas. Huraian ini disebabkan istilah gigi
air jarang digunakan dalam konteks bahasa Melayu baku. Ungkapan ini hanya menurut tafsiran
pengarang. Mungkin bagi pengarang tertentu pula, istilah gigi air mengandung makna yang lain pula.
Ringkasnya, enumerasi tidak mempunyai satu definisi yang tetap dan standard.
4. Skema Hiperbaton
Skema hiperbaton bermaksud strategi penyusunan perkataan yang menyimpang daripada aturan
yang lazim. Skema ini juga dinamakan inversi aturan kata yang menurut Corbett dan Connors (1999:
104) sebagai susunan perkataan yang normal dalam ayat yang diterbalikkan atau berlaku
transformasi dalam ayat. Skema ini terbahagi kepada tiga jenis, iaitu aposisi, anastrop dan
parentesis.
Aposisi
Aposisi merujuk kepada penyusunan sebelah menyebelah dua elemen yang berkaitan dengan
elemen yang kedua berfungsi sebagai penjelasan bagi elemen pertama (Corbett dan Connors, 1999).
Menurut Lanham (1968) aposisi sebagai meletakkan dua kata atau frasa nama secara bersama
dengan frasa yang kedua mendefinisi frasa yang pertama. Contohnya: Kuala Lumpur, ibu kota
S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 83
Malaysia, terletak di kawasan lembah yang subur dan cantik. [Sepatutnya ayat ini ditulis - Ibu kota
Malaysia, Kuala Lumpur terletak di kawasan lembah yang subur dan cantik].
Anastrop
Corbett dan Connors (1999: 383) menjelaskan bahawa anastrop adalah susunan kata yang lazim.
Fungsi utamanya ialah untuk memberikan penekanan. Takrifan anastrop menurut Umar Junus (1989:
108) merujuk kepada pembalikkan susunan ayat dengan tujuan supaya frasa yang diletakkan pada
awal lebih penting daripada frasa yang di belakang. Contohnya: Berbondong-bondong orang datang
menunggu ketibaannya [penekanan pada frasa berbondong-bondong].
Parentesis
Parentesis ialah penyisipan beberapa unit verbal yang mencelah dalam sesuatu urutan ayat. (Corbett
dan Connors 1999: 384). Kehadiran parentesis menyebabkan hubungan antara pola dalam ayat
terputus. Beliau menambah bahawa parentesis merupakan komentar yang menyelitkan emosi
komunikator.
Menurut Lanham, parentesis adalah kata, frasa atau ayat yang mencelah sebagai
penyimpangan dalam ayat yang sempurna. Contoh ayat parentesis: Kami telah diminta – yang
sebenarnya kami telah dipaksa supaya meninggalkan perhimpunan itu. Frasa Kami telah diminta
[bernada lembut/perlahan/bisikan, manakala ayat selepas sempang harus bernada kuat dan
bersemangat].
Strategi Majaz
Majaz merupakan terjemahan daripada tropes atau tropein dalam leksikal Greek yang bermaksud
mengubah atau memalingkan maksud. Dalam stilistik Barat, trope merupakan elemen figures of
Speech berdasarkan model Corbett dan Connors (1999).
Trope adalah bentuk gaya bahasa yang melibatkan ungkapan, pepatah dan yang
seumpamanya (Umar Junus, 1989: 237). Dalam bahasa Melayu, majaz boleh diterjemahkan sebagai
kiasan, namun konsep kata kiasan dalam bahasa Melayu tidak terperinci berbanding dengan majaz.
Majaz terbahagi kepada lima kategori, iaitu majaz pertautan, majaz perbandingan, majaz
pertentangan, majaz ragaman dan majaz Melayu.
1. Majaz Pertautan
Majaz pertautan merujuk hubungan pertautan makna, sama ada yang bersifat simbolik, perumpamaan
atau tamsilan. Terdapat tujuh jenis strategi dalam majaz pertautan, iaitu:
S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 84
Periprasis
Umar Junus (1989: 232), berpendapat, periprasis adalah sesuatu yang dapat difahami maknanya secara literal tetapi diterangkan melalui ungkapan. Contohnya: Banyak yang mengatakan Pak Belang sudah parah dan lari masuk rimba yang lebih tebal. Ungkapan Pak Belang merupakan kiasan kepada harimau.
Sinekdot
Corbett dan Connors (1999: 379) menjelaskan bahawa sinekdot adalah suatu bentuk bunga bahasa
yang mana sebahagian mewakili keseluruhan. Terdapat dua bentuk sinekdot, iaitu pars pro toto
yakni menggunakan ungkapan sebahagian untuk maksud keseluruhan dan totem pro parte dengan
menyebut keseluruhan untuk maksud sebahagian. Contohnya seperti berikut:
Pars pro toto - Sudah begitu lama kami tidak nampak batang hidungnya [ Indera
hidung dalam ayat ini merujuk kepada seorang manusia yang
sempurna sifatnya].
Totem pro parte - Pertandingan itu berakhir dengan kemenangan Selangor
[Selangor dalam ayat ini merujuk kepada hanya sebuah pasukan
yang mewakili negeri Selangor].
Alusi
Alusi ialah sejenis stilistik yang merujuk secara eksplisit atau implisit terhadap peristiwa, tokoh atau
tempat dalam kehidupan nyata, mitos atau karya sastera yang terkenal. Menurut Anton Moeliono
(1989: 4), alusi ialah majaz yang menunjukkan kepada suatu peristiwa, karya atau tokoh terkenal
berdasarkan praanggapan adanya pengetahuan bersama yang dimiliki oleh pengarang dan pembaca.
Selain itu, alusi boleh juga menggunakan peribahasa bagi menggambarkan sesuatu perkara,
hal, keadaan dan peristiwa yang selalunya berdasarkan pengetahuan umum. Contoh ayat alusi
seperti: Peristiwa 13 Mei harus dijadikan pengajaran oleh setiap rakyat Malaysia. Peristiwa 13 Mei
merupakan sejarah hitam yang pernah berlaku di Malaysia pada tahun 1969. Hampir kebanyakan
rakyat Malaysia mengetahui tragedi tersebut. Tetapi bagi rakyat Jerman atau Jepun, peristiwa 13
Mei merupakan sesuatu yang asing bagi mereka kerana peristiwa bersejarah itu bukan suatu alusi
bagi bangsa tersebut.
Eufemisme
Strategi eufemisme digunakan bagi memperhalus kata-kata atau ungkapan. Ia juga disebut sebagai
ucapan pemanis atau ungkapan lembut. Eufemisme bersifat seperti acuan bagi bahasa yang tidak
menyinggung perasaan orang atau kata-kata pemanis bagi menggantikan kata-kata yang mungkin
boleh menghina, menyinggung, kasar, biadap, tidak bersopan atau yang dianggap tidak
menyenangkan (Anton Moeliono, 1989: 3-4). Eufemisme bukan sahaja wujud dalam bahasa baku,
tetapi juga dalam bahasa daerah, kolokial atau dialek. Contoh eufemisme dalam bahasa baku seperti:
S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 85
meninggal dunia (mati), bermalam (tidur), bersantap (makan), bersiram (mandi), berbadan dua
(hamil), manakala dalam bahasa daerah seperti: ke sungai (membuang air besar).
Disfemisme
Strategi disfemisme ialah kebalikan daripada eufemisme. Disfemisme memilih bentuk kata atau ragam
bahasa daripada yang lembut kepada yang kasar. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu lama kata-
kata kasar selalunya bertujuan untuk bergurau dan berjenaka. Ungkapan disfemisme banyak terdapat
dalam pantun jenaka. Disfemisme turut digunakan dalam bahasa daerah. Contoh disfemisme, seperti:
celaka (kutukan), laknat (kutukan), haram jadah (jahat), anak haram (anak luar nikah), keparat,
bedebah, sial (makian). Terdapat bentuk disfemisme menggunakan bahasa daerah dan bahasa
basahan, seperti: tongong (bodoh), bangang (bodoh), tutuh (hentaman), barua (makian), kepala otak
(kutukan) dan kata carutan.
Pleonasme
Strategi pleonasme merujuk bentuk bahasa yang menggunakan kata-kata yang lebih banyak daripada
yang diperlukan bagi menyatakan sesuatu maksud. Selalunya, dengan menggunakan sifat kata-kata
itu sendiri. Tetapi, sebenarnya kata-kata itu tidak perlu kerana kata-kata yang ditegaskan itu sudah
mempunyai sifat yang berkenaan. Strategi pleonasme disebut juga sebagai bahasa penegasan yang
berlebih-lebihan. Yang berikut ialah contoh pleonasme: Orang yang meninggal itu menutup mata buat
selama-lamanya.
Metonimi
Metonimi adalah penggantian sifat-sifat atau perkataan yang tepat untuk menggantikan sesuatu
maksud (Corbett dan Connors, 1999: 398). Kita dapat menyebut pencipta atau pembuatnya jika kita
maksudkan ciptaan atau buatannya ataupun kita menyebut bahannya jika yang kita maksudkan itu
barangannya. Nama lain bagi metonimi ialah denominatio dan transnominatio. Contohnya: Rakyat
menumpahkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada mahkota. Mahkota dalam ayat tersebut
merujuk kepada raja di sesebuah negara yang berdaulat.
2. Majaz Perbandingan
Majaz perbandingan merupakan penggunaan bahasa yang bersifat membandingkan dua hal yang
pada hakikatnya berlainan atau yang dengan sengaja dianggap sama (Anton Moeliono, 1989: 67).
Terdapat pelbagai bentuk majaz jenis ini dalam bahasa Melayu. Antara yang terpenting ialah
metafora. Za’ba dalam Ilmu Mengarang Melayu (2000: 1997) di bawah bab kiasan berpindah telah
membahagikan metafora Melayu kepada tujuh bentuk, iaitu kiasan sandar, kiasan terus, kiasan
berangkap, kiasan berbunga, kiasan pemanis, kiasan melompat dan kiasan melarat.
S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 86
Kiasan Sandar
Kiasan yang tidak menyatakan bandingan, sebaliknya terus berpindah kepada benda bandingan itu
sendiri. Contohnya: pekak badak atau mandi kerbau.
Kiasan Terus
Bentuk kiasan yang mempunyai makna yang lain daripada makna perkataan itu sendiri. Contohnya:
harimau berantai (orang yang sangat garang), kutu embun (orang yang selalu pulang lewat malam),
pisau cukur (wanita yang suka mengikis harta).
Kiasan Berangkap
Kiasan jenis ini menunjukkan perbandingan dengan cara yang berbeza-beza atau bersajak; selalunya
berisi jenaka. Contohnya:
Dulu papan, sekarang besi Dulu sayang, sekarang benci Kiasan berbunga
Kiasan yang menggunakan rangkai kata yang indah atau berbunga-bunga. Contohnya: Selimut
kemalasan menyeliputi tubuhnya atau adat lama telah reput di mamah usia.
Kiasan Pemanis
Kiasan yang menggunakan perbandingan yang tidak tepat untuk melindungi sesuatu makna yang
kurang elok atau kurang manis jika dinyatakan secara terus terang. Contohnya: pergi ke sungai besar
(membuang air besar), berbadan dua (mengandung) atau kembali ke alam baqa’ (mati).
Kiasan Melompat
Kiasan yang melangkah satu tingkat atau lebih daripada perkara atau benda yang asal atau
sebenarnya. Contohnya: menanak nasi (sebenarnya memasak beras), menjahit baju (sebenarnya
menjahit kain untuk dibuat baju) atau mencucuk atap (sebenarnya mencucuk daun nipah untuk
dijadikan atap).
Kiasan Melarat
Kiasan yang makna atau maksudnya sudah menyimpang jauh daripada maksud asal, seolah-olah
menjadi perkataan yang mempunyai makna baharu. Contohnya: sudah berisi (hamil), badannya melidi
(terlalu kurus) atau tubuhnya membadak (terlalu gemuk). Pada asalnya perkataan berisi, lidi dan
badak mempunyai makna yang lain tidak seperti mana maksud dalam kiasan tersebut. Tetapi kata-
kata tersebut apabila dicantumkan dengan perkataan tertentu telah mengeluarkan makna baharu
yang berbentuk kiasan.
S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 87
3. Majaz Pertentangan
Majaz pertentangan merujuk kepada penggunaan kata atau frasa yang saling bertentangan dari segi
makna, sama ada secara simbolik, tersurat atau tersirat dalam struktur ayat yang sama atau yang
berhubungan. Terdapat empat jenis majaz dalam kategori ini.
Hiperbola
Hiperbola ialah penggunaan istilah yang membesar-besarkan dengan tujuan memberi penekanan
atau kesan memperhebat (Corbett dan Connors, 1999: 158). Menurut Lanham (1968: 56), hiperbola
atau superlatio bermaksud menyatakan sesuatu dengan cara berlebih-lebihan. Anton Moeliono (1989:
56) berpendapat hiperbola sebagai ungkapan yang melebih-lebihkan sama ada dari segi jumlahnya,
ukurannya atau sifatnya. Contohnya: Kematiannya memalapkan dunia ini.
Ironi
Anton Moeliono (1989: 58), berpendapat ironi sebagai majaz yang menyatakan makna yang
bertentangan dengan maksud berolok-olok atau menyindir. Maksud itu dapat dicapai dengan
mengemukakan makna yang berlawanan dengan makna yang sebenarnya. Contohnya: Cantik
sungguh muka awak!
Oksimoron
Oksimoron menurut Corbett dan Connors (1999: 407) ialah penggandingan dua kata atau istilah yang
secara lazimnya bersifat bertentangan. Oksimoron didefinisikan sebagai frasa atau ayat yang
mengandungi dua hal yang bertentangan. Contohnya: Untuk menjadi manis seseorang harus menjadi
kasar / Benci tapi rindu / Malu tapi mahu.
Litoses
Litotes ialah penggunaan kenyataan yang tidak lengkap bukan untuk menipu tetapi untuk
menunjukkan kehebatan apa yang hendak diperkatakan (Corbett dan Connors, 1999: 404). Menurut
Anton Moeliono (1989: 66), litotes ialah sejenis majaz yang menyatakan sesuatu yang positif dalam
bentuk yang negatif atau bentuk yang bertentangan dengan tujuan merendah diri. Contohnya:
Perjuangan kami hanya setitik air di samudera.
4. Majaz Ragaman
Majaz ragaman merangkumi penggunaan strategi retorik yang tidak digolongkan dalam kategori
majaz yang sudah dibincangkan kerana kepelbagaian bentuk dan struktur kemajaziannya. Dengan
demikian jenis-jenis majaz yang terasing ini digolongkan di dalam satu kelompok. Terdapat lapan jenis
majaz ragaman.
S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 88
Simetri
Strategi simetri bermaksud penggunaan perkataan atau frasa yang sama atau hampir sama
maksudnya, sama ada dalam bahasa Melayu baku, bahasa daerah atau bahasa kolokial. Dalam
keadaan tertentu, pengarang mungkin menggunakan lebih daripada dua ungkapan dengan makna
yang serupa atau hampir serupa.
Penggunaan strategi ini dapat memberikan penegasan terhadap makna yang diingini
pengarang daripada hanya menggunakan satu ungkapan sahaja. Contohnya: Bapa ibu seorang
panglima dan sekali gus pendekar handal. Dalam konteks ayat ini, perkataan panglima dan
pendekar mempunyai maksud yang hampir sama.
Onomatopia
Menurut Umar Junus, (1989: 229) onomatopia bermaksud perkataan yang berasal daripada peniruan
bunyi. Biasanya bunyi itu diambil daripada unsur alam, seperti berdesir, menderu, berderai atau bunyi
kesan daripada perbuatan manusia seperti mengetuk, ketawa atau bunyi suara binatang seperti
mengembek, menguak, mengaum, berkokok dan sebagainya.
Terdapat dua bentuk onomatopia sama ada dengan meniru bunyi asal seperti derap…derap
(bunyi tapak kaki sedang memijak sesuatu), tap...tap (bunyi air menimpa daun kering), kedebuk (bunyi
benda jatuh), Syhhhh...(lambang pintaan diam), Cit...cit...cit (bunyi tikus), miau...miau (suara kucing)
ataupun dalam bentuk kata berimbuhan seperti menderap, mengaduh, berkukku (suara burung
terkukur), mengeruh dan lainnya. Strategi onomatopia bertujuan memberi kesan estetik dan realistik
terhadap maksud yang hendak disampaikan oleh pengarang.
Antimeria
Lanham (1968: 9) mendefinisikan antimeria sebagai peralihan fungsional dengan menggunakan
sebahagian ucapan untuk yang lain. Contohnya: Pelbagai macam permainan yang kami main.
Perkataan permainan dan main adalah daripada kata akar yang sama tetapi berbeza dari segi
golongan kata.
Ekslamasi
Strategi ekslamasi digunakan dalam ayat bagi melahirkan isi hati, sama ada sakit, gembira, sedih,
suka, duka dan seumpamanya. Penggunaannya dapat menimbulkan kesan rasa dan kesan emosi
yang tinggi dalam minda pembaca. Melalui ekslamasi, dapat meruntun hati pembaca supaya
menghayati perasaan yang disampaikan pengarang. Contoh kata ekslamasi seperti: hei, cis, aduhai,
amboi, hoi, yah, oh, wah, eh, ayuh, ah dan wahai.
Paronomasia
Paronomasia adalah sejenis puns yang merujuk kepada permainan kata-kata seperti mengulangi
perkataan dalam dua makna yang berbeza atau menggunakan perkataan yang bunyinya seakan
S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 89
sama tetapi mempunyai makna yang berbeza (Corbett dan Connors: 1999: 399). Dalam hubungan ini,
paronomasia tergolong dalam penggunaan kata-kata yang seakan sama bunyinya tetapi berbeza
maknanya. Contohnya: Ramai askar yang berbaju perang berangkat menuju ke medan perang.
Majaz Melayu
Majaz Melayu merujuk kepada kaedah orang Melayu memanipulasi bahasa secara simbolik dan
kiasan melalui bahasa lisan atau tulisan untuk menyampaikan idea, fikiran dan perasaan mereka.
Orang Melayu menggunakan pelbagai elemen bahasa seperti peribahasa, pepatah, petitih, kiasan,
pelambangan, perbilangan, sindiran, imejan di samping penggunaan patah kata, suku kata seperti
awalan, sisipan atau akhiran.
Dalam Ilmu Mengarang Melayu (2000), Za’ba telah meletakkan peribahasa setara dengan
simpulan bahasa dan kiasan. Peribahasa dipecahkan kepada tiga kategori utama, iaitu peribahasa
yang membawa makna selapis, peribahasa berlapis dan lidah pendeta. Beliau membahagikan
bidalan, perbilangan dan pepatah sebagai peribahasa yang membawa makna selapis, manakala
perumpamaan sebagai peribahasa berlapis. Menurut Za’ba, gunanya peribahasa Melayu, (i) untuk
menghiasi karangan dan percakapan, (ii) menguatkan tujuan karangan atau percakapan, (iii) boleh
dijadikan pedoman hidup kerana isinya yang benar dan luas. Antara majaz Melayu yang terpenting
ialah, pantun, pepatah, bidalan, tamsilan dan simpulan bahasa.
Pantun
Pantun tergolong dalam puisi Melayu tradisional yang dipercayai berakar umbi daripada sastera lisan
dalam kalangan rakyat bawahan sebelum berkembang kepada bentuk penulisan. Menurut Za’ba
(2002: 222) pantun ialah kaedah karangan berangkap yang jati terpakai pada orang-orang Melayu
bagi menggambarkan fikiran hiba sayu dan warna-warna perasaan yang indah-indah seperti hal ehwal
berkasih sayang dan pujuk rayu yang lemah lembut antara kekasih dengan kekasihnya. Contoh
pantun Melayu yang indah dan membawa mesej didaktik seperti:
Tanjung Katung jauh ke laut
tampak dari belakang mati
laksana apung di tengah laut
dipukul ombak jatuh ke tepi
Lambang apung dalam pantun ini membawa maksud sesuatu yang timbul di atas air.
Hakikatnya kedudukan apung tidak kukuh dan mudah dihanyutkan air ke mana sahaja. Begitu juga
dengan manusia yang tidak punyai kekuatan diri, sudah pasti akan punah dan sirna seandainya
dilanda cabaran hidup. Kiasan pada kata apung yang dipukul ombak amat cocok dengan sifat
manusia yang tidak mempunyai prinsip hidup, jahil, miskin rohani dan jasmani. Manusia sedemikian
umpama sampah sarap yang terbuang di tengah lautan. Begitu mudah dipukul ombak ke tepi dan ke
tengah. Tidak mempunyai kekuatan untuk mempertahankan dirinya sendiri serta mudah dipengaruhi
dan diperkotak-katikkan oleh orang lain.
S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 90
Pepatah
Pepatah adalah salah satu unsur dalam peribahasa Melayu. Pepatah ialah kiasan yang digunakan
untuk mematah atau memutuskan pembicaraan orang lain. Pepatah lebih memberatkan tentang sifat
ringkasnya, bijaksana perkataannya dan benar pengajarannya (Za’ba, 2002: 170). Contoh pepatah
seperti: Biar lambat asal selamat, Alah bisa tegal biasa, Bahasa menunjukkan bangsa dan
sebagainya.
Bidalan
Bidalan merupakan satu lagi bentuk dalam peribahasa yang digolongkan dalam sastera Melayu lama.
Bidalan lebih memberatkan tentang sifat melekatnya di mulut orang ramai dan tentang bandingan dan
teladan yang ada di dalamnya (Za’ba, 2002: 170). Contoh bidalan seperti: Bawa resmi padi; makin
berisi makin tunduk, atau Ikut suka luka, ikut hati mati, ikut rasa binasa.
Tamsilan
Tamsilan berasal daripada bahasa Arab at-tamsil. Tamsilan bertujuan mengumpamakan seseorang
atau sesuatu mengenai pekerti, tabiat dan keadaan. Biasanya, tamsilan dimulai dengan kata-kata:
seperti, laksana, bagai, sebagai. Menurut Za’ba (2002: 170) tamsilan ialah peribahasa yang
menyebutkan sesuatu maksud dengan diumpamakan atau dikiaskan kepada sesuatu perkara lain dan
oleh sebab itu jadi ertinya dua lapis. Contoh tamsilan: Seperti bulan di pagar bintang, Seperti sirih
pulang ke gagang, Seperti embun di hujung rumput dan lain-lain.
Simpulan Bahasa
Simpulan bahasa merupakan rangkaian perkataan atau ungkapan yang telah tersimpul dengan
susunan yang khas dan digunakan dengan makna khusus, berlainan daripada makna asalnya (Safian
Hussain, et al. 1988: 308). Bentuk majaz ini paling banyak digunakan oleh orang Melayu kerana
sifatnya yang ringkas dan dapat menyampaikan maksud dengan tepat, tajam dan berseni. Contoh
simpulan bahasa seperti: menongkat langit, berganti tikar, bongkok sabut dan kaki bangku.
KATA KUNCI
1. Stilistik 4. Skema 7. Majaz
2. Hiperbaton 5. Peribahasa 8. Anomatopia
3. Parentesis 6. Alusi 9. Pantun
S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 91
PENILAIAN KENDIRI
1. Bincangkan dengan jelas pengertian stilistik.
2. Apakah yang dimaksudkan dengan konsep kejujuran dan kesantunan.
3. Apakah yang dimaksudkan strategi skema dan majaz.
4. Jelaskan lima jenis metafora menurut pandangan Za’ba.
5. Bina dua ayat menggunakan teknik anomatopia atau paronamasia.
Bahan Rujukan
Awang Sariyan (1992) Asas Penulisan Deskriptif. Kuala Lumpur: Menara Ilmu Sdn Bhd.
_____________( 2006. Tertib Mengarang. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ismail Ahmad (1996) Penulisan Saintifik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Henry Guntur Tarigan (1986) Menulis sebagai Satu Ketrampilan Berbahasa. Bandung: Penerbit Angka.
Sulaiman Masri et al. (2007) Bahasa Melayu; Rujukan Menengah. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd. Za’ba. (2000). Ilmu Mengarang Melayu. Edisi Rumi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.