Post on 23-Jul-2015
NUR Izzati Azahar dipeluk
NUR Izzati Azahar dipeluk erat oleh ibunya, Fatimah Ahmad yang sebak dan menitiskan air mata
kegembiraan setelah mendapat tahu anaknya mendapat 5A dalam keputusan peperiksaan UPSR yang
diumumkan di SK Tracisian, Ipoh, semalam
IPOH 19 Nov. - Saat melihat namanya tertera di papan kenyataan sekolah sebagai salah
seorang murid cemerlang yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah
(UPSR) benar-benar menggembirakan Nur Izzati Azahar.
Namun, kegembiraannya hanya untuk sementara kerana kemiskinan yang
membelenggu kehidupan keluarganya menghalang dia daripada
menggenggam slip yang berada di depan mata itu seperti rakan-rakan lain.
Anak kepada pasangan pemandu lori dan pekerja kilang itu tidak dibenarkan oleh pihak
sekolah untuk mengambil slip itu kerana gagal menjelaskan yuran berjumlah RM57.
"Walaupun tak dapat pegang slip keputusan, saya gembira kerana dapat buktikan kemiskinan
bukan penghalang kejayaan," katanya sebak ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK)
Tarcisian Convent di sini hari ini.
Nur Izzati, anak kedua kepada pasangan Azahar Ariffin, 41, dan Fatimah Ahmad, 42, adalah
antara 34 murid SK Tarcisian Convent yang mendapat keputusan A dalam semua mata
pelajaran.
Menurut ibunya, pendapatan keluarga yang tidak menentu menyebabkan Nur Izzati terpaksa
'berhutang' dengan pihak sekolah.
Menurut Fatimah, kesihatannya yang tidak mengizinkan dan sumber kewangan keluarga yang
terhad menyebabkan dia tidak mampu menyediakan yuran peperiksaan Nur Izzati.
Malah, impiannya untuk melihat anaknya itu belajar di sekolah berasrama penuh juga
mungkin tidak dapat ditunaikan kerana kedaifan keluarga mereka.
"Saya berharap sangat dia akan dapat menyambung pelajaran ke sekolah berasrama. Dia
sendiri pun menyatakan keinginan itu tetapi kami tidak mampu untuk memenuhi
kehendaknya," katanya.
Sementara itu, Nur Izzati yang bercita-cita menjadi doktor berhasrat melanjutkan pengajian ke
peringkat paling tinggi bagi mengubah nasib keluarganya.
"Saya mahu mengubah nasib keluarga dan buktikan kepada semua bahawa saya juga boleh
berjaya," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Mohd. Radzi Abd. Jabar berkata, kes pelajar
lewat atau tidak menjelaskan yuran sekolah se hingga menyebabkan mereka tidak dapat
mengambil slip keputusan pe periksaan bukan perkara baru.
Katanya, masalah tersebut biasanya berlaku kerana ibu bapa atau pelajar sendiri enggan
berjumpa atau bekerjasama dengan pengurusan sekolah.
Kegagalan ibu bapa atau pelajar berbuat demikian katanya, menyebabkan pengurusan sekolah
tidak mempunyai rekod yang dapat mem bantu pelajar dalam kategori kurang berkemampuan.
"Pihak sekolah pula perlu menjaga bukan seorang sahaja pelajarnya. Biasalah, bila hujung
tahun ini, sekolah perlu mengemas kini rekod, jadi mesti ada yang menghadapi masalah ini
jika mereka tidak berjumpa pihak pengurusan sekolah," katanya ketika dihubungi Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Sumber: Utusan Malaysia 20.11.2009