Post on 25-Apr-2017
PENGAJARAN, TEKNOLOGI & PENAKSIRAN II
(KPD 3026 AT20B)
KAJIAN TINDAKAN
NAMA & NO.MATRIK;
NAJWA NAMIRAH BINTI ROSLAN
(D20101038724)
MOHD SYAMIN ISMAIL BIN MOHD SABARI
(D20101038695)
PENSYARAH:
EN. RASYIDI BIN JOHAN
ISI KANDUNGAN
BIL TOPIK
1.0 Pengenalan
2.0 Latar belakang kajian
3.0 Pernyataan masalah
4.0 Objektif kajian
5.0 Persoalan kajian
6.0 Kepentingan kajian
7.0 Tinjauan Internet
8.0 Perancangan Tindakan
9.0 Penutup
10.0 Bibliografi
KAJIAN TINDAKAN
1.0) PENGENALAN
Kajian tindakan merupakan satu kajian terhadap persekitaran sekolah yang
melibatkan penyelidik dengan niat untuk memperbaiki kualiti seseorang guru. Kajian
ini dijalankan bagi meneliti sebarang permasalahan dan isu-isu berkaitan sesi
pengajaran & pembelajaran (P&P) di sekolah.
Menurut Bassey (1990), kajian tindakan bermaksud sesuatu yang
berorientasikan kepada perubahan, berorientasikan kepada melakukan sesuatu yang
berguna dengan menggunakan pengetahuan yang telah diperoleh melalui proses-
proses kajian. Paradigma kajian tindakan ialah tentang usaha atau percubaan untuk
memperbaiki fenomena atau masalah yang berlaku di persekitaran sendiri. Menurut
McNiff (1988), kajian tindakan didefinisikan sebagai berikut;
“Pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui
perubahan dengan menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar tentang
amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut dan
bersedia untuk mengubah amalan-amalan. Melibatkan guru melaksanakan
inkuirinya sendiri serta melibatkan guru-guru lain secara kolaboratif sewaktu
mengadakan kajian”
Elliot & Adelman (1976) yang mempelopori kajian tindakan di bilik darjah di
United Kingdom pula menegaskan bahawa kajian tindakan adalah suatu pendekatan
yang berusaha meningkatkan mutu profesional guru. Ia merupakan penyelidikan
terhadap isu sosial di sekolah yang bertujuan membaiki kualiti amalan guru.
Kajian tindakan yang dijalankan oleh penyelidik adalah berdasarkan tinjauan
terhadap sesi pengajaran seorang guru yang mengajar subjek Teknologi Maklumat
dan Komunikasi (ICT) bagi pelajar tingkatan 4. Sepanjang pemerhatian penyelidik,
terdapat beberapa kelebihan dan kelemahan dalam pengajaran guru tersebut. Fokus
utama kajian yang dijalankan oleh penyelidik adalah menjurus kepada isu
permasalahan semasa pengajaran dan mencari jalan penyelesaian dalam usaha
meningkatkan kualiti pengajaran pada masa akan datang. Kajian ini meliputi
pernyataan masalah, objektif kajian, persoalan kajian, kepentingan kajian, tinjauan
internet dan perancangan tindakan.
2.0) LATAR BELAKANG KAJIAN
Berdasarkan pemerhatian melalui rakaman video sesi pengajaran dan pembelajaran
(P&P) guru tersebut, penyelidik telah mengenal pasti beberapa kelebihan dan
kelemahan yang tersurat. Dalam sesi P&P, guru tersebut telah mengajar topik sistem
komputer. Semasa set induksi di awal pengajaran, guru menggunakan pembakar roti
dan sekeping roti sebagai satu analogi dalam sistem komputer. Guru menggunakan
teknik penyoalan untuk mendapatkan pandangan daripada pelajar mengenai
perkaitan di antara analogi yang digunakan dengan topik sistem komputer. Guru
mengambil inisiatif untuk menulis setiap jawapan pelajar pada papan putih supaya
pelajar dapat memahami setiap perkaitan dengan jelas. Melalui respond yang
diberikan oleh pelajar, penyelidik berpendapat bahawa guru dapat menerangkan
perkaitan tentang analogi tersebut secara efektif. Sepanjang pemerhatian, penyelidik
juga mendapati interaksi antara guru dan pelajar sangat baik. Pelajar peka terhadap
setiap soalan yang diajukan oleh guru dan memberi respond menjadikan sesi
pengajaran dan pembelajaran tersebut aktif dan menyeronokkan. Semasa set
perkembangan, penyelidik juga mendapati guru tersebut mempunyai kemahiran
untuk menerangkan topik sistem komputer dengan baik. Aktiviti mencari gambar
yang tersembunyi di dalam makmal juga menyeronokkan dan menarik minat pelajar.
Di sebalik kelebihan, penyelidik juga mengesan beberapa kelemahan pada
sesi P&P tersebut. Sesi pengajaran dan pembelajaran agak lambat dimulakan
disebabkan faktor kelewatan pelajar. Namun, faktor kelewatan ini tidak memberikan
impak besar kepada pelaksanaan pengajaran guru tersebut. Semasa set
perkembangan, guru melakukan satu aktiviti bagi menguji pengetahuan pelajar
tentang sistem komputer. Aktiviti tersebut ialah mencari gambar perkakasan
komputer yang disembunyikan di merata tempat seluruh makmal. Perkakasan
komputer tersebut dibahagikan kepada tiga kategori iaitu input, output dan storan.
Sebelum memulakan aktiviti, guru membahagikan pelajar kepada beberapa
kumpulan mengikut warna masing-masing. Penyelidik mendapati keadaan kelas
ketika pembahagian kumpulan kurang terkawal disebabkan setiap pelajar terlalu aktif
mencari ahli kumpulan masing-masing. Guru juga kurang peka dengan persekitaran
pembelajaran. Keadaan kelas yang gelap gelita disebabkan lampu yang tidak
dinyalakan menyukarkan guru mengawal keadaan kelas berkenaan. Selain itu juga,
arahan yang diberikan oleh guru kurang jelas menyebabkan guru terpaksa
mengulang arahan tersebut beberapa kali.
Penyelidik juga mendapati sesetengah pelajar tidak mengikut arahan.
Semasa aktiviti dijalankan, guru meminta setiap kumpulan untuk mencari gambar
serta maklumat tentang setiap gambar tersebut di internet sebelum dilekatkan di
papan putih. Namun, hanya beberapa kumpulan sahaja yang mencari maklumat
tersebut. Hal ini menyebabkan jawapan-jawapan yang ditampal berada dalam
kategori yang salah. Guru terpaksa memberi peluang kedua kepada setiap pelajar
untuk membaiki jawapan mereka. Kemudian, guru memberi markah mengikut
bilangan rajah yang betul. Seharusnya, sebelum guru menyelesaikan aktiviti ini,
guru perlu memanggil wakil dari setiap kumpulan untuk menerangkan tentang
kefahaman mereka mengenai peranti-peranti berkenaan. Dengan cara itu, guru
dapat mengesan tahap pengetahuan yang diperoleh pelajar berdasarkan aktiviti
tersebut. Masalah-masalah yang timbul inilah menyebabkan aktiviti mencari rajah
mengambil masa yang terlalu lama untuk dilaksanakan.
Tetapi secara keseluruhan, penyelidik berpendapat bahawa pengajaran yang
dilakukan oleh guru tersebut adalah baik dan dapat diterima oleh pelajar walaupun
terdapat beberapa kelemahan yang perlu di atasi.
3.0) PERNYATAAN MASALAH
Semasa guru mengendalikan sesi pengajaran tersebut, penyelidik telah mengenal
pasti beberapa aspek permasalahan dari segi strategi pengajaran, kawalan kelas
dan aktiviti kumpulan. Penyelidik memberi fokus utama terhadap aktiviti berkumpulan
semasa set perkembangan disebabkan tempoh masa pelaksanaannya sangat lama.
Antara masalah yang dihadapi dalam aktiviti tersebut ialah
1. Aktiviti berlainan dengan objektif pengajaran dan pembelajaran
Berdasarkan kajian penyelidik, aktiviti berkumpulan yang dijalankan semasa set
perkembangan tidak sesuai dengan objektif pengajaran bagi topik tersebut.
Objektif pengajaran guru bagi topik sistem komputer adalah memberi fokus
kepada pelajar supaya dapat menerangkan definisi bagi sistem komputer dan
definisi input, output, proses dan storan. Namun, guru telah melakukan aktiviti
yang melibatkan klasifikasi peranti output, input dan storan. Pelajar juga belum
mempelajari jenis peranti-peranti berkenaan menyebabkan aktiviti ini kurang
sesuai dilaksanakan.
2. Pembahagian kumpulan tidak teratur
Di awal sesi P&P, guru telah mengagihkan warna bagi setiap pelajar. Terdapat
lima warna dan pelajar yang berada dalam warna yang sama berada dalam
kumpulan yang sama. Guru mengambil keputusan untuk menggunakan kaedah
ini bagi memastikan setiap kumpulan mempunyai ahli yang sama rata. Selepas
guru selesai memberi penerangan berkaitan topik pengajaran, guru meminta
setiap pelajar membentuk kumpulan masing-masing. Namun, penyelidik
mendapati sesetengah pelajar tidak mahu berganjak masuk ke dalam kumpulan
masing-masing. Sesetengah pelajar pula terlalu aktif memanggil-manggil ahli
kumpulan mereka menyebabkan keadaan kelas tidak terkawal. Kedudukan
setiap kumpulan juga tidak teratur menyebabkan mereka bercampur antara satu
sama lain. Guru terpaksa mengambil masa untuk menyusun kedudukan setiap
kumpulan agar mereka dapat melakukan aktiviti bersama ahli masing-masing.
3. Arahan guru kurang jelas
Sebelum aktiviti dimulakan, guru telah memberikan setiap pelajar satu sampul
yang mengandungi arahan berkaitan aktiviti tersebut. Namun, sesetengah
pelajar gagal memahami arahan yang telah diberikan. Guru mengambil inisiatif
untuk menerangkan arahan tersebut beberapa kali tetapi keadaan kelas yang
tidak terkawal menyebabkan guru terpaksa bergerak dari satu kumpulan kepada
satu kumpulan untuk menerangkan perjalanan aktiviti berkenaan.
4. Persekitaran kelas tidak sesuai.
Semasa pembahagian kumpulan, kelas berada dalam keadaan yang gelap.
Menunjukkan guru kurang peka dengan persekitaran kelas/makmal. Keadaan
kelas yang gelap gelita disebabkan lampu yang tidak dinyalakan menyukarkan
guru mengawal keadaan kelas berkenaan. Keselamatan pelajar juga kurang
terjamin disebabkan pelajar mencari gambar di tempat-tempat yang tinggi dan
berkabel.
5. Persekitaran kelas tidak terkawal.
Aktiviti mencari gambar tersembunyi melibatkan pergerakan pelajar secara tidak
terbatas. Pelajar bebas bergerak untuk mencari gambar di sekitar kelas
menyebabkan kelas gagal dikawal. Malah pada akhir aktiviti, pelajar enggan
mendengar arahan guru supaya kembali dalam kumpulan masing-masing.
Disebabkan pergerakan terlalu aktif, guru terpaksa berjaga-jaga dengan tingkah
laku pelajar supaya tidak merosakkan peralatan sekolah. Guru juga terpaksa
menyimpan beg tangannya di tempat lain bagi mengelakkan kehilangan barang
disebabkan sesetengah beranggapan ada gambar disembunyikan di dalam beg
tersebut.
6. Tugas secara kumpulan tidak dilaksanakan
Pada awal aktiviti, guru memberikan arahan agar setiap kumpulan
membahagikan tugas. Beberapa ahli kumpulan perlu mencari gambar dan
beberapa ahli kumpulan lagi perlu mencari maklumat tentang gambar yang telah
dijumpai sebelum dilekatkan di papan putih. Namun, arahan guru tidak
dipandang serius kerana majoriti pelajar gemar mencari gambar daripada
mencari maklumat di internet. Hanya beberapa kumpulan yang bertindak
mengikut arahan tersebut. Hal ini menyebabkan kebanyakan daripada jawapan
yang diberikan oleh pelajar tidak tepat.
7. Cara pemarkahan yang mengelirukan
Selepas aktiviti tamat, guru memberikan markah kepada setiap kumpulan
berdasarkan gambar yang betul. Namun, kriteria pemarkahan tidak dinyatakan
menyebabkan pemilihan pemenang bagi aktiviti tersebut tidak dilakukan dengan
adil.
8. Penggunaan perkataan berunsur negatif
Semasa aktiviti selesai, guru membenarkan ahli kumpulan untuk membaiki
kesalahan yang terdapat pada kumpulan lain. Terdapat pelajar tidak berpuas
hati dengan keputusan guru yang tidak membenarkan setiap kumpulan
membaiki jawapan masing-masing. Pelajar tersebut menyatakan ketidakpuasan
hatinya dengan menyatakan bahawa gurunya itu jahat. Hal ini menunjukkan
bahawa pelajar tersebut tidak menghormati gurunya. Selain itu juga, guru turut
menggunakan perkataan berunsur negatif dengan menyuruh ahli kumpulan lain
mencari kesalahan kumpulan lain. Sepatutnya, guru perlu menggunakan bahasa
berunsur positif, sebagai contoh: membaiki kesalahan. Hal ini tidak sepatutnya
berlaku kerana penggunaan bahasa berunsur negatif dalam pendidikan boleh
melunturkan motivasi seseorang.
4.0) OBJEKTIF KAJIAN
Secara rasional, objektif kajian ini dijalankan adalah untuk:
1) Menilai permasalahan serta cabaran yang dihadapi semasa proses pengajaran
dijalankan. Kajian ini mampu membantu guru menyelidik setiap permasalahan
dan kesilapan yang berlaku tanpa disedari dengan bantuan daripada penyelidik.
2) Mencari jalan penyelesaian serta usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk
mengubah dan memperbaiki amalan pendidikan. Melalui kajian tindakan yang
dijalankan, guru boleh memperbaiki setiap kelemahan agar tidak lagi mengulangi
kesilapan yang sama pada masa hadapan. Dengan itu, setiap guru boleh
meningkatkan lagi kualiti dalam profesion perguruan.
5.0) PERSOALAN KAJIAN
Penyelidik menjalankan kajian tindakan untuk mencari penyelesaian bagi persoalan-
persoalan seperti berikut:
1) Apakah permasalahan serta cabaran yang dihadapi semasa proses pengajaran
dijalankan?
2) Bagaimanakah cara untuk menyelesaikan masalah dan memperbaiki kelemahan
sedia ada?
3) Mengapakah penting bagi seseorang guru memperbaiki setiap kelemahan yang
terjadi semasa proses pengajaran?
6.0) KEPENTINGAN KAJIAN
Berdasarkan kajian yang dijalankan, penyelidik berpendapat hasil kajian dan
maklumat-maklumat yang diperoleh akan mendatangkan faedah dan manfaat
kepada dua pihak utama yang terlibat terutamanya dalam bidang pendidikan iaitu
1) Guru
- Melalui kajian yang telah dijalankan, guru mendapat sedikit ruang untuk belajar
tentang kelemahan yang terdapat pada diri dan pelajarnya
- Guru boleh menukar polisi, rancangan dan keperluan mengenai pengajaran
atau proses pengajaran pada masa hadapan.
- Dengan kajian yang dijalankan juga, guru boleh menambah pengetahuan sedia
ada untuk meningkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran.
2) Pelajar
- Keberkesanan pengajaran guru membolehkan pelajar meningkatkan ilmu
intelek serta memperkembangkan sahsiah diri selaras dengan falsafah
pendidikan negara.
7.0) TINJAUAN INTERNET
Edward M. Anthony(1963) mengatakan bahawa kaedah merupakan satu ikhtiar yang
dikehendaki dalam satu set prosedur yang tersusun, berlandaskan kepada
pendekatan yang dipilih. Ini bermakna kaedah-kaedah yang dipilih untuk proses
pengajaran dan pembelajaran haruslah berdasarkan kepada suatu pendekatan yang
berkaitan dengan model, prinsip atau teori pembelajaran. Terdapat pelbagai kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang boleh digunakan oleh guru dalam melaksanakan
proses pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimana pun, beberapa faktor yang
mempengaruhi seseorang guru memilih sesuatu kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang hendak digunakan.
1. Isi kandungan pelajaran yang hendak disampaikan oleh guru kepada pelajarnya.
2. Kesediaan pelajar atau murid juga mempengaruhi pemilihan kaedah pengajaran
dan pembelajaran oleh guru.
3. Pengetahuan dan kemahiran pedagogi guru juga mempengaruhi pemilihan
sesuatu kaedah tersebut.
4. Penyediaan bahan pengajaran dan pembelajaran.
5. Bentuk penilaian pencapaian pelajar
Pengajaran berkesan ditakrifkan sebagai pengajaran yang dapat meningkatkan
pembelajaran dalam diri pelajar (Hunter, 1995 dalam Esah, 2003). Jika pelajar itu
sendiri mempunyai kesedaran terhadap pengetahuan mereka, sudah tentu
objektif pengajaran akan dapat dicapai dengan jayanya serta memudahkan
pengajaran berlaku di dalam kelas.
Model Pengajaran Sim
Dalam model pengajaran ini, Sim telah mengutarakan lima komponen atau
pemboleh ubah iaitu objektif pengajaran, murid, isi pelajaran, guru dan
persekitaran (Asmah Ahmad, 1989 dalam Hayati, 2000). Berikut merupakan
interaksi yang berlaku mengikut model Sim:
i. Interaksi Objektif Pengajaran dengan Guru dan Pelajar
Objektif pengajaran hendaklah dibina oleh guru sebelum mengajar dan guru
hendaklah memastikan objektif itu sesuai dengan kebolehan pelajar. Di samping
itu, dengan berpandukan objektif, isi pelajaran yang sesuai disediakan.
ii. Interaksi Isi Pelajaran dengan Pelajar dan Persekitaran
Isi pelajaran yang dipilih hendaklah sesuai dan daripada persekitaran pelajar.
Dengan ini, pengajaran akan menjadi lebih bermakna kepada pelajar kerana
berkaitan dengan kehidupan mereka.
iii. Interaksi Guru dengan Pelajar dan Persekitaran
Dalam pengajaran mengikut model ini, perlu ada hubungan atau interaksi timbal
balik antara guru dengan pelajar iaitu interaksi dua hala serta dalam persekitaran
harmoni lagi mempunyai kemudahan pembelajaran.
Model CIRO (Context, Input, Reaction, Outcome)
Pendekatan ini dipelopori oleh Warr, Bird dan Rackham (1970) dalam Ibrahim
(2001). Ia merangkumi:
i. Penilaian konteks (context) iaitu meninjau keadaan dan situasi organisasi,
keperluan latihan dan objektif latihan yang dirancang dan dijalankan.
ii. Penilaian input (input) iaitu meninjau penggunaan sumber yang digunakan
untuk program pelaksanaan sesuatu program latihan.
iii. Penilaian reaksi (reaction) iaitu merujuk kepada penilaian yang dibuat dengan
cara mengumpul reaksi peserta atau pelatih terhadap program latihan yang
diikuti sama ada semasa atau selepas latihan.
iv. Penilaian hasil (outcomes) iaitu penilaian yang dilaksanakan berdasarkan
pencapaian objektif latihan.
8.0) PERANCANGAN TINDAKAN
Berdasarkan kepada Model Sim, penyelidik mencadangkan agar seorang guru
perlulah memahami konsep interaksi objektif pengajaran dengan guru dan pelajar.
Aktiviti yang dilaksanakan semasa proses pengajaran perlulah memenuhi syarat dan
keperluan mengikut objektif pembelajaran. Oleh sebab itu, seorang guru perlulah
teliti dalam memilih kaedah pengajaran.
Bagi sesi pembelajaran dan pengajaran topik sistem komputer, kaedah yang
dicadangkan oleh penyelidik ialah kaedah permainan bahasa. Walaupun kaedah ini
masih melibatkan permainan, tetapi ia merupakan satu aktiviti di mana melibatkan
guru dan semua pelajar untuk bermain sambil belajar. Aktiviti ini sangat mudah dan
praktikal terutamanya dalam penjanaan idea di kalangan pelajar. Menurut sumber
pendidikan, kaedah permainan bahasa ini mampu membuatkan pelajar-pelajar lebih
berminat untuk belajar. Setiap pelajar dikatakan memberi tumpuan yang sepenuhnya
dan selalu merujuk buku teks, internet dan sumber-sumber lain untuk menyelesaikan
permasalahan. Antara jenis-jenis aktiviti dalam permainan bahasa ini ialah, teka
silang kata, mencari dan melengkapkan perkataan yang hilang, serta membetulkan
perkataan. Rajah di bawah contoh-contoh set permainan bahasa yang disediakan
oleh penyelidik.
A R O T A M E D O M
W C P E R A N T I Q
I O R M J B N K A W
F N O G X A H C I N
I E T R L K O Y A I
Q O I E T Z W T U C
U L B T R F N Y Y I
S A W U E N X A L K
K B E P T A E O I G
R S U M U F L T S U
U G E O P I D H L K
M E U K O P S L U R
Rajah 1: Set permainan bahasa jenis teka silang kata
Lengkapkan ruangan kosong di bawah dengan jawapan yang betul
O A
Soalan; penyimpan, tempat penyimpanan, media yang digunakan untuk menyimpan
data yang diolah oleh komputer. (JAWAPAN: STORAN)
Rajah 2: Set permainan bahasa jenis melengkapkan perkataan
Melintang
- Sinonim untuk peranti - Sebuah peralatan untuk menyambungkan internet - Singkatan bagi kad antara muka rangkaian Menegak - Pendidik pelajar di sekolah - Singkatan bagi kad antara muka rangkaian tanpa
wayar - Sistem _ o _ _ u _ e _ - Singkatan bagi perkataan Wireless
Menurut Michael Berman (1981), dalam bukunya Playing And Working With
Words menerangkan bahawa pelbagai aktiviti permainan bahasa yang digunakan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat merangsang suasana
pembelajaran. Ini akan mengekalkan tumpuan dan minat murid kepada proses
pembelajaran yang sedang berlaku.
Kaedah ini tidak memerlukan tempoh masa yang terlalu panjang dan sesuai
untuk dijalankan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Pemilihan kaedah ini
membantu guru supaya lebih bijak dalam mengendalikan masa pengajaran.
Berdasarkan kepada model Sim yang mementingkan interaksi isi pelajaran dengan
pelajar dan persekitaran, isi pelajaran yang dipilih hendaklah sesuai dengan
persekitaran pelajar bagi memastikan sesi P&P berjalan dengan lancar. Kaedah
permainan bahasa ini juga sesuai digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran
berbentuk kumpulan kecil dan individu. Disebabkan bilangan pelajar dalam kelas
tersebut agak ramai, kaedah ini sesuai dijalankan secara berkumpulan.
Menggunakan kaedah ini, kelas dapat dikawal dengan lebih baik disebabkan pelajar
tidak perlu bergerak secara bebas untuk menyelesaikan permainan. Guru juga boleh
memberikan ganjaran kepada kumpulan yang dapat menyiapkan sesuatu aktiviti
dengan betul dan pantas. Pemberian ganjaran yang setimpal mampu menarik minat
pelajar untuk memberi tumpuan semasa sesi pengajaran berlaku.
Seterunya, dalam pengajaran mengikut model Sim yang menerapkan
interaksi guru dengan pelajar dan persekitaran, Sim menyatakan bahawa perlu ada
hubungan atau interaksi timbal balik antara guru dengan pelajar iaitu interaksi dua
hala serta dalam persekitaran harmoni untuk memudahkan lagi urusan
pembelajaran. Seorang guru juga perlu peka terhadap persekitaran kelas semasa
proses interaksi berlaku. Guru perlulah memastikan pelajar berada dalam keadaaan
bersedia sebelum memulakan sesuatu aktiviti. Berdasarkan model ini juga, seorang
guru perlu menjaga pertuturan semasa berinteraksi dengan pelajar. Menurut
Kamarudin Hj. Husin (1987), pertuturan merupakan kemahiran berinteraksi dalam
suasana bahasa manusia. Bahasa pertuturan sangat penting dalam bidang
pendidikan kerana ia mencerminkan tatasusila dalam profesion perguruan. Oleh
sebab itu, guru perlulah menggunakan bahasa-bahasa berunsur positif bagi
meningkatkan motivasi pelajar dalam menimba ilmu. Semasa berinteraksi, guru juga
perlu memastikan setiap interaksi yang berlaku memberi faedah kepada pelajar.
Arahan yang jelas dan betul perlu diberikan bagi memastikan pelajar tidak
melakukan sebarang kesilapan sepanjang sesi pengajaran dijalankan
9.0) PENUTUP
Secara umumnya, aktiviti yang dijalankan oleh guru tersebut amat menarik kerana
setiap pelajar bergerak secara aktif. Namun, dalam konteks pembelajaran berkaitan
topik sistem komputer, aktiviti ini kurang sesuai kerana tidak merangkumi objektif
pengajaran berkaitan topik berkenaan. Sebagai alternatif lain pada masa hadapan,
guru boleh menggunakan kaedah permainan bahasa seperti teka silang kata,
melengkapkan perkataan dan sebagainya. Selain itu juga, seorang guru perlu
menitikberatkan aspek persekitaran dan kawalan kelas bagi memastikan sesi
pengajaran dan dikendalikan dengan baik.
Kesimpulan yang dapat dibuat ialah melalui kajian tindakan, penyelidik dapat
mengenal pasti permasalahan dan cabaran yang dihadapi oleh guru serta mencari
idea dan penyelesaian supaya guru dapat mengubah kaedah pengajaran yang
negatif pada masa akan datang
10.0) BIBLIOGRAFI
Azizi Yahaya et. al (2007). Menguasai Penyelidikan dalam Pendidikan. Kuala
Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Abdul Razaq Ahmad (2009). Strategi dan Model Pembalajaran Sejarah.
Kuala Lumpur: Penerbitan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Esah Sulaiman (2003). Asas Pedagogi. Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia
Jean McNiff. (n.d). Action Research and the Professional Learning of Teachers.
Diambil 1 Mei, 2013 dari http://www.jeanmcniff.com/items.asp?id=42.
Sabah. (n.d). Teori dan Model P&P. Diambil 30 Mei, 2013 dari
http://www.sabah.edu.my/skpmtdon/notes/Teori%20&%20Model%20P&P.pdf
Slideshare. (n.d). Tugasan Kelas Kajian Tindakan dan Konsep. Diambil 30 Mei, 2013
dari http://www.slideshare.net/mazlan81/kemahiran-mikropengajaran.