Post on 06-Feb-2018
4th
International Research Management & Innovation Conference (IRMIC 2017)
Institut Latihan Malaysia (ILIM) Bangi, 7 September 2017
53
KEBEBASAN TERMA DALAM KONTRAK PELESENAN PATEN
1Haliza A.Shukor &
2Nazura Abdul Manap
hliza@usim.edu.my, & nazura@ukm.edu.my 1Universiti Sains Islam Malaysia, USIM
2Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM
ABSTRAK
Kontrak pelesenan paten adalah satu bentuk kontrak yang dibuat secara bertulis berdasarkan
pada terma yang dipersetujui antara pihak-pihak yang berkontrak. Oleh kerana kebebasan
diberikan kepada pihak-pihak yang berkontrak untuk memutuskan terma-terma yang akan
dimasukkan dalam kontrak pelesenan paten, telah diperdebatkan bahawa kebebasan tersebut
akan menyebabkan salahguna hak paten. Oleh itu, kertas kerja ini akan mengenalpasti
peruntukan undang-undang yang mengawal kebebasan pihak-pihak berkontrak untuk
memasukkan terma-terma dalam kontrak pelesenan paten. Kaedah yang digunakan untuk kajian
ini adalah kajian kepustakaan dan analisis dokumen. Hasil kajian menunjukkan bahawa
walaupun kebebasan diberikan kepada pihak-pihak untuk perundingan kontrak pelesenan paten,
namun terdapat limitasi yang diwujudkan dalam bentuk peruntukan undang-undang untuk
mengawal kebebasan tersebut.
Kata kunci: Undang-Undang, Kontrak, Paten, Pelesenan, Limitasi.
4th
International Research Management & Innovation Conference (IRMIC 2017)
Institut Latihan Malaysia (ILIM) Bangi, 7 September 2017
54
1.0 PENGENALAN
Kontrak pelesenan paten merujuk kepada kontrak di mana pemilik paten (biasanya
dirujuk sebagai Pemberi Lesen) membenarkan orang lain (biasanya dirujuk sebagai
Pemegang Lesen) untuk melaksanakan hak yang diberikan oleh undang-undang paten
kepada pemilik paten. Secara amnya, kontrak pelesenan paten ialah sejenis kontrak
yang menyatakan keizinan yang diberi oleh pencipta teknologi yang telah
mempatenkan teknologi yang dihasilkan untuk dilesenkan kepada penerima teknologi.
Memandangkan kontrak pelesenan ialah sejenis perjanjian yang dibentuk
berdasarkan pada elemen-elemen penting yang membentuk kontrak, maka ia boleh
dikuatkuasakan menurut undang-undang dan juga Akta Kontrak 1950. Perjanjian
pelesenan paten mengikat pihak-pihak yang berkontrak. Perlanggaran terhadap terma-
terma kontrak pelesenan paten boleh menyebabkan pihak yang terkilan menuntut
remedi, samada dalam bentuk gantirugi atau remedi ekuiti terhadap pihak yang telah
melakukan pelanggaran kontrak.
Kontrak pelesenan paten tidak khusus kerana ia disesuaikan berdasarkan
keperluan pihak-pihak yang berkontrak. Secara amnya, pihak-pihak bebas untuk
memutuskan syarat-syarat yang akan dimasukkan dalam kontrak pelesenan paten.
Diggins berhujah bahawa kebebasan yang diberikan kepada pihak-pihak untuk
memasukkan terma dalam kontrak lesen menyebabkan pemberi lesen
menyalahgunakan hak paten mereka. Oleh itu, kajian ini dibuat bagi tujuan
mengenalpasti peruntukan undang-undang yang wujud bagi tujuan membataskan
kebebasan dalam memasukkan terma dalam kontrak pelesenan paten.
2.0 METODOLOGI
Kertas kerja ini berdasarkan kajian undang-undang tulen yang bersifat kualitatif. Kaedah
penyelidikan yang digunakan adalah pendekatan berasaskan kepustakaan dan bahan-bahan yang
digunakan dalam kajian ini termasuk Akta Paten 1983, Akta Persaingan 2010 dan Akta Kontrak
1950. Analisis kandungan dan kritikal dilakukan ke atas semua bahan dalam menentukan
kebebasan memasukkan terma dalam kontrak pelesenan paten.
4th
International Research Management & Innovation Conference (IRMIC 2017)
Institut Latihan Malaysia (ILIM) Bangi, 7 September 2017
55
3.0 PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG BERKAITAN TERMA DALAM
KONTRAK PELESENAN PATEN
Bagi tujuan mengenalpasti peruntukan perundangan yang membataskan kebebasan
untuk memasukkan terma dalam kontrak pelesenan paten, tiga jenis undang-undang
telah dikenal pasti iaitu Akta Paten 1983, Akta Persaingan 2010 dan Akta Kontrak
1950. Perbincangan lanjut berkaitannya adalah seperti berikut:
3.1 Akta Paten 1983
Akta Paten 1983 yang berkuatkuasa pada 1 Oktober 1986 bertujuan mengawal perkara
berkaitan dengan paten. Akta Paten 1983 terdiri daripada 90 bahagian yang
dibahagikan kepada 15 Bahagian yang menyediakan perkara-perkara berikut:
pentadbiran paten seperti prosedur untuk permohonan paten termasuk proses untuk
pemfailan, hak yang diberikan kepada pemilik paten, tindakan yang dikenakan jika
terdapat pelanggaran paten dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa yang
berkenaan. Perkara berkaitan pelesenan paten diperuntukkan di Bahagian IX dan
Bahagian X yang menjelaskan tentang kontrak pelesenan paten dan juga lesen wajib.
Seksyen 45 Akta Paten 1983 memperuntukkan tentang fasal-fasal taksah dalam
kontrak pelesenan paten. Menurut Seksyen 45 Akta Paten 1983, sekiranya kontrak
pelesenan paten memasukkan terma yang mengenakan sekatan yang bukan berpunca
daripada hak yang diberikan oleh Akta Paten 1983 kepada pemunya paten, maka fasal
tersebut dianggap taksah setakat mana ia mengenakan sekatan tersebut. Hak-hak
pemunya paten yang diberikan oleh Akta Paten 1983 terkandung dalam Seksyen 36(1)
Akta Paten 1983, iaitu hak mengeksploitasi paten, hak untuk menyerahhak paten dan
hak untuk membuat kontrak lesen. Seksyen 45 Akta Paten 1983 juga menggariskan
beberapa perkara yang tidak disifatkan sebagai sekatan, iaitu; sekatan terhadap skop,
jangka masa eksploitasi paten, kawasan geografis, kualiti atau kuantiti keluaran yang
berkaitan dengan paten; dan kewajipan yang dikenakan ke atas pemegang lesen untuk
menahan diri daripada semua perbuatan yang boleh menjejaskan kesahan paten
tersebut. Secara ringkasnya, sekiranya pihak-pihak berkontrak memasukkan terma-
terma yang mengandungi sekatan yang tidak termasuk dalam Seksyen 45 Akta Paten
1983, maka, terma tersebut adalah tidak sah.
4th
International Research Management & Innovation Conference (IRMIC 2017)
Institut Latihan Malaysia (ILIM) Bangi, 7 September 2017
56
3.2 Akta Persaingan 2010
Undang-Undang Persaingan di Malaysia telah diperkenalkan sejak tahun 2010 melalui
Akta Persaingan 2010 yang telah berkuatkuasa pada tahun 2012. Matlamat utama
undang-undang persaingan di Malaysia ialah untuk mempromosikan pembangunan
ekonomi melalui promosi dan perlindungan terhadap proses persaingan. Akta
Persaingan 2010 mengandungi 67 bahagian yang dibahagikan kepada 6 bahagian iaitu;
Permulaan pada Bahagian I, Bahagian II mengenai amalan antikompetitif, Bahagian III
mengenai penyiasatan dan penguatkuasaan, Bahagian IV mengenai keputusan oleh
suruhanjaya, Bahagian V berkaitan Tribunal Rayuan Persaingan Bahagian VI berkaitan
perkara-perkara am. Akta Persaingan 2010 melarang dua jenis amalan anti-persaingan
iaitu larangan terhadap perjanjian mendatar dan menegak serta larangan terhadap
perbuatan salah guna kedudukan dominan.
Dalam konteks kontrak pelesenan paten, larangan memasuki perjanjian
mendatar dan perjanjian menegak merupakan peruntukan undang-undang yang
membataskan kebebasan dalam memasukkan terma dalam kontrak pelesenan paten. Ini
kerana melalui Seksyen 4(1) Akta Persaingan 2010, ia melarang perjanjian mendatar
atau menegak yang mempunyai matlamat atau kesan menghalang atau menggangu
persaingan secara signifikan dalam pasaran. Ia bermaksud bahawa kontrak pelesenan
paten yang dibuat samada di antara pesaing dalam industri atau sebaliknya dilarang
mempunyai matlamat atau kesan yang menghalang persaingan dalam pasaran.
Tambahan pula, melalui Seksyen 4(2) Akta Persaingan 2010, ia memperuntukkan
larangan secara spesifik ke atas perjanjian mendatar yang mempunyai salah satu
daripada matlamat yang berikut: (a) menetapkan harga, (b) berkongsi pasaran (c)
membataskan atau mengawal pengeluaran, salur keluar pasaran, pembangunan teknikal
atau pelaburan, (d) melakukan tipuan bida.
Akibat daripada perlanggaran peruntukkan dalam Seksyen 4 Akta Persaingan 2010
akan menyebabkan penalti kewangan dikenakan ke atas pihak-pihak yang berkontrak.
Ini telah disebut secara jelas dalam Seksyen 40(1) Akta Persaingan 2010 yang
memperuntukkan bahawa sekiranya Suruhanjaya memutuskan terdapat perlanggaran
larangan di Bahagian II Akta Persaingan 2010, maka penalti kewangan merupakan
salah satu penalti yang boleh dikenakan ke atas pihak-pihak yang berkontrak. Selain
4th
International Research Management & Innovation Conference (IRMIC 2017)
Institut Latihan Malaysia (ILIM) Bangi, 7 September 2017
57
daripada implikasi kewangan, keesahan kontrak pelesenan paten juga akan terjejas
akibat daripada memasukkan terma yang mempunyai matlamat menghalang atau
mengganggu persaingan di pasaran. Walaupun ia tidak disebut secara jelas di dalam
Akta Persaingan 2010, namun, menurut Seksyen 24 Akta Kontrak 1950, sesuatu
perjanjian yang mempunyai tujuan yang dilarang oleh undang-undang akan
menyebabkan kontrak tersebut tidak sah. Oleh itu, sekiranya kontrak pelesenan paten
memasukkan terma yang mempunyai matlamat yang dilarang dalam Sekyen 4 Akta
Persaingan 2010, maka kontrak tersebut menjadi tidak sah.
3.3 Akta Kontrak 1950
Kontrak menurut Seksyen 2(h) Akta Kontrak 1950 merupakan perjanjian yang boleh
dikuatkuasakan oleh undang-undang. Menurut Seksyen 10(1) Akta Kontrak 1950,
semua perjanjian adalah kontrak sekiranya ia dibuat atas kerelaan bebas oleh pihak-
pihak yang layak berkontrak, untuk suatu balasan yang sah dan dengan tujuan yang sah
dan tidak ditetapkan dengan nyta bahawa ianya batal.
Dalam perkara berkaitan kontrak pelesenan paten, ia mengandungi kesemua
elemen-elemen penting yang membentuk kontrak, namun keesahan kontrak menjadi
isu sekiranya ia mengandungi salah satu perkara yang disenaraikan dalam Seksyen 24
Akta Kontrak 1950. Menurut Seksyen 24 Akta Kontrak 1950, sesuatu perjanjian yang
mempunyai tujuan yang dilarang oleh undang-undang akan menyebabkan kontrak
tersebut tidak sah. Menurut Seksyen 24 Akta Kontrak 1950, balasan atau tujuan
sesuatu perjanjian adalah sah kecuali: (a) ianya dilarang oleh undang-undang; atau (b)
ianya bersifat sedemikian rupa jika dibenarkan, maka ianya akan mengecewakan
peruntukan mana-mana undang-undang; atau (c) ianya merupakan frod; atau (d) ianya
mendatang atau melibatkan bencana kepada diri atau harta orang lain; atau (e)
mahkamah menganggapnya tak bermoral, atau bertentangan dengan muslihat awam.
Oleh itu, sekiranya kontrak pelesenan paten dimasuki oleh pihak pemegang lesen dan
pemberi lesen yang mempunyai balasan atau matlamat seperti yang disenaraikan dalam
Seksyen 24 Akta Kontrak 1950, maka kontrak pelesenan paten tersebut akan menjadi
tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang.
4th
International Research Management & Innovation Conference (IRMIC 2017)
Institut Latihan Malaysia (ILIM) Bangi, 7 September 2017
58
4.0 ANALISIS KAJIAN
Berdasarkan pada perbincangan di atas, hasil kajian mendapati bahawa terdapat
beberapa peruntukan undang-undang yang membataskan kebebasan memasukkan
terma dalam kontrak pelesenan paten yang terdiri daripada Akta Paten 1983, Akta
Persaingan 2010 dan Akta Kontrak 1950. Selain itu, terdapat implikasi keesahan
sesuatu kontrak pelesenan paten sekiranya pihak-pihak berkontrak melanggar
peruntukan yang terkandung dalam Akta Paten 1983 dan juga Akta Persaingan 2010
seperti dalam Rajah 1 di bawah.
Rajah 1: Limitasi Terma Dalam Kontrak Pelesenan Paten dan Implikasi.
LIMITASI TERMA
DALAM KONTRAK
PELESENAN PATEN
AKTA PATEN 1983
Seksyen 45
AKTA PERSAINGAN
2010
Seksyen 4
AKTA KONTRAK 1950
Seksyen 24
AKTA PATEN 1983
Seksyen 45: Fasal yang
dimasukkan adalah
tidak sah
AKTA KONTRAK 1950
Seksyen 24:
Kontrak tidak sah
AKTA PERSAINGAN
2010
Seksyen 40: Penalti
AKTA KONTRAK 1950
Seksyen 24: Kontrak
tidak sah
4th
International Research Management & Innovation Conference (IRMIC 2017)
Institut Latihan Malaysia (ILIM) Bangi, 7 September 2017
59
Walaupun peruntukan undang-undang yang membataskan kebebasan terma
dalam kontrak pelesenan paten terkandung dalam Akta Paten 1983 dan juga Akta
Persaingan 2010, namun, peruntukan dalam Seksyen 45 Akta Paten 1983 agak kabur.
Seksyen 45 Akta Paten 1983 tidak secara jelas menghuraikan apa yang membentuk
terma tidak sah dalam kontrak pelesenan paten. Satu-satunya penjelasan yang
ditawarkan oleh Seksyen 45 Akta Paten 1983 adalah seperti berikut; “Fasal tidak sah
adalah fasal yang mengandungi sekatan yang "tidak diperoleh daripada hak yang
diberikan oleh Bahagian ini kepada pemilik paten." Selain itu, Seksyen 45 Akta Paten
1983 juga menekankan bahawa sekatan terhadap skop, jangka masa eksploitasi paten,
kawasan geografis, kualiti atau kuantiti keluaran yang berkaitan dengan paten tersebut
tidak disifatkan sebagai sekatan. Oleh itu, skop penentuan terma tidak sah dalam
kontrak pelesenan paten adalah kurang jelas.
5.0 PENUTUP
Kesimpulannya, walaupun pihak-pihak berkontrak bebas untuk menentukan terma yang akan
dimasukkan dalam kotrak pelesenan paten, namun, terdapat peruntukan undang-undang yang
menyekat kebebasan tersebut. Sekiranya pihak-pihak berkontrak gagal mematuhi limitasi yang
telah ditetapkan, terma yang dimasukkan dalam kontrak pelesenan tersebut boleh menjadi tidak
sah atau pun kontrak tersebut secara keseluruhannya menjadi tidak sah dan tidak boleh
dikuatkuasakan oleh undang-undang. Selain itu, adalah diharapkan agar peruntukan dalam
Seksyen 45 Akta Paten 1983 ditambah baik memandangkan Seksyen 45 tersebut kurang jelas
dalam menentukan skop terma tidak sah dalam kontrak pelesenan paten. Sekiranya Seksyen 45
tersebut tidak ditambah baik, dibimbangi akan berlaku kekeliruan dengan Seksyen 4(2) Akta
Persaingan 2010 yang secara jelas melarang kemasukan terma dalam perjanjian mendatar yang
mempunyai matlamat salah satunya, mengawal pengeluaran yang mirip dengan peruntukan
dalam Seksyen 45 Akta Paten 1983 yang membenarkan sekatan ke atas kuantiti dan kualiti yang
berkaitan dengan paten.
4th
International Research Management & Innovation Conference (IRMIC 2017)
Institut Latihan Malaysia (ILIM) Bangi, 7 September 2017
60
RUJUKAN
Akta Kontrak 1950 (Akta 136).
Akta Paten 1983 (Akta 291).
Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
Diggins, B. (1955). The Patent-Antitrust Problem. Michigan Law Review, 53, 1093-1118.
Sakina Shaik Ahmad Yusoff dan Azimon Abdul Aziz (2003). Mengenali Undang-
Undang Kontrak Malaysia, Kuala Lumpur: International Law Book Services.