Post on 16-Oct-2020
KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019
(COVID-19) DI MALAYSIA 24 SEPTEMBER 2020
STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa
terdapat 64 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif
kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,666 kes
(91.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Sehingga 24 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 71 kes
baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di
Malaysia adalah sebanyak 10,576 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan
kebolehjangkitan COVID-19 adalah 777 kes. Mereka telah diasingkan dan
diberi rawatan.
Ingin dimaklumkan daripada 71 kes baharu yang dilaporkan, dua (2)
kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang
melibatkan bukan warganegara dari negara:
• Singapura: Satu (1) kes dilaporkan di Johor.
• Indonesia: Satu (1) kes dilaporkan di Selangor yang melibatkan
Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Daripada 69 kes penularan di dalam negara, 43 kes adalah warganegara
Malaysia dan 26 kes adalah bukan warganegara. Perincian kes penularan
COVID-19 dalam negara adalah seperti berikut:
• Sabah: 63 kes
o 47 kes daripada Kluster Bangau-Bangau yang melibatkan 32 kes
warganegara dan 15 kes bukan warganegara;
o 10 kes daripada Kluster Laut yang melibatkan kesemua bukan
warganegara;
o Dua (2) kes saringan kemasukan ke hospital yang melibatkan satu
(1) warganegara dan satu (1) bukan warganegara;
o Satu (1) kes daripada Kluster Benteng LD yang melibatkan
warganegara;
o Satu (1) kes saringan rujukan ke Hospital Tawau yang melibatkan
warganegara;
o Satu (1) kes saringan pra prosedur di Hospital Semporna yang
melibatkan warganegara; dan
o Satu (1) kes saringan bergejala di pusat perubatan yang
melibatkan warganegara. Kes telah dimasukkan ke Hospital
Queen Elizabeth.
• Kedah: Empat (4) kes
o Empat (4) kes daripada Kluster Sungai yang melibatkan semua
warganegara.
• Selangor: Dua (2) kes
o Dua (2) kes saringan bergejala yang melibatkan warganegara.
Mereka mempunyai sejarah pulang dari Semporna,Sabah.
Sehingga kini, terdapat enam (6) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat
di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua (2) kes memerlukan bantuan
pernafasan.
Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan
COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian
COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 133 kes (1.26 peratus daripada
jumlah keseluruhan kes).
STATUS TERKINI BAGI TIGA (3) KLUSTER DI SABAH DAN SATU (1)
KLUSTER DI KEDAH
1) Kluster Bangau-Bangau
Terdapat 47 kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Bangau-Bangau pada
hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 60 kes.
Sehingga 24 September 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 105 individu telah
disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan adalah seperti berikut:
• 60 kes dikesan positif COVID-19 (47 kes baharu); dan
• 45 individu masih menunggu keputusan.
Daripada jumlah 60 kes positif COVID-19, 42 kes adalah di kalangan
warganegara Malaysia manakala 18 adalah warganegara Filipina.
2) Kluster Laut
Terdapat 10 kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Laut pada hari ini. Ini
menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 22 kes. Sehingga 24
September 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 488 individu telah disaring
dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan adalah seperti berikut:
• 22 kes dikesan positif COVID-19 (10 kes baharu);
• 352 individu negatif; dan
• 114 individu menunggu keputusan.
Kesemua 22 kes positif COVID-19 dalam kluster ini adalah di kalangan
warganegara Filipina.
3) Kluster Benteng LD
Terdapat satu (1) kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Benteng LD pada
hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 730 kes.
Sehingga 24 September 2020 jam 12:00 tengah hari, sejumlah 10,521
individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan mengikut
daerah adalah seperti berikut:
• Tawau (7,951 individu disaring);
o 570 kes dikesan positif COVID-19;
o 6,136 individu negatif; dan
o 1,245 individu menunggu keputusan.
• Lahad Datu (2,569 individu disaring):
o 159 kes dikesan positif COVID-19 (1 kes baharu);
o 1,901 individu negatif; dan
o 509 individu menunggu keputusan.
• Sandakan - Satu (1) kes dikesan positif COVID-19, tiada saringan dan
pertambahan kes baharu.
Berdasarkan keseluruhan saringan bagi kluster ini, pecahan saringan
melibatkan:
• 1,771 banduan dan tahanan di mana 617 kes dikesan positif COVID-19;
• 1,159 kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dan
Penjara Tawau di mana 24 kes dikesan positif COVID-19;
• 1,394 ahli keluarga kepada kakitangan, banduan dan tahanan di mana
27 kes dikesan positif COVID-19;
• 1,526 pegawai agensi kerajaan lain di mana tiada kes dikesan positif
COVID-19; dan
• 4,671 kontak sosial di mana 62 kes dikesan positif COVID-19.
Daripada jumlah 730 kes positif COVID-19, 415 kes adalah di kalangan
warganegara Malaysia manakala 315 kes adalah bukan warganegara yang
melibatkan negara:
• Filipina (202 kes); dan
• Indonesia (113 kes).
Ingin dimaklumkan bahawa jumlah kes akan sentiasa dikemaskini dan
kategori bagi kes positif mungkin akan berubah bergantung kepada maklumat
terkini hasil siasatan di lapangan.
4) Kluster Sungai
Terdapat empat (4) kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Sungai pada
hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 91 kes.
Sehingga 24 September 2020 jam 12:00 tengah hari, sejumlah 25,167
individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan jumlah saringan mengikut
negeri adalah seperti berikut:
a. Kedah (24,947 individu disaring):
• 90 kes dikesan positif COVID-19 (4 kes baharu);
• 24,584 individu negatif; dan
• 273 individu menunggu keputusan.
b. Pulau Pinang (142 individu disaring):
• 142 individu negatif.
c. Perlis (78 individu disaring):
• Satu (1) kes dikesan positif COVID-19; dan
• 77 individu negatif.
Kesemua 91 kes positif dalam kluster ini merupakan warganegara Malaysia.
Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case
Detection) bagi kluster-kluster ini masih diteruskan dan status terkini akan
dimaklumkan dari semasa ke semasa.
PERKEMBANGAN NILAI Rt DALAM NEGARA DAN KEPERLUAN
MENDESAK PEMATUHAN PROSEDUR AMALAN STANDARD (SOP)
Malaysia mula mencatatkan nilai Rt atau R naught (R0) penularan jangkitan
COVID-19 yang tinggi pada 7 September 2020 (nilai Rt 1.72). Berikutan
situasi peningkatan kes COVID-19 di negeri Sabah dan negeri Kedah, nilai Rt
di kedua-dua negeri ini telah memberi kesan besar terhadap nilai Rt bagi
negara. Situasi penularan COVID-19 di dalam negara dikhuatiri akan terus
meningkat secara mendadak (exponential) sekiranya langkah kawalan tidak
dijalankan dengan agresif.
Susulan itu, pelbagai tindakan kawalan dan pencegahan kesihatan awam
telah dipergiatkan. Kerajaan telah memperketatkan syarat kemasukan dari
negara-negara berisiko tinggi di Pintu Masuk Antarabangsa dan pihak
penguatkuasa telah mempertingkatkan kawalan sempadan dengan menyekat
kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di laluan-laluan tikus.
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di
beberapa kawasan juga telah turut membantu kawalan. Tindakan pantas
pengesanan kontak rapat kes-kes positif, perluasan saringan bersasar
terhadap golongan berisiko tinggi, pelaksanaan kuarantin, dan pemberian
rawatan awal kepada kes yang bergejala telah berjaya menurunkan nilai Rt
sehingga kurang dari 1.0.
Walau bagaimanapun, nilai Rt dilihat tidak stabil dan kembali meningkat. Pada
23 September 2020 ianya telah meningkat kembali kepada 1.34 iaitu melebihi
1.0 (nilai Rt di Sabah adalah 1.37 dan Kedah 1.15 (Rujuk Lampiran 2). Oleh
yang demikian, lebih banyak usaha perlu dilakukan Bersama bagi
memutuskan penularan jangkitan COVID-19 di dalam komuniti. Sekiranya
tiada urusan di luar masyarakat dinasihatkan supaya kekal berada di rumah.
Di negeri Sabah, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya
Pilihanraya (SPR) telah membangunkan SOP bagi aktiviti berkempen dan
mengundi. KKM merayu, patuhilah SOP tanpa mengira status dan kedudukan
dalam masyarakat. Bantulah Negara dalam mengawal penularan COVID-19
ini.
Walaupun kebanyakan kawasan di negara kini sudah bertukar menjadi zon
hijau, namun KKM ingin mengingatkan bahawa kes COVID-19 masih berada
di dalam komuniti kita. Pembahagian warna zon hijau, kuning, dan merah
adalah berdasarkan bilangan kes setempat dalam masa 14 hari kebelakang.
Sehingga 24 September 2020, terdapat lima (5) kawasan di Malaysia yang
sudah bertukar menjadi zon merah. Terdapat empat (4) zon merah di Sabah
dan satu (1) zon merah di Kedah iaitu (Rujuk Lampiran 3):
a. Negeri Sabah:
• Tawau;
• Lahad Datu;
• Kunak; dan
• Semporna.
b. Negeri Kedah:
• Kota Setar.
KKM ingin menasihatkan, individu bergejala yang baru mengunjungi atau
datang dari zon merah wajib melakukan ujian saringan COVID-19 di fasiliti
kesihatan berhampiran. Individu tidak bergejala yang baru mengunjungi
atau datang dari zon merah juga amat digalakkan untuk melakukan ujian
saringan dan kuarantin kendiri bagi melindungi ahli keluarga, rakan-rakan
serta masyarakat di sekitarnya.
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-
nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu
kebiasaan baharu dalam kehidupan harian:
• Elakkan 3S / 3C : iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place),
elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang
atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
• Amalkan 3W : iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun
(Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang
telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1
Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari
KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
o Elakkan bersalaman / bersentuhan termasuk melagakan mana-
mana bahagian tubuh badan sebagai menggantikan cara
kebiasaan bersalam;
o Amalkan etika batuk dan bersin;
o Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
o Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
o Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang
kerap disentuh.
Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:
• S : Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan
Pergerakan Pemulihan (PKPP);
• O : Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas
dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan
bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
• P : Penjarakan fizikal (physical distancing) sekurang-kurangnya 1 meter
diamalkan pada setiap masa.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam
negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada
pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa
dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga,
KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya
adalah dilaksanakan secara berterusan.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA 24 September 2020 @ 5.00 petang.
LAMPIRAN 1
BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA
(SEHINGGA 24 SEPTEMBER 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)
NEGERI
BILANGAN KES
BAHARU *( )
BILANGAN
KES
KUMULATIF
W.P. KUALA LUMPUR 0 2,650
SELANGOR 3 (1) 2,220
SABAH 63 1,386
NEGERI SEMBILAN 0 1,044
JOHOR 1 (1) 753
SARAWAK 0 703
PAHANG 0 371
KEDAH 4 344
PERAK 0 269
MELAKA 0 262
KELANTAN 0 161
PULAU PINANG 0 142
TERENGGANU 0 114
W.P. PUTRAJAYA 0 99
PERLIS 0 33
W.P. LABUAN 0 25
JUMLAH KESELURUHAN 71 (2) 10,576
*( ) adalah merujuk kepada kes-kes import
LAMPIRAN 2
LAMPIRAN 3