Post on 15-Apr-2016
LAPORAN PERLAKSANAAN KARNIVAL SUKAN WARISAN
SEKOLAH KEBANGSAAN BEKELAM TAHUN 2012
NAMA PROJEK/AKTIVITI : Karnival Sukan Warisan 2012
TEMPOH PERLAKSANAAN : Rabu
: 11 Julai 2012
: 3.30 petang – 6.00 petang (2 jam 30 minit)
OBJEKTIF:
1. Memperkenalkan permainan tradisional sebagai permainan budaya.
2. Memupuk persaingan yang sihat antara murid.
3. Melahirkan murid yang aktif dan sihat dari segi jasmani, rohani, intelek dan
sosial.
4. Membentuk jati diri guru yang berkemahiran serta berkebolehan dalam
mengendalikan sebarang permainan di peringkat sekolah.
STRATEGI PERLAKSANAAN:
1. Projek/aktiviti ini menggunakan pendekatan bercorak pertandingan dan
persaingan. Karnival Sukan Warisan 2012 ini menerapkan unsur-unsur
persaingan yang sihat dalam kalangan murid Sekolah Kebangsaan Bekelam,
Bachok untuk bersaing bagi mencapai kemenangan.
2. Selain itu, Karnival Sukan Warisan 2012 ini juga memupuk semangat
kerjasama antara murid-murid tahun 3, 4 dan 5 dengan maksimum bagi
memastikan kemenangan bagi setiap pertandingan berpihak kepada mereka.
Pada Rabu, 11 Julai 2012,Unit Sukan SK Bekelam telah mengelolakan satu aktiviti
iaitu Karnival Sukan Warisan 2012.Pemilihan untuk menganjurkan Karnival Sukan
Warisan ini adalah disebabkan kesedaran terhadap pentingnya menerapkan unsur-
unsur warisan tradisional budaya dalam kalangan murid-murid. Kami berpendapat
bahawa dengan menganjurkan karnival ini, murid akan didedahkan dengan sukan-
sukan tradisional yang semakin dilupakan. Sememangnya tanggapan kami berasas
memandangkan hampir sebahagian daripada murid tidak pernah berpengalaman
dalam bermain permainan yang dipilih. Justeru, kami dengan yakin beranggapan
bahawa Karnival Sukan Warisan akan memberikan manfaat dan amat berguna
kepada murid Sekolah Kebangsaan Bekelam.
Penganjuran Karnival Sukan Warisan ini adalah usahasama antara guru-guru
dengan Unit Sukan Sekolah Kebangsaan Bekelam. Kami berbincang dan
mendapatkan pandangan daripada semua guru-guru dalam merancang projek ini.
Sememangnya guru-guru banyak membantu dalam memberikan pandangan,
bantuan dan sokongan. Kami memilih untuk mengelolakan empat pertandingan
dalam karnival ini. Dengan mengambil kira faktor kewangan dan peruntukan, kami
bersetuju memilih aktiviti-aktiviti berikut untuk dipertandingkan:
i. Bowling kelapa
ii. Guni bergerak
iii. Terompah tempurung
iv. Tarik upih
Persediaan dimulakan dengan menyediakan kawasan pertandingan. Kami membuat
persiapan tempat pada waktu pagi Rabu, 11 Julai 2012. Kami membuat hiasan
kawasan pertandingan bagi menaikkan semangat dan memeriahkan karnival yang
akan dijalankan. Peralatan pertandingan dan persegaran telah disiapkan bagi
melancarkan perjalanan program pada sebelah petangnya. Seperti yang
dirancangkan, aktiviti bermula tepat pada pukul 3.30 petang setelah semua murid
berkumpul di Dewan Terbuka sekolah.
3.30 petang: Taklimat
Aktiviti dimulakan dengan memberikan taklimat kepada semua murid tahun 3,
4 dan 5. Kami menerangkan keseluruhan perjalanan aktiviti dan cara pembahagian
mata. Pemenang dipilih berdasarkan jumlah pungutan mata yang terkumpul bagi
semua pertandingan yang dijalankan. Oleh itu, murid perlu memastikan mereka
memenangi semua pertandingan bagi memperoleh mata yang tinggi. Pertandingan
juga dikendalikan mengikut kelas. Misalnya murid tahun 3 hanya akan berentap
sesama mereka. Sebelum murid bergerak ke kawasan pertandingan, kami telah
mengarahkan murid untuk menetapkan peserta yang akan mewakili kelas mereka
dalam setiap pertandingan yang dijalankan. Nama-nama murid diambil bagi
melicinkan perjalanan program.
4.0 petang: Pertandingan Bowling Kelapa
Pertandingan dimulakan dengan murid tahun 3. Semua peserta yang mewakili
kelas masing-masing diberikan taklimat berkaitan cara untuk bermain bowling
kelapa. Murid-murid kelihatan begitu teruja untuk berentap antara satu sama lain.
Setelah semua persiapan tersedia, maka pertandingan terus dimulakan.
Pertandingan ini sangat memerlukan semangat kerjasama yang tinggi. Ini kerana
pungutan mata dikira berdasarkan jumlah botol yang berjaya diterbalikkan bagi
setiap balingan. Setiap peserta diberi peluang sebanyak dua kali untuk melakukan
balingan. Ternyata pada balingan pertama, murid dilihat kaku dan kurang kemahiran
dalam membuat balingan yang baik. Namun sebaik sahaja tamat pusingan pertama,
peserta dilihat sudah mempunyai kemahiran dan keberanian dalam membuat
balingan yang jitu. Tamat sahaja pusingan kedua, kedudukan pungutan mata terus
diumumkan bagi memberi semangat kepada semua murid bagi membuat
persediaan bagi acara yang berikutnya.
Pertandingan kemudiaanya diteruskan dengan giliran peserta tahun 4 dan 5. Di
akhir pertandingan ini, kami memberikan kata semangat kepada semua murid untuk
terus berusaha bagi memenangi acara yang berikutnya.
4.30 petang: Pertandingan “Guni Bergerak”
Pertandingan ini merupakan pertandingan lari dalam guni, namun kami
memberikan nama yang baharu bagi menaikkan semangat ingin tahu murid
terhadap aktiviti yang akan dijalankan. Peserta dibahagikan kepada dua pasukan
dalam setiap kumpulan yang mereka wakili. Pasukan A akan berada disebelah
garisan permulaan manakala pasukan B akan berada bertentangan dengan mereka.
Apabila wisel ditiup, murid terus masuk ke dalam guni dan berlari kearah rakan
mereka yang berada bertentangan dengan mereka. Acara ini dijalankan secara
berganti-ganti. Apa yang diperhatikan ialah murid begitu bersemangat ketika berlari
bagi memastikan mereka sampai awal untuk memberi giliran kepada rakan mereka.
Acara guni bergerak ini juga dilihat sebagai pemangkin kepada semangat
kerjasama dalam kalangan peserta mahupun rakan-rakan yang tidak terlibat. Rakan-
rakan akan terus memberikan semangat kepada peserta yang melakukan larian.
Walaupun ada yang terjatuh ketika berlari, namuan mereka terus sahaja bangun
untuk melengkapkan larian kerana mereka mempunyai matlamat yang sama iaitu
mahu memenangi acara tersebut.
5.00 petang: Terompah Tempurung
Acara diteruskan lagi dengan pertandingan Terompah Tempurung. Kali ini,
setiap kelas masih lagi perlu menghantar 10 orang wakil bagi menjadi peserta.
Sebagaimana pertandingan Guni Bergerak, kedudukan peserta disusun seperti
sebelumnya. Bagi acara ini, peserta diuji dengan kemahiran untuk menggunakan
terompah tempurung. Mereka perlu mengimbangkan badan dengan baik dan
melakukan larian dengan pantas bagi mencapai kemenangan. Selain daripada itu,
peserta pertandingan dilihat membuat perancangan dalam menyusun giliran larian.
Mereka mengatur strategi bagi memastikan kumpulan mereka berjaya menewaskan
pesaing. Ketika aktiviti dijalankan, semua murid kelihatan terhibur dengan gelagat
peserta yang menggunakan terompah tempurung. Ada yang terjatuh, kaku dan tidak
dapat mengendalikan alatan tersebut dengan baik. Namun begitu, aspek
keselamatan tetap diutamakan dan peserta berjaya menamatkan larian dengan
selamat.
5.30 petang: Tarik Upih
Tarik Upih merupakan acara kemuncak dalam Karnival Sukan Warisan ini.
semua murid tertumpu pada acara ini. Ini memandangkan acara ini memerlukan
upih yang kebanyakkan daripada murid tidak pernah merasai pengalaman dalam
mengendalikan permainan tersebut. Apabila pasukan yang mewakili kelas telah
dipilih, kami membuat taklimat berkaitan cara pertandingan dijalankan. Format
pertandingan mengikut acara lari berganti-ganti. Namun begitu, hanya seorang yang
akan duduk di atas upih manakala dua orang akan menarik upih tersebut. Peserta
yang menarik upih akan menyerahkan tugas menarik kepada rakan mereka apabila
jarak yang sepatutnya ditarik oleh mereka telah tamat. Penarik yang terakhir perlu
membuat tariakan sehingga ke garisan penamat.
Murid kelihatan begitu bertenaga dan bersemangat dalam melaksanakan
pertandingan ini. Mereka berlumba-lumba untuk memenangi acara ini
memandangkan ia hanya dijalankan satu pusingan.
Kesimpulan
Selepas semua pertandingan selesai dijalankan, kami mengarahkan murid
untuk berkumpul bagi sesi refleksi dan penutupan. Kami menerapkan unsur-unsur
positif dan nilai-nilai murni yang terhasil daripada semua aktiviti yang telah
dijalankan. Sebelum bersurai, kami memastikan semua murid tidak mengalami
sebarang kecederaan semasa aktiviti dijalankan. Murid-murid begitu gembira dan
berharap agar pertandingan seumpama ini dapat dijalankan lagi. Majlis
penyampaian hadiah bagi pemenang akan dikendalikan pada sesi perhimpunan
mingguan pada hari Ahad minggu berikutnya.
SESI TAKLIMAT SEBELUM SEMUA ACARA DIMULAKAN
PERTANDINGAN 1: BOWLING KELAPA
PERTANDINGAN 2: GUNI BERGERAK
PERTANDINGAN 3: TEROMPAH TEMPURUNG
PERTANDINGAN 4: TARIK UPIH