Post on 17-May-2018
1
Khalid bin Abdul Samad
lwn
Ketua Pendakwa Syarie Selangor
[MahkamahTinggi Syariah Selangor, Shah Alam. Kes Mal Bil: 10500-137-0007-2017 (Tuan
Salehan Haji Yatim, HMTS)]
[5 Rabiul Awal 1439H bersamaan 24 November 2017]
Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam – Mengajar Perkara-Perkara Tentang Agama
Islam Tanpa Tauliah – Tafsiran ‘mengajar’ dan ‘tauliah’ - Seksyen 118, 119 dan 121 Enakmen
Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, Peraturan 2 dan 10 Peraturan –Peraturan
Tauliah (Negeri Selangor) 2008 serta Peraturan 2 dan 10 Peraturan –Peraturan Tauliah
(Negeri Selangor) (Pindaan) 2013.
Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah- Rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah Selangor –
Rayuan Takat Hukuman - Seksyen 136 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor)
2003.
Undang-Undang Jenayah Syariah – Kekecualian Am – Perbuatan Yang Dilakukan Oleh
Seseorang Yang Mempunyai Justifikasi Di sisi Undang-Undang – Seksyen 41 Enakmen Jenayah
Syariah (Selangor) 1995.
Fakta Kes
[1] Perayu adalah seorang Ahli Parlimen Shah Alam semasa kes ini didakwa. Perayu telah
dituduh seperti berikut:
“Bahawa kamu, pada 16 Ogos 2011, pada antara jam 10.00 hingga 11.30 malam, telah
mengajar perkara-perkara tentang Agama Islam tanpa tauliah di dalam sebuah surau
Taman Seri Sementa, Jalan Taman Seri Sementa, 42100, Daerah Klang dalam Negeri
2
Selangor. Maka dengan itu, kamu dituduh melakukan kesalahan mengajar tanpa tauliah di
bawah seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan jika
disabikan kesalahan boleh dihukum dendan tidak melebihi RM3000.00 atau dipenjarakan
selama tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya di bawah seksyen dan enakmen yang
sama.”.
[2] Setelah pertuduhan dibacakan, Perayu telah mengaku tidak bersalah dan meminta untuk
dibicarakan. Perayu telah diwakili oleh Tuan Haji Muhammad bin Burok (Allahyarham)
daripada Tetuan Muhammad & Co. Walau bagaimanapun Peguam Syarie tertuduh telah
meninggal dunia setelah kes pembelaan Perayu selesai sebelum pemfailan hujah di akhir kes
pembelaan. Selanjutnya Perayu telah melantik Tuan Dr. Zulqarnain bin Lukman daripada Tetuan
Asri Muda & Co bagi memfailkan penghujahan tertuduh diperingkat pembelaan kes.
[3] Pendengaran kes di peringkat kes pendakwaan (kes prima facie) telah dibuat di hadapan Tuan
Hakim Tuan Norafizi Fitri bin Ab Manaf. Namun demikian atas persetujuan pihak-pihak kes ini
telah disambung pendengaran di peringkat kes pembelaan tertuduh di hadapan Hakim Bicara
Tuan Hairuddin bin Abd Rahim berikutan hakim terdahulu berpindah.
[4] Pada peringkat kes akhir pembelaan, Hakim Bicara telah mensabitkan kesalahan Perayu
dibawah seksyen 119(1) EPAINS 2003 dan dihukum denda sebanyak RM2900.00 dan jika
tidak bayar penjara selama 3 bulan. Perayu yang tidak berpuashati dengan keputusan Hakim
Bicara telah memfailkan notis rayuan pada 20 Januari 2017.
3
Peguam Syarie / Pendakwa Syarie
Peguam Perayu : diwakili oleh Tuan Dr Zulqarnain bin Lukman dari Tetuan Asri
Muda & Co.
Responden : diwakili oleh Puan Aiman binti Ruslan daripada Bahagian
Pendakwaan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Nas Yang Dirujuk
-Tiada-
Undang-Undang Yang Dirujuk
1. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003- S.118 dan S.119
2. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003-S.82, S.96 dan S.129.
3. Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) (Pindaan ) 2013-Peraturan 2 dan Peraturan 10.
Kitab Yang Dirujuk
1. Dr. Abdul Qadir Audah. Al-Tasyri’ Al-Jinaie Al-Islamie. Juzu’ 1. Risalah Publisher ;
Beirut-Lebanon.
2. Hajah Noresah Binti Baharom, Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007, Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.
3. Y.A.A. Tan Sri Syeikh Ghazali bin Hj. Abdul Rahman, Proses Penghakiman dan
menjatuhkan keputusan di Mahkamah Syariah : Satu penilaian ( JH Jld 7 Bhg 1 m.s 5).
Kes Yang Dirujuk
1. Ketua Pendakwa Syarie lwn. Ahmad Rashid dan seorang lagi [JH November 1995 Jld. X
Bhg. 1, hlm. 113-120,
2. Nasrun Effendi lwn Pendakwa Raya [2009] 8 MLJ 392 ,
3. Ravindran a/l Ramasamy v Public Prosecutor [2015] 6 MLJ 509 ,
4. Public Prosecutor vs Mohamad bin Sabu [2017] MLJU 399
5. Norlisam binti Ramli lawan Ketua Pendakwa Syarie JH XV (11),
6. Moktar bin Radin lwn Pendakwa Syarie Selangor JH (1422) H Jld 33 Bhg II,
4
7. Muhammad Ridhwan bin Tokiri & Seorang lagi vs Ketua Pendakwa Syarie JH (1433) Jld
34 Bhg.2.
Penghakiman Y.A Tuan Salehan Bin Haji Yatim, HMTS.
[1] Ini adalah suatu rayuan jenayah terhadap keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah
Rendah Syariah Klang pada 19 Januari 2017 yang telah memutuskan bahawa Perayu telah
disabitkan dibawah seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003
[EPAINS 2003] dan dihukum denda sebanyak RM2900.00 dan jika tidak bayar penjara selama
3 bulan.
[2] Perayu [Khalid bin Abdul Samad) telah memfailkan notis rayuan pada 20 Januari 2017 dan
memfailkan petisyen rayuan yang bertarikh 12 April 2017.
Fakta Kes
[3] Perayu adalah seorang Ahli Parlimen Shah Alam semasa kes ini didakwa. Perayu telah
dituduh seperti berikut:
“Bahawa kamu, pada 16 Ogos 2011, pada antara jam 10.00 hingga 11.30 malam, telah
mengajar perkara-perkara tentang Agama Islam tanpa tauliah di dalam sebuah surau
Taman Seri Sementa, Jalan Taman Seri Sementa, 42100, Daerah Klang dalam Negeri
Selangor. Maka dengan itu, kamu dituduh melakukan kesalahan mengajar tanpa tauliah di
bawah seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan jika
disabikan kesalahan boleh dihukum dendan tidak melebihi RM3000.00 atau dipenjarakan
selama tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya di bawah seksyen dan enakmen yang
sama.”.
[4] Setelah pertuduhan dibacakan, Perayu telah mengaku tidak bersalah dan meminta untuk
dibicarakan. Perayu telah diwakili oleh Tuan Haji Muhammad bin Burok (Allahyarham)
daripada Tetuan Muhammad & Co. Walau bagaimanapun Peguam Syarie tertuduh telah
5
meninggal dunia setelah kes pembelaan Perayu selesai sebelum pemfailan hujah di akhir kes
pembelaan. Selanjutnya Perayu telah melantik Tuan Dr. Zulqarnain bin Lukman daripada Tetuan
Asri Muda & Co bagi memfailkan penghujahan tertuduh diperingkat pembelaan kes.
[5] Pendengaran kes di peringkat kes pendakwaan (kes prima facie) telah dibuat di hadapan Tuan
Hakim Norafizi Fitri bin Ab Manaf. Namun demikian atas persetujuan pihak-pihak kes ini telah
disambung pendengaran di peringkat kes pembelaan tertuduh di hadapan Hakim Bicara Tuan
Hakim Mohd Hairuddin bin Ab Rahim berikutan hakim terdahulu berpindah.
[6] Pada peringkat kes akhir pembelaan, Hakim Bicara telah mensabitkan kesalahan Perayu
dibawah seksyen 119(1) EPAINS 2003 dan dihukum denda sebanyak RM2900.00 dan jika
tidak bayar penjara selama 3 bulan. Perayu yang tidak berpuashati dengan keputusan Hakim
Bicara telah memfailkan notis rayuan pada 20 Januari 2017.
Petisyen Rayuan Perayu
[7] Petisyen Rayuan Perayu mengandungi 24 alasan, antara lain menyatakan;
(1) Hakim Bicara telah khilaf dan silap daripada segi undang-undang apabila gagal
untuk membuat rekod yang sempurna berkaitan penandaan khas ekshibit P4, P5, P6, P9., P10.
P11, P12 dan ini menjejaskan keesahan prosiding perbicaraan.
(2) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta dan undang –undang apabila
telah menerima ekshibit P5(rakaman video) tanpa mematuhi peruntukan undang-undang di
dalam Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah(Negeri Selangor) 2003.
(3) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta dan undang –undang apabila
memutuskan bahawa atas persetujuan pihak-pihak kes ini telah disambung pendengaran di
peringkat pembelaan tertuduh di hadapan Hakim lain sedangkan hakim baharu telah bertindak
tanpa merekodkan apa-apa persetujuan pihak-pihak.
6
(4) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta dan undang –undang untuk
mensabitkan Perayu berasaskan keterangan pendakwaan tanpa rekod yang jelas dan teratur di
dalam nota bicara oleh Hakim terdahulu tentang bagaimana suatu kes terhadap Perayu telah
diwujudkan yang jika tidak dipatahkan akan mewajarkan sabitannya dan ini akan
memprejudiskan dan memudaratkan perayu....
(5) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta dan undang –undang untuk
mensabitkan Perayu berasaskan nota bicara yang tidak direkodkan dengan sempurna dan
sepenuhnya sedangkan Hakim Bicara tidak mempunyai apa-apa peluang untuk melihat dan
mendengar keterangan saksi-saksi melainkan bergantung sepenuhnya nota bicara tersebut.
(6) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta dan undang –undang dan Hukum
Syarak apabila memutuskan bahawa tiada kecacatan dalam pertuduhan yang telah
menyebabkan Perayu terkeliru sedangkan pertuduhan yang dikenakan itu tidak mematuhi
kehendak undang-undang berkaitan perincian pertuduhan di bawah bab 3 khususnya Seksyen
78, 80 dan 82 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.
(7) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta dan undang –undang dalam
memberikan definisi “mengajar” di dalam seksyen 119(1) EPAINS 2003
(8) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta dan undang –undang apabila
memutuskan bahawa mengajar itu memberi maksud yang sama dengan berceramah sedangkan
pada masa yang material tiada definisi tersebut dijelaskan dalam mana-mana undang-undang.
(9) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta dan undang –undang dan Hukum
Syarak dalam merujuk kepada peraturan tauliah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2013 sedangkan
peraturan itu hanya berkuatkuasa selepas pertuduhan dibuat ke atasa Perayu dan tidak
dikuatkuasakan ke belakang.
(10) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta dan undang –undang dalam
memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa Perayu telah
7
mengajar perkara-perkara tentang agama Islam dengan menggunakan takrifan terlalu umum
‚precepts of Islam‘ atau perintah agama Islam merangkumi aqidah. Syariah dan akhlak dan
termasuk ajaran al-Quran dan al Sunnah menggunakan kes Sulaman bin Takrib vs Kerajaan
Negeri Terengganu sedangkan perbuatan Perayu itu dalam menceritahkan pengalamannya di
Gaza yang berhubung kait dengan kisah baju besi Saidina Ali serta surah al Hujurat ayat 9.....
(11) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta dan undang –undang dalam
memutuskan bahawa tiada keperluan memanggil saksi awam yang hadir dalam majlis tersebut
sebagai saksi pendakwaan sedangkan wujud keperluan untuk memanggil saksi awam yang
benar-benar berada dalam majlis itu..
(12) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta dan undang –undang dalam
memutuskan bahawa tindakan perayu yang bersungguh-sungguh memohon tauliah mengajar
adalah qarinah yang kuat bahawa Perayu faham keperluan tauliah..
(13) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta dan undang –undang apabila
menolak pembelaan Perayu menggunakan kecualian am di dalam seksyen 41 EJSS 2003 iaitu
Perayu mempunyai justifikasi dalam membuat penyampaian maklumat di Surau Taman Seri
Sementa..
(14) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta dan undang –undang dalam
memutuskan bahawa Perayu bersalah sedangkan Perayu menggunakan haknya sebagai
seorang warganegara untuk bersuara dan bercakap sebagaimana yang diperuntukkan dalam
Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan.
(15) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta dan undang –undang dalam
memutuskan bahawa pembelaan Perayu ditolak dan gagal menimbulkan keraguan yang
munasabah kerana Perayu gagal mengemukakan apa-apa dokumen yang menunjukkan Perayu
dijemput oleh penganjur ke majlis tersebut sebagai Ahli Parlimen dan keterangan Perayu tidak
mempunyai berat timbangan berbanding keterangan pihak Pendakwaan dengan menggunakan
seksyen 3 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 [EKMS 2003].
8
(16) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta, undang –undang dan Hukum
Syarak apabila gagal mempertimbangkan hujahan mitigasi Perayu dan menjatuhi hukuman
denda yang hampir maksima sebanyak RM2900.00.
(17) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta, undang –undang dan Hukum
Syarak apabila memutuskan bahawa pertimbangan diberikan kepada Pesalah kali pertama bagi
kes peringanan hukuman tetapi gagal mengaplikasikan prinsip itu di dalam kes ini.
(18) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta, undang –undang dan Hukum
Syarak apabila memutuskan faktor lain yang diambil kira dalam menjatuhkan hukuman adalah
jenis dan akibat kesalahan serta kepentingan awam tetapi Hakim Bicara gagal untuk
menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan kepentingan awam dalam konteks kes ini.
(19) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta, undang –undang dan Hukum
Syarak apabila memutuskan untuk menggunakan prinsip hukuman pertengahan seperti yang
dinyatakan oleh Dr. Abdul Qadir Audah dalam kitab al- Tasyri‘ al- Jinaaiy al- Islamiy tetapi
gagal mengaplikasikan prinsip itu dengan menggunakan hukuman denda sebanyak RM2900.00
sedangkan hukuman denda maksima sebanyak RM3000.00 didalam seksyen 119 EPAINS 2003.
(20) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta, undang –undang dan Hukum
Syarak apabila memutuskan untuk menggunakan prinsip pemberatan hukuman yang ditulis oleh
YAA Tan Sri Syeikh Ghazali bin Abdul Rahman dalam penulisannya ‚ proses penghakiman dan
menjatuhkan keputusan di Mahkamah Syariah: Satu penilaian“ iaitu rekod buruk pesalah, taraf
perkahwinan, taraf pesalah di dalam masyarakat dan kedudukannya yang tinggi, kekerapan
kesalahan dilakukan dan penggunaan kekerasan dan keganasan semasa melakukan kesalahan
sedangkan dalam kes ini tiada dikemukakan apa-apa keterangan mengenai rekod buruk
pesalah, kekerapan kesalahan dilakukan dan penggunaan kekerasan dan keganasan semasa
melakukan kesalahan.
(21) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta, undang –undang dan Hukum
Syarak apabila memutuskan maksud ‚maslahah ammah‘ yang ingin dijaga oleh peruntukan
9
undang-undang yang digubal adalah pengawalan pengajaran agama Islam kepada masyarakat
negeri Selangor agar tidak berlaku penyebaran agama yang menyeleweng dan menimbulkan
perpecahan dan mengganggu keharmonian masyarakat berasaskan kes Fathul Bari Mat Jahya
vs Anor vs Majlis Agama Islam Negeri Sembilan & Ors [2012] CLJ JT (2) sedangkan Perayu
berhujjah bahawa maslahah ammah itu adalah termasuk maslahah masyarakat kawasan
Parlimen Shah Alam yang akan kehilangan ahli parlimennya dan maslahah masyarakat yang
akan hilang keupayaan perayu untuk berbakti kepada masyarakat.
(22) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta, undang –undang dan Hukum
Syarak apabila memutuskan maksud maslahah ammah yang ingin dijaga oleh peruntukan
undang-undang yang digubal adalah pengawalan pengajaran agama Islam kepada masyarakat
negeri Selangor agar tidak berlaku penyebaran agama yang menyeleweng dan menimbulkan
perpecahan dan mengganggu keharmonian masyarakat berasaskan kes Fathul Bari Mat Jahya
vs Anor vs Majlis Agama Islam Negeri Sembilan & Ors [2012] CLJ JT (2) sedangkan Perayu
disabitkan dengan kesalahan ini kerana hanya perbuatan Perayu itu dalam menceritakan
pengalamannya di Gaza yang dihubung kait dengan kisah baju besi Saidina Ali dan surah al-
hujurat ayat 9.
(23) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta, undang –undang dan Hukum
Syarak apabila apabila gagal memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap mesej yang
ingin disampaikan oleh Perayu berkaitan kezaliman dan kekejaman regim Israel terhadap
penduduk Gaza sehinggakan hukuman yang dijatuhi ini telah memudaratkan kedudukan Perayu
sebagai Ahli Parlimen yang berkemungkinan hilang jawatannya dan berkemungkinan akan
terhalang daripada bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
(24) Hakim Bicara telah silap dan khilaf dari segi fakta dan undang –undang apabila
gagal untuk menerima hukuman mitigasi hujahan mitigasi Perayu untuk menggunakan
budibicara di bawah Seksyen 129(1) ETJS 2003 untuk melepaskan Perayu dalam cubaan akhlak
untuk berkelakuan baik, atas ikatan bon dan penjamin.
10
Hujah Perayu
[8] Antara isu hujah Perayu seperti berikut;
8.1 Pertuduhan ke atas tertuduh cacat dan memprejudiskan tertuduh atas alasan seperti
berikut:
a. Pertuduhan ke atas tertuduh adalah cacat kerana terdapat butiran yang tidak jelas
mengenai perkataan ‘mengajar’ dan ‘tauliah’ yang mana telah gagal memenuhi
kehendak seksyen 78 (5) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor)
2003 (selepas ini disebut ‘ETJS 2003’).
b. Pertuduhan tidak memasukkan rujukan kepada seksyen 118 EPAINS 2003 yang
mengelirukan perkataan ‘tauliah’.
c. Pertuduhan memprejudiskan tertuduh kerana terpaksa bergantung kepada maksud
mengajar tanpa tauliah secara umum yang skopnya lebih luas daripada skop yang
disebutkan dalam seksyen 118 EPAINS 2003.
d. Kesalahan mengajar tanpa tauliah hanya berlaku jika mengajar tanpa tauliah yang
diberikan di bawah seksyen 118 EPAINS 2003.
e. Tertuduh memohon Mahkamah membebaskan tertuduh dari pertuduhan dengan
merujuk kepada kes Ketua Pendakwa Syarie lwn. Ahmad bin Rashid dan seorang
lagi JH November 1995 Jld. X Bhg. 1, hlm. 113-120.
8.2 Perayu tidak dikehendaki untuk memohon apa-apa tauliah kerana ucapan
tertuduh tidak termasuk dalam makna mengajar sebagaimana peruntukan
subseksyen 118 (1) EPAINS 2003. Hujahan Perayu seperti berikut:
(a) EPAINS 2003 dan Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388) tidak memberikan
sebarang definisi ke atas perkataan ‘mengajar’.
11
(b) Definisi ‘mengajar’ hanya diberikan dalam Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri
Selangor) (Pindaan) 2013 Sel. P.U 61/2013 (selepas ini disebut “Peraturan
Tauliah 2013”) yang didefinisikan sebagai “menyampaikan sebarang maklumat
yang berkaitan agama Islam melalui ceramah, forum, pengkisahan, motivasi,
taklimat. Tazkirah, pembentangan kertas kerja, kuliah, audio visual atau cara
lain sebagaimana yang ditentukan oleh Jawatankuasa.”. Peraturan Tauliah 2013
hanya dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2011, sedangkan tertuduh dituduh
melakukan perbuatan mengajar tanpa tauliah pada 18 Ogos 2011. Oleh yang
demikian tertuduh tidak boleh dianggap menyalahi undang-undang kerana
Peraturan Tauliah tersebut tidak memberikan definisi perkataan ‘mengajar’.
(c) Pendakwa gagal memperincikan kesalahan mengajar dalam pertuduhan
sebagaimana kehendak seksyen 80 ETJS 2003 yang menyebabkan tertuduh
terkeliru apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan mengajar.
8.3 Perayu percaya bahawa beliau mempunyai justifikasi dari segi hukum syarak
mengenai kewajipannya untuk menyampaikan pengalamannya di Gaza serta
sebagai Ahli Parlimen, tertuduh mempunyai obligasi untuk menyatakan pendiriannya
terhadap sesuatu isu yang dibangkitkan. Tertuduh menghujahkan perlakuannya tersebut
termasuk dalam prinsip kekecualian am di bawah seksyen 41 Enakmen Jenayah Syariah
(Selangor) 1995 – perbuatan yang dilakukan oleh seseorang yang mempunyai justifikasi
di sisi undang-undang.
Hujah Responden
[9] Hujah Responden pula seperti berikut :
9.1 Peguam syarie Perayu tidak pernah membantah pertuduhan yang dikenakan ke atas
tertuduh sepanjang prosiding kes pendakwaan ataupun pembelaannya menunjukkan
tertuduh telah faham pertuduhan yang dipertuduhkan ke atas dirinya dan telah memenuhi
kehendak seksyen 78 dan 79 ETJS 2003.
12
9.2 Keperluan tauliah telah dengan jelas diperuntukkan oleh subseksyen 119 (1) EPAINS
2003 dan tertuduh tidak termasuk dalam orang yang dikecualikan dari tauliah
sebagaimana perutukan seksyen 121 EPAINS 2003.
9.3 Ketiadaan tafsiran terhadap perkataan ‘tauliah’ tidak menjejaskan pertuduhan berikutan
perkataan ‘tauliah’ telah jelas diperuntukkan dalam subseksyen 118 (3) EPAINS 2003
iaitu tauliah mengajar agama Islam atau mengajar perkara-perkara tentang agama Islam
yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah.
9.4 Ketiadaan definisi perkataan ‘mengajar’ tidak menjejaskan kuasa Mahkamah untuk
membuat tafsiran perkataan ‘mengajar’ tersebut. Walaupun Peraturan Tauliah 2013
berkuatkuasa selepas kejadian tertuduh mengajar perkara tentang agama Islam, tidak
menjejaskan pendakwa merujuk Peraturan Tauliah 2013 berhubung definisi mengajar
tersebut.
9.5 Pendakwa juga merujuk definisi mengajar dan berceramah dalam Kamus Dewan Edisi
Keempat Dewan Bahasa dan Pustaka yang mentafsirkan perkataan ‘mengajar’ dan
perkataan ‘ceramah’ membawa maksud yang sama iaitu menyampaikan sesuatu sama
ada tentang agama atau perkara lain.
9.6 Tiada keperluan untuk memperincikan kategori tauliah dalam pertuduhan kerana
tertuduh tidak memiliki apa-apa kategori tauliah mengikut Peraturan Tauliah tersebut dan
fakta tersebut adalah fakta yang tidak pernah disangkal oleh tertuduh.
9.7 Intipati ceramah tertuduh berhubung pergolakan di Gaza, kisah Saidina Ali yang
dikaitkan dengan keadilan perundangan Islam dan ulasan ayat 9 surah al-Hujurat adalah
dalam lingkungan perkara-perkara berkaitan dengan ajaran Islam.
9.8 Peruntukan seksyen 41 ETJS 2003 adalah peruntukan umum yang hendaklah dibaca
bersama peruntukan khusus. Seksyen 121 EPAINS 2003 dan peraturan 22 Peraturan
13
Tauliah tersebut tidak mengecualikan seorang Ahli Parlimen untuk mengajar perkara-
perkara tentang agama Islam tanpa tauliah.
9.9 Keterangan pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata yang bertentangan
dengan keterangan saksi pendakwa dan bahan bukti pendakwa yang dikemukakan di
Mahkamah. Oleh yang demikian, tertuduh telah gagal menimbulkan keraguan yang
munasabah. Pendakwa merujuk kes Pendakwa Raya lwn. Zulkifle bin Mohamad (2016)
MLJU 399 dan Mr Losali vs. Public Prosecutor (2011) 4 MLJ 694.
9.10 Ekshibit P8, P9, P10, P11 dan P12 menunjukkan hasrat Perayu untuk mendapatkan
tauliah bagi membolehkan Perayu menjadi penceramah untuk mengajar agama Islam.
Dapatan Hukum Syarak Dan Undang-Undang
[10] Mahkamah merujuk kepada seksyen 119 EPAINS 2003 iaitu ;
”(1) Mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang
Agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah seksyen 118 adalah
melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi
tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau
kedua-duanya.
(2) Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi— (a) mana-mana orang atau golongan orang yang dikecualikan oleh Majlis di
bawah seksyen 121 Enakmen ini; atau
(b) mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara
tentang agama Islam di dalam kediamannya sendiri kepada anggota
keluarganya sahaja.
[11] Seksyen 118 EPAINS 2003 memperuntukkan –
(1) Majlis hendaklah melantik suatu jawatankuasa bernama Jawatankuasa Tauliah,
yang hendaklah terdiri daripada—
(a) Setiausaha Majlis, sebagai Pengerusi; dan
(b) tidak kurang daripada tiga orang dan tidak lebih daripada tujuh orang yang
mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang sesuai.
(2) Majlis hendaklah bertanggungjawab bagi melaksanakan keputusan-keputusan
Jawatankuasa itu.
14
(3) Jawatankuasa Tauliah hendaklah mempunyai kuasa untuk memberikan tauliah bagi
maksud pengajaran agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam dan
untuk menarik balik tauliah itu.
(4) Majlis boleh membuat peraturan-peraturan yang mengadakan peruntukan bagi—
(a) tatacara, kehendak-kehendak dan perkara-perkara lain berhubungan
dengan pemberian tauliah di bawah seksyen ini, termasuk fi-fi yang boleh
dikenakan;
(b) tatacara Jawatankuasa Tauliah; dan
(c) elaun yang patut dibayar kepada anggota-anggota Jawatankuasa itu.
[12] Selain itu, Mahkamah merujuk peraturan 10 Peraturan Tauliah tersebut seperti berikut:
“Tertakluk kepada peraturan 11, Jawatankuasa boleh meluluskan dan mengeluarkan
Tauliah kepada seseorang warganegara, mengikut mana berkenaan, satu atau lebih
kategori Tauliah yang berikut:
(a) Tauliah Ceramah Umum yang membenarkan pemegangnya memberi ceramah umum
berhubung dengan apa-apa aspek agama Islam di mana-mana tempat dan dengan apa-apa jua
cara selain dari mengajar agama Islam secara berkala;
(b) Tauliah Mengajar Agama Islam berkitab yang membenarkan pemegangnya mengajar
agama Islam secara berkala di mana-mana tempat;
(c) Tauliah Khas yang membenarkan seseorang yang bukan warganegara yang dijemput
khas oleh kerajaan Negeri, jabatan atau agensinya memberi ceramah umum berhubung dengan
apa-apa aspek Agama Islam dalam program tertentu;
(d) Tauliah mengajar Al-Quran yang membenarkan pemegangnya mengajar al-Quran di
mana-mana premis; atau
(e) Tauliah khas bagi individu yang tidak memiliki kelayakan seperti yang ditetapkan
dalam perenggan 11 (1) (f) untuk mengajar bidang tertentu.
[13] Berdasarkan kepada peruntukan peraturan 10 Peraturan Tauliah tersebut, Mahkamah
bersetuju dengan ulasan Hakim Bicara bahawa keperluan mengajar agama atau perkara-perkara
tentang agama Islam tidak terhad hanya kepada mengajar agama Islam secara berkitab sahaja.
15
Bahkan peraturan 10 dengan jelas mengesahkan apa-apa ceramah umum yang berhubung
dengan apa-apa aspek agama Islam, mengajar agama berkitab dan mengajar al-quran juga
termasuk salah satu pengajaran agama islam atau perkara-perkara tentang agama Islam yang
memerlukan tauliah mengikut Peraturan Tauliah tersebut.
Ulasan Mahkamah
[14] Setelah Mahkamah meneliti 24 Petisyen Rayuan yang difailkan oleh Perayu, Mahkamah
berpendapat hanya tiga isu yang utama dalam disimpulkan iaitu;
(a) Sama ada pertuduhan yang dikenakan terhadap Perayu adalah cacat
(b) sama ada prosedur perbicaraan jenayah mengikut Tatacara Jenayah Syariah
(c) Sama ada hukuman denda tersebut wajar atau patut atau yang keras berlebih-
lebihan
Isu Pertama : sama ada pertuduhan yang dikenakan terhadap Perayu adalah cacat
[15] Perayu mendakwa bahawa pertuduhan yang dikenakan keatas beliau adalah cacat dan
mengelirukan kerana definisi ‘mengajar’ yang tidak jelas. Pertuduhan yang dibuat di bawah
seksyen 119 (1) EPAINS didakwa tidak jelas mengenai butiran ‘mengajar’ dan ‘tauliah’ dalam
pertuduhan tersebut.
[15] Pertuduhan ke atas Perayu adalah seperti berikut:
“Bahawa kamu, pada 16 Ogos 2011, pada antara jam 10.00 hingga 11.30 malam, telah
mengajar perkara-perkara tentang Agama Islam tanpa tauliah di dalam sebuah surau
Taman Seri Sementa, Jalan Taman Seri Sementa, 42100, Daerah Klang dalam Negeri
Selangor. Maka dengan itu, kamu dituduh melakukan kesalahan mengajar tanpa tauliah di
16
bawah seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan jika
disabikan kesalahan boleh dihukum dendan tidak melebihi RM3000.00 atau dipenjarakan
selama tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya di bawah seksyen dan enakmen yang
sama.”.
[16] Mahkamah berpendapat pertuduhan akan dianggap cacat secara material sekiranya
Tertuduh terkeliru disebabkan kesilapan atau peninggalan dalam suatu pertuduhan terhadap
perkara-perkara berikut, antaranya-
(i) sesuatu kesalahan ;atau
(ii) butir-butir tentang waktu, tempat dan orang [lihat seksyen 82 ETJS 2003]
[17] Ini merujuk kepada seksyen 82 ETJS 2003 yang memperuntukkan-
“Tiada kesilapan dalam menyatakan sama ada kesalahan atau butir-butir yang
dikehendaki dinyatakan dalam pertuduhan itu, dan tiada peninggalan untuk
menyatakan kesalahan atau butir-butir itu, boleh dikira, pada mana-mana peringkat
kes itu, sebagai material melainkan jika tertuduh sebenarnya telah terkeliru oleh
sebab kesilapan atau peninggalan itu.”
[18] Kesalahan yang dituduh dibawah seksyen 119 EPAINS iaitu kesalahan mengajar agama
Islam atau perkara-perkara tentang Agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah seksyen
118. Manakala butir-butir kesalahan dinyatakan dalam pertuduhan iaitu;
(a) waktu kejadian : antara jam 10.00 hingga 11.30 malam pada 16 Ogos 2011
(b) tempat kesalahan :di sebuah surau Taman Seri Sementa, Jalan Taman Seri Sementa,
42100, Daerah Klang dalam Negeri Selangor;
17
(c ) Orang yang dituduh: Khalid bin Abdul Samad
[19] Mahkamah merujuk maksud mengajar dalam Kamus Dewan Edisi Keempat Dewan Bahasa
dan Pustaka ialah
1. menyampaikan ilmu pengetahuan (kemahiran dsb) kepada orang lain;
2. membaiki kelakuan dengan memberi nasihat dsb.
3. Membuat seseorang melakukan atau tidak melakukan sesuatu berdasarkan pengalaman
dsb yang telah diperoleh
4. Memarahi (memukul seseorang) supaya dera (tidak melakukan lagi sesuatu).
Manakala perkataan ‘ceramah’ bermaksud-
1. Suka bercakap-cakap, ramah, banyak bercakap.
2. ucapan membicarakan sesuatu (spt bahasa, politik, dll), syarahan.
Manakala perkataan ‘berceramah’ bermaksud memberi (menyampaikan) ceramah. [lihat
halaman 20- 270, Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka]
[20] Selain itu, Mahkamah turut merujuk kepada Peraturan Tauliah 2013 yang mendefinisikan
perkataan ‘mengajar’ sebagai “menyampaikan sebarang maklumat yang berkaitan agama Islam
melalui ceramah, forum, pengkisahan, motivasi, taklimat, tazkirah, pembentangan kertas kerja,
kuliah, audio visual atau cara lain sebagaimana yang ditentukan oleh Jawatankuasa.”.
[21] Mahkamah bersetuju dengan hujah Peguam Syarie Perayu tafsiran dalam kamus dewan
tidak boleh mendahului penafsiran dalam Peraturan Tauliah itu. Namun sekiranya ketiadaan
tafsiran mengajar dalam mana-mana enakmen yang berkuatkuasa pada masa Perayu dituduh
maka boleh mengguna pakai tafsiran umum dalam kamus dewan tersebut sebagai panduan dan
18
membantu Hakim menafsirkan undang-undang tersebut. Perayu gagal menunjukkan sebarang
peruntukan atau otoriti yang menghalang Hakim Bicara merujuk mana-mana tafsiran demi
mencari keadilan. Mahkamah bersetuju bahawa tafsiran mengajar didalam Peraturan Tauliah
2013 tidak boleh digunapakai bagi memahami kehendak peruntukan subseksyen 119 (1)
EPAINS 2003 tersebut disebabkan definisi ini hanya dimasukkan melalui Peraturan-Peraturan
Tauliah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2013 Sel. P.U.61/2013 yang hanya dikuatkuasakan pada 1
Oktober 2011 (selepas Perayu didakwa).
[22] Mahkamah telah memeriksa catatan perbicaraan di dalam Rekod Rayuan. Mahkamah
bersetuju dengan dapatan Hakim Bicara bahawa Perayu tidak terkeliru dengan pertuduhan
tersebut sebagaimana ulasan dalam Alasan Penghakiman Hakim Bicara [Rekod Rayuan halaman
551] : “... sejak pertuduhan kali pertama dibacakan kepada tertuduh, tertuduh telah memilih
untuk dibicarakan dan kemudian sepanjang kes pendakwaan dan sepanjang kes pembelaan,
tertuduh tidak pernah membantah pertuduhan tersebut. Tertuduh juga sepanjang prosiding kes
ini berjalan tidak menunjukkan bahawa tertuduh telah terkeliru dengan pertuduhan tersebut...”
[23] Dalihan Perayu telah terkeliru dengan pertuduhan di peringkat penghujahan pembelaan
tidak dapat diterima. Perayu sepatutnya membangkitkan isu pertuduhan cacat di peringkat awal
semasa pertuduhan dibacakan.
[24] Mahkamah merujuk otoriti kes yang dirujuk Peguam Syarie Perayu iaitu kes Ketua
Pendakwa Syarie lwn. Ahmad Rashid dan seorang lagi [JH November 1995 Jld. X Bhg. 1, hlm.
113-120, Nasrun Effendi lwn Pendakwa Raya [2009] 8 MLJ 392 , Ravindran a/l Ramasamy v
19
Public Prosecutor [2015] 6 MLJ 509 , Public Prosecutor vs Mohamad bin Sabu [2017] MLJU
399. Mahkamah dengan penuh hormatnya tidak bersetuju dengan dapatan Peguam Syarie Perayu
bahawa pertuduhan yang dibuat oleh Responden ini terdapat kecacatan yang serius yang
menyebabkan Perayu terkeliru dengan tuduhan tersebut. Hakim Bicara bertindak betul
memutuskan bahawa pertuduhan tersebut tidak cacat dan Perayu tidak terkeliru dengan
pertuduhan tersebut.
[25] Sehubungan itu, berdasarkan kepada dapatan Mahkamah tersebut, Mahkamah berpuashati
bahawa pertuduhan yang dikenakan ke atas Perayu adalah tidak cacat sehingga menyebabkan
tertuduh telah terkeliru.
Isu Kedua : Sama ada prosedur perbicaraan jenayah mengikut Tatacara Jenayah Syariah
[26] Berdasarkan nota keterangan di dalam Rekod Rayuan, Mahkamah mendapati kes ini
bermula dengan pertuduhan yang dibacakan pada 26 April 2012. Perayu tidak mengaku bersalah
dan minta dibicarakan. Perayu dilepaskan dengan bon jaminan RM1500 dengan seorang
penjamin. Hakim Bicara pada peringkat ini dikendalikan oleh Tuan Norafizi Fitri bin Ab Manaf.
Kes ini mula dibicarakan pada 8 Oktober 2012 sehingga 24 April 2014 dengan keterangan saksi-
saksi pendakwaan melalui soal utama, soal balas dan soal semula iaitu Mohd Hafidz bin Ahman
(selepas ini disebut SP-1), Mohd Radzi bin Saliman (selepas ini disebut SP-2) dan Jamilah binti
Muhammad Jamil (selepas ini disebut SP-3) dan Ahmad Tarmizi bin Mohd Nokin (selepas ini
disebut SP-4) . Hakim Bicara telah memberi kebenaran pihak Pendakwa Syarie dan Peguam
Syarie Perayu berhujjah pada 29 Mei 2014. Sayangnya Peguam Syarie Perayu hanya memfailkan
hujah akhir kes pendakwaan pada 14 Ogos 2014. Tuan Hakim Abdul Malik bin Soleh, Hakim
yang membacakan keputusan dan mengarahkan Perayu membela diri pada 15 Januari 2015.
20
[27] Perayu memulakan pembelaan pada 8 Mac 2016 sehingga 21 April 2016 dihadapan Hakim
Bicara Tuan Hakim Mohd Hairuddin bin Ab Rahim. Kedua-pihak direkodkan bersetuju untuk
kes ini diteruskan dihadapan Hakim Bicara yang baru pada 8 Mac 2016 sebagaimana catatan
Hakim Bicara : “pihak-pihak telah bersetuju untuk kes pertuduhan tertuduh diteruskan
dihadapan Mahkamah.”Mahkamah beranggapan ini adalah rekod persetujuan pihak-pihak untuk
diteruskan kes ini dihadapan Hakim Bicara. Peguam terpelajar gagal menunjukkan sebarang
bantahan atau permohonan ketika mana pembelaan mula dijalankan. Maka isu pertukaran hakim
bicara berlaku ketidakadilan wajar ditolak [Rujuk kes Marimuthu a/l Seringan v Pendakwa Raya
[2016] MLJU 1561].
[28] Perayu memilih memberi keterangan secara bersumpah dengan dimulakan keterangan
utama Perayu pada 8 Mac 2016. Pihak Pendakwa Syarie telah menyoal balas Perayu pada 24
Mac 2016 dan soal semula keterangan Perayu pada 21 April 2016. Perayu tidak mengemukakan
saksi pembelaan. Selepas itu pihak-pihak diberi peluang untuk berhujjah secara bertulis. Pada 19
Disember 2016, Hakim Bicara telah mensabitkan kesalahan Perayu dibawah seksyen 119 (1)
EPAINS 2003 . Hakim Bicara telah menetapkan mitigasi Perayu hendaklah difailkan pada 5
Januari 2017 dan mitigasi balas pihak Pendakwa Syarie hendaklah difailkan pada 12 Januari
2017. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman ke atas Perayu pada 19 Januari 2017.
[29] Mahkamah berpuashati Mahkamah telah memberi keadilan dengan sebaiknya terhadap
pihak Perayu. Mahkamah telah mengikuti prosedur perbicaraan yang ditetapkan di bawah
seksyen 96 ETJS 2003 :-
96. Tatacara yang berikut hendaklah diikuti oleh Hakim dalam perbicaraan:
21
(a) apabila tertuduh hadir atau dibawa ke hadapan Mahkamah, maka pertuduhan
yang mengandungi butir-butir kesalahan yang dia dituduh melakukannya itu
hendaklah dibentuk, dibaca dan dijelaskan kepadanya, dan dia hendaklah ditanya
sama ada dia bersalah atas kesalahan yang dipertuduh itu atau meminta dibicarakan;
(b) jika tertuduh mengaku bersalah atas sesuatu pertuduhan, sama ada atas
pertuduhan asal atau yang dipinda, akuan itu hendaklah direkodkan dan dia boleh
disabitkan atas kesalahan itu: Dengan syarat bahawa sebelum suatu akuan bersalah
direkodkan, Mahkamah hendaklah menentukan bahawa tertuduh memahami sifat
dan akibat daripada akuannya itu dan dia berniat untuk mengakui, tanpa bersyarat,
kesalahan yang dikatakan terhadapnya itu;
(c) jika tertuduh enggan membuat akuan atau tidak membuat akuan atau meminta
dibicarakan, Mahkamah hendaklah mendengar pengadu, jika ada, dan mengambil
segala keterangan yang dikemukakan bagi menyokong pendakwaan itu;
(d) apabila difikirkannya perlu, Mahkamah hendaklah memperoleh daripada
pengadu atau selainnya nama manamana orang yang berkemungkinan mengetahui
fakta kes itu dan dapat memberikan keterangan bagi pihak pendakwaan, dan
hendaklah memanggil mana-mana daripada mereka, sebagaimana yang difikirkan
perlu oleh Mahkamah, untuk memberikan keterangan di hadapannya;
(e) tertuduh atau Peguam Syarienya hendaklah dibenarkan memeriksa balas semua
saksi bagi pihak pendakwaan melalui Hakim;
(f) jika, selepas mengambil segala keterangan yang disebut dalam perenggan (c), (d)
dan (e), Mahkamah mendapati bahawa tiada kes terhadap tertuduh telah diwujudkan
yang jika tak dipatahkan akan mewajarkan sabitannya, maka Mahkamah hendaklah
merekodkan perintah pembebasan;
(g) tiada ada-apa jua dalam perenggan (f) boleh disifatkan sebagai menghalang
Mahkamah daripada melepaskan tertuduh pada mana-mana peringkat terdahulu
dalam kes itu jika bagi sebab-sebab yang hendaklah direkodkan oleh Mahkamah ia
berpendapat pertuduhan itu tidak berasas;
(h) jika, apabila keterangan itu telah diambil, Mahkamah berpendapat bahawa ada
alasan untuk menganggap bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan yang
dipertuduh itu atau kesalahan lain yang Mahkamah itu kompeten untuk
membicarakannya dan yang pada pendapatnya patut dibicarakannya, ia hendaklah
menimbangkan pertuduhan yang direkodkan terhadap tertuduh dan memutuskan
sama ada pertuduhan itu mencukupi dan, jika perlu, hendaklah meminda pertuduhan
itu;
(i) pertuduhan itu jika dipinda hendaklah dibacakan kepada tertuduh sebagaimana
yang dipinda dan dia hendaklah ditanya semula sama ada dia bersalah atau ada
apa-apa pembelaan yang hendak dibuat;
22
(j) jika tertuduh tidak mengaku salah kepada pertuduhan itu sebagaimana yang
dipinda atau jika tiada pindaan dibuat, tertuduh hendaklah dipanggil untuk
membuat pembelaannya dan mengemukakan keterangannya, dan hendaklah pada
bila-bila masa apabila dia membuat pembelaannya dibenarkan untuk memanggil
semula dan memeriksa balas mana-mana saksi melalui Hakim;
(k) jika tertuduh mengemukakan apa-apa pernyataan bertulis, Mahkamah hendaklah
memfailkannya bersama-sama dengan rekod;
(l) jika tertuduh memohon kepada Mahkamah supaya dikeluarkan saman bagi
memaksa kehadiran mana-mana saksi, sama ada dia telah atau belum diperiksa
dalam kes itu, bagi maksud pemeriksaan atau pemeriksaan balas atau pengemukaan
apa-apa dokumen atau benda lain, Mahkamah hendaklah mengeluarkan saman
melainkan jika ia berpendapat bahawa permohonan itu patut ditolak atas alasan
bahawa ia dibuat bagi maksud menyusahkan atau melengahkan atau bagi
menggagalkan matlamat keadilan; dan alasan sedemikain hendaklah direkodkannya
secara bertulis;
(m) (i) jika Mahkamah mendapati tertuduh tidak bersalah, Mahkamah hendaklah
merekodkan perintah pembebasan;
(ii) jika Mahkamah mendapati tertuduh bersalah atau jika akuan bersalah telah
direkodkan dan diterima, Mahkamah hendaklah menjatuhkan hukuman
mengikut undang-undang;...”
[30] Isu berbangkit seterusnya penerimaan bahan bukti yang ditanda sebagai ekshibit ‘P5’
iaitu rakaman video semasa pihak Perayu didakwa mengajar tanpa tauliah. Mahkamah
bersetuju dengan dapatan Hakim Bicara bahawa dokumen yang ditanda sebagai “P5” telah
diterima atas alasan rakaman tersebut telah disahkan oleh pembuat dokumen iaitu SP2
sendiri. SP2 mengesahkan bahawa kamera dan rakaman percakapan yang digunakan
berfungsi dengan baik dan dibawah seliaannya serta rakaman tersebut telah dibuat oleh SP2
pada tarikh dan masa kejadian di surau tersebut [lihat Rekod Rayuan – Alasan Penghakiman
halaman 536-541]. Pihak Perayu gagal menunjukkan keperluan undang-undang bahawa
rakaman video yang ditanda sebagai ekshibit P-5 mesti dihantar ke Digital Forensics
Department Cyber Security Malaysia sebelum diterima oleh Mahkamah. Mahkamah
berpendapat rakaman ini hanya sekadar rekod sokongan. Sungguhpun terdapat kecacatan
23
terhadap penerimaan bahan bukti tersebut yang telah ditandakan sebagai “P-5” namun
kecacatan tersebut sama sekali tidak menjejaskan kes pendakwaan kerana ia hanya bersifat
sokongan yang mana sudah terdapat dua saksi yang kuat yang telah dikemukakan oleh pihak
pendakwaan dalam kes ini.
[32] Selain itu, fakta pihak Perayu berada ditempat kejadian dan mengajar tanpa tauliah ini
disokong dengan keterangan SP-1 dan SP-2 yang turut hadir di tempat kejadian. Mahkamah
berpuashati keterangan SP-1 dan SP-2 diterima sebagai saksi yang kompeten.
[33] Oleh itu, Mahkamah berpuashati dengan dapatan Hakim Bicara bahawa intipati
ceramah/ pengajaran Perayu di dalam surau Taman Seri Sementa Jalan Taman Seri Sementa
42100 Klang Selangor antara jam 10.00 hingga 11.30 malam adalah termasuk dalam maksud
‘mengajar perkara-perkara tentang agama Islam’.
[34] Mahkamah berpuashati sabitan kesalahan mengajar tanpa tauliah dibawah seksyen 119
(1) EPAINS 2003 terhadap Perayu oleh Hakim Bicara wajar dikekalkan.
Isu Ketiga: Samada kadar hukuman yang dikenakan ke atas Perayu satu kadar hukuman
yang wajar dan berpatutan atau yang keras berlebih lebihan.
[34] Dalam kes ini Perayu telah disabitkan dan telah dijatuhkan hukuman denda RM2900.00.
Hukuman yang diperuntukan di bawah seksyen 119 (1) ini ialah didenda tidak melebihi tiga ribu
24
ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Oleh itu
hukuman yang dikenakan ke atas Perayu adalah denda sebanyak RM2900.00 sahaja.
[35] Perayu telah membayar denda tersebut. Namun Perayu tidak berpuashati dengan
keputusan tersebut disebabkan hukuman tersebut boleh mengakibatkan Perayu hilang kelayakan
sebagai Ahli Parlimen.
[37] Semasa mitigasi di hadapan Hakim Bicara, Perayu telah memohon agar Mahkamah
menggunakan budibicara dibawah seksyen 129(1) ETJS 2003 dan tidak dihukum dengan
hukuman penjara dan memohon agar hanya dikenakan denda kurang daripada RM2000.00
sahaja jika tidak dibenarkan bon berkelakuan baik. Perayu adalah ahli politik sepenuh masa dan
kini sebagai Ahli Parlimen Shah Alam semenjak tahun 1998. Perayu sudah beristeri, memelihara
seorang ibu berumur 88 tahun dan seorang anak kurang upaya. Ini merupakan kesalahan Perayu
kali pertama yang disabitkan sama ada di Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah.
[38] Antara faktor pertimbangan peringanan hukuman adalah kesalahan kali pertama.
Mahkamah bersetuju dengan prinsip-prinsip dalam kes Norlisam binti Ramli lawan Ketua
Pendakwa Syarie JH XV (11), Moktar bin Radin lwn Pendakwa Syarie Selangor JH (1422)
H Jld 33 Bhg II, Muhammad Ridhwan bin Tokiri & Seorang lagi vs Ketua Pendakwa
Syarie JH (1433) Jld 34 Bhg.2 yang mengambil kira isu kesalahan kali pertama sebagai alasan
peringanan hukuman. Mahkamah mendapati ini merupakan kesalahan kali pertama Perayu
kerana tiada bukti dikemukakan Responden bahawa Perayu telah mengulangi kesalahan lampau.
25
[39] Selain itu, faktor keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh Perayu bukannya terlalu serius
berbanding kesalahan melanggar hukum syarak seperti persetubuhan luar nikah, ajaran sesat dan
lain-lain kesalahan. Mahkamah mendapati bahawa ucapan Perayu semasa kejadian tersebut
tidak bercanggah dengan Hukum Syarak dan tidak membawa perpecahan atau mengganggu
keharmonian masyarakat. Ianya ditegaskan oleh Hakim Bicara di dalam Alasan Penghakiman
yang menyatakan bahawa :
”Adalah ditegaskan juga bahawa, sepanjang prosiding ini, Mahkamah ini tidak membuat apa-
apa dapatan berhubung sama ada ucapan atau apa yang disampaikan oleh tertuduh adalah
bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar atau tidak. Mahkamah juga tidak membuat
apa-apa dapatan berhubung sama ada apa yang disampaikan oleh tertuduh pada 18 Ogos
2011 di Surau Seri Sementa, Klang tersebut boleh membawa kepada perpecahan dan / atau
menggangu keharmonian masyarakat. Ini kerana perkara-perkara tersebut tidak menjadi
elemen kepada kewujudan kepada kesalahan yang disabitkan oleh Mahkamah ini. Pertuduhan
yang dikenakan terhadap tertuduh adalah melakukan kesalahan mengajar tanpa tauliah dan
bukannya kesalahan mengajar ajaran salah.” [ lihat Rekod Rayuan halaman 266-267]
[40] Responden dalam hujah lisan turut mengakui bahawa kandungan (ucapan Perayu) yang baik
tetapi memerlukan kepada tauliah (daripada Majlis Agama Islam Selangor ) sahaja.
[41] Faktor kerjasama Perayu semasa siasatan berlangsung juga sebahagian faktor peringanan
hukuman yang boleh diambilkira. Tiada fakta yang menunjukkan bahawa Responden
membangkitkan isu kerjasama pihak Perayu semasa siasatan dibuat. Hanya ulasan Hakim Bicara
mengulas bahawa proses perbicaraan yang panjang sejak tahun 2013 yang telah mengambil
banyak masa dan kos pihak yang menyebabkan dendaan kurang daripada RM2000 adalah tidak
memadai [lihat Rekod Rayuan – halaman 569]. Mahkamah melihat faktor kerjasama semasa
26
siasatan wajar dipertimbangkan sebelum keputusan dibuat oleh Hakim Bicara selain faktor masa
perbicaraan yang diambilkira.
[42] Mahkamah tidak menafikan kesalahan yang dilakukan oleh perayu adalah mengajar
tanpa tauliah di Surau Sri Sementa. Kesalahan ini telah dikanunkan melalui seksyen 119(1)
EPAINS 2003. Dr. Abdul Qadir Audah dalam kitabnya Al-Tasyri’ al-Jinaaiy al-Islamiy, Juz 1,
hlm 615 menyatakan bahawa :
أما ىف القسم الثاىن فترتك الشريعة احلرية للقاضى ىف اختيار العقوبة املالئمة الالزمة من بني جمموعة من العقوبات ، كما ترتك له تقدير كمية العقوبة
وتقدير ظروف اجلرمية وظروف اجملرم ، فإن رأى أن ظروف اجلرمية وظروف اجملرم ال تقتضى التخفيف عاقب اجملرم مبا تستحقه جرميته ، وإن رأى ظروف اجلاىن تقتضى عاقبه بالعقوبة املالئمة لشخصه وظروفه وسريته
اىن وأخالقه ، وإن رأى أن ظروف اجلرمية تقتضى التشديد وظروف اجل .تقتضى التخفيف توسط بني األمرين فلم يغلظ العقوبة ومل خيففها
‘Adapun bagi kesalahan-kesalahan takzir, syariat memberi kebebasan kepada hakim di
dalam memilih hukuman yang sesuai di antara sekumpulan hukuman. Sebagaimana juga
diberikan kebebasan kepada hakim di dalam menetapkan kadar hukuman dan kebebasan
menentukan pemilihan hal keadaan jenayah dan hal keadaan penjenayah (dalam persoalan
meringan atau memberatkan hukuman). Sekiranya hakim berpendapat bahawa hal keadaan
jenayah dan hal keadaan penjenayah tidak menghendaki peringanan, maka hakim
hendaklah menghukum penjenayah mengikut hukuman yang selayaknya dengan jenayah yang
dilakukannya. Sekiranya hakim berpendapat hal keadan penjenayah menghendaki
peringanan hukuman, maka hakim hendaklah menghukum dengan hukuman yang sesuai
dengan keperibadiannya, hal keadaannya dan hal keadaan kehidupannya serta akhlaknya.
Sekiranya pula bahawa hal keadaan jenayah menghendaki pemberatan hukuman, sedangkan
hal keadaan penjenayah menghendaki ia diringankan, maka hakim hendaklah menghukum
27
dengan hukuman pertengahan, dia tidak boleh memberatkan hukuman dan tidak juga boleh
meringankannya
[43] Faktor peringanan dan pemberatan sesuatu hukuman juga dijelaskan oleh Y.A.A. Tan Sri
Syeikh Ghazali bin Hj. Abdul Rahman dalam penulisannya bertajuk ‘Proses Penghakiman dan
menjatuhkan keputusan di Mahkamah Syariah : Satu penilaian’ ( JH Jld 7 Bhg 1 m.s 5). Beliau
menyatakan antaranya :
‘biasanya sebelum hukuman dijatuhkan terutama dalam kes jenayah syariah, Hakim
Syarie akan memerhatikan faktor yang memberatkan hukuman dan faktor yang
meringankan hukuman. Setelah kedua-dua faktor itu diambil kira dan ditimbangkan,
barulah hukuman dijatuhkan. Secara tersuratnya, inilah asas pertimbangan Hakim-hakim
Syarie sebelum hukuman dijatuhkan. Selalunya antara faktor yang boleh meringankan
hukuman ialah pengakuan bersalah dan pernyataan taubat, pesalah bawah umur, rekod
peribadi yang baik, kesan hukuman terhadap kesihatan pesalah dan kesalahan pertama
kali dilakukannya. Manakala faktor-faktor yang boleh memberatkan hukuman pula ialah
rekod buruk pesalah, taraf perkahwinan, taraf pesalah di dalam masyarakat dan
kedudukannya yang tinggi, kekerapan kesalahan dilakukan dan penggunaan kekerasan
dan keganasan semasa melakukan kesalahan.’
[44] Persoalannya dalam kes ini, adakah Hakim Bicara telah melaksanakan prinsip tersebut
ketika menjatuhkan hukuman ke atas Perayu? Setelah meneliti alasan penghakiman Hakim
Bicara, Mahkamah mendapati bahawa, Hakim Bicara menegaskan bahawa dalam menjatuhkan
hukuman, perkara utama yang beliau mengambilkira ialah hukuman yang dijatuhkan boleh
menjadi sebagai pengajaran bukan sahaja kepada Perayu tetapi kepada semua masyarakat.
28
[44] Hakim bicara menyatakan hukuman denda RM2900 atau 3 bulan penjara jika gagal
membayar denda untuk memberi pengajaran kepada Perayu dan masyarakat agar tidak
mengulangi kesalahan yang sama di masa-masa akan datang.
[45] Dalam membuat penghakimannya, Hakim bicara menyatakan bahawa dalam kes ini
sewajarnya hukuman tidaklah berat dan tidaklah ringan. Dengan kata lain hukuman pertengahan.
Hukuman penjara dilihat hukuman berat maka tidak sesuai dengan kesalahan dan fakta kes
Perayu. Hukuman dendaan kurang daripada RM2000 adalah terlalu ringan.
[46] Hukuman yang dikenakan ke atas perayu ialah denda RM2900.00 atau penjara selama 3
bulan jika gagal membayar denda. Persoalannya apakah hukuman yang dijatuhkan oleh
Mahkamah Bicara tersebut adalah keras berlebih-lebihan ataupun tidak?
[47] Dalam kes ini, hukuman yang dikenakan ke atas Perayu adalah berbentuk sekatan ekonomi
iaitu hukuman denda yang memerlukan Perayu membayar denda sebanyak RM 2,900.00 kepada
pihak kerajaan. Hukuman denda RM2900 tidak memberi kesan sangat berbanding dengan
pendapatan Perayu sebagai Ahli Parlimen namun ianya memberi kesan yang sangat besar
kepada Perayu iaitu Perayu boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Shah Alam dan
kerusi yang diwakilinya hendaklah dikosongkan [lihat Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan].
[48] Mahkamah bersetuju bahawa bon berkelakuan baik terhadap Perayu adalah tidak
bersesuaian. Ini memandangkan latar belakang, watak, umur, kesihatan dan mental Perayu tidak
memungkinkan hukuman gantian tersebut dikenakan. Perayu sebagai ahli parlimen mempunyai
29
latarbelakang pengetahuan undang-undang, kesihatan yang masih baik dan mempunyai akal
yang waras .
[49] Mahkamah setuju dengan kesan hukuman denda melebihi RM2000 akan menyebabkan
Perayu hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan kerusi yang diwakilinya akan menjadi kosong
sehingga ke tarikh pilihan raya akan datang dan tiada pilihanraya kecil akan diadakan kerana
tempoh berbaki bagi pilihanraya umum yang akan datang adalah kurang daripada 2 tahun daripada
sekarang[lihat Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan] [rujuk Rekod Rayuan halaman 84-86].
Dengan kata lain, rakyat Shah Alam akan kehilangan wakil rakyat yang mewakili mereka di Dewan
Rakyat dalam tempoh tersebut. Ini merupakan kesan yang besar akan dihadapi Perayu dan
masyarakat Shah Alam.
[50] Mahkamah berpendapat denda kurang daripada RM2000 bukannya hukuman yang terlalu
ringan kerana ianya masih dikategorikan hukuman pertengahan sebagaimana kesimpulan yang
yang dibuat oleh Hakim Bicara dalam penghakimannya. Bagi kesalahan yang kadar hukuman
dendanya RM3000, hukuman yang dianggap ringan adalah hukuman yang dibawah paras separuh
hukuman tersebut iaitu RM1500. Mahkamah berpendapat hukuman denda melebihi RM2000
adalah hukuman tersebut yang keras dan berlebih-lebihan berbanding dengan kesalahan yang
dilakukan oleh Perayu dan fakta kes. Ini mewajarkan Mahkamah ini campurtangan.
Kesimpulan
[51] Sabitan terhadap Perayu dikekalkan manakala hukuman denda wajar dikurangkan.
30
Keputusan
Setelah Mahkamah meneliti Permohonan dan Afidavit Pemohon serta hujah bertulis Pemohon,
maka dengan ini Mahkamah memutuskan dan memerintahkan seperti berikut:
1) Mahkamah mengekalkan sabitan kesalahan terhadap Perayu.
2) Hukuman denda sebanyak RM2900 atau penjara selama 3 bulan kepada Perayu
hendaklah diubah kepada denda sebanyak RM1900 atau penjara selama 2 bulan jika
gagal membayar denda.
3) Mahkamah memerintahkan baki wang denda sebanyak RM1000 hendaklah dipulangkan
kepada Perayu.