Post on 06-May-2018
1
TEKS AMANAT TAHUN BARU 2017
PENGARAH PENDIDIKAN NEGERI JOHOR
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam
muafakat Johor.
A. PENDAHULUAN
Bersyukur kita kepada Tuhan kerana kita masih dapat sama-sama menghadapi
tahun baharu 2017 yang amat mencabar. SELAMAT TAHUN BAHARU diucapkan
kepada seluruh warga pendidikan negeri Johor termasuk pegawai-pegawai di
Jabatan Pendidikan Negeri Johor, pejabat-pejabat pendidikan daerah negeri Johor
dan sekolah-sekolah negeri Johor, guru, murid dan tidak lupa juga kepada para
ibu-bapa di seluruh negeri Johor. Semoga kita semua diberkati dan dikurniakan
kekuatan mental dan fizikal bagi menyempurnakan tanggungjawab dan amanah
pada tahun 2017 ini.
Saya ingin mengambil kesempatan di awal ucapan saya ini untuk mengucapkan
ribuan terima kasih kepada anda semua yang telah berusaha dengan gigih dalam
melaksanakan segala tugas yang diamanahkan sepanjang tahun lalu. Dengan
ketibaan tahun baharu ini, maka bermulalah lembaran baharu dalam kehidupan
kita, termasuk tugas-tugas yang perlu kita laksanakan dan sasaran-sasaran yang
mesti kita capai.
Besarlah harapan saya agar amanat ini memberi panduan kepada warga
pendidikan untuk mengorak langkah dengan hala tuju yang lebih jelas ke arah
mencapai aspirasi menjadikan pendidikan terbaik bagi rakyat Johor, khususnya
dan lebih jelas dalam menjadikan modal insan Johor bersifat ‘Global Player’.
Apatah lagi tahun ini kita masih lagi dalam gelombang ke-2 PPPM yang
memerlukan segala kudrat dan fokus kita dikiblatkan untuk menjayakan
perancangan dan tindakan kita dalam memacu sistem.
2
B. TEMA DAN KERANGKA KERJA
Tema amanat saya pada tahun ini ialah MEMACU TRANFORMASI PENDIDIKAN
JOHOR. Dalam konteks lanskap pendidikan negara yang berubah dengan pantas
dan terus berkembang, pemacuan transfomasi pendidikan Johor merupakan hala
tuju pendidikan negeri dan bermaksud memesatkan perubahan yang wajib
berlaku ke arah pendidikan berkualiti secara sistematik melalui strategi yang
berkesan. Dalam kata lain, pendidikan negeri Johor seharusnya berpendekatan
holistik, iaitu pendekatan bersepadu dan menyeluruh melibatkan semua aspek
pengurusan pendidikan bagi membangunkan seluruh potensi jasmani, rohani,
emosi dan intelektual murid.
Bagi merealisasikan matlamat MEMACU TRANFORMASI PENDIDIKAN JOHOR,
satu kerangka kerja yang holistik perlu kita terjemahkan dalam kerja buat warga
pendidikan negeri Johor.
“Kerja Berkualiti, Ibadah Dihayati” yang saya utarakan sebagai prinsip kerja
perlulah difahami dalam konteks kita meneruskan legasi kecekapan dan
kecemerlangan kerja buat kita di segenap peringkat. Kerja berkualiti boleh dicapai
dengan mengambil sikap cepat, tepat, intergriti (CTI) dalam melaksanakan tugas
harian dan disokong pula dengan produktiviti, kreativiti dan inovasi (PCI) supaya
kita tidak dilihat cepat berpuas hati dengan hasil kerja kita. Bagi mengukuhkan
kefahaman “Ibadah Dihayati” pula kerja yang kita lakukan hendaklah bermula
dengan niat yang betul, dilaksanakan mengikut peraturan yang digaris pandukan,
melaksanakan setiap kerja secara bersungguh-sungguh, mencapai keberhasilan
yang tinggi, mengamalkan budaya saling menasihati dan menjadikan kerja sebagai
satu ibadah. Sehubungan itu bertitik tolak daripada prinsip pertama Rukun
Negara; Kepercayaan kepada Tuhan telah menjelaskan kepada kita bahawa
anutan agama wajib menjadi pegangan setiap warga negara yang berdaulat ini.
Sudah semestinya kita akan terus meningkatkan kualiti kerja kita di samping
menerapkan nilai-nilai agama yang universal dan boleh diterima semua di dalam
setiap bidang kerja kita selain panduan yang telah jelas disuratkan dalam
perkhidmatan awam seperti etika kerja Kementerian Pendidikan Malaysia,
Tonggak 12 dan pelbagai pekeliling serta surat siaran yang berkaitan dengannya.
Sewajarnyalah setiap amalan kerja berkualiti kita sentiasa dimantapkan dan
ditambah baik pada setiap masa untuk menjana keberhasilan kerja yang tinggi.
3
Konsep “Kerja Berkualiti Ibadah dihayati’ sekiranya benar-benar difahami
pasti akan mempengaruhi “Leadership Quotient” dalam kepimpinan pendidikan
dan operasi kerja kita. Hal ini dapat diterjemahkan melalui pelaksananaan Johor
Showcase (JSC) bertepatan dengan matlamat strategik pendidikan Johor dalam
kita merangka hala tuju pendidikan negeri Johor. Saya amat percaya, kompetensi
kepimpinan yang tinggi merupakan asas penting dalam melaksanakan JSC dengan
berkesan.
Kualiti kepimpinan akan mempengaruhi keseluruhan kerja buat kita,
termasuklah kualiti kerja melalui pendekatan proses yang menjadi elemen
penting sebelum keberhasilan murid (glober player) kita peroleh. Atas sebab
itulah kerja kualiti merupakan elemen dalam kerangka kerja yang perlu diberikan
perhatian. Penekanan ini selari dengan transformasi perkhidmatan awam yang
mementingkan budaya kerja berkualiti, iaitu cepat, tepat, intergriti, produktiviti,
kreativiti dan inovasi. Ini akan memberikan perhatian dan keperihatinan kita
terhadap pencapaian “standard practice”
sebagai indikator yang perlu kita capai. Untuk memastikan kawalan kualiti ini
mengikut standard yang ditetapkan maka Dialog Prestasi yang berkesan di
pelbagai peringkat merupakan salah satu alat yang penting bagi memastikan
keberhasilan akhir modal insan kita, iaitu “global player” tercapai.
C. SOROTAN
2012 merupakan tahun lahirnya JOHOR LEADS dengan bermulanya
Perancangan Strategik Fasa 3 (2012 – 2014). JOHOR LEADS bermaksud Lead
(mendahului perubahan), Enhance resilience (memperkuat daya tahan), Acclarate
(memacu kecemerlangan melalui inovasi), Develop first rate school culture
(membangun budaya sekolah kelas pertama), Sustain success, build legacy
(melestarikan kejayaan membina legasi). JOHOR LEADS telah diteruskan sehingga
2014.
Tahun 2015 JPN Johor telah memperkenalkan JOHOR SHOWCASE (JSC) yang
merupakan Perancangan Strategik Fasa 4. Fokus utama JOHOR SHOWCASE ialah
sekolah berkualiti (Pendidikan Abad ke-21), pendidikan berkualiti (Aspirasi
Sistem), dan global player (Aspirasi murid). Tahun 2016 JPN Johor meneruskan
4
pemantapan JSC dengan pengisian Kokurikulum Berimpak Tinggi (KKIT) dan
Karektor Murid Johor (KMJ)
Penghujung 2016 merupakan satu titik tolak untuk pelaksanaan JSC 2017
dengan melakukan refleksi, fine tuning, dan realignment yang menjurus kepada
pemerkasaan strategi JSC.
D. MENGHADAPI ISU & CABARAN 2017
Izinkan saya menyentuh beberapa cabaran dan isu pada tahun bahariu ini yang
perlu diberikan perhatian dalam kita mengangkat JSC dan aspirasi pendidikan
negara sebagai matlamat kita bersama.
Cabaran pertama ialah kepimpinan yang kurang kompeten. Yang
dimaksudkan dengan kurang kompeten ialah sikap kurang profesional, kurang
pengetahuan dalam SEMBILAN bidang Standard Kompetensi Kepengetuaan
Sekolah Malaysia (SKKSM), dan kurang kemahiran kepimpinan PAK21 sebagai
peneraju, pendorong, dan pembimbing. Cabaran menjadi lebih besar sekiranya
kepimpinan sekolah tidak dapat menterjemahkan dasar-dasar baru seperti DTP,
KSSR dan KSSM semakan 2017, STEM, PIBK dan agenda pendidikan lain yang
penting.
Cabaran kedua yang kita hadapi ialah kemerosotan integriti. Kemerosotan
integriti diertikan sebagai karenah birokrasi, melanggar Prosedur Operasi
Standard (SOP), kurang efektif, kurang efisien, dan kurang akauntabiliti.
Ketampakan kurang integiriti dari dalam bilik darjah seperti tidak menanda buku
latihan murid, masuk lewat waktu PdP, tidak menghantar dan mengisi Buku
Rekod Mengajar sehinggalah kepada masalah keluar untuk urusan peribadi,
menggunakan peralatan pejabat untuk kegunaan peribadi, “punch card” untuk
orang lain dan pelbagai pelakuan tidak berintegriti lain akan menyumbang kepada
keruntuhan nilai moral dan kerosakan sesuatu profesion pekerjaan.
Cabaran ketiga ialah amalan budaya kerja “silo”. Budaya kerja “silo” dapat
diterjemahkan sebagai perlakuan kerja secara berseorangan dan kurang
kolaboratif. Ruang dan peluang untuk penglibatan serta kebersamaan amat
terhad. Budayakerja secara “silo” tidak dapat menghasilkan kualiti kerja yang
boleh mencakupi antara bidang ilmu pengetahuan dan kemahiran personel ke
5
tahap yang lebih maksimum. Budaya kerja secara “silo” juga mengakibatkan
personel kurang berkarya sekali gus organisasi kurang berdaya saing.
Cabaran keempat pula ialah sistem kawalan dan pemantauan kurang
berkesan. Sistem kawalan dan pemantauan kurang berkesan boleh kita takrifkan
sebagai tiadanya indikator piawai atau dapatan yang tidak berkredibiliti untuk
menentukan keberkesanan pelaksanaan. Disiplin dalam mengawal dan
menentukan pemantauan tidak dipatuhi secara sistematik. Data dan maklumat
tidak dianalisis serta tidak digunakan untuk usaha pembetulan atau
penambahbaikan. Contohnya, data pemantauan guru dalam Standard 4 SKPM
tidak dimanfaatkan untuk peningkatan kualiti PdP guru.
Program dan aktiviti yang menjadi fokus dalam pelaksanaan Pelan Tindakan
Strategik di sekolah tidak berasaskan kepada isu strategik. Situasi ini berlaku
apabila program yang dijalankan tidak berasaskan masalah di lokasi.
Pelaksanaannya juga tidak mengikut keutamaan dan gagal membezakan:
- Yang mana segera dan mustahak
- Yang mana segera tetapi tidak mustahak
- Yang mana mustahak tetapi tidak segera
- Yang mana tidak mustahak dan tidak segera
Cabaran kelima ialah pelaksanaan PAK21 yang kurang berkesan. Antara
punca yang dikenal pasti berlaku sedemikian ialah kefahaman konsep PAK21 yang
kurang jelas, pedagogi guru kurang dinamik (kurang bertenaga), capaian internet
kurang stabil, bilangan murid ramai dalam kelas, penyelenggaraan peralatan
TMK/ICT, kekurangan guru opsyen dan kekangan kewangan.
Cabaran keenam ialah Standard Pentaksiran Holistik yang dilakukantidak
menggambarkan kemenjadian murid sebenar. Hal ini disebabkan kurang
kepakaran dan pengetahuan yang mendalam dalam melaksanakan sesuatu tugas
bagi menghasilkan mutu kerja yang berkualiti tinggi. Lebih-lebih lagi dalam
menilai sesuatu yang subjektif seperti penilaian dalam aspek psikometrik, nilai
murni, PAJSK, pentaksiran sekolah, JQAF dan pentaksiran pusat.
6
Cabaran ketujuh ialah Prestasi Akademik yang rendah. Pencapaian subjek
kritikal yang masih rendah sangat perlu diberi perhatian demi melahirkan murid-
murid cemerlang selari dengan aspirasi negara. Subjek yang dimaksudkan ialah
bahasa Inggeris di semua sekolah, bahasa Melayu di SJKC, matematik di SK, sains
di SK, dan STEM di semua sekolah menengah.
E. STRATEGI
Dalam mendepani isu dan cabaran tahun 2017 yang pasti mencabar, saya
menggariskan strategi umum dan strategi khusus bagi memastikan pemancuan
transformasi pendidikan Johor bergerak pantas.
Strategi pertama ialah kepimpinan Abad ke-21 yang berkualiti diwujudkan
supaya kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pemimpin-
pemimpin pendidikan yang hebat. Justeru, pemimpin pendidikan Johor perlu
dimantapkan dengan pengetahuan, kepakaran terkini dengan amalan-amalan
murni seperti dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2
(SKPMg2). Junjungan besar Nabi Muhammad SAW dijadikan sebagai suri teladan
dalam membangunkan pemimpin hari ini yang berlandaskan penguasaan yang
tinggi dalam aspek spritual, intelektual, emosi, dan jasmani.
Dengan wujudnya pemimpin yang berkompetensi, maka program bimbingan
dan coaching akan dapat dilakukan dengan berkesan dalam membentuk
pemimpin-pemimpin masa depan. Peranan SIP+ pula perlu diperkasa bagi
memastikan peranan pemimpin bagi memacu sistem dalam Gelombang 2 PPPM
dapat capai dalam semua peringkat.
Strategi kedua ialah pemantauan secara holistik. Pemantauan merupakan
satu elemen utama yang perlu dilaksanakan untuk memastikan proses mengecapi
kecemerlangan pendidikan berlaku mengikut perancangan yang sistematik.
Pemantauan holistik bermaksud pemantauan bersepadu dan menyeluruh
melibatkan semua aspek pengurusan pendidikan terhadap pelaksanaan sesuatu
program dilakukan untuk menentukan pencapaian yang dihasratkan tercapai. Ini
merupakan suatu proses mendapatkan maklumat dan data yang akan digunakan
untuk membuat pertimbangan, seterusnya digunakan dalam membuat keputusan
7
terhadap penambahbaikan yang perlu dilakukan. Penggunaan instrumen
pemantauan dan perbincangan berasaskan data dapat dilakukan melalui dialog
prestasi yang berkesan bagi memastikan standard practice yang ditetapkan dapat
dicapai.
Strategi ketiga pula ialah pelaksanaan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) di
semua sekolah di negeri Johor. Sudah sampai masanya untuk kita warga
pendidikan Johor melangkah berani melakukan transformasi PdP di bilik darjah.
Hal ini sesuai dengan tuntutan dan kehendak generasi kini yang serba bergajet
moden berinformasi di hujung jari dan menjadikan dunia kini tanpa sempadan
serta bersifat global. Untuk itu, PAK21 dilaksanakan di semua sekolah negeri
Johor dengan beberapa fokus seperti pemantapan pedagogi abad 21,
mewujudkan standard practice sebagai indicator pencapaian, taggingguru,
konvensyen PAK21, Sekolah Showcase PAK21, Live Lab dan Pengajaran Modular.
Bagi sekolah-sekolah yang dijadikan sekolah rintis abad 21 seharusnya tahun 2017
sekolah-sekolah ini sudah berupaya untuk menjadi showcase yang boleh dijadikan
sekolah benchmark dan menjadi suri teladan kepada sekolah-sekolah lain dalam
amalan pembelajaran abad 21.
Strategi keempat ialah Mewujudkan Permuafakatan Strategik. Ini merupakan
satu gerakan menyatukan sumber komuniti dan sekolah untuk memenuhi
keperluan bersama. Hal ini bertujuan mewujudkan satu suasana, pengalaman dan
persekitaran belajar yang lebih sempurna. Permuafakatan strategik dengan
penglibatan PIBG, wakil rakyat, masyarakat, agensi kerajaan dan pihak swasta
bersama-sama berusaha untuk menjadikan sekolah sebagai institusi sosial yang
lebih bermakna bagi melahirkan murid sebagai sumber manusia yang akan
mensejahterakan negara . Inilah anjakan minda (mindshift) yang perlu dilakukan
di peringkat sekolah dan PPD supaya nilai kesepunyaan dan kebersamaan
melahirkan glober player dikongsi bersama.
Strategi kelima ialah sentiasa bersinergi dan kerja sepasukan. Dengan satu
budaya kerja sepasukan kita dapat mencapai tujuan-tujuan besar yang sangat
mustahil dicapai apabila dilakukan oleh masing-masing inidividu yang ada di
dalamnya. Teamwork adalah bekerjasama, bukan bekerja bersama-sama, juga
bukan sama-sama bekerja. Di dalam sebuah pasukan yang kuat, terdapat sebuah
kata yang sangat penting yang menjadi penentu apakah pasukan ini dapat
mencapai tujuan-tujuannya atau tidak. Kata itu tidak lain ialah sinergi.
8
Sinergi adalah berfungsinya setiap bahagian dari organisasi secara profesional
dan seirama untuk mencapai tujuan yang telah ditetapkannya. Kita ibarat sebuah
orkestra dalam sebuah pasukan yang penuh dengan kepelbagian dan sifat. Sinergi
dalam kerja sepasukan orkestra dapat menghasilkan gabungan nada muzik yang
indah. Ini dilakukan dengan semua warga pendidikan harus melaksanakan tugas
dan tanggungjawab secara kebersamaan dalam mencapai visi dan misi, saling
melengkapi, kompeten dalam bidang masing-masing dan Rapid Execution dengan
pendekatan bersama yang holistik.
Strategi keenam ialah Transformasi Asrama Harian (TAH). Menyedari yang
asrama merupakan salah satu lokasi tumpuan murid-murid mencorakkan budaya
diri dan kerjaya, maka sewajarnya transformasi asrama harian diolah untuk
menentukan kemenjadian murid asrama sebagai tanggungjawab bersama
menjadi realiti. Justeru, empat fokus transformasi asrama harian digariskan:
Fokus pertama ialah pengurusan pentadbiran asrama bagi tujuan pemantapan
dan insiatif baharu bertujuan meningkatkan tahap pengurusan pentadbiran dan
kompetensi personel. Fokus kedua ialah penjanaan kejayaan akademik yang
bertunjangkan pemantapan pengurusan atau aktiviti akademik bagi
meningkatkan prestasi murid-murid asrama. Fokus ketiga pula ialah penjanaan
kejayaan sahsiah yang merujuk pada perancangan dan pelaksanaan aktiviti bagi
menjana pembangunan dan kecemerlangan sahsiah dan disiplin murid.Fokus
keempat ialah penjanaan kejayaan kokurikulum sukan melalui perancangan
pelaksanaan aktiviti yang sistematik agar aspek penjanaan kokurikulum dan sukan
tidak diabaikan.
Strategi ketujuh pula ialah Kokurikulum Impak Tinggi (KKIT). Aktiviti
kokurikulum dikenal pasti mampu menjana dan meningkatkan prestasi akademik
dan keterampilan murid di sesebuah sekolah.Oleh itu, Kokurikulum Berimpak
Tinggi (KKIT) dibangunkan dengan matlamat memeriahkan aktiviti kokurikulum di
peringkat akar umbi semua sekolah negeri Johor. KKIT juga diharapkan mampu
meningkatkan penguasaan bahasa kedua terutamanya Bahasa Inggeris seperti
yang tercatat dalam PPPM, Aspirasi Murid kelima iaitu penguasaan kemahiran
dwibahasa.Selain itu, KKIT juga mampu merapatkan jurang antara sekolah bandar
dan luar bandar dalam penglibatan aktiviti kokurikulum.
9
Pelaksanaan KKIT boleh dimulakan dengan membina modul kembara ilmu
(stesen KBAT dan STEM). Seterusnya, diikuti dengan memartabatkan bahasa
Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris dalam aktiviti kokurikulum di
samping mewujudkan kolaboratif dengan pelbagai agensi berkepentingan.
Strategi kelapan ialah Kolaboratif Bola Sepak JDT. Dengan meletakkan sukan
bola sepak bertaraf dunia, kolaboratif bola sepak JDT dimartabatkan sebagai
strategi kelapan untuk memacu transformasi pendidikan Johor bagi melahirkan
pemain bola sepak setanding nama-nama besar di persada dunia.
Pelaksanaannya disusun rapi dengan mengekalkan pasukan akademik U13 dan
U15 di samping membentuk pasukan akademik U17 yang baharu.Penempatan
pelajar U12 seramai 16 orang dan U13 seramai 16 orang ditempatkan di Educity.
Mereka ini akan meneruskan persekolahan di SMK Medini. Manakala pelajar
U14, U15, U16, dan U17 ditempatkan di Apartment Prisma Lima Kedai. Mereka
ini akan menjalani pembelajaran di SMK Bukit Indah.
Tahun 2017akan bermulalah kolaboratif bersama barisan kejurulatihan dari
Kelab Valencia CF, Sepanyol. Hal ini bermakna struktur dan kandungan latihan
pasukan akademi JDT akan mengalami sedikit perubahan demi untuk peningkatan
berterusan anak-anak didik kita dalam pasukan ini.
Strategi kesembilan ialah Karektor Murid Johor (KrMJ). Bagi memastikan
murid-murid sekolah negeri Johor mempunyai jati diri yang utuh maka karektor
murid Johor diterampilkan dengan harapan murid-murid Johor mempunyai watak
yang terserlah disanjung, dipandang tinggi, dan dikenali bukan sahaja di peringkat
nasional malah di peringkat antarabangsa. Bagi memastikan hala tuju KrMJ
berada di landasan yang benar, LIMA objektif telah dirangka dengan rapi, iaitu:
- Melahirkan murid yang berimej dan beridentiti Johor
- Membina murid Johor yang berkebolehan dan berperadaban tinggi
- Membangunkan gaya kepimpinan murid Johor yang berkualiti
- Menjalinkan kerjasama, perpaduan, dan muafakat dalam kalangan murid
Johor
- Memupuk murid Johor agar memahami sejarah dan menghargai budaya
tempatan.
10
Untuk tujuan itu, LIMA ciri utama disasarkan, iaitu beridentiti dan
berpengetahuan,gaya kepimpinan tinggi, muafakat dan perpaduan, menghayati
sejarah bangsa danmengamalkan seni budaya.
F. PENUTUP
Saya menaruh harapan yang besar terhadap seluruh warga pendidikan negeri
Johor dalam menerajui kepimpinan pendidikan. Dengan meletakkan kata kunci
IBADAH DIHAYATI KERJA BERKUALITI, sekali lagi saya mengharapkan semua
pemimpin, warga pendidik, ibu bapa, dan anak-anak didik benar-benar ikhlas
dalam melaksanakan kerja buat yang telah diamanahkan sebaik-baiknya. Malah
indikator yang sangat penting dalam menentukan kejayaan apa yang kita rancang
dan ingin capai ialah sejauhmana kita berupaya melaksanakannya dalam konteks
solidariti yang ampuh, pasukan yang berkesan dan kerjasama yang mantap.
Justeru kebersamaan kita dalam memacu transformasi ini adalah amat dituntut.
Seorang pemimpin seharusnya mahir penguasaan dan bijak mengaplimentasi
elemen Leadership Quotient. Guru pula sebagai seorang pendidik
bertanggungjawab penuh merealisasikan aspirasi murid dan sewajarnya mahir
mengaplikasikan ilmu pedagogi Abad 21. Manakala ibu bapa perlu menyediakan
pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak. Pendidikan ini merangkumi
pendidikan formal mahupun tidak formal. Sehubungan itu, ibu bapa perlulah
memastikan anak-anak mereka menerima pendidikan sewajarnya baik yang
formal maupun tidak formal. Sebelum bertindak memberi dorongan dan belaian
kasih sayang,Ibu bapa juga harus bertindak sebagai suri teladan dalam banyak
aspek. Saya pasti dengan usaha meningkatkan kualiti guru dan pemimpin yang
sedang giat dijalankan, serta sokongan kuat daripada ibu bapa dalam membantu
pembelajaran anak-anak di rumah, kita mampu mendidik murid dengan ilmu
pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni sebelum mereka melanjutkan
pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Dalam usaha kita untuk memastikan institusi sekolah terus dipacu sesuai
dengan tuntutan pendidikan abad 21 ini, penglibatan ibu bapa dan komuniti
adalah pelengkap kepada keberkesanan kita membangunkan modal insan iaitu
anak-anak didik kita. Sehubungan itu saya menyeru agar pihak sekolah
berganding bahu dengan ibu bapa, komuniti dan pelbagai rakan strategik
pendidikan sama GO atau NGO dalam pelbagai program dan aktiviti yang boleh
11
membawa manfaat dan sokongan kepada anak-anak kita. PIBG selaku organ kiri
sekolah seharusnya juga terus meningkatkan perkhidmatan dalam membantu
menyokong segala usaha membangunkan anak didik dalam apa juga bidang.
Melalui pendekatan PIBK dan sarana sekolah, sarana ibu bapa serta KSIB saya
yakin kita mampu untuk melonjakkan pendidikan kita ke tahap lebih gemilang.
Dalam konteks pendidikan masa hadapan, kita juga perlu mula berubah
kepada melihat kemenjadian anak-anak kita daripada orientasi peperiksaan
dengan indikator gred A sebagai keutamaan kepada melihat kemenjadian anak-
anak secara holistik. Pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) melalui komponen
Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Psikometrik dan
Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kesihatan (PAJSK) yang sedang kita
laksanakan di sekolah pada masa ini adalah mekanisme untuk melihat nilai
sebenar kemenjadian anak-anak kita secara holistik yang perlu kita sokong dan
realisasikan. Ini juga bertepatan dengan hasrat dan semangat dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan dan 6 aspirasi murid dalam Pelan Pembangunan
Pendidikan malaysia (PPPM 2013-2015).
Kepada guru-guru, hayatilah Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita.
Sentiasalah ingatkan diri kita bahawa tugas sebagai pendidik adalah satu tugas
yang amat mulia. Menjadi pendidik bukanlah semata-mata suatu profesion, tetapi
suatu perjuangan untuk mendidik anak bangsa kita menjadi insan yang seimbang.
Saya percaya jika saudara dan saudari semua mengabdikan seluruh jiwa dan raga
kepada tugas yang paling mulia ini, maka kita akan berjaya mencapai matlamat
pendidikan yang paling asas, iaitu mendidik insan dengan adab dan pekerti yang
mulia
Kepada para pelajar, berikanlah tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran.
Manfaatkanlah segala peluang yang ada untuk menimba ilmu dan mengasah
bakat dengan sebaik mungkin supaya anda menjadi insan yang berjaya. Dalam
menghadapi persaingan global yang semakin sengit hari ini, banyak ilmu dan
kemahiran baharu yang perlu dikuasai sebelum anda melangkah ke alam
pekerjaan. Jadi, berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam dunia yang
kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya. Only the best among you will
survive and thrive.
Andai segalanya berjalan seperti yang direncana, saya berkeyakinan tinggi
Johor Showcase yang dibangunkan dengan penuh strategi dan tersusun rapi
12
secara holistik dan bersepadu mampu menjadi kenyataan. Percayalah, kita
mampu memacu pendidikan Johor untuk merealisasikan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) sekali gus menjadikan murid bangsa Johor sebagai
global player. Semoga amanat saya ini menjadi panduan dan pedoman dalam
Memacu Transformasi Pendidikan Johor yang dapat diterima pakai dengan hati
yang terbuka dan berlapang dada oleh semua lapisan kepimpinan pendidikan
negeri ini dan yang lebih penting mendapat keredaan Ilahi.
Saya percaya dengan usaha yang gigih dan komitmen yang tinggi, kita mampu
menggapai hasrat Memancu Tranformasi Pendidikan Johor. Semoga tahun 2017
merupakan tahun yang cemerlang buat kita semua.
Selamat menyambut Tahun Baharu 2017.
Sekian, wassalam dan terima kasih.
HAJI SHAHARUDIN SHARIF
Pengarah Pendidikan Negeri Johor
26 DISEMBER 2016.