Post on 30-Jan-2016
description
TEKS UCAPAN
SEMINAR KEIBUBAPAAN ‘HALA TUJU MURID
BERKEPERLUAN KHAS BERMASALAH PEMBELAJARAN
TAHUN 2012
SMK PUTRAJAYA PRESINT 11 (1)
OLEH: YBHG. PUAN SRI HALIMAH BT ABDUL MAJID
ANJURAN BERSAMA
JABATAN PELAJARAN WILAYAH PERSEKUTUAN
PUTRAJAYA
TARIKH: 20 OKTOBER 2012 (SABTU)
TEMPAT: DEWAN SEKOLAH SMK PUTRAJAYA PRESINT
11 (1)
Terima kasih kepada Pengerusi Majlis.
Assalamualaikum w.b.t, Salam Sejahtera dan Salam Satu
Malaysia.
Yang berusaha Tuan Haji Jalaludin bin Othman,
Timbalan Pengarah Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran
Malaysia,
Yang dihormati Puan Hajah Farizah binti Ahmad
Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan
Putrajaya,
Prof Dato’ Dr. Mohd Sofian bin Azirun
Yang Dipertua PIBG SMK Putrajaya Presint 11(1)
Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pelajaran Malaysia dan
Pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan
Putrajaya,
Pengetua-pengetua, Guru Besar-Guru Besar, Penolong-
penolong Kanan, Dato-Dato, Datin-Datin, ibu bapa dan
murid-murid sekalian.
Indah mekar si bunga kiambang,
Mekar mewangi di taman larangan,
Seminar keibubapaan harapannya gemilang,
Melahirkan murid berkeperluan khas yang berketrampilan.
Alhamdulilah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T, kerana
dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita berkumpul di dewan
yang indah ini untuk sama-sama dalam Seminar
Keibubapaan ‘Hala Tuju Murid Berkeperluan Khas
Bermasalah Pembelajaran. Terlebih dahulu, saya ingin
mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima
kasih kepada Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-
puan kerana telah sudi melapangkan masa menghadiri
majlis pada hari ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan
kepada Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya dan
warga Pendidikan Khas SMK Putrajaya Presint 11(1) kerana
telah berjaya menganjurkan seminar ini.
Hadirin yang dihormati,
Kehadiran murid berkeperluan khas dalam menyumbang
tenaga kerja kepada kemajuan negara tidak boleh dinafikan.
Latihan kemahiran dianggap sebagai satu perantara
peralihan untuk murid berkeperluan khas dari alam
persekolahan kepada alam pekerjaan. Kemahiran jahitan
telah diperkenalkan di Program Pendidikan Khas Integrasi
Bermasalah Pembelajaran (PPKIBP) SMK Putrajaya Presint
11(1). Murid berkeperluan khas telah mengambil peluang
untuk belajar menjahit dengan peralatan mesin jahit yang
dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Sebuah
kelas MPVKhas Jahitan telah diwujudkan dan seramai 7 orang
murid telah mengikuti kelas tersebut. Sehingga kini pelbagai
produk jahitan berjaya dihasilkan oleh murid berkeperluan
khas SMK Putrajaya Presint 11(1). Kemahiran yang diperolehi
oleh murid berkeperluan khas ini boleh diaplikasikan dalam
kehidupan seharian serta dapat menjana pendapatan
mereka selepas tamat persekolahan nanti.
Hadirin sekalian,
Objektif seminar ini diadakan adalah supaya murid-murid
berkeperluan khas di Putrajaya dapat mengetahui dan
merancang hala tuju mereka serta peluang-peluang yang
ada untuk mempelajari kemahiran dan seterusnya mendapat
bimbingan. Contohnya seperti kolaborasi bersama komuniti
yang dijalankan diantara PPKIBP SMKPP11(1) dengan Jabatan
Kemajuan Masyarakat (KEMAS). Selain itu, daripada seminar
ini juga dapat memberi pendedahan kepada ibu bapa untuk
merancang bidang yang bersesuaian dengan keupayaan
mereka serta agensi yang terlibat. Justeru itu, pihak PPKIBP
SMK Putrajaya Presint 11(1) sedang membantu murid-murid
berkeperluan khas merancang dan mencari hala tuju kerjaya
yang bersesuaian. Untuk makluman semua, baru-baru ini
pihak MOSTWELL telah memberi sumbangan beberapa buah
mesin jahit yang boleh membantu meningkatkan lagi
kemahiran murid berkeperluan khas. Pihak sekolah merakam
ucapan terima kasih kepada pihak MOSTWELL atas
sumbangan tersebut.
Sidang hadirin yang dihormati,
Menurut Taxonomy Kohler (2009), model untuk program
transisi perlu menfokuskan kepada murid yang berkenaan
dan jenis pembelajarannya. Model ini juga menyatakan
bahawa pihak ibu bapa dan pihak sekolah perlu
bekerjasama untuk mengoptimakan perkembangan individu
berkeperluan khas dalam kemahiran yang diceburinya. Jadi
wajarlah seminar seperti ini diadakan untuk mendedahkan
tentang peluang kerjaya serta merancang hala tuju murid
berkeperluan khas. Program yang dirancang dan
dilaksanakan di peringkat sekolah adalah untuk memberikan
pengalaman kepada murid-murid berkeperluan khas agar
dapat dimanfaatkan oleh mereka. Penglibatan ibu bapa
menjadi faktor penyumbang kepada keberkesanan proses
mencari hala tuju ke arah kerjaya. Kejayaan yang dicapai
oleh murid berkeperluan khas ini adalah kolaborasi antara
pihak sekolah, ibu bapa dan agensi yang boleh menawarkan
perkhidmatan-perkhidmatan sokongan.
Hadirin yang dihormati,
Guru pendidikan khas SMK Putrajaya Presint 11(1) telah
mengambil inisiatif dengan mewujudkan bahan pengajaran
dan pembelajaran yang dikenali sebagai ’Click to Learn’
(C2L). Ia merupakan satu pemudahcara dalam pengajaran
dan pembelajaran kepada murid berkeperluan khas. C2L ini
juga boleh diakses dilaman sesawang http://www.p11one.
Bahan pembelajaran yang disediakan oleh guru ini
merangkumi semua komponen dan merupakan medium
yang sangat berkesan kepada murid untuk membuat latihan
pembelajaran di rumah.
Ibu bapa juga boleh memantau perkembangan pembelajaran
anak mereka dengan adanya bahan pengajaran dan
pembelajaran C2L ini. C2L ini dilaksana berdasarkan konsep
pembelajaran kendiri dimana ia dapat membantu anak-anak
bermasalah pembelajaran menguasai satu-satu kemahiran
dengan lebih berkesan. Anak-anak bermasalah pembelajaran
memerlukan perhatian dan bimbingan secara individu.
Dengan adanya bahan-bahan C2L, ia dapat membantu anak-
anak bermasalah pembelajaran menerusi kaedah ini. Murid-
murid berkeperluan khas bermasalah pembelajaran yang
tamat persekolahan, mereka hanya diberikan sijil sahaja.
Keupayaan, kebolehan serta bakat orang kelainan upaya ini
kurang diberi perhatian. Pada masa hadapan, hala tuju C2L
sekolah saya adalah untuk menonjolkan keupayaan kepada
murid berkeperluan khas supaya dijadikan sebagai satu
resume atau tiket ke arah kerjaya.
Akhir kata, semoga apa yang kita perolehi daripada seminar
ini akan menjadi satu anjakan paradigma kepada semua
warga pendidikan khas di Putrajaya untuk sama-sama
memartabatkan dan melaksanakan transformasi bagi
merealisasikan impian dan harapan murid berkeperluan khas
sebagai satu usaha untuk menyediakan tenaga kerja yang
berkebolehan, berkemahiran dan berdikari. Saya akhiri
ucapan ini dengan serangkap pantun.
Padi segemal kepuk di hulu,
Sirih di hilir merekap junjungan,
Kepalang duduk menuntut ilmu,
Pasir sebutir jadikan intan,
Sekian. Wassalamualaikum w.b.t.