Post on 16-Jan-2016
description
Teori-Teori Kaunseling
- TEORI ROGERIAN (PEMUSATAN INSAN) -
Pengenalan
Teori Pemusatan Insan disebut juga sebagai teori konsep kendiri atau teori
fenomenologi yang digolongkan ke dalam psikologi kemanusiaan (humanistic),
gestalt dan kewujudan. Ia diasaskan oleh Carl Ransom Rogers di dalam tahun 40an
yang menamakannya kaunseling bukan-arahan atau kaunseling pusatan-klien. Ia
mencabar pendekatan-pendekatan pusatan-kaunselor dan kaunseling arahan yang
mengandaikan bahawa kaunselor itu dalam semua hal dan berkeupayaan
membantu kliennya di dalam semua bidang.
Ia mencabar teknik-teknik dan tatacara-tatacara yang berbentuk nasihat, saranan,
arahan kaunselor, pujukan, pengajaran, diagnosis dan pentafsiran oleh kaunselor.
Cabaran ini dilakukan oleh Rogers semata-mata kerana kepercayaan dan
keyakinannya bahawa manusia itu memang baik, memang boleh dipercayai, dan
memang mempunyai keupayaan yang banyak untuk memahami diri mereka sendiri
serta menyelesaikan masalah-masalah yang mereka alami sendiri, tanpa campur
tangan secara langsung oleh kaunselor. Ia berpendirian bahawa manusia itu boleh
menuju ke arah penentuan kendiri, jika mereka dibawa terlibat di dalam
perhubungan kaunseling atau terapi. Baginya sifat-sifat peribadi dan sikap kaunselor
serta hubungan antara klien dengan kaunselor itu adalah merupakan dua faktor
utama bagi kejayaan sesuatu proses kaunseling tanpa memerlukan arahan-arahan
yang langsung dari kaunselor seperti yang dianjurkan sebelum dan selepasnya.
Kerana itulah tatacara dan teknik tidak penting baginya.
Melalui penglibatannya yang meluas di dalam kaunseling dan psikoterapi individu,
Rogers telah mengemukakan teori dan pendekatannya yang dinamakan terapi
pusatan-klien di dalam tahun 1951. Teori ini terus diperbaikinya dan hasilnya
diterbitkan di dalam tahun 1962.
Teori dan pendekatan yang dikemukakan oleh Rogers ini mencetuskan minat yang
mendalam di kalangan para pendidik yang menekankan pengajaran pemusatan
pelajar. Di samping itu, Rogers juga telah mencuba teorinya untuk digunakan
dengan kelompok-kelompok, dan juga dalam kaunseling keluarga pada tahun 1970
dan 1972. Sejak kebelakangan ini seolah-olah sudah muncul minat untuk
menerapkan teorinya di dalam bidang perhubungan antarabangsa dan politik.
2.0 Latar Belakang Tokoh
Carl Ransom Rogers dilahirkan pada 8 Januari 1902 di Oak Park, Illinois Chicago.
Rogers merupakan anak ke-empat dari enam orang adik beradik. Ayahnya
merupakan seorang kontraktor dan jurutera. Kedua-dua ibubapanya sangat kuat
berpegang kepada agama. Rogers mempunyai adik beradik seramai enam orang
dan lima daripada mereka adalah lelaki. Hubungan mereka adik beradik sangatlah
rapat. Rogers amat rapat dengan ibunya berbanding ayahnya.
Semasa kecil Rogers adalah seorang murid yang cerdik dan pintar. Walaupun
dilahirkan dalam keluarga yang ramai, Rogers merupakan seorang pelajar yang
suka mengasingkan diri dan pendiam di sekolah. Beliau sangat sensitif orangnya.
Rogers telah memasuki Universiti Wisconsin dan memperolehi pencapaian di dalam
bidang akademik yang sangat baik. Di universiti itu beliau mengambil bahagian
dalam pelbagai aktiviti, termasuk rombongan ke negeri China sebagai perwakilan
dalam World Student Christian Federation Conference. Beliau mendapat Ijazah
pertamanya dalam bidang Sejarah pada tahun 1924. Beliau menerima Ijazah
kedoktorannya pada tahun 1931.
Pada tahun 1928, sebelum menerima ijazah kedoktorannya, beliau mula bekerja di
Rochester New York, terutamanya dengan kanak-kanak dan remaja yang
bermasalah yang dirujuk oleh mahkamah dan agensi-agensi kepada Child Study
Department of the Society for the Prevention of Cruelty to Children. Kemudian beliau
dilantik menjadi pengarah kepada Rochester Guidance Center. Pada tahun 1940 dia
menjadi professor di Ohio State University. Di antara tahun 1945 sehingga 1957
beliau terlibat secara langsung dengan Counseling Center di University Of Chicago.
Rogers kemudian berpindah ke University Of Wisconsin. Pada tahun 1964 beliau
menyertai Western Behavioral Science Institute sebagai ‘resident fellow’. Dari tahun
1968 sehingga beliau meninggal dunia, Rogers menjadi resident fellow di Center for
studies di La Jolla, California. Rogers telah menulis beberapa buah buku antara lain
buku-buku yang ditulisnya ialah Counseling and Psychotherapy (1942), Client-
centered Therapy (1951), On Becoming a Person (1961), Carls Rogers On
Encounter Groups (1970).
Rogers banyak menerima penghormatan di sepanjang hidupnya. Beliau merupakan
orang pertama menjadi pengerusi kepada American Association for Applied
Psychology . Beliau bertugas sebagai pengerusi American Psychocogical
Association (APA) dari tahun 1946 – 1947 . Rogers meninggal dunia di La Jolla,
California pada 4 Februari 1987 ketika berusia 85 tahun selepas menjalani
pembedahan tulang punggung yang patah akibat satu kemalangan.
3.0 Pandangan Terapi Terhadap Kejadian Manusia
Menurut Amir Awang (1987), Carls Rogers mempunyai pandangan yang cukup
teguh mengenai sifat tabii manusia. Baginya manusia boleh berkembang secara
positif dan membina jika wujud perasaan percaya mempercayai, hormat
menghormati yang boleh dirasai dan dialami. Rogers menolak sekuat-kuatnya
anggapan bahawa manusia itu tidak boleh dipercayai dan pasif, dan menjadi
mangsa sifat biologi atau persekitarannya. Ia menolak anggapan kepercayaan
bahawa manusia itu perlu diarah, didorong, diajar, didera, diberi ganjaran, dikawal
dan diuruskan hidupnya oleh orang lain. Ia yakin bahawa manusia memang dari
mula lagi sudah mempunyai kecenderungan dan keupayaan semulajadi untuk
berkembang peringkat demi peringkat menuju ke arah nirwana kendiri, andainya
wujud keadaan-keadaan yang sesuai.
Menurut Ee Ah Meng (1997), Carls Rogers dalam teori Pemusatan Insan membuat
andaian bahawa manusia adalah rasional, baik dan bertanggungjawab. Manusia
boleh membuat keputusan sendiri yang membawa keoada kebebasan dan berdikari.
Sifat-sifat yang ada pada manusia adalah seperti membina, bekerjasama, boleh
dipercayai, bersifat realistik dan sanggup bersosial. Perasaan-perasaan negatif yang
terdapat pada manusia seperti marah dan benci memang wujud akibat penafian
keperluan seperti kasih sayang, keselamatan dan penerimaan.
Andaian-andaian teori ini terhadap manusia adalah seperti :
1. Konsep kendiri adalah persepsi tentang diri individu berdasarkan interaksi kita
dengan orang-orang lain.
2. Individu bertingkah laku dalam bentuk yang boleh meningkatkan konsep
kendirinya.
3. Masalah-masalah yang berlaku kerana timbul atau wujudnya antara konsep
kendiri dengan pengalaman-pengalaman yang lalu.
4. Hanya dengan pengalaman dan penghormatan barulah individu akan bersedia
untuk berkongsi masalahnya.
Menurut Suradi Salim (1996), manusia dianggap mempunyai sifat-sifat positif dan
mempunyai keinginan untuk berfungsi penuh, iaitu hidup dengan seberapa berkesan
yang boleh. Jika seseorang itu dibenarkan untuk berkembang dengan bebas, beliau
akan berkembang dengan sempurna dan akan menjadi individu yang positif dan
berjaya. Pandangan seseorang tentang dirinya dalam konteks persekitarannya
menentukan tingkah lakunya dan kepuasan peribadinya. Jika diberikan atau
disediakan dengan persekitaran yang menggalakkan, manusia akan berkembang
dengan yakin ke arah nirwana kendiri – menjadi apa sahaja yang dia inginkan. Jika
manusia tidak menerima kasih sayang dan sokongan orang yang penting baginya,
kemungkinan besar manusia menganggap dirinya tidak berharga dan menganggap
orang lain tidak boleh dipercayai, serta mereka akan bersikap mempertahankan diri
dan perkembangan ke arah nirwana diri akan terhalang. Persepsi seseorang tentang
diri dan persekitaranya merupakan realiti baginya.
Bagi Rogers, untuk membolehkan seseorang itu berkembang secara positif dan
membina, mestilah wujud tiga suasana atau keadaan, iaitu;
1. Kejujuran, keikhlasan da kebenaran
2. Penerimaan tanpa syarat dan perasaan ambil berat
3. Kefahaman yang mendalam
Jika ketiga-tiga keadaan ini dapat dirasai dan dialami oleh klien di dalam
hubungannya dengan kaunselor, ia juga akan mula menghayati sifat-sifat dan ciri-ciri
ini dan seterusnya lebih bersedia untuk menerima pengalaman-pengalaman yang
dilaluinya.
4.0 Matlamat Terapi
Matlamat yang ingin dicapai di dalam kaunseling / Terapi Pemusatan Insan ini
bukanlah sekadar menyelesaikan masalah yang dihadapi atau dialami pada masa
itu, tetapi apa yang lebih diutamakan ialah untuk mencapai perasaan bebas dan
besepadu bagi diri seseorang individu itu.
Tujuan kaunseling adalah untuk membantu klien di dalam proses
perkembangannya, agar ia dapat menghadapi dan mengatasi masalah masa kini
dan masalah-masalah di masa hadapan.
Dengan berasaskan kepada matlamat yang ingin dicapai, maka klien haruslah
bersedia untuk memisahkan dirinya daripada apa yang selama ini telah sebati
dengan dirinya bagi membolehkan dirinya berhadapan dengan realiti. Menurut Amir
Awang (1987), terdapat beberapa perkara yang dapat diperhatikan dan dirasai oleh
klien itu sendiri untuk mencapai maksud yang ingin dituju di dalam kaunseling :
i) Klien bersedia menerima, merasai dan mengalami realiti yang sebenar, tanpa
mengherot-berotkannya untuk disesuaikan dengan struktur kendiri seseorang itu.
Klien tidak lagi bimbang atau takut untuk berhadapan dengan realiti. Ia sedia
menerima dirinya sendiri – baik atau buruk, ia dapat mengalami hidup dengan cara
yang baru dan dapat terus berkembang.
ii) Klien akan merasa yakin pada diri sendiri. Biasanya klien tidak yakin yang ia boleh
mengemudikan hidupnya, kerana itu ia sering meminta dirinya dibimbing dan diarah.
Tetapi apabila ia sudah sedia menerima dirinya dan berhadapan dengan kenyataan,
ia pun akan mula mempunyai keyakinan dan keupayaan sendiri untuk mengawal
dan mengarah hidupnya.
iii) Klien akan dipandu dan diarah oleh perasaan dan pemikirannya sendiri.
Walaupun penting bagi seseorang untuk memberi perhatian kepada nilai-nilai dan
norma-norma masyarakat, individu perlu juga mempunyai nilai-nilai sendiri untuk
memandu dirinya. Ia harus bersifat inner directed dan tidak dikongkong oleh outer
directedness. Melalui inner directedness ini ia akan memperolehi kepuasan kerana
ia dapat membuat sesuatu keputusan berdasarkan pertimbangan sendiri.
iv) Klien dalam keadaan untuk terus berkembang. Apabila wujud di dalam diri klien
kesediaan untuk terus hidup, untuk terus mengalami peristiwa-peristiwa baru, untuk
terus menghadapi cabaran-cabaran dan masalah-masalah baru, maka individu telah
mencapai suatu tahap positif di dalam proses hidupnya. Dari sini ia akan bersedia
membuat ketetapan-ketetapan baru untuk dirinya, untuk mencari matlamat-matlamat
baru untuk hidupnya. Ia tidak lagi perlu bergantung kepada orang lain untuk
mengarah atau mengawal hidupnya. Ia sudah berupaya menuju ke arah matlamat
baru.
5.0 Teknik Pemusatan Insan
Menurut Hansen, Stevic & Warner (1986), Kaunseling Pemusatan Insan
mengandaikan bahawa setiap individu mempunyai keinginan untuk berkembang,
matang dan mencapai atau menuju ke arah kesempurnaan kendiri. Ini adalah
merupakan satu-satunya pendekatan teraputik yang utama yang bergantung
terhadap gerakan dalaman klien untuk menuju ke arah pertumbuhan. Individu dilihat
sebagai boleh memulihkan diri, memerlukan kemesraan, dan persekitaran yang
menyokong untuk mencapai kepuasan kendiri pada tahap yang tinggi.
Menurut Gelso & Carter (1985), hubungan kaunselor dengan klien dilihat sebagai
ramuan yang penting di dalam psikoterapi. Dalam perhubungan kaunseling,
komunikasi difokuskan kepada individu yang mengalami masalah. Rogers (1986)
menyarankan tiga suasana yang fasilatatif iaitu :
i. Ketulenan sebenar atau kongruen
ii. Penerimaan, mengambil berat dan bersangka baik
iii. Mempunyai kefahaman empati
Kajian yang telah dibuat menunjukkan kaunseling pemusatan insan yang
dicadangkan oleh Rogers adalah sesuai untuk menggalakkan peningkatan
penyesuaian psikologikal pada diri klien. Melalui kaunseling pemusatan insan, klien
telah meningkatkan penghargaan kendiri. Menurut Carkhuff dan Berenson (1967),
kajian-kajian telah mengesahkan kepentingan sumbangan empati, penghormatan
dan ketulenan dalam proses kaunseling. Brammer dan Shostrom (1982), satu ciri
utama yang membezakan kaunseling pemusatan insan dengan pendekatan lain
ialah meningkatnya tahap tanggungjawab pada diri klien berbanding dengan yang
dijangkakan oleh kaunselor.
Amir Awang (1987), menjelaskan bahawa Rogers telah mengemukakan beberapa
sifat yang terdapat di dalam teori ini. Antaranya ialah teori ini dianggap sebagai
fleksibel dan sedia menerima perubahan dari semasa ke semasa. Ia memberi fokus
kepada keupayaan klien serta tanggungjawabnya untuk mencari jalan bagi
menghadapi kenyataan, dan seterusnya menghasilkan tingkahlaku yang sesuai
dengan realiti. Pendekatan teori ini memberi tumpuan utama kepada dunia
fenomenologi klien sendiri. Ini bermaksud setiap klien melihat kenyataan atau realiti
menurut kaca mata dan teropongnya sendiri. Manakala kaunselor harus bersedia
untuk menerima persepsi subjektif ini dan harus bersedia merasai dan mengalami
apa yang dirasai dan dialami oleh klien melalui proses empati. Kaunselor juga harus
mengelak dari mencemuh, menyangkal, mengkritik atau sebagainya.
Pendekatan teori ini boleh digunakan dengan semua jenis klien iaitu normal, neurotik
dan psikotik. Melalui hubungan yang dibina oleh kaunselor bersama klien yang
kongruen, menerima kliennya tanpa syarat dan mempunyai keupayaan untuk
berempati, klien dengan sendirinya akan menemui dirinya sendiri melalui proses
kaunseling. Dengan menggunakan teori ini kaunselor hendaklah ikhlas, jujur, mesra
dan bersedia menerima kliennya, serta mempunyai kebolehan untuk berempati
secara tepat. Dengan sifat dan kebolehan ini, klien bolehlah diajak untuk memberi
fokus kepada apa yang dirasai dan dialaminya masa kini dan pada ketika itu.
Sebagai suatu teori yang menekankan usaha bersama di antara kaunselor dan klien
untuk membolehkan klien berkembang, kaunselor dan klien terlibat secara langsung
di dalam proses berkembang untuk menuju ke arah matlamat, manakala kuasa dan
kawalan tidak dipegang oleh kaunselor. Malah klienlah yang memilikinya, dan klien
juga yang menentukan bagaimana ia hendak menggunakan kuasa dan kawalan ini
bagi mengembangkan dirinya.(Rogers, 1977).
Antara teknik-teknik teori Pemusatan Insan ialah :
5.1 Penerimaan Tanpa Syarat
Teknik ini menekankan supaya kaunselor mempunyai sikap menerima klien tanpa
syarat iaitu tanpa menilai tingkahlaku, peristiwa atau perasaan klien sama ada baik
atau jahat. Dalam ertikata lain, kaunselor haruslah bersedia menerima kliennya
tanpa mengenakan apa-apa syarat ke atasnya. Ia harus bersedia menerima kliennya
tanpa prasangka atau sebarang penilaian. Kaunselor juga haruslah juga sering
berwaspada agar ia tidak memberi gambaran kepada kliennya yang ia sedia
menerima kliennya, agar kliennya rasa senang terhadapnya lantas memuji,
menyanjung atau menghargai kesediaanya menerima klien. Sikap ikatan dua hala ini
(double binding) hendaklah dielak bagi menghindarkan perasaan ada udang
disebalik batu. Tanpa mengenakan syarat seperti ini, klien akan dapat merasa
ketulenan kaunselor tadi untuk menolongnya dan dengan wujudnya persepsi dan
perasaan seperti ini, maka lebih mudahlah proses perubahan personaliti berlaku,
kerana tidak akan terasa sebarang ancaman.
5.2 Empati
Sifat empati adalah kebolehan untuk merasa dan mengenalpasti perasaan orang
lain dan kemampuan memberitahu kepada klien daripada sudut pandangannya, iaitu
cuba masuk ke dalam ruang rujuk klien.
Di dalam teknik ini memerlukan kaunselor mempunyai kefahaman empati yang
tepat. Klien yang datang bersamanya membawa dunia subjektifnya, yang tentu
berbeza daripada dunia subjektif kaunselor itu sendiri. Dari huraian klien, baik
melalui bahasa mahupun melalui gerak-geri tubuh badannya, kaunselor haruslah
berusaha menyelami dunia subjektif kliennya, sehingga ia dapat merasai,
mempersepsi dan mengalami segala apa yang dirasai, dipersepsi dari alam
objektifnya dari realiti yang sebenar.
5.3 Ketulenan
Sifat jujur, ikhlas dan tulen harus ada pada kaunselor yang menggunakan teknik ini.
Ketulenan adalah kebolehan untuk menjadi sejati dan benar dengan orang lain.
Kaunselor tidak sepatutnya menyelewengkan komunikasi, menyembunyikan motif
atau bertindak dengan agenda yang tersembunyi, berpura-pura dan mengelak.
Kaunselor haruslah bersikap terbuka dengan klienya. Ia tidak tersekat-sekat atau
teragak-agak untuk menyampaikan apa jua yang dirasainya, baik yang positif
mahupun negatif. Dengan yang demikian ia dapat menjadi sebagai contoh atau
model kepada kliennya untuk juga bersifat terbuka, jujur dan ikhlas di dalam
menyatakan perasaan dan pengalamannya.
5.4 Aktif Mendengar dan berfikir
Mendengar merupakan satu kemahiran yang amat penting dalam sesi kaunseling.
Tumpuan yang penuh ataupun konsentrasi hendaklah diberikan kepada apa yang
klien cakap samada secara lisan atau bukan lisan. Tumpuan atau perhatian
merupakan prasyarat terhadap membantu. Pendengar yang aktif akan memberi
maklum balas tentang apa yang dicakapkan menggunakan perkataannya sendiri
untuk tiga sebab iaitu ;
a. ia akan memastikan ia betul-betul faham apa yang dicakapkan oleh kliennya
b. ia akan memastikan ia betul-betul telah mendengar
c. ia akan membantu klien membuat pendedahan kendiri
Mengenal pasti perasaan dapat memberitahu kepada klien bahawa kaunselor
sedang mendengar dan menggalakkan klien untuk bercakap lebih bebas. Ini boleh
membantu untuk merangka suatu ketetapan yang lebih memuaskan. Menurut Mc
Kay, Davis dan Fanning (1983) menyatakan bahawa mendengar dengan aktif
memerlukan kaunselor bekerjasama di dalam proses berkomunikasi. Ini termasuklah
parafrasa, menjelaskan dan maklum balas.
5.4.1 Parafrasa
Parafrasa bermaksud mengatakan dengan perkataan sendiri apa yang telah
dikatakan oleh klien seperti;
“apa yang saya faham”
“dengan kata lain…”
Kaunselor harus memparafrasakan apabila klien menyebut sesuatu yang penting
kepadanya.
5.4.2 Penjelasan
Penjelasan bermaksud bertanyakan soalan untuk mendapatkan penjelasan agar
kaunselor boleh memahami kenyataan-kenyataan yang kabur. Tujuannya ialah
memahami dari konteks bagaimana cara berfikir klien dan perasaannya terhadap
sesuatu masalah.
5.4.3 Maklum Balas
Sewaktu temubual kaunseling maklum balas menyediakan peluang untuk kaunselor
berkongsi apa yang difikirkan, dirasakan dan untuk menyemak persepsi. Untuk
menyemak persepsi kaunselor merangka apa yang dia dengar dan dipersepsikan ke
dalam tentatif.
5.5 Kongruen
Kongruen memerlukan kaunselor bersifat telus terhadap klien, iaitu jika kaunselor
merasa marah terhadap cara klien berkomunikasi tetapi dia menyembunyikannya.
Ini menyebabkan berlakunya tidak kongruen. Adalah menjadi satu dilema untuk
menjadi kongruen kerana ia kadangkala bercanggah dengan sikap tidak
menghukum.
5.6 Mendengar untuk merasa
Interaksi yang berkesan melibatkan pemahaman yang mendalam terhadap dunia
seseorang dan menyatakan kefahaman itu kepada klien. Melalui pendengaran dan
tindakan yang tepat, halangan yang merintangi persefahaman dua hala boleh
dihindari. Dinkmeyer & Losoney, 1980, mengenalpasti dan menyatakan perasaan
dalam sesuatu mesej boleh dirangka dalam bentuk;
“perasaan kamu sekarang”
jika apa yang saya dengar ini betul”
5.7 Mendengar dengan empati
Mendengar dengan empati bermaksud kaunselor menyedari bahawa walaupun
sesuatu perkara amat berat tetapi kaunselor perlu juga membantunya. Kaunselor
perlu bertanya diri sendiri bagaimana kepercayaan dan keputusan walau pun ia
mungkin gagal tetapi boleh mengurangkan kerisauan klien.
5.8 Menghormati
Menghormati adalah kemahiran interpersonal yang menunjukkan penghargaan
tentang keunikan orang lain, toleransi terhadap perbezaan atau kelainan, kemahuan
dan keinginan untuk berinteraksi dengan orang lain secara sama rata.
5.9 Penerimaan yang mesra
Teknik ini merupakan keupayaan untuk bersifat terbuka, peramah dan menerima
menggunakan komunikasi bukan lisan yang boleh menyampaikan isyarat-isyarat
kongruen, keterbukaan dan kesudian untuk mendengar.
5.10 Konfrontasi
Konfrontasi merupakan keupayaan untuk memberitahu seseorang individu itu
tentang perselisihan tingkah laku dan kesannya terhadap dirinya sendiri, dengan
cara yang tidak agresif, tidak menghakimi, tidak kritikal atau tidak defensif
(mempertahankan diri). Ia bertujuan untuk menyedarkan individu tersebut sama ada
tingkah lakunya menggalakkan atau menghalang perhubungan interpersonalnya.
5.0 Peranan Kaunselor
Dengan adanya sikap dan kebolehan berempati, kaunselor haruslah berperanan
seperti yang dijelaskan oleh Corey (1996);
a. Kaunselor berfungsi sebagai fasilitator bagi perkembangan seseorang klien.
Kaunselor haruslah mewujudkan suasana teraputik iaitu mewujudkan suasana yang
tenang, selesa dan sesuai agar dapat menggalakkan klien mengalami suatu rasa
bebas untuk meneroka dan mengalami cabang-cabang hidup yang disangkalnya.
Oleh itu klien dapat dibantu supaya tidak bersifat defensif. Kaunselor harus
menganggap klien sama taraf dengan kaunselor dan berusaha mengenali
masalahnya.
b. Kaunselor perlu mewujudkan suasana iaitu kaunselor harus berada dalam
keadaan kongruen dan klien berada dalam keadaan tidak kongruen. Kaunselor
bersedia menerima tanpa syarat, prasangka dan tidak beranggapan buruk terhadap
klien. Kaunselor harus berempati bagi merasai dan mengalami apa yang dirasai dan
dialami oleh klien.
c. Kaunselor haruslah memperlihatkan kepada kliennya yang ia dianggap sebagai
sama taraf dengan dirinya dan secara bersama mereka akan berusaha untuk
mengenali masalah klien dan mengatasinya.
d. Kaunselor tidak akan mendiagnos masalah klien. Ia hanya menjadi sebagai
cermin yang akan membantu klien melihat dirinya dan masalahnya dengan jelas.
Untuk mempastikan tercapainya perkara-perkara yang disebutkan di atas, haruslah
wujud:
a. pertemuan, baik secara langsung atau tidak langsung, di antara kaunselor dengan
klien
b. kaunselor haruslah di dalam kongruen, dan klien pula berada di dalam keadaan
tidak kongruen
c. Kaunselor bersedia menerima kliennya tanpa syarat, tanpa sebarang prasangka
dan anggapan
d. Kaunselor boleh berempati bagi merasai dan mengalami apa yang dirasai dan
dialami oleh klien
e. Kaunselor haruslah bersifat jujur, ikhlas dan terbuka
f. Klien pula haruslah dapat melihat dan merasai, tak banyak sedikit, sifat-sifat dan
kebolehan-kebolehan di atas yang ada pada kaunselor
6.0 Peranan Klien
Untuk sesuatu sesi kaunseling itu mencapai kejayaan, klien juga tidak terlepas
memainkan peranannya; antara peranan-peranan klien adalah seperti:
a. Klien haruslah memutuskan bahawa dia memerlukan khidmat kaunseling dan
datang secara sukarela dan bukan atas dasar paksaan atau disuruh oleh orang lain
b. Pada awalnya, klien menghadapi kebimbangan, percanggahan perasaan dan
fikiran
c. Klien harus merasa bersedia untuk berbincang apabila merasa diterima dan dapat
menghayati perhubungan kaunselor dengan klien
d. Klien merasa lebih terbuka dan bebas meluahkan perasaan dan menjelajah diri
e. Klien akan cuba untuk mencari penyelesaian dengan bantuan klien sendiri
f. Klien akan menentukan pilihan dan tindakannya sendiri. Kaunselor hanya
bertindak membantu klien dalam membuat pilihan
g. Klien berupaya dan bersedia untuk berubah
h. Klien bersedia untuk terus berkembang dalam usaha mencari matlamat baru
7.0 Aplikasi teori dalam bidang kaunseling
Teori ini sangat sesuai digunakan di dalam seting sekolah kerana ia menekankan
kaedah pengajaran pemusatan pelajar. Ini bersesuaian kerana teknik-teknik dan
tatacara-tatacara yang digunakan adalah berbentuk nasihat, saranan, pujukan dan
pengajaran adalah sesuai untuk pelajar-pelajar di peringkat sekolah rendah dan
menengah. Teori ini juga sangat berkesan dalam mengubah tingkah laku pelajar.
8.0 Kekuatan Terapi
Menurut Shertzer & Stone (1992), antara matlamat yang ingin dicapai ialah membina
individu agar dapat berkembang dengan sihat. Oleh itu antara kekuatan teori ini
menurut mereka ialah :
a. menekankan kepentingan hubungan yang akrab antara kaunselor dengan klien
b. Menanamkan pendapat bahawa penerimaan, penghargaan serta kejujuran
kaunselor merupakan syarat-syarat yang amat penting bagi mewujudkan
perhubungan
c. Memupuk pendapat bahawa klien ialah rakan kongsi penuh dalam hubungan dan
bukan hanya sebagai rakan yang merendah diri
9.0 Limitasi Teori
Seperti teori-teori yang lain, terapi pemusatan insan ini juga mempunyai kekurangan
dan kelemahannya. Antara lain ialah ;
a. Terapi ini tidak mempunyai satu set teknik atau tatacara yang tertentu yang
terdapat di dalam setengah-setengah psikoterapi.
b. Terapi ini kurang menyediakan panduan tentang cara mewujudkan hubungan
kaunselor dengan klien
c. Kebanyakkan konsep di dalam terapi ini tidak dapat dibuktikan dan diukur dengan
mudah. Ianya terlalu abstrak.
10.0 Kesimpulan
Secara positif, suatu sumbangan yang paling besar telah diberikan oleh Rogers
melalui teorinya ialah keyakinannya yang kuat tentang keupayaan dan
kecenderungan manusia untuk berkembang ke arah nirwana kendiri. Pendirian yang
positif seperti ini telah memberikan maruah dan darjat kepada manusia, yang akan
berusaha mencerminkan kepercayaan sedemikian.
Rogers juga secara tidak langsung mengutarakan nilai-nilai dan sikap-sikap positif di
dalam berinteraksi dengan orang lain dengan menegaskan betapa pentingnya kita
menerima orang lain tanpa syarat, bersedia mendengar dan memahami orang lain
dari kaca mata dan dunianya yang subjektif, serta menekankan pentingnya
kejujuran, keikhlasan dan ketulenan di dalam segala tindak tanduk kita, kerana
melalui penghayatan sikap dan nilai-nilai sebegini kita boleh menjadi contoh atau
model yang berguna bagi orang lain.
Tanpa mempunyai pendirian yang menghakim atau judgemental, klien akan lebih
bersedia untuk meluahkan isi hatinya kepada kita, kerana dia yakin bahawa apa juga
yang dikemukakan itu tidak akan diberi nilai, dan hal sebegini tidak dirasakan
sebagai mengancam dirinya.
Secara negatifnya, bolehlah dikatakan bahawa kebanyakkan konsep-konsep yang
dikemukakan itu tidak dapat diperhatikan dan tidak pula dapat diukur dengan
mudah, kerana ianya bersifat konsep yang abstrak.
Pergantungannya kepada laporan kendiri boleh membawa hasil yang tidak begitu
memuaskan kerana klien yang beremosi dan berfikiran kusut mungkin tidak
berupaya untuk melahirkan isi hatinya dengan tenang dan teratur. Ini sudah tentu
boleh menghasilkan kesimpulan-kesimpulan yang juga tidak tepat.
Tanpa sedikit sebanyak panduan, arahan, manipulasi proses kaunseling akan
memakan masa yang amat panjang. Biar apa sekalipun kelemahan-kelemahan yang
terdapat di dalam teori ini, satu hal yang tidak dapat dinafikan ialah teori ini amat
memudahkan klien untuk meluahkan isi hatinya, kerana melalui perhubungan yang
mesra di antara kaunselor dan klien, klien begitu yakin yang kaunselor merupakan
orang yang boleh diharap dan memang bertanggungjawab serta bersunguh-
sungguh akan berusaha menolongnya.
- TEORI RASIONAL EMOTIF TERAPI-
Tokoh Teori
Teori Rasional Emotif Terapi telah diasaskan oleh Albert Ellis. Beliau dilahirkan pada
tahun 1913 di Pittsburgh, Amerika Syarikat. Teori ini terbina apabila beliau
mendapati bahawa teori Psikoanalasis yang dipelopori oleh Freud tidak mendalam
dan adalah satu bentuk pemulihan yang tidak saintifik. Pada awal tahun 1955, beliau
telah menggabungkan terapi-terapi kemanusiaan, fisolofikal dan tingkah laku dan
dikenali sebagai teori emosi-rasional (RET). Semenjak itu beliau terkenal sebagai
bapa kepada teori RET dan datuk kepada teori tingkah laku kognitif.
Meninjau kepada zaman kanak-kanak Ellis, beliau sering mengalami gangguan
kesihatan. Beliau pernah dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan nefritis
sebanyak 9 kali. Tetapi Ellis seorang yang bercita-cita tinggi iaitu ingin menjadi
seorang pakar psikologi. Beliau mempunyai kebolehan dalam memberikan
perkhidmatan kaunseling. Oleh itu beliau mula mempraktikkan terapi perkahwinan,
keluarga dan seksual. Pada tahun 1947 hingga 1953 Ellis telah menjalankan kajian
secara klasikal berasaskan psikoterapi. Hasil kajian mendapati bahawa terapi
psikoanalisis tidak begitu menyeluruh dan tidak saintifik.
Ellis berpendapat pendekatan yang dibawakan oleh Freud kurang lengkap kerana
ada individu yang bertambah teruk selepas menjalani pendekatan psikoanalisis.
Hipotesis RET berdasarkan bahawa emosi berpunca daripada kepercayaan,
penilaian, interpretasi dan tindakan daripada situasi kehidupan. Di dalam proses
teraputik emosi-rasional, klien mempelajari kemahiran yang akan digunakan untuk
mengenal dan memerangi kepercayaan yang telah tertanam lama di dalam diri
seseorang. Ini disebabkan oleh teori ini lebih bersifat ‘pendidikan’ daripada
perubatan yang direka dalam keadaan di mana kaunselornya aktif terarah dengan
tepat dan mengajar. Ellis terkenal dengan bukunya yang bertajuk ‘Reason and
Emotion In Psychotherapy’ dan bersama-sama dengan Robert A Harper beliau
mengeluarkan buku berjudul ‘A Guide to Rational Living’.
Pendekatan Teori
RET juga dikenali sebagai Terapi A-B-C yang mana merupakan suatu teori yang
mempunyai kelainan dengan teori-teori yang lain terutamanya Teori Psikoanalisis,
Teori Pemusatan Insan, Gestalt dan lain-lain lagi. Ini disebabkan oleh teori ini
mementingkan tiga aspek utama iaitu kognitif, emosi dan aspek tingkah laku. Teori
ini memberi penekanan kepada pemikiran, penganalisaan, penilaian, perlakuan dan
membuat keputusan. Pendekatan teori ini bercorak deduktif atau mengajar,
mengarah dan mengutamakan kepada pemikiran daripada kepercayaan yang tidak
rasional.
Terapi ini yakin bahawa setiap individu mempunyai sistem kepercayaan yang tidak
rasional. Kepercayaan ini perlu dicabar dan diperbetulkan supaya dapat
mewujudkan sistem kepercayaan yang baik dan rasional. Dalam konteks ini ia
merupakan satu sistem pendidikan semula yang mengajar individu untuk melihat
semula sistem kepercayaan yang membuatkan dirinya menderita dengan
menggantikan semula dengan satu set kepercayaan yang membawa kesejahteraan
dan kebahagiaan pada diri seseorang individu dan seterusnya kepada orang yang
signifikan dengannya.
Prinsip terapi RET boleh digunakan kepada masalah semasa, masalah yang lain
dalam kehidupan dan juga masalah yang mungkin dihadapi pada masa akan
datang. Fokus prinsip ini adalah kepada pemikiran dan tindakan, bukan hanya
mengikut perasaan. Terapi ini dianggap sebagai satu proses pembelajaran kerana
fungsi kaunselor yang berbagai-bagai. Kadang kala kaunselor bertindak sebagai
seorang guru, yang memberi tugasan kepada pelajar iaitu klien dalam konteks terapi
ini.
Teori Ellis ini berasaskan andaian bahawa individu-individu mempunyai keupayaan
bertindak sama ada dalam bentuk rasional mahupun tidak rasional. Tingkah laku
rasional ialah dilihat sebagai keberkesanan dan kemungkinan produktif, manakala
tingkah laku yang tidak rasional pula hasilnya dalam keadaan tidak gembira dan
menghasilkan ‘output’.
Menurut J Blackham dalam Muhd Mansur Abdullah (1997), dua tujuan utama RET
iaitu; pertama mendemonstrasikan pada klien bahawa berkata-kata kepada diri
sendiri itu adalah akibat daripada gangguan; dan kedua, menilai kembali berkata
dalam diri demi menghapuskannya dan menolak semua idea yang tidak logik. Dalam
buku-buku Ellis seperti The Art And Science Of Love, The Intelligent Woman’s Guide
To Man-Hunting, Humanistic Psychotherapy dan The Rational-Emotive Approach
banyak menggambarkan sifat manusia. Misalnya, kemampuan manusia berfikir
sesuatu melalui proses-prosesnya. Ellis menggalakkan manusia supaya
menganggap diri mereka adalah berkebolehan. Dia yakin jika manusia boleh
menggunakan rasional mereka dalam mentadbir diri, maka tidak ada lapangan
dalam kehidupan mereka yang tidak boleh diperbaiki.
Menurut Muhd Mansur Abdullah (1997), dalam melahirkan teorinya Ellis banyak
menggunakan sistem-sistem psikologi dan falsafah iaitu menggabungkan intipati
Falsafah Stoic, Psikoanalisis Freud, Psikologi Individu Alfred Adler dan Orientasi
tingkah laku Pavlov dan Wolpe. Semua sistem itu membantunya meneguhkan lagi
teori dan pendekatannya. Sebab itulah Ellis menekankan: “When people emote they
also think and act. When they act, they also think and emote. When they think, they
also emote and act. To understand self-defeating behavior , one must understand
how a person feels, thinks, perceives and acts”.
Pandangan Teori Terhadap Manusia
Hubungan emosi dan pemikiran adalah berhubung rapat dan tidak boleh untuk
dipisahkan. Oleh sebab itu segala pemikiran dan kepercayaan yang tidak rasional itu
berpunca daripada proses dan pengaruh budaya dan pembelajaran . Menurut
George dan Cristiani (1995) telah mengandaikan bahawa manusia bertindak
sebagai penilai, perunding dan pengawal diri. Gangguan emosi dan tingkah laku
akan bermula apabila manusia menganggap beberapa keutamaan seperti keinginan
untuk disayangi, diperakui kejayaan dan menganggap keutamaan tersebut sebagai
keperluan yang utama. RET juga memandang bahawa manusia dilahirkan dengan
beberapa kecenderungan ke arah perkembangan dan pengiktirafan diri tetapi
mereka akan mengkhianatinya disebabkan oleh kecenderungan untuk berfikir tidak
rasional dan contoh-contoh mengalah diri yang telah mereka pelajari.
Menurut Gerald Corey (1996) pula mendapati bahawa terapi RET berlandaskan
kepada andaian bahawa manusia dilahirkan dengan keupayaan untuk berfikiran
secara rasional dan tidak rasional. Manusia berupaya untuk memelihara dirinya,
bergembira, berfikir, menterjemahkan diri, sayang menyayangi, berkomunikasi
dengan orang lain, berkembang dan mengiktiraf diri sendiri. Manusia juga
berkecenderungan untuk merosakkan dirinya, tidak mahu berfikir, suka menangguh
untuk membuat sesuatu, mengulangi kesilapan, tidak sabar, mementingkan
kesempurnaan semata-mata, selalu menyalahkan diri sendiri, cuba mengelakkan
pengikhtirafan dan pertumbuhan potensi. Fenomena ini meyakinkan terapi ini dapat
membantu manusia untuk menerima kembali diri mereka sendiri setelah melakukan
kesilapan dan belajar untuk hidup lebih harmonis.
Hackey dan Cormier (1995) berpendapat bahawa RET, membuat andaian tentang
gangguan emosi manusia adalah disebabkan oleh pemikiran yang tidak rasional.
Hubungan antara emosi dan pemikiran terlalu rapat sehingga tidak boleh dipisahkan
kedua-duanya. Manusia juga dilahirkan dengan suatu potensi untuk berfikiran
secara lurus dan rasional dan juga secara tidak rasional. Manusia sendirilah yang
menyebabkan dirinya merasa terganggu dan gangguan itu bukanlah disebabkan
oleh sumber-sumber luaran tetapi berpunca dari diri individu itu sendiri.
Manusia mempunyai keupayaan untuk mengubah proses-proses kognitif, emotif dan
tingkah lakunya. Mereka boleh memilih untuk bertindak dengan cara yang berlainan
daripada pola tingkah laku yang normal. Mereka juga boleh memilih untuk tidak
membenarkan dirinya terganggu dan boleh melatih diri untuk mengalami gangguan
yang minimun selagi hayat masih ada.
Ee Ah Meng (1991) berpendapat bahawa terapi RET yang dikembangkan oleh Ellis
dalam tahun 1950 an adalah berdasarkan kepada kepercayaan bahawa manusia
perlu mengubah cara berfikir supaya boleh memperbetulkan pemikiran yang tidak
rasional. Baginya manusia dilahirkan dalam dunia yang tidak rasional dan manusia
menjadi semakin tidak rasional apabila berada dalam sistem kepercayaan mereka.
Suradi Salim (1996) mengandaikan bahawa manusia berupaya untuk berfikiran
rasional dan tidak rasional. Dalam pemikiran seseorang individu terdapat sistem
kepercayaan yang berkecenderungan untuk berfikir ke arah tidak rasional. Apabila
sesuatu peristiwa terjadi maka individu itu selalu mengandaikan suatu kepercayaan
terhadap peristiwa tersebut sama ada ianya baik atau sebaliknya. Manusia juga
sering mempercayai tahyul yang menyebabkan mereka membuat sesuatu
keputusan yang tidak mengembirakan. Oleh itu kaunselor perlu bertanggungjawab
untuk mewujudkan sistem kepercayaan individu tersebut supaya menjadi rasional
bagi membantunya memperolehi kehidupan yang lebih harmonis.
Menurut teori RET, seseorang yang bermasalah akan mempunyai suatu sistem
kepercayaan atau suatu ‘belief system’ yang penuh dengan kepercayaan yang tidak
rasional mengenai perkara yang dilihat atau dialaminya. Albert Ellis telah
memberikan beberapa idea tentang pemikiran yang tidak rasional, antaranya adalah
seseorang individu mempercayai bahawa ia mesti disayangi oleh orang-orang
penting atau signifikan kepada dirinya seperti ibubapa, adik-beradik dan rakan-
rakan. Individu juga percaya bahawa ia mesti membuktikan bahawa ia seorang yang
berkebolehan dan berkemampuan. Seseorang individu juga mempercayai bahawa
jika terdapat individu yang lain melakukan kesalahan atau tidak berlaku adil, maka
seharusnya ia dikutuk dan menyalahkan dirinya dan dilihat sebagai orang yang tidak
baik. Masa lampau juga dianggap sangat penting kerana ia mempengaruhi hidup
seseorang individu. Ellis mempercayai bahawa masa lampau itulah yang akan
menentukan perasaan seseorang individu pada masa kini.
Seseorang individu itu juga mempercayai bahawa ia perlu melihat kehidupannya
yang sangat teruk jika ia tidak dapat menyelesaikan masalah kepada kehidupannya.
Individu juga mempercayai bahawa ia perlu berpandangan tidak baik sekiranya ia
dikecewakan, disisih atau tidak dilayan secara adil. Jika berhadapan dengan
perkara-perkara yang merbahaya, seseorang individu mempercayai bahawa ia perlu
memikirkannya dan akan risau tentangnya.
Bagi menerangkan dengan jelas bagaimana gangguan emosi dan fikiran berlaku
maka kita akan menggunakan konsep ABCDE yang telah dinyatakan oleh Ellis iaitu
A ialah penggerak pengalaman activating experience atau peristiwa, faktor sikap
atau tingkah laku yang dialami oleh seseorang. Misalnya gagal dalam peperiksaan.
B pula adalah sistem kepercayaan yang dianuti oleh seseorang person’s belief
system. Misalnya, “saya tidak kelihatan cantik atau hodoh”. Manakala C ialah akibat
consequence iaitu hasil daripada penilaian oleh B ke atas A dan ditafsirkannya.
Misalnya, sentiasa keadaan muram dan tidak bersemangat. D pula adalah kaedah-
kaedah untuk berhujah, mengajar, mencabar dan memperbetulkan sistem
kepercayaan yang tidak rasional yang menyebabkan individu itu mengalami suatu
reaksi emosi yang tidak rasional. Misalnya, “Saya tidak mahu kamu yang
menyebabkan saya mengalami kerugian besar dalam hidup saya”. Dan akhir sekali
E ialah menjadi normal dan mempunyai sistem kepercayaan dan penilaian yang
rasional dan positif. Misalnya Saya rasa gembira.
Corey (1996) menjelaskan bahawa konsep ABC dalam teori RET adalah seperti
berikut; Menurut beliau, prinsip asas kepada gangguan emosi adalah sebahagian
besarnya akibat daripada hasil pemikiran tidak rasional dan pemikiran kalah diri.
Hasil daripada pemkiran ini menyebabkan seseorang individu itu suka menyatakan
sesuatu dengan perkataan ‘sepatutnya’, ‘seharusnya’ dan ‘semestinya’. Dari
perspektif RET, ramai terapis telah membuat kesilapan kerana memfokuskan
kepada sejarah hidup yang lampau dan cara tindakan ialah semua peristiwa masa
kanak-kanak boleh diubah. Terdapat juga terapis melakukan kesilapan dengan
terlalu menekankan dalam usaha klien mengenal diri, meluahkan perasaan dan
perubahan pemikiran. Keadaan ini mendorong klien melupakan peristiwa awal
kanak-kanak dan menumpukan pemikiran sekarang. Bagi Ellis cara ini tidak
produktif kerana sesuatu yang menyebabkan emosional tidak akan hilang malah ia
akan menambahkan lagi kehebatan perasaan tersebut.
Oleh itu bagi Ellis , terapis dan klien perlu bekerjasama untuk mencabar
kepercayaan tidak rasional yang mengakibatkan gangguan emosional. Mereka perlu
menuju ke arah mengubah perkara yang tidak realiti, tidak matang, terlalu menuntut
dan tidak lojik kepada pemikiran yang logik, matang dan realistik. Persoalannya,
bagaimanakah emosional yang terganggu itu boleh wujud di dalam diri seseorang
individu? Dalam hal ini , Ellis telah menjelaskan bahawa individu yang mengalami
gangguan kerana sentiasa berterusan mengulangi ayat-ayat yang tidak
logikal.Misalnya , individu itu berkata : “Saya sangat kecewa dengan kegagalan
peperiksaan ini. Kegagalan saya semuanya berpunca dari kesilapan saya sendiri.
Saya adalah merupakan manusia yang paling bodoh”
Gangguan emosi ini menyebabkan wujudnya depresi dan anxieti dalam diri
seseorang. Keadaan ini akan mengakibatkan individu itu akan kekal berpegang
dengan kepercayaan yang tidak rasional itu. Kepercayaan inilah yang perlu dibantu
oleh kaunselor agar klien tersebut dapat merasionalkan dirinya dalam
menghapuskan fahaman-fahaman dan kepercayaan yang tidak rasional yang ada
pada dirinya.