Post on 07-Mar-2019
UCAPAN BAJET TAHUN 2003
OLEH
Y.B. DATUK MUSA HAJI AMAN
MENTERI KEWANGAN
DI PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI
PADA 24 OKTOBER 2002
Tuan Speaker,
1. Dengan hormatnya, saya mohon membentangkan Belanjawan
Negeri bagi tahun 2003 untuk kelulusan Dewan Yang Mulia ini.
2. Saya bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana berpeluang sekali lagi
untuk membentangkan Belanjawan Negeri bagi tahun 2003.
Selaras dengan istilah Bajet, yang diperkenalkan oleh YAB
Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa
pembentangan Belanjawan Negara pada 20 September 2002,
saya turut mencadangkan istilah yang sama digunapakai dalam
pembentangan Anggaran Negeri bagi Tahun 2003.
3. Pada hemat saya penyediaan Bajet Negeri 2003 merupakan
suatu amanat yang amat mencabar kerana negeri Sabah perlu
maju ke depan seiring dengan visi negara, untuk mencapai cita-
cita Wawasan 2020, dalam keadaan semasa global yang tidak
menentu. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan
amanah, Kerajaan Barisan Nasional akan berusaha untuk
memastikan asas-asas ekonomi negeri terus kukuh dan
berkembang, untuk menjamin pertumbuhan ekonomi yang
mapan, rakyat mengecapi taraf dan kualiti hidup yang baik,
mewujudkan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan,
2
mengurangkan kadar kemiskinan di luar bandar serta
mengagihkan kekayaan negeri dan negara secara saksama.
4. Dalam keadaan sumber hasil negeri yang semakin terhad, Bajet
2003 akan menjadi suatu instrumen kewangan yang penting,
khususnya dalam meneroka dan mengukuhkan bidang-bidang
yang strategik, termasuk yang sedia ada dan yang baru. Kini,
negeri Sabah masih terlalu bergantung kepada ekonomi
berasaskan komoditi, khususnya komoditi pertanian. Selain itu,
sumber hutan juga telah merosot. Dalam keadaan ini adalah
penting bagi kita untuk meninjau dan memanfaatkan beberapa
sumber kekayaan baru, antaranya biodiversiti, bioteknologi,
produk-produk pelancongan dan aplikasi ICT dalam pelbagai
sektor perkhidmatan. Sebagai contoh, berasaskan biodiversiti
sahaja kita boleh membangunkan ‘rainforest knowledge’ dan
bioekonomi. Dalam pertanian kita harus memulakan persediaan
kepada amalan ‘precision agriculture’. Pada hemat saya,
kejayaan dalam bidang-bidang baru ini memerlukan kita
merancang masa depan kita secara lebih tekun, kreatif dan
inovatif. Kesemua ini akan membesarkan lagi bes hasil dan
kemakmuran negeri Sabah di masa akan datang.
5. Selain itu, Bajet ini akan terus mengambilkira tiga aspek penting
dari segi operasinya; pertama, akauntabiliti dalam pentadbiran
awam bagi mengukuhkan pengurusan kewangan; kedua,
memastikan kawalan ke atas penggunaan wang awam secara
efisien, efektif dan berhemat; dan ketiga, mampu menyumbang
dan menangani isu-isu kritikal sosioekonomi dan politik semasa.
KONTEMPORARI
Tuan Speaker,
3
6. Pada kesempatan ini, saya ingin menyampaikan ucapan terima
kasih tak terhingga kepada YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir
Mohamad, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia,
kerana membentangkan suatu bajet yang akan merangsang
serta mempercepatkan lagi kemajuan dan kemakmuran
sosioekonomi dan politik negara. Bajet ini juga telah
memperuntukkan pelbagai peluang dan insentif bagi Kerajaan
Negeri menyelaraskan strategi pembangunannya agar seiring
dengan strategi negara. Bagi menjayakannya, kerjasama yang
rapi, di antara agensi-agensi negeri dan persekutuan, amat
diperlukan. Setiap agensi perlu bersedia untuk memainkan
peranan masing-masing secara proaktif. Kini, masa tidak
mengizinkan kita untuk berkhidmat bersahaja.
7. Di samping itu, hubungan politik yang erat di antara pemimpin
negeri dan negara juga memainkan peranan yang penting. Kita,
rakyat Malaysia di Sabah, amat beruntung kerana dianugerahi
pemimpin-pemimpin negara yang prihatin dan cukup wibawa
untuk menganjurkan perubahan dasar dan strategi baru dalam
mengurus hal ehwal ekonomi dan politik negara. Kebijaksanaan
ini telah membawa manfaat yang berterusan dalam bentuk
kestabilan politik, kemajuan sosioekonomi, kesejahteraan dan
kemakmuran kepada negara Malaysia dan rantau ini.
Tuan Speaker,
8. Dengan wujudnya keadaan politik yang stabil dan kedinamikan
pembangunan sosioekonomi, kita di Sabah boleh memberi
tumpuan kepada penyusunan dasar dan strategi bagi
mengukuhkan asas-asas pertumbuhan ekonomi negeri. Kerajaan
Negeri, yang dibantu oleh jenteranya yang cukup besar, akan
4
pastikan pembangunan dalam sektor-sektor strategik terus
berjalan dengan licin dan progresif. Antara galakan bagi sektor-
sektor ini adalah - pembangunan inventori tanah, penyediaan
tapak, pembangunan tanah pertanian dan inventori perhutanan.
Penyediaan infrastruktur dan infostruktur sosioekonomi,
termasuk perumahan kos rendah dan program mengurangkan
jurang digital, pembangunan sektor perkhidmatan, termasuk
pelancongan, akan turut diperhebatkan.
9. Kini, negara kita sedang berusaha mengalih kepada ekonomi
yang berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi. Informasi dan
ilmu pengetahuan serta kemahiran aplikasinya adalah asas
penjanaan kekayaan baru. Oleh itu, ekonomi ini perlukan sumber
manusia yang berpengetahuan dan kemahiran tinggi. Adalah
penting bagi kita, di negeri Sabah, untuk memastikan aset
intelek rakyat dibangunkan untuk menyediakan pekerja
berpengetahuan (knowledge workers).
10. Di samping itu, pekerja berpengetahuan juga perlu celik dan
cekap dalam memanfaatkan teknologi terkini, khususnya ICT dan
bioteknologi. Kedua-dua ini telah dikenalpasti sebagai tunggak
pembangunan negara dalam K-ekonomi. Dalam konteks ini,
sekali lagi anggota perkhidmatan awam perlu bersedia untuk
memberi perkhidmatan yang cekap dan tepat agar cita-cita
negeri dan negara menjadi suatu kenyataan. Perubahan kepada
sistem penyampaian secara elektronik hendaklah dimanfaatkan
untuk membantu pihak-pihak yang sedang menghadapi
persaingan pasaran global. Saya yakin sektor awam kita
bersedia untuk menyahut cabaran ini.
Tuan Speaker,
5
11. Adalah penting bagi semua pihak mengambil iktibar daripada
kenyataan bahawa sumber kewangan negeri agak terhad.
Namun, tren perbelanjaan kian meningkat setiap tahun. Oleh itu,
Bajet Negeri 2003 akan terus menerajui dasar redressal ke atas
tren perbelanjaan ini, khususnya yang melibatkan beberapa
program penswastaan, antaranya penswastaan Konsesi Bekalan
Air, Management Consultancy Services (MCS) yang menguruskan
peningkatan hasil air dan penswastaan kenderaan Angkatan
Hebat Sdn. Bhd. (AHSB). Perundingan dan penyemakan ke atas
syarat-syarat perjanjian, khususnya yang tidak menguntungkan
pihak kerajaan, telah membuahkan hasil positif berasaskan
persetujuan mutual. Sebagai contoh, kos penswastaan
kenderaan dapat dikurangkan daripada RM43.0 juta kepada
dalam lingkungan minima RM12.0 juta setahun. Begitu juga,
Perjanjian MCS yang mengenakan purata yuran tahunan tidak
kurang daripada 20.0 peratus ke atas pungutan hasil tahunan
selama lima (5) tahun, dari 1998 hingga 2003, telah berjaya
ditamatkan lebih awal secara beransur yang akan berkuatkuasa
pada 1 November 2002. Berikutan dengan tindakan ini kerajaan
dapat menjimatkan perbelanjaan ke atas MCS sebanyak RM11.0
juta. Setakat ini Kerajaan Negeri telahpun menjelaskan yuran
MCS sebanyak RM23.5 juta daripada tuntutan keseluruhan itu
sebanyak RM60 juta.
12. Selain itu, hasil daripada strategi perbelanjaan berhemat,
Kerajaan juga telah dapat mengurangkan perbelanjaan ke atas
pengangkutan dan perjalanan anggota-anggota pentadbiran
negeri, dan perbelanjaan ke atas penyewaan helikopter seperti
yang disarankan oleh YAB Ketua Menteri. Sebagai contoh
perbelanjaan ke atas pengangkutan dan perjalanan telah
berkurangan daripada RM15.7 juta dalam tahun 2001 kepada
RM12.6 juta tahun ini (2002). Manakala awal tahun 2002
6
sehingga hari ini tidak ada perbelanjaan dilakukan ke atas
penyewaan helikopter oleh YAB Ketua Menteri dan Ahli-Ahli
Jemaah Menteri.
13. Kita hendaklah bersikap sederhana dan terbuka dalam mengurus
perbelanjaan wang awam, tidak didorongi oleh budaya
berbelanja berlebihan daripada yang diperlukan. Sebagai contoh,
dalam penganjuran SUKMA ke-IX baru-baru ini kos penyediaan
fisikal ke atas kemudahan Kompleks Sukan Likas dan kerja-kerja
baikpulih telah dapat dikurangkan daripada rancangan asal
sebanyak RM168.0 juta kepada perbelanjaan sebenar sebanyak
RM80.3 juta sahaja. Walaupun begitu penganjuran SUKMA masih
dapat dijalankan dengan lancar dan memuaskan.
Tuan Speaker,
14. Kementerian saya juga sedang menimbangkan beberapa
cadangan ke atas penswastaan bekalan air secara menyeluruh
yang melibatkan pengeluaran, pengagihan dan pengebilan
(billings), bukannya sekadar menswastakan pengeluaran air
(production) seperti apa yang terdapat sekarang ini yang
melibatkan perbelanjaan sebanyak RM240 juta setahun.
Akibatnya, Kerajaan kini dibebani dengan hutang yang telah
meningkat lebih daripada RM500 juta. Saya ingin tegaskan di sini
bahawa penyelesaian ke atas pengurusan bekalan air akan
menjadi agenda utama Kerajaan Negeri pada tahun 2003, iaitu
untuk mengurangkan bebanan tanggungan ke atas kewangan
negeri. Namun begitu pada hakikatnya tindakan telah dan
sedang diambil untuk menangani masalah ini.
Tuan Speaker,
7
15. Eksesais redressal amat penting kerana Kerajaan Negeri tidak
seharusnya dibebani dengan masalah hutang akibat program
penswastaan. Program penswastaan telah dianjurkan untuk
mengurangkan beban kerajaan di samping menyediakan
perkhidmatan yang lebih efisien, bukan sebaliknya. Kini,
kewangan yang terhad perlu disalurkan untuk membantu agenda
yang lebih penting yang akan menjamin survival kita dalam
menghadapi arus globalisasi, dampak sains dan teknologi serta
persaingan global. Kita mesti mengembangkan kapasiti sektor-
sektor yang strategik, antaranya melalui pembangunan
infrastruktur dan infostruktur serta mengefisienkan
perkhidmatan kuasa-kuasa tempatan. Begitu juga, kita perlu
menyusun strategi, termasuk melakukan pengstrukturan semula
organisasi, khususnya dalam sektor pembuatan dan
perkhidmatan, agar kemampuan daya saing masing-masing
dapat dipertingkatkan. Di samping itu, adalah menjadi harapan
Kerajaan Negeri agar eksesais redressal ini dapat mengukuhkan
keupayaan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan penyampaian
dan keberkesanan program-program sosioekonomi bagi
masyarakat yang memerlukan.
EKONOMI DUNIA
Tuan Speaker,
16. Ekonomi dunia kekal dengan tren yang menurun pada tahun
2001. Pada tahun 2002 dan 2003, pertumbuhan ekonomi dunia
diramalkan berkembang, masing-masing sebanyak 2.8 peratus
dan 3.7 peratus. Begitu juga, ekonomi utama seperti Amerika
Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun pada masa ini belum
menunjukkan tanda-tanda bahawa kelembapan ekonomi yang
dialami dapat diatasi. Namun, ada juga tanda-tanda yang
8
menunjukkan bahawa ekonomi-ekonomi ini akan pulih secara
mapan pada masa akan datang.
17. Bagi Amerika Syarikat, pertumbuhan ekonominya diramalkan
bertambah baik daripada 2.2 peratus (tahun 2002) kepada 2.6
peratus bagi tahun 2003. Pada tahun 2002 pertumbuhan
ekonomi EU agak perlahan, hanya sekitar 1.1 peratus. Namun, ia
dijangka akan berkembang kepada 2.3 peratus dalam tahun
2003.
18. Ekonomi Jepun menguncup sebanyak 0.3 peratus dalam tahun
2001 dan 0.5 peratus dalam tahun 2002, akibat daripada
permintaan global yang lemah terhadap hasil pengeluarannya.
Pada tahun 2003, ekonomi Jepun diramalkan pulih semula
dengan unjuran perkembangan Keluaran Dalam Negeri Kasar
(KDNK) sebanyak 1.1 peratus.
19. Berbeza dengan tren ini, pencapaian ekonomi negara China dan
India adalah kukuh. Pertumbuhan di negara China dijangka
meningkat pada kadar 7.5 peratus dalam tahun 2002 ekoran
sokongan padu daripada permintaan domestik. Dalam tahun
2003, ekonomi ini diramalkan berkembang pada kadar 7.2
peratus.
20. Bagi India, pertumbuhan yang sederhana pada kadar 5.0 peratus
telah diramalkan bagi tahun 2002 akibat aktiviti sektor
perkhidmatan yang bertambah dan jangkaan rekod output
pertanian yang bakal mengatasi kelemahan dalam permintaan
dalaman dan luar industri. Pada tahun 2003, ekonomi India
dijangka terus berkembang pada kadar 5.7 peratus.
9
EKONOMI MALAYSIA
Tuan Speaker,
21. Dengan jangkaan kedudukan ekonomi dunia yang bertambah
baik, ekonomi Malaysia telah diramalkan akan berkembang.
KDNK akan bertumbuh pada kadar 4.0 hingga 5.0 peratus pada
tahun 2002, dan di antara 6.0 hingga 6.5 peratus pada tahun
2003.
22. Pertumbuhan yang menggalakkan ini dijangka akan
disumbangkan oleh permintaan domestik. Pelaburan swasta
dijangka akan berkembang sebanyak 16.5 peratus dan
penggunaan, sekitar 10.0 peratus. Di samping itu, sektor awam
akan terus memainkan peranannya sebagai fasilitator kepada
pertumbuhan dalam menyokong sektor swasta yang berperanan
sebagai jentera pertumbuhan. Pelaburan awam dijangka
meningkat sedikit pada 2.4 peratus sementara penggunaan
awam sebanyak 10.1 peratus.
23. Kerajaan Persekutuan juga sedang mengatur strategi untuk
memantapkan pertumbuhan dalam negeri. Dalam konteks ini,
sektor-sektor yang lain akan dibangunkan, khasnya sektor
perkhidmatan, agar tidak terlalu bergantung kepada sektor
pembuatan. Oleh yang demikian, penekanan akan diberikan
dalam membangunkan sektor-sektor pelancongan,
pengangkutan, pendidikan dan kesihatan. Usaha-usaha untuk
memajukan sektor pertanian, khasnya dalam meningkatkan
penghasilan bahan makanan akan dapat mengurangkan import
makanan negara.
10
24. Kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan juga akan
diperkukuhkan dengan mengurangkan kadar defisit bajet
keseluruhan kepada 3.9 peratus daripada KDNK pada tahun
2003 berbanding 4.7 peratus pada tahun 2002. Adalah menjadi
matlamat agar bajet yang seimbang akan dapat dicapai pada
penghujung Rancangan Malaysia Kelapan.
25. Secara keseluruhannya, asas-asas ekonomi masih lagi kukuh.
Rezab antarabangsa meningkat kepada RM130 bilion pada
penghujung Ogos 2002. Rezab ini adalah 5.1 kali ganda liabiliti
asing jangka pendek dan boleh menampung import yang
berterusan selama 5.6 bulan. Lebihan imbangan dagangan juga
dicatatkan sepanjang 57 bulan berturut-turut sejak November
1997. Simpanan negara kasar masih kekal di paras yang tinggi,
iaitu kira-kira 33 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK).
26. Sektor perbankan berada dalam keadaan baik dengan ‘risk-
weighted capital ratio’ (RWCR) pada 13.1 peratus dan hutang-
hutang tidak berbayar (non-performing loans) pada 8.0 peratus
dalam bulan Ogos 2002. Liabiliti hutang asing jangka pendek
kekal pada paras yang rendah, iaitu 7.5 peratus daripada KDNK.
27. Dengan inflasi dan persekitaran kadar faedah yang rendah serta
dibantu dengan sokongan kerajaan dan sektor perbankan, sektor
domestik dijangka akan terus kukuh. Kadar pengangguran
berlegar pada paras 3.4 peratus pada tahun 2002. Keadaan ini
akan meningkatkan kuasa beli rakyat. Pendapatan per kapita
dijangka akan meningkat daripada RM13,400 pada tahun 2002,
kepada RM14,100 pada tahun 2003.
EKONOMI SABAH
11
Tuan Speaker, 28. Beralih kepada ekonomi Negeri Sabah, adalah dijangkakan
prestasi ekonomi negeri akan bertambah baik untuk tahun
2002/2003. Kadar pertumbuhan yang dijangkakan pada kadar
3.7 peratus dalam tahun 2001 diunjurkan akan meningkat
kepada 4.0 peratus pada tahun 2002. Seterusnya ia akan
berkembang kepada 4.3 peratus pada tahun 2003.
29. Sektor pertanian, yang menyumbang sebanyak 35-40 peratus
kepada KDNK Negeri, akan kekal sebagai sektor penting kepada
ekonomi negeri, dengan minyak kelapa sawit sebagai sumber
pendapatan utama eksport negeri. Untuk tempoh separuh
pertama tahun 2002, nilai eksport minyak sawit sahaja telah
mencecah RM2.3 bilion atau bersamaan dengan 33 peratus
daripada jumlah nilai eksport negeri sebanyak RM6.9 bilion.
Peratusan sumbangan komoditi ini dijangka akan meningkat lagi
akibat sumbangan yang rendah daripada eksport produk-produk
berasaskan kayu-kayan. Rancangan negara China dan India
untuk mengurangkan duti import minyak sawit daripada 75
peratus kepada 65 peratus serta peningkatan kuota import
komoditi tersebut ke China kepada 2.4 juta tan, dijangka akan
meningkatkan lagi eksport minyak sawit negeri. Pengukuhan
harga minyak sawit juga dijangka akan berterusan dalam
tempoh jangka pendek dan sederhana, seiring dengan
pengurangan stok di peringkat antarabangsa dan peningkatan
permintaan negara-negara pengguna.
30. Kemunculan pasaran-pasaran baru yang berpotensi menjadi
pengimport minyak sawit sepert i Arab Saudi, Netherlands dan
Persekutuan Russia (Russian Federation), turut menyumbang
kepada senario optimistik bagi sektor minyak sawit. Sektor kecil
12
pertanian yang lain seperti koko dan getah dijangka tidak akan
memperlihatkan pengembangan yang signifikan memandangkan
pelaburan di kedua-dua sektor ini kurang menarik berbanding
pelaburan di sektor kecil minyak sawit. Pelaburan dalam
pengeluaran bahan makanan akan terus digalakkan dan
dipromosikan di peringkat negeri untuk mengurangkan bil import
bahan makanan selaras dengan penekanan Dasar Pertanian
Negeri Kedua dan Dasar Pertanian Negara Ketiga.
31. Sementara itu, prospek industri kayu dijangka tidak begitu cerah
memandangkan Sabah berhadapan dengan masalah kekurangan
bekalan bahan mentah, ekoran sumber kayu-kayan negeri yang
semakin berkurangan. Pengeluaran kayu balak pada tahun 2001
direkodkan pada tahap 2.59 juta meter padu. Pengeluaran ini
telah merosot sebanyak 31 peratus berbanding pencapaian
tahun 2000, sebanyak 3.73 juta meter padu. Menurut Jabatan
Perhutanan, pengeluaran kayu balak diunjurkan akan menurun
lagi kepada 2.2 juta meter padu pada tahun 2003. Dalam
tempoh enam bulan pertama tahun 2002, pengeluaran kayu
balak dianggarkan berjumlah 1.20 juta meter padu. Pada masa
ini industri berasaskan kayu di Sabah memerlukan kira-kira 6.37
juta meter padu kayu untuk memenuhi kapasiti input terpasang
pemprosesan industri tersebut.
32. Selain daripada masalah bekalan bahan mentah, industri kayu di
Sabah juga berhadapan dengan masalah struktural yang lain, di
samping menghadapi saingan daripada pengeluar-pengeluar
kayu seperti softwood, temperate wood, kayu tropika, kayu
sentatik dan bahan pengganti kayu dari negara-negara lain.
Peralihan permintaan softwood daripada Jepun dan China juga
adalah suatu kenyataan. Kini, negara China telah muncul sebagai
13
pusat pembuatan berasaskan kayu di Asia atas kelebihannya dari
segi skala ekonomi dan buruh yang murah.
33. Menyedari akan cabaran-cabaran ini, Jabatan Perhutanan akan
meningkatkan lagi usaha-usaha untuk mengukuhkan asas
sumber, melalui pendekatan perladangan, mempelbagaikan
jenis-jenis produk, meningkatkan penggunaan teknologi tinggi,
mempromosikan pembangunan industri kelompok dan
mengenalpasti niche market.
34. Sektor pembuatan yang didominasikan oleh industri berasaskan
kayu dijangkakan tidak menunjukkan peningkatan yang besar
bagi tempoh beberapa tahun akan datang. Keadaan ini telah
digambarkan oleh arah aliran eksport produk-produk kayu negeri
utama yang kurang memberangsangkan. Dalam tempoh separuh
pertama tahun 2002, nilai eksport kayu bergergaji menurun
sebanyak 23 peratus kepada RM257.2 juta. Manakala nilai
eksport papan lapis pula menurun sebanyak 11.9 peratus kepada
RM515.5 juta. Nilai eksport venir juga berkurang sebanyak 27.4
peratus kepada RM62.8 juta dan nilai eksport kumai kayu
menurun sebanyak 9.8 peratus kepada RM30.5 juta berbanding
tempoh yang sama tahun 2001.
35. Usaha untuk menarik pelaburan dalam sektor pembuatan,
khususnya yang melibatkan industri kecil dan sederhana (IKS),
akan ditingkatkan. Sokongan dari segi kemudahan infrastruktur
dan perkhidmatan akan diperbaiki dan dinaiktaraf. Selain itu,
aspek aplikasi teknologi canggih serta mengamalkan
Penyelidikan dan Pembangunan (R & D) juga akan
dititikberatkan bagi meningkatkan lagi kapasiti daya saing negeri
Sabah berbanding negeri-negeri lain di Malaysia dan negara-
negara pesaing, seperti China dan Vietnam. Proses industralisasi
14
di sektor pembuatan akan memanfaatkan kelebihan
perbandingan yang ada pada negeri, terutamanya dari segi
kekayaan sumber, dalam membangunkan produk-produk
berasaskan minyak sawit, koko dan rumpai laut. Ketiga-tiga
sumber ini mempunyai potensi nilai tambah yang tinggi
berasaskan input pengetahuan.
36. Sektor pelancongan akan kekal sebagai salah satu sektor
pertumbuhan utama negeri Sabah, dan potensi sektor tersebut
berkembang maju adalah luas. Pada tahun 2001, pendapatan
(antarabangsa dan domestik) daripada sektor pelancongan telah
meningkat sebanyak 6 peratus kepada RM992 juta berbanding
RM936 juta tahun 2000. Pendapatan daripada sektor
pelancongan dianggarkan meningkat daripada RM1.2 bilion bagi
tahun 2002 kepada RM1.4 bilion pada tahun 2003.
37. Kerajaan Negeri akan membangunkan sektor tersebut secara
strategik bagi merebut peluang-peluang yang luas, seperti ‘silver
hair programme’, golf tour, eco-challenge, sports tourism dan
lain-lain lagi. Di bawah RMK8, Kerajaan Negeri akan juga
mengenalpasti dan membangunkan produk-produk baru
indigenous bagi terus memajukan industri pelancongan negeri.
Pada masa yang sama kerajaan akan juga berusaha
meningkatkan aksesibiliti ke pusat-pusat tarikan pelancongan, di
samping menaiktaraf kemudahan dan perkhidmatan di pelbagai
destinasi pelancongan negeri.
38. Usaha-usaha meningkatkan aksesibiliti udara dengan
mendapatkan lebih banyak penerbangan terus udara
antarabangsa dan sewa khas ke negeri ini adalah agenda penting
pembangunan kerajaan bagi membawa lebih ramai pelancong ke
Sabah. Aksesibiliti laut melalui perkhidmatan vehicular ferry
15
daripada Menumbok, Sabah ke Serasa, Brunei Darussalam juga
akan diperkenalkan. Selain itu, dengan kewujudan aksesibiliti
darat melalui Lebuhraya Trans Borneo maka ini akan
meningkatkan ketibaan pelancong-pelancong daripada negeri
Sarawak dan Negara Brunei Darussalam.
39. Kesan daripada 11 September 2001 dijangkakan akan menarik
lebih ramai pelancong rantau Asia, terutama pelancong daripada
negara China dan Jepun. Kejayaan dalam penganjuran SUKMA
ke-IX, Sabah International Exhibition 2002 (SIE), persidangan
Antarabangsa Asia Pasifik dan beberapa acara antarabangsa
yang lain telah menaikkan imej negeri Sabah sebagai destinasi
pelancongan yang menarik dan mampu menyediakan
perkhidmatan bertaraf antarabangsa. Promosi untuk menarik
pelancong domestik akan turut dilipatgandakan ekoran
pengurangan tambang penerbangan domestik MAS dan Syarikat
Air-Asia, serta peningkatan kekerapan penerbangan Air-Asia
Kuala Lumpur – Tawau dan Kuala Lumpur – Labuan.
40. Statistik menunjukkan bahawa terdapat peningkatan sebanyak
12 peratus dalam jumlah ketibaan pelawat asing dan domestik
ke Sabah dalam tempoh lapan bulan pertama tahun 2002
berjumlah 704,961 orang berbanding 626,935 orang dalam
tempoh yang sama tahun 2001. Daripada jumlah tersebut,
391,417 orang adalah pelawat domestik, dan 313,544 orang
pelawat asing. Jumlah ketibaan pelawat domestik dan asing,
masing-masing telah meningkat sebanyak 22.0 peratus dan 2.5
peratus.
41. Kita turut merasa bangga di atas kejayaan Negeri Sabah yang
telah menunjukkan prestasi yang baik dalam membangunkan
sektor ini di mana segala usaha yang diambil telah membuahkan
16
hasil yang cemerlang berikutan penerimaan lima Anugerah
Pelancongan Kebangsaan Tahun 2001/2002 (Tourism Malaysia
Award 2001/2002) iaitu Best Tour Programme, Most Promising
Tour Operator, Excellence In Hotel Services, dan Best Four Star
City Hotel menerusi syarikat-syarikat pengembaraan dan hotel-
hotel berkenaan. Dengan itu, saya mengucapkan syabas dan
tahniah kepada YAB Ketua Menteri yang mana juga selaku
Menteri Pembangunan Pelancongan, Alam Sekitar, Sains dan
Teknologi.
42. Bagi tahun 2002/2003, tren peningkatan harga petroleum
dijangka berterusan akibat daripada pergolakan di Timur Tengah
dan konfrantasi di antara Amerika Syarikat dan Iraq. Harga
petroleum telah meningkat secara mendadak daripada US$19.0
setong dalam bulan Januari kepada US$29.0 setong pada bulan
September tahun ini. Pengimport utama petroleum mentah
daripada Sabah ialah Korea, India dan juga Semenanjung
Malaysia.
43. Aktiviti-aktiviti pembinaan infrastruktur dan infostruktur yang
dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,
dijangka bertambah dalam tahun ketiga RMK8. Perbelanjaan
awam yang utama ialah untuk pembinaan sekolah-sekolah;
makmal komputer; institusi-institusi latihan dan kemahiran;
pengkalan tentera laut dan projek-projek Grid Utara, Grid Pantai
Timur dan Sambungtara Grid Timur-Barat. Persediaan temasya
SUKMA Ke-IX merupakan aktiviti pembinaan yang utama pada
tahun ini. Perbelanjaan awam ini perlu diimbangi oleh pihak
swasta. Mereka perlu mengalih daripada tumpuan kepada
pembangunan bidang hartanah sahaja.
17
44. Penggunaan awam (public consumption) juga dijangka akan
meningkat dengan pengumuman pemberian bonus dan kenaikan
gaji kakitangan awam serta langkah penyelarasan gaji di bawah
skim baru Sistem Saraan Malaysia (SSM). Kadar inflasi dijangka
akan terus terkawal. Sebagai contoh, dalam tempoh tujuh bulan
pertama tahun ini kadar inflasi berada pada paras 0.6 peratus.
45. Pasaran buruh dijangkakan bertambah baik. Peluang pekerjaan
dalam pelbagai sektor akan menjadi kenyataan. Namun, apakah
pekerja-pekerja tempatan akan mengambilalih peluang-peluang
ini, khususnya dalam sektor-sektor pembinaan, perladangan,
borong & runcit, dan isirumah domestik (pembantu rumah).
Setakat Mac 2002, kadar pengangguran masih terkawal pada
paras 5.2 peratus. Kadar ini adalah lebih rendah berbanding 5.9
peratus pada tahun lepas.
46. Walaupun prospek ekonomi negeri dijangkakan menjadi lebih
baik pada tahun 2002 dan tahun 2003, Kerajaan Negeri tidak
akan leka. Secara proaktif ia akan meningkatkan lagi
sumbangannya bagi mengatasi cabaran-cabaran berikut:-
- Mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri;
- Mempelbagaikan lagi asas-asas komoditi negeri; sebagai
contoh mengalih daripada sumber hutan dilihat sebagai
sumber kayu-kayan, tetapi sebagai kekayaan biodiversiti yang
menjadi sumber utama kepada kemajuan bioteknologi dan
hasil-hasil lumayan;
- Meningkatkan pelaburan domestik serta menggalakkan
pelaburan dalam Penyelidikan dan Pembangunan (R & D);
- Mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing yang
kurang mahir;
18
- Membangunkan lagi industri-industri kecil dan sederhana
(IKS) indigenous bagi mengurangkan pengaliran keluar
pekerja-pekerja mahir daripada Sabah serta menarik mereka
yang berada di luar negeri;
- Mengukuhkan dan mempersiapkan industri-industri domestik
untuk menghadapi AFTA dan WTO serta kesan globalisasi;
- Memperbaiki lagi peranan Kerajaan sebagai fasilitator kepada
pertumbuhan sosioekonomi dan kestabilan politik;
47. Kesemua ini adalah penting dalam melakukan transisi ekonomi
negeri Sabah, secara berperingkat, dari terlalu bergantung
kepada komoditi kepada ekonomi yang diasaskan dari pada
produk-produk industralisasi, perkhidmatan dan input
pengetahuan dan teknologi tinggi.
ANGGARAN HASIL TAHUN 2003 Tuan Speaker, 48. Hasil negeri Sabah pada tahun hadapan dianggarkan berjumlah
RM1,560.00 juta, sementara hasil yang disemak bagi tahun
2002 dijangka mencapai RM1,566.80 juta. Berbanding
dengannya hasil anggaran bagi tahun 2003 menggambarkan
penurunan sebanyak 0.43 peratus.
49. Pada tahun ini, terdapat hasil khas yang menyumbang kepada
peningkatan hasil di bawah sumber “Pungutan, Pembahagian
Untung dan Faedah” dan “Hasil Pelbagai”, iaitu melalui tuntutan
balik cukai pendapatan berkaitan dengan eksesais pengisytiharan
dividen oleh Sawit Kinabalu Berhad dan Lembaga Pelabuhan-
Pelabuhan Sabah serta hasil penjualan pelaburan kerajaan
kepada Suria Capital Holdings Berhad. Jumlah keseluruhan
19
daripada hasil one-off ini mencapai angka RM410.00 juta atau 26
peratus daripada hasil disemak tahun 2002.
50. Dengan pengisytiharan dividen ini, Kerajaan Negeri layak
menuntut balik amaun yang dipotong oleh Lembaga Hasil Dalam
Negeri sebagai cukai pendapatan atas pembayaran dividen
tersebut. Tuntutan atas pengisytiharan dividen oleh Sawit
Kinabalu Berhad telah dilakukan pada tahun 2001, tetapi
bayarannya hanya diterima pada tahun ini. Tuntutan ke atas
pengisytiharan dividen oleh Lembaga Pelabuhan Pelabuhan
Sabah telah dikemukakan pada tahun 2002, dan Kerajaan Negeri
telahpun menerima amaun yang dituntut baru-baru ini.
Memandangkan kedua-dua tuntutan ini, yang berjumlah lebih
kurang RM200.00 juta, tidak diambilkira dalam anggaran hasil
tahun 2002, penerimaan amaun tuntutan ini membolehkan
Kerajaan Negeri mencapai hasil disemak yang lebih tinggi
berbanding dengan anggaran hasil asal yang berjumlah
RM1,413.67 juta. Sehubungan dengan ini, kita juga telah
mendapat penambahan hasil perhutanan daripada anggaran asal
sebanyak RM150.79 juta kepada RM208.72 juta pada tahun ini
ekoran daripada langkah menyemak semula ke atas kadar royalti
yang telah diambil oleh Kementerian Kewangan.
51. Bagi tahun 2003 pula, kerajaan akan memberi tumpuan kepada
industri minyak kelapa sawit yang diharapkan dapat
menyumbang hasil yang lebih kepada Kerajaan Negeri. Di
samping itu, cukai jualan akan dikenakan ke atas perjudian
melalui “slot machines” bagi tujuan memantau aktiviti ini. Saya
ingin jelaskan di sini bahawa lebih kurang RM205.00 juta
daripada jumlah hasil yang dijangka bagi tahun hadapan, melalui
sumber “Pungutan, Pembahagian Untung dan Faedah” dan “Hasil
Pelbagai”, tidak melibatkan penerimaan wang tunai. Amaun
20
tersebut hanya direkodkan untuk penyelarasan akaun-akaun
tertentu berikutan daripada eksesais pertukaran pinjaman
kepada geran atau ekuiti yang akan dilaksanakan dalam tahun
2003.
52. Hasil hutan bagi tahun 2003 dijangka akan menurun sebanyak
21 peratus iaitu, daripada RM208.72 juta berdasarkan anggaran
disemak bagi tahun 2002 kepada RM164.21 juta. Antara faktor
utama yang menyebabkan pengurangan hasil ini adalah tren
pengeluaran balak yang semakin berkurangan berikutan
komitmen kerajaan untuk melaksanakan pengurusan hutan
berkekalan demi kepentingan masa depan generasi akan datang.
Adalah dijangkakan bahawa pengeluaran balak pada tahun 2003
hanya akan mencapai 2.2 juta meter padu berbanding dengan
jangkaan pengeluaran balak pada kadar 2.4 juta meter padu
dalam tahun 2002. Kebanyakkan daripada balak yang
dikeluarkan adalah dijangka untuk pemprosesan di kilang-kilang
tempatan. Isipadu balak yang akan dieksport adalah dianggarkan
secara konservatif di sekitar 70,000 meter padu. Seiring dengan
tren ini, aktiviti-aktiviti lain perhutanan yang menjana kepada
penghasilan hutan juga dijangka akan merosot. Hasil kutipan
daripada yuran pemeriksaan kayu import juga diramalkan
berkurangan dengan adanya polisi Kerajaan Malaysia untuk
mengharamkan pengimportan balak daripada negara jiran.
Walaupun demikian, hasil hutan masih menyumbangkan sekitar
12 peratus daripada anggaran hasil negeri bagi tahun 2003.
53. Sumbangan dan peruntukan Kerajaan Persekutuan
dijangka terus menjadi sumber kewangan yang signifikan Negeri
Sabah pada tahun 2003, iaitu sebanyak RM362.52 juta atau 23
peratus daripada jumlah hasil yang dianggarkan. Kerajaan
Negeri masih berkeyakinan bahawa bayaran pampasan yang
21
dipohon berikutan pemansuhan duti import dan eksais ke atas
bahan-bahan petroleum mulai tahun 2000, akan diperolehi
walaupun keputusan muktamad belum dicapai. Dengan andaian
semuanya ini berjalan lancar, Sabah dijangka memperolehi
RM231.5 juta seperti yang dituntut dalam pampasan tersebut
bagi tahun 2003.
54. Berikutan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menaikkan
kadar-kadar yang terlibat dalam pengiraan Pemberian Mengikut
Kiraan Kepala, amaun yang diberikan kepada negeri akan
meningkat kepada RM36.77 juta dan RM37.78 juta, masing-
masing bagi tahun 2002 dan 2003. Pemberian-pemberian lain
seperti Pemberian Khas, Pemberian Pertambahan Hasil dan
Pemberian Bagi Membiayai Perbelanjaan Mengurus dijangka
tidak banyak berubah. Di samping itu, Kerajaan Negeri dijangka
menerima RM23 juta daripada Sumbangan Kepada Kos
Pelaksanaan Projek Pembangunan Persekutuan tahun hadapan.
Berdasarkan hasil disemak tahun ini, melalui sumbangan
Kerajaan Persekutuan iaitu, sebanyak RM305.94 juta, ini bererti
negeri Sabah akan menerima sumbangan dan peruntukan khas
Persekutuan dengan peningkatan 18 peratus pada tahun 2003.
55. Cukai jualan juga dijangka terus meningkat pada tahun
hadapan. Adalah dianggarkan hasil daripada sumber ini akan
mencapai RM276.00 juta, iaitu peningkatan sebanyak 38
peratus berbanding dengan jumlah hasil disemak tahun 2002,
iaitu RM200.00 juta. Sebanyak RM220.00 juta daripada hasil
tahun 2003 dijangka diperoleh melalui cukai jualan ke atas
minyak kelapa sawit mentah. Kerajaan agak optimistik dengan
jumlah ini memandangkan harga minyak sawit mentah masih
stabil pada ketika ini dan diramal akan meningkat lagi. Kaedah
baru yang dikenakan untuk mengira cukai jualan ke atas minyak
22
kelapa sawit mentah akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2003.
Akibat daripada keputusan kerajaan untuk menyemak semula
kaedah pungutan cukai sekarang iaitu, RM50.00 se tan metrik
kepada pelaksanaan kaedah baru yang berdasarkan 5 peratus
daripada nilai jualan maka ini akan meningkatkan lagi hasil
negeri tahun depan. Di samping itu, jumlah cukai jualan ke atas
loteri diramal akan kekal pada tahap RM50.00 juta, sama
seperti pada tahun 2002. Cukai jualan ke atas Penjualan
Pertaruhan (betting) melalui Mesin Slot, yang akan
diperkenalkan mulai 1 Januari 2003, dijangka boleh mengutip
RM6.00 juta. Secara keseluruhan, cukai jualan diramal akan
menyumbang sebanyak 18 peratus daripada jumlah hasil yang
dianggarkan pada tahun hadapan.
56. Hasil tanah akan terus menjadi antara penyumbang utama,
iaitu sebanyak RM181.98 juta atau 12 peratus daripada
anggaran hasil tahun 2003. Angka ini menunjukkan satu
peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding dengan hasil
disemak tahun 2002, iaitu RM132.39 juta. Sebanyak RM40.72
juta daripada jumlah hasil tanah bagi tahun hadapan merupakan
pembayaran premium tanah atas projek kilang besi dan keluli
Nusantara Steel Corporation Sdn Bhd. Amaun ini akan dilaburkan
sebagai ekuiti Kerajaan Negeri dalam syarikat berkenaan. Selain
daripada itu, hasil tanah diramal akan bertambah kerana
penguatkuasaan pungutan tunggakan cukai tanah sehingga ke
proses lelongan, peningkatan dalam pemprosesan penukaran
syarat geran tanah, serta penguatkuasaan geran tanah
berhubung dengan pelanggaran syarat-syarat geran tanah.
Dalam pada itu, pungutan hasil tanah kerajaan untuk tujuan
kuari juga dijangka bertambah.
23
57. Royalti petroleum, yang juga merupakan penyumbang penting
kepada hasil negeri iaitu, sebanyak 10 peratus atau RM153.66
juta daripada anggaran hasil tahun 2003, yang merupakan satu
penurunan sebanyak 8 peratus berbanding dengan tahun 2002
iaitu sebanyak RM166.54 juta. Anggaran hasil ini adalah
berdasarkan ramalan konservatif oleh pihak Petronas. Dengan
mengambilkira keadaan sekarang di mana harga minyak mentah
telah meningkat, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri
bahawa kutipan hasil sebenar tahun hadapan akan bertambah
cerah.
58. Hasil daripada sumber air dijangka bertambah sedikit.
Kutipan diramal berjumlah RM79.02 juta pada tahun hadapan,
iaitu peningkatan sebanyak 9 peratus berbanding dengan hasil
disemak sebanyak RM72.81 juta pada tahun ini. Seperti yang
dinyatakan, kerajaan sedang giat mengusahakan untuk
mempertingkatkan kecekapan pengurusan bekalan air (termasuk
menswastakan bidang pengagihan dan pengebilan).
59. Sumber hasil “Pungutan, Pembahagian Untung dan
Faedah” pada tahun 2003 dijangka mencapai RM87.05 juta,
berkurangan sebanyak 60 peratus berbanding tahun ini iaitu
berjumlah RM217.55 juta. Penurunan yang dialami oleh sumber
hasil ini adalah kerana tiada pembayaran besar dijangka melalui
dividen pada tahun hadapan. Bagi Hasil Pelbagai pula,
diramalkan sumber ini akan menyumbang lebih kurang
RM201.74 juta di mana sebahagian besar iaitu, sebanyak
RM174.64 juta daripadanya merupakan penyelarasan akaun
sahaja berikutan pertukaran pinjaman kepada geran atau ekuiti.
Sumber ini dijangka menyumbang hasil yang lebih rendah jika
dibandingkan dengan hasil disemak pada tahun ini sebanyak
RM233.47 juta.
24
60. Hasil daripada saluran dijangka mencapai RM21.67 juta
pada tahun 2003, jauh lebih tinggi daripada tahun ini (RM100
ribu). Ini adalah berikutan keputusan bahawa semua pihak
Berkuasa Tempatan (PBT) dimestikan membayar sewa
penyelenggaraan saluran najis kepada Jabatan Kerja Raya pada
tahun 2003. Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah menghapuskira
bayaran tertunggak sehingga tahun 1999 yang mencecah
RM112.00 juta. Berikutan dengan tindakan ini, adalah menjadi
harapan Kerajaan supaya pihak Berkuasa Tempatan
mengemaskini pengurusan mereka dan seterusnya mematuhi
peraturan pembayaran hasil sewa saluran najis tanpa
berlakunya tunggakan di masa depan.
61. Hasil-hasil lain yang akan menyumbangkan kepada hasil negeri
tahun 2003 termasuklah Sewa Bangunan Kerajaan (RM24.6
juta); Lesen-Lesen (RM2.8 juta); Pelabuhan dan Dermaga
(RM1.9 juta); Hasil Daripada Perkhidmatan Kerajaan Tertentu
(RM1.8 juta) dan Keretapi (RM1.09 juta).
PERBELANJAAN PERBEKALAN
Tuan Speaker,
62. Bagi maksud pengurusan negeri, sejumlah RM1,674.87 juta
adalah dicadangkan untuk tahun 2003. Anggaran ini
menunjukkan peningkatan sebanyak RM345.02 juta atau
25.94 peratus berbanding dengan anggaran asal bagi tahun
2002, iaitu sebanyak RM1,329.85 juta.
63. Anggaran perbelanjaan perbekalan bagi tahun 2003 adalah
terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu emolumen, perbelanjaan
berulang dan perbelanjaan khas. Bagi Emolumen sebanyak
25
RM440.22 juta telah diperuntukkan. Ia merupakan peningkatan
sebanyak RM24.57 juta atau 5.91 peratus daripada anggaran
tahun 2002, iaitu sebanyak RM415.65 juta. Pertambahan ini
adalah diperlukan untuk menampung pembayaran pelaksanaan
kenaikan kadar 10 peratus bagi anggota-anggota perkhidmatan
awam Kerajaan Negeri dan kenaikan gaji biasa.
64. Tenaga dan intelek manusia bukan sahaja merupakan aset
terpenting, tetapi juga mempengaruhi aspek produktiviti dan
budaya kerja yang bersih, cekap dan amanah. Pelaksanaan
kenaikan kadar 10 peratus yang bermula pada tahun ini,
merupakan suatu pengiktirafan kerajaan ke atas sumbangan
anggota-anggota perkhidmatan awam di atas jasa dan dedikasi
mereka sebagai agen penting dalam membantu pihak sektor
swasta untuk memacukan pembangunan ekonomi negeri.
Pengiktirafan ini hendaklah memperkuatkan lagi sumbangan
anggota-anggota perkhidmatan awam untuk menyahut cabaran
merealisasikan agenda pembangunan negeri dan negara.
65. Peruntukan sebanyak RM388.78 juta adalah disediakan untuk
Perbelanjaan Berulang. Ia merupakan suatu penambahan
sebanyak RM34.59 juta atau 9.77 peratus berbanding
RM354.19 juta dalam tahun 2002.
66. Sebahagian besar daripada penambahan ini adalah susulan
pengemaskinian pemindahan perbelanjaan ke atas pekerja am
(buruh) daripada vot pembangunan ke vot perbekalan.
Peruntukan tambahan ini akan memudahkan lagi petugas-
petugas jabatan dan agensi yang mengoperasikan
penguatkuasaan pungutan hasil. Sebagai contoh, menyelenggara
kenderaan, bot dan alat-alat teknikal di Jabatan Perhutanan, dan
Jabatan Tanah dan Ukur; mengurus penyelenggaraan paip,
26
pembelian bahan kimia, penggantian alat-alat bekalan air dan
sebagainya di Jabatan Air. Ketiga-tiga jabatan ini memainkan
peranan yang penting dalam penjanaan hasil kerajaan.
Peruntukan ini juga akan disalurkan untuk menyelenggara
jambatan keretapi, tanah luncur dan payahan bagi menjamin
keselamatan dan kemudahan pengangkutan orang ramai.
Kerajaan akan terus menyumbang kepada pembiayaan
pengurusan agensi-agensi kerajaan berasaskan prestasi tahunan
masing-masing.
67. Bagi tahun 2003 Perbelanjaan Khas telah diperuntukan
sebanyak RM845.87 juta. Angka ini merupakan suatu
peningkatan sebanyak RM285.86 juta atau 51.04 peratus
berbanding dengan anggaran yang disediakan bagi tahun 2002
sebanyak RM 560.01 juta.
68. Sebahagian besar daripada peruntukan ini, iaitu sebanyak
RM312.29 juta, akan dicarumkan kepada Kumpulan Wang
Berkanun. Di samping itu, sejumlah RM345.43 juta adalah
untuk Perkhidmatan Am Perbendaharaan. Peruntukan ini
merangkumi Caruman kepada Perkembangan Badan-Badan
Keagamaan Bukan Islam, sebanyak RM20.00 juta;
Pemberian kepada Sekolah-Sekolah, sebanyak RM8.00
juta; dan RM12.00 juta untuk Penyewaan Kenderaan
Swasta. Sebanyak RM76.58 juta juga diperuntukan kepada
Jabatan Air bagi pengurusan bekalan air. Bagi menunaikan
tanggungjawab sosial, Kerajaan Negeri telah juga menyediakan
sejumlah RM20.00 juta di bawah Pemberian Kepada
Program-program Perkhidmatan Sosial Negeri seperti
program susu sekolah bagi memastikan kanak-kanak sekolah
rendah mendapatkan bekalan protein dan kalsium yang
mencukupi bagi proses tumbesaran, serta bekalan pakaian
27
seragam sekolah, peralatan dan kasut sekolah bagi membantu
meringankan perbelanjaan ibu bapa.
69. Selain itu, sebanyak RM254.50 juta telah diperuntukan untuk
menukar pinjaman agensi dan anak-anak syarikat kerajaan
kepada geran atau ekuiti. Agensi dan anak-anak syarikat
kerajaan yang dimaksudkan ialah Lembaga Kemajuan Tanah
Negeri Sabah, KKTP Sdn. Bhd., Permodalan Bumiputera Sabah,
dan KKIP Sdn. Bhd. Jumlah tersebut tidak melibatkan aliran
wang tunai dan ia adalah diperlukan untuk mematuhi
peraturan perakaunan kewangan.
70. Pengagihan mengikut kementerian adalah seperti berikut:
71.
Bil Kementerian RM Juta %
1 Kementerian Kewangan 712.10 42.52
2 Kementerian Pembangunan Infrastruktur 302.26 18.05
3 Jabatan Ketua Menteri 236.78 14.14
4 Kementerian Pembangunan Pertanian dan
Industri Makanan 149.54 8.93
5 Kementerian Pembangunan Masyarakat
Dan Hal Ehwal Pengguna 75.69 4.52
6 Kementerian Pembangunan Pelancongan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi
48.82 2.91
7 Kementerian Pembangunan Luar Bandar 44.21 2.64
8 Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 23.57 1.41
9 Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan
24.90 1.49
10 Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat
13.81 0.82
11 Kementerian Pembangunan Perindustrian 5.44 0.32
12 Perbelanjaan Tanggungan 23.70 1.41
13 Perbelanjaan yang tidak termasuk di dalam Kementerian-Kementerian
14.05 0.84
Jumlah 1,674.87 100.00
28
PERBELANJAAN PEMBANGUNAN
Tuan Speaker, 71. Perbelanjaan Pembangunan Negeri yang tidak kurang pentingnya
kepada negeri ini, adalah dikawal melalui bajet yang berasingan
yang mana lebih dikenali sebagai bajet Pembangunan.
Peruntukan untuk bajet ini diperolehi melalui sumbangan
daripada bajet Perbekalan Negeri dan juga daripada sumber
kewangan Persekutuan dalam bentuk pemberian dan pinjaman.
72. Hala tuju Bajet Pembangunan adalah ke arah menguatkan lagi
asas-asas ekonomi dan sosiobudaya. Tumpuan hendaklah
diberikan kepada pembangunan dalam sektor-sektor
pertumbuhan, meneruskan pembangunan kemudahan awam,
infrastruktur dan infostruktur, mempertingkatkan usaha-usaha
meningkatkan status sosiobudaya, keselamatan dan kualiti hidup
rakyat, khasnya penduduk luar bandar, dan mengurangkan
kadar kemiskinan.
73. Dengan mengambil kira aspek-aspek yang diutarakan tadi, bagi
tahun 2003, tabung pembangunan akan mendapat sejumlah
RM556.75 juta yang terbahagi kepada sebanyak RM433.64
juta daripada sumber wang Negeri, RM93.80 juta Pinjaman
Persekutuan; dan RM29.31 juta Bayaran Balik Persekutuan.
Jumlah tersebut merupakan pengurangan sebanyak RM34.04
juta atau 5.76 peratus daripada peruntukan disemak pada
tahun 2002 sebanyak RM590.79 juta.
74. Daripada RM433.64 juta wang Negeri yang telah disediakan,
sejumlah RM431.64 juta adalah peruntukan secara langsung
dan bakinya, RM2.00 juta, adalah untuk Pinjaman Negeri.
29
Pinjaman Negeri ini adalah untuk Kementerian Kerajaan
Tempatan dan Perumahan bagi projek perumahan awam kos
rendah di Kota Marudu dan Tenom.
75. Peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dalam bentuk
pinjaman adalah untuk projek-projek di bawah Jabatan Air
sebanyak RM86.00 juta, dan Lembaga Perumahan dan
Pembangunan Bandar, sebanyak RM7.80 juta. Bagi Bayaran
Balik Persekutuan pula, berjumlah RM29.31 juta, adalah
untuk projek-projek jabatan dan agensi di bawah kawalan
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Tuan Speaker,
76. Sejajar dengan penekanan utama kita, sejumlah RM303.04
juta atau 69.9 peratus daripada peruntukan negeri
diperuntukkan kepada pembangunan Sektor Ekonomi. Di
bawah sektor ini, pembangunan infrastruktur, pengangkutan dan
lain-lain kemudahan awam diberikan bahagian yang terbesar
berjumlah RM194.15 juta. Agihan ini dibuat atas perkiraan
sektor ini berperanan sebagai pemangkin utama kepada
pembangunan sektor-sektor lain. Pembangunan tanah dan
pertanian diperuntukan sejumlah RM84.80 juta untuk
memastikan pembangunannya adalah seiring dengan Dasar
Pertanian Negara yang baru. Peruntukan kepada item lain di
bawah sektor ini adalah seperti berikut:-
RM Juta
- Pelancongan 12.95
- Kewangan dan Industri 7.83
- Pembangunan Penyelidikan
& Tenaga Kerja 3.30
30
77. Sektor Sosial telah diperuntukan sebanyak RM90.50 juta atau
20.9 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan.
Daripada jumlah ini, RM35.15 juta dikhaskan untuk
pembangunan masyarakat dan luar bandar. Keutamaan kepada
kedua-dua sektor kecil ini akan terus diberi perhatian kerana
masyarakat yang seimbang dan maju dari segi material, emosi
dan spiritual akan menjamin kesejahteraan negeri dan negara.
78. Peruntukan ini disediakan secara khas untuk projek-projek
pembangunan luar bandar dan program-program ke arah
mengurangkan kadar kemiskinan seperti Projek Pembangunan
Khas; Projek Pembangunan Kecil; Pembasmian Kemiskinan; dan
Pemulihan Kampung.
79. Dengan peruntukan ini serta pelengkapnya, iaitu program pre-
emptif yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun
ini, berjumlah RM140 juta bagi 20 kawasan Parlimen, kerajaan
mengharapkan objektif untuk mengurangkan kadar kemiskinan
di luar bandar dan ketidakseimbangan pembangunan ekonomi di
antara wilayah dapat direalisasikan. Aspek kemiskinan dan
ketidakseimbangan perlu dilihat dari dimensi pelbagai, sesuai
dengan perspektif pembangunan yang holistik.
80. Bantuan dan sokongan jitu daripada pihak kerajaan dapat
menggerakkan Ahli-Ahli Yang Berhormat mempertingkatkan lagi
usaha-usaha mereka untuk memajukan dan menggerakkan
ekonomi di kawasan masing-masing. Peruntukan yang besar
jumlahnya ini juga akan membuka ruang bagi kontraktor-
kontraktor tempatan merebut peluang ini demi kemajuan dan
kesejahteraan mereka dan rakyat setempat.
Tuan Speaker,
31
81. Bidang-bidang lain yang terletak di bawah Sektor Sosial
adalah:-
RM Juta
- Perumahan dan Perbandaran 29.30
- Pembangunan Bandaraya &
Kuasa-Kuasa Tempatan 11.35
- Perpustakaan dan Perkhidmatan
Kebajikan Am 10.20
- Kebudayaan dan Sukan 2.40
- Pembangunan Wanita 0.30
82. Dasar Kerajaan Persekutuan untuk memertabatkan peranan
wanita menerusi pelbagai jenis program dan kemudahan dalam
Belanjawan 2003, bagi membolehkan agensi Kerajaan, pihak
swasta dan NGO berganding bahu amatlah dialu-alukan.
Pengiktirafan ini adalah satu lonjakan yang benar-benar
memberi pengiktirafan kepada sumbangan kaum wanita kepada
pembangunan ekonomi dan sosial di seluruh negara. Dalam hal
yang demikian, kerajaan negeri akan turut menyumbang
sebanyak RM1 juta kepada program khusus pembangunan
wanita di Sabah selain daripada peruntukan yang telah diagihkan
di bawah kementerian-kementerian lain.
83. Selain itu, kerajaan juga akan berusaha untuk merealisasikan
setinggan sifar dan mewujudkan kawasan perbandaran yang
mempunyai nilai-nilai estetik serta memenuhi keperluan asas
hidup yang moden lagi selesa. Perancangan ini adalah seiring
dengan proses pemodenan bandar dan kawasan perkampungan.
Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan
32
Persekutuan, melalui Syarikat Perumahan Negara, akan
membina lebih banyak perumahan kos rendah bagi menyediakan
tempat kediaman kepada mereka yang memerlukan.
84. Kerajaan Negeri juga telah mengenal pasti beberapa kawasan di
majlis-majlis perbandaran dan daerah-daerah yang berkenaan
untuk dijadikan rezab kampung tersusun bagi tujuan
menempatkan semula penduduk setinggan tempatan. Kerja-
kerja pengukuran lot-lot dan kerja-kerja pembersihan telah
dilakukan di kawasan-kawasan yang dikenalpasti dalam Fasa I.
Pada ketika ini, kerja-kerja pengukuran sedang dijalankan di
kawasan-kawasan yang dikenalpasti dalam Fasa II.
85. Dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, sejumlah RM38 juta
akan dibelanjakan bagi penyediaan infrastruktur dan kemudahan
asas seperti bekalan air dan elektrik, titian pejalan kaki dan
jalanraya.
86. Sektor Pentadbiran Am telah diperuntukan sebanyak
RM35.10 juta atau 8.1 peratus bagi pembangunan pentadbiran.
Manakala sebanyak RM5.00 juta daripada peruntukan
pembangunan adalah disediakan bagi kegunaan luar jangka.
87. Pembahagian Bajet Pembangunan bagi tahun 2003 mengikut
Kementerian adalah seperti berikut:-
Bil Kementerian (RM Juta) %
1 Kementerian Pembangunan Infrastruktur 196.13 45.24
2 Kementerian Pembangunan Pertanian dan Industri Makanan
75.27 17.36
3 Jabatan Ketua Menteri 63.13 14.56
4 Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan
26.60 6.13
33
5 Kementerian Pembangunan Luar Bandar 20.65 4.76
6 Kementerian Pembangunan Pelancongan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi
12.95
2.99
7 Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna
10.50
2.42
8 Kementerian Kewangan 8.00 1.84
9 Kementerian Pembangunan Perindustrian 7.33 1.69
10 Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat
5.68
1.31
11 Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 2.40 0.55
12 Simpanan Luar Jangka 5.00 1.15
Jumlah 433.64 100.00
88. Kita juga akan mendapat pemberian peruntukan secara langsung
daripada Kerajaan Persekutuan untuk projek-projek di bawah
senarai bersama mengikut Perlembagaan Negeri. Namun,
pelaksanaan projek-projek ini masih dikawalselia oleh Kerajaan
Persekutuan. Berdasarkan Bajet Negara yang telah dibentangkan
pada 20 September yang lepas, sejumlah RM725.77 juta telah
diperuntukan kepada Sabah pada tahun depan.
89. Peruntukan Persekutuan adalah dibahagikan kepada bidang-
bidang berikut:-
RM Juta
- Perhutanan 11.57
- Lembaga Industri Getah Sabah 4.25
- Pertanian (Perkhidmatan Pengembangan) 0.40
- Perikanan 5.60
- Jalan Raya dan Jambatan 517.95
- Bekalan Elektrik 98.00
- Bekalan Air 88.00
725.77
34
90. Peruntukan yang sebesar ini tidak dapat dinafikan akan
menyumbang ke arah mempercepatkan lagi pembangunan
ekonomi negeri. Ia juga menunjukkan bahawa Kerajaan
Persekutuan sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan kita
semua. Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengucapkan
setinggi-tinggi penghargaan kepada pucuk pimpinan pusat yang
telah bermurah hati dalam menyediakan bantuan kewangan
yang saya pasti akan meletakkan keupayaan negeri ke tahap
yang lebih tinggi.
PENGURUSAN AGENSI KERAJAAN YANG SENSITIF DAN LEBIH
BERTANGGUNGJAWAB
Tuan Speaker,
91. Seperti yang berulangkali dinyatakan, kebanyakan agensi-agensi
milik Kerajaan Negeri berada pada keadaan lemah dan
bermasalah. Hakikat ini perlu diterima oleh lembaga pengarah
serta pasukan pengurusan utama agensi-agensi ini. Alasan
bahawa misi sosioekonomi yang telah diamanahkan kepada
mereka menjadi penghalang kepada penjanaan hasil dan
keuntungan tidak lagi relevan.
92. Indikator pengurusan seperti kemerosotan hasil atau keuntungan
dan kenaikan kos perbelanjaan yang mendadak perlu dikaji
dengan teliti, sesuai dengan pepatah Inggeris ‘forewarned is
forearmed’. Pasukan pengurusan utama hendaklah sentiasa
memikirkan formula terbaik bagi meningkatkan prestasi
kewangan dan imej organisasi masing-masing tanpa perlu
ditegur dan diingatkan.
35
93. Kita tidak lagi boleh menerima agensi-agensi ini dibiarkan begitu
sahaja. Kelewatan untuk mengatasi masalah yang berlarutan ini
bukan sahaja merugikan kewangan kerajaan dan rakyat Sabah,
tetapi menjejaskan masa depan pengurusan kewangan negeri.
Pesanan YAB Ketua Menteri, “Enough is enough!” amat tepat
sekali dipatuhi oleh semua pihak.
94. Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan utama agensi-
agensi berkenaan perlu menerima hakikat dan menghadapi apa
sahaja risiko yang timbul hasil daripada keputusan-keputusan
yang telah mereka buat sebelum ini. Saya percaya pendekatan
sebegini akan membuat Lembaga Pengarah dan pasukan
pengurusan utama agensi-agensi berkenaan lebih
bertanggungjawab dan berhati-hati di dalam proses mengambil
keputusan dan pelaksanaan tugas-tugas seharian mereka.
95. Pemantauan yang rapi, merangkumi pelaksanaan dan
pengubahsuaian projek-projek penswastaan serta peningkatan
prestasi masing-masing akan diutamakan. Sealiran dengan
amalan ini, kita telah mengambilalih kawalan ke atas Angkatan
Hebat Sdn. Bhd. melalui Warisan Harta Sabah Sdn. Bhd., sebuah
syarikat di bawah Kementerian Kewangan, dengan meningkatkan
pemilikan ekuiti kepada 70 peratus. Dalam masa yang singkat
lembaga dan pengurusan baru telah mengambil beberapa
langkah untuk mengurangkan kos kepada kerajaan sambil
memastikan syarikat ini terus menjadi sebuah ‘profit centre’.
Tindakan yang sama sedang dilaksanakan untuk mengambilalih
pemilikan dan kawalan KPD Holdings Bhd. daripada Empor
Holdings Sdn. Bhd. yang mana selama ini amat merugikan
kerajaan.
36
96. Semua tindakan yang sedang dirancang, dalam pelaksanaan
atau telah disempurnakan adalah bertujuan untuk
menyelamatkan kerugian besar yang berlarutan. Masa tidak lagi
mengizinkan kita untuk membiarkan keadaan ini. Sudah sampai
bagi kita semua untuk berdiri teguh atas prinsip akauntabiliti dan
pengamalan budaya pengurusan yang cekap dan amanah. Lagi
awal kita menyelesaikan masalah ini bersama, lagi cerah masa
depan negeri Sabah dan rakyatnya. Kita perlu juga berdepan
dengan kenyataan semasa dan akan datang yang memerlukan
setiap badan korporat mempunyai daya saing yang cukup
berwibawa untuk menghadapi era globalisasi yang penuh
mencabar.
97. Dengan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri kita
mengharapkan tidak akan lagi berulang perkara-perkara seperti
mengadakan perjanjian-perjanjian yang merugikan pihak
kerajaan dan rakyat, program penswastaan yang tidak menepati
tujuan asal dan lembaga pengarah yang tidak amanah dan tidak
bertanggungjawab, serta pengurusan yang tidak cekap.
PENUTUP Tuan Speaker, 98. Antara perkara yang saya telah bangkitkan pada awal ucapan
Bajet 2003 adalah mengenai kepentingan untuk berbelanja
mengikut keupayaan berasaskan sumber hasil. Oleh itu, semua
pihak mesti mengutamakan pengurusan ekonomi dan disiplin
kewangan yang tinggi. Hal ini telah ditekankan dalam pekeliling
Anggaran Perbekalan Tahun 2003. Secara jelas strategi-strategi
mengawal perbelanjaan telah digariskan untuk dijadikan
37
panduan dalam merancang keperluan peruntukan bagi tahun
2003.
99. Saya juga ingin menarik perhatian semua pihak bahawa
pengurusan kewangan dan mencari sumber hasil negeri tidak
sepatutnya diletakkan di atas bahu sesebuah kementerian
sahaja. Sebaliknya, ia menjadi satu tanggungjawab dan
kewajipan kita semua, demi kebaikan masa depan generasi kita
akan datang. Sifat berkongsi tanggungjawab bersama perlu
dipupuk di kalangan sektor awam. Ingatlah bahawa tidak ada
siapapun yang akan membantu Negeri Sabah untuk terus maju
kecuali kita sendiri. Dengan komitmen, ketekunan dan
keikhlasan yang ditunjukkan, pastinya ‘the fruit of success’ itu
akan dinikmati oleh kita sendiri.
100. Bajet 2003 akan menjadi suatu instrumen yang penting bagi
menerajui langkah redressal agar agensi dan perkhidmatan
kritikal menjadi lebih efisien, produktif dan menguntungkan
semua pihak, khususnya rakyat. Amalan ini akan membuka
suatu lembaran baru bahawa Kerajaan ingin menanamkan
budaya pengurusan yang moden dan efektif. Kualiti pengurusan
semua pihak perlu ditingkatkan sesuai dengan keperluan untuk
bersedia menghadapi cabaran AFTA, WTO dan proses globalisasi.
Penekanan juga akan diberikan untuk memperkukuhkan lagi
bidang-bidang strategik pembangunan ekonomi dan
sosiobudaya. Pelbagai bidang baru juga hendaklah diterokai agar
bes ekonomi negeri dapat diperluaskan daripada terlalu
bergantung kepada ekonomi komoditi tradisional. Dalam konteks
ini, aspek Penyelidikan dan Pembangunan (R & D), aplikasi ICT
dan lain-lain lagi perlu diberi perhatian. Jentera perkhidmatan
awam hendaklah menonjolkan lagi peranannya dalam
38
memacukan peralihan daripada P-ekonomi kepada K-ekonomi
dalam bidang-bidang yang sesuai untuk negeri Sabah.
101. Hendaklah kita akui bersama bahawa sumbangan nilai budaya
kerja yang dinamik dalam pembangunan ekonomi mempunyai
peranan untuk menaikkan martabat negeri ini. Dalam konteks ini
adalah bertepatan sekiranya saya cadangkan bahawa terdapat
keperluan untuk merekacipta semula budaya kerja (reinventing
work culture) berorientasikan pencapaian cemerlang. Budaya
kerja yang hanya berpuas hati dengan menyelesaikan kerja-
kerja harian tanpa memberi input dan sumbangan baru yang
kreatif lagi inovatif tidak lagi memadai. Kita perlu berkhidmat
dengan iltizam yang baru. Dalam konteks ini, kita perlu
meningkatkan lagi penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran
dan kompetensi di peringkat peribadi dan pasukan masing-
masing. Dengan mengamalkan budaya yang sentiasa ingin
belajar dengan mengaplikasikan pengetahuan baru dalam bidang
kerjaya kita, sudah pasti kita akan berjaya membawa
transformasi yang positif. Budaya yang menyanjung prestasi
cemerlang, nilai yang unggul dan murni, berhemah tetapi cekap,
menyemarakkan semangat berpasukan dan menghidupkan
kedinamikan hendaklah menjadi pegangan kita semua.
102. Kerajaan tidak pernah gagal untuk menunaikan
tanggungjawabnya bagi menghargai sumbangan anggota
perkhidmatan awam selama ini. Sebagai tanda penghargaan,
sepertimana yang telah diumumkan oleh YAB Ketua Menteri,
Kerajaan Negeri telah juga bersetuju untuk membayar bonus
satu bulan gaji atau minima RM1,200 dalam dua ansuran
bermula bulan November 2002, berserta dengan pelaksanaan
Sistem Saraan Malaysia (SSM). Dengan penghargaan ini kita
mengharapkan perkhidmatan awam selaku jentera pentadbiran
39
akan membawa negeri Sabah ke mercu kejayaan dan
kecemerlangan. Sehubungan ini, saya ingin mengajak Ahli-Ahli
Yang Berhormat di Dewan Yang Mulia ini, pihak swasta
bersama-sama rakyat jelata berganding bahu untuk mendokong
matlamat ini.
103. Dengan itu, marilah kita “Berakit-rakit ke hulu, berenang-
renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-
senang kemudian”.
Tuan Speaker,
Saya mohon mencadangkan.