1- Kes Tuan Manan Lwn KPS -Isu Ketaksempurnaan Rekod Rayuan

11
Tuan Manan Bin Tuan Soh lwn Ketua Pendakwa Syarie JH32 bhg II [Mahkamah Rayuan Syariah Selangor Di Shah Alam (Y.A.A Tan Sri Ibrahim bin Lembut, HMRyS, Y.A Dato Muhamad Asri bin Abdullah, HMRyS dan Y.A Datuk Abu Bakar bin Ahmad, HMRyS) 19 Zulkaedah 1430H bersamaan 07 November 2009M] [Rayuan Jenayah No : 10000-166-001-2008] Kesalahan Jenayah Matrimoni- berkahwin tanpa kebenaran pendaftar - penjara 4 hari - tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rendah Syariah - rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah- Keputuan hukuman kekal- rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah. Undang-undang Tatacara Jenayah- Rekod Rayuan tidak lengkap- pembatalan rayuan atas ketidaksempurnaan Rekod Rayuan - memberi peluang untuk melengkapkan Rekod Rayuan – sek. 230(2) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 - permohonan yang tidak mematuhi sesuatu formaliti boleh dibenarkan – sek. 140 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Fakta Kes 1

description

kes

Transcript of 1- Kes Tuan Manan Lwn KPS -Isu Ketaksempurnaan Rekod Rayuan

Page 1: 1- Kes Tuan Manan Lwn KPS -Isu Ketaksempurnaan Rekod Rayuan

Tuan Manan Bin Tuan Soh

lwn

Ketua Pendakwa Syarie

JH32 bhg II

[Mahkamah Rayuan Syariah Selangor Di Shah Alam (Y.A.A Tan Sri Ibrahim bin Lembut,

HMRyS, Y.A Dato’ Muhamad Asri bin Abdullah, HMRyS dan Y.A Datuk Abu Bakar bin

Ahmad, HMRyS) 19 Zulkaedah 1430H bersamaan 07 November 2009M]

[Rayuan Jenayah No : 10000-166-001-2008]

Kesalahan Jenayah Matrimoni- berkahwin tanpa kebenaran pendaftar- penjara 4 hari - tidak

berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rendah Syariah - rayuan ke Mahkamah Tinggi

Syariah- Keputuan hukuman kekal- rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah.

Undang-undang Tatacara Jenayah- Rekod Rayuan tidak lengkap- pembatalan rayuan atas

ketidaksempurnaan Rekod Rayuan - memberi peluang untuk melengkapkan Rekod Rayuan –

sek. 230(2) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 - permohonan yang

tidak mematuhi sesuatu formaliti boleh dibenarkan – sek. 140 Enakmen Tatacara Jenayah

Syariah (Negeri Selangor) 2003.

Fakta Kes

Tindakan ini difailkan oleh Perayu kerana tidak berpuashati dengan keseluruhan keputusan

yang telah dikeluar oleh Y.A Tuan Saarani bin Ismail, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah

Selangor di dalam Kes Rayuan Jenayah No: 10500-102-0014-2006 bertarikh 27/09/2006 yang

menolak keseluruhan rayuan Perayu dan mengekalkan hukuman Mahkamah Rendah Syariah

Hulu Langat dalam Kes Jenayah No: 10500-164-005-2005 bertarikh 12/07/2005.

1

Page 2: 1- Kes Tuan Manan Lwn KPS -Isu Ketaksempurnaan Rekod Rayuan

1. Rayuan ini telah didengar pada 15/10/2009 dan seterusnya ditetapkan untuk keputusan

pada hari ini 07/12/2009.

2. Pada 12/07/2005, Perayu telah didakwa di bawah seksyen 40(2) Enakmen Undang-

Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 1984 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah

Hulu Langat, Selangor melalui Kes Jenayah No: 10500-164-005-2002 iaitu berkahwin

tanpa kebenaran pendaftar.

3. Pada tarikh yang sama, Mahkamah Rendah Syariah telah mensabitkan kesalahan Perayu

dan menjatuhkan hukuman penjara selama 4 hari atas kesalahan tersebut.

4. Perayu tidak berpuashati dan memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah Selangor

dan pada 27/09/2006, Mahkamah Tinggi Syariah telah menolak rayuan Perayu dan

mengekalkan keputusan Mahkamah Rendah Syariah.

5. Perayu seterusnya telah memohon kebenaran merayu daripada Mahkamah Rayuan

Syariah dan pada 29/10/2007, Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah secara sebulat

suara telah meluluskan permohonan Perayu untuk merayu.

6. Lanjutan itu, Perayu telah memfailkan notis rayuan bertarikh 05/11/2007 dan Petisyen

Rayuan bertarikh 04/02/2008. Perayu telah mengemukakan 6 alasan bagi menyokong

rayuannya iaitu:-

a. Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor telah tersilap dari segi fakta dan

undang-undang apabila Y.A Hakim tidak mengarahkan dirinya kepada pemerhatian

yang tepat tentang Arahan Amalan No. 15 Tahun 2004 ketika mana menolak

rayuan Perayu dengan alasan bahawa perkara-perkara tersebut jika tidak diikuti

dengan sepenuhnya boleh mencacatkan rayuan Perayu kerana fakta-fakta yang

relevan dalam rayuan Perayu tidak ada dalam Rekod Rayuan yang disediakan oleh

Perayu.

2

Page 3: 1- Kes Tuan Manan Lwn KPS -Isu Ketaksempurnaan Rekod Rayuan

b. Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor telah tersilap dari segi fakta dan

undang-undang apabila Y.A Hakim gagal untuk meneliti bahawa perkara-perkara

yang tidak ada dalam Rekod Rayuan adalah perkara yang bukannya melibatkan

fakta-fakta dan tidak mencacatkan rayuan yang dikemukakan oleh Perayu tersebut.

c. Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor juga telah tersilap dari segi fakta

dan undang-undang apabila Y.A Hakim gagal mengarahkan dirinya untuk

mengguna pakai seksyen 230(2) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri

Selangor) 2003 di mana Y.A Hakim sepatutnya memberi peluang kepada Perayu

untuk melengkapkan Rekod Rayuan disebabkan kelalaian dan kealpaan yang dibuat

oleh Perayu dan bukannya menolak terus rayuan Perayu.

d. Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor juga telah tersilap dari segi fakta

dan undang-undang apabila Y.A Hakim gagal meletakkan dirinya sepertimana

yang sepatutnya berpandukan kepada seksyen 140 Enakmen Tatacara Jenayah

Syariah (Negeri Selangor) 2003 bahawa satu-satu permohonan yang tidak

mematuhi sesuatu formaliti atau sesuatu enakmen ini masih boleh dibenarkan dan

kerana kegagalan Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor tersebut telah

menyebabkan rayuan Perayu tersebut ditolak.

e. Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor juga telah tersilap ketika menolak

rayuan Perayu dengan alasan Perayu tidak menunjukkan kesungguhan dalam

rayuannya sedangkan Perayu telah cuba mematuhi sedaya upaya dan sekiranya ada

sedikit kecacatan, sepatutnya Perayu diberikan peluang untuk memperbetulkannya

dan kecacatan yang dilakukan tersebut adalah dalam peratusan yang kecil sahaja.

f. Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor juga telah tersilap dari segi fakta

dan undang-undang apabila Y.A Hakim telah menolak rayuan Perayu di atas alasan

Rekod Rayuan tidak lengkap sedangkan tidak ada sebarang peruntukan dalam

Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang jelas

3

Page 4: 1- Kes Tuan Manan Lwn KPS -Isu Ketaksempurnaan Rekod Rayuan

menunjukkan bahawa rayuan Perayu hendaklah ditolak apabila berlakunya

kecacatan pada Rekod Rayuan.

7. Oleh kerana itu, Perayu memohon agar Mahkamah Rayuan Syariah mengetepikan

keputusan Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah tersebut dan memerintahkan agar

rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah didengar semula dengan memberi peluang kepada

Perayu untuk melengkapkan semula Rekod Rayuan.

8. Responden tidak bersetuju dengan rayuan ini dan menegaskan bahawa Y.A Hakim

Mahkamah Tinggi Syariah Selangor telah membuat keputusan yang betul dan tepat

dengan menolak rayuan Perayu dan mengekalkan hukuman Tuan Hakim Mahkamah

Rendah Syariah Hulu Langat Selangor.

9. Di dalam penghakiman ini, kami tidak berhajat untuk mengulas satu persatu alasan

rayuan Perayu tetapi kami hanya akan fokus terus kepada isu yang timbul berdasarkan

semua rekod yang ada dan hujah masing-masing pihak. Kami berpendapat bahawa isu

yang timbul ialah:-

a. Samada wajar atau tidak Hakim Mahkamah Tinggi Syariah membatalkan rayuan

Perayu disebabkan ketidaksempurnaan Rekod Rayuan.

Diputuskan

Setelah kami meneliti rayuan Perayu dan menimbang semua dokumen dan rekod yang

difailkan, dan setelah mendengar Hujah Peguam Syarie Perayu dan Hujah Responden, MAKA

adalah dengan ini KAMI SEBULAT SUARA MEMERINTAHKAN:-

i. Menerima rayuan Perayu.

ii. Perintah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor di dalam Kes Rayuan Jenayah No:

10500-102-0014-2006 bertarikh 27/09/2006 adalah diketepikan.

iii. Perintahkan kes tersebut didengar semula dan Perayu diberikan ruang untuk

melengkapkan dan memperbetulkan Rekod Rayuannya.

4

Page 5: 1- Kes Tuan Manan Lwn KPS -Isu Ketaksempurnaan Rekod Rayuan

Peguam Syarie

Perayu : Jamal Mohd Lokman bin Sulaiman daripada Tetuan Jamal Lokman & Partners.

Responden : Abdul Shukor bin Abd Hamid, Ketua Pendakwa Syarie Negeri Selangor.

Undang-undang Yang Dirujuk

1. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, sek. 40(2).

2. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, sek. 138, 140, 230, 270.

3. Arahan Amalan No. 15 Tahun 2004.

Penghakiman Y.A.A Tan Sri Ibrahim bin Lembut, HMRyS, Y.A Dato’ Muhamad Asri

bin Abdullah, HMRyS dan Y.A Datuk Abu Bakar bin Ahmad, HMRyS.

Samada wajar atau tidak Hakim Mahkamah Tinggi Syariah membatalkan rayuan Perayu

disebabkan ketidaksempurnaan Rekod Rayuan.

10. Merujuk kepada muka surat 44 dan 45 Rekod Rayuan, Y.A Hakim Mahkamah Tinggi

Syariah di dalam penghakimannya telah merujuk kepada seksyen 138(6) Enakmen

Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukan:

“(6) Tiap-tiap petisyen rayuan hendaklah menyatakan dengan ringkas

isi penghakiman yang terhadapnya rayuan dibuat, dan hendaklah

mengandungi butir-butir yang tentu mengenai perkara-perkara

undang-undang atau mengenai fakta yang berkenaan dengannya

Mahkamah yang terhadap keputusannya rayuan itu dibuat dikatakan

telah silap”.

11. Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah juga telah merujuk kepada Arahan Amalan No.

15 Tahun 2004 yang menyatakan:

5

Page 6: 1- Kes Tuan Manan Lwn KPS -Isu Ketaksempurnaan Rekod Rayuan

“… perkara-perkara yang perlu ada di dalam Rekod Rayuan Kes

Jenayah mengikut susunannya sebagai penyelarasan penyediaannya

oleh Mahkamah-Mahkamah Syariah dan Perayu-Perayu ialah:

a) Kertas Pertuduhan.

b) Nota Keterangan.

c) Hujah Kedua-dua pihak.

d) Alasan penghakiman.

e) Notis Rayuan.

f) Petisyen Rayuan.

g) Waran tangkap/ saman (mana yang berkenaan).

h) Perintah Penggantungan hukuman (jika ada).

i) Bon Jamin Pelepasan sementara dari hukuman kerana

menunggu rayuan (jika ada).

j) Lain-lain ekshibit dokumentar (jika ada).

12. Berdasarkan kedua-dua peruntukan tersebut, beliau merumuskan bahawa perkara-perkara

yang dinyatakan di dalam autoriti-autoriti di atas jika tidak diikuti dengan sepenuhnya

boleh mencacatkan rayuan Perayu kerana fakta-fakta yang relevan dan dipertikaikan oleh

Perayu tidak diplidkan dengan sepenuhnya. Oleh itu, beliau memutuskan untuk tidak

mendengar rayuan tersebut kerana jika diteruskan, Mahkamah pasti keadilan tidak dapat

terlaksana malah kezaliman ditakuti mengambil tempat. Seterusnya, beliau telah

menolak rayuan Perayu dan mengekalkan hukuman Mahkamah Rendah Syariah Daerah

Hulu Langat.

13. Kami sebenarnya tercari-cari di manakah kekurangan yang wujud di dalam Rekod

Rayuan Perayu dan apakah kekurangan-kekurangan tersebut sehingga Y.A Hakim

Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan untuk tidak mendengar rayuan Perayu dan

seterusnya menolak terus rayuan tersebut.

14. Berdasarkan penghakiman Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, kami berpuashati

bahawa Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah gagal menyatakan apakah perkara-

6

Page 7: 1- Kes Tuan Manan Lwn KPS -Isu Ketaksempurnaan Rekod Rayuan

perkara yang tidak lengkap atau tidak ada di dalam Rekod Rayuan Perayu berdasarkan

seksyen 138(6) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 atau pun

Arahan Amalan No. 15 Tahun 2004. Oleh itu, sejauhmanakah seriusnya kekurangan

tersebut kepada Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah tidak dapat dinilai oleh kami

berdasarkan penghakiman tersebut.

15. Jika dilihat kepada hujah Perayu, Perayu menyatakan bahawa kesemua Rekod Rayuan

Perayu semasa di Mahkamah Tinggi Syariah adalah lengkap berdasarkan Arahan Amalan

No. 15 Tahun 2004 tersebut kecuali hanya satu perkara sahaja yang tidak disertakan iaitu

saman dan fakta ini tidak dipertikaikan oleh Responden di dalam hujahnya.

16. Jika ini keadaannya, wajar atau tidak Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah

membatalkan rayuan Perayu disebabkan kegagalan Perayu melampirkan saman di dalam

Rekod Rayuan Perayu di Mahkamah Tinggi Syariah?

17. Kami bersetuju dengan Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang cuba melaksanakan

kehendak undang-undang dan Arahan Amalan secara tegas yang mana kegagalan

mematuhi autoriti-autoriti tersebut membolehkan Mahkamah menolak sesuatu kes,

namun dalam kes di hadapan kami ini, kami dengan hormatnya tidak bersetuju dengan

keputusan Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah tersebut. Ini adalah kerana, dengan

memutuskan sedemikian, keadilan yang diperjuangkan nampaknya tidak tercapai

malahan hukuman dikekalkan tanpa terlebih dahulu mendengar rayuan Perayu adalah

satu penghakiman yang tergesa-gesa.

18. Sebenarnya, undang-undang dan Arahan Amalan tidak membuat sesuatu peruntukan

yang begitu rigid khususnya dalam soal menolak sesuatu kes yang tidak mematuhi

sesuatu formaliti atau standard yang ditetapkan di dalam sesuatu prosiding, sebaliknya ia

membuka ruang kepada budi bicara dan kebijaksanaan seseorang hakim di dalam menilai

samada ketidakpatuhan atau kecacatan sesuatu prosiding tersebut telah menjejaskan

peradilan ataupun tidak.

7

Page 8: 1- Kes Tuan Manan Lwn KPS -Isu Ketaksempurnaan Rekod Rayuan

19. Dalam memperjelaskan perkara ini, kami merujuk kepada seksyen 207 Enakmen

Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan:

Seksyen 207. Ketakteraturan tidak membatalkan prosiding.

Tertakluk kepada peruntukan yang terkandung dalam Bab ini, tiada

dapatan, hukuman atau perintah yang dijatuhkan atau dibuat oleh suatu

Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa kompeten boleh diakaskan atau

diubah oleh sebab—

(a) apa-apa kesilapan, peninggalan atau ketakteraturan dalam aduan,

saman, waran, pertuduhan, penghakiman atau prosiding lain sebelum atau

semasa perbicaraan di bawah Enakmen ini;

(b) tidak terdapat keizinan yang dikehendaki oleh undang-undang; atau

(c) penerimaan atau penolakan tak wajar apa-apa keterangan, melainkan

jika kesilapan, peninggalan, penerimaan atau penolakan tak wajar

keterangan, ketakteraturan, ketiadaan keizinan atau salah arahan itu

telah menyebabkan kegagalan peradilan.

20. Berdasarkan peruntukan di atas, ianya telah memperjelaskan bahawa pertimbangan

samada untuk meneruskan atau membatalkan sesuatu prosiding disebabkan sesuatu

ketakaturan adalah terletak di bawah budibicara Mahkamah. Perlu diambil peringatan

bahawa jika Mahkamah memilih untuk membatalkan prosiding tersebut, Mahkamah

hendaklah mempastikan bahawa keputusan tersebut tidak menyebabkan kegagalan

peradilan kepada pihak-pihak.

21. Seksyen 207 di atas juga menyatakan Mahkamah boleh membuat sesuatu penghakiman

walaupun mungkin ada beberapa kesilapan pada prosedur dan sekiranya sesuatu

hukuman atau perintah telah dijatuhkan oleh Mahkamah yang mempunyai bidangkuasa

8

Page 9: 1- Kes Tuan Manan Lwn KPS -Isu Ketaksempurnaan Rekod Rayuan

kompeten, ianya tidak boleh diakas atau diubah oleh Mahkamah yang lebih tinggi

disebabkan soal atau isu prosiding kecuali dalam keadaan yang mana kegagalan

peradilan telah berlaku disebabkan ketakaturan tersebut.

22. Jika dirujuk kepada fakta kes di dalam rayuan ini, isu samada penolakan atau pembatalan

prosiding yang telah dilakukan oleh Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah disebabkan

peninggalan Perayu memasukkan saman di dalam Rekod Rayuan, kami dengan

hormatnya tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

23. Saman hanyalah salah satu dokumen yang perlu ada di dalam kandungan Rekod Rayuan

jika ianya berkaitan dengan seseorang tertuduh sebagaimana Arahan Amalan No. 15

Tahun 2004 yang telah dinyatakan di atas. Oleh kerana ianya salah satu daripada 10

perkara yang dinyatakan di dalam Arahan Amalan tersebut, maka adalah tidak wajar

ketinggalan yang telah dilakukan oleh Perayu telah menyebabkan Rekod Rayuan Perayu

secara keseluruhannya ditolak dan prosiding dibatalkan. Jika saman tersebut amat

penting bagi Mahkamah, maka adalah lebih wajar jika Mahkamah mengarahkan agar

Perayu memasukkan atau melengkapkan dokumen tersebut ke dalam Rekod Rayuannya.

24. Kami seterusnya mendapati bahawa rujukkan Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah

kepada Arahan Amalan No. 15 Tahun 2004 sebagai satu penjelasan kepada seksyen

138(6) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 sebenarnya adalah

tidak tepat. Seksyen 138(6) enakmen tersebut adalah menceritakan berkenaan sesuatu

petisyen rayuan yang mana seseorang Perayu perlu menyatakan apakah kesilapan-

kesilapan dari segi fakta dan undang-undang yang telah dilakukan oleh Mahkamah

Bicara, sedangkan Arahan Amalan No. 15 Tahun 2004 tersebut adalah menceritakan

berkaitan dengan apakah perkara-perkara yang perlu ada di dalam Rekod Rayuan dan

PETISYEN rayuan yang telah difailkan sebagaimana kehendak seksyen 138(4) Enakmen

Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 perlulah juga ada di dalam Rekod

Rayuan tersebut.

9

Page 10: 1- Kes Tuan Manan Lwn KPS -Isu Ketaksempurnaan Rekod Rayuan

25. Oleh itu, kami berpuashati dan bersetuju dengan hujah Perayu bahawa penolakan kes

rayuan Perayu oleh Y.A Hakim Mahkamah Tinggi Syariah berdasarkan seksyen 138(6)

Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 dan Arahan Amalan No. 15

Tahun 2004 adalah silap dan tidak wajar dan sewajarnya Perayu diberikan peluang untuk

memperbetulkan kecacatan atau kekurangan tersebut.

Keputusan

SETELAH kami meneliti rayuan Perayu dan menimbang semua dokumen dan rekod yang

difailkan, dan setelah mendengar hujah Peguam Syarie Perayu dan hujah Responden, MAKA

adalah dengan ini KAMI SEBULAT SUARA MEMERINTAHKAN:-

i. Menerima rayuan perayu.

ii. Perintah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor di dalam Kes Rayuan Jenayah No:

10500-102-0014-2006 bertarikh 27/09/2006 adalah diketepikan.

iii. Perintahkan kes tersebut didengar semula dan Perayu diberikan ruang untuk

melengkapkan dan memperbetulkan Rekod Rayuannya.

10