674-1310-1-SM

9

Click here to load reader

description

kaedah menghafaz surah bayyinah

Transcript of 674-1310-1-SM

Page 1: 674-1310-1-SM

PENGGUNAAN KAEDAH ‘CMR’ MENINGKATKAN KEMAHIRAN

MENGHAFAZ SURAH AL-BAYYINAH BAGI

MURID TAHUN 5

Oleh:

Nur Nazmin Syamimi Binti Ab Halim Fauzi, Mohd So’od Bin Chik

Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, IPG Kampus Dato’ Razali Ismail

[email protected], [email protected]

ABSTRAK

Kajian tindakan ini bertujuan untuk membantu murid Tahun 5 Naim

yang lemah dalam menghafaz ayat-ayat surah hafazan yang panjang

dengan menggunakan kaedah’CMR’ (Cut, Memorise and Repeat).

Fokus kajian adalah berfokuskan untuk meningkatkan kemahiran

menghafaz surah al-Bayyinah. Tinjauan awal telah dilakukan dengan

menganalisis dokumen, pemerhatian dan temubual untuk

mengenalpasti kelemahan murid. Seramai 5 orang daripada 17 orang

murid telah dipilih sebagai peserta kajian yang melibatkan peserta

perempuan kesemuanya. Sebanyak 4 sesi intervensi telah dijalankan

dalam tempoh dua minggu menggunakan kaedah ‘CMR’. Melalui

kajian ini, didapati tahap kebolehan peserta kajian dalam menghafaz

surah al-Bayyinah semakin meningkat. Penggunaan kaedah ‘CMR’

dapat meningkatkan penguasaan murid dalam menghafaz surah al-

Bayyinah berdasarkan peningkatan markah yang sangat positif

dalam ujian pra dan ujian pos. Antara kekuatan kaedah ‘CMR’

adalah dapat membantu meningkatkan kemahiran menghafaz dan

mempercepatkan proses mengingat ayat-ayat hafazan. Sebagai

penambahbaikan, kaedah ini lebih sesuai digunakan seawal mungkin

bermula dari murid tahun 1 agar masalah menghafaz ayat-ayat

hafazan dapat diatasi lebih awal.

Kata kunci : Kaedah ‘CMR’, Kemahiran menghafaz, Surah al-

Bayyinah.

REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang efektif dapat dilaksanakan sekiranya seseorang guru

bijak merancang suatu aktiviti yang boleh menarik minat murid bagi mengikuti sesi PdP di dalam bilik

darjah. Sewaktu menjalani praktikum fasa 3 di Sekolah Kebangsaan Kebor Ayer, Kuala Terengganu,

pengkaji telah diamanahkan untuk mengajar subjek Pendidikan Islam bagi murid Tahun 5 Naim.

Pengkaji menghadapi masalah sewaktu menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas 5

Naim terutama ketika mengajar bidang Asuhan Tilawah al-Quran kerana kebanyakan mereka lemah

dalam menghafaz ayat-ayat hafazan. Murid-murid dalam kelas ini dapat dipecahkan kepada tiga

kategori iaitu sederhana, lemah dan sangat lemah.

Berdasarkan ujian lisan yang dijalankan, pengkaji mendapati hampir kesemua murid menghadapi

masalah untuk menghafaz surah al-Bayyinah. Surah al-bayyinah terdiri daripada lapan ayat.

Page 2: 674-1310-1-SM

Kebanyakan daripada murid Tahun 5 Naim hanya mampu mengingat empat ayat di awal surah dan

menghadapi masalah untuk menyambung empat ayat hafazan yang berikutnya dengan betul. Malah

dalam ujian bertulis sebahagian murid tidak dapat memadankan dengan betul sambungan bagi ayat

surah al-Bayyinah. Kelemahan murid dalam menghafaz surah al-Bayyinah bukan sahaja dikenal pasti

melalui rekod bertulis seperti lembaran kerja, malah pengkaji juga mengenal pasti murid lemah

melalui kaedah temu bual dan pemerhatian.

Pada peringkat awal, pengkaji telah meminta murid-murid untuk membaca surah tersebut dengan kuat

dan lancar secara kelas. Selepas itu, pengkaji meminta murid-murid untuk membaca kembali surah

tersebut secara kelas tanpa mengikut bacaan guru. Kemudian, murid-murid telah dibahagikan kepada 4

kumpulan dan setiap kumpulan dibekalkan dengan beberapa kad ayat yang mengandungi ayat-ayat

dalam surah al-Bayyinah. Walau bagaimanapun, setelah diberikan waktu untuk menghafaz surah

tersebut, pengkaji mendapati, keseluruhan murid tahun 5 Naim seramai 17 orang mengalami

kesukaran untuk menghafaz surah tersebut.

Oleh yang demikian, setelah mengenal pasti masalah yang telah dialami oleh murid iaitu kelemahan

menghafaz surah al-Bayyinah, pengkaji telah merancang satu kaedah hafazan baru bagi mengatasi

masalah tersebut. Jadi, kaedah yang digunakan diberi nama ‘CMR’ (Cut, Memorise and Repeat).

Kaedah ini digunakan bermula dengan pengkaji memberi penerangan kepada peserta kajian berkenaan

kaedah hafazan yang akan digunakan. Kemudian, pengkaji meminta kesemua peserta kajian

menghafaz sedikit demi sedikit empat ayat pertama daripada keseluruhan lapan ayat surah al-

Bayyinah, dengan cara mencerakinkan setiap ayat kepada beberapa bahagian yang menjadikannya

lebih pendek.

Seterusnya, pengkaji telah meminta mereka untuk menyambung hafalan mereka sehingga ke ayat

terakhir. Pengkaji mendapati kesemua peserta kajian boleh menghafaz dengan baik apabila

menggunakan kaedah ini. Setelah peserta kajian berjaya menghafaz keseluruhan ayat surah al-

Bayyinah, mereka diminta memperdengarkan hafazan yang lengkap di hadapan pengkaji sebanyak

tiga kali. Diharapkan penggunaan kaedah ‘CMR’ yang dilaksanakan oleh pengkaji dapat membantu

murid-murid lemah dalam meningkatkan kemahiran menghafaz surah al-Bayyinah.

SOROTAN LITERATUR

Terdapat 3 kaedah hafazan utama yang paling berkesan dalam menghafaz yang digunakan oleh

pelajar-pelajar Maahad Tahfiz. Kaedah-kaedah tersebut ialah memperdengarkan hafazan baru (tasmi’),

menghafaz seperti biasa dan kaedah buku tulisan ayat (Fauzi bin Sulehan, 2010).

Menurut Farhana binti Rapihi (2012), beliau mendapati tahap penguasaan hafazan bacaan Al-Quran di

sekolah agak kurang memuaskan bagi surah-surah lazim, begitu juga hafazan ayat-ayat surah hafazan.

Menurut Muhammad Fathi bin Ramli (2013), pengajaran al-Quran kepada generasi pertama

menekankan aspek hafalan. Dengan itu hafalan merupakan asas untuk mempelajari al-Quran. Bila

dalam pengajaran ditekankan hafalan, maka pelajar perlu dilatih untuk mengulangi bacaan dan cuba

melekatkannya dalam ingatan sehingga mereka dapat membaca al-Quran tanpa melihat teks.

Wan Bakar Wan Dagang (1990), Pengajaran dan Pendidikan al-Quran dalam Kurikulum Baru Sekolah

Rendah (KBSR). Antara pendekatan pengajaran al-Quran di sekolah rendah adalah pendekatan

menghafaz. Menghafaz kalimah-kalimah, ayat-ayat ataupun surah merupakan salah satu pendekatan

mengenal dan melancarkan pembacaan murid-murid. Pendekatan menghafaz boleh diperkenalkan

sebelum murid-murid dapat membaca. Walaupun begitu pendekatan ini sesuai diperkenalkan setelah

murid-murid boleh membaca kalimah dan ayat-ayat dari surah tertentu.

Dalam menyelesaikan masalah menghafaz ayat-ayat hafazan, beberapa kaedah dan teknik telah

dilaksanakan oleh pengkaji lepas. Contohnya adalah kaedah kolaborasi yang digunakan dengan cara

membahagikan murid kepada beberapa kumpulan, kemudian mereka diminta menghafaz dalam

Page 3: 674-1310-1-SM

kumpulan kecil. Selain itu, penggunaan kaedah ‘chungkin’ turut diperkenalkan bagi membantu murid

menghafaz ayat-ayat hafazan.

Inovasi berikutnya adalah penggunaan ICT iaitu slaid power point. Inovasi sedia ada ini diolah agar

bersesuaian dengan apa yang ingin dicapai iaitu untuk meningkatkan kemahiran murid menghafaz

surah al-Bayyinah.

TUJUAN KAJIAN

Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kemahiran menghafaz surah al-Bayyinah bagi

murid Tahun 5 Naim Sekolah Kebangsaan Kebor Ayer dengan menggunakan kaedah ‘CMR’ (Cut,

Memorise and Repeat).

Objektif

Menentukan kaedah ‘CMR’ dapat membantu murid-murid lemah Tahun 5 Naim

meningkatkan kemahiran menghafaz surah al-Bayyinah.

Persoalan Kajian

Bagaimanakah penggunaan kaedah ‘CMR’ dapat membantu murid lemah Tahun 5 Naim

meningkatkan kemahiran menghafaz surah al-Bayyinah?

METODOLOGI KAJIAN

Model Kurt Lewin (1948) telah dipilih sebagai model penyelidikan tindakan dalam kajian ini. Kajian

tindakan ini melibatkan lima orang murid lemah Tahun 5 Naim yang melibatkan murid perempuan

semuanya. Semua peserta kajian dipilih berdasarkan kepada pencapaian dalam ujian lisan. Kelima-

lima peserta kajian telah menunjukkan penguasaan yang lemah dalam kemahiran menghafaz surah al-

Bayyinah dalam ujian lisan.

Bagi meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan data kualitatif yang diperolehi, kajian ini telah

melibatkan triangulasi data dalam pengumpulan maklumat. Instrumen yang digunakan adalah ujian,

penelitian dokumen, pemerhatian dan temu bual. Penelitian dokumen bertujuan untuk mengenal pasti

kelemahan dan kesilapan murid dalam menjawab soalan ayat-ayat hafazan berkaitan surah yang

dipilih iaitu surah al-Bayyinah. Pengkaji telah menganalisis dokumen seperti skrip jawapan ujian pra

dan ujian pasca setiap peserta kajian bagi menilai tahap pencapaian peserta kajian sebelum dan selepas

sesi intervensi dilaksanakan. Selain itu, analisis terhadap penelitian dokumen yang dijalankan oleh

pengkaji juga merangkumi latihan memperdengarkan ayat yang telah dihafaz (tasmi’) yang dijalankan

ke atas peserta kajian semasa sesi intervensi dilaksanakan. Latihan tasmi’ ini bertujuaan untuk melihat

perkembangan tahap penguasaan peserta kajian dari masa ke semasa sepanjang sesi intervensi

dilaksanakan.

Pengkaji telah menggunakan pemerhatian berstruktur dengan menyenaraikan borang senarai semak

pemerhatian terhadap tingkah laku dan perkembangan pembelajaran yang dipamerkan oleh peserta

kajian semasa sesi intervensi dijalankan. Data yang diperoleh hasil daripada pemerhatian pengkaji

terhadap tingkah laku yang ditunjukkan oleh peserta kajian boleh diguna pakai oleh pengkaji dalam

membuat analisis maklumat yang berbentuk kualitatif.

Instrumen temu bual telah dijalankan ke atas kelima-lima peserta kajian sebelum sesi intervensi dan

selepas sesi intervensi dilaksanakan. Instrumen ini membolehkan pengkaji mengumpul maklumat

berkaitan pendapat dan pandangan apa yang difikirkan oleh peserta kajian khususnya melibatkan isu

Page 4: 674-1310-1-SM

keprihatinan yang difokuskan oleh pengkaji melibatkan kemahiran menghafaz surah al-Bayyinah.

Data kualitatif yang telah diperolehi dianalisis secara deskriptif dan narratif mengikut peserta kajian.

SPESIFIKASI INTERVENSI

‘CMR’ merupakan satu kaedah yang direka bagi membantu murid meningkatkan kemahiran

menghafaz surah al-Bayyinah. Istilah ‘CMR’ diertikan sebagai teknik mudah menghafaz dengan

menggunakan tiga langkah iaitu memotong ayat (Cut), menghafaz ayat demi ayat (Memorise), dan

mengulang hafazan surah al-Bayyinah dari ayat 1 hingga 8 (Repeat). Kaedah ini dijalankan

berbantukan slaid power point yang telah disediakan oleh pengkaji. Dalam slaid tersebut, pengkaji

memotong 8 ayat surah al-Bayyinah kepada 20 potongan yang lebih pendek.

Rajah 1 : Slaid power point yang digunakan

Pengkaji telah menjalankan 4 sesi intervensi terhadap peserta kajian dalam membantu meningkatkan

kemahiran menghafaz surah al-Bayyinah menggunakan kaedah ‘CMR’. Semasa sesi intervensi

pertama, pengkaji menerangkan apakah maksud disebalik nama kaedah ‘CMR’. Pengkaji turut

memberi penjelasan kepada peserta kajian tentang bagaimana cara untuk memotong ayat surah al-

Bayyinah. Pada sesi ini pengkaji memastikan peserta kajian betul-betul memahami langkah pertama

dalam kaedah ini iaitu memotong ayat (Cut).

Semasa sesi intervensi kedua, peserta kajian diterangkan berkenaan langkah kedua dalam kaedah

‘CMR’ iaitu menghafaz (Memorise). Pada sesi kedua ini, kesemua peserta kajian diminta menghafaz

surah al-Bayyinah bermula dari ayat 1 hingga 4. Peserta kajian menghafaz mengikut potongan ayat

yang telah dipotong oleh pengkaji sebagaimana yang boleh dilihat pada rajah 1. Setelah itu, pengkaji

meminta kesemua peserta kajian memperdengarkan hafazan empat ayat pertama daripada surah al-

Bayyinah di hadapan pengkaji secara individu.

Dalam sesi intervensi ketiga pula, peserta kajian diminta menyambung hafazan mereka bermula dari

ayat 5 hingga 8. Setelah peserta kajian berjaya menghafaz keempat-empat ayat tersebut, pengkaji

meminta mereka memperdengarkan hafazan empat ayat terakhir daripada surah al-Bayyinah di

Page 5: 674-1310-1-SM

hadapan pengkaji secara individu. Pengkaji memastikan kesemua peserta kajian dapat menghafaz ayat

sebagaimana yang telah ditetapkan bagi setiap intervensi yang dijalankan.

Sesi intervensi keempat menjurus kepada aktiviti pengukuhan melalui langkah ketiga dalam kaedah

‘CMR’ iaitu mengulang (Repeat). Pada sesi ini, pengkaji meminta peserta kajian mengulang ayat yang

telah dihafaz oleh mereka dan memperdengarkannya di hadapan pengkaji sebanyak 3 kali. Dalam sesi

ini, pengkaji membaiki kelemahan tajwid dan bacaan peserta kajian. Sebelum sesi intervensi ke 4

berakhir, pengkaji melaksanakan ujian pasca bagi melihat perkembangan peserta kajian dalam

penguasaan menghafaz surah al-Bayyinah dengan menggunakan kaedah ‘CMR’ berbanding

pencapaian sewaktu ujian pra.

DAPATAN KAJIAN

Dapatan kajian ini adalah untuk melihat sejauh manakah keberkesanan penggunaan kaedah ‘CMR’

(Cut, Memorise and Repeat) dalam meningkatkan kemahiran menghafaz surah al-Bayyinah dalam

kalangan murid lemah Tahun 5 Naim. Bagi menerangkan dapatan kajian ini, pengkaji telah memilih

seorang daripada lima peserta kajian yang telah dipilih melalui ujian lisan dalam kelas Tahun 5 Naim.

Peserta kajian yang digunakan dalam menerangkan dapatan kajian ini adalah Nabihah (bukan nama

sebenar).

Sebelum kajian dijalankan, pengkaji memerhatikan Nabihah adalah seorang murid yang pasif dan

kurang bercakap dalam bilik darjah sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Apabila pengkaji

bertanyakan mengapa Nabihah sukar untuk mengingat surah al-Bayyinah, beliau hanya diam dan tidak

memberi sebarang jawapan. Berdasarkan ujian pra yang dijalankan, Nabihah hanya mampu menghafaz

tiga ayat daripada lapan ayat surah al-Bayyinah. Bacaannya tersekat-sekat pada ayat keempat dan

beliau tidak dapat meneruskan hafazannya.

Berdasarkan ujian lisan yang dijalankan, pengkaji dapat membuat kesimpulan bahawa selain daripada

faktor ayat yang panjang, kalimah-kalimah ayat yang hampir sama juga merupakan salah satu sebab

mengapa Nabihah sukar untuk menghafaz surah al-Bayyinah. Nabihah sering tersalah sewaktu

menentukan dua kalimah awal bagi ayat keempat dan kelima. Beliau keliru dan tertukar susunan dua

ayat tersebut. Kesannya, Nabihah melakukan kesalahan dengan membaca ayat kelima sebelum ayat

keempat.

Rajah 2 : Ayat 4 dan 5 surah al-Bayyinah.

Page 6: 674-1310-1-SM

Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan, pengkaji mendapati Nabihah banyak termenung dan tidak

bersemangat untuk menghafaz sewaktu sesi PdP berlangsung. Dalam temu bual yang dilaksanakan,

Nabihah menjawab “Surah ni panjang ustazah, susah kite nak ingat”.

Selepas melaksanakan sesi intervensi 1, Nabihah dapat mencapai hasil pembelajaran yang ditetapkan

iaitu memahami apa maksud kaedah ‘CMR’ dan bagaimana cara memotong ayat-ayat surah al-

Bayyinah berbantukan slaid power point yang disediakan oleh pengkaji. Nabihah adalah seorang yang

pendiam sebelum sesi intervensi 1. Namun begitu, pengkaji memerhatikan Nabihah lebih ceria dan

fokus sewaktu sesi intervensi 1 dijalankan. Penggunaan slaid power point sebagai bahan bantu belajar

telah berjaya menarik minat dan fokus Nabihah untuk menghafaz surah al-Bayyinah. Nabihah lebih

suka menghafaz ayat-ayat al-Quran yang pendek. Hal ini dapat dilihat melalui riak wajahnya yang

begitu ceria apabila pengkaji mengajar bagaimana cara untuk memotong ayat-ayat surah al-Bayyinah.

Pada sesi Intervensi kali kedua, Nabihah berjaya menghafaz empat ayat pertama surah al-Bayyinah.

Pada permulaan sesi, pengkaji meminta peserta kajian untuk menghafaz secara berkumpulan iaitu lima

orang. Mereka kelihatan sangat seronok dan memberi tumpuan terhadap apa yang diarahkan oleh

pengkaji. Kemudian kesemua peserta kajian diminta menghafaz secara individu dan

memperdengarkan hafazan mereka di hadapan pengkaji. Selepas kaedah ‘CMR’ diperkenalkan,

Nabihah dapat menghafaz surah al-Bayyinah dengan mudah, cepat dan tepat.

Pada sesi intervensi 3, Nabihah telah mencapai hasil pembelajaran iaitu menghafaz keseluruhan ayat

surah al-Bayyinah berbantukan kaedah ‘CMR’. Dengan menggunakan kaedah ‘CMR’, pengkaji

mendapati Nabihah dapat menghafaz ayat-ayat surah al-Bayyinah dalam jangka masa yang singkat.

Walaupun Nabihah kelihatan kurang yakin pada peringkat permulaan, namun proses menghafaz

semakin cepat setelah beliau menghafaz berdasarkan ayat-ayat yang telah dipotong oleh pengkaji.

Nabihah kelihatan lebih yakin sewaktu memperdengarkan hafazan beliau setelah menggunakan

kaedah ‘CMR’ ini.

Hasil pembelajaran dalam sesi intervensi 4 adalah mengulang hafazan surah al-Bayyinah. Ia

merupakan langkah ketiga dalam kaedah ‘CMR’ iaitu mengulang (Repeat). Pada sesi ini pengkaji

memberi pengukuhan kepada peserta kajian dengan meminta mereka untuk mengulang dan

memperdengarkan hafazan surah al-Bayyinah sebanyak tiga kali di hadapan pengkaji. Pada sesi

terakhir ini, pengkaji mendapati Nabihah mampu menghafaz surah al-Bayyinah dengan baik. Selepas

mendapat tunjuk ajar, Nabihah dapat menyelesaikan latihan pengukuhan yang diberikan dengan

cemerlang. Pada akhir sesi intervensi 4, pengkaji dapat melihat perubahan positif Nabihah. Nabihah

telah menumpukan sepenuh perhatian sewaktu pembelajaran dan berkeyakinan memperdengarkan

hafazan beliau apabila diminta oleh pengkaji.

Secara keseluruhannya, pengkaji mendapati Nabihah menunjukkan perubahan sikap yang positif

setelah melalui empat sesi intervensi. Nabihah lebih bersemangat sewaktu mempelajari hafazan al-

Quran dalam bilik darjah. Jadual 1 dibawah menunjukkan perkembangan Nabihah dalam kemahiran

menghafaz sebelum dan selepas sesi intervensi. Jadual 2 di bawah pula menunjukkan statistik

perkembangan Nabihah dalam Ujian Pasca berbanding dengan Ujian Pra.

Jadual 1 : Perkembangan Nabihah Dalam Kemahiran Menghafaz Sebelum dan Selepas Intervensi.

Sebelum Intervensi Aspek Selepas Intervensi

- Malas.

- Tidak menumpukan.

perhatian dalam bilik

darjah.

Sikap

- Bersemangat.

- Menumpukan perhatian

dalam bilik darjah.

Page 7: 674-1310-1-SM

“Surah ni panjang ustazah,

susah kite nak ingat”

“Ayat dalam surah ni dah jadi

pendek-pendek. Mudah kite nak

ingat ustazah”

Ujian Lisan

- Hanya mampu menghafaz tiga

ayat daripada surah al-Bayyinah.

- Bacaan tersekat-sekat dan hafazan

tidak mantap.

- Kurang yakin bila mana pengkaji

meminta untuk memperdengarkan

ayat yang telah dihafaz.

Penguasaan

Ujian Lisan

- Mampu menghafaz

keseluruhan lapan ayat surah al-

Bayyinah.

- Bacaan lancar, tepat dan

mantap.

- Yakin bila mana pengkaji

meminta untuk

memperdengarkan ayat yang

telah dihafaz.

Jadual 2 : Statistik Perkembangan Nabihah dalam Ujian Pasca Berbanding Dengan Ujian Pra.

Secara keseluruhannya, kelima-lima peserta kajian yang telah dipilih menunjukkan penguasaan yang

positif dalam kemahiran menghafaz surah al-Bayyinah dengan menggunakan kaedah ‘CMR’.

Berdasarkan penelitian ke atas dokumen seperti skrip jawapan Ujian Pasca serta lembaran kerja yang

diberikan semasa sesi intervensi, kelima-lima peserta kajian berupaya untuk menghafaz kesemua ayat

surah al-Bayyinah dengan menggunakan kaedah ‘CMR’ dengan mudah dan lancar.

Selain itu, hasil temu bual ke atas kesemua peserta kajian, mereka mengatakan bahawa penggunaan

kaedah ‘CMR’ menyeronokkan dan mempercepatkan mereka untuk menghafaz surah al-Bayyinah.

Ujian

PK1

Nombor Soalan Jumlah Kekerapan Kesilapan Markah

(%)

1 2 3 4 5 6 7 8

Pra

Nabihah

X X X X X 5 38

Pos 0 100

Page 8: 674-1310-1-SM

Pemerhatian yang dijalankan ke atas kelima-lima peserta kajian dengan menggunakan senarai semak,

rata-ratanya peserta kajian menunjukkan perubahan tingkah laku yang semakin positif. Peserta kajian

menunjukkan kesungguhan dalam bilik darjah dan melibatkan diri secara aktif sewaktu sesi

pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

KESIMPULAN

Berdasarkan dapatan kajian yang telah dijalankan, dapatlah disimpulkan bahawa penggunaan kaedah

‘CMR’ (Cut, Memorise and Repeat) dapat meningkatkan penguasaan murid berpencapaian rendah

meningkatkan kemahiran menghafaz surah al-Bayyinah. Dapatan kajian ini menyokong objektif kajian

yang ditetapkan.

Kelemahan utama peserta kajian dalam menghafaz surah al-Bayyinah adalah disebabkan tidak tahu

bagaimana cara mudah untuk menghafaz ayat-ayat hafazan yang panjang. Peserta kajian tidak pernah

belajar kaedah untuk menghafaz al-Quran dengan mudah dan tepat. Peserta kajian turut menghadapi

masalah untuk menyambung sambungan ayat surah al-Bayyinah dengan betul. Hal ini kerana surah al-

Bayyinah mempunyai sambungan ayat yang lebih kurang sama kalimahnya sebagai contoh 4 kalimah

terakhir pada ayat 6 dan 7.

Inovasi yang diperkenalkan oleh pengkaji dikenali sebagai kaedah ‘CMR’ telah membantu peserta

kajian menghafaz surah al-Bayyinah dengan mudah, cepat dan tepat. Proses pengajaran dan

pembelajaran hafazan al-Quran menggunakan kaedah ‘CMR’ berjaya mewujudkan suasana

pembelajaran yang ceria dan menyeronokkan. Ini kerana, kaedah ‘CMR’ yang melibatkan tiga langkah

mudah menghafaz iaitu memotong ayat (Cut), menghafaz ayat demi ayat (Memorise), dan mengulang

hafazan surah al-Bayyinah dari ayat 1 hingga 8 (Repeat) berjaya menarik minat peserta kajian

melibatkan diri secara aktif sewaktu sesi intervensi. Penggunaan kaedah ‘CMR’ nyata mampu

meningkatkan penguasaan murid lemah dalam menghafaz surah al-Bayyinah dengan berbantukan

slaid power point yang disediakan oleh pengkaji.

Terdapat beberapa kelemahan dalam kajian yang dilakukan oleh pengkaji. Dalam kajian ini, pengkaji

melaksanakan kajian terhadap murid Tahun 5. Bagi meningkatkan penguasaan kemahiran menghafaz

ayat-ayat hafazan murid-murid di sekolah, pengkaji mencadangkan agar guru-guru memperkenalkan

kaedah ini sewaktu pengajaran hafazan al-Quran dari Tahun 1 lagi. Ini kerana, penguasaan kemahiran

menghafaz pada peringkat awal persekolahan sangat penting kerana apabila murid telah berjaya

menguasai kemahiran ini, akan mudah bagi mereka untuk menghafaz ayat-ayat hafazan yang terdapat

dalam silibus bagi tahun-tahun persekolahan yang berikutnya.

Dengan menjalankan kajian tindakan ini, pengkaji telah memperolehi banyak ilmu berharga

seterusnya dapat membantu pengkaji dalam meningkatkan tahap profesionalisme keguruan. Ilmu yang

diperolehi hasil penerokaan kajian-kajian terdahulu telah membantu pengkaji mendapat penemuan

kaedah-kaedah baru yang unik untuk digunakan sewaktu mengajar di sekolah nanti. Inovasi dalam

bentuk ICT dapat digunakan bagi memudahkan murid yang berpencapaian rendah memahami kaedah

yang sesuai untuk meningkatkan kemahiran menghafaz al-Quran.

Kajian tindakan ini akan menjadi perintis kepada pengkaji untuk menilai amalan pengkaji dalam

proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Pelaksanaan kajian ini dapat membaiki proses

PdP dan meningkatkan profesionalisme pengkaji pada masa akan datang.

Page 9: 674-1310-1-SM

RUJUKAN

Azrai Bin Baharuddin. (2011). Menghafaz Surah Al-Qari’ah Tahun 4 Naim Dengan Kaedah

Kolaborasi. Tesis Ijazah Sarjana Muda : Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’

Razali Ismail.

Fauzi Bin Sulehan. (2010). Penggunaan Kad Imbasan Dalam Meningkatkan Pengajaran

Hafazan Al-Quran Murid Tahun 5. Tesis Ijazah Sarjana Muda : Institut Pendidikan

Guru Kampus Dato’ Razali Ismail.

Nor Ain Binti Tukimon. (2010). Memantapkan Kemahiran Menghafaz Surah Al-Kafirun

Murid Tahun 2 Firdaus Menggunakan Kaedah Chunking. Tesis Ijazah Sarjana Muda :

Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail.

Prof. Madya Dr. Abd. Halim El-Muhammady. (1990). Al-Quran dan Pembelajarannya di

Malaysia. Jurnal Pendidikan Islam Jilid 3 Bil 3,1990: 1-12.

Wan Bakar Wan Dagang. (1990). Pengajaran dan Pendidikan Al-Quran Dalam Kurikulum

Baru Sekolah Rendah (KBSR). Jurnal Pendidikan Islam Jilid 3 Bil 3,1990: 21-31.