ABSTRAK - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/wp-content/uploads/2015/12/28-Mohd-Zamro-Muda.pdf ·...
Transcript of ABSTRAK - ukmsyariah.orgukmsyariah.org/wp-content/uploads/2015/12/28-Mohd-Zamro-Muda.pdf ·...
342
Signifikan Hibah Sebagai Instrumen Perancangan Harta Orang Islam Di Malaysia1
Mohd Zamro bin Muda & Noor Lizza binti Mohamed Said
Universiti Kebangsaan Malaysia
ABSTRAK
Hibah merupakan suatu bentuk atau instrumen perancangan harta semasa hidup yang
diberi perhatian oleh Islam. Namun demikian, selain dari hibah terdapat beberapa
instrumen lain dalam perancangan harta semasa hidup seperti wakaf, wasiat, sedekah,
hadiah dan sebagainya. Walau bagaimanapun, instrumen hibah mempunyai
signifikannya yang tersendiri sebagai instrumen perancangan harta semasa hidup berbeza
dengan instrumen-intrumen lain, lebih-lebih lagi dalam suasana kehidupan hari ini.
Justeru, kertas kerja ini bertujuan untuk mengkaji signifikan hibah sebagai salah satu
produk atau instrumen perancangan harta orang Islam di Malaysia. Kajian ini merupakan
kajian analisis kandungan yang menggunakan pendekatan kaedah analisis dokumen
dalam proses pengumpulan data. Data-data yang dikumpulkan dianalisis melalui
pendekatan deskriptif. Di samping itu pendekatan komparatif juga digunakan iaitu
membuat perbandingan di antara konsep hibah dan amalan perundangan di Malaysia.
Hasil kajian mendapati instrumen hibah amat signifikan untuk diamalkan oleh
masyarakat Islam dalam perancangan harta. Kajian ini memberi implikasi penting ke atas
agensi atau syarikat yang terlibat dengan urusan perancangan harta dalam menerangkan
kepada masyarakat Islam mengenai instrumen hibah yang bertepatan dengan prinsip
syarak.
Pengenalan
Merancang harta dalam Islam bukan sahaja terhad pada kaedah dan tatacara
menguruskan perbelanjaan individu atau keluarga bagi kepentingan hidup di dunia
sahaja, bahkan merangkumi bagaimana cara seseorang menguruskan harta dengan cara
membuat perancangan yang teratur untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Perancangan harta yang dilakukan semasa hidup pemiliknya secara tepat dan menepati
hukum syarak amat digalakkan oleh Islam. Dalam membuat perancangan harta, Islam
menyediakan pelbagai instrumen yang boleh digunakan seperti hibah, wasiat, sedekah,
wakaf, hadiah, nazar dan lain-lain. Justeru, pertimbangan yang sewajarkan perlu
diberikan perhatian kepada instrumen manakah yang paling sesuai berdasarkan kepada
situasi dan keperluan pihak-pihak yang terlibat. Sekiranya ruang dan peluang yang ada
semasa hayat pemilik harta tidak digunakan sepenuhnya dalam membuat perancangan
harta maka harta yang ditinggalkan itu akan menjadi harta pusaka dan hukum faraid akan
diguna pakai dalam pengagihan harta berkenaan kepada waris-waris.
1 Artikel ini adalah sebahagian daripada hasil penyelidikan Geran Galakan Penyelidik Muda GGPM-2015-
024
343
Hibah merupakan salah satu instrumen dalam perancangan harta semasa hayat dan ia
cukup signifikan untuk diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Justeru dalam kertas
kerja ini akan dibincangkan secara ringkas mengenai konsep hibah dalam Islam bagi
memberi gambaran awal berkaitan dengan instrumen hibah. Seterusnya, perbincangan
difokuskan kepada signifikan hibah sebagai salah satu instrumen perancangan harta umat
Islam terutamanya di Malaysia. Semoga kertas kerja ini memberi panduan kepada kita
semua dalam membuat perancangan harta dengan lebih terancang dan lebih memberi
manfaat kepada pihak-pihak yang terlibat, di samping ianya menepati hukum syarak.
Konsep Hibah Dalam Islam
i. Pengertian Hibah
Hibah dari segi bahasa bermaksud pemberian sama ada dalam bentuk ain atau selainnya.
Ia merangkumi hadiah dan sedekah. Ketiga-tiga istilah ini (hibah, hadiah dan sedekah)
mempunyai pengertian yang hampir sama. Perbezaannya dari aspek tujuan pemberian
itu, di mana sedekah ialah suatu pemberian yang bertujuan untuk mendapat pahala di
akhirat dan ia biasanya dari yang kaya kepada yang miskin. Manakala hadiah pula ialah
pemberian untuk memuliakan seseorang dan biasanya ia ada hubungkait dengan sesuatu
perkara (Mustafa al-Khin et al. 2003, 3: 102).
Dalam konteks yang lain, perbezaan di antara hibah dengan hadiah dan sedekah ialah
dari segi lafaz di mana hibah memerlukan kepada lafaz ijab dan qabul, sedangkan hadiah
dan sedekah tidak memerlukan lafaz ijab dan qabul (al-Jaziri 1998, 3: 330). Dengan ini
dapat dirumuskan bahawa setiap sedekah dan hadiah adalah hibah, tetapi bukan semua
hibah adalah sedekah dan hadiah.
Perbezaan antara ketiga-tiga bentuk pemberian ini (hibah, hadiah dan sedekah) telah
dijalaskan secara terperinci di dalam kes Harun bin Muda dan Lain-lain lwn. Mandak
binti Mamat dan Lain-lain [1999] XIII(I) JH 63, di mana Mahkamah Tinggi Syariah
Kuala Terengganu membuat rumusan seperti berikut:
(i) Pemberian kepada seseorang yang berhajat tanpa lafaz ijab dan qabul ianya
adalah sedekah.
(ii) Pemberian kepada seseorang yang berhajat disertai lafaz ijab dan qabul, maka
ianya adalah sedekah dan hibah.
(iii) Pemberian kepada seseorang kerana memuliakan orang itu tanpa lafaz ijab dan
qabul ianya adalah hadiah.
(iv) Pemberian kepada seseorang kerana memuliakan orang itu dengan adanya lafaz
ijab dan qabul maka ianya adalah hadiah dan hibah.
(v) Pemberian bukan kerana untuk mendapatkan pahala dan bukan pula kerana
memuliakan orang yang diberi itu dengan disertai lafaz ijab dan qabul, maka
pemberian itu hanyalah hibah semata-mata.
Hibah pada istilah syarak pula ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh
seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa
hidupnya tanpa balasan (ciwad) (Muhammad Rawwas Qalcah Ji 1985: 492; al-Sharqawi
1997, 3: 245). Secara lebih khusus lagi, hibah ialah suatu akad pemberian milik ain harta
344
daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan (ciwad) semasa hidup secara
sukarela, bukan mengharapkan pahala di akhirat dan memuliakan seseorang, dengan
menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya (al-Khudrawi 1966: 113; Mohd
Ridzuan Awang 2003: 91).
Berdasarkan definisi di atas, dapat disimpulkan ciri-ciri hibah adalah seperti berikut
(Mohd Ridzuan Awang 2003: 91):
• Suatu akad pemberian milik harta kepada sesuatu pihak.
• Harta yang boleh dihibah ialah cayn (korpus) harta, bukannya hutang atau
manfaat.
• Akad hibah dibuat tanpa mengenakan sebarang balasan (ciwad).
• Akad hibah berkuat kuasa semasa hidup pemberi hibah.
• Ia dibuat secara sukarela tanpa paksaan.
• Akad dibuat bukan bertujuan untuk mendapat pahala atau memuliakan seseorang
tertentu.
Dalam konteks perundangan di Malaysia, istilah ‘pemberian’, ‘alang’, ‘alang semasa
hidup’ dan ‘penyelesaian yang dibuat tanpa balasan’ adalah merujuk kepada hibah.
Contohnya, peruntukan Butiran 1, Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan
Persekutuan yang menyatakan bahawa:
“...termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan mewarisi harta
berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkhawinan, perceraian, mas
kahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak,
pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat...”.2
Manakala Seksyen 46(2)(b)(v) dan (vi), Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) memperuntukkan:3
Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua
tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam
dan yang berhubungan dengan-
(v) wasiat atau alang semasa marad-al-maut seseorang si mati
Islam;
(vi) alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa
balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh
seseorang Islam;
Penggunaan perkataan ‘alang’ sama ada semasa marad al-maut atau semasa hidup dan
“penyelesaian yang dibuat tanpa balasan” adalah merujuk kepada hibah atau pemberian.
Penggunaan perkataan yang sama dapat dilihat di negeri-negeri lain seperti Selangor,4
Melaka,5 Pulau Pinang,6 Johor,7 Perak,8 Kedah,9 Terengganu,10 Sabah11 dan Sarawak.12
2 Butiran 1, Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. 3 Seksyen 46(2)(b)(v) & (vi), Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1993 (Akta 505). 4 Seksyen 61(3)(b)(v) & (vi) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. 5 Seksyen 49(3)(b)(v) & (vi) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002. 6 Seksyen 61(3)(b)(v) & (vi) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004. 7 Seksyen 61(3)(b)(v) & (vi) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003. 8 Seksyen 50(3)(b)(v) & (vi) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004. 9 Seksyen 13(3)(b)(v) & (vi) Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Kedah) 2008. 10 Seksyen 11(3)(b)(v) & (vi) Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.
345
Sementara itu, Negeri Sembilan13 menggunakan perkataan ‘hibah’, Pahang14 dan Perlis15
menggunakan perkataan ‘pemberian’ dan Kelantan16 menggunakan perkataan ‘alang
hayat’.
Daripada peruntukan di atas, didapati pelaksanaan hibah bukan sahaja diperuntukkan di
dalam undang-undang di Malaysia semasa hidup pemberi hibah, malah hibah semasa
marad al-mawt juga ada diperuntukkan. Didapati bahawa peruntukan-peruntukan
mengenai hibah ketika marad al-mawt dikombinasikan dengan peruntukan wasiat kerana
hibah ketika marad al-mawt adalah tertakluk kepada dua jenis undang-undang hukum
sama ada undang-undang wasiat atau undang-undang hibah bergantung kepada situasi
pemberi hibah.
ii. Hukum dan Pensyariatan Hibah
Dari segi hukum, hibah adalah suatu amalan yang sunat dan digalakkan dalam Islam
terutama sekali kepada kaum keluarga terdekat. Amalan ini adalah berdasarkan kepada
al-Quran, al-Sunnah dan ijmak. Antara ayat al-Quran yang menggalakkan amalan hibah
ialah sebagaimana firman Allah S.W.T:
Maksudnya:
Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin
mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka
hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka
makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat,
lagi baik kesudahannya (Surah al-Nisa’ ayat 4).
11 Seksyen 11(3)(b)(v) & (vi) Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Sabah) 2004. 12 Seksyen 10(3)(b)(v) & (vi) Ordinan Mahkamah Syariah (Negeri Sarawak) 2001. 13 Seksyen 61(3)(b)(v) & (vi) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003. 14 Seksyen 47(2)(b)(v) & (vi) Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam (Pahang) 1991. 15 Seksyen 8(2)(vi) Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah (Negeri Perlis) 1991. 16 Seksyen 9(2)(vi) Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah (Kelantan) 1982.
346
Maksudnya:
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur
dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari
akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan
mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, kepada kaum
kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar
dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk
memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan
sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang
menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan
orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan
juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang
demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan
mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa
(Surah al-Baqarah ayat 177).
Di samping itu terdapat banyak hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang menggalakkan hibah,
antaranya sabda Rasulullah s.a.w:
يي صلى هللا عليه وسلم قال : ت هادوا تابوا (رواه البخاريي ) وعن أبي هري رة رضي هللا عنه عني النبي
Maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Saling memberi
hadiahlah kamu sekalian, agar kalian saling mencintai” (Hadis riwayat al-
Bukhari).
Sabda Rasulullah s.a.w lagi:
عليهي وسلم قال لو د أبي هري رة عن يي صلى الل عنه عن النبي ي الل عييت إيل ذيراع أو كراع لجبت رضي )رواه البخاريي( ولو أهديي إيل ذيراع أو كراع لقبيلت
Maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sekiranya aku
dijemput untuk dijamu dengan peha atau betis (tulang kering) kambing nescaya
aku akan memenuhi jemputan tersebut, dan sekiranya diberikan hadiah kepadaku
347
peha atau betis (tulang kering) kambing nescaya aku menerimanya” (Hadis
riwayat al-Bukhari).
iii. Rukun dan Syarat Hibah
Dalam Islam, sesuatu akad hibah tidak akan terbentuk melainkan setelah memenuhi
rukun dan syarat seperti berikut (al-Zuhayli 1989, 5: 7-17; Sayyid Sabiq 1998, 3: 276-
277; Mohd. Ridzuan Awang 2003: 92-93; Ahmad Hidayat Buang 2007: 331-338):
(i) Pemberi hibah (wahib) – hendaklah seorang yang berkeahlian seperti sempurna
akal, baligh dan rushd. Pemberi hibah mestilah tuan punya barang yang
dihibahkan. Oleh kerana pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya,
hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang disukainya
termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum
syarak.
(ii) Penerima hibah (al-mawhub lahu) – boleh terdiri daripada sesiapa sahaja asalkan
dia mempunyai keupayaan memiliki harta sama ada mukallaf atau bukan
mukallaf. Sekiranya penerima hibah bukan mukallaf seperti masih belum akil
baligh atau kurang upaya, hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang
amanah bagi pihaknya. Penerima hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan
dan berkuasa memegangnya. Dengan kata lain, penguasaan dan kawalan terhadap
harta mestilah diberikan kepada penerima hibah.
(iii) Barang atau harta yang dihibahkan (al-mawhub) – perlu memenuhi syarat-syarat
berikut:
Ia hendaklah barang atau harta yang halal.
Ia hendaklah sejenis barang atau harta mempunyai nilai di sisi syarak.
Barang atau harta itu milik pemberi hibah.
Ia boleh diserah milikkan.
Ia benar-benar wujud semasa dihibahkan. Contohnya, tidak sah hibah
barang yang belum ada seperti menghibahkan anak lembu yang masih
dalam kandungan atau hibah hasil padi tahun hadapan sedangkan masih
belum berbuah dan sebagainya.
Harta itu tidak bersambung dengan harta pemberi hibah yang tidak boleh
dipisahkan seperti pokok-pokok, tanaman dan bangunan yang tidak
termasuk tanah. Mengikut mazhab Maliki, Shafi’i dan Hanbali, hibah
terhadap harta yang berkongsi yang tidak boleh dibahagikan adalah sah
hukumnya. Dalam Islam, barang yang masih bercagar (seperti rumah) boleh
dihibahkan jika mendapat keizinan dari penggadai atau peminjam.
(iv) Sighah iaitu ijab dan qabul – lafaz atau perbuatan yang membawa makna
pemberian dan penerimaan hibah. Ia tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
Ada persambungan dan persamaan di antara ijab dan qabul.
Tidak dikenakan syarat-syarat tertentu.
Tidak disyaratkan dengan tempoh masa tertentu. Hibah yang disyaratkan
dengan tempoh tertentu seperti yang berlaku dalam al-cumra dan al-ruqba
adalah sah hukumnya tetapi syarat tersebut adalah terbatal.
348
Di antara contoh lafaz ijab secara terang (sarih) ialah seperti kata pemberi “Aku berikan
barang ini kepadamu” atau secara kinayah seperti kata pemberi “Aku telah menyerahkan
hakmilik kepadamu” atau “Aku jadikan barang ini untukmu”. Sementara contoh lafaz
qabul (penerimaan) pula ialah seperti “aku terima”, “aku redha” dan sebagainya.
Dalam undang-undang Islam, sesuatu hibah itu sudah sah dengan adanya ijab dan qabul
dengan perkataan atau apa-apa cara yang membawa erti memberi milik harta tanpa
balasan (ciwad). Mengikut mazhab Maliki dan Shafi’i, penerimaan (qabul) itu hendaklah
diambilkira dalam menentukan sah atau tidaknya sesuatu hibah. Sebaliknya, golongan
Hanafi menganggap bahawa ijab sahaja sudah memadai untuk menentukan sahnya
sesuatu hibah itu (al-Jaziri 1998, 3: 233; Sayyid Sabiq 1998, 3: 276; Mohd Ridzuan
Awang 1994: 368).
Dalam kes Harun bin Muda dan Lain-lain lwn. Mandak binti Mamat dan Lain-lain
1999] XIII(I) JH 63, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu berpendapat bahawa
berlakunya hibah walaupun qabul berlaku secara perbuatan iaitu selepas berlakunya ijab
harta itu telah dimajukan atau diusahakan atau dimanfaatkan oleh defendan. Keadaan ini
sama dengan pandangan sebahagian ulama yang mengatakan sah sesuatu hibah hanya
melalui perbuatan atau mucatah tanpa lafaz. Manakala dalam kes Muhammad bin Awang
dan Lain-lain lwn. Awang bin Deraman dan Lain-lain [2001] XIV(II) JH 165, Lembaga
Rayuan Syariah Kelantan berpendapat ketiadaan lafaz ijab dan qabul tidak membatalkan
sesuatu pemberian kerana ia boleh dianggap sebagai hadiah (Ahmad Hidayat Buang
2007: 332).
Sebaliknya, dalam kes Salmiah binti Che Mat lwn. Zakaria bin Hashim [2001] XIV JH
79, Mahkamah Rendah Syariah Bukit Mertajam Pulau Pinang berpendapat bahawa hibah
tidak sah walaupun qabul kepada ijab sudah berlaku secara perbuatan. Dalam
penghakiman kes ini, Mahkamah telah mengemukakan beberapa soalan. Isu pertama
yang dibangkitkan ialah apakah dalam kes ini telah terlaksana dengan sempurna rukun-
rukun hibah. Mahkamah mendapati bahawa rukun pemberi hibah, penerima hibah dan
barang yang dihibahkan telah mencukupi syarat-syarat yang telah dikehendaki oleh
hukum syarak. Namun demikian, bagi rukun sighah pula Mahkamah mendapati bahawa
ia belum terlaksana dan belum sempurna, yang berlaku hanyalah ijab daripada Che Mat
(pemberi hibah) sahaja dan tidak ada qabul daripada defendan sama ada secara lisan atau
tulisan. Dengan demikian, Mahkamah berpendapat hibah Che Mat kepada defendan
tidak sah oleh sebab rukun sighah belum terlaksana dan belum sempurna. Dalam kes ini,
jelas bahawa Mahkamah tidak mengiktiraf penggunaan dan pembangunan yang telah
diusahakan ke atas tanah tersebut oleh defendan dengan mendirikan sebuah rumah
sebagai qabul.
iv. Penerimaan Barang (al-Qabd) dalam Hibah
Istilah al-qabd (penerimaan barang) bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan
boleh melakukan tasarruf terhadap barang atau harta tersebut. Mengikut mazhab Hanbali
dan Maliki, penerimaan barang tidak disyaratkan dalam sesuatu hibah, malah memadai
dengan akad semata-mata. Ini bererti apabila berlaku kematian salah seorang atau salah
satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebelum penyerahan barang,
maka hibah itu tidak terbatal. Sebaliknya, mengikut Abu Hanifah dan Shafi’i,
349
penerimaan barang merupakan salah satu dari syarat sah hibah. Oleh itu, apabila berlaku
kematian salah satu dari dua pihak sebelum penyerahan barang, maka hibah itu terbatal
(Sayyid Sabiq 1998, 3: 278; al-Jaziri 1998, 3: 233-239; al-Zuhayli 1989, 5: 19-21).
Dalam mazhab Shafi’i, al-qabd merupakan syarat luzum, ertinya akad hibah tidak
sempurna dan tidak berkuat kuasa dengan ijab dan qabul semata-mata, kecuali selepas
al-qabd. Sekiranya al-qabd tidak berlaku maka akad hibah merupakan akad yang tidak
mengikat. Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah tersebut selama mana
harta berkenaan berada dalam pemilikannya (Mustafa al-Khin et al. 2003, 3: 112).
Bagi mempastikan akad hibah itu sempurna dan menjadi satu akad yang mengikat, al-
qabd tertakluk kepada syarat-syarat berikut (Mohd. Ridzuan Awang 2003: 94; Mustafa
al-Khin et al. 2003, 3: 113-114):
Mendapat kebenaran dan keizinan pemberi hibah secara sarih.
Harta yang dihibah tidak bercampur dengan harta lain.
Penerima hibah berkeahlian iaitu baligh dan berakal. Bagi kanak-kanak dan orang
gila (atau tidak berkeahlian) maka walinya atau pemegang amanah boleh
menerima harta hibah bagi pihaknya.
Cara penerimaan barang (al-qabd) adalah berbeza-beza mengikut jenis harta sama ada
harta tak alih atau harta alih. Bagi harta tak alih, al-qabd boleh berlaku dengan cara
mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan tasarruf terhadap harta tersebut
seperti menyerah kunci dan seumpamanya. Manakala bagi harta alih pula, al-qabd boleh
berlaku dengan cara mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta tersebut
dengan harta-harta lain (Mohd. Ridzuan Awang 2003: 94).
Penerimaan barang (al-qabd) juga boleh berlaku secara langsung atau tidak langsung.
Secara langsung ialah dengan memiliki secara terus kerana penerima hibah merupakan
seorang yang berkeahlian dalam menguruskan harta tersebut. Manakala secara tidak
langsung ialah menerusi kuasa ganti, di mana wali atau wakil boleh menerima hibah
tersebut bagi pihak penerima yang tidak berkeahlian seperti kanak-kanak, orang kurang
siuman dan sebagainya (al-Zuhayli 1989, 5: 24; Ismail Mohd @ Abu Hassan 2009: 107).
Namun begitu, kegagalan menyempurnakan qabd selepas sempurna lafaz ijab dan qabul
tidaklah menyebabkan hibah tersebut batal. Syarat qabd ialah bertujuan
menyempurnakan akad hibah. Oleh itu, pemberi hibah boleh menangguh atau
melewatkan penyerahan harta hibah kepada penerima hibah. Walau bagaimanapun,
syarat untuk menangguh atau melewatkan penyerahan harta hibah tidak boleh
bercanggah dengan hukum wasiat iaitu sehingga kematian pemberi hibah. Hibah yang
tidak disempurnakan sehingga kematian pemberi hibah adalah terbatal dan tidak boleh
dikuatkuasakan. Dalam hal ini, penerima hibah tidak boleh membuat tindakan
mahkamah menuntut supaya pemberi hibah menyerahkan harta yang dihibahkan itu. Ini
kerana penerima hibah boleh mengambil harta tersebut dengan keizinan pemberi hibah.
Namun begitu, jika hibah itu disertakan dengan syarat balasan, penerima hibah boleh
menuntut di mahkamah supaya harta hibah itu diserahkan kepadanya (Ahmad Hidayat
Buang 2007: 335).
Dalam kes Salmiah binti Che Mat lwn. Zakaria bin Hashim [2001] XIV JH 79, antara
alasan mengapa Mahkamah tidak mengesahkan hibah yang dibuat oleh Che Mat ialah
kerana penggunaan dan pembangunan yang diusahakan ke atas tanah tersebut dilakukan
350
sebelum keizinan diberi oleh pemberi hibah. Ini kerana menurut pendapat mazhab Shafi’i
dan Hanbali, syarat pengambilan barang atau harta yang dihibahkan adalah dengan
keizinan pemberi hibah.
v. Penarikan Balik Hibah atau Pembatalan Hibah
Apabila sempurna sesuatu akad hibah dengan memenuhi rukun dan syaratnya serta
berlaku penyerahan dan penerimaan barang (al-qabd), maka harta itu menjadi milik
penerima hibah sekalipun tanpa balasan (ciwad). Namun demikian, adakah hibah
berkenaan boleh ditarik balik selepas itu menjadi perselisihan di kalangan fuqaha’ seperti
berikut (al-Jaziri 1998, 3: 241-246; al-Zuhayli 1989, 5: 26-28):
(i) Menurut pendapat mazhab Hanafi, pemberi hibah boleh tetapi makruh menarik
balik hibah yang telah diberikan dan dia boleh memfasakhkan hibah tersebut
walaupun telah berlaku penyerahan (qabd), kecuali jika hibah itu dibuat dengan
balasan (ciwad).
(ii) Menurut pendapat mazhab Shafi’i, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab
Maliki penarikan balik hibah boleh berlaku dengan semata-mata ijab dan qabul.
Tetapi apabila disertakan dengan penyerahan dan penerimaan barang (al-qabd)
maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh
bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya
selama mana harta itu tidak ada kaitan dengan orang lain.
(iii) Menurut pendapat Imam Ahmad dan mazhab Zahiri, pemberi hibah tidak boleh
(haram) menarik balik hibah yang telah dibuat kecuali hibah bapa (termasuk juga
ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya.
Secara umumnya, para fuqaha’ bersetuju mengenai keharusan pembatalan hibah
sekiranya ia dilakukan secara redha meredhai antara pemberi dan penerima hibah atau
melalui keputusan hakim.
Sungguhpun Islam membenarkan penarikan balik hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk
juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya, tetapi ia terikat dengan
syarat bahawa harta tersebut masih lagi di dalam pemilikan anaknya (cucunya).
Sekiranya harta itu terkeluar dari kekuasaan dan pemilikan anaknya (cucunya) seperti
telah dijual, diwakaf atau dihibah kepada orang lain dan harta itu telah diterima oleh
penerima hibah (orang lain), maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik lagi
(Mustafa al-Khin et al. 2003, 3: 116).
Dalam kes Eshah bt Abdul Rahman lwn. Azuhar bin Ismail [1997] XI(II) JH 219,
Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu telah menolak permohonan plaintif untuk
menarik balik hibah iaitu sebidang tanah kepada defenden. Ini kerana semua rukun dan
syarat hibah telah dipenuhi dan menepati hukum syarak. Selain itu juga, hubungan antara
plaintif dan defenden hanyalah anak angkat, sedangkan hukum syarak membenarkan
hibah ditarik balik oleh ibu atau bapa sebenar dan tidak termasuk anak angkat.
Sementara dalam kes Eshah binti Abdullah dan Lima Yang Lain lwn. Che Aminah binti
Abdul Razak dan Dua Yang Lain [2004] XVIII(I) JH 47, isu yang timbul ialah adakah
qabul disyaratkan secara terang dan jelas selepas pemberian atau cukup dengan qarinah-
351
qarinah lain yang membuktikan adanya penerimaan. Dalam kes ini, pemberi hibah telah
meninggal dunia dan tidak ada penarikan balik hibah. Hibah tersebut juga telah
disaksikan oleh saksi-saksi, namun bangunan yang dipertikaikan sebagai harta hibah
masih menggunakan nama si mati. Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu telah
menerima rayuan yang dibuat oleh perayu-perayu berdasarkan kepada qarinah
penerimaan daripada penerima, di mana ketiga-tiga penerima hibah mengaku bahawa
mereka telah menerima hasil sewaan bangunan tersebut sejak si mati masih hidup. Apa
yang menarik dalam kes ini ialah pandangan Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu
iaitu:
“Diandaikan jika pemberian tersebut telah bertukar kepada nama penerima-
penerima, kemungkinan kes ini tidak lagi perlu dibawa kepada mahkamah,
kerana segala-galanya telah jelas dan tercatat dalam dokumen”.
vi. Takat atau Kadar Harta yang Boleh Dihibahkan
Islam tidak menetapkan kadar atau had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan. Ini
kerana harta yang hendak dihibahkan itu merupakan milik pemberi hibah, maka
terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang
ingin dihibahkan. Walaupun begitu, Islam menggalakkan hibah diberikan secara adil,
lebih-lebih lagi jika diberikan kepada anak-anak.
Jumhur ulama’ (Hanafi, Maliki dan Shafi’i) berpendapat bahawa sunat menyamakan
pemberian di antara anak-anak dan pemberian yang lebih kepada salah seorang daripada
mereka adalah makruh hukumnya, walaupun pemberian itu sah. Bagi Abu Yusuf,
melebihkan pemberian kepada sebahagian daripada anak-anak adalah diharuskan jika ibu
bapa tidak berniat menimbulkan bahaya kepada anak-anak yang lain. Sekiranya ibu bapa
berniat sedemikian, maka menjadi kewajipan mereka menyamakan pemberian tersebut.
Menurut mazhab Hanbali, keadilan dalam pemberian hibah kepada anak-anak
merupakan perkara yang wajib. Manakala menurut Imam Malik, tidak boleh memberi
hibah semua harta kepada sesetengah anaknya dan tidak kepada yang lain.
Menurut pendapat Hanafi, Shafi’i, Maliki dan Abu Yusuf, cara pemberian harta yang
adil kepada anak-anak semasa hayat ialah dengan cara menyamakan pemberian tersebut
tanpa membezakan di antara anak lelaki dan anak perempuan. Sebaliknya, golongan
Hanbali dan Muhammad bin Hassan al-Shaybani berpendapat bahawa keadilan yang
dikehendaki dalam pemberian adalah mengikut kadar mereka dalam pembahagian harta
pusaka, iaitu bahagian anak lelaki menyamai dua bahagian anak perempuan (al-Zuhayli
1989, 5: 34-36).
Dalam kes Muhammad bin Awang dan Lain-lain lwn. Awang bin Deraman dan Lain-
lain [2001] XIV(II) JH 165, Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan memutuskan bahawa
hibah kepada anak-anak adalah sah walaupun terdapat sebahagian daripada mereka tidak
mendapat hibah. Dalam kes ini, Panel Rayuan berpendapat bahawa hukum
menyamaratakan pemberian kepada anak-anak adalah sunat (digalakkan) sahaja dan
tidak menyebabkan hibah terbatal jika terdapat sebahagian anak-anak tidak mendapat
hibah.
Manakala dalam kes Harun bin Muda dan Lain-lain lwn. Mandak binti Mamat dan Lain-
lain [1999] XIII(I) JH 63 melibatkan kes pertikaian takat hibah yang dikemukakan oleh
352
plaintif ke atas sebidang tanah. Tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh plaintif adalah antara
lain, untuk mengesahkan bahawa tanah tersebut sebagai pemberian hibah si mati (Muda
bin Tahir) kepada mereka. Di samping itu, tuntutan juga dibuat supaya mahkamah
mensabitkan bahawa tanah itu menjadi milik sah plaintif-plaintif berdasarkan takat yang
telah disebutkan. Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu telah memutuskan bahawa
tuntutan plaintif-plaintif mengenai takat keluasan masing-masing yang dinyatakan di atas
tanah tersebut adalah benar dan berpuashati di atas kebenaran tuntutan itu lalu
memberikan keputusan bahawa telah sabit hibah si mati kepada plaintif-plaintif.
Signifikan Hibah Sebagai Instrumen Perancangan Harta Orang Islam Di Malaysia
Setelah dipaparkan secara ringkas mengenai konsep hibah sebagaimana perbincangan di
atas maka kita dapati bahawa hibah merupakan suatu bentuk atau instrumen perancangan
harta semasa hidup yang diberi perhatian oleh Islam. Namun demikian, perlu diingat
bahawa selain dari hibah terdapat beberapa instrumen lain dalam perancangan harta
semasa hidup seperti wakaf, wasiat, sedekah, hadiah dan sebagainya. Walau
bagaimanapun, instrumen hibah mempunyai keistimewaannya yang tersendiri sebagai
instrumen perancangan harta semasa hidup berbeza dengan instrumen-intrumen lain,
lebih-lebih lagi dalam suasana kehidupan hari ini. Antara kelebihan, kepentingan dan
kewajaran mengapa instrumen hibah dilihat sebagai satu instrumen yang perlu diberi
perhatian semasa membuat perancangan harta adalah seperti berikut:
(a) Pemberian harta secara hibah dianjurkan oleh Islam
Sebagaimana perbincangan yang dipaparkan sebelum ini didapati bahawa hibah
merupakan suatu yang dianjurkan oleh Islam sama ada anjuran itu melalui ayat-ayat al-
Quran atau hadis. Justeru pandangan sinis sebahagian masyarakat Islam bahawa
pemberian harta secara hibah bertujuan mengelakkan pembahagian harta secara faraid
adalah tidak tepat berdasarkan dalil-dalil yang telah dinyatakan. Ini kerana Islam telah
memberi peluang kepada pemilik harta semasa hidupnya melakukan apa-apa bentuk
perancangan harta selama mana tidak bercanggah dengan hukum syarak. Perlu diingat
bahawa pembahagian harta secara faraid hanya berlaku jika si mati ada meninggalkan
harta yang bakal diwarisi oleh waris-warisnya. Jika si mati tidak meninggalkan harta
disebabkan hartanya telah dilupuskan semasa hayatnya maka hukum hakam berkaitan
pusaka mempusakai tidak akan berlaku.
(b) Pemberian harta secara hibah boleh memupuk perasaan kasih sayang dan
mengeratkan hubungan silaturrahim
Jaminan bahawa pemberian harta secara hibah boleh memupuk kasih sayang antara
pemberi dan penerima telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana yang terdapat
dalam hadis yang dinyatakan sebelum ini. Justeru pemilik harta boleh memberikan
hartanya secara hibah kepada sesiapa sahaja terutamanya mereka yang dekat hubungan
dengan pemberi hibah seperti anak, isteri atau suami, ibu bapa, anak angkat dan lain-lain
bagi menzahirkan lagi kasih sayang antara mereka. Apa yang penting, kezahiran kasih
sayang ini dapat dipupuk samasa pemberi dan penerima hibah masih hidup lagi tidak
sebagaimana wasiat.
(c) Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja
Hibah berbeza dengan pembahagian harta secara faraid kerana yang layak mendapat
harta pusaka adalah waris-waris si mati sahaja. Begitu juga hibah berbeza dengan wasiat
353
kerana wasiat hanya boleh dibuat kepada bukan waris sahaja. Namun hibah boleh
diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh pemberi hibah sama ada ia
merupakan waris atau bukan waris. Selain itu hibah juga boleh diberikan kepada non
Muslim bagi tujuan mengeratkan hubungan silaturrahim dan bukan untuk tujuan maksiat.
(d) Kadar harta yang dihibahkan tiada had
Kadar harta yang hendak dihibahkan kepada penerima hibah tiada had atau terpulang
kepada pemberi hibah bergantung kepada kemampuan dan kehendaknya. Hal ini tidak
sama dengan wasiat, di mana harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi kadar 1/3
harta pusaka. Manakala pembahagian harta mengikut faraid pula adalah berdasarkan
ketentuan dan ketetapan yang telah ditetapkan oleh hukum syarak. Justeru, kita dapati
bahawa hibah memberi kebebasan kepada pemilik harta untuk menentukan kadar atau
bahagian harta yang hendak dihibahkan dengan memberi pertimbangan kepada
keperluan hidup dan kehendak semasa penerima hibah.
(e) Pemanfaatan harta boleh dilakukan secara terus dan semaksimum mungkin
Islam membenarkan umatnya memiliki harta kekayaan bagi tujuan memakmurkan bumi
Allah dengan cara yang terbaik sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Namun
demikian, manfaat sesuatu harta yang dimiliki tidak boleh digunakan semaksimum
mungkin apabila harta itu hanya dikumpulkan dan tidak dimanfaatkan secara total
disebabkan faktor usia, kesibukan dan penyakit. Justeru, instrumen hibah boleh
menangani masalah ini dengan baik di mana harta yang dihibahkan boleh terus
dimanfaatkan oleh penerima hibah ketika pemberi hibah masih hidup. Jika pemilik harta
membuat wasiat atau hanya menunggu hartanya difaraidkan selepas kematian maka
pemanfaatan harta secara terus belum tentu dapat dilakukan atas beberapa faktor seperti
karenah pentadbiran (birokrasi) dalam pembahagian harta pusaka, pertelingkahan di
kalangan waris, kesahan wasiat dan sebagainya yang akhirnya menyebabkan sesuatu
harta itu terbiar.
(f) Pemberian harta secara hibah mengikut kesesuaian status penerima hibah
Walaupun hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki olen pemberi
hibah, namun jika dilihat dari sudut perancangan harta secara terancang maka wajar
mengambil kira status penerima hibah dari segi ekonomi atau sosial. Dengan ini,
pemberi hibah berhak menentukan sendiri kepada siapa hartanya hendak dihibahkan dan
berapa kadar yang sesuai untuk dihibahkan dengan mengambil kira status ekonomi dan
keperluan semasa penerima hibah. Di samping itu, faktor tanggungjawab, peranan dan
sumbangan juga boleh diberi pertimbangan dalam menentukan penerima hibah dan kadar
atau bahagian harta yang hendak dihibahkan.
Merujuk kepada fakta kes Muhammad Awang & yang lain lwn Awang Deraman & yang
lain [2004] CLJ (Sya) 139, si mati, iaitu responden pertama semasa hayatnya telah
menghibahkan dua bidang tanah miliknya kepada responden kedua dan ketiga, iaitu
anak-anaknya. Selepas kematian responden, perayu-perayu, yang merupakan anak-anak
si mati yang lain telah mempertikaikan kesahan hibah tersebut atas alasan antaranya
pembahagian tersebut tidak adil kerana dibuat secara tidak sama rata. Mahkamah Rayuan
memutuskan bahawa pemberian tersebut walaupun kelihatan tidak adil tetapi merupakan
sesuatu yang sah hukumnya. Hakim Daud Muhammad dalam menyampaikan
penghakiman mahkamah berkata (Rusnadewi Abdul Rashid & Nor Hisyam Ahmad
2013: 100):
354
“Pada zahirnya, hibah yang dilakukan oleh gemulah (si mati) menempatkan
sesuatu tindakan yang kurang adil kerana mengetepikan kepentingan sebahagian
anaknya. Tetapi pada hakikatnya mungkin ada sebab-sebab yang munasabah,
gemulah (si mati) dan Allah sahaja yang lebih mengetahui”.
(g) Harta yang dihibahkan oleh ibu bapa (termasuk datuk dan nenek) kepada
anak-anak boleh ditarik balik atau dibatalkan
Sesuatu pemberian harta secara hibah secara umumnya tidak boleh ditarik balik atau
dibatalkan setelah ia memenuhi kesemua rukun dan syarat hibah sebagaimana sabda
Rasulullah s.a.w:
بتيهي في العائيد )عليه متفق( ق يئيهي في ي عود ث يقيئ كالكلبي هيMaksudnya:
“Orang yang menarik kembali hibahnya adalah sama seperti seekor anjing yang
muntah kemudian ia menjilat kembali muntahnya” (Hadis riwayat al-Bukhari dan
Muslim).
Namun demikian, pemberian harta secara hibah oleh ibu bapa kepada anak-anak atau
datuk dan nenek kepada cucu-cucu boleh ditarik balik sebagaimana sabda Rasulullah
s.a.w:
بة ي هب أو عطيية ي عطيى أن مسليم ليرجل الييل ع هي ليولديهي ي عطيى فييما الواليدي إيال هافيي ف ي رجي
Maksudnya:
“Tidak halal seseorang lelaki muslim yang memberi sesuatu pemberian atau
hibah maka ditarik kembali pemberian atau hibah tersebut kecuali pemberian atau
hibah seorang bapa kepada anaknya” (Hadis riwayat Abu Dawud).
Dari hadis ini, ulama’ memperluaskan maksud bapa di mana sebarang hibah atau
pemberian usul kepada furuc boleh ditarik balik. Usul termasuk ibu, bapa, datuk dan
nenek ke atas, sementara furuc termasuk anak dan cucu ke bawah. Kebenaran penarikan
balik hibah yang dibuat oleh usul kepada furuc merupakan suatu keistimewaan yang
diberikan oleh Islam. Ini kerana ibu bapa lebih memahami situasi dan perkembangan
anak-anak mereka.
(h) Pemberian harta secara hibah boleh dilakukan tanpa pindah milik harta
dalam dokumen hakmilik (geran)
Sesuatu hibah dianggap sah jika telah memenuhi rukun dan syaratnya. Justeru perlu
dibezakan antara al-qabd dan pindah milik harta atau pertukaran nama pada dokumen
hakmilik (geran). Ada sesetengah pihak beranggapan bahawa sesuatu pemberian harta
secara hibah tidak sah jika pertukaran nama pada dokumen hakmilik tidak dilakukan.
Keadaan ini disebabkan mereka tidak dapat membezakan antara al-qabd dan pindah
milik harta atau pertukaran nama pada dokumen hakmilik (geran). Al-Qabd ialah
penyerahan harta hibah daripada pemberi hibah kepada penerima hibah. Dengan
berlakunya al-qabd, maka penerima hibah boleh menguasai dan menguruskan harta
berkenaan setelah diizinkan oleh pemberi hibah. Oleh yang demikian, pindah milik harta
atau pertukaran nama pada dokumen hakmilik (geran) adalah pilihan kepada pemberi
hibah dan bukannya syarat untuk mengesahkan sesuatu hibah.
355
Dalam situasi sekarang di mana keperluan harta semakin mendesak dan kepercayaan
semakin terhakis, maka adalah wajar sesuatu pemberian harta secara hibah tidak disusuli
dengan pertukaran nama pada dokumen hakmilik (geran). Pertukaran nama atau pindah
milik boleh dilakukan selepas kematian pemberi hibah semasa pembahagian harta
pusaka dilakukan. Walau bagaimanapun dokumen hibah perlu dibuat secara jelas atau
bertulis supaya tidak berlaku sebarang pertikaian selepas kematian pemberi hibah.
Selain itu, penyediaan dokumen hibah lebih menjimatkan kos berbanding dengan
pertukaran nama atau pindah milik harta yang dibuat semasa pemberi hibah masih hidup.
Ini kerana kos pindah milik harta yang dibuat semasa hidup lebih tinggi berbanding
dengan kos turun milik (pembahagian harta selepas kematian). Di samping itu, proses
penarikan balik hibah yang dibuat oleh ibu bapa kepada anak-anak adalah lebih mudah
jika namanya masih kekal pada dokumen hakmilik. Jika pindah milik harta atau
pertukaran nama telah berlaku maka penarikan balik hibah perlu melalui Mahkamah
Syariah bagi tujuan mendapatkan perintah penarikan balik hibah supaya pihak
pentadbiran seperti pejabat tanah menukar kembali nama pada dokumen hakmilik
berkenaan. Keadaan lebih menyukarkan terutamanya apabila harta telah dilupuskan oleh
penerima hibah seperti penerima hibah telah memberi atau menjual harta berkenaan
kepada pihak lain. Di samping itu, proses mahkamah juga mengambil masa dan orang
awam biasanya kurang memahami prosedurnya.
(i) Kepelbagaian produk hibah yang tidak terkeluar dari kehendak syarak
Hibah mempunyai pelbagai produk (jenis), antaranya adalah hibah mutlak, hibah cumra,
hibah ruqba, hibah bersyarat, hibah dengan syarat balasan dan hibah amanah. Selain dari
hibah mutlak, produk-produk hibah yang lain berlaku perselisihan pandangan di
kalangan fuqaha’ sunni. Namun ia masih tidak terkeluar dari kehendak syarak walaupun
sebahagian dari produk berkenaan tidak diterima oleh mazhab Shafi’i. Justeru, keadaan
ini memberi ruang pilihan secara lebih terbuka kepada pemilik harta bagi merancang
harta mereka dengan menggunakan mana-mana produk hibah yang paling sesuai dengan
situasi dan keadaan mereka. Walau bagaimanapun, bagi mengelakkan salah faham di
kalangan umat Islam, maka adalah wajar pihak-pihak yang berautoriti menetapkan atau
memutuskan sama ada sesuatu produk berkenaan boleh diamalkan atau tidak di Malaysia
sekiranya ia bersalahan dengan pegangan mazhab Shafi’i. Pihak-pihak yang berautoriti
perlu memberi pertimbangan yang sewajarnya dalam membuat penetapan berkenaan
dengan mengambilkira suasana yang berlaku di Malaysia dan kehendak umat Islam.
Kesimpulan
Instrumen hibah merupakan instrumen penting dalam perancangan harta umat Islam. Ia
mempunyai kedudukan yang tersendiri di dalam Islam dari segi hukum dan cara
pelaksanaannya. Sekiranya instrumen ini diuruskan dengan teratur dan menepati
kehendak syarak, maka nasib kaum kerabat terdekat yang memerlukan bantuan akan
terbela. Begitu juga, instrumen ini boleh digunakan ke atas anak angkat, anak susuan,
bapa angkat, ibu angkat dan sebagainya yang mempunyai hubungan kasih sayang yang
rapat tapi tidak berhak mendapat harta pusaka.
Ketidakfahaman masyarakat mengenai instrumen hibah ini sering kali timbul
terutamanya apabila berlaku kematian pihak pemberi hibah. Pertikaian ini berlanjutan
sehingga menyukarkan penyelesaian harta pusaka dibuat. Justeru, hibah yang dibuat
semasa hidup perlu dilakukan secara jelas dan menepati hukum syarak. Keperluan
356
kepada dokumen hibah secara bertulis yang jelas menyatakan tentang kewujudan hibah
amat perlu pada zaman sekarang bagi mengelakkan sebarang pertikaian dan proses
pembuktian menjadi lebih mudah.
Rujukan
Al- Quran al-Karim.
Ahmad Hidayat Buang. 2007. Prinsip dan pelaksanaan hibah. Dlm. Ahmad Hidayat
Buang (pnyt.). Undang-undang Islam di Malaysia: prinsip dan amalan, hlm.
329-350. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Ismail Mohd @ Abu Hassan. 2009. Instrumen hibah: isu-isu dan cabaran. Dlm. Akmal
Hidayah Halim, Badruddin Hj Ibrahim & Farid Sufian Shuaib (pnyt.). Undang-
undang harta & amanah, hlm. 100 - 110. Gombak, Selangor: Jabatan Undang-
Undang Islam, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim & Pusat Undang-
Undang Harun M. Hashim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
al-Jaziri, cAbd al-Rahman. 1998. al-Fiqh cala al-madhahib al-arbacah. Juz. 3. Cet. ke-2.
Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-cArabi li al-Tibacah wa al-Tawzic.
al-Khudrawi, Muhammad. 1966. al-Maqasid fi al-fiqh cala madhhab al-Imam al-Shafici.
t.tp.: Sharikah al-Tibacah al-Fanniyyah al-Muttahidah.
Mohd Ridzuan Awang. 1994. Undang-undang tanah Islam: pendekatan perbandingan.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Ridzuan Awang. 2003. Pelaksanaan harta hibah. Dlm. Mohamad Zaini Yahaya,
Abdul Basir Mohamad & Mohd. Nasran Mohamad (pnyt.). Isu Syariah dan
Undang-undang. Siri 12, hlm. 89-105. Bangi: Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian
Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Muhammad Rawwas Qalcah Ji. 1985. Mucjam lughah al-fuqaha’. Beirut: Dar al-Nafa’is.
Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha & Ali al-Sharbaji. 2003. al-Fiqh al-manhaji cala
madhhab al-Imam al-Shafici. Jil. 3. Cet. ke-5. Damshiq: Dar al-Qalam.
Rusnadewi Abdul Rashid & Nor Hisyam Ahmad. 2013. Pengurusan harta melalui hibah:
kepentingan dan manfaat dari pelbagai aspek untuk kemajuan ummah. Jurnal
Hadhari 5(1): 91-104.
Sayyid Sabiq, 1998. Fiqh al-sunnah. Juz. 3. Cet. ke-2. Beirut: Dar al-Fikr li al-Tabacah
wa al-Nashr wa al-Tawzic.
al-Sharqawi, cAbd Allah ibn Hijazi ibn Ibrahim al-Azhari. 1997. Hashiyah al-Sharqawi.
Jil. 3. Beirut: Dar al-Kutub al-CIlmiyyah.
al-Zuhayli, Wahbah. 1989. al-Fiqh al-islami wa adillatuh. Jil. 5. Cet. ke-3. Damshiq:
Dar al-Fikr.