Adat Istiadat Mib Pg Dr Hidop
-
Upload
beat-emilia -
Category
Documents
-
view
291 -
download
5
description
Transcript of Adat Istiadat Mib Pg Dr Hidop
1
ADAT ISTIADAT KEBRUNEIAN SELARAS DENGAN ZAMAN
PENDAHULUAN
Keunggulan sesuatu bangsa adalah dilihat melalui kesempurnaan akhlak dan peribadi individu
yang menjadi ahli mesyarakatnya. Bangsa yang dimaksudkan berhasil membangun negara
kerana wujudnya keamanan dan ketenteraman membolehkan setiap tenaga dan sumber yang
ada difokus sepenuhnya kearah usaha melaksanakan rancangan kemajuan. Bagaimanakah
wujudnya suasana yang dimaksudkan? Tidak lain adalah kerana ketaatan setiap individu
mengamalkan budaya dan adat luhur yang dimiliki oleh bangsa berkenaan. Hal inilah juga yang
berlaku di Negara ini. Ketaatan mesyarakat bangsa Melayu Brunei di dalam menghormati dan
mengekalkan identiti adat telah menjadikan Negara ini maju kehadapan sekalipun digugat oleh
berbagai cabaran di dalam arus kemajuan.
PENGERTIAN ADAT ISTIADAT
Adat adalah amalan yang bermula daripada kelakuan biasa yang dirasakan sesuai, mudah dan
menyenangkan lalu menjadi perbuatan yang digemari. Kegemaran tersebut dilakukan berulang-
ulang dan akhirnya diterima sebagai amalan yang menjadi indentiti sesuatu golongan,
kumpulan, puak dan bangsa. Sebagai identiti maka akhirnya dijadikan pula adat oleh puak dan
bangsa berkenaan.
Manusia suka kepada keindahan dan keunikan. Kesukaan kepada kedua-dua hal
tersebut selanjutnya mendorong mereka terus mengindahkan adat yang mereka miliki dan
seterusnya berusaha menjadikannya ternampak lebih unik. Ini termasuklah untuk
melangkapinya dengan material budaya yang dipilih khas yang kemudian disebut sebagai Alat-
Alat Perhiasan. Keindahan peralatan ditambah dengan susunan acara menjadikan adat itu
nampak halus, indah serta kemas sehingga disebut majlis dan istiadat. Jadi Adat Istiadat bererti
2
Perlaksanaan sesuatu keraian yang indah, elok lengkap dan sempurna, menjadi kemegahan dan
senang mata memandang.
ADAT ISTIADAT KEBRUNEIAN
Di Negara ini, sungguhpun terdapat banyak adat yang diamalkan oleh puak rakyat jati Negara
ini seperti Melayu Brunei, Melayu Kedayan, Melayu Belait, Melayu Tutong, Melayu Bisaya,
Melayu Murut dan Melayu Dusun, namun adat istiadat yang unggul dan dominan adalah Adat
Istiadat Melayu Brunei. Adat Istiadat ini adalah teras kepada adat istiadat puak-puak yang ada
di Negara ini. Tatacara perlaksanaan Adat Istiadat Melayu Brunei inilah yang dipanggil sebagai
Adat Istiadat Kebruneian. Di dalam Adat Istiadat Kebruneian ini terdapat Adat Istiadat Diraja
yang perlaksanaannya lebih halus, lengkap, rapi dan sempurna. Jadi Adat Istiadat Kebruneian
itu adalah adat yang dipakai oleh pihak diraja dan puak Melayu Brunei semasa menjalankan
majlis-majlis kesyukuran seperti perkahwinan, pindah rumah, balik haji, berkhatan, mandi
berlawat, doa selamat dan sebagainya atau semasa menghadapi kedukaan.
Corak dan bentuk adat istiadat yang dijalankan oleh pihak Diraja dan puak Melayu
Brunei adalah sama kerana Kerabat Diraja itu adalah sebahagian daripada puak Melayu Brunei.
Bagaimanapun di dalam melaksanakan adat istiadat tersebut, pihak Diraja lebih mengutamanan
keaslian dan kesempurnaan daripada orang Kebanyakan Melayu Brunei. Adat istiadat yang
dijalankan oleh Sultan dan Putera-Puteri baginda seperti Istiadat-istiadat Perkahwinan,
Berkhatan dan sebagainya pada kelazimannya akan dimulai dengan Istiadat Membuka Gendang
Jaga-Jaga dan akan diakhiri dengan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup
Gendang Jaga-Jaga. Waktu diantara Gendang Jaga-Jaga itu dibuka sehingga Gendang Jaga-Jaga
ditutup adalah dikenali sebagai Musim Beristiadat. Selain daripada itu, di dalam Adat Istiadat
Kebruneian terdapat pula adat yang khusus dan hanya dimiliki dan dijalankan oleh raja yang
memerinah Negara ini. Adat Istiadat tersebut adalah seperti Adat Istiadat Berpuspa, Adat
Istiadat Pemasyhuran, Adat Istiadat Bergelar dan Adat Istiadat Kemangkatan.
3
Adat Istiadat Berpuspa adalah dikhususkan kepada pengganti raja yang telah ditabalkan.
Adat Istiadat ini diadakan sekurang-kurangnya enam (6) bulan setelah Istiadat Pertabalan.
Ianya juga dikenali sebagai Istiadat Memahkotakan kerana kemuncak bagi Istiadat Berpuspa
adalah istiadat Memakaikan Mahkota dan menyusupkan Keris Si Naga. Sempurnanya istiadat
tersebut baharulah sultan yang dipuspakan dipanggil Sultan dan Yang Di-Pertuan.
Adat Istiadat Pemasyhuran adalah khusus kepada Putera Sultan yang ditimang-timang
untuk menjadi pengganti sultan. Kemuncak istiadat adalah pemasyhuran putera sultan yang
dimaksudkan menjadi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota. Menurut
bahasa, Muda Mahkota itu adalah bermaksud orang yang bakal diMakkotakan.
Adat Istiadat Bergelar adalah tatacara menggelar orang-orang yang telah dititahkan atau
diperkenankan oleh sultan untuk menjadi pembesar Diraja. Gelaran bagi pembesar diraja itu
terbahagi kepada empat (4) iaitu Wazir, Cheteria, Pehin-Pehin Manteri Berchiri dan Manteri-
Manteri Bertauliah. Gelaran Wazir dan Cheteria adalah dikhususkan untuk Putera Sultan dan
Keturunan Raja, manakala Manteri Berchiri dan Manteri Bertauliah adalah dikhususkan kepada
Awang-Awang dan Orang Kebanyakan.
CIRI-CIRI ADAT ISTIADAT KEBRUNEIAN
Ciri-ciri pembeza yang melainkan Adat Istiadat Kebruneian dari adat bangsa-bangsa lain di
dunia ini dan sekaligus menjadi identitinya adalah seperti berikut:-
1. Asli Turun Temurun
Maksudnya apa jua yang berhubungkait dengan Adat Istiadat Keberuneian adalah
menurut sepertimana yang pernah ditampilkan dan dilakukan oleh nenek moyang Puak
Melayu Brunei. Hal ini termasuklah tatacara perlaksanaanya seperti pelaku-pelakunya
(orang yang berperanan), penyusunan acara (yang dahulu dikehadapankan dan yang
4
kemudian dikebelakangkan) serta pakaian atau perkakas (material budaya) yang
digunakan.
2. Bersendikan Syara
Sentiasa disesuaikan dengan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh ajaran Islam.
Adat Istiadat Keberunaian sentiasa diteliti dan diperhatikan dari masa ke masa bagi
mempastikan tidak ada perkara yang bertentangan dengan hukum syara. Mana-mana
perkara yang didapati menyalahi ajaran ugama akan segara diketapikan. Maknanya adat
itu bersedia mengalah kepada hukum syara. Sebagai misalnya, sebelumnya semasa
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan duduk bersemayam di atas
patarana di Lapau atau di atas Singgahsana di Istana sepasang Kucing Emas1 akan
diletakkan di kiri kanan berdekatan kaki Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Akan tetapi
setelah diketahui ianya bertentangan dengan hukum syara maka Kuching Emas itu tidak
lagi diletakkan di Patarana dan di Singgahsana.
Demikian juga dikalangan mesyarakat umum (orang ramai). Pada dahulunya
iaitu sebelum tahun tujuh puluhan (70an), mesyarakat yang tinggal di Kampong Ayer
sering melakukan amalan Membayar Niat2 sebagai menyatakan rasa syukur apabila
salah seorang ahli keluarga mereka sembuh dari sakit. Setelah perkara itu diketahui
bertentangan dengan ajaran Islam mesyarakat kampong ayer telah dengan sukarela
meninggalkannya.
1 Kucing Emas adalah hadiah berbentuk kucing diperbuat daripada emas daripada Maharaja China kepada sultan Brunei dalam kurun ke 15 Masehi. Hadiah itu kemudian dijadikan salah satu Alat Kebesaran Diraja sebagai lambangan perhubungan Negara ini dengan Negara China yang terkenal sebagai sebuah Negara yang besar dan maju pada ketika itu. 2 Kerja membayar niat lazimnya dilakukan menjelang waktu maghrib dengan menyediakan sekeping papan ½ atau ¾ inchi tebal, 2 ½ atau 3 kaki panjang dan 6 inchi lebar. Dian yang bilangannya mengikut angka ganjil seperti 13, 15 atau 17 di letakkan dan dinyalakan di keliling papan terebut. Di tengah-tengah diletakkan wang shilling sebanyak $2 hingga $3 dengan dikelilingi benang putih agar wang itu tidak jatuh. Papan tersebut dihanyutkan sejurus sebelum masuk waktu maghrib.
5
Dalam menjalankan majlis, masanya sering disandarkan kepada waktu-waktu
sembahyang, misalnya selepas waktu zohor, selepas waktu Asar, selepas waktu maghrib
dan selepas waktu isya. Untuk mendirikan tiang rumah baru yang hendak dibangunkan
pada kebiasaanya dijalankan selepas waktu subuh. Pemilihan waktu-waktu tersebut
adalah bagi mengelak pertembungan dengan waktu-waktu sembahyang. Selain daripada
itu apa jua majlis yang dijalankan akan mengandungi bacaan doa selamat bagi
memohon keberkatan, memohon hajat dan memohon kesempurnaan majlis.
3. Menurut Kemampuan
Setiap majlis di dalam adat istiadat kebruneian adalah diserikan dengan kehadiran sanak
saudara dan sahabat handai untuk sama-sama meraikanya. Demikian juga bagi majlis
perkahwinan yang dimulai dengan berurung-urung, yang diikuti dengan menghantar
tanda, menghantar mas kahwin, akad nikah, berbedak, berinai dan seterusnya naik
kahwin (bersanding). Kelamaan berurung-urung adalah tertakluk kepada kemampuan
kerana sudah menjadi adat Melayu Brunei setiap orang yang hadir akan dijamu
seadanya oleh tuan rumah. Begitu juga majlis menghantar tanda yang pada adatnya
dijalankan secara berasingan dengan majlis menghantar mas kahwin. Bagi yang kurang
mampu kedua-dua majlis itu sering disatukan (dijalankan secara serentak) dengan
tujuan untuk menjimatkan perbelanjaan.
Bagi majlis-majlis yang dijalankan oleh keluarga diraja, waktu berurung-urung itu
dikenali sebagai musim berjaga-jaga (bermula dari istiadat membuka gendang jaga-jaga
hinggalah kepada istiadat membaca doa selamat dan menutup gendang jaga-jaga).
Kalau dulu musim beristiadat itu diadakan selama empat puluh (40) hari dan empat
puluh (40) malam, tetapi sekarang hanya selama dua minggu. Ini sesuai dengan masa
sekarang dimana orang-orang yang dijemput selaku tetamu diraja adalah semakin
bertambah bilangannya. Selain itu kebanyakan daripada mereka juga menduduki
6
jawatan-jawatan penting di dalam kerajaan, yang memerlukan penelitian di luar waktu
berkerja.
4. Mengikut Peredaran Zaman Dengan Mengekalkan Keasliannya
Adat Istiadat Kebruneian adalah adat yang tidak beku atau statik akan tetapi bersedia
untuk disesuaikan dengan peredaran zaman tetapi ketulinan dan keasliannya tetap
terjaga. Sebagai misal adalah Usungan yang digunakan sebagai kenaikan Sultan semasa
Istiadat Berpuspa. Dahulunya Usungan tersebut adalah diusung (diangkat di atas bahu)
oleh Empat Puluh (40) orang pengusung dari Istana menuju ke Lapau dan selesai Istiadat
Berpuspa diarak semula menuju Istana. Cara itu wajar kerana pada masa dahulu jarak
diantara Lapau dan Istana adalah tidak berjauhan. Contohnya semasa Perpuspaan Al-
Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan
Muhamad Jamalul Alam (ayahnda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah), istana yang menjadi
persemayaman baginda pada ketika itu adalah Istana Darussalam yang terletak di
Kampong sumbiling, manakala Lapau adalah terletak di kawasan bangunan Pusat
Sejarah pada masa ini. Pada zaman Perpuspaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka
Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah jarak diantara Lapau
yang terletak di Jalan Sultan pada ketika ini dan Istana Darul Hana, tempat
persemayaman sultan pada ketika itu adalah berjauhan dan adalah sangat
membebankan jika Usungan tersebut diangkat di atas bahu. Jadi bagi membolehkan
Usungan terus digunakan sebagai mengekalkan keaslian Istiadat Berpuspa, Usungan
yang masih dalam bentuknya yang asli dan dikendalikan oleh empat puluh (40) orang
pengusung telah diubahsuai dengan dipasangkan empat biji roda (dua dihadapan dan
dua dibelakang) dan ditarik oleh 40 orang yang dahulunya bertuagas selaku pengusung.
7
Dalam Istiadat Perkahwinan orang-orang Melayu Brunei, bagi melaksanakan
majlis Istiadat Persandingan, tataruk bagi menempatkan para jemputan dibena dengan
beramu kayu melalui bantuan sanak saudara. Pada masa ini adannya rancangan
kemajuan Negara yang melibatakan penempatan semula penduduk di Negara ini telah
menjadikan kebanyakan ahli keluarga tinggal berjauhan. Hal ini menjadikan amalam
bergotong royong seumpama itu sukar dilakukan. Bagaimanapun keaslian semangat
orang Melayu Brunei dalam memikirkan tempat bagi menempatkan jemputan dan
tempat berkumpul para sanak saudara beberapa hari sebelum majlis persandingan
tetap berlaku dengan menampah beberapa kem pasang siap di kawasan rumah mereka.
Demikian juga dengan penyediaan jemuan, sungguhpun kebanyakannya telah
ditempah melalui syarikat-syarikat penyedia permakanan, namun tatacara pengaturan
makanan dan amalan menikmati jemuan secara serentak bersama-sama semua
jemputan yang hadir tetap menjadi adat orang-orang Melayu Brunei.
Adanya perkembangan fashion pakaian oleh pereka-pereka fashion tidaklah
diketapikan oleh masyarakat. Mesyarakat juga mengikuti perkembangan fashion-fashion
pada hari ini dengan tidak mengubah pendirian mereka terhadap nilai-nilai Kebruneian.
Mereka tetap mengikuti peredaran zaman tetapi dalam masa yang sama masih tetap
mengekalkan keaslian Melayu Brunei. Dalam majlis perkahwinan misalnya, mempalai
tetap menjadikan pakaian tenunan Brunei sebagai pakaian mereka. Bagi menyesuaikan
majlis pula, para jemputan dari kalangan lelaki memakai pakaian cara Melayu manakala
orang-orang perempuan memakai baju kurung.
5. Tidak Menghalang Kemajuan
Adat Istiadat tidak menghalang kemajuan malah amat membantu Negara mengacapi
kemajuan dengan membantuk mesyarakat yang bersopan santun, bedisiplin dan
sentiasa hormat (mematuhi pemimpin dan peraturan). Pada kenyataannya kebanyakan
8
Negara di dunia yang mempertahankan adat mereka berjaya menampakkan kemajuan.
Misalnya Negara Jepun yang amat ketara berpegang teguh kepada adat yang diamalkan
sejak dulu berjaya menempakkan kejayaan mereka dalam bidang sains malah telah
menimbulkan kecemburuan Negara-negara yang lebih besar dari mereka. Tidak
terkecuali Negara Brunei Darussalam ini, sebagai Negara yang kekal berpegang kepada
adat dan budaya yang telah diwarisi turun temurun, berjaya berkembang maju baik
dari segi fizikal mahupun spiritual. Negara ini adalah antara Negara yang kehadapan di
dalam bidang pendidikan.
CABARAN
Hari ini dengan terjadinya perkembangan pesat terutama dalam Teknologi Maklumat, tidak
satupun Negara di dunia ini terlepas daripada hambatan berupa sosio dan ekonomi. Adanya
kemajuan dalam pelbagai ciptaan bagi keperluan hidup telah menjadikan berlakunya
perubahan gaya hidup. Hidup menjadi serba ada dan mewah sehingga melalaikan dan
menjadikan banyak orang lupa diri. Nilai hormat dan hidup sopan telah beransur hilang. Dalam
keluarga, anak-anak telah kurang menghormati orang tua. Demikian juga dalam kehidupan
bermesyarakat, hormat kepada orang yang lebih tua, alim ulama, ketua dan penghulu dan
sebagainya sudah tidak diambil perhatian. Dalam hidup bernegara, ramai orang tidak
menghiraukan kepentingan bersama dimana berlakunya sikap pemugut (merosak kemudahan
awam) dan mencabuli peraturan dan undang-undang negara seperti menyeludup dadah serta
barang-barang tegahan dan sebagainya.
Adanya segala bentuk kemewahan di depan mata menjadikan ramai orang beriya-iya
untuk mendapatkan kemewahan tanpa memikirkan kemampuan dan keupayaan diri. Ini
menjadikan mereka sanggup berhutang dan akhirnya dibebani hutang. Akibatnya ada yang
terdorong melakukan rasuah, penipuan dan perompakan. Masalah ekonomi ini juga ada
membawa sebilangan orang sanggup mengadaikan maruah dan sebagainya. Semua itu adalah
juga masalah yang menghambat mesyarakat yang beradat. Segalanya adalah akibat daripada
9
kesalahan dan kesilapan dalam memanfaatkan kemajuan yang ada. Kemajuan itu di dalamnya
terdapat segala kemudahan yang diumpamakan seperti kemudahan jalan raya. Mereka yang
tahu memanfaatkan jalan raya akan menjadikannya sebagai alat untuk menuju destinasi yang
telah dirancang. Demikian juga bagi mereka yang tahu memanfaatkan kemudahan yang ada
setentunya dapat menggunakannya sebagai alat untuk memenuhi cita-cita yang telah
dirancang. Misalnya dalam penggunaan Informasi Komunikasi Teknologi, para pelajar yang
berfikiran positif dan menjaga adat setentunya akan menggunakannya untuk keperluan
pendididkan dan bukan sebagai alat untuk melalaikan atau menjadikan mereka terus leka dan
meninggalkan tanggungjawab.
ADAT ISTIADAT MEMBENTUK SOSIAL YANG SEMPURNA
Masalah sosial yang sering mengugat kestabilan semenangnya menjadi agenda penting di
seluruh Negara di dunia ini. Puncanya adalah ketidak-kukuhan pegangan mesyarakat terhadap
nilai-nilai ugama dan adat. Sedikit, sederahana atau parahnya keadaan sosial yang dialami
adalah bergantung kepada ketaatan mesyarakatnya kepada ajaran agama dan nilai-nilai adat.
Apa yang pasti tidak akan berlaku masalah ekonomi dan sosial yang besar kepada Negara yang
kebanyakan rakyat dan penduduknya mematuhi ugama dan mencintai adat istiadat. Tidak
dinafikan bahawa adat istiadat itu adalah benteng utama di dalam pembentukan sosial sesuatu
mesyarakat. Hal ini adalah kerana perkara-perkara berikut:-
1. Adat Membentuk Peribadi Individu
Orang yang beradat sentiasa mengawal dirinya daripada melakukan sesuatu yang dilihat
bertentangan dengan kebiasaan yang diterima oleh mesyarakat. Sesorang yang beradat
akan memberi salam sambil menunjukkan tingkahlaku hormat kepada orang yang lebih
tua atau yang berkedudukan. Seseorang yang masih dalam jagaan orang tua, apabila
hendak keluar rumah akan memohon izin kepada ibu bapa terlebih dahulu. Apabila di
sekolah setentunya akan menghormati guru dan ketua darjah.
Apabila bekerja di pejabat akan mematuhi arahan ketua pejabat. Seseorang yang
10
beradat istiadat juga akan sentiasa memenuhi setiap undangan untuk menghadiri majlis
yang diadakan oleh ahli masyarakat yang lain disamping mengenakan pakaian yang
bersesuaian dengan jenis majlis yang dihadiri. Demikian juga dengan tabiaat berbelanja,
orang yang beradat akan sentiasa mengukur kemampuan diri bagi mengelak diri dari
terpaksa berhutang atau mengharapkan bantuan orang lain. Langkah itu adalah juga
bagi menjaga nama diri dan keluarga.
2. Berhati-hati Membuat Pilihan
Mesyarakat yang beradat memiliki sikap berhati-hati dalam memilih pasangan hidup
sama ada lelaki mahupun perempuan dan ini adalah hal yang sangat diambil berat oleh
mesyarakat Melayu Brunei. Apa yang paling diutamakan adalah pegangan ugama dan
budi perkerti. Kuat berugama dan memiliki budi perkerti setentunya akan mudah
bekerja sama dalam membentuk sebuah keluarga yang beriman dan berbudaya. Hal ini
juga akan menjanjikan keturunan yang sedemikian. Kebiasaan ini bukan hanya menjadi
budaya di dalam memilih pasangan hidup tetapi juga ketika berhadapan dengan hal-hal
yang baharu yang membawa perubahan dalam kehidupan. Misalnya orang-orang yang
beradat tidak dilalaikan oleh kemewahan hidup yang membuka ruang untuk
membuang-buang waktu dan berpoya-poya hingga lupa tanggungjawab kepada
keluarga. Mereka adalah orang-orang yang bermotivasi dan pandai mengurus waktu
bersama keluarga, beribadat, beriadah dan terus menambah ilmu pengetahuan.
Selain daripada itu orang-orang yang beradat tetap mencintai jati dirinya dengan
mengamalkan cara hidup berlandaskan kemelayuan, keislaman dan menghormati orang
tua dan orang-orang yang seharusnya dihormati. Sebaliknya sebilangan mereka yang
tidak menghayati adat istiadat hidup mereka terumbang ambing seperti orang yang
tidak beridentiti. Dalam masa yang sama mereka gagal menunjukkan identiti mereka
sebenar.
11
3. Menjaga Hubungan Berkeluarga
Dengan berpegang kepada adat, setiap individu mesyarakat Melayu Brunei sentiasa
mengambil berat mengenai hubungan berkeluarga dan berdangan sanak. Hubungan
Berkeluarga bermaksud hubungan antara anak dengan ibu bapa manakala hubungan
bedangan sanak adalah hubungan dengan sanak saudara (hubungan keluarga pupu
sekali, keluarga pupu dua kali dan keluarga pupu tiga kali). Hubungan bedangan sanak
menjadi mesra dan bersafahaman dengan wujudnya sistem panggilan kekeluargaan
yang telah teradat di dalam mesyarakat Melayu Brunei. Sistem panggilan kekeluargaan
ternyata menjalinkan rasa kasih sayang dan hormat menghormati. Antara panggilan
kekeluargaan tersebut adalah seperti Tua, Tengah atau Anggah, Uda, Amit, Bungsu dan
sebagainya. Panggilan ini digunakan untuk menyapa ayah dan emak saudara. Sapaan
tersebut bukan hanya mewujudkan kemesraan dan kasih sayang tetapi juga menjadi
pengawal kepada setiap indvidu yang menggunakannya daripada melakukan pekara-
perkara yang bertentangan dengan peraturan Negara.
Hal ini berlaku kerana pengguna kata-kata panggilan ini tidak merasakan dirinya
berseorangan akan tetapi merasa dimiliki dan memiliki ramai ahli keluarga. Oleh yang
demikian mereka merasa tidak tergemak untuk melakukan hal-hal yang bertentangan
dengan hukum ugama dan melanggar kebiasaan. Jika melakukan kesalahan, mereka
tahu ianya tidak hanya mencemarkan nama baik dirinya tetapi juga nama keluarga
keseluruhannya. Pendeknya anak-anak yang dididik secara beradat akan sentiasa
mengawal diri dan ahli keluarga.
4. Menghormati Ibu Bapa dan Ahli Keluarga Tertua
Sudah menjadi adat, setiap anak sentiasa menghormati orang tua mereka. Demikian
juga setiap individu Melayu Brunei sentiasa menghormati mana-mana jua ahli keluarga
atau dangan sanak yang lebih tua dari mereka. Hal ini berlangsung secara berterusan
dari satu generasi ke satu generasi. Sebagai simbol kepada penghormatan tersebut ahli
12
keluarga yang tertua sering dijadikan sandaran, menjadi penasihat atau ketua (kepala)
dalam sesuatu acara atau pekerjaan yang besar, umpamanya majlis perkahwinan.
Layanan yang sama juga akan diberikan kepada mana-mana keluarga yang dihormati
oleh ramai orang kerana dalam kontek bangsa Melayu Brunei istilahk yang tua itu
adalah juga dinilai daripada penerimaan dan pengiktirafan mesyarakat kepada
seseorang. Hal ini mungkin kerana sumbanganya, nasihatnya atau ilmu yang dimilikinya.
Budaya hormat menghormati yang terasas di dalam kehidupan berkeluarga dan
bedangan sanak ini adalah juga menjadi asas kepada hidup bermesyarakat dan
seterusnya bernegara.
5. Menghormati Mesyarakat dan Negara
Mereka yang sentiasa berpegang kepada adat sentiasa menghormati hak ahli
mesyarakat yang lain dan seterusnya hak Negara (hak bersama). Dengan demikian tidak
ada orang yang merasas disusahkan. Misalnya dalam adat berjiran, orang yang beradat
tidak akan menyusahkan jiran mereka dengan tidak membuat kebisingan pada waktu
menjelang tengah malam di mana semua orang perlu berehat. Demikian juga mereka
tidak akan meyempitkan laluan yang menuju ke rumah jiran yang tinggal di belakang
rumah mereka. Begitu juga orang yang beradat tidak akan mengambil apa juga barang
yang bukan milik mereka. Dalam menghormati hak bersama, mereka yang memiliki adat
tidak akan merosak apa jua kemudahan awam yang menjadi hak Negara (hak bersama).
Ini bererti mereka juga telah menghormati undang-undang Negara kerana menjaga
harta benda awam itu adalah juga sebahagian daripada undang-undang Negara yang
perlu dipatuhi. Hal ini samalah juga dengan mematuhi peraturan lalu lintas seperti
berhenti bila lampu merah menyala. Ini bererti menghormati hak pengguna jalan raya
yang berada di lampu hijau untuk melintasi jalan. Hasilnya semua pihak dapat sama-
sama menikmati keselesaan tanpa menghadapi kejadian yang tidak diingini.
13
6. Mewujudkan Perpaduan
Apabila kehidupan berjalan di atas landasan saling hormat menghormati, besopan
santun, mematuhi peraturan dan undang-undang Negara serta menjaga hubungan
kekeluargaan dan sebagainya sudah tentu perpaduan di dalam berkeluarga,
bermesyarakat serta bernegara akan terjalin. Semua orang akan memiliki agenda yang
sama iatu untuk bersama-sama menikmati keamanan, kesejahteraan dan kemajuan.
KESIMPULAN
Adat Istiadat Kebruneian adalah adat induk kepada adat-adat yang diamalkan oleh puak-puak
Melayu negera ini dan seterusnys menjadi identiti bagi mesyarakat bangsa Melayu Brunei.
Diantara ciri-ciri Adat Istiadat Kebruneian itu adalah Asli Turun Temurun, Sesuai Dengan
Kemajuan (Boleh Dimodenkan Dengan Mengekalkan Keasliannya), Bersendikan Syara, dan
Menurut Kemampuan Dan Berekonomi. Dengan berpandu kepada adat, Kemajuan Teknologi
Informasi dan Komunikasi dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan kehidupan yang lebih
sempurna. Berlangsungnya kehidupan yang saling hormat, bersopan santun, menjaga
hubungan dan mematuhi undang-undang yang dipelopori oleh adat Istiadat, seluruh
mesyarakat pastinya menikmati keamanan, ketentaraman dan kesejahteraan yang menjadi
kunci utama kepada kemajuan dan pembangunan Negara. Hal ini menjelaskan bahawa adat
istiadat khususnya Adat Istiadat Kebruneian itu adalah selaras dengan zaman yang sentiasa
beredar.
Sekian.
KULUNISSA.PDHS/MARCH.12
14
TEKS INI DIJADIKAN BAHAN KULIAH YANG DISAMPAIKAN DI UNIVERSITI SULTAN SHARIF ALI (UNISSA) PADA HARI RABU 28 MARCH 2012, JAM
9.00 PAGI.