Analisis Wacana Kohesi
-
Upload
zairil-azhar-rozlan -
Category
Documents
-
view
1.276 -
download
5
Transcript of Analisis Wacana Kohesi
1.0 PENGENALAN
Kertas kerja ini akan memperlihatkan aspek ikatan kohesi dalam wacana prosa,
iaitu cerpen. Cerpen merupakan singkatan kata daripada perkataan cerita pendek.
Cerpen juga sebahagian daripada cereka atau dikenali sebagai cerita reka-rekaan.
Menurut Henry Guntur Taringan (1984), cerita pendek harus mengandungi interpretasi
pengarang tentang konsepsi mengenai kehidupan, baik secara langsung atau pun tidak
langsung, harus menimbulkan satu kesan dalam fikiran pembaca. Cerita pendek juga
mengandungi maklumat-maklumat dan insiden-insiden yang dipilih dengan sengaja,
dan yang boleh menimbulkan pertanyaan-pertanyaan di dalam fikiran pembaca.
Kohesi berperanan dalam memperlihatkan kesinambungan antara sesebahagian
teks yang lain dan sehingga membentuk kesatuan sesebuah teks atau wacana yang
utuh. Oleh itu, objektif utama analisis ini dilakukan adalah untuk menganalisis
penggunaan unsur-unsur kohesi dalam wacana prosa yang dikarang oleh Salina
Ibrahim (2006) dalam cerpennya yang bertajuk “Tanah Kampung Kami” halaman 92-
95”. Sumber rujukan telah diambil daripada Dewan Sastera keluaran Februari.
Kajian ini memfokuskan kepada aspek kohesi yang terbahagi kepada tiga iaitu
kohesi nahuan, kohesi leksikal dan kohesi kata hubung. Kohesi nahuan terbahagi
kepada tiga bahagian, iaitu rujukan, penggantian dan elipsis atau pengguguran. Kohesi
leksikal pula dibahagikan kepada enam bahagian, iaitu pengulangan kata, sinonim,
antonim, supraordinat, perkataan umum dan kolokasi. Kohesi kata hubung pula merujuk
kepada kata hubung seperti, dan, tetapi dan lain-lain.
1
2.0 DEFINISI
Wacana ialah unit bahasa yang melebihi had ayat yang terdiri daripada
sejumlah ayat, ceraian, bab, buku, cerita, dialog, dan lain-lain yang menunjukkan
hubungan-hubungan dan perkembangan fikiran yang berurutan.
Menurut Asmah Hj Omar (1986), wacana adalah keseluruhan kelahiran bahasa
oleh penutur atau penulis iaitu penglahiran sistem bahasa dan unsur-unsur luar pada
sistem bahasa yang menyumbang ke arah menjadikan petuturan atau tulisan itu
sebagai yang bermakna dalam berkomunikasi. Dalam menghasilkan sesuatu wacana,
aspek kohesi sangat ditekankan bagi memastikan penutur dan penulis dapat
menghasilkan teks wacana yang bermutu dan berkualiti.
Konsep kohesi diperkenalkan oleh Halliday dan Hasan pada tahun 1976 melalui
buku mereka yang bertajuk “Cohesion in English”. Menurut Halliday dan Hasan, kohesi
adalah ciri-ciri linguistik yang membantu menghubungkan satu urutan ayat sehingga
melahirkan sesuatu teks yang padu atau memperlihatkan pautannya. Pada dasarnya,
aspek kohesi berkaitan dengan aspek semantik dan merujuk kepada kebahasaan yang
ada pada sesuatu teks. Ia merujuk kepada hubungan di antara makna yang terdapat di
dalam teks.
Manakala menurut Idris Aman (2010:36), kohesi merupakan aspek formal
bahasa dalam wacana atau teks. Ia juga dikatakan tentang organisasi sintaktik wacana
atau teks, iaitu wadah ayat-ayat digembleng secara sepadu dan berkaitan dengan
memanfaatkan alat-alat kebahasaan untuk menghasilkan wacana (tulisan atau tuturan).
2
3.0 RINGKASAN WACANA
Cerita Tanah Kampung Kami karya Salina Ibrahim telah mengisahkan kehidupan
sebuah keluarga di sebuah kampung. Empat beradik yang terdiri daripada 3 orang
lelaki dan seorang perempuan, Along, Angah, Acik, dan Acu telah dibesarkan di
kampung oleh kedua-dua orang tuanya. Ayahanda dan bonda mereka seorang yang
tegas, berdisiplin, suka menasihati dan penyayang. Ayahanda dan bonda telah berjaya
mendidik anak-anaknya sehinggakan masing-masing berjaya dengan cita-citanya.
Dengan tiba-tiba, ayahanda telah meninggal dunia tanpa sebarang sakit dan disusuri
oleh bonda mereka selepas enam bulan kemudian. Selepas itu, mereka berhijrah ke
kota dan menetap di sana setelah kedua-dua orang tuanya meninggal dunia. Hubungan
adik-beradik semakin renggang setelah mereka berhijrah dan menetap di kota. Along,
Angah, Acik dan Acu jarang berjumpa sehingga mereka terdengar satu suara dari
ayahanda dan bonda mereka supaya mereka pulang ke kampung halaman dengan
segera. Panggilan ‘pulang’ itu telah membuatkan kesemuanya bersua kembali. Mereka
akhirnya sedar akan pesanan ayahanda dan bonda di sini adalah tanah kelahiran anak-
anaknya.
3
4.0 ANALISIS KOHESI WACANA
Terdapat tiga aspek kohesi dalam kajian ini, iaitu kohesi nahuan, kohesi leksikal
dan kohesi kata hubung. Kohesi nahuan terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu rujukan,
penggantian dan elipsis atau pengguguran. Kohesi leksikal pula dibahagikan kepada
enam bahagian, iaitu pengulangan kata, sinonim, antonim, supraordinat, perkataan
umum dan kolokasi. Kohesi kata hubung pula merujuk kepada kata hubung seperti,
dan, tetapi dan lain-lain.
4.1 Analisis Kohesi Nahuan
Halliday dan Hasan membahagikan kohesi nahuan kepada tiga jenis iaitu
rujukan (reference), penggantian (substitution), dan elipsis (ellipsis). Kohesi nahuan
berfungsi untuk menghubungkan unsur linguistik gramatikal dengan unsur linguistik
gramatikal yang lain di antara ayat dengan ayat, dengan menggunakan tautan-tautan
yang kohesif dalam sesebuah teks.
4.1.1 Rujukan
Mengikut Halliday dan Hasan (1976: 304) dari segi nahu makna rujukan ialah
satu hubungan semantik, yakni hubungan di antara makna sesuatu perkataan tertentu
dan bukan di antara bentuk linguistik lain seperti perkataan atau frasa. Contohnya:-
4
a) Rujukan Anafora
Ayahanda dan bonda tidak perlu dana daripada anak-anak. Mereka cukup selesa,
lebih daripada cukup ketika terbang ke tanah suci melengkapkan Rukun Islam. (Muka
surat 3, kolum 2, perenggan 2, baris 1)
Huraian: Dalam ayat di atas, kata ganti nama mereka merujuk kepada Ayahanda dan
bonda. Kedua-dua ayat tersebut ditautkan dengan penggunaan kata ganti nama diri
ketiga mereka. Rujukan anafora adalah rujukan kepada unsur yang disebut dahulu.
b) Rujukan Katafora
Pesanan ayahanda dan bonda kami- Along, Angah, Acik, Acu – ibarat ranting-ranting
pohon. (Muka surat 1, kolum 2, perenggan 2, baris 1)
Huraian: Dalam ayat di atas, kata ganti nama kami merujuk kepada Along, Angah,
Acik, Acu. Rujukan katafora adalah rujukan kepada unsur yang disebut kemudian.
c) Rujukan Penunjuk
“Walau berbalah, bertikai dan bertelagah, kita tetap keluarga,” kata kedua-duanya
terpahat kukuh dalam ruyung minda kami. (Muka surat 1, kolum 3, perenggan 3, baris
1)
Kata-kata itu menjadi azimat yang paling berharga sebenarnya. (Muka surat 1, kolum 3,
perenggan 4, baris 1)
Huraian: Dalam ayat di atas kata ganti nama tunjuk itu merujuk kepada ayat pada
perenggan yang sebelumnya, iaitu pesanan ayahanda dan bonda mereka.
5
d) Rujukan Diri
Along dengan dunia lakarannya, membina bangunan tertinggi di dunia dan menjadi
arkitek tersohor. Dalam kalangan kami adik beradik, dia yang paling cepat
meninggalkan rumah apabila ditawarkan tempat di sekolah berasrama penuh di Ipoh.
(Muka surat 2, kolum 1, perenggan 4, baris 3)
Huraian: Dalam ayat di atas, kata ganti nama dia merujuk kepada Along. Kedua-dua
ayat tersebut ditautkan dengan penggunaan kata ganti nama diri ketiga dia.
4.1.2 Penggantian
Penggantian adalah hubungan yang terdapat di dalam perkataan dan bukan
dalam makna. Penggantian merupakan hubungan yang wujud di dalam teks. Menurut
Tarigan (1995: 128), penggantian dalam bahasa Melayu dapat bersifat sebagai kata
nama, kata kerja, klausa atau campuran; misalnya satu, sama, seperti itu, sedemikian
rupa, demikian, dan begitu. Contohnya:-
Ketika menerima dua menantu perempuan serentak, isteri kepada Along dan
Angah, ayahanda bonda bangga bahawa tanah kecil yang kaya……. (Muka surat 3,
kolum 2, perenggan 4, baris 1)
Kamu sudah jadi sebahagian daripada semua ini. Di sini anak emak membesar dan
kamu sebagai suri mereka mesti faham asal usul ini, kata bonda kepada mereka.
(Muka surat 3, kolum 2, perenggan 5, baris 1)
6
Huraian: Dalam contoh di atas, isteri kepada Along dan Angah dan suri mereka
menggantikan dua menantu perempuan. Penulis menggantikan perkataan-perkataan
tertentu dengan perkataan lain yang sama maksudnya.
4.1.3 Elipsis
Elipsis melibatkan proses pengguguran sesuatu kata, frasa dan klausa pada ayat
seterusnya jika maklumat atau sesuatu kata telah dinyatakan dengan jelas dan difahami
oleh pembaca dan pendengar sebelumnya. Tanda kurung siku [ ] digunakan bagi
menunjukkan pengulangan kata, frasa dan klausa sebelum berlakunya perguguran.
Menurut Haliday dan Hasan (1976:142), elipsis adalah sebagai “substitution by
zero” [0], yakni penggantian kosong, iaitu sesuatu yang wujud tetapi tidak dinyatakan
atau tidak dituliskan, namun difahami oleh pendengar dan pembaca. Manakala
Kridaklaksana (1983:40) menyatakan “peniadaan kata atau satuan lain yang wujud
asalnya dapat diramal dari konteks luar bahasa”. Contoh elipsis yang terdapat dalam
cerpen tersebut adalah seperti yang berikut:-
a) Pengguguran pada peringkat kata
Kampung sudah pudar hijau, [kampung] sudah lupus asli, [kampung] sudah tidak
berwajah kampung asli, tetapi tetap kampung yang kami banggakan. (Muka surat 3,
kolum 1, perenggan 3, baris 5)
Huraian: Dalam contoh di atas, kata nama am “kampung” digugurkan selepas perkataan
pudar hijau. Pengguguran ini adalah mengelakkan pengulangan perkataan yang sama
dalam sesuatu penyataan. Namun begitu, masih wujud tautan dalam contoh tersebut.
7
b) Pengguguran pada peringkat frasa
Sifat tanah merendah dan [sifat tanah] berharap pada kuasa teratas, iaitu Allah untuk
menyuburkannya. (Muka surat 2, kolum 1, perenggan 3, baris 6)
Huraian: Dalam contoh di atas, frasa nama “sifat tanah” digugurkan dalam ayat tersebut.
Keadaan ini bagi mengelakkan berlaku unsur lewah dalam ayat tersebut. Apabila frasa
nama digugurkan selepas perkataan dan unsur lewah dapat dielakkan.
c) Pengguguran pada peringkat klausa
Di situ kami meneroka makna kehidupan, [di situ kami meneroka makna] akrab
perhubungan, [di situ kami meneroka makna] manis ikatan darah daging dan [di situ
kami meneroka makna] mesra kasih sayang. (Muka surat 1, kolum 1, perenggan 1, baris
7)
Huraian: Dalam contoh di atas, klausa “di situ kami meneroka makna” digugurkan
kerana klausa ini boleh menyebabkan berlaku unsur lewah dalam ayat tersebut. Walau
bagaimanapun, masih wujud tautan dalam ayat tersebut.
4.2 Analisis Kohesi Leksikal
Haliday dan Hasan (1976) membahagikan kohesi leksikal kepada dua jenis iaitu
reiterasi (reiteration) dan kolokasi (collocation). Reiterasi adalah satu bentuk kohesi
leksikal yang melibatkan pengulangan item leksikal dan penggunaan kata umum untuk
merujuk kembali kepada sesuatu item leksikal. Contoh reiterasi ialah pengulangan kata,
sinonim, supraordinat dan kata umum. Kolokasi pula adalah satu bentuk kohesi
leksikal yang melibatkan dua perkataan atau lebih yang mempunyai hubungan
8
semantik, misalnya antonim (lelaki/perempuan), ia juga terdiri daripada perkataan yang
tersusun (Isnin/Selasa/Rabu,Utara/Selatan) atau satu set leksikal yang tidak tersusun.
4.2.1 Pengulangan Kata
Pengulangan kata ialah kata yang sering kali diulang ini terdiri daripada “kata
isi”(content word). Ini bermakna kata - kata itu adalah kata yang amat penting bagi
sesuatu ayat yang dibentuk dan dibina bagi teks ataupun wacana. Contoh pengulangan
kata yang terdapat dalam cerpen tersebut adalah seperti yang berikut:-
Di situ kami kenal bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung. Di situ kaki kecil kami
merangkak, melangkah sehingga membawa kepada berlari. Di situ kami meneroka
makna kehidupan, akrab perhubungan, manis ikatan darah daging dan mesra kasih
sayang. Di situ segala-galanya bermula. (Muka surat 1, kolum 1, perenggan 1, baris 2)
Huraian: Contoh di atas menunjukkan satu pengulangan perkataan iaitu dari peringkat
frasa. Frasa ‘di situ’ diulang sebanyak empat kali dalam ayat tersebut untuk
menunjukkan penegasan. Frasa ‘di situ’ digunakan bagi mentautkan ayat tersebut.
4.2.2 Sinonim
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:1502), sinonim merupakan kata
yang sama atau hampir sama maknanya dengan kata lain. Dalam maksud lain ialah
kata seerti. Contoh sinonim yang terdapat dalam cerpen tersebut adalah seperti yang
berikut:-
9
Walau bagaimanapun, barangkali kami memang anak-anak yang alpa dan leka. (Muka
surat 4, kolum 1, perenggan 3, baris 3.)
Huraian: Dalam ayat tersebut, perkataan sinonim yang dapat dilihat ialah alpa dengan
leka yang membawa maksud yang sama, iaitu lalai atau kurang mengendahkan.
4.2.3 Antonim
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007:69), antonim merupakan kata
yang berlawanan maknanya dengan kata lain. Contoh antonim yang terdapat dalam
cerpen tersebut adalah seperti yang berikut:-
Kerana daripada tanah kita datang, dan kepada tanah kita bakal kembali. (Muka surat
2, kolum 1, perenggan 3, baris 3)
Huraian: Dalam ayat tersebut, perkataan antonim yang dapat dilihat ialah datang
dengan kembali yang membawa maksud yang berlawanan maknanya. Datang
bermaksud sampai atau tiba manakala kembali bermaksud balik atau pulang.
4.2.4 Supraordinat
Supraordinat adalah penggunaan kata yang lebih khusus atau ‘hiponim’ kepada
kata yang lebih umum atau dikenali sebagai ‘hiperonim’. Contoh satu petikan yang
mengandungi supraordinat adalah seperti yang berikut:-
Padi yang bendang pusaka serelung jadi simpanan setahun. Keli, sepat, puyu dari
lubuk ikan yang bersambung dengan tanah bendang, sumber protein terbaik. (Muka
surat 3, kolum 2, perenggan 3, baris 5)
10
Huraian: Dalam petikan cerpen diatas, ikan merupakan supraordinat dan keli, sepat
dan puyu adalah hiponim. Oleh itu, terdapat tautan antara ayat dalam perenggan di
atas. Dengan itu terdapat ikatan kohesif di antara ayat-ayat dalam perenggan di atas.
4.2.5 Perkataan Umum
Halliday dan Hassan (1976) telah membahagikan kohesi leksikal kepada dua
jenis iaitu reiterasi dan kolokasi. Perkataan umum tergolong di dalam reiterasi untuk
merujuk kembali kepada sesuatu item leksikal. Perkataan umum juga merupakan
perkataan yang mempunyai makna umum dan boleh mewakili perkataan lain walaupun
perkataan tersebut tidak tergolong dalam kelas kata tertentu.
Di dalam analisis cerpen bertajuk Tanah Kampung Kami didapati terdapat
penggunaan perkataan umum yang digunakan ikatan kohesif boleh dibentuk apabila
sesuatu perkataan itu diwakili oleh perkataan lain dalam ayat yang lain tetapi berkait
dengan perkataan tersebut. Contoh penggunaan perkataan umum di dalam cerpen
tersebut adalah seperti yang berikut:-
Ayahanda dan bonda tidak ajar kami rindu –merindu tanpa sebab munasabah. Jangan
kecundang pada perasaan … (Muka surat 2, kolum 3, perenggan 1, baris 3)
Huraian: Contoh di atas menunjukkan perkataan umum yang digunakan adalah rasa
iaitu kata adjektif dan perasaan mewakili kata gandaan menyalin rindu- merindu.
Melalui perasaan, akan melahirkan rasa rindu-merindu.
11
4.2.6 Kolokasi
Kolokasi merujuk kepada kehadiran sekumpulan kata yang saling berkait dengan
sesuatu idea, topik, situasi atau konteks dunia dalam sesuatu teks. Selain itu, setiap
laras bahasa biasanya akan melibatkan kolokasi yang berlainan selaras dengan topik,
situasi ataupun konteks penggunaannya. Kolokasi turut mewujudkan keteraturan fikiran
sesebuah teks. Di dalam cerpen Tanah Kampung Kami terdapat penggunaan kolokasi
yang digunakan. Berikut merupakan contoh petikan yang menggunakan konsep
kolokasi:-
Bonda menerima dengan hati sangat tenang, reda, dan insaf. (Muka surat 3, kolum 3,
perenggan 1, baris 3)
Huraian: Dalam contoh di atas ialah kolokasi untuk situasi berkaitan dengan hati,
kumpulan katanya seperti tenang, reda, dan insaf. Kumpulan kata ini mempunyai
hubungan leksikal selingkungan apabila berbicara tentang hati atau perasaan.
4.3 Analisis Kohesi Kata Hubung
Wong Khek Seng (1993:312) menyatakan bahawa terdapat beberapa cara untuk
menghubungkan klausa dalam sesuatu ayat dan antara ayat dalam sesuatu teks bagi
mewujudkan pautan. Penghubung dalam bahasa Melayu boleh terdiri daripada
penghubung setara, penghubung tak setara dan penghubung adverba. Oleh hal yang
demikian, kajian cerpen yang bertajuk Tanah Kampung Kami menggunakan
penghubung-penghubung untuk menjadikan cerpen ini berpaut. Fokus utama dalam
kajian kata hubung kohesi ialah kekerapan kata hubung yang digunakan dalam cerpen
ini ialah yang, dan, untuk, dengan dan pada.
12
Bil Kohesi Kata hubung Fungsi Contoh ayat
1. Kata Hubung “Dan”
(80 kekerapan
penggunaannya)
menggandingkan atau
menghubungkan subjek
Pesan ayahanda dan bonda, kami –
Along, Angah, Acik, Acu, - ibarat
ranting-ranting pohon. (Muka surat
1, kolum 2, perenggan 2, baris 1)
2. Kata Hubung “Yang”
(77 kekerapan
penggunaannya)
sebagai keterangan
kepada salah satu
unsur dalam ayat induk
iaitu subjek, objek atau
predikat
Di situ kami kenal bumi yang dipijak
dan langit yang dijunjung. (Muka
surat 1, kolum 1, perenggan 1 , baris
2)
3. Kata Hubung “Untuk”
(23 kekerapan
penggunaannya)
sebagai keterangan
sesuatu perbuatan atau
kejadian yang
mempunyai tujuan
Kami masih ingat, menjelang usia
kami semakin mengenali alam, ayah
dan bonda mengamanahkan pohon
masing-masing untuk kami jaga.
(Muka surat 1, kolum 3, perenggan
5, baris 1)
4. Kata Hubung
“Dengan” (18
kekerapan
penggunaannya)
menghubungkan dua
klausa atau lebih yang
sama tara sifatnya.
Ayahanda dan bonda hantar
keberangkatan anak-anak dengan
doa tulus dari sudut hati paling
dalam (Muka surat 3, kolum 1,
perenggan 2, baris 4).
5. Kata Hubung
“Kerana” (12
kekerapan
menunjukkan sebab
dan akibat
Acu teringat betapa Acu pernah
merajuk dan bawa diri sejenak
sehingga berjaya melupakan
13
penggunaannya) kesedihan kerana ditinggalkan
bonda di rumah ini. (Muka surat 4,
kolum 2, perenggan 3, baris 13)
Jadual 4.3: Kohesi Kata Hubung Dalam Cerpen Tanah Kampung Kami
Berdasarkan dalam jadual di atas, dapat dilihat terdapat lima kohesi kata hubung
yang digunakan dalam cerpen ‘Tanah Kampung Kami’. Dalam contoh satu (1) di atas,
kata hubung “dan” digunakan bagi menghubungkan kedua-dua subjek dalam ayat iaitu
subjek ayahanda dan subjek bonda.
Manakala, dalam contoh kedua (2) di atas, kata hubung “yang” berfungsi sebagai
keterangan kepada salah satu unsur dalam ayat induk iaitu sebagai predikat. Di situ
kami kenal bumi telah dipancangkan dalam ayat tersebut iaitu kata hubung “yang” dan
terbentuk yang dipijak dan yang dijunjung.
Seterusnya dalam contoh ketiga (3), kata hubung “untuk” adalah untuk
menyatakan sesuatu perkara itu dilakukan di samping menghubungkan ayat induk iaitu
untuk kami jaga merupakan tujuannya lalu menghasilkan ayat majmuk keterangan.
Dalam contoh keempat (4) pula, kata hubung “dengan” berfungsi untuk
menghubungkan dua klausa atau lebih yang sama tara sifatnya. Hal ini kerana dengan
menggunakan kata hubung “dengan” adalah untuk menunjukkan cara ayahanda dan
bonda mendoakan anak-anaknya.
14
Akhir sekali dalam contoh kelima (5), kata hubung “kerana” berfungsi untuk
memberi penjelasan kepada sesuatu perkara itu atau menyatakan sebab mengapa
sesuatu perkara itu berlaku.
5.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, kohesi terbahagi kepada tiga iaitu kohesi nahuan, kohesi
leksikal dan kohesi kata hubung. Dalam analisis cerpen bertajuk “Tanah Kampung
Kami” terdapat pelbagai penggunaan alat dan ikatan kohesi yang digunakan. Hal ini
dapat memainkan peranan penting dalam usaha menimbulkan keteraturan fikiran
sesebuah teks sama ada teks kreatif mahupun teks laras lain. Jalinan ayat demi ayat
menunjukkan penggunaan kohesi digunakan secara luas dalam cerpen ini. Buktinya,
analisis alat atau ikatan ini jelas terdapat pada setiap halaman yang dianalisis.
Tambahan lagi, jalinan ayat demi ayat ditautkan berdasarkan konsep semantik
dan merujuk kepada perkaitan kebahasaan yang ada pada sesuatu teks untuk
membezakan penggunaan kohesi yang mengkaji mengenai perkaitan ayat dengan ayat
berbanding penggunaan koheren yang mengkaji mengenai perenggan dengan
perenggan. Dengan penggunaan kohesi dalam cerpen “Tanah Kampung Kami” cerita
yang dihasilkan akan lebih jelas dan menarik dalam penyampaian sekali gus menarik
minat pembaca untuk membaca cerpen ini.
15
6.0 RUJUKAN
Asmah Haji Omar. (1980). Analisis Wacana (Bahagian Akhir). Kuala Lumpur. Dewan
Bahasa.
Halliday, M.A.K., & Hasan, R. (1976). Cohesion in English. London: Longman Group
Limited.
Harimuti kridaklaksana (1983). Kamus Linguistik. Jakarta: Penerbit PT Gramedia.
Henry Guntur Tarigan. (1995). Pengajaran Wacana. Dewan Bahasa dan Pustaka:
Kementerian Pelajaran Malaysia: Kuala Lumpur.
Idris Aman. (2010). Analisis Wacana. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kamus Dewan Edisi Keempat. (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Salina Ibrahim. (2006). Tanah Kampung Kami. Jurnal Dewan Sastera. Februari, 92-95.
Wong, Khek Seng. (1993). Pautan dan pembinaan Teks dalam Bahasa Melayu. Jurnal
Dewan Bahasa. April, 306-313.
16