Cara Penyebaran Islam Di Asia Tenggara

download Cara Penyebaran Islam Di Asia Tenggara

of 7

description

uigu

Transcript of Cara Penyebaran Islam Di Asia Tenggara

  • Cara Penyebaran Islam di Asia Tenggara

    Agama Islam mula berkembang di Alam Melayu dalam abad ke 13 Masihi. Menjelang

    abad ke 15 Masihi, agama Islam berjaya meluaskan pengaruhnya hampir ke seluruh

    alam Melayu dan menamatkan pengaruh agama Hindu dan Buddha yang menguasai

    daerah tersebut sejak abad ke 15 M. Sejarawan telah memberikan lima cara utama yang

    telah digunakan oleh orang Islam untuk menyebarkan Islam di Asia Tenggara dan dua

    cara sampingan.

    Perdagangan

    Penyebaran Islam telah disumbangkan oleh golongan pedagang yang sekali gus

    bertindak sebagai mubaligh. Ada dalam kalangan mereka adalah golongan ulama dan

    golongan sufi. Walaupun pada peringkat awal tumpuan perdagangan ialah dengan

    negara China, akan tetapi pedagang-pedagang terpaksa singgah berbulan-bulan

    lamanya di pelabuhan-pelabuhan Kepulauan Melayu untuk menunggu angin yang sesuai

    untuk meneruskan pelayaran ke China atau untuk pulang ke Tanah Arab.

    Dalam jangka masa yang panjang ini, pedagang-pedagang ini mempunyai masa yang

    banyak untuk bergaul dengan penduduk tempatan dan sambil itu menyebarkan agama

    yang dianuti oleh mereka itu. Biasanya pendakwahan mereka ini dijalankan dalam

    kalangan sama-sama pedagang. Daripada kalangan pedagang-pedagang ini terdapat

    juga pedagang yang bukan Islam itu tertarik kepada agama Islam.

    Namun demikian penyebaran agama Islam yang dijalankan begini tidaklah meluas. Ia

    terhad dalam kalangan pedagang-pedagang dan di kota-kota pelabuhan sahaja.

    Pengislaman cara begini jelas digambarkan oleh Marco Polo dalam laporannya tentang

    perkembangan Islam di Perlak. Beliau mengatakan pada sekitar tahun 1293 M itu

    kebanyakan penduduk kota Perlak telah Islam. Marco mengatakan pedagang-pedagang

    Islam telah berjaya memujuk penduduk tempatan Perlak untuk memeluk agama itu.

    Selain itu peranan pegawai-pegawai perdagangan dalam negeri-negeri Islam di Asia

    Tenggara ini juga telah memesatkan penyebaran agama ini. Sebagai contoh

    Syahbandar Melaka telah menyebabkan ramai pedagang dari sekitar Kepulauan Melayu

    itu memeluk Islam.

    Pedagang-pedagang Islam yang berdagang di Melaka biasanya akan mendapat layanan

    yang istimewa daripada syahbandar-syahbandar ini. Justeru itu, untuk mendapatkan

    layanan yang istimewa ini, ramai pedagang dari Kepulauan Melayu yang lain, seperti

    Brunei, Ternate, Maluku, Jawa, dan Sulawesi telah memeluk agama Islam.

  • Perkahwinan

    Perkahwinan adalah merupakan antara faktor perkembangan Islam di Nusantara. Oleh

    sebab terpaksa tinggal di kawasan ini berbulan-bulan lamanya untuk menunggu

    pertukaran angin, maka terdapat antara pedagang itu telah mengahwini wanita-wanita

    tempatan. Ramai saudagar yang datang ke alam Melayu merupakan golongan yang

    kaya raya. Sesetengahnya mempunyai hubungan yang rapat dengan pembesar-

    pembesar tempatan.

    Dengan kekayaan yang ada, mereka berjaya mempengaruhi wanita-wanita tempatan

    untuk dijadikan isteri. Sebagai seorang Islam, mereka tidak boleh berkahwin dengan

    bukan Islam. Ini telah menggalakkan wanita-wanita tempatan memeluk Islam.

    Dengan contoh yang baik dari golongan ulama ini, keluarga mereka secara langsung

    turut tertarik dengan Islam. Malahan ada saudagar yang dapat berkahwin dengan

    puteri-puteri dari kalangan anak pembesar terutamanya di zaman Kesultanan Melayu

    Melaka. Perhubungan keluarga telah memudahkan para pedagang Islam berdakwah

    secara terus dengan kaum kerabat mereka sendiri.

    Perkahwinan ini juga sekurang-kurangnya dapat menarik minat pembesar-pembesar

    tempatan untuk menerima Islam. Biasanya apabila pembesar-pembesar menerima

    Islam maka seterusnya akan diikuti golongan bawahan ataupun rakyat secara beramai-

    ramai. Hasilnya bertambahlah bilangan penduduk yang menganut agama Islam. Dengan

    cara ini Islam telah berkembang di kawasan-kawasan kota perdagangan di Asia

    Tenggara.

    Agama Islam juga tersebar melalui perkahwinan antara raja sesebuah negara dengan

    puteri raja dari negara lain. proses ini biasanya dipanggil perkahwinan sahsiah. Langkah

    ini turut membantu perkembangan Islam ke sesebuah negara. Umpamanya

    perkahwinan puteri Pasai dengan Megat Iskandar Syah menyebabkan Islam tersebar

    dari Pasai ke Melaka. Begitulah juga perkahwinan anak-anak raja Melaka dengan putera

    puteri Pahang dan Kedah yang akhirnya telah menyebabkan kedua-dua menjadi negeri

    Islam kemudiannya.

    Pengislaman Raja dan Golongan Bangsawan

    Pengislaman pemerintah merupakan antara faktor bagi perkembangan Islam di Alam

    Melayu. Contohnya ialah di Melaka, apabila raja Melaka, Parameswara memeluk Islam

    ramai pengikut-pengukut dan rakyat jelata yang masuk Islam. Dalam masyarakat Asia

    Tenggara amnya, dan masyarakat Melayu khasnya terdapat konsep taat kepada

    pemerintah yang dikenali sebagai daulat dan derhaka.

  • Konsep ini timbul kesan daripada pendewaan pemerintah yang berlebih-lebihan oleh

    penduduk kawasan ini. Sebelum Islam, raja-raja dianggap sebagai penjelmaan atau

    titisan dewa-dewa. Dengan itu muncul konsep dewaraja. Walaupun konsep ini

    bertentangan dengan akidah Islam, akan tetapi kemudiannya ia telah membantu

    penyebaran Islam dengan cepat dan mudah di Asia Tenggara.

    Apabila raja-raja telah dapat diislamkan oleh para mubaligh atau pendakwah, maka

    seluruh rakyatnya ikut serta memeluk Islam, bukan kerana meereka memahami agama

    itu dengan mendalam tetapi semata-mata kerana taat kepada raja. Namun kemudian

    kelas-kelas agama diadakan untuk rakyat jelata mempelajari dengan lebih mendalam

    mengenai agama Islam. Kes-kes ini jelas dilihat dalam pengislaman kerajaan Melaka,

    Kedah dan Patani.

    Sejarah Melayu mengesahkan bahawa apabila Raja Kecil Besar memeluk Islam, baginda

    telah diikuti oleh pembesar-pembesar dan rakyanya. Begitu juga cerita Hikayat Merong

    Mahawangsa tentang pengislaman Kedah dan Hikayat Patani tentang pengislaman

    Patani.

    Apabila pemerintah memeluk Islam, kebanyakan nama mereka ditukar dan digelar

    sebagai sultan. Dalam proses pengislaman pemerintah saudagar-saudagar berperanan

    sebagai pendakwah. Saudagar-saudagar ini bukan sahaja berdagang tetapi juga

    menyebarkan Islam. Selalunya saudagar ini terdiri daripada orang yang kaya dan dapat

    menarik minat golongan pemerintah dengan kekayaan yang mereka miliki.

    Penaklukan

    Penaklukan juga tidak kurang pentingnya menjadi faktor pendorong tersebarnya Islam

    di Nusantara ini. Apa yang dimaksudkan ialah penaklukan yang dilakukan oleh sesebuah

    negara Islam ke atas daerah lain. Jika daerah yang ditawan itu belum Islam maka dengan

    penaklukan itu para pembesarnya akan terpengaruh dengan Islam kerana motif politik,

    kedudukan, ekonomi dan sebagainya. Jika daerah yang ditawan itu telah Islam maka

    dangan penaklukan itu, Islam dapat dikembangkan dengan lebih berkesan lagi.

    Kerajaan Pasai sebagaimana yang diterangkan dalam catatan Ibnu Batutah telah

    meluaskan kuasa politiknya ke daerah sekitarnya dengan peperangan lalu Islam tersebar

    di daerah tersebut.

    Namun peperangan bukanlah satu cara yang digunakan untuk menyebarkan Islam

    seperti yang didakwa oleh Barat, meskipun ada penaklukan yang berlaku tetapi bukan

    dengan cara kekerasan dan paksaan.

    Memang banyak peperangan yang berlaku yang embawa kepada pengislaman wilayah

    yang dikalahkan oleh kerajaan Islam. Sebagai contoh, penaklukan Melaka ke atas

    beberapa negeri telah menyebabkan negeri itu menerima Islam. Melaka semasa zaman

  • kekuasaan Bendahara Tun Perak telah berjaya menakluki beberapa daerah di Tanah

    Melayu dan Sumatera seperti Pahang, Terengganu, Patani, Kampar, Inderangiri, Rokan,

    Siak, Johor, Bangkalis dan lain-lainnya.

    Oleh itu Islam tentunya dapat disebarkan dengan mudahnya di daerah jajahan takluk

    tersebut. Begitu juga dengan penaklukan Demak ke atas Majapahit telah mengislamkan

    penduduk kawasan pedalaman Pulau Jawa itu.

    Kerajaan Acheh yang merupakan sebuah empayar Islam yang tersebar di abad 16 dan 17

    di Asia Tenggara ini yang mempunyai jajahan takluk yang luas di Sumatera dan Tanah

    Melayu tentunya dapat menyebarkan Islam dengan mudah juga di daerah tanah

    tajahannya itu. Memangnya ada tercatit dalam sejarah Acheh bahawa kerajaan Acheh

    telah mengirimkan para pendakwah Islam ke daerah tanah jajahannya itu di Tanah

    Jawa.

    Kerajaan Islam Demak juga telah menakluki daerah-daerah yang diperintah oleh

    kerajaan-kerajaan Hindu. Misalnya kerajaan Hindu Majapahit telah ditewaskan dan

    dijadikan tanah jajahan takluknya. Dengan ini maka Majapahit bertukar menjadi sebuah

    negara Islam.

    Di samping itu seperti yang diperkatakan sebelum ini, kesetiaan rakyat Melayu

    (penduduk Asia Tenggara) kepada raja telah menyebabkan mereka dengan mudah

    memeluk Islam. Perkara ini turut jelas dapat dilihat di Jawa. Setelah Demak menawan

    Majapahit dan mengambil alih pemerintahan kerajaan Jawa yang teragung itu, hampir

    seluruh penduduk kawasan itu memeluk Islam. Golongan yang tidak mahu menerima

    Islam telah melarikan diri ke Bali dan kawasan-kawasan yang dikuasai oleh orang bukan

    Islam. Mereka memeluk Islam bukan dipaksa oleh Demak tetapi mereka mengikut

    agama orang yang memerintah mereka.

    Peranan Pusat Kebudayaan

    Kesusasteraan juga telah menjadi saluran penting kepada penyebaran Islam di Asia

    Tenggara. Dengan kedatangan Islam, masyarakat di Alam Melayu sebagai bahasa

    perhubungan utama. Dengan adanya satu bahasa ini, kegiatan menyebarkan Islam

    menjadi lebih mudah dan lancar. Kedatangan Islam juga telah memperkenalkan tulisan

    jawi. Hal ini memudahkan para ulamak dan pendakwah mengajar tentang ilmu yang

    berkaitan dengan Islam kerana mereka dapat menguasai tulisan jawi.

    Di zaman keagungan Melaka dan Acheh, Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa

    pengantar dalam system pendidikan mereka. Pelbagai bentuk sastera Arab seperti syair

    dan gurindam talah mempengaruhi Bahasa Melayu. Hasilnya sastera-sastera Islam telah

    dikembangkan melalui Bahasa Melayu dan ini sudah tentu dapat mengembangkan lagi

    fahaman orang-orang melayu terhadap ajaran Islam.

  • Beberapa tokoh karyawan dan ulama luar dan tempatan telah menghasilkan karya-

    karya yang berunsur Islam sama ada dalam bentuk asli ataupun terjemahan dan

    saduran. Sebahagian besar daripada karya tersebut seperti Hikayat Nabi Bercukur,

    Hikayat Raja Khandak, Hikayat Amir Hamzah dan sebagainya begitu diminati oleh orang

    Melayu.

    Karya-karya ini mengandungi pelbagai unsur yang boleh mendekatkan kefahaman

    pembacannya kepada ajaran Islam itu sendiri. Bidang kesusasteraan Islam begitu pesat

    berkembang di Acheh sehingga melahirkan ramai tokoh satera seperti Hamzah Fansuri

    dan Nuruddin al-Raniri yang berhasil mengarang pelbagai jenis kitab agama. Kitab-kitab

    ini kemudiannya disebarkan keseluruh jajahan takluk dan hal ini sudah tentu membantu

    penyebaran Islam ke Alam Melayu atau Nusantara.

    Peranan Mubaligh

    Pendakwahan oleh para ulama dan ahli-ahli sufi merupakan cara penyebaran Islam yang

    paling meluas dan berkesan. Pendakwahan ini telah dijalankan sejak abad ke-8 M lagi.

    Pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz (717-720 M), pengiriman pendakwah-

    pendakwah ke Asia Tenggara telah giat dijalankan. Beliau berjaya mengislamkan

    pemerintah Kerajaan Suwarnabhumi atau Melayu Jambi yang bernama Sri Indravarman.

    Sri Indravarman ialah seorang Maharaja Srivijaya yang namanya dikenali dalam catatan

    China sebagai Shih-li-t-o-pa-mo. Pada tahun 100 H (718 M) Maharaja Srivijaya itu

    mengutus sepucuk surat kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan memohon baginda

    menghantar seorang ulama bagi menerangkan tentang agama Islam. Kerajaan

    Majapahit bertukar nama kepada Sribuza Islam kemudiannya.

    Sekitar tahun 820 M, sebuah rombongan mubaligh Mazhab Syiah yang diketuai

    nakhoda khalifah telah sampai di Perlak. Rombongan itu telah berjaya mengislamkan

    pemerintah dan penduduk Perlak dan menjadikannya sebagai kesultanan Islam yang

    pertama di Asia Tenggara. Oleh itu pada peringkat awal ini, Islam yang tersebar di

    sekitar pesisir pantai utara Sumatera adalah Syiah.

    Menjelang abad ke-10 M, keadaan dunia Islam kucar-kacir. Kerajaan Abbasiyah semakin

    lemah menyebabkan wilayah-wilayah di bawah kuasanya mula memerdekakan diri.

    Peperangan untuk merebut wilayah di antara kerajaan-kerajaan kecil itu sering sahaja

    berlaku. Keadaan kacau-bilau dan porak peranda ini telah mengecewakan segolongan

    masyarakat Islam ang beranggapan bahawa kekacauan dan keadaan ini berlaku akibat

    daripada umat Islam yang terlalu mementingkan kebendaan masa itu. Oleh itu golongan

    ini telah mengasingkan diri daripada orang ramai dan hidup sebagai ahli-ahli sufi yang

    mengamalkan tarikat dan tasawuf.

  • Ahli-ahli tarikat ini kemudian telah keluar dari Tanah Arab untuk menyebarkan agama

    Islam mengikut fahaman mereka. Merekalah yang memainkan peranan penting dalam

    penyebaran agama Islam pada abad ke-13 M dan selepasnya di Nusantara.

    Sekitar tahun 1260-an utusan dari Makkah yang dipimpin oleh seorang ulama Sufi

    bernama Syeikh Ismail al-Siddiq datang untuk menyebarkan Islam di Asia Tenggara.

    Bersama-sama beliau ikut serta seorang ulama sufi dari Malabar India, bernama Fakir

    Muhammad.

    Mengikut Hikayat Raja-raja Pasai dan Sejarah Melayu mereka telah menyebarkan agama

    di Lamburi (Acheh), Perlak dan Pasai.

    Di Pasai juga telah didatangi ulama seperti Syarif Amir Sayyid al-Syirazai dan Tajuddin

    al-Asfahani. Selain itu para ulama yang menyebarkan Islam di Melaka boleh dikatakan

    semuanya terdiri daripada ahli sufi. Antaranya Syeikh Abdul Aziz, Maulana Abu Bakat

    dan Maulana Yusuf.

    Setiap ulama sufi sampai di Asia Tenggara mengajar agama secara formal yang pada

    mulanya di istana-istana dan kemudian di masjid-masjid atau rumah-rumah mereka.

    Institusi ini kemudian telah berkembang menjadi sekolah-sekolah tersendiri yang

    dikenali sebagai pondok atau pensantren. Di Acheh ia dikenali sebagai dayah (yang

    berasal daripada perkataan zawiyah).

    Dengan adanya institusi-institusi pendidikan ini membolehkan agama Islam diajar

    dengan lebih mendalam dan sempurna. Di samping itu, institusi ini juga telah

    melahirkan ulama dan ahli-ahli sufi tempatan yang kemudian menggantikan ulama luar

    menjalankan tugas menyebarkan agama Islam di kawasan ini.

    Dalam zaman keagungan kerajaan Acheh pada abad ke-16 dan ke-17, telah lahir ulama

    sufi yang terkenal seperti Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumatrani dan Abdul Rauf

    Singkel.

    Di Jawa telah lahir ulama tasawuf yang terkenal yang dipanggil Wali Songo. Mereka

    adalah sembilan ulama yang terkemuka yang berperanan menyebarkan Islam di pulau

    itu.

    Keistimewaan Islam

    Faktor-faktor penyebaran Islam di Alam Melayu juga datang daripada keunggulan Islam

    itu sendiri. Antaranya ialah kesederhanaan, kesucian, dan keluhuran agama Islam yang

    bertunjangkan kepada ketuhanan yang tunggal dan persamaan taraf antara sesama

    Islam, tidak sebagaimana agama Hindu yang dianuti oleh penganut-penganut Melayu

    sebelum itu yang bertuhankan kepada berhala dan dewa di samping mangamalkan

    sistem kasta.

  • Pada keseluruhannya agama Islam mudah diterima oleh penduduk tempatan oleh sebab

    kesesuaian dan kemudahannya.

    Agama Islam bukan sebuah agama yang kompleks seperti agama Buddha dan Hindu

    yang hanya dapat difahami oleh golongan-golongan tertentu sahaja seperti pendeta

    dan sami. Ajaran Islam mudah iaitu tentang keesaan Allah SWT telah menarik perhatian

    ramai penduduk kawasan ini.

    Dalam Islam, menyembah Tuhan boleh dilakukan di mana sahaja tidak seperti agama-

    agama sebelumnya yang terpaksa melalui sami atau di tempat-tempat tertentu sahaja.

    Di samping itu, kerasionalan agama ini dalam semua bidang, baik dalam bidang sosial,

    ekonomi mahupun politik telah juga menarik hati orang di Asia Tenggara khususnya di

    Kepulauan Melayu.

    Islam juga telah memberikan mereka harga diri yang sebelum itu tidak diperoleh. Di

    bawah pemerintahan raja-raja Hindu-Buddha, rakyat hanya dianggap sebagai hamba

    untuk berkhidmat kepada golongan bangsawan.

    Ahli-ahli sosiologi moden menjelaskan bahawa sentimen pro-Islam yang mendalam

    dalam kalangan penganut Islam di kawasan ini terutama sekali di kawasan bandar

    adalah dipengaruhi dengan kuatnya oleh perasaan anti sistem kasta. Kelas-kelas

    bawahan dalam masyarakat menyedari bahawa kedudukan mereka tidak ada nilai

    dalam sistem masyarakat lama.

    Memeluk agama Islam adalah satu cara yang berkesan untuk membebaskan mereka

    dari belenggu kasta. Di Jawa misalnya, golongan rakyat dianggap sebagai kasta

    terendah iaitu Vaisya dan Sudra.

    Islam dengan ajarannya yang mementingkan persamaan taraf sesama manusia telah

    menjadi faktor yang utama dalam penukaran agama. Kedatangan Islam telah membawa

    ciri-ciri keadilan, iaitu semua manusia adalah sama taraf di sisi Tuhan. Perkara inilah

    yang menyebabkan ramai penduduk mudah menerima Islam.