Contoh Karangan Peribahasa
description
Transcript of Contoh Karangan Peribahasa
Contoh Karangan Peribahasa, Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya
Anak-anak perlu dididik sejak kecil seperti kata peribahasa melentur buluh biarlah
daripada rebungnya.
Tulis sebuah cerita berdasarkan peribahasa tersebut.
“Melentur buluh biarlah daripada rebungnya” bermaksud mendidik anak- anak
hendaklah dari kecil lagi. Peribahasa ini bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk
membentuk sebuah masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai kekeluargaan.
Peribahasa ini merupakan satu nasihat yang amat baik untuk mendidik anak-anak agar
cemerlang dan berguna kepada negara apabila dewasa kelak. Anak-anak menjadi lebih
mendengar nasihat jika diasuh sedari kecil kerana belum terpengaruh dengan unsur
negatif.
Aku masih ingat lagi, jiranku Mak cik Mona seorang ibu tunggal yang mempunyai
seorang anak sahaja. Kematian suaminya akibat penyakit jantung menyebabkan dia
kehilangan tempat bergantung. Kehidupan mereka yang kais pagi makan pagi, kais
petang makan petang tidak menghalang Mak cik Mona memberi pendidikan yang
sempurna kepada anaknya, Iqbal. Mak cik Mona berharap agar suatu hari nanti Iqbal
akan dapat memenuhi impian arwah ayahnya untuk menjejakkan kaki ke menara
gading.
Setiap pagi, Mak cik Mona terpaksa bangun seawal jam empat pagi untuk
menyiapkan nasi lemak dan kuih-muih. Semasa Iqbal pergi ke sekolah, dia akan
membawa kuih-muih dan nasi lemak yang disiapkan oleh ibunya untuk dihantar ke
warung Pak Mail. Sekembalinya dari sekolah, Iqbal akan mengambil duit hasil jualannya
tadi dan membeli barang-barang keperluan yang dipesan oleh ibunya. Walaupun
pendapatan mereka tidak seberapa, namun wang tersebut mampu menyara kehidupan
mereka berdua.
Sejak dari kecil, Iqbal telah dididik dengan ilmu agama.Setiap petang dia belajar
mengaji Al-Quran dengan Haji Ibrahim di masjid. Haji Ibrahim juga turut mengajar fardu
ain kepada anak-anak di kampung itu. Selepas itu, Iqbal akan terus pulang ke rumah
untuk mengulang kaji pelajaran. Dia patuh akan nasihat ibunya agar cepat pulang ke
rumah dan tidak bercampur dengan budak-budak kacang hantu di kampungnya.
Semakin meningkat remaja, Iqbal menjadi seorang anak yang berbudi pekerti
luhur. Dia tidak pernah mengabaikan pelajaran dan tanggungjawab kepada ibunya.
Dalam setiap peperiksaan, dia telah menunjukkan prestasi yang cemerlang. Guru-guru
selalu memuji dan menjadikan dia sebagai contoh kepada pelajar-pelajar lain di
sekolahnya. Ibunya selalu mengingatkan Iqbal supaya tidak lupa diri. Tidak hairanlah
Iqbal telah muncul sebagai pelajar terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) yang lalu.
Kejayaan yang diperoleh telah melayakkan Iqbal melanjutkan pelajaran ke
menara gading. Akhirnya, ketekunan dan usaha gigih Iqbal membuahkan hasil. Iqbal
telah berjaya menjawat jawatan penting di ibu kota. Iqbal bukan sahaja berjaya
dalam bidang kerjaya yang diceburi tetapi dia juga menjadi seorang yang baik
sahsiahnya dan berpegang teguh kepada agama. Dia bukanlah individu yang
diibaratkan seperti kacang lupakan kulit. Kesungguhan dan ketabahan Mak cik
Mona membesarkan anaknya telah terbalas. Mak cik Mona bersyukur kepada Tuhan
dan berasa gembira kerana janji kepada suaminya telah terlaksana