Difinasi sastera
Transcript of Difinasi sastera
Perkataan ‘sastera’ berasal daripada bahasa Sanskrit castra yang membawa maksud
kitab suci. Kesusasteraan pula membawa pengertian sebagai segala penghasilan
sastera yang dinikmati atau disampaikan, baik melalui tulisan dan pembacaan mahupun
melalui lisan dan pendengaran.(Harun Mat Piah et al;2006 hlm 6). Sastera merupakan
satu bidang seni kreatif yang medium pengantarnya adalah bahasa. Sastera bermula
dari tradisi lisan dan semakin berkembang mengikut peredaran semasa.
Pernyataan ini disokong oleh M.K Danziger dan W.S Jahnson (1983:2)
yang mendefinisikan sastera sebagai satu seni yang menggunakan kata-kata sama ada
lisan atau bertulis. Bahkan sastera juga merangkumi semua aspek yang menggunakan
bahasa yang bersifat kreatif, menurut Ismail Husein (1998:23). Ini juga ditegaskan oleh
Abu Bakar Hamid (1997:13) yang memberi pengertian sastera sebagai satu seni yang
bercorak intelektual dan gabungan kepuasan intelek dan kepuasan estetik.
Karya-karya sastera memaparkan perutusan, amanat serta lontaran idea
dan fikiran pengarangnya. Hasil karya itu mencerminkan gagasan dan daya fikir
pengarangnya yang ingin dikongsi bersama pembaca. Sebuah karya itu terhasil
daripada cetusan gabungan daya rasa, kepekaan dan keprihatinannya terhadap apa
yang diamati dan dialami oleh masyarakat. Menurut Syed Ali Ashraf (1989:36) sastera
bukan sahaja satu bentuk ilmu yang berseni tetapi ianya merangkumi segala aktiviti
manusia secara kreatif.
Meneliti pandangan yang diutarakan oleh para sarjana memperlihatkan
bahawa sastera ditandai dengan pelbagai ciri khusus. Justeru, tugasan ini akan
membincangkan dan menjelaskan konsep kesusasteraan, ciri-ciri khusus sastera,
kategori serta fungsinya dengan contoh-contoh yang bersesuaian.
Dalam hal ini perbincangan akan ditumpukan kepada kategori sastera mengikut
masa dan bentuk seperti yang dijelaskan oleh Harun Mat Piah (2003). Untuk maksud
ini, beberapa bahan dan teks sastera akan dirujuk sebagai bahan analisis yang
mewakili karya tradisional mahupun moden. Antara sumber petikan yang akan
diketengahkan bagi kategori sastera tradisional genre prosa ialah dari Sejarah Melayu
dan Sastera Rakyat. Manakala rangkap dari Gurindam Dua Belas akan dikaji untuk
mewakili sastera tradisional genre puisi. Sastera Melayu moden yang berbentuk prosa
pula akan diwakili oleh karya-karya Abdullah Munsyi manakala sajak Kamala yang
bertajuk “Telok Gong” pula akan mewakili puisi Melayu moden.
KONSEP KESUSASTERAAN
Sastera merupakan satu bidang seni kreatif di mana bahasa adalah medium
pengantarnya. Sastera ditandai dengan beberapa unsur khusus yang mampu
membentuk tamadun dan peradaban sesuatu masyarakat selain memperlihatkan sikap
dan pandangan pengarangnya. (Arba’ie et al,2008) Secara ringkasnya sastera
dilengkapi dengan unsur-unsur yang berikut:
S – Seni bahasa yang indah
A – Akaliah atau sisipan ilmu dan pemikiran pengarang
S – Sensori atau daya sensitiviti pengarang
T – Tersurat & tersirat
E – Estetika atau keindahan dari segi bahasa
R – Realiti kehidupan
A – Alternatif
Sastera Melayu mempunyai seni bahasa yang indah dan tersusun. Diksi
yang digunakan dapat memberi kesan penghayatan kepada pembaca. Ianya
mempamerkan kepakaran dan keahlian seorang pengarang itu untuk meluahkan dan
mengungkapkan makna yang difikirkan. Adunan teknik-teknik yang sesuai dan
ketepatan diksi menjadikan sesebuah karya itu hidup dan bertenaga.
Selain daripada penggunaan bahasa-bahasa yang indah dan tersusun, sastera
juga diiringi dengan unsur akaliah. Dalam erti kata lain, seorang pengarang perlu
memikirkan perutusan, amanat, atau lontaran idea yang ingin disampaikan atau
dikongsi dan direnungi bersama oleh pembaca. (Arba’ie et al,2008 hlm 1) Unsur
akaliah ini merupakan langkah pertama yang perlu ditetapkan sebelum terhasilnya
sesebuah karya.
Dengan perutusan yang diingin disampaikan, seorang pengarang perlu
mengolah dan menggabungkan serta melengkapi karyanya itu dengan daya rasa atau
sensitiviti mereka. (Arba’ie et al,2008 hlm 1) Untuk itu, seorang pengarang haruslah
bersifat sensitif atau peka dan prihatin akan masyarakatnya. Pengamatan pengarang
akan masyarakatnya dijadikan sumber asas dalam menghasilkan sesebuah karya.
Kewujudan pelbagai daya rasa ini akan membangkitkan dan meninggalkan kesan
perasaan kepada pembacanya. Daya rasa seperti belas simpati, benci , marah atau
geram akan dihubungkaitkan dengan fenomena yang dipaparkan. Karya itu akan lebih
bernilai sekiranya apa yang dipaparkan pernah dilalui atau dialami oleh pembaca.
Sastera juga mempunyai unsur tersurat dan tersirat. Sastera tidak terhasil
dengan kekosongan.(Ara’ie et al,2008 hlm 5) Ianya terhasil atas dorongan tertentu
dengan menggunakan sumber-sumber yang terdapat di persekitaran. Penafsiran
pembaca yang berencam mengundang pembaca memikirkan mesej yang ingin
disampaikan. Namun tidak semua lambang yang tersurat itu memberi erti apa yang
tersirat. Akan wujud makna-makna simbolik di sebalik kata-kata yang diungkapkan.
Sastera juga mempunyai nilai estetikanya. Selain pemikiran, gaya bahasa,
bentuk struktur dan tema juga memainkan peranan penting untuk menilai kesan
estetika sesebuah karya itu.
Sesebuah karya sastera juga merupakan cerminan realiti kehidupan. Persoalan-
persoalan yang dipaparkan dalam sebuah karya sastera merupakan rakaman realiti
dalam masyarakat. Ianya merupakan renungan serta pengamatan pengarangnya dan
diterjemahkan secara halus dan berhemah. (Arba’ie,2008 hlm 2)
Sastera yang terhasil merupakan satu alternatif kepada pengarang untuk
meluahkan perasaan, melepaskan kecaman-kecaman dan bauran rasa yang terbuku di
dada. Ianya bertepatan dengan fungsi sastera sebagai alat pelepasan nilai rasa dan
jerit naluri kehidupan manusia sejagat. (Arba’ie et al,2008 hlm 3)
KATEGORI KESUSASTERAAN MELAYU
Dalam kesusasteraan Melayu, pengkategorian sastera dilakukan berdasarkan
zaman atau masa sesebuah hasil sastera itu dikesan atau wujud. (Arba’ie et al,2008
hlm 8) Secara umumnya, pengkategorian sastera akan merujuk kepada tradisional dan
moden. Sastera Melayu tradisional meliputi dua genre iaitu prosa dan puisi. Genre
prosa dan puisi tradisional adalah seperti yang tersenarai:
Prosa Puisi Sastera Rakyat Pantun
Sastera Pengaruh Hindu Syair
Sastera Zaman Peralihan Peribahasa
Sastera Pengaruh Islam Teromba
Sastera Panji Talibun
Sastera Ketatanegaraan Nyanyian Kanak-kanak
Sastera Undang-undang Jampi Mentera
Sastera Saduran Gurindam Zikir
Cerita Berbingkai Seloka, Kit’ahMasnawi
Manakala bagi kategori Sastera Moden, genre prosa dan puisi moden pula adalah
seperti berikut:
Prosa Puisi
Cerpen Sajak
Novel
Drama
Walaupun kedua-dua sastera tradisional dan moden mempunyai genre
prosa dan puisi, namun, ciri-ciri khusus akan dibincangkan selanjutnya untuk
membandingkan sastera tradisional dan moden.
CIRI-CIRI SASTERA MELAYU TRADISIONAL
Sastera Melayu tradisional merupakan karya-karya yang telah diwarisi
secara turun-temurun. Sastera tradisional disebarluaskan melalui lisan dan memberi
gambaran cara hidup atau budaya sesuatu masyarakat. Ia bersifat kolektif atau hak
milik bersama. Tiada sesiapa yang tahu siapa pengarangnya dan tidak diketahui tarikh
sesuatu sastera itu dihasilkan. Ianya lahir di kalangan masyarakat masa lampau dan
disampaikan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi yang lain kerana pada
umumnya masyarakat pada zaman tersebut masih belum mengenal huruf dan tidak
tahu menulis. Penyebaran sastera Melayu tradisional juga terhad disebabkan khalayak
yang terbatas dan bersifat esklusif.
Oleh kerana ianya disampaikan melalui lisan, banyaklah berlakunya
perubahan dan tokok tambah serta penyesuaian. Tema, latar serta watak dalam
sastera tradisional berpusat kepada masyarakat yang mewarisinya dan dipandang
tinggi oleh masyarakat tersebut sehinggakan karya-karya itu dianggap suci dan
keramat.
CIRI-CIRI SASTERA MELAYU MODEN
Sastera Melayu Moden pula mempunyai ciri-ciri yang berlainan dengan
sastera Melayu tradisional. Jika sastera Melayu tradisional tersebar melalui lisan, maka
sastera Melayu moden pula disebarkan melalui tulisan. Penyebaran hasil-hasil sastera
yang berbentuk tulisan ini semakin berkembang dengan kehadiran mesin cetak.
Penyebaran ini semakin meluas dan berjaya menembusi masyarakat pembaca yang
ramai. Ini berbeza dengan sastera tradisional yang hanya diketahui oleh golongan
tertentu sahaja. Jika sastera Melayu tradisional terhad kepada sesebuah masyarakat
tertentu sahaja yang bersifat esklusif, sastera Melayu moden pula merupakan
sebaliknya. Ianya bersifat individu atau perseorangan kerana disertakan dengan nama
pengarangnya. Ianya tidak lagi bersifat kolektif atau kepunyaan umum tetapi khusus
dimiliki oleh pengarangnya. Bahkan sastera Melayu moden mempunyai sistem hak
cipta terpelihara.
Walaupun ciri-ciri sastera tradisional dan moden ini bertentangan, namun
masih terdapat persamaan dari segi fungsi sesebuah karya sastera itu dihasilkan.
PUISI MELAYU TRADISIONAL
Menurut Za’ba, puisi adalah karangan berangkap yang khas dipakai untuk
melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan
serta kecantikan bahasa.(Arba’ie et al,2008 hlm 9) Pendapat yang sama juga
diutarakan oleh Samuel Taylor Coleridge yang mengemukakan puisi sebagai kata-kata
terindah dalam susunan terindah. (Arba’ie et al,2008 hlm10)
Salah satu bentuk puisi tradisional adalah gurindam. Menurut Md Ali
Bachik (2003), gurindam adalah sebuah wacana yang mengandungi kalimat-kalimat
yang berirama dimana isinya berunsur nasihat dan bentuknya semacam bidalan.
Gurindam juga membawa erti sesuatu perkara itu berlaku kerana ada penyebabnya dan
melalui penyebab itulah perkara tersebut terjadi.
Gurindam Dua Belas merupakan kary a hasil karangan Raja Ali Haji y ang termasy hur. Beliau merupakan seorang sasterawan
negara dari Pulau Peny egat, Riau, Indonesia. Gurindam Dua Belas meny entuh perihal ketuhanan, keagamaan, budi pekerti, kewajipan antara anak
dan ibu bapa dan sebalikny a serta hidup bermasy arakat.
Salah satu tujuan terhasilnya Gurindam Dua Belas adalah untuk
menyedarkan masyarakat tentang pentingnya beragama, berilmu, berbudi pekerti
mulia, mentaati dan menghormati ibu bapa serta banyak lagi. Berikut adalah berapa
baris daripada petikan Gurindam Dua Belas ciptaan Raja Ali Haji.
GURINDAM DUA BELAS
...
Jika hendak mengenal orang berbangsa,
Lihat kepada budi dan bahasa,
... Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
Bertanya dan belajar tiadalah jemu
... Apabila anak tidak dilatih,
Ketika besar, bapanya letih.
...
Berdasarkan petikan tersebut, dengan cara mengenali atau mempelajari
budi dan bahasa seseorang itu maka ketahuilah kita akan bangsanya. Budi dan bahasa
dalam baris ini bukan sahaja menyentuh pada sistem linguistik semata-mata tetapi
merangkumi juga sistem budaya dan adat sesebuah bangsa. Cara kita menggunakan
bahasa Melayu akan mempamerkan kelakuan budaya dan taraf sosial kita dalam
masyarakat. Seperti kata peribahasa Melayu, “bahasa melambangkan bangsa, bangsa
melambangkan budaya.” Dari bangsa seseorang kita akan kenali bahasanya dan dari
bahasanya pula, barulah kita kenali budayanya.
Begitu juga dengan cara mengenali seseorang yang berilmu. Dengan
bermodalkan pertanyaan dan sifat ingin tahu, seseorang yang berilmu itu tidak akan
berhenti untuk mempelajari apa yang tidak diketahuinya. Seseorang yang dahagakan
ilmu itu tidak akan pernah jemu untuk mencarinya walau sejauh manapun seperti hadits
yang berbunyi, ‘menuntutlah ilmu sekalipun sejauh di negeri Cina’.
Berdasarkan petikan di atas, Raja Ali Haji juga menyentuh tentang
pendidikan anak-anak. Ianya merupakan nasihat kepada ibu bapa agar tidak
mengabaikan tanggungjawab mendidik anak-anak dari kecil supaya tidak meletihkan
atau menyusahkan kedua ibu bapanya ketika dewasa kelak. Memang seharusnya,
anak-anak dari kecillah yang perlu diasuh, dididik dan diberi teguran akan tingkah
lakunya agar sentiasa berkelakuan baik dan berbudi bahasa. Jika tidak dilentur buluh
dari rebungnya, atau dari kecil lagi, maka ketika dewasa, segala tingkah laku dan
peribadi seseorang itu sukar diubah dan diperbaiki.
PROSA MELAYU TRADISIONAL
Salah satu genre prosa Melayu tradisional adalah sastera rakyat. Sastera
rakyat berfungsi sebagai salah satu wadah hiburan. Ia lazimnya diceritakan oleh
tukang-tukang cerita pada waktu malam untuk menghilangkan penat selepas bekerja di
siang hari. Sastera rakyat juga dikenali dengan nama, penglipur lara. Lazimnya cerita
penglipur lara ini diiriingi dengan alat muzik tertentu (ms 92), ciri umum tertentu seperti
berkisar di sekitar istana, mengenai putera-putera raja yang tampan, gagah, berani dan
sakti dan puteri-puteri raja yang cantik jelita tiada bandingannya seperti dalam contoh
Hikayat Malim Deman dan Hikayat Anggun Cik Tunggal di mana watak-wataknya
berpusat kepada anak-anak raja. Cerita-cerita penglipur lara ini penuh dengan kisah-
kisah kesaktian dan dewa dewi. Ini kerana masyarakat Melayu ketika dahulu
mempunyai sistem kepercayaan tradisinya yang amat ketara perbezaannya jika
dibandingkan dengan masyarakat moden sekarang. Justeru itu, rata-rata penceritaan
serta konteks cerita sesebuah karya itu menyentuh kepada unsur-unsur ghaib, dongeng
dan mitos serta alam yang luar biasa. Sepertimana fungsinya sebagai penglipur lara,
cerita ini lazimnya bertemakan percintaan antara wira dengan wirawati dan
peperangan-peperangan yang terpaksa dihadapi oleh wira dalam mencapai sesuatu
tujuan.
Selain hiburan, sastera juga membawa unsur didaktik atau pengajaran.
Cerita-cerita teladan merupakan salah satu sastera tradisional yang berbentuk prosa.
Cerita-cerita ini bertemakan pendidikan moral sama ada berlandaskan peraturan
kehidupan sosial dan budaya atau pengajaran agama. (Arba’ie et al,2008 hlm 104) Jika
cerita penglipur lara berkisar kepada anak-anak raja, cerita teladan ini pula lazimnya
terdiri daripada manusia biasa. Kebanyakannya berlatar belakangkan dunia nyata dan
menggunakan gaya pertuturan seharian. Di samping memberikan didikan moral , cerita
teladan ini lazimnya memberikan kesan yang mendalam di jiwa kanak-kanak.
Pastinya ramai kanak-kanak yang mengenali cerita Si Tanggang, Batu Belah
Batu Bertangkup dan Cerita Bawang Putih dan Bawang Merah. Ajaran utama dalam
cerita-cerita teladan ini ialah balasan baik terhadap setiap kebaikan dan sebaliknya
seperti mana yang dapat kita lihat dalam cerita Si Tanggang. Tanggang adalah seorang
anak yang tidak mengenang jasa ibunya dan durhaka. Bukan sahaja Tanggang tidak
mengakui ibunya, dia juga telah menolak ibunya hingga jatuh ketika ibunya berjumpa
dengan Tanggang. Anak durhaka dan biadap terhadap ibunya ini telah akhirnya
disumpah menjadi batu. Satu pengajaran yang cukup meninggalkan kesan betapa
mabrurnya doa seorang ibu dan balasan yang setimpal yang diterima oleh seorang
anak yang durhaka.
Pengajaran yang sama juga dapat kita lihat dalam cerita Batu Belah Batu
Bertangkup di mana ibu Melur telah ditelan oleh batu belah kerana kecewa dengan
perbuatan anaknya yang tidak meninggalkan walaupun secebis telur ikan tembakul.
Kekecewaan itu telah mengakibatkan ibunya berlari menyerah diri agar ditelan oleh
batu belah.
Dalam konteks kesusasteraan Melayu, pandangan yang diberikan oleh
para sarjana bersifat pelbagai antaranya pandangan Usman Awang yang mengaitkan
sastera sebagai hasil tulisan yang mencerminkan kehidupan manusia. Antara fungsi
utama terhasilnya sesebuah karya oleh seorang pengarang ialah dengan tujuan
didaktik atau pengajaran kepada masyarakatnya. Dalam hubungan ini Usman Awang
berpendapat bahawa sesuatu karya sastera itu bukan hanya untuk tujuan keseronokan
sahaja tetapi juga mengungkapkan gagasan dan pemikiran pengarangnya. Ini juga
ditegaskan oleh A. Samad Said (1996) yang menjelaskan bahawa sastera adalah rasa
dan jerit naluri kehidupan manusia sejagat, ianya merupakan satu refleksi kehidupan
yang diterjemahkan secara halus dan berhemah oleh pengarangnya.
Sastera juga berfungsi memberikan gambaran tentang kehidupan
masyarakatnya. Dalam Sejarah Melayu , Sultan Melaka dikatakan sanggup memenuhi
tuntutan Puteri Gunung Ledang demi mencapai hasrat untuk memperisterikannya.
Tuntutan Puteri Gunung Ledang ialah 7 dulang hati nyamuk, 7 dulang hati kuman,
jambatan emas dan istana di puncak gunung Ledang dan semangkuk darah Raja
Muda. Segala permintaan Puteri Gunung Ledang dapat dilaksanakan oleh Sultan
walaupun ianya bermakna mengorbankan rakyat jelata. Hanya semangkuk darah Raja
Muda yang memisahkan Sultan Melaka daripada mencapai hasrat hatinya. Ini kerana
semua yang terlaksana atau yang dapat dipersembahkan merupakan hasil penat lelah
rakyat . Manakala, untuk mengambil semangkuk darah Raja Muda, adalah satu
pengorbanan yang tidak dapat ditunaikan oleh Sultan Melaka sendiri.
Peristiwa ini juga memberikan gambaran kehidupan masyarakat pada
waktu itu yang terikat dengan kepercayaan, adat dan tradisi selain memperlihatkan
sejauh mana ketaatan rakyat terhadap raja yang disembah. Sultan Melaka
mengenepikan belas ihsannya terhadap masyarakatnya demi mencapai keinginannya
memperisterikan Puteri Gunung Ledang. Peristiwa ini juga memperlihatkan pengabdian
rakyat kepada seorang raja sewaktu dikerahkan membina jejambat emas dari puncak
Gunung Ledang.
PROSA MELAYU MODEN
Prosa Melayu Moden terdiri daripada genre cerpen, novel dan drama.
Dalam tugasan ini, perbincangan akan tertumpu kepada karya-karya Munsyi Abdullah.
Menurut Diana Laurenson dan Alan Swingerwoods (1972:13) hubungan
masyarakat dan persekitarannya amat rapat dan saling melengkapi. Sastera yang
terhasil didorong oleh sumber-sumber yang terdapat di persekitaran sama ada bersifat
persoalan, isu-isu ataupun fenomena tertentu yang dipindahkan dari layar realiti ke
dalam coretan rasa, daya kreativiti dan pemikiran pengarangnya. Oleh itu, pemikiran
yang terungkap merupakan luahan atau kesedaran yang timbul akibat
kepekaan,keprihatinan serta pengalaman peribadi pengarang melihat dunia dan
masyarakat dari kaca matanya.
Karya-karya Abdullah Munsyi merupakan salah satu contoh yang
memperlihatkan gagasan dan pemikiran pengarangnya. Abdullah Munsyi merupakan
seorang pengarang yang menjalinkan pengalaman, sikap dan pemikirannya dalam
semua karya-karyanya. Berbeza dengan sastera tradisional, karya-karya Abdullah
Munsyi bertitik tolak dari pengalaman pengarangnya sendiri. Beliau memperlihatkan
ciri-ciri keindividuan yang tidak ditemui dalam karya-karya kesusasteraan sebelumnya.
Abdullah Munsyi merupakan orang yang pertama mencatatkan pengalaman
kehidupannya serta pelayarannya pada ketika itu.
Jika sastera melayu tradisional menampakkan unsur-unsur didaktik serta
cerminan kehidupan, sastera melayu moden umumnya serta karya-karya Abdullah
Munsyi khususnya, pula menyentuh kepada kritikan sosial masyarakatnya.
Dalam Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah, ada disebutkan tentang sikap
orang Melayu yang tidak menghiraukan bahasa mereka sendiri.
“Adalah suatu hairan akan sebab melihatkan dan memikirkan hal orang Melayu ini,
belum sedarkan dirinya tinggal dalam bodohnya itu, oleh sebab tiada mahu belajar
bahasanya sendiri, tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya itu: maka mustahil
pada akal, adakah orang yang tiada belajar boleh menjadi pandai sendirinya.” (Hikayat
Abdullah, 1963)
Abdullah Munsyi tidak membenci orang-orang Melayu tetapi beliau tidak
mengerti tentang sikap dan perilaku orang Melayu sendiri terhadap bahasanya yang
diabaikan. Beliau juga mengutarakan persoalan tentang bahasa Melayu yang akan
pupus jika tidak dimartabatkan oleh bangsa Melayu itu sendiri.
Keberanian Abdullah Munsyi mengkritik masyarakat Melayu khususnya
pada ketika itu disebabkan beliau mendapat naungan Inggeris. Ini bermakna, beliau
bebas dari cengkaman feudal dan tidak terikat dengan lingkungan istana. Oleh itu,
beliau berani memberikan pendapat serta pandangannya terhadap permasalahan
orang Melayu ketika itu. Bahkan beliau juga mengakui karya serta kritikan yang
ditulisnya dengan membubuhkan nama beliau sebagai pengarang karya-karyanya. Ini
bermakna, beliau memikul tanggungjawab tentang apa yang dikaryakan.
Berbeza dengan sastera melayu tradisional, Abdullah Munsyi tidak
mengabaikan tanggung jawabnya terhadap masyarakatnya. Beliau bukan sahaja
memberikan penyedaran kepada masyarakatnya tetapi dengan berani mengolak
langkah mengusulkan beberapa cadangan serta huraian demi mengatasi masalah yang
dihadapi.
PUISI MELAYU MODEN
Selain daripada memberikan pengajaran atau hiburan kepada
masyarakatnya, sastera juga berfungsi sebagai satu wadah untuk berkomunikasi
tentang kebenaran. Dengan adanya kepekaan dan sensitiviti dari para penyair, segala
peristiwa sosial yang berlaku di dalam masyarakatnya akan mencetuskan peluang
terhasilnya puisi moden yang bertujuan mendedahkan tentang kebenaran kepada
masyarakat pembaca. Penangkapan Hamid Tuah dan petani-petani miskin oleh
kerajaan kerana dikatakan meneroka tanah secara haram di Telok Gong pada tahun
1967 telah mencetuskan kesan yang mendalam kepada para penyair. (Arba’ie et
al,2008 hlm 39) Suara protes dapat dilihat dalam petikan sajak Kemala bertajuk “Telok
Gong” yang berikut:
Rumah dan tanah saudara, meski buruk
Adalah istana indah kebebasan jiwa
Lihatlah sepuasmu kibaran bendera negara
Dan tanah-tanah rahsia bekas pengkhianatan
Membikin kami lebih berani bertindak
Kami tuntut keadilan! Keadilan yang merata
Suara protes penyair yang diungkapkan dalam sajak bertindak balas
sebagai tanda ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan yang dianggap tidak
bertimbang rasa kepada golongan bawahan.
Begitu juga dengan sajak-sajak yang dihasilkan dalam tahun
pemerintahan Jepun. Rata-rata sajak yang dicipta meniupkan semangat perjuangan
dan menyeru kepada masyarakat umumnya agar menggunakan peluang keemasan
yang ada untuk memperjuangkan hak mereka. Semangat perjuangan yang sedia ada
dalam masyarakat Melayu semakin teguh. Kesediaan mempertaruhkan diri dan sama-
sama menegakkan pertiwi serta cita-cita politik Jepun memberi satu kesedaran dalam
masyarakat Melayu.
RUMUSAN
Berdasarkan perbincangan, didapati bahawa kesusasteraan dapat dirujuk
sebagai hasil karya yang mempunyai mesej dan pemikiran tertentu. Sesebuah hasil
karya adalah pancaran dari kehidupan masyarakat. Selain itu , karya sastera juga dapat
dikategorikan mengikut genre. Setiap genre itu ditandai dengan ciri-ciri khususnya.
Setiap karya mempunyai mesej dan fungsi untuk mendidik dan membina
keperibadian ahli-ahli masyarakatnya. Setiap bahagian daripada unsur dan fungsi di
dalamnya mempunyai makna dalam teks karya selain berfungsi dalam kehidupan
masyarakat.
Arba’ie Sujud. 2008. Sastera Melayu Suatu Pengantar . Kuala Lumpur : Tinta Press
Sdn Bhd.
Harun Mat Piah et al. 2006. Kesusasteraan Melayu Tradisional . Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka
Asmah Haji Omar. 2008. Ensik lopedia BAHASA MELAYU. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka