EDU EDIT

download EDU EDIT

of 14

description

maktab

Transcript of EDU EDIT

TUGASAN 2 :i) INTROPEKSIBerdasarkan kepada petikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(2013-2025), kualiti guru merupakan faktor utama yang menjamin keberhasilan murid. Apabila guru dapat merancang dan menyampaikan pengajaran yang berkualiti dan berkesan maka ia dikatakan telah mencapai keberkesanannya sebagai seorang guru. Guru berkesan dapat membina insan dengan lebih berkesan(Harun, 2002). Oleh itu, berdasarkan temubual yang saya jalankan dengan guru cemerlang SKDAM, Pn Sharina Bt Hashim, beberapa kualiti yang seharusnya ada pada seorang guru telah dapat saya kenalpasti. Sebagai seorang guru cemerlang yang telah berkhidmat hampir 20 tahun dalam bidang pendidikan, Pn. Sharina sememangnya memiliki kualiti dan nilai-nilai sebagai seorang guru yang harus dicontohi. Saya mendapati bahawa beliau seorang yang prihatin dan sentiasa mengutamakan kebajikan murid. Bagi beliau sebagai guru, kerja utama (core business) guru ialah murid itu sendiri. Guru perlu sentiasa mengutamakan kebajikan murid serta prihatin dengan kehendak dan keperluan murid di sekolah. Sikap beliau ini bertepatan dengan sikap seorang guru yang profesional. Hal ini kerana, menurut Noriati, Boon & Wong (2010), seseorang guru yang sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti pengajarannya dan sentiasa mementingkan kejayaan dan kebajikan murid-muridnya dikatakan mempunyai profesionalisme yang tinggi. Setelah membuat muhasabah diri, saya mendapati bahawa sebelum ini saya tidak menyedari murid ialah aset yang sangat penting bagi seorang guru. Bagi saya tugas saya hanya mengajar di dalam kelas hanya untuk memenuhi tuntutan sebagai seorang guru pelatih yang menjalani praktikum di sekolah. Saya juga kurang prihatin dengan keadaan murid-murid di sekolah. Pernah satu ketika, seorang murid mengadu beliau sering diganggu rakan sekumpulannya semasa belajar. Saya menganggap itu hanya gurauan di antara murid-murid. Tetapi, masalah itu berterusan sehinggalah saya mengambil tindakan dengan memberi amaran kepada murid yang mengganggu rakan tersebut dan menerapkan nilai-nilai murni dalam pengajaran saya. Daripada kejadian itu dan temubual ini, saya mula sedar bahawa saya perlu meletakkan keperluan dan kebajikan murid sebagai tanggungjawab utama saya di sekolah. Secara tidak langsung, saya akan dapat meningkatkan profesionalisme saya serta menjadi guru yang dekat di hati murid.Selain itu, saya mendapati Pn. Sharina ialah seorang yang sentiasa positif. Beliau sentiasa kelihatan ceria dan bersemangat ke sekolah. Guru yang positif akan menampilkan kualiti-kualiti seperti hormat, menyayangi, empati, adil, demokratik dan lebih mudah berhubung dengan pelajar. (Noriati, Boon & Wong, 2010). Sikap inilah yang saya lihat terdapat dalam diri beliau. Dengan sikapnya yang sering positif, beliau juga dapat mengurus stress dalam pekerjaan dengan baik. Seperti yang dinyatakan oleh Noriati, Boon & Wong (2010), setiap guru mempunyai respons yang unik terhadap stress, dan tidak ada satu cara yang boleh digunapakai oleh semua guru untuk menghadapi stress. Bagi Pn.Sharina sendiri sebagai seorang muslim, cara yang terbaik untuk menghadapi stress ialah dengan meningkatkan kekuatan rohani dan meletakkan sepenuh pergantungan kepada Allah swt. Sekiranya beliau menghadapi masalah, beliau akan bersolat dan sentiasa memikirkan perkara-perkara yang menyeronokkan kerana ia akan membuat beliau berasa lebih positif. Berbeza dengan diri saya, beban tugasan dan projek kadang-kadang membuatkan saya berasa tidak bersemangat untuk ke sekolah apatah lagi untuk mengajar murid. Saya sering membayangkan perkara-perkara negatif yang akan berlaku sekiranya saya tidak dapat membuat sesuatu tugasan dengan baik. Saya juga mudah rasa tertekan dengan cabaran yang dihadapi untuk menghasilkan pengajaran yang berkualiti. Maka, untuk menjadi seorang guru yang baik dan cemerlang, saya perlu sentiasa positif dengan setiap cabaran yang mendatang dalam kehidupan. Kajian yang bertajuk Minat, Motivasi dan Kemahiran Mengajar Guru Pelatih yang dijalankan oleh Halimah (2006) juga turut menyokong bahawa guru pelatih yang bersikap positif, berminat dalam kerjaya perguruan serta bermotivasi tinggi untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya. Oleh itu, saya yakin sekiranya saya sentiasa positif dan menerima cabaran dengan hati yang terbuka, pasti saya akan dapat menghadapi stress dengan berkesan dan menjalankan tugas sebagai seorang guru dengan cemerlang. Dalam temubual yang dijalankan juga, Pn Sharina ada menyatakan bahawa beliau sedang menyambung pelajaran dalam peringkat Ijazah di Universiti Sains Islam Malaysia. Beliau sentiasa dekat dengan buku dan suka mencari input-input serta info-info yang berguna di blog, facebook dan laman web semasa. Beliau juga sering mengikuti seminar-seminar yang diluar bidang pendidikan dengan tujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran. Bagi beliau, seorang guru perlu mempunyai pengetahuan yang lebih atau sama dengan pengetahuan anak muridnya. Prinsip beliau ini turut disokong oleh Harun (2002) dalam kajiannya yang bertajuk Nilai Dan Etika Kerja Guru Dalam Pembinaan Insan yang menggesa para guru supaya menambahkan ilmu dan kemahiran dari semasa ke semasa. Tujuannya ialah supaya pemberi ilmu itu lebih banyak ilmunya dan lebih mahir menyampaikannya daripada penerima ilmu tersebut.Sikap Pn.Sharina ini menunjukkan bahawa beliau seorang yang sentiasa ingin belajar bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran diri. Sebagai seorang guru pelatih, sikap beliau amat patut saya contohi memandangkan saya belum mempunyai pengalaman yang banyak dalam bidang pendidikan. Pastinya ilmu pengetahuan serta kemahiran yang saya miliki juga masih kurang. Saya tidak boleh hanya mengharapkan pihak institut untuk menganjurkan seminar-seminar atau bengkel bagi meningkatkan kemahiran diri. Saya sendiri sepatutnya mencontohi sikap Pn. Sharina dengan mencari inisiatif sendiri untuk menambahkan ilmu pengetahuan serta melengkapkan diri dengan kemahiran. Sebelum ini saya menganggap seminar atau program yang tidak berkaitan dengan bidang keguruan adalah tidak penting. Setelah menjalankan temubual ini dan mengetahui impak program-program luaran ini kepada seorang guru, saya berjanji kepada diri sendiri untuk berusaha menyertai program yang boleh meningkatkan kebolehan diri saya. Selain itu berdasarkan temubual yang dijalankan, saya juga dapat membuat intropeksi daripada aspek ketahanan menghadapi cabaran. Saya mendapati Pn. Sharina ialah seorang yang suka berdaya saing dan sukakan cabaran. Beliau sering mencabar diri untuk menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan bermakna kepada murid-murid. Beliau tidak mudah berputus asa sekiranya berdepan dengan masalah yang mencabar kerana beliau sememangnya sukakan cabaran. Sebagai contohnya semasa mengajar, beliau pernah ditanya oleh anak muridnya tentang kotak hitam yang terdapat dalam kapal terbang. Memandangkan Pn.Sharina sendiri kurang jelas dengan fungsi kotak hitam itu, beliau meminta murid memberi masa kepadanya untuk mencari jawapan. Pada kelas yang seterusnya, beliau berjaya memberi jawapan yang dikehendaki murid-murid dan secara tidak langsung mendorong murid-murid untuk menjadi seorang juruterbang apabila dewasa kelak. Setelah menilai diri sendiri dan membuat muhasabah, saya merasakan bahawa saya kurang berani untuk mencabar diri sendiri. Saya lebih suka bersikap mengelakkan masalah daripada berusaha mengatasi masalah tersebut. Hal ini mungkin kerana saya malas berusaha untuk menyelesaikan cabaran dan masalah yang dihadapi. Oleh itu, mulai sekarang saya akan lebih berusaha untuk meningkatkan pengetahuan saya. Sekiranya menghadapi masalah untuk menyampaikan pengajaran dengan baik, saya boleh berbincang dengan para guru yang telah lama berkhidmat dalam bidang keguruan untuk meminta nasihat mereka. Dan yang paling penting, saya perlu sedar bahawa masalah dan cabaran pasti wujud. Saya sendiri perlu berani untuk menghadapi cabaran tersebut dan perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran tersebut. Seterusnya, antara nilai dan kualiti yang saya kagumi dalam diri Pn. Sharina juga ialah beliau tidak pernah memandang rendah kepada kebolehan murid untuk berjaya. Saya mendapat tahu bahawa beliau merupakan guru kelas kepada kelas 4 Permata iaitu kelas kedua merangkap kelas terakhir bagi Darjah 4. Walaupun tahap pembelajaran mereka agak lemah berbanding kelas yang pertama, saya melihat Pn. Sharina sangat berbangga dengan anak muridnya. Beliau tidak memberikan layanan yang berbeza kepada muridnya walaupun mereka tidak pandai. Bagi beliau, seorang guru tidak boleh mengatakan kepada murid Awak apa tahu? sebaliknya, guru perlu mengatakan Apa yang awak tahu? Mari kita kongsi bersama. Guru tidak boleh menganggap murid tidak tahu dan murid perlu diberi peranan dan kepercayaan untuk menyuarakan jawapan mereka. Setelah membuat muhasabah diri, saya menyedari bahawa sebelum ini saya tidak pernah memandang berat aspek perasaan murid-murid. Saya tidak sedar betapa besarnya pengaruh sikap dan layanan saya kepada murid-murid untuk mereka membentuk keyakinan dan minat terhadap pengajaran saya. Saya sendiri pernah ditegur oleh Pn.Sharina kerana mengatakan bahawa jawapan yang diberi murid salah. Sepatutnya sebagai guru, saya tidak boleh terus mengatakan murid salah sebaliknya saya perlu meraikan jawapan mereka dengan mengatakan jawapan murid adalah kurang tepat dan murid boleh mencuba lagi untuk menjawab soalan. Melalui cara ini, murid akan lebih bermotivasi untuk mengikuti pengajaran saya serta meningkatkan pengetahuan mereka. Menurut Noriati, Boon, Wong (2010), guru berkesan merupakan seorang yang dapat memotivasikan murid untuk menguasai standard akdemik dan tingkah laku tertinggi. Guru perlu percaya bahawa semua pelajar boleh belajar kerana ia dapat menguatkan azam guru untuk mengajar dengan lebih baik. Selain itu, beliau juga merupakan seorang yang kreatif dan inovatif. Beliau sentiasa memastikan dirinya mempunyai daya tarikan seperti magnet yang akan menarik murid untuk berminat mengikuti pengajarannya. Beliau sentiasa berusaha untuk menjaga penampilan beliau supaya tampil berbeza dan lain daripada biasa. Menurut Noriati, Boon & Wong (2010), guru yang berkesan ialah guru yang dapat menampilkan gaya tersendiri yang unik, penuh minat, bersemangat dan membawa pembaharuan dalam pengajarannya. Bagi Pn. Sharina sendiri, guru perlu mempunyai gaya yang menunjukkan dia benar-benar seorang pendidik bagi dari segi gaya percakapan, pemakaian dan pergaulan seharian. Secara tidak langsung, murid dapat menjadikan guru sebagai role model mereka. Dari segi teknik pengajaran, beliau suka mencuba benda baru dan yang lain daripada biasa. Setiap hari juga beliau akan cuba mempelbagaikan teknik dan strategi pengajaran seperti memberi kuiz, game, tugasan berasaskan projek dan pembelajaran di luar bilik darjah seperti di taman Sains atau di padang. Setelah membuat intropeksi, saya mendapati bahawa semasa menjalani praktikum, strategi pengajaran yang saya sering gunakan lebih berpusatkan guru. Saya kurang memberi peluang kepada murid untuk terlibat aktif dalam pengajaran. Saya lebih suka menjalankan pengajaran yang berbentuk, cikgu mengajar, murid mendengar. Kebanyakan bahan bantu mengajar saya pula hanya berbentuk kad manila dan gambar. Saya juga berasa agak risau dan takut untuk mencuba teknik pengajaran yang lebih menarik seperti teknik pembelajaran koperatif dan pembelajaran di luar bilik darjah. Setelah menjalankan temubual dengan beliau, saya menjadi lebih yakin untuk bersikap kritis dan kreatif dalam bilik darjah. Saya juga berazam akan menjaga penampilan saya dengan lebih baik supaya bersesuaian dengan imej seorang guru. Kesimpulannya, secara keseluruhan saya boleh mengatakan bahawa Pn. Sharina ialah seorang guru yang profesional dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan profesionalisme dirinya. Beliau menyahut seruan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysian 2013-2025 untuk mentransformasikan profesion keguruan sebagai profesion pilihan. Beliau berusaha meningkatkan kualiti diri dengan melengkapkan diri dengan pengetahuan dalam bidang ICT, mengikuti seminar-seminar, membaca buku dan menyambung pelajaran di peringkat ijazah. Sebagai seorang guru pelatih, saya benar-benar berasa kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh Pn.Sharina untuk memperbaiki diri sendiri dan meningkatkan profesionalisme. Saya dapat membuat muhasabah yang membantu saya menilai diri sendiri hasil daripada temubual yang dijalankan bersama. Oleh itu, saya berharap pada masa akan datang, saya akan berusaha untuk memperbaiki kekurangan diri dan mengikut jejak langkah Pn. Sharina menjadi guru yang cemerlang yang disayangi murid-murid. ii) DAPATAN TEMUBUAL

BilSenarai KeutamaanJustifikasi

1.Peningkatan profesionalisme yang berterusanPeningkatan profesionalisme secara berterusan adalah amat penting bagi seorang guru. Hal ini kerana profesionalisme diri merupakan hasil daripada suatu proses pemikiran profesional dan tindakan dalam pembelajaran sepanjang hayat. Ia merupakan suatu proses di mana guru menyemak semula, memperbaharui dan melanjutkan komitmen mereka sebagai agen perubahan dalam pengajaran(Boon, 2005). Pada diri saya sendiri, saya berazam untuk meningkatkan profesionalisme kerana saya ingin menjadi guru yang berkualiti dan mampu menyediakan pengajaran yang berkualiti kepada murid-murid. Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia turut menyatakan bahawa Guru berkualiti ialah seorang guru yang sentiasa berkualiti pada masa ini dan masa depan dan untuk menjamin sistem pendidikan kekal berkualiti, guru perlu sentiasa relevan dengan cabaran semasa dan akan datang. Ini suatu kemestian jika guru hendak berjaya dan mencapai hasrat Wawasan 2020. Jika guru itu berkualiti, maka pelajar akan menjadi insan yang kamil dan cemerlang. Guru yang baik adalah guru yang sentiasa mahu mempertingkatkan diri dan akan melihat di mana diri mereka dalam sistem pendidikan. (Utusan Malaysia, 14 Mei 2009). Oleh itu, semoga saya dapat menjadi guru yang berkualiti dengan meningkatkan profesionalisme diri secara berterusan.

2.Pengurusan inovasi dan kreativitiPengurusan inovasi dan kreativiti dalam bilik darjah sangat penting bagi seorang guru terutamanya bagi saya yang bergelar guru pelatih dan juga guru novis. Menurut Noriati, Boon, Sharifah & Zuraidah (2010), peringkat novis bermula apabila seseorang individu mendaftar sebagai pelajar pendidikan guru (teacher education students) dalam program Ijazah Perguruan. Jadi, pada peringkat ini saya masih lagi berusaha untuk mempelajari cara untuk mengajar serta mempelajari fakta, konsep dan peraturan asas pengajaran. Saya masih belum cekap untuk mengurus inovasi dalam bilik darjah. Saya juga agak risau untuk bersikap kreatif dalam pengajaran. Oleh itu, amat penting bagi saya untuk mengetahui cara terbaik untuk mengurus inovasi dan kreativiti. Seperti kata Pn.Sharina, saya akan memperolehi keberanian untuk mencuba teknik-teknik pengajaran yang kreatif dalam bilik darjah apabila saya telah lama mengajar. Pengalaman itu akan membantu saya untuk menjadi lebih kreatif dari semasa ke semasa.

3. Cara menghadapi tekanan dalam kalangan murid dan dalam diri sendiriCara menghadapi tekanan adalah amat penting untuk diketahui dan diamalkan oleh seseorang guru. Menurut Pn. Sharina, salah satu cara untuk mengelakkan stress ialah dengan sentiasa berfikiran positif. Sikap positifnya inilah yang akan memberi kekuatan kepadanya supaya dapat meneruskan perjuangan dalam bidang keguruan sehingga ke akhirnya tanpa burn out di pertengahan jalan. Dalam buku Guru dan Cabaran Semasa, Syed Ismail & Ahmad Subki (2013), menyatakan bahawa burn out merupakan proses yang beransur-ansur(gradual process) daripada seseorang yang komited sehinggalah dia kehilangan daya minat terhadap kerjayanya. Saya akui bahawa saya sukar untuk mengekalkan perasaan cinta kepada profesion keguruan dengan mendalam. Saya khuatir jika saya sering berfikiran negatif dan tidak tahu cara yang betul untuk menghadapi tekanan, ia akan menyebabkan saya burn out di pertengahan jalan. Oleh itu, sikap yang positif dalam diri dapat memberi saya semangat untuk meneruskan perjuangan dalam bidang keguruan. Sekiranya saya sentiasa positif, pasti segala cabaran yang mendatang akan dapat dihadapi dengan baik.

4.Keselarasan dengan cabaran pendidikan semasaProfesion sebagai seorang guru bukanlah suatu profesion yang mudah. Pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh guru bagi menjadi guru yang baik dan melahirkan murid yang berjaya dalam segenap aspek. Oleh itu, sebagai guru pelatih saya merasakan saya perlu menyediakan diri dari sekarang untuk menempuhi cabaran yang mendatang dalam bidang pendidikan kelak. Seperti yang dianjurkan oleh Pn.Sharina, saya perlu sentiasa peka dengan isu-isu semasa serta saling berkongsi idea serta pendapat dengan rakan-rakan yang bertugas dalam bidang keguruan atau bidang yang lain seperti perkapalan, kejuruteraan dan sebagainya. Melalui cara ini, pastinya saya akan mampu menghadapi setiap perubahan-perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan dan bersedia menyahut cabaran pendidikan semasa.

5.Anjakan paradigma dalam pengajaran dan pembelajaranAntara bentuk-bentuk anjakan paradigma dalam pendidikan yang dapat saya perhatikan ialah penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi(TMK) yang meluas dalam pendidikan. Sebagai guru saya perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan melakukan anjakan paradigma dari aspek pengajaran dan pembelajaran saya. Salah satu cara yang boleh dilakukan ialah dengan meningkatkan kemahiran TMK. Saya juga memuji usaha kerajaan yang memperkenalkan program I-Think kepada sekolah rendah di Malaysia. Melalui program ini, saya yakin pasti teknik dan strategi pengajaran guru akan lebih kreatif dan dalam masa yang sama melahirkan murid yang berfikir secara kritis dan kreatif. Oleh itu, dari semasa ke semasa saya perlu menilai pengajaran dan pembelajaran saya dan sentiasa melakukan anjakan paradigma bagi menyediakan pengajaran yang terbaik untuk anak murid.

iii) Perancangan pelan pembelajaran profesional untuk membentuk diri menjadi seorang guru cemerlang.

As teachers we must believe in change, we must know it is possible, or we wouldnt be teaching because education is a constant process of change. Every single time you teach something to someone, it is ingested, something is done with it, and new human being emerges.(Leo Buscaglia)Ungkapan di atas menunjukkan betapa besarnya peranan seorang guru dalam mempengaruhi proses pemerolehan ilmu anak muridnya. Guru perlu menjadi seorang yang serba tahu kerana ilmu yang diajar guru itulah yang akan membentuk anak murid menjadi murid yang berjaya dalam segenap aspek. Seperti yang dinyatakan oleh Harun(2002), guru ialah seseorang yang memberi pengajaran atau menyebabkan seseorang yang lain mengetahui atau dapat membuat sesuatu. Menurut Noriati, Boon & Wong (2010) pula, seseorang guru yang berkesan merupakan pemimpin yang dapat mempengaruhi pelajar untuk berubah, belajar, berkembang, melakukan sesuatu secara berbeza, berdikari, bertanggungjawab dan mencapai matlamat. Menyedari tentang betapa besarnya peranan seorang guru sebagai pendidik, saya sebagai guru pelatih merasakan bahawa saya perlu mengambil langkah yang proaktif untuk membentuk diri ke arah menjadi seorang guru yang cemerlang. Oleh itu, saya telah merancang satu pelan pembelajaran profesional yang menggariskan langkah-langkah atau tindakan yang akan saya lakukan bagi membentuk diri ke arah menjadi seorang guru cemerlang yang dapat menyumbang sesuatu dalam bidang pendidikan. Guru yang profesional mesti mempunyai pengetahuan dari segi kandungan, pengetahuan kandungan pedagogi dan pedagogi asas (Noriati,Boon & Wong 2010). Untuk menjadi seorang guru yang cemerlang, saya perlu melengkapkan diri saya dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk mengajar dengan berkesan. Seperti yang disyorkan oleh guru cemerlang, Pn.Sharina Hashim, untuk menjadi seorang yang berpengetahuan, kita perlu sentiasa bersahabat dengan buku. Oleh itu, mulai dari sekarang saya mesti membudayakan amalan membaca bagi memperoleh pengetahuan. Mok (2000) menyatakan bahawa budaya ilmu dapat diterapkan dengan mengamalkan budaya membaca. Seorang guru perlu sentiasa mempunyai minat dan rajin membaca dengan tujuan menambah ilmu pengetahuan serta mengembangkan daya fikir sendiri. Selain buku, saya boleh memperolehi pelbagai maklumat dan teknik-teknik serta strategi pengajaran yang menarik melalui laman sosial seperti facebook. Melalui laman facebook, saya dapat berhubung serta berkongsi idea, pendapat dan bahan bantu mengajar dengan guru-guru lain di seluruh Malaysia. Saya juga boleh meminta nasihat daripada guru-guru yang cemerlang dan yang telah lama berkhidmat dalam bidang keguruan kerana pastinya pengalaman mereka lebih banyak daripada saya. Saya yakin dengan berusaha bersungguh-sungguh menimba ilmu pengetahuan dan melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan akan dapat membantu saya untuk menyediakan diri ke arah menjadi seorang guru yang cemerlang. Seterusnya, menurut Noriati, Boon & Wong (2010) juga, guru praperkhidmatan amat memberikan perhatian terhadap kemandirian diri atau survival, iaitu kemampuan mereka untuk menghadapi sesi pengajaran dengan jayanya. Begitu juga yang dirasakan saya sepanjang menjalani latihan praktikum. Walaupun telah diajar tentang pelbagai teori dan kemahiran pedagogi, saya tetap merasakan bahawa saya masih tidak mampu untuk mengajar dengan baik. Oleh itu, saya merancang untuk menyertai seminar-seminar dan program yang diluar bidang keguruan yang dapat meningkatkan keyakinan dan kemahiran diri saya. Berdasarkan temubual yang saya jalankan dengan guru cemerlang, beliau sendiri sering menyertai program-program luar bertujuan untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Contoh seminar dan program yang boleh diikuti ialah seminar keibubapaan, seminar pengurusan kewangan dan program-program motivasi yang dapat membentuk keperibadian seorang guru. Hal ini kerana menurut Noriati, Boon & Wong (2010), seorang guru yang berkesan perlu menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia dan berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa. Jadi, program-program yang berbentuk pembentukan imej seorang guru yang cemerlang amat wajar untuk saya ikuti. Selain itu, untuk menjadi seorang guru yang cemerlang saya perlu meningkatkan kreativiti saya semasa mengajar. Menurut Harun(2002), perkara yang membezakan seorang guru dengan seorang guru yang lain ialah darjah kemampuan pelajar yang dapat disediakan. Darjah kemampuan pelajar pula bergantung kepada proses penyediaan dan pelaksanaan strategi atau langkah-langkah pengajaran ke arah pencapaian objektif tersebut. Bagi memastikan objektif pembelajaran tercapai dan murid seronok untuk belajar, saya perlu melaksanakan teknik atau strategi pembelajaran yang kreatif. Semasa membuat muhasabah diri, saya sedar bahawa teknik pengajaran yang saya lakukan agak berbentuk tradisional iaitu lebih berpusatkan guru. Saya kurang memberi peluang kepada murid untuk berfikir secara kritis dan kreatif dalam bilik darjah. Tugasan yang saya berikan kepada murid adalah mudah dan tidak dapat mengukur kemampuan murid yang sebenar. Oleh itu, saya berazam untuk terus meningkatkan kreativiti diri dengan mencuba pelbagai teknik pengajaran yang menarik seperti pembelajaran koperatif, pembelajaran berasaskan projek atau masalah, e-learning dan pembelajaran di luar bilik darjah. Saya perlu berani untuk mengambil risiko bagi memperkenalkan sesuatu yang baru kepada murid-murid di dalam bilik darjah. Abdullah & Ainon (2002) dalam buku yang bertajuk Guru Sebagai Pendorong Dalam Darjah menyokong usaha guru-guru untuk bersikap kritis dan kreatif dalam bilik darjah. Bagi beliau, risiko adalah fitrah kreativiti. Setiap usaha bagi mencipta idea-idea kreatif dan menterjemahkannya menjadi realiti pasti berdepan dengan risiko kegagalan. Berdasarkan kajian-kajian yang dibuat oleh pakar psikologi pula mendapati bahawa satu ciri peribadi yang ketara pada orang yang kreatif ialah sifat tabah dan cekal menghadapi kegagalan demi kegagalan serta sifat tekun berusaha. Justeru itu, untuk menjadi seorang guru yang cemerlang, saya tidak boleh berputus asa untuk meningkatkan kreativiti dalam pengajaran.Bagi membentuk diri untuk menjadi seorang guru yang cemerlang juga, saya perlu berusaha untuk menjadi guru yang lebih prihatin dengan anak murid. Dalam intropeksi yang dibuat, saya sedar bahawa saya kurang mengambil berat akan kebajikan murid. Sedangkan sekiranya saya bersikap prihatin dan lebih mengambil berat tentang keadaan murid, pastinya saya dapat mendorong murid untuk menyukai pengajaran saya dan secara tidak langsung dapat membantu mereka meningkatkan pencapaian dalam pelajaran. Hal ini kerana, menurut Abdullah & Ainon (2002), seseorang guru hanya dapat menjadi pendorong kepada murid-muridnya apabila terdapat hubungan guru-murid yang sihat dan positif. Jadi, saya seharusnya berusaha untuk membina hubungan yang baik dengan anak murid dengan bersikap prihatin terhadap mereka. Selain itu, seperti yang dinasihatkan oleh guru cemerlang, saya perlu bersikap adil dalam memberikan layanan dan perhatian saya kepada setiap murid tidak kira sama ada murid itu pandai atau kurang pandai dan baik atau nakal. Murid-murid yang nakal sekalipun pasti mempunyai aspek-aspek yang baik pada diri mereka. Gurulah yang bertanggungjawab untuk menjadi pengukuh positif pada aspek-aspek baik itu dan seterusnya mendorong murid menjadi insan yang lebih baik dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (Abdullah & Ainon, 2002). Perancangan saya yang seterusnya ialah meningkatkan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(2013-2025), Kementerian Pendidikan Malaysia telah menggariskan 11 anjakan bagi mentransformasikan sistem pendidikan di Malaysia. Anjakan ke-tujuh yang ingin dicapai oleh oleh kerajaan Malaysia ialah memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia. Bagi membentuk diri untuk menjadi seorang guru yang cemerlang, saya perlu menyahut hasrat kerajaan ini dengan melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi. Antara contoh penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran ialah sebagai alat untuk menyebarkan maklumat melalui audio, video dan dokumen daripada Internet, bahan rujukan dan sebagainya. Sebagai guru pelatih, penggunaan TMK amat membantu saya dalam bilik darjah terutama sekali dari aspek penyediaan bahan bantu mengajar. Contohnya dengan menyediakan persembahan power point, tayangan video-video pengajaran serta penyediaan bahan-bahan untuk pengukuhan kefahaman murid-murid. Selain itu, saya banyak melayari internet untuk memperoleh maklumat dan idea-idea pengajaran yang menarik. Sememangnya pengaruh TMK melalui rangkaian internet amat penting dari segi pengetahuan, perhubungan dan perkongsian bahan pengajaran-pembelajaran(Noriati, Boon, Sharifah & Zuraidah, 2010). Walaubagaimanapun saya sedar, sebagai guru saya bukan sahaja perlu menguasai kemahiran untuk mengaplikasikan TMK tetapi saya juga perlu berusaha untuk mendidik murid menggunakan TMK dan internet secara bijak. Saya akan berusaha untuk memberi pendidikan kepada murid tentang kebaikan dan keburukan penggunaan internet serta mewujudkan budaya Internet yang sihat di dalam bilik darjah. Seterusnya, berikut ialah petikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Berdasarkan FPK, aspek kerohanian diberi perhatian yang penting untuk melahirkan individu yang seimbang dan harmonis. Oleh itu, perkara penting yang tidak boleh saya abaikan dalam usaha membentuk diri menjadi seorang guru yang cemerlang ialah dengan meningkatkan kualiti aspek kerohanian. Menurut Noriati, Boon & Wong (2010), seorang guru yang profesional perlu mempunyai sahsiah yang baik dan boleh diteladani pelajar. Hal ini kerana guru ialah individu yang berupaya membentuk perwatakan murid dengan pelbagai keteguhan nilai diri seperti bermoral, berakhlak mulia, berketrampilan dan pandai menyesuaikan diri dengan situasi tertentu. Zohari (2012) dalam artikelnya yang bertajuk Guru Berkualiti Asas Kepada Penghasilan Modal Insan Untuk Pembangunan Negara menyatakan bahawa kualiti diri insan itu bergantung kepada sejauh mana hubungannya dengan Tuhan iaitu kehidupan beragama. Jadi, bagi meningkatkan kualiti kerohanian saya, saya perlu berpegang teguh dan patuh pada ajaran agama. Saya perlu berusaha mencari insiatif sendiri untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan agama dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri saya sendiri. Saya boleh membaca buku-buku keagamaan dan menyertai program-program berbentuk keagamaan yang dianjurkan oleh pihak institut dan pihak luar yang bersesuaian dengan saya. Untuk menjadi guru yang cemerlang juga saya perlu menanamkan dalam diri sikap mementingkan masa, berdisiplin, berakhlak mulia, hormat menghormati, ikhlas, bertanggungjawab dan sebagainya. Apabila guru menunjukkan keperibadian yang mulia, secara tidak langsung, sikap dan sahsiah murid juga akan menjadi lebih baik.Untuk menjadi seorang guru yang cemerlang, saya juga bercadang untuk mendalami dan menjalankan pendekatan psikologi kepada murid-murid di sekolah. Saya akui semasa mula-mula menjalani latihan praktikum di sekolah, saya sering mengambil pendekatan memarahi murid-murid sekiranya mereka tidak membuat kerja atau bermain-main di dalam kelas. Saya dapati sememangnya murid takut dan tidak bermain-main apabila dimarahi guru. Tetapi, mereka akan mengulang kembali bermain-main dalam jangka masa yang cepat. Setelah melalui praktikum 1, 2 dan 3, saya mula menyedari bahawa pendekatan memarahi murid bukanlah langkah yang terbaik untuk mendorong murid untuk belajar. Menurut Abdullah & Ainon (2002), guru mendapati murid hanya membuat apa yang disuruh oleh guru disebabkan mereka takut kena marah oleh guru. Ramai guru yang mencipta rasa tidak selamat bagi tujuan mendorong murid belajar. Dalam hal ini murid didorong untuk belajar atas dasar takut bukan minat untuk belajar. Oleh itu, saya bercadang untuk melengkapkan diri dengan ilmu psikologi pendidikan bagi menjadi seorang guru cemerlang yang dapat mendorong murid untuk belajar dengan kesedaran kendiri. Saya bercadang untuk menggunakan pendekatan memberi motivasi kepada pelajar untuk meningkatkan estimnya. Estim ialah perasaan yang dirasai yang menilai diri sendiri. Ia mempunyai kaitan yang kuat dengan keyakinan diri dan kejayaan. Kata-kata guru mempunyai kesan serius kepada estim murid-murid di mana kata-kata guru itu dapat meninggikan mahupun menjatuhkan estim murid-muridnya.(Abdullah & Ainon, 2010). Selain itu saya juga akan berusaha untuk mengaplikasikan teori-teori pembelajaran seperti Teori Behaviorisme dan Sosial Kognitif. Saya boleh mengaplikasikan teknik peneguhan positif dan peneguhan negatif untuk membentuk tingkah laku murid yang diingini. Saya juga akan menggunakan pendekatan yang lebih berbentuk kasih sayang. Menurut Noriati, Boon & Wong (2010), guru ialah pengganti ibu bapa di sekolah. Jadi saya berperanan untuk membantu murid-murid menghadapi persekolahan dengan lebih yakin dengan mempamerkan kasih sayang serta kemesraan untuk mendorong murid menjadi pelajar yang lebih baik. Noriah (2003) juga menyatakan bahawa guru yang penyayang akan cuba menyediakan satu persekitaran pembelajaran yang kondusif dimana murid-murid akan dapat belajar elalui pengalaman mereka tanpa berasa terancam atau takut untuk digagalkan. Secara tidak langsung guru akan menjadi pendorong kejayaan murid-murid. Perancangan saya untuk membentuk diri menjadi seorang guru cemerlang yang seterusnya ialah dengan mengamalkan budaya reflektif. Menurut Boon (2005), dengan mengamalkan pemikiran reflektif, guru dapat meningkatkan profesionalisme diri dari segi keilmuan, ketrampilan dan kemahiran serta menjadi more thoughtful teacher. Semasa menjalankan temubual dengan guru cemerlang pula, beliau berkongsi kelebihan-kelebihan mengamalkan budaya reflektif. Menurut beliau, dengan mengamalkan budaya reflektif seperti penulisan reflektif, muhasabah diri selepas sesi pengajaran dan penyediaan portfolio pengajaran, guru dapat menganalisis kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Apabila guru mereflek diri, secara tidak langsung guru akan berfikir lebih kritis dan kreatif bagi menambah baik kualiti pengajaran mreka. Selain itu dengan amalan reflektif, guru bukan sahaja dapat menilai tahap perkembangan diri sendiri malahan guru juga dapat menilai tahap perkembangan pelajaran murid. Melalui cara ini guru dapat memberi maklumbalas kepada murid yang sekaligus dapat membantu murid mengenalpasti kelebihan dan kekurangan dalam pelajaran dan berusaha untuk membaikinya. Abdullah & Ainon (2002) pula mengesyorkan para guru memberi maklum balas dengan disertai ganjaran dalam bentuk pengiktirafan sebagai pendorong berkesan kepada murid untuk meningkatkan prestasinya. Oleh itu, mulai daripada sekarang saya akan memantapkan kemahiran penulisan reflektif, kemahiran membuat intropeksi dan menilai hasil kerja sendiri bagi membantu saya untuk memupuk amalan reflektif apabila bergelar guru yang sebenar kelak. Seterusnya, saya terfikir mengenai satu peribahasa Melayu iaitu seperti katak di bawah tempurung. Peribahasa ini menggambarkan seseorang yang sangat cetek pengetahuannya tentang dunia luar. Oleh itu, untuk menjadi seorang guru yang cemerlang, saya perlu menjadi seorang yang sentiasa peka dengan perubahan di persekitaran dan dalam pendidikan seperti trend semasa, isu-isu terkini dalam pendidikan dan dunia. Hal ini kerana menurut Noriati, Boon, Sharifah & Zuraidah (2010), guru perlu melengkapkan diri dengan pembaharuan dan perubahan kurikulum agar tidak ketinggalan terhadap perkembangan pesat yang berlaku dalam dunia pendidikan. Apabila saya peka dengan segala perubahan ini, maka saya akan lebih mudah untuk menyesuaikan diri bagi menyahut cabaran merealisasikan perubahan-perubahan ini untuk kebaikan murid. Antara sumber dan rujukan yang boleh saya rujuk supaya sentiasa peka dengan perkembangan pendidikan Malaysia ialah dengan melayari portal rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia www.moe.gov.my. Terdapat banyak info-info semasa mengenai pendidikan dalam laman web tersebut yang boleh saya jadikan rujukan. Selain itu, saya juga harus melazimi membaca surat khabar seperti Utusan Malaysia dan The Star untuk mengetahui perkembangan terkini Malaysia dari aspek yang lebih luas. Pengetahuan semasa ini amatlah penting kepada saya kerana ia dapat digunakan di dalam kelas semasa sesi pengajaran. Saya boleh menjadikan isu-isu semasa sebagai topik perbincangan dan mengaitkan nilai-nilai atau pengajaran yang boleh didapati daripada isu tersebut dengan pengajaran saya. Secara tidak langsung saya juga menggalakkan murid-murid untuk berusaha melengkapkan diri dengan berita-berita semasa dan tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. Saya juga akan berusaha untuk meningkatkan profesionalisme diri untuk menjadi seorang guru yang cemerlang. Terdapat beberapa tindakan yang boleh dilakukan oleh seseorang guru bagi meningkatkan profesionalisme dirinya. Boon (2005) mencadangkan amalan reflektif sebagai langkah untuk meningkatkan profesionalisme diri. Di sekolah pula, saya boleh mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh KPM, JPN seperti LDAP(Latihan Dalam Perkhidmatan) dan Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan bagi meningkatkan profesionalisme diri. Seterusnya, Zohari (2012) pula mengesyorkan kaedah penyelidikan dan penulisan ilmiah bagi meningkatkan profesionalisme diri. Menurut beliau, seorang guru perlu melaksanakan penyelidikan kerana ianya dapat membantu guru mendalami dan meningkatkan pengetahuan dalam bidang ilmu masing-masing. Hasil penyelidikan itu seterusnya dapat disebar dan dikongsikan dengan masyarakat di sekeliling. Antara penyelidikan yang sesuai dijalankan oleh guru ialah penyelidikan tindakan. Menurut Noriati, Boon & Wong (2010), penyelidikan tindakan ialah satu bentuk penyelidikan yang dilaksanakan oleh guru dan tentang guru. Dengan menjalankan penyelidikan, guru meningkatkan ilmu pengetahuan dan pemahaman amalan bilik darjah dan meningkatkan kemahiran mengajar. Sebagai guru pelatih, saya masih dalam usaha untuk menyiapkan penyelidikan tindakan yang bertajuk Menambah baik Cara Pengendalian Aktiviti Stesen dengan Kad Arahan Berwarna bagi memenuhi keperluan kursus. Semoga pengalaman menjalankan penyelidikan tindakan ini memberi kekuatan kepada saya untuk meneruskan amalan menjalankan penyelidikan untuk memantapkan kualiti diri. Selain itu, saya juga bercadang untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sekiranya berpeluang selepas ini. Hal ini kerana, apabila menyambung pelajaran, saya akan sentiasa dekat dengan buku. Jadi pengetahuan saya akan bertambah dan berkembang dari semasa ke semasa. Saya berharap saya dapat menjadi pakar di dalam bidang pendidikan.

Semoga apa yang saya harapkan akan menjadi kenyataan. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan pelan pembelajaran ini sesuatu yang realistik. Semoga pelan pembelajaran yang dirancang ini dapat membantu memberi saya bimbingan untuk mengorak langkah di masa hadapan untuk menjadi seorang guru yang cemerlang.