FAQ-18OGOS

10
1 SOALAN-SOALAN KERAP DITANYA BERHUBUNG PENGASINGAN SISA PEPEJAL DI PUNCA

description

i

Transcript of FAQ-18OGOS

Page 1: FAQ-18OGOS

1

SOALAN-SOALAN KERAP

DITANYA BERHUBUNG

PENGASINGAN SISA

PEPEJAL DI PUNCA

Page 2: FAQ-18OGOS

2

1. Apakah maksud pengasingan sisa pepejal di punca?

Pengasingan sisa pepejal di punca adalah proses mengasingkan sisa pepejal

yang dihasilkan di punca mengikut komposisi sisa pepejal iaitu KERTAS,

PLASTIK dan LAIN – LAIN BAHAN KITAR SEMULA ( kaca/seramik,tin

aluminium/besi/logam, sisa elektronik/barang elektrik lain,bahan

fabrik/kasut/getah/kulit dan sisa berbahaya), dan SISA BAKI (sisa

makanan,lampin pakai buang dan sisa lain yang kotor).

2. Mengapa pihak kerajaan ingin melaksanakan pengasingan sisa pepejal di

punca?

Tujuan pihak kerajaan melaksanakan pengasingan sisa pepejal di punca adalah

untuk:

Mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan dan

oleh itu, membantu meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan tersebut;

Pengasingan sisa di rumah dan amalan 3R juga telah dikenalpasti

sebagai salah satu langkah paling berkesan dalam usaha mengurangkan

jumlah penjanaan dan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan;

Mengelakan pembuangan bahan yang boleh kitar semula;

Mengurangkan peruntukan wang Negara untuk proses pelupusan sisa

pepejal;

Meningkatkan kadar kitar semula Negara pada tahap yang

membanggakan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa;

Mengurangkan pencemaran dan kemerosotan alam sekitar;

Memelihara sumber alam semulajadi;

Memudahkan proses pengurusan dan perawatan sisa pepejal selanjutnya;

Mendidik masyarakat agar menghargai sisa pepejal sebagai satu sumber

ekonomi, tenaga, dan nilai artistik.

Page 3: FAQ-18OGOS

3

3. Bila pengasingan sisa pepejal di punca ini akan dilaksanakan?

Pengasingan sisa pepejal di punca ini akan dilaksanakan pada 1 SEPTEMBER

2015 ini.

4. Mengapa saya perlu mengasingkan sisa pepejal di rumah saya?

Saya perlu mengasingkan sisa pepejal adalah untuk :

Mengelakkan pembuangan bahan yang boleh dikitar semula;

Mengurangkan jumlah sisa pepejal dihantar ke tapak pelupusan;

Mengurangkan peruntukan wang negara untuk proses pelupusan sisa

pepejal.

5. Bagaimana untuk mengasingkan sisa pepejal di rumah saya?

Secara mudahnya sisa pepejal hendaklah diasingkan kepada sisa yang boleh

dikitar semula dan sisa baki ( sisa yang akan dihantar ke tapak pelupusan). Bagi

memudahkan pengasingan sisa pepejal dilaksanakan di peringkat rumah, isi

rumah digalakkan menyediakan apa – apa bekas yang bersesuaian sebanyak 4

unit untuk mengasingkan sisa seperti kotak atau bakul sampah.

Sisa pepejal di rumah perlu diasingkan mengikut komposisi sisa pepejal seperti

berikut :

a. Kertas – surat khabar , majalah, buku panduan, komik, katalog, kertas

computer, kertas A4, kertas berwarna, resit, bil , kotak kertas, kadbod,

kalender, sampul surat, poskad, risalah, dan bungkusan pos.

b. Plastik – botol minuman ringan, botol jus, botol minuman air mineral, bekas

makanan, bekas sabun cecair mandian, botl syampu, botol makanan

kesihatan/vitamin, bekas pencuci pakaian/lantai, botol kicap, baldi, ,beg

plastik, bekas ais krim dan lain – lain jenis plastik.

c. Lain – lain iaitu :-

i. Kaca/Seramik - botol kicap, botol sos, botol jem, botol minuman

ringan, botol vitamin, bekas kosmetik, pinggan kaca dan sebagainya.

Page 4: FAQ-18OGOS

4

ii. Tin aluminium/besi/logam lain - tin minuman ringan, tin makanan dan

sos, tin biskut, tin makanan cecair, alatan dapur seperti sudu, periuk

senduk dan sebagainya.

iii. Sisa elektrik/barang elektrik kecil – bateri, kalkulator, telefon bimbit,

peralatan elektrik, lampu kalimantang, lampu LED,cerek elektrik, dapur

elektrik dan sebagainya.

iv. Bahan fabrik/kasut/getah/kulit – kasut, beg tangan, pakaian, sarung

tangan dan sebagainya.

v. Sisa berbahaya – bekas penyembur ubat nyamuk,tin cat, bekas racun,

bekas bahan pelarut, bekas ubat anai – anai dan sebagainya.

d. Sisa Baki – sisa dapur, sisa makanan, lampin pakai buang, bahan – bahan

kotor lain.

6. Bilakah kutipan akan dibuat ke atas sisa pepejal yang telah diasingkan itu?

Bagi sisa pepejal yang telah diasingkan seperti kertas, plastik, lain – lain bahan

kitar semula, kutipan akan dibuat satu (1) kali seminggu . Di samping itu anda

boleh juga meletakkan sisa pukal dan sisa kebun dengan kemas berhampiran

tong pada hari yang sama kutipan sisa kitar semula berkenaan dikutip. Manakala

sisa baki pula, kutipan akan dibuat dua (2) kali seminggu. Kutipan akan

dilaksanakan oleh syarikat konsesi yang dilantik oleh pihak kerajaan.

7. Adakah penduduk akan dibekalkan dengan plastik sampah untuk

mengasingkan sisa pepejal?

Bagi mengasingkan sisa pepejal di rumah, penduduk dikehendaki menyediakan

sendiri apa-apa bekas yang bersesuaian atau plastik sampah untuk

mengasingkan sisa pepejal berkenaan. Pihak kerajaan tidak menyediakan atau

mengedarkan plastik sampah bagi pengasingan sisa pepejal di punca ini.

Page 5: FAQ-18OGOS

5

8. Bagaimanakah dengan sisa minyak masak di rumah saya. Adakah perlu

diasingkan?

Tuan/Puan boleh mengumpul minyak masak terpakai dalam bekas yang

bersesuaian seperti botol minyak masak asal dan apabila penuh bolehlah

menghantar ke mana – mana pusat kitar semula berhampiran. Tuan/Puan

dinasihatkan tidak membuang sisa minyak tersebut ke mana - mana longkang

atau tempat awam.

9. Bagaimana saya hendak menguruskan sisa puntung dan abu rokok?

Puntung dan abu rokok perlu diuruskan seperti sisa baki yang lain. Sebelum sisa

tersebut dimasukkan ke dalam plastik, perlu dipastikan supaya tiada bara abu

rokok atau puntung rokok yang masih menyala atau berasap bagi mengelak

perkara yang tidak diingini berlaku. Kemudian, ikat dengan kemas dan masukkan

ke dalam tong.

10. Saya telah membeli makanan dari sebuah kedai dan makanan saya

dibungkus menggunakan bekas styrofoam atau polistirena. Bagaimana

saya perlu menguruskan bekas makanan tersebut?

Bekas styrofoam atau polistirena yang telah digunakan dalam pembungkusan makanan

berada dalam keadaan tercemar dan merupakan jenis sisa baki. Oleh itu, bekas

tersebut hendaklah dibersihkan terlebih dahulu kemudian dimasukkan ke dalam bekas

yang bersesuaian atau beg plastik bersama sisa plastik yang lain.

11. Saya ada membuat kerja menebuk lubang pada dinding di dalam rumah

saya. Selepas saya menjalankan kerja-kerja tersebut, banyak habuk dan

serpihan dinding bertaburan di lantai dan telah saya kumpulkan di satu

sudut di rumah saya. Bagaimana untuk mengurus sisa pepejal ini?

Ya. Sisa yang dihasilkan daripada aktiviti Do-It-Yourself (D.I.Y) ini merupakan antara

jenis-jenis sisa pepejal yang perlu diuruskan seperti sisa pukal yang lain. Berdasarkan

soalan di atas, habuk dan serpihan dinding tersebut perlu dimasukkan ke dalam bekas

yang sesuai atau plastik sampah dan diikat kemas. Letakkan di bahu jalan hadapan

rumah pada hari kutipan.

Page 6: FAQ-18OGOS

6

12. Saya menjalankan perniagaan menjahit pakaian secara kecil-kecilan di

rumah. Oleh itu, banyak lebihan-lebihan kain atau perca kain yang

dihasilkan dari perniagaan tersebut. Jadi, bagaimana fabrik-fabrik ini perlu

diuruskan?

Fabrik-fabrik ini perlu diuruskan seperti sisa bahan fabrik. Ia perlu dikumpulkan,

dimasukkan ke dalam bekas yang sesuai atau plastik sampah. Letakkan di tepi tong

pada hari kutipan. Digalakkan menggunakan plastik sampah warna hijau.

13. Bolehkah saya menjual barang-barang kitar semula yang telah saya

asingkan?

Boleh. Barang-barang kitar semula yang telah diasingkan boleh dijual kepada :

i. Pembeli barangan kitar semula yang berlesen

ii. Pusat-pusat kitar semula berlesen yang berdekatan kawasan perumahan

anda.

14. Bolehkah sesiapa mengambil sisa yang boleh dikitar semula yang telah

diasingkan dan telah diletakkan di hadapan premis?

Tidak boleh. Hanya syarikat konsesi dan vendor pemungut barangan kitar semula yang

berdaftar dengan JPSPN atau SWCorp sahaja yang dibenarkan menjalankan aktiviti

kutipan.

15. Saya tinggal di sebuah pangsapuri. Dimana saya perlu meletakkan barang-

barang kitar semula yang telah diasingkan?

Bagi penduduk yang tinggal di premis kediaman berbilang tingkat seperti kondominium

dan pangsapuri, barang-barang kitar semula yang telah diasingkan boleh diletak di

kawasan yang telah ditetapkan oleh pihak Joint Management Body (JMB). Sekiranya

premis berkenaan tidak mempunyai servis tersebut pemilik premis hendaklah

meletakkan sisa pepejal yang telah diasingkan ke dalam tong sampah yang telah

dilabelkan mengikut komposisi seperti kertas, plastik dan lain – lain bahan kitar semula

di rumah sampah atau pusat-pusat tong yang telah disediakan di kawasan berkenaan.

Page 7: FAQ-18OGOS

7

Selain itu, sisa tersebut boleh juga dihantar terus ke pusat-pusat kitar semula yang

berhampiran atau dijual terus kepada vendor-vendor kitar semula yang berlesen.

16. Bolehkah botol kaca yang telah pecah dikitar semula?

Boleh. Botol kaca boleh dikitar semula walaupun bukan berada dalam keadaan asal

atau ia telah pecah. Botol kaca tersebut perlu dibalut kemas dengan surat khabar atau

kertas dan kemudian dimasukkan ke dalam bekas yang sesuai atau plastik sampah.

Letakkan di tepi tong pada hari kutipan yang telah ditetapkan.

17. Saya mempunyai beberapa barangan kosmetik atau barangan make-up

yang tidak lagi digunakan. Bagaimana saya hendak menguruskannya?

Bekas barangan kosmetik seperti gincu, pemerah pipi, pembayang mata dan bedak

asas (foundation) kebanyakannya diperbuat daripada plastik yang boleh dikitar semula.

Untuk menguruskannya, sila pastikan kandungannya telah dikosongkan dan dibersihkan

terlebih dahulu. Kemudian, masukkan bekas-bekas tersebut ke dalam bekas yang

sesuai atau plastik sampah mengikut kumpulan plastik. Sekiranya tidak dapat dipastikan

jenis bahannya, masukkan dalam kumpulan lain – lain bahan kitar semula. Sisa yang

telah diasingkan itu, hendaklah diletakkan di tepi tong pada hari kutipan.

18. Saya mempunyai beberapa bilah pisau yang tidak lagi digunakan. Bolehkah

saya membuangnya terus ke dalam tong?

Tidak boleh. Pisau terdiri daripada bahan yang boleh dikitar semula kerana ia

mempunyai kandungan logam dan plastik. Walaubagaimanapun, bagi tujuan

keselamatan dan bagi mengelakkan pisau tersebut merosakkan beg plastik, pisau

tersebut hendaklah dibalut dengan beberapa helai surat khabar sehingga diyakini

selamat dan stabil. Setelah dibalut, masukkan ke dalam bekas yang sesuai atau plastik

sampah. Sekiranya tidak dapat dipastikan jenis bahannya, masukkan dalam kumpulan

lain – lain bahan kitar semula. Sisa yang telah diasingkan itu, hendaklah diletakkan di

tepi tong pada hari kutipan.

19. Saya tinggal di kawasan perumahan di mana rumah saya berada di

kedudukan cerun paling bawah. Setiap waktu hujan lebat, air hujan dari

jalan akan mengalir dan membawa debris dan pasir dan berkumpul di

Page 8: FAQ-18OGOS

8

hadapan rumah saya yang menyebabkan kekotoran serta perlu kerap

dibersihkan. Bolehkah saya membuang debris dan pasir tersebut terus ke

dalam tong yang dibekalkan?

Sisa debris dan pasir tersebut perlu diuruskan sebagai sisa baki. Ia hendaklah

dimasukkan ke dalam plastik serta diikat dengan kemas. Kemudian, ia perlu dimasukkan

ke dalam tong sampah.

20. Saya mempunyai banyak barang permainan kanak-kanak milik anak saya

yang telah rosak dan saya bercadang untuk melupuskannya. Bagaimana

saya hendak menguruskan barang-barang permainan tersebut?

Barang permainan kanak-kanak boleh diperbuat daripada campuran pelbagai resin

plastik dan ia boleh dikitar semula. Untuk menguruskannya, barang-barang tersebut

hendaklah diasingkan dan dikumpulkan terlebih dahulu. Kemudian, masukkan ke dalam

bekas yang sesuai atau plastik sampah. Sekiranya tidak dapat dipastikan jenis

bahannya, masukkan dalam kumpulan lain – lain bahan kitar semula. Sisa yang telah

diasingkan itu, hendaklah diletakkan di tepi tong pada hari kutipan.

21. Saya mempunyai beberapa biji bateri lama dan tin aerosol yang kosong.

Bagaimanakah saya hendak menguruskannya?

Bateri adalah daripada kumpulan sisa elektronik atau barang elektrik kecil termasuklah

bateri telefon bimbit dan komputer. Manakala, tin aerosol pula adalah daripada

kumpulan sisa pepejal berbahaya isi rumah (Household Hazardous Waste) termasuklah

tin cat, minyak pelincir, cecair pembasmi kuman dan bahan peluntur.

Untuk menguruskan sisa pepejal ini, sila ikuti langkah-langkah berikut:

i. Jangan mencampurkan sisa-sisa ini bersama sisa baki dan sisa yang boleh

dikitar semula.

ii. Bateri dan tin aerosol ini dikategorikan sebagai lain – lain bahan kitar semula.

Sisa ini hendaklah dimasukkan dalam bekas yang sesuai atau plastik

sampah. Letakkan di tepi tong pada hari kutipan.

Page 9: FAQ-18OGOS

9

22. Adakah langkah ini kesinambungan dari perlaksanaan Sistem Kutipan

Kaedah Baru Sisa Pepejal di Malaysia?

Pelaksanaan kaedah baru kutipan sisa pepejal telahpun dijalankan sepenuhnya

di negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672 (Wilayah Persekutuan Kuala

Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis

dan Pahang) bermula September 2014 lalu. Selain itu, kerajaan juga akan

memastikan fasiliti pengurusan sisa pepejal ditambahbaik dan pengoperasian

pusat-pusat 3R peringkat komuniti berjalan lancar untuk memastikan kejayaan

inisiatif baru ini.

23. Adakah orang awam dibekalkan tong kitar semula secara percuma?

Tidak. Tong kitar semula tidak dibekalkan. Orang Awam perlu membuat

pengasingan sisa kitar semula dari dalam rumah dan sisa yang telah diasingkan

perlu diletakkan di tepi tong sedia ada.

24. Bagaimanakah syarikat konsesi mengasingkan sisa kitar semula ini?

Syarikat konsesi akan membuat kutipan sisa kitar semula yang telah diasingkan

oleh orang awam mengikut jadual kutipan sisa kitar semula yang telah

ditetapkan. Seterusnya, sisa kitar semula tersebut akan dikumpulkan di Drop-off

point yang telah dikenalpasti. Di sini proses pengasingan secara mikro akan

dibuat bagi mengasingkan sisa kitar semula mengikut komposisi secara lebih

terperinci. Sisa kitar semula berkenaan akan dijual kepada peniaga barangan

kitar semula atau dijual terus kepada pengilang kitar semula.

25. Adakah lori khas bagi kutipan kitar semula disediakan?

Ya. Terdapat lori khas yang digunakan oleh syarikat konsesi untuk membuat

kutipan sisa kitar semula/ kebun/ pukal ini. Lori ini mempunyai ruangan bagi

pengumpulan sisa kitar semula mengikut jenis iaitu sisa kertas, plastik . Ia juga

mempunyai ruangan bagi pengumpulan sisa kebun dan pukal. Lori tersebut juga

dilengkapi dengan sistem pembesar suara & hebahan bagi memberikan

makluman kepada penduduk sewaktu hari kutipan sisa kitar semula dijalankan di

kawasan mereka.

Page 10: FAQ-18OGOS

10

26. Bilakah jadual bagi kutipan sisa kitar semula ini?

Jadual kutipan bagi kutipan sisa kitar semula adalah satu minggu sekali seperti

yang dipaparkan pada papan tanda jadual perkhidmatan di kawasan masing-

masing.

27. Berapakah anggaran kuantiti /beg sisa kitar semula yang dihadkan setiap

kali kutipan /seminggu?

Jumlah sisa kitar semula yang dianggarkan ialah 3 beg plastik bagi setiap rumah.

28. Apakah syarat bagi penggunaan plastik bungkusan pengasingan sisa kitar

semula. Adakah diwajibkan menggunakan plastik lut sinar?

Tiada ketetapan terhadap jenis plastik yang akan digunakan buat masa kini. Isi

rumah boleh menggunakan apa – apa bekas atau plastik sampah yuang sesuai

untuk mengasingkan sisa pepejal kitar semula ini.

29. Bolehkan sisa pepejal kitar semula dicampurkan atau dimasukkan dalam

plastik yang sama?

Orang ramai dikehendaki mengikut tatacara pengasingan sisa pepejal yang telah

ditetapkan di mana sisa pepejal yang perlu diasingkan mengikut kumpulan iaitu

kertas, plastik dan lain – lain hendaklah dimasukkan dalam apa – apa bekas

yang sesuai atau plastik sampah yang berasingan.

30. Apa yang harus dilakukan sekiranya bahan kitar semula yang diletakkan di

tepi tong diganggu atau diselongkar oleh binatang liar?

Penghuni rumah disarankan meletakkan bahan – bahan kitar semua yang telah

diasingkan di tepi tong sampah pada hari kutipan yang telah ditetapkan sebaik –

baiknya pada waktu pagi pada hari kutipan sisa kitar semula berkenaan.

Sekiranya terdapat gangguan atau bahan kitar semula berkenaan diselongkar

oleh binatang liar, penghuni rumah harus memaklumkan atau membuat aduan

kepada Pihak Berkuasa Tempatan di kawasan berkenaan bagi mengatasi

masalah binatang liar ini.

Sebarang pertanyaan sila hubungi SWCorp di talian berikut :

03-22459292 atau layari www.swcorp.my