Hari Bapa.odt
-
Upload
tan-chin-lee -
Category
Documents
-
view
227 -
download
0
Transcript of Hari Bapa.odt
Catatan Mukhriz untuk Tun M sempena Hari BapaKUALA LUMPUR, 21
Jun:Sempena Hari Bapa hari ini Menteri Besar Kedah, Mukhriz
Mahathir turut menulis sesuatu yang istimewa untuk bapanya Tun Dr
Mahathir Mohamad.Catatan yang mengimbau kenangan semasa kecil atas
didikan bapanya yang tegas tetapi penyanyang itu berjaya menjadikan
beliau seorang yang mempunyai jatidiri kuat dan ikut terjun dalam
arena politik.Catatan beliau mendapat lebih 11,500 like dan 3,271
perkongsian.Berikut adalah catatan dan ucapan yang dimuat naik
dalam Facebook beliau:DAULAT SEORANG AYAHHa, when did you get back,
Is?, tanya ayah walhal saya sudah hampir seminggu pulang dari MRSM
Kota Bharu (kini MRSM Pengkalan Chepa) untuk cuti
semester.Sepanjang saya berada di rumah No. 3 Jalan Tunku, iaitu
kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, ayah tidak banyak
bercakap. Dia sekadar menjawab pertanyaan saya dengan sepatah dua
perkataan sahaja. Entah kenapa, kali ini ayah tidak mesra berbual
seperti selalunya.Lima hari berlalu dengan keadaannya sama sahaja,
ibu menghulurkan duit RM5 dan menyuruh saya pergi gunting rambut.
Setelah pulang ke rumah dengan rambut pendek dan kemas, barulah
dari belakang surat khabar ayah menyapa: Ha, bila balik
Is?Rupa-rupanya kepulangan saya dari maktab dengan rambut yang agak
panjang dan kusut masai sangat tidak disenangi ayah. Tetapi, cara
dia menunjukkan kemarahannya dengan tidak terus menegur saya,
langsung tidak saya fahami.Hal itu saya sedari hanyalah setelah ibu
dengan tepat meneka tindakan yang boleh menjernihkan keadaan iaitu
dengan saya memotong rambut.Agaknya kerana terkejut dengan episod
itulah pertumbuhan rambut saya terencat dan akibatnya semua orang
dapat lihat sendiri!DALAM TEGAS, KASIH MELIMPAHAyah seorang yang
tegas dengan anak-anaknya tetapi ketegasan itu disirami kasih
sayang yang sangat dalam.Kalau ada apa-apa yang tidak kena dengan
anak-anak, tugas memperbetulkannya jatuh di tangan ibu. Ayah akan
tangani sendiri jika timbul hal-hal yang dianggap besar melibatkan
anggota keluarga.Sejak usia muda, kami adik beradik faham bahawa
masa dan perhatian ayah lebih tertumpu kepada rakyat daripada
keluarga. Itulah realitinya sampai hari ini. Oleh itu, hal-hal
dalaman keluarga diselesaikan oleh ibu tanpa perlu mengganggu
ayah.Begitu berkesan cara ibu menguruskan hal-hal keluarga sehingga
membolehkan ayah menumpukan masa dan tenaga kepada urusan negara.
Dewasa ini saya dilihat mempunyai sifat penyabar. Sifat banyak
bersabar itu tentunya saya warisi dari ibu.Mujurlah Siti Hasmah
berkahwin dengan Mahathir. Kalau orang lain, kemungkinannya lelaki
pilihan Siti Hasmah itulah yang akhirnya menjadi Perdana
Menteri!HIJRAHKetika ibu melahirkan saya pada November 1964 itulah
kali pertama ayah tidak berada di sisinya seperti ketika kelahiran
kakak dan abang-abang saya.Sewaktu saya teriak nyaring setelah
punggung saya ditampar oleh jururawat atau misi kata orang Kedah di
wad bersalin Hospital Besar Alor Star, ayah berada dalam kereta api
menuju ke Kuala Lumpur untuk menghadiri hari pertama Sidang Dewan
Rakyat sebagai Ahli Parlimen Kota Star Selatan yang baru
dimenanginya.Semakan hansard Parlimen menunjukkan bahawa ayah tidak
menyertai perbahasan Parlimen pada hari itu, mungkin kerana terlalu
seronok mendapat anak baharu. Tetapi, beberapa hari selepas itu
ayah mula bertikam lidah dengan seorang Ahli Parlimen dari
Singapura yang tidak lain tidak bukan, Yang Berhormat Lee Kuan
Yew.Beliau menyampuk Ahli Parlimen dari Singapura itu sehingga dia
berhenti berhujah dan duduk. Empat puluh empat tahun kemudian,
dengan takdir, saya menjejaki beliau ke dewan yang sama sebagai
Ahli Parlimen Jerlun.Sudah menjadi pengetahuan umum yang datuk
saya, Master Mohamad Ali, merupakan seorang pendidik yang sangat
mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris. Dia mahu membuktikan
kepada penjajah Inggeris bahawa orang Melayu juga mampu bertutur
dengan penuh intelek dalam bahasa Inggeris.Mungkin kerana itu juga
ayah menghantar saya ke tadika Gereja Methodist di Alor Setar. Pada
zaman itu tidak ada tadika atau taska seperti yang ada sekarang
selain yang dikendalikan oleh gereja-gereja.Seingat saya,
kanak-kanak yang menghadiri tadika itu riang bermain sambil diajar
subjek-subjek ringan sesuai dengan usia mereka.Setelah melihat
bagaimana paderi Kristian berdoa sebelum makan dengan menggenggam
kedua-dua tapak tangan, saya tanya kepada ayah kenapa kita menadah
tangan ketika berdoa di rumah. Ayah menjelaskan perbezaan itu dan
menyuruh saya berdoa secara Islam sebelum makan di tadika.Oleh
kerana Sekolah Iskandar di Alor Setar diasaskan oleh datuk saya,
maka tentulah ayah menghantar semua anak lelakinya ke sekolah itu
yang terletak di belakang Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH).Saya
hanya sempat di situ hingga darjah empat kerana pada tahun 1974,
Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein
melantik ayah Menteri Pelajaran.Kami terpaksa berpindah ke Kuala
Lumpur dan saya tidak berkesempatan melanjutkan pelajaran ke KSAH
yang tersohor itu.Saya masih ingat betapa gembiranya kami setiap
kali menaiki kereta api, termasuklah apabila kami berpindah ke
Kuala Lumpur. Kami menaikinya di Stesen Butterworth untuk
perjalanan terus ke ibu negara.Sebagai hiburan dan mengisi masa,
setiap seorang daripada kami dibelikan komik saya mendapat Beano
dan Dandy dua komik Inggeris yang amat popular waktu itu.
Abang-abang saya pula memilih komik Combat.Bilik-bilik tidur dalam
gerabak mempunyai dua katil bertingkat. Kami berebut-rebut untuk
dibenarkan tidur di katil atas. Sinki tersorok dalam almari.
Walaupun seronok dapat komik baru, tidak sampai setengah jam kami
semua tertidur dibuai ayunan gerabak dan bunyi enjin kereta
api.Celik-celik mata sudah sampai di Stesen Besar Kuala Lumpur.
Kini kalau tidak mahu memakan masa tidak lebih 4 jam untuk ke ibu
negara melalui lebuhraya, kita boleh terbang terus dari Alor Setar
ke Subang atau KLIA.Ayah menyewa rumah di Seksyen 16, Petaling
Jaya. Saya masuk darjah lima di Sekolah Sri Petaling. Pada mulanya
saya berasa terasing daripada pelajar lain kerana loghat Kuala
Lumpur yang mereka gunakan sehinggalah berjumpa murid-murid berasal
dari Perlis yang sama loghat dengan saya. Mereka dan beberapa orang
lagi dari Selangor menjadi rakan karib saya hingga ke hari ini.MRSM
DAN JEPUNWalaupun ayah saya Menteri Pelajaran, dia tidak menghantar
kami ke sekolah menengah kerajaan. Sebaliknya dia menghantar saya
dan abang saya, Mokhzani, ke sekolah asrama penuh kelolaan MARA
iaitu Maktab Rendah Sains MARA di Pengkalan Chepa, Kelantan.
Suasana di Kelantan tidak banyak beza daripada Kedah, kecuali
loghat bahasa, tetapi amat berlainan sekali berbanding dengan
Petaling Jaya.Saya mengambil masa yang lama membiasakan diri
berjauhan dengan keluarga dan berasa tidak selesa berada dalam
persekitaran yang cukup asing. Itulah perasaan saya pada tahun
pertama di Kota Bharu.Ayah berpesan kepada pengetua maktab supaya
tegas dengan saya dan melayan saya seperti dia melayan
pelajar-pelajar lain. Kalau terpaksa tibai pun, silakan. Dan memang
pun saya dirotan kerana ditangkap merokok sewaktu dalam tingkatan
lima!MRSM, termasuklah dirotan, mengajar saya disiplin, berdikari,
bergaul, berasa empati dengan taraf kehidupan yang berbeza-beza di
kalangan pelajar dan menghormati serta menghargai pengorbanan
guru.MRSM memberi banyak ruang kepada pelajar untuk membuat
keputusan sendiri tetapi disiplin amat dititikberatkan. Saya
percaya, lima tahun di MRSM pada usia yang sangat penting dalam
pembentukan watak seseorang, memberi kesan yang berkekalan kepada
saya. Agaknya itulah matlamat ayah apabila membuat keputusan
menghantar saya ke MRSM.Keputusan beliau selanjutnya turut memberi
kesan besar kepada perwatakan saya. Ketika ramai rakan MRSM
melanjutkan pelajaran ke negara-negara Barat seperti Amerika
Syarikat, United Kingdom dan Australia, saya menjadi haiwan makmal
Dasar Pandang Ke Timur beliau. Saya dihantar melanjutkan pelajaran
ke Jepun.Kalau di Kelantan saya mengalami permulaan yang sukar, di
Tokyo lagilah. Bukan setakat bahasanya yang langsung tidak saya
fahami, tetapi budayanya juga jauh berbeza walaupun banyak
ciri-ciri Timur. Makan dan minum susah. Tidak cukup dengan itu,
saya disuruh bekerja sambil belajar supaya dapat menampung yuran
universiti dan meringankan kewangan keluarga.Saya dihantar bekerja
sambilan di ibu pejabat Bank of Tokyo Limited di Nihombashi, Tokyo.
Serentak saya mempelajari bahasa Jepun sehinggalah saya memasuki
Universiti Sophia di Ichigaya, Tokyo.Ayah sangat kagum dengan
budaya orang Jepun dan mengimpikan agar orang Melayu dapat menerap
nilai-nilai baik daripada budaya Jepun. Kerap saya dengar hujah
bahawa negara Jepun mencerminkan ciri-ciri Islam tulen walaupun ia
bukan negara Islam. Ciri dan nilai yang dipegang oleh masyarakat
Jepun ini sangat bertepatan dengan ajaran Islam seperti kegigihan
dan ketekunan bekerja, sentiasa memikirkan kepentingan umum
mengatasi kepentingan diri, menepati masa dan menjaga
kebersihan.Mereka setia dan komited kepada organisasi atau
syarikat. Mereka mengamalkan semangat juang yang tinggi. Kesemuanya
nilai-nilai murni yang ayah anggap sebagai ramuan wajib bagi
menjayakan segala-gala yang kita cita-citakan untuk
Malaysia.Mungkin di peringkat awal di sana, saya tidak memahami
tujuan yang tersirat apabila ayah menghantar saya ke Jepun. Namun,
lama kelamaan saya makin menghayati manfaat yang saya perolehi
selama lima tahun di negara matahari terbit itu. Sampai hari ini
saya masih kagum dengan sikap orang Jepun dan berusaha agar rakyat
Kedah mencontohi mereka.Antara sikap orang Jepun yang patut
diteladani ialah jujur dan amanah. Apabila berlakunya gempa bumi
besar di Tohoku, Jepun, disusuli pula oleh tsunami besar yang
meranapkan bangunan dan memusnahkan harta benda, tiada langsung
kejadian curi (looting) seperti yang kerap berlaku di negara-negara
lain yang ditimpa musibah seperti itu. Malah sifat kemanusiaan
mereka menjadi lebih terserlah ketika berlaku tragedi.Bukan setakat
itu saja, wang tunai Yen Jepun yang bernilai lebih RM273 juta,
termasuk dari bank-bank yang ranap, dikutip oleh orang ramai dan
dipulangkan kepada pemiliknya. Adakah kita, khususnya orang Islam,
dapat melakukan hal yang sama dalam keadaan seperti itu?Dalam
kejuaraan bola sepak terbesar dunia World Cup 2014 di Brazil,
seperti dijangkakan pasukan Jepun kalah kepada Ivory Coast, seri
dengan Greece dan tewas sekali lagi kepada Colombia. Namun, tidak
seorang pun penonton bola yang tidak mengagumi dan menghormati
Jepun.Apa rahsianya? Selepas setiap permainan, penyokong-penyokong
Jepun mengutip sampah dalam stadium dan membuangkannya di tempat
yang dikhaskan. Jepun kalah dalam pertandingan bola tetapi mereka
dikagumi kerana budaya mulia yang mereka amalkan. Adakah kita mampu
mencontohi mereka?Sungguh tepat sekali keputusan ayah menghantar
saya ke Jepun kerana di situ saya belajar tentang nilai dan jati
diri satu bangsa kecil tetapi bercita-cita besar.POLITIK DAN
KONFLIK KEPENTINGANUmum juga mengetahui bahawa ayah tidak
membenarkan kaum keluarganya terlibat dalam politik atau kerajaan
sewaktu beliau memimpin UMNO dan negara.Bila ditanya dalam satu
forum apa maksud larangan itu, ayah berkata tujuannya ialah untuk
mengelak daripada timbul situasi di mana beliau terpaksa memilih
antara rakyat dengan keluarga. Dalam keadaan sedemikian, tentunya
ayah akan memihak kepada rakyat jelata. Jadi di mana hendak diletak
kepentingan keluarga?Justeru, saya terpaksa menunggu hingga ayah
bersara sebelum menawarkan diri untuk bertanding jawatan dalam
Pergerakan Pemuda UMNO pada tahun 2004.Bila saya memaklumkan kepada
beliau mengenai keinginan saya bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO
Kubang Pasu, bahagian UMNO yang beliau sendiri terajui selama 35
tahun, jawabnya ringkas, Hmmmkalah.Saya terkedu, tidak sekali-kali
menduga itu respons ayah terhadap cita-cita saya. Sekurang-kurang
ayah boleh mendorong saya untuk mencuba nasib memandangkan beliau
sudah pun bersara dan saya tidak lagi terhalang dengan
ketegahannya. Sebaliknya respons ayah begitu mengejut dan
mengecewakan. Tetapi tepat sekali ramalan ayah, saya kalah sembilan
undi.Dari situ saya belajar mengenai politik. Hakikat bahawa saya
anak bekas Presiden yang menerajui parti selama 22 tahun tidak
menjamin perjalanan politik saya akan menjadi mudah kononnya laluan
sudah dibuka orang tua saya.Bagaimanapun, saya belajar mengenai
hikmat di sebalik setiap kejadian yang saya lalui. Kekalahan di
bahagian ayah saya sendiri menarik perhatian ramai terhadap usaha
saya untuk bergiat aktif dalam UMNO.Saya menang sebagai ahli majlis
kerja (Exco) Pemuda dengan undi tertinggi. Sejak itu, saya tidak
pernah rasa terlalu kecewa dengan keadaan yang sepatutnya
mengecewakan. Saya yakin Allah SWT tentunya mempunyai perancangan
yang lebih baik untuk kita.Saya juga faham tujuan ayah yang
seakan-akan tidak menggalakkan saya bergiat dalam arena politik.
Memahami betapa politik itu dipenuhi onak dan duri, beliau mahu
saya tidak ambil mudah dan dia mahu saya berpijak di bumi nyata,
tabah dan tidak mudah kecewa.INTEGRITIAntara perkara yang pertama
saya lakukan setelah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah
adalah menandatangani ikrar integriti. Saya mengumumkan pendirian
saya tidak membenarkan kaum keluarga saya terlibat dalam sebarang
perniagaan yang melibatkan Kerajaan Negeri Kedah.Dua tiga hari
kemudian, saya berjumpa dengan ayah. Beliau mengulas: Jadi saya pun
tak boleh berniaga di Kedah lah.Saya jawab: Boleh.Ayah membalas:
Macam mana boleh, kalau Is dah umum macam tu?Saya jawab: Kena
tunggu Is berhenti dulu lah.Bila nak berhenti? tanya ayah.Dua puluh
dua tahun lagi! jawab saya berseloroh.Hai, macam balas dendam saja,
kata ayah dalam ketawa.Dah ayah ajar macam tu, balas saya.SELAMAT
HARI BAPA DAN SELAMAT HARI JADISempena Hari Bapa ini saya ingin
mengucapkan Selamat Menyambut Hari Bapa kepada ayah saya. Juga
ucapan Selamat Hari Jadi ke 90 pada 10hb Julai ini.[Untuk rekod
20hb Disember 1924 tercatat sebagai tarikh lahir rasmi ayah. Tetapi
tarikh sebenar ialah 10hb Julai 1925. Kalau meraikan kedua-dua
tarikh tersebut, maka usia ayah sepatutnya akan mencecah 180 tahun
Julai ini!] Kad pengenalan Tun Dr Mahathir Mohamad . Foto ihsan
eberita.orgTerima kasih atas segala bimbingan dan didikan yang
diberikan kepada saya secara langsung, dan lebih banyak lagi secara
tidak langsung. Yang saya mohon ialah ayah terus mendoakan kami
yang mewarisi negara ini dari orang sebelum kami.Doakan agar Allah
SWT terus memberi petunjuk dan hidayah kepada kami semua, supaya
apa yang dicita-citakan oleh ayah dan ayah-ayah kita semua menjadi
kenyataan, insyaAllah.Selagi hayat dikandung badan, teruslah
menegur kami agar kami tidak terpesong daripada landasan yang
betul. Walaupun kami sudah dewasa, namun kebijaksanaan ayah dan
orang-orang terdahulu masih kami perlukan. Supaya destinasi yang
dituju terus didorong oleh momentum dan hala tuju yang diusahakan
oleh pejuang-pejuang terdahulu.Mudah-mudahan Hari Bapa tahun ini,
dan ulang tahun kelahiran yang ke-90 bulan depan akan mengukuhkan
lagi rasa hormat kami kepada ayah yang telah bersengkang mata
berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.Mukhriz Mahathir21hb Jun,
2015