INFO5 - MAKLUMAT TAMBAHAN PROGRAM PENCERAPAN GURU2

5
MAKLUMAT TAMBAHAN PROGRAM PENCERAPAN GURU Kajian Penilaian Tentang Pencerapan Pengajaran Oleh Pengetua, Penolong Kanan Dan Ketua Bidang Di Sekolah-Sekolah Menengah . 1. LATAR BELAKANG 1.1 Pengajaran berkesan diyakini sebagai salah satu daripada faktor terpenting dalam menentukan kecemerlangan akademik dan perkembangan afektif para pelajar. Keberkesanan pengajaran pula merupakan satu daripada indikator utama yang digunakan untuk memperjelas dan menentukan kualiti guru , iaitu mereka yang terlibat secara langsung dalam core business Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di peringkat sekolah atau peringkat akar umbi. 1.2 Kualiti guru bukan merupakan sesuatu yang statik kerana boleh diperkukuh dan dipertahankan dengan meningkatkan perkembangan profesionalisme para guru . Satu daripada langkah paling telus yang dijalankan untuk mencapai maksud ini ialah melalui pencerapan pengajaran guru di bilik darjah. 1.3 Pencerapan pengajaran berfokus kepada semua fungsi dan tanggungjawab guru berkaitan dengan pembelajaran para pelajar. Pencerapan pengajaran oleh pentadbir sekolah dan rakan sebaya yang kini dilaksanakan secara terancang di semua sekolah dalam negara ini – secara umumnya – mempunyai ciri-ciri naziran, penilaian pengajaran , pelaksanaan dan penyebaran kurikulum, bimbingan rakan sejawat ( peer coaching), kursus dalam perkhidmatan serta perkembangan kendiri dan profesionalisme. 1.4 Dasar tentang pencerapan pengajaran guru di bilik darjah secara jelasnya adalah seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 3/1987: Penyeliaan P&P dalam Kelas oleh Pengetua/ Guru Besar Sekolah. 1.5 Antara rasional melaksanakan penyeliaan di dalam kelas ialah (i) menyelia pelaksanaan kurikulum, (ii) tugas penyeliaan pengajaran dan pembelajaran merupakan tugas terpenting yang dititikberatkan oleh pengetua/ guru besar, (iii) penyeliaan adalah satu aspek terpenting dalam pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan pendidikan. 1.6 Pencerapan pengajaran guru merupakan pendekatan terpenting dalam program perkembangan profesionalisme serta peningkatan kemahiran dan keterampilan guru . Laporan penilaian ke atas pengajaran guru diperoleh melalui aktiviti pencerapan dan cadangan berkaitan akan

Transcript of INFO5 - MAKLUMAT TAMBAHAN PROGRAM PENCERAPAN GURU2

Page 1: INFO5 - MAKLUMAT TAMBAHAN PROGRAM PENCERAPAN GURU2

MAKLUMAT TAMBAHAN PROGRAM PENCERAPAN GURU

Kajian Penilaian Tentang Pencerapan Pengajaran Oleh Pengetua, Penolong Kanan Dan Ketua Bidang Di Sekolah-Sekolah Menengah .

1. LATAR BELAKANG1.1 Pengajaran berkesan diyakini sebagai salah satu daripada faktor terpenting dalam

menentukan kecemerlangan akademik dan perkembangan afektif para pelajar. Keberkesanan pengajaran pula merupakan satu daripada indikator utama yang digunakan untuk memperjelas dan menentukan kualiti guru, iaitu mereka yang terlibat secara langsung dalam core business Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di peringkat sekolah atau peringkat akar umbi.

1.2 Kualiti guru bukan merupakan sesuatu yang statik kerana boleh diperkukuh dan dipertahankan dengan meningkatkan perkembangan profesionalisme para guru. Satu daripada langkah paling telus yang dijalankan untuk mencapai maksud ini ialah melalui pencerapan pengajaran guru di bilik darjah.

1.3 Pencerapan pengajaran berfokus kepada semua fungsi dan tanggungjawab guru berkaitan dengan pembelajaran para pelajar. Pencerapan pengajaran oleh pentadbir sekolah dan rakan sebaya yang kini dilaksanakan secara terancang di semua sekolah dalam negara ini – secara umumnya – mempunyai ciri-ciri naziran, penilaian pengajaran, pelaksanaan dan penyebaran kurikulum, bimbingan rakan sejawat (peer coaching), kursus dalam perkhidmatan serta perkembangan kendiri dan profesionalisme.

1.4 Dasar tentang pencerapan pengajaran guru di bilik darjah secara jelasnya adalah seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 3/1987: Penyeliaan P&P dalam Kelas oleh Pengetua/Guru Besar Sekolah.

1.5 Antara rasional melaksanakan penyeliaan di dalam kelas ialah (i) menyelia pelaksanaan kurikulum, (ii) tugas penyeliaan pengajaran dan pembelajaran merupakan tugas terpenting yang dititikberatkan oleh pengetua/guru besar, (iii) penyeliaan adalah satu aspek terpenting dalam pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan pendidikan.

1.6 Pencerapan pengajaran guru merupakan pendekatan terpenting dalam program perkembangan profesionalisme serta peningkatan kemahiran dan keterampilan guru. Laporan penilaian ke atas pengajaran guru diperoleh melalui aktiviti pencerapan dan cadangan berkaitan akan memperbaiki dan seterusnya meningkatkan keberkesanan pengajaran guru lagi.

1.7 Kajian telah dilaksanakan oleh kementerian beberapa tahun yang lalu untuk menilai proses dan aktiviti pencerapan guru sekolah menengah oleh pengetua, penolong kanan dan ketua bidang mata pelajaran atau guru kanan mata pelajaran, iaitu untuk menentukan sejauh mana pelaksanaannya memenuhi keperluan dasar berkaitan pencerapan pengajaran guru di bilik darjah.

1.8 Sampel kajian ini melibatkan 171 pengetua, 177 penolong kanan, 133 penolong kanan hal-ehwal murid (PKHEM), 64 penyelia petang, 679 ketua bidang dan 1622 orang guru dari 265 buah sekolah di seluruh negara. Sekolah ini meliputi sekolah menengah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah teknik dan sekolah agama. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30 buah sekolah menengah di Perak, Selangor, Johor, Pahang, Kelantan telah dipilih bagi menjalankan temu bual dengan pengetua, penolong kanan, ketua bidang dan guru.

Page 2: INFO5 - MAKLUMAT TAMBAHAN PROGRAM PENCERAPAN GURU2

1.9 Data yang dipungut dianalisis dengan menggunakan pakej SPSS. Analisis dibuat secara deskriptif dengan menggunakan min, sisihan piawai, peratusan, ujian-t dan analisis varian sehala. Bagi analisis faktor ujian kepercayaan, Cronbach-alpha telah dijalankan.

1.10 Data yang telah dipungut melalui temu bual berstruktur pula dianalisis dengan menggunakan kaedah bertema yang dikelompokkan berdasarkan soalan kajian. Bagi setiap tema utama, data telah dikelaskan mengikut tema kecil, iaitu berdasarkan urutan kepentingannya dalam memperjelaskan sesuatu tema utama.

2 DAPATAN KAJIAN 2.1 Pelaksanaan pencerapan2.1.1 Terdapat tiga bentuk pencerapan yang dilakukan di sekolah menengah, iaitu

pencerapan secara formal ke atas pengajaran guru dalam bilik darjah yang mempunyai tarikh khusus melawat kelas secara rambang dan menyemak buku rancangan pengajaran guru. Pencerapan secara formal dilakukan dengan memaklumkan kepada guru tentang tarikh, masa pencerapan dan pemerhatian dilakukan ke atas pengajaran guru dalam bilik darjah. Umumnya, terlalu sedikit perbincangan prapencerapan dan pascapencerapan dilakukan dalam pelaksanaan pencerapan itu.

2.1.2 Secara purata seorang guru dicerap secara formal 1-2 kali/tahun dan pencerapan secara tidak formal kerap dilakukan. Walau bagaimanapun, pencerapan tidak formal tidak dapat dikelaskan sebagai pencerapan sebenar kerana tidak menepati proses pencerapan dan lebih merupakan pemantauan pengajaran guru dan bersifat sepihak.

2.2 Kepentingan pencerapan mengikut kefahaman guru 2.2.1 Kepentingan pencerapan seperti yang ditetapkan dalam Pekeliling Bil/1986 hampir

difahami oleh semua guru. Walaupun semua guru faham akan kepentingan pencerapan dalam meningkatkan profesionalisme keguruan, kualiti perancangan dan pelaksanaan pengajaran, lebih kurang 20% daripada mereka tidak faham akan peranan pencerapan sebagai latihan dalam perkhidmatan untuk mereka, kegunaan dapatan pencerapan dan meningkatkan saling mempercayai antara mereka dengan

pihak pengurusan sekolah. 2.2.2 Sebilangan besar guru mempunyai persepsi bahawa pencerapan dilaksanakan di

sekolah semata-mata kerana arahan dan keperluan JPN dan Kementerian Pelajaran dan merupakan satu bentuk kawalan kualiti.

2.3 Secara keseluruhannya pencerap memberikan perhatian kepada aspek penggunaan pelbagai teknik pengajaran, strategi pengajaran yang sesuai dengan pengajaran murid dan penggunaan bahan bantu mengajar semasa membuat pemerhatian dalam kelas. Tiada perbezaan pada tahap tumpuan ke atas aspek ini dalam pelaksanaan pengajaran guru berdasarkan jantina, lokasi, jenis sekolah, pengalaman mengajar dan kelulusan akademik.

2.4 Pada keseluruhannya pencerap memberikan tumpuan kepada semua aspek berkomunikasi (menyampaikan maksud dengan jelas, tepat dan yakin), teknik berkomunikasi dan memahami pelajar. Pencerap juga memberikan tumpuan kepada

pengurusan pelajar dalam pencerapan mereka, khususnya penyelesaian masalah diri dan pembelajaran para pelajar dan pemantauan aktiviti pencerapan di kelas bersaiz besar.

2.5 Dalam aspek pengukuhan P&P majoriti pencerap memberikan tumpuan kepada usaha membantu guru dalam mengukuhkan pengalaman pembelajaran pelajar melalui

aktiviti dalam kelas. Aspek pengurusan waktu bukan pengajaran dan pengesanan masalah pembelajaran pelajar, aspek keceriaan bilik darjah, displin dan interaksi pelajar

dikenal pasti telah diberi tumpuan oleh semua pencerap di sekolah menengah.

Page 3: INFO5 - MAKLUMAT TAMBAHAN PROGRAM PENCERAPAN GURU2

2.6 Pendekatan perancangan aktiviti pencerapan yang rapi yang dicadangkan pihak pencerap ialah mengadakan perbincangan antara pihak pencerap dengan guru, taklimat/perbincangan kepada semua pencerap untuk menyelaraskan aktiviti pencerapan, memberi lebih banyak masa kepada pentadbir untuk melakukan pencerapan, dan jika sesuai, mengurangkan waktu mengajar mereka serta menyediakan jadual pencerapan untuk diedarkan kepada guru yang akan dicerap.

2.7. Aspek yang perlu diberi perhatian bagi menyediakan garis panduan pencerapan seperti yang dicadangkan oleh pihak pencerap ialah panduan penilaian/pemberian markah yang jelas, menyediakan instrumen yang ringkas tetapi memenuhi kehendak dan tujuan pencerapan, dan menyediakan garis panduan dan format pencerapan yang piawai aktiviti pencerapan. Kemahiran yang dicadangkan perlu ada bagi pihak pencerap ialah pengetahuan asas tentang isi kandungan kurikulum sesuatu mata pelajaran, proses pelajaran dan pembelajaran yang berlaku di bilik darjah, dan aspek serta skop yang hendak dinilai dalam sesuatu aktiviti pencerapan.

2.8 Beberapa pendekatan juga dicadangkan oleh pihak pencerap dan guru untuk meningkatkan dapatan pencerapan, iaitu mengadakan perbincangan tidak formal selepas pencerapan, mendedahkan kepada guru tentang teknik pengajaran yang berkesan, memaklumkan kepada guru hasil dapatan pencerapan semasa mesyuarat guru, mesyuarat kurikulum di peringkat sekolah, mesyuarat panitia mata pelajaran dan mendedahkan kepada guru kekuatan dan kelemahan pengajaran mereka.

2.9 Pihak pencerap juga menilai bahawa pencerapan telah mencapai matlamatnya, khususnya dalam meningkatkan disiplin guru dan menjadikan mereka lebih bersedia dan komited dengan tugas, dapat memahami lebih dekat masalah-masalah guru, dapat membantu guru mengatasi masalah pengajaran mereka dan guru mendapat panduan untuk meningkatkan pengajaran mereka.

2.10 Untuk meningkatkan kualiti pencerapan, guru memberi cadangan agar mereka didedahkan dengan pengajaran yang baik dalam proses pencerapan seperti melalui demonstrasi pengajaran, laporan pencerapan untuk guru, pencerap mempunyai pengetahuan luas dalam sesuatu bidang mata pelajaran, menguar-uarkan aktiviti pencerapan sebagai sesuatu yang positif, pencerapan dilakukan oleh rakan sejawat, meningkatkan perkongsian hasil dapatan pencerapan, pencerapan dilakukan secara tidak formal dan pencerapan dilakukan lebih kerap.

3. CADANGAN KAJIAN3.1 Memastikan semua sekolah menyediakan jadual pencerapan ke atas pengajaran guru

secara formal dalam takwim sekolah dengan memastikan seorang guru dicerap, sekurang-kurang dua kali setahun.

3.2 Pihak pencerap perlu diberi kefahaman yang jelas tentang kepentingan pencerapan, mesti berfokus kepada perancangan dan pelaksanaan pengajaran, peranan pencerapan sebagai latihan dalam perkhidmatan dan peningkatan profesionalisme mereka, membentuk sikap saling mempercayai antara guru dan pihak pengurusan sekolah dan penggunaan secara berkesan daripada dapatan aktiviti.

3.3 Pencerap perlu memberi tumpuan secara sama rata pada aspek perancangan pengajaran atau persediaan mengajar, pelaksanaan pengajaran, komunikasi, pengukuran dan pengujian, pengurusan kelas, penyampaian misi dan matlamat sekolah dan aspek lain dikenal pasti.

3.4 Kementerian Pelajaran Malaysia perlu mengkaji Pekeliling Bil. 3/87 yang berkaitan dengan arahan pencerapan di sekolah semula . Sehubung dengan itu, satu buku

panduan/garis panduan yang lengkap untuk pihak pentadbir sekolah disediakan untuk membolehkan mereka menjalankan penyeliaan dan pencerapan yang berkesan. Buku

Page 4: INFO5 - MAKLUMAT TAMBAHAN PROGRAM PENCERAPAN GURU2

tersebut perlu menjelaskan fungsi, peranan, kaedah, prosedur dan sistem pemarkahan (scoring) yang piawai.

3.5 Prosedur yang jelas dan lengkap tentang proses pencerapan perlu disediakan untuk digunakan oleh para pencerap di sekolah bagi mengelakkan mereka daripada hanya menumpukan kepada aspek pemerhatian ke atas pengajaran guru dalam kelas dan meninggalkan tindakan lain, khususnya perbincangan prapencerapan dalam kelas, perbincangan pascapencerapan dan pelaporan dapatan aktiviti tersebut kepada guru.

4. PENUTUP 4.1 Kajian ini telah menunjukkan bahawa pencerapan pengajaran guru di sekolah

menengah adalah penting. Walau bagaimanapun, beberapa aspek pencerapan kurang dititikberatkan oleh sebilangan pihak yang dipertanggungjawabkan menjalankan pencerapan tersebut.

4.2 Pihak yang bertanggungjawab terhadap program pencerapan perlu menumpukan kepada semua aspek dalam pencerapan mereka serta menjadikannya sebagai saluran bagi menjelaskan misi dan matlamat sekolah.

4.3 KPM perlu mengkaji pekeliling Bil. 3/87 yang berkaitan dengan arahan pencerapan di sekolah semula agar sesuai dengan perubahan dalam konsep pengajaran terkini. Kursus latihan dalam perkhidmatan perlu diadakan bagi memastikan aspek pedagogi, isi kandungan kurikulum dan proses P&P dalam bilik darjah diambil kira.

© Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia.