Institusi Hisbah Pemangkin Kepada Kesejahteraan Masyarakat Dan Negara

download Institusi Hisbah Pemangkin Kepada Kesejahteraan Masyarakat Dan Negara

of 13

description

nstitusi Hisbah Pemangkin Kepada Kesejahteraan Masyarakat Dan Negara

Transcript of Institusi Hisbah Pemangkin Kepada Kesejahteraan Masyarakat Dan Negara

Institusi Hisbah Pemangkin kepada kesejahteraan Masyarakat dan NegaraHisbah mempunyai peranan yang penting dalam memelihara masyarakat dari segi sosial,ekonomi dan politik. Dalam syariat Islam, hisbah bermaksud menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Suruhan ini merupakan satu tuntutan yang terpenting dalanm ajaran Islam. Dengan sifat demikian, Allah membezakan antara orang mukmin sehingga mereka mendapat kejayaan dan kemenangan di dunia dan di akhirat. Melalui sifat ini juga, ia dapat membersihkan diri dan memelihara agama dari kehancuran seterusnya menambatkan hati-hati orang yang beriman untuk bertolongan dalam perkara kebaikan dan meninggalkan kemungkaran demi kebaikan umat. Ternyata sekali institusi ini telah menonjolkan keadilan sistem pentadbiran Islam dan membuktikan politik Islam adalah sebaik-baiknya dalam membawa kemakmuran sejagat. Hisbah merupakan sistem yang berkembang dalam masyarakat Islam untuk memelihara kepentingan umum. Ia berteraskan kepada firman Allah yang bermaksud : kamu adalah sebaik-baik umat yang menyeru ke arah kebajikan, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (ali Imran 104)

Dalam tradisi keilmuan Islam, kita dapati terdapat dua aliran dalam membicarakan mengenai hisbah. Aliran pertama terdiri daripada ulamak feqah yang meletakkan asas-asas hisbah seperti takrif, syarat hisbah dan perbezaannya dengan bidang kehakiman. Antara mereka ialah Imam al-Mawardi (m. 450H) dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah, Abu Yaala al-Fara (m. 458H) dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah, Ibn Taimiyyah (m.728H) dalam Hisbah fi Islam, Ibn Qayyim (m. 751H) dalam Turuq al-Hukumiyyah dan Ibn Khaldun (m. 808H) dalam Muqadimah.Sementara itu, aliran kedua terdiri daripada ulamak yang membicarakan dari segi pencegahan kenaikan harga barang dan penipuan dalam jualbeli. Antara mereka yang membicarakan perkara ini ialah Abdul Rahman bin Nasr al-Shayrazi (m. 589H) dalam kitab Nihayah al-Ratbah fi Talab al-Hisbah, Ibn Ukhuwwah al-Qarshi (m. 729H) dalam Mualim al-Qarbah fi Ahkam al-Hisbah, Ibn Basam (m. 844H)dalam Nihayah al-Ratbah fi Talab al-Hisbah. Setiap aliran tersebut mempunyai keistimewaannya tersendiri. Aliran pertama tidak membicarakan hisbah secara amali pada zaman mereka. Aliran kedua pula tidak membicarakan hisbah dari segi hukum dan kaedah syarak yang mesti dimiliki oleh setiap pegawai hisbah. Ia hanya membicarakan kegiatan perniagaan, pertukangan dan pengawalan terhadapnya. Oleh itu, kajian tentang hisbah perlu melihat kepada kedua-dua aliran tersebut supaya dapat mengambarkan peranan institusi hisbah secara betul dan tepat. Terdapat tiga puluh buah buku yang ditulis oleh ulamak silam yang khusus mengenai hisbah sama ada dalam bentuk buku atau manuskrip. Ini menunjukkan institusi ini telah mendedahkan pencapaian umat Islam dalam bidang perniagaan iaitu profesyen yang wujud pada waktu itu. Dengan adanya sejumlah besar buku-buku berkaitan hisbah menunjukkan keupayaan umat Islam untuk mengkaji dan menganalisis urusan perniagaan Di dalam buku-buku tersebut juga terdapat istilah-istilah linguistik yang menunjukkan kemampuan bahasa Arab sebagai bahasa komunikasi. Di samping itu, institusi hisbah ini adalah sumber yang kaya untuk menggubal dasar pentadbiran Islam.

Hisbah berasal daripada perkataan hasaba bererti membilang atau menghitung. Ia juga membawa maksud balasan melakukan sesuatu dengan mengharap ganjaran dari Allah semata-mata. Al-Mawardi memberi definisi hisbah sebagai menyuruh kepada kebaikan apabila ternyata ia diabaikan dan mencegah kemungkaran apabila ternyata ia dilakukan. Definisi ini juga sama dengan definisi al-Fara. Ibn Taimiyyah memberi penakrifan pegawai hisbah sebagai petugas penyuruh kebaikan dan pencegah kemungkaran yang berlainan dengan tugas gabenor, hakim, pegawai kewangan dan lain-lain kementerian. Ibn Khaldun memberi takrif hisbah sebagai jawatan agama dalam bab menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran yang wajib ke atas pemerintah Islam memilih mereka yang layak untuk memegangnya dan membuat peraturan mengenainya. Walaupun pelbagai takrif diberi oleh para ulama namun sebenarnya ia tidak lari dari konsep amar maruf wa nahi annil mungkar. Sistem ini telah wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Ini berdasarkan hadith baginda Rasulullah s.a.w. yang melarang penipuan dalam jual beli. Diriwayatkan dalam Shahih Muslim dari Abu Hurairah yang mana Rasulullah s.a.w. telah melalui satu longgokan buah-buahan lalu Rasulullah memasukkan tangannya ke dalam longgokan tersebut dan didapati didalamnya terdapat buah-buahan yang buruk. Rasulullah bertanya kepada tuan punya buah-buahan lalu dijawab buah-buahan tersebut menjadi buruk disebabkan musibah hujan. Maka Rasulullah s.a.w.menyebutkan adakah kamu meletakkan buah-buahan yang elok di atas untuk dilihat oleh orang ramai bahawa buah-buahan kesemuanya adalah baik. Lalu Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa barangsiapa menipu ia bukan daripada golonganku.

Al-Ghazali (m.505H) dalam kitab Ihya Ulumiddin juga membicarakan mengenai hisbah yang mana al-Ghazali bukan sahaja membicarakan dari sudut feqah tetapi penekanan diberi dari sudut adab dan akhlak penguasa hisbah. Beliau membahagikan kepada lima cara untuk penguasa hisbah membenteras kemungkaran iaitu melalui penerangan, nasihat serta peringatan yang lembut, mengherdik kata-kata keras yang boleh menyedarkan, mencegah dengan tangan dengan serta merta dan memberi ancaman yang menakutkan. ( al-Zubaidi, al-Ithaf al-Sadah al-Mutaqin, 1989. jil. 8, hal. 27)

Ibn Taimiyyah menyebut bahawa tugas pemerintah bertujuan mencari keredhaan Tuhan dan meninggikan kalimah Allah. Allah telah menciptakan manusia dengan tujuan tersebut. Pemerintahan Islam bertanggungjawab menggesa kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sama ada dalam bidang yang besar atau kecil seperti hisbah.. Al-Jarsifi mengatakan bahawa institusi hisbah merupakan institusi terpenting kerana ia memerlukan kepada banyak undang-undang dan piagam. Tidak ada institusi yang lebih mulia selepas institusi kehakiman kecuali institusi hisbah kerana ia melaksanakan urusan agama dan mempunyai banyak persamaan dengan institusi kehakiman.

Para ulamak telah menetapkan bahawa orang yang menjadi pegawai hisbah mestilah seorang yang beragama Islam, merdeka, adil, seorang yang tegas dalam hukum hakam agama, mengetahui perkara yang mungkar yang zahir, warak, tingkahlaku yang mulia dan mempunyai kesabaran yang tinggi.

Al-Mawardi mengariskan ciri-ciri tugas penguasa hisbah yang dilantik oleh kerajaan iaitu tugasnya adalah fardu ain kerana dilantik untuk menjalankan tugas tersebut dan tidak boleh mengabaikannya. Beliau harus bertegas dalam menjalankan tugas dan bersedia menolong orang ramai. Di samping itu, pegawai hisbah boleh mengambil pembantu untuk melincinkan tugasnya. Beliau juga boleh mengenakan hukuman taazir ke atas perbuatan mungkar yang zahir selagi tidak melebihi hokum hudud. Gaji pegawai hisbah boleh diambil dari baitul Mal dan beliauboleh berijtihad dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan uruf kebiasaan setempat dan bukan dalam hokum-hukum syarak. Pegawai hisbah juga boleh menggunakan kelantangan serta kekerasan dalam mencegah perkara-perkara mungkar. Ini ialah kerana tugas hisbah ialah untuk menakutkan. Oleh itu, tindakannya itu tidak mencabuli bidang tugasnya. Kewajipan hisbah merupakan fardu kifayah kepada orang awam dan menjadi fardu ain kepada pemerintah dan orang yang dilantiknya.

Antara bidang tugas pegawai hisbah ialah mencegah dan menghapuskan kemungkaran yang tersebar di kalangan masyarakat dan mengambil tindakan ke atas mereka. Pegawai hisbah juga berkewajipan menyuruh orang ramai menunaikan solat di masjid. Beliau juga berhak mencegah percampuran lelaki dan perempuan ketika bersolat di masjid. Oleh itu, pegawai hisbah mestilah seorang yang tegas yang dapat mengambil tindakan sewajarnya kepada pelaku maksiat. Beliau sentiasa membuat rondaan di pasar-pasar untuk mencegah penipuan. Tugasnya adalah untuk mengesan dan menghukum sebarang penipuan seperti penggunaan timbang yang salah, pemalsuan barang atau seumpamanya dan juga bertugas melaksanakan peraturan Islam yang berhubung dengan kejujuran, kesopanan, moral dan kebersihan. Dalam konteks hari ini, institusi hisbah ini mempunyai bidang kuasa yang lebih luas dan bukan terhad kepada tugas yang disebut di atas sahaja. Bidang yang dijalankan oleh Direktorat Penguatkuasaan Majlis Daerah dan Dewan Bandaraya merupakan sebahagian daripada bidang hisbah. Begitu juga dengan pegawai pencegah maksiat atau unit penguatkuasaan dan pencegahan Jabatan Agama Islam Negeri dan Pengurusan Tatatertib Perkhidmatan Awam. Walaupun institusi tersebut tidak memenuhi kehendak konsep hisbah yang sebenar.

Ciri utama institusi hisbah ini mengenai peraturannya meliputi seluruh rakyat jelata tanpa mengira agama, keturunan atau pangkat. Sesungguhnya ketua negara, hakim atau sesiapa yang mempunyai autoriti tidak diberi keistimewaan dan penguasa hisbah berhak mengambil tindakan atas mereka. Tidak ada perbezaan seorang Islam dengan bukan Islam dalam konteks urusniaga malah kedua-dua pihak diminta memenuhi kewajipan masing-masing berdasarkan hukum-hukum dan perjanjian mereka. Oleh itu, tugas utama penguasa hisbah ialah memastikan kehidupan masyarakat tidak tercemar dengan kepercayaan dan amalan yang khurafat dan bidah. Di samping itu, ia memiliki beberapa tugas-tugas pentadbiran yang tidak ada kaitan lansung dengan masalah agama. Antara tugas hisbah ialah :

i. Pegawai hisbah perlu mengawasi sukatan dan timbangan barangii. Mengawasi peniaga supaya tidak menyembunyikan barang dengan tujuan menaikkan harga.iii. Mencegah jual beli yang fasik. Antaranya membeli atas belian saudaranya, menjual ikan dalam sungai atau menjual burung di udara.iv. Menyeru orang ramai menghormati masjid dan membasmi bidahv. Mengawasi kubur-kubur orang Islam supaya tidak berlaku perbuatan haram ke atas perkuburan tersebut. Umpamanya mencegah wanita daripada meratap di kubur.vi. Mencegah daripada penipuan orang tengah yang ingin menjual dengan harga yang mahalvii. Menjaga kesihatan orang ramai dengan menegah minum arak atau memainkan alat-alat hiburan yang boleh melalaikan mereka.

Al-Mawardi membahagikan hisbah kepada dua kategori iaitu gesaan melakukan perkara maaruf dan larangan dari melakukan perkara mungkar.

Dalam gesaan melakukan perkara maaruf, maka ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu yang berkaitan dengan hak Allah seperti gesaan menunaikan solat jumaat apabila mencukupi bilangan yang disepakati iaitu seramai 40 orang atau lebih. Penguasa hisbah wajib menggesa mereka menunaikan solat jumaat dan menghukum mereka yang cuai melakukannya.

Hisbah yang berkaitan dengan hak manusia seperti menolong orang yang putus perbelanjaan dalam perjalanan. Penguasa hisbah boleh menggunakan wang baitulmal atau meminta orang yang berkemampuan membantu mereka. Begitu juga beliau boleh mengarahkan supaya hutang yang lewat dibayar dijelaskan segera.

Hisbah yang berkaitan dengan perkongsian hak Allah dan hak manusia seperti gesaan terhadap para wali untuk mengahwinkan para janda dengan lelaki yang sekutu (sepadan) dengan mereka apabila mereka memintanya. Begitu juga memastikan wanita-wanita mematuhi edah mereka.

Berhubung dengan larangan dari melakukan perkara mungkar, ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu yang berkaitan dengan hak Allah dalam perkara ibadat. Salah satunya ialah imam dilarang menyaringkan suara bagi sembahyang yang telah ditetapkan dilakukan secara senyap atau sebaliknya. Dalam keadaan ini, penguasa hisbah boleh membantah dan menghukumnya. Begitu juga hak Allah dalam perkara yang diharamkan seperti menegah orang Islam meminum arak.

Hisbah yang berhubung dengan hak manusia seperti melarang menyakiti jiran. Hisbah yang berhubung dengan perkongsian hak Allah dan hak manusia seperti larangan menjenguk ke dalam rumah kediaman orang lain. Begitu juga penguasa hisbah boleh menggesa para hakim untuk mendengar pengaduan di antara pihak yang berbalah dengan segera. Apa yang menarik di sini ialah penegasan dari Imam Mawardi mengenai institusi hisbah ini. Menurutnya, kegiatan hisbah adalah salah satu dari prinsip agama Islam. Oleh sebab itu para khulafa menjalankan sendiri tugas tersebut kerana kepentingannya yang menyeluruh serta banyaknya pahala daripada kegiatan tersebut. Tetapi malangnya kegiatan ini mula diabaikan oleh pemerintah serta diserahkan kepada pembantu-pembantu yang hanya bertujuan mencari nafkah hidup dan terdedah kepada amalan rasuah. Maka fungsinya mulai lemah dan orang ramai tidak mempedulikannya lagi. Walaupun begitu, ini tidak bererti apabila berlaku kelemahan serta kekurangan di dalam dasarnya maka hukumnya tidak dilaksanakan.

Institusi hisbah ini berasal dari Islam. Ini menolak pandangan golongan orientalis seperti Zeidah A. Nacola, dalam buku al-Hisbah wa al-Muhtasib fi al-Islam (hal. 31) yang menyebut bahawa institusi ini diambil dari sistem Rom yang dikenali sebagai Edile Curule atau dari system Yunan yang dikenali sebagai Agoronomues. Ini kerana institusi hisbah amat berbeza dengan sistem tersebut. Institusi hisbah berlandaskan kebaikan dan kepentingan umum. Ia juga berteraskan prinsip gesaan kepada perkara kebaikan dan mencegah perkara mungkar. Asas ini merupakan prinsip dalam syariat Islam yang diambil dari al-Quran. Lagipun, kaum muslimin di permulaan Islam tidak mengenali system-sistem dari Rom dan Yunan dan tidak ada hubungan dengan kedua-dua negara tersebut ketika itu.

Sementara pendapat yang menyebutkan hisbah ini diasaskan pada kurun kedua hijrah juga tidak tepat seperti pendapat Sayyid Amer Ali yang menyebutkan al-Mahdi sebagai pengasas institusi hisbah dalam karyanya A Short History of Saracens (hal. 420). Ini kerana institusi ini telah berkembang pada zaman Rasulullah di mana baginda telah melantik Saidina Umar menjadi penyelia di pasar Madinah dan Said bin Said bin As menjadi penyelia di pasar Mekah. Pada zaman khalifah mereka sendiri menjalankan tugas ini. Saidina Umar pernah melantik Abdullah bin Atbah dan Saib bin Zaid menjadi penyelia di pasar Madinah semasa pemerintahannya. Pada zaman Umawi, khalifah Walid bin Abdul Malik pernah menjalankan tugas ini. Pada zaman permulaan Abassiyah institusi ini semakin berkembang maju.Khalifah Mansor (m. 158H) pernah melantik Asim bin Sulaiman dan Abu Zakaria Yahya bin Abdullah menjadi pegawai hisbah. Ini sekaligus menolak pendapat yang menyebutkan al-Mahdi (m. 169H) dan al-Rashid (m. 193H) sebagai pelopor hisbah.

Penulis berpendapat institusi hisbah ini telah wujud pada zaman Rasulullah s.a.w dan semakin berkembang menjadi institusi rasmi kerajaan pada zaman Abassiyah. Hisbah ini bukan baru diwujudkan pada zaman Abassiyah seperti sesetengah pendapat orientalis. Pada zaman Abassiyah, institusi ini telah menjadi satu sistem yang lebih teratur dan sistematik.

Zafir al-Qasimi juga berpendapat hisbah berasal dari Islam berdasarkan hujah-hujah di atas. Malahan orang Kristian yang mengambil sistem hisbah dari Andalus yang dikenali oleh mereka sebagai almotacep (Nizam al-Hukm, Zafir al-Qasimi, jil. 1, hal. 615).

Musa al-Husaini juga mempunyai pendapat yang sama dalam artikelnya The Institutoin of Hisbah In early Islam (Islamic Review, 1969) dan al-Nizam al-Hisbah fi Islam (al-Azhar, 1964). Dalam artikel ini beliau menyanggah pendapat yang mengatakan ulama Islam mengambil konsep hisbah dari buku Book of The Perfect iaitu buku yang mengatur hal ehwal peniaga dan saudagar di Konstantinopolis. Beliau telah memberi lima perbezaan di antara kedua-dua buku tersebut dari segi hukum-hukum asas. Antaranya ialah Book of The Perfect menekankan barangan mutiara, pertukaran wang, penjualan sutera, minyak wangi, barangan kulit, jualan babi dan arak. Sedikit sahaja bahagian yang menyentuh barangan makanan, roti, penternakan dan pertukangan. Sementara hisbah menekankan keperluan orang ramai seperti makanan, pakaian , pembinaan masjid dan tidak terhad kepada sesuatu golongan tertentu seperti khalifah atau gabenor. Ini membuktikan kedua-duanya mempunyai pendekatan yang sama sekali berbeza dari segi makna dan matlamat. Dalam Book of The Perfect tidak ada bab yang membicarakan tentang moral dan akhlak sementara hisbah menekankan akhlak dan memberi keutamaan tentang perkara ini. Para penulis buku hisbah sepakat menyatakan bahawa hisbah berteraskan prinsip agama dan sebahagian dari syarak.

Secara ringkasnya, hisbah merupakan sebahagian daripada sistem pentadbiran Islam yang bertujuan untuk memelihara kepentingan umum. Konsep pelaksanaannya terpulang kepada keadaan semasa. Dalam konteks sekarang, bidang kuasa dalam kawalan harga dan pasar telah ditadbir oleh Kementerian Hal Ehwal Pengguna sementara yang berkaitan dengan urusan agama ditadbir oleh Jabatan Agama. Walaupun begitu, konsep hisbah perlu difahami dengan sebenar supaya ia mengambarkan keadilan agama Islam. Pengwujudan institusi hisbah ialah untuk mengatur dan mentadbir segala urusan kemanusiaan selaras dengan Islam. Ia merupakan badan direktorat penguatkuasaan.

Lampiran :

Buku-Buku Turath Mengenai Hisbah.

1. Abdul Rahman bin Nasr al-Shayrazi (m. 589H), Nihayat al-Ratbah fi Talab al-Hisbah, Lujnah talif wa Tarjamah, Kaherah, 1946.2. IbnTaimiyyah,(m. 728H), Hisbah fi al-Islam, Jamiah al-Islamiah Madinah al-Munawwarah.3. Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Qurashi (terkenal sebagai Ibn al-Ukuwwah m. 729H), Maalim al-Qurbah fi Ahkam al-Hisbah, Cambridge, London 1937.4. Muhammad bin Muhammad al-Saqati al-Malqi al-Andalusi, Fi Adab al-Hisbah, Dar al-Fikr al-Hadith, Beirut,1987.5. Muhammad Ahmad bin Basam, Nihayat al-Ratbah fi Talab al-Hisbah, Baghdad, 1968.6. Jamaluddin Yusuf bin Abdul Hadi (Ibn al-Mubarrad al-Dimashqi, m. 909H), al-Hisbah, Beirut, 1937.7. Abu Fadl Jaafar bin Ali al-Dimashqi, al-Isharah ila Mahasin al-Tijarah, Kaherah,1318H8. Abdul Rahman bin Abu Bakar al-Dimashqi, (dikenali dengan al-Jawhari), Mukhtasar fi Kasf al-Asrar, Beirut, 1909.9. Ali Hassan al-Khuzai, al-Dalalat al-Samiyyah, Tunisia, t.t.10. Muhmmad Husain al-Idris al-Kattani, al-Tartib al-Idariyyah, Rabat, 192711. Muhammad bin Ahmad bin Abdun (Ibn Abdun), al-Qada wa al-Hisbah, Ibn Abdul Rauf, Adab al-Hisbah wa al-Muhtasib, Umar bin Uthman al-Jarsifi, al-Hisbah, dalam Thalatha al-Rasail fi Adab al-Hisbah wa Muhtasib, Kaherah, 1955.12. Yahya bin Umar al-Andalusi (m. 289H), al-Ahkam al-Suq, Maahad al-Misr al-Dirasat Fi Madrid, 1956.13. Ibn Abbas Ahmad bin Muhammad Marwar al-Sarakhsi (m. 286H), al-Hisbah al-Kabir dan Hisbah al-Saghir.14. Umar Muhammad bin Awad al-Sanami (m.734H), Nasab al-Ihtisab, Dar al-Ulum, Riyadh, 1982.15. Najimuddin Abu Abbas bin Muhammad bin Ali al-Ansari Ibn al-Raah (m.710H), al-Ratbah fi Hisbah.16. Imam Nasr al-Haq al-Atrash (m. 304H), al-Ihtisab.

Buku-Buku Semasa mengenai Hisbah.

1. Ibrahim Dasuqi al-Shadi, Hisbah fi al-Islam, Maktabah Dar al-Urubah, Kaherah, 1962.2. Ahmad Mustafa al-Maraghi, Hisbah fi al-Islam, Matbaah Isa al-Halabi, Kaherah.3. Abdul Razaq Hassan, al-Hisbah, Baghdad, 1946.4. Muhammad al-Mubarak, al-Dawlah wa Nizam al-Hisbah Inda Ibn Taimiyyah, Dar al-Fikr, Beirut, 1967.5. Nicola A. Zeidah, al-Hisbah wa al-Muhtasib, Percetakan Katholik, Beirut, 1962.6. Rashad Abbas Matuq, Nizam al-Hisbah fi Iraq, Matbaah al-Tahamah, Jeddah, 1982.7. Saham Abu Zaid, al-Hisbah fi Misr al-Islamiah, Haiah al-Misriyah al-Ammah li Kaherah, 1986.8. Sayyid al-Baz al-Araini, Hisbah fi Byzantin.9. Abdullah Muhammad Abdullah, Wilayah al-Hisbah, Maktabah al-Zahra, Kaherah, 1996.10. Ali Abdul Qadir, al-Fiqh al-Islami wa al-Qada wa al-Hisbah, Dar al-Maarif, Tunis, 1994.11. Saad Abdullah Arifi, al-Hisbah wa Niyabah al-Ammah, Dar Rashad, Riyadh, 1986.12. Awad Muhammad Awad, Tabiah al-Hisbah wa Shurut al-Muhtasib, Maahad al-Alami al-Fikr al-Islami, Kaherah, 1990.13. Subhi Abdul Munim Muhammad, Hisbah Fi al-Islam, Dar Riyad al-Salihin, 1993.14. Dirasat fi Hisbah wa Muhtasib Inda Arab, Baghdad, 1988.(kumpulan kertas kerja)