INTEGRASI NASIONAL

download INTEGRASI NASIONAL

of 7

description

integrasi

Transcript of INTEGRASI NASIONAL

3.0ISU DAN CABARAN 1: INTEGRASI NASIONAL3.1Integrasi Nasional Shamsul Amri (2007) memberikan maksud integrasi sebagai satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah daripada segi budaya, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Noriati A.Rashid (2010) menyatakan integrasi nasional merupakan satu proses penyatuan antara kumpulan manusia yang berbeza dari segi latar belakang,status sosial dan budaya untuk membentuk entiti yang mempunyai pegangan norma serta mengamalkan kehidupan bersama. Daripada penyatuan yang terbentuk, maka akan wujudlah perkongsian persefahaman dan pemikiran antara kaum di dalam sesebuah negara.

Integrasi sebegini merupakan satu proses yang berlaku hasil ikatan batin, iaitu ikatan perasaan antara manusia sendiri. Ia adalah proses kerohanian atau spiritual yang merupakan hasil daripada satu penghayatan di mana akhirnya berlaku perkongsian pemikiran dan hati, jauh merentasi perbezaan budaya dan kumpulan etnik. Integrasi nasional merupakan satu proses berbentuk abstrak, satu proses penyatuan atau ikatan yang sebati dan berpanjangan (Modul Kenegaraan, 2011: 179-180).

Jawatankuasa Integrasi Nasional, Jun (1991) menyatakan bahawa Integrasi Nasional merujuk kepada satu proses dinamik untuk merapatkan masyarakat negeri-negeri dalam Malaysia khususnya di antara negeri-negeri di Semenanjung dengan Negeri Sabah dan Sarawak, untuk membentuk satu Bangsa Malaysia yang mempunyai identitinya sendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Membentuk satu bangsa Malaysia merupakan salah satu cabaran kepada negara walaupun setelah mengecapi kemerdekaan. Ini ialah kerana masalah perkauman tetap menjadi satu isu yang serius dan perlu diambil tindakan dan perhatian.

Antara peristiwa yang telah mencetuskan ketegangan antara kaum ialah peristiwa 13 Mei 1969. Ia merupakan satu titik hitam dalam sejarah Malaysia. Peristiwa ini telah mewujudkan prasangka, amalan diskriminasi dan sikap prejudis dalam kalangan kumpulan etnik yang akhirnya mencetuskan rasa tidak senang dalam kumpulan etnik tertentu. Peristiwa rusuhan kaum ini memberi pengajaran yang besar kepada kerajaan untuk mengatasi masalah pertembungan antara etnik-etnik di Malaysia.

Justeru itu, pada tahun 1970, kerajaan memperkuatkuasakan dua perkara penting iaitu Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru untuk mewujudkan keseimbangan di antara kaum-kaum dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat di Malaysia. Bidang pendidikan menjadi teras penting untuk menjayakan objektif Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru iaitu untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum di negara ini. Pemurnian Dasar Pendidikan untuk mencapai integrasi kaum berterusan apabila kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet pada tahun 1974 yang bertujuan menyemak kembali Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Integrasi dan perpaduan kaum yang ingin dicapai oleh kerajaan melalui Dasar Pendidikan berdepan dengan cabaran dan halangan yang besar. Salah satu cabaran utama untuk mencapai perpaduan kaum ini ialah aspek dalaman iaitu perbezaan bahasa, kebudayaan, kepercayaan dan keturunan yang mempengaruhi sikap dan nilai sesuatu kaum. Perbezaan ini menyebabkan setiap kaum di negara ini sukar untuk menerima perubahan yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan dalam dasar pendidikan, kerana pada sangkaan mereka ia melibatkan penerimaan dan pengorbanan iaitu mereka terpaksa menerima unsur kaum lain dan mengorbankan unsur kaum sendiri. Situasi sebegini pasti akan mendapat tentangan daripada pelbagai kaum kerana unsur keturunan, kepercayaan, budaya dan bahasa sudah menebal dalam kaum masing-masing.

Justeru itu, bagi mewujudkan integrasi nasional daripada pelbagai kaum di Malaysia, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan Sekolah Wawasan. Konsep Sekolah Wawasan ialah berusaha untuk melahirkan anak bangsa Malaysia yang lebih bersifat cintakan negara dengan menyatukan sekolah dalam satu sistem pendidikan yang seragam yang dahulunya terasing antara satu sama lain untuk mewujudkan satu pertembungan etnik dalam satu ruang yang sama.

Ini bermaksud penggabungan sekolah berkenaan sudah pasti akan menemukan pelajar kepada satu andaian baru dalam hidup mereka. Ia bertujuan untuk mengeratkan perpaduan dan menyatupadukan kaum dalam kalangan pelajar. Walaupun semangat perpaduan dan integrasi antara kaum telah diberi penekanan sejak murid berada di sekolah rendah lagi, namun penubuhan Sekolah Wawasan akan lebih mencapai objektifnya kerana murid berbilang kaum dipertemukan di bawah satu tapak persekolahan yang sama.

3.2Kesan Integrasi Nasional Kepada MasyarakatPendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan masyarakat yang bersatu padu dan hidup dalam suasana yang harmoni. Integrasi nasioanal telah dapat memupuk semangat nasionalisme yang mendalam kepada semua kaum di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit dalam masyarakat hari ini. Ini dapat dibuktikan daripada interaksi yang baik yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia baik antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan bangsa. Sebagai contoh, di sekolah menengah, para pelajar yang terdiri dengan pelbagai kaum dapat belajar dalam satu sekolah yang sama.

Tujuan penubuhan Sekolah Wawasan ialah untuk mengeratkan perpaduan yang sudah sedia ada terjalin kukuh dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Penekanan semangat perpaduan dan integrasi antara kaum sejak kecil lagi iaitu di bangku sekolah rendah akan lebih memudahkan kerana mereka ini masih kanak-kanak yang boleh dilenturkan.

Sekolah Wawasan yang menempatkan tiga aliran sekolah yang berbeza di dalam sebuah kawasan akan membolehkan pelajar-pelajar SRJK menguasai bahasa Melayu. Ini kerana penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar SRJK agak lemah. Implikasinya, dengan adanya interaksi pelajar pelbagai keturunan ini telah membuka ruang seluas-luasnya untuk mereka berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan. Dalam masa yang sama pula, ia membolehkan pelajar memahami budaya, bahasa serta pemikiran rakannya daripada kaum lain.

Selain itu, usaha kerajaan untuk mencapai perpaduan melalui kokurikulum di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi telah menunjukkan hasil yang positif. Melalui aktiviti kokurikulum seperti aktiviti kebudayaan, keseniaan dan sukan telah menunjukkan semangat perpaduan di antara pelajar-pelajar pelbagai kaum.

Tambahan pula, aktiviti sebegini boleh merapatkan hubungan dan membangkitkan semangat tolong-menolong, semangat setiakawan dan saling percaya-mempercayai di antara pelajar-pelajar pelbagai kaum yang terlibat. Penglibatan pelajar secara aktif dalam bidang kokurikulum akan melahirkan individu pelajar yang berfikiran terbuka dan matang dalam perhubungan dan bersosial dalam masyarakat.

3.3Cara Guru Menangani Cabaran Integrasi NasionalSeseorang pendidik memainkan peranan yang dominan dalam merealisasikan aspirasi negara untuk mewujudkan perpaduan kaum. Guru ialah ejen keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberhasilan guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi disifatkan sebagai cabaran yang harus didepani dengan profesional.

Berdasarkan kepada garis panduan KPM dan PIPP, peranan guru sebagai Pembina negara bangsa dan modal insan dilaksanakan menerusi cara berikut :1) Memperkasakan bahasa kebangsaan2) Memantapkan perpaduan negara dan integrasi nasional3) Memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsaJusteru itu, bagi melaksanakan garis panduan tersebut, guru perlulah menangani cabaran integrasi nasional dengan cara menggalakan penggunaan bahasa kebangsaan di sekolah sebagai bahasa perpaduan. Guru haruslah mengutakan mencintai bahasa Malaysia serta menanamkan rasa cinta itu ke dalam jiwa pelajarnya. Di antara cara untuk memperkasakan bahasa ini ialah dengan mengadakan program-program seperti pertandingan pidato, pertandingan debat dan bahas, Pertandingan menulis artikel, Minggu Bahasa dan Kebangsaan serta program Wacana Ilmu dan lain-lain.

Bagi menyempurnakan garis panduan yang kedua iaitu memantapkan perpaduan negara dan integrasi nasional, KPM telah memperkenalkan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP). RIMUP ialah satu program yang menggalakkan penglibatan masyarakat setempat, para guru dan kerjasama murid-murid dalam kegiatan-kegiatan khas serta penggunaan bersama kemudahan, peralatan, penggemblengan tenaga dan kepakaran. Justeru itu, guru perlulah menerima cabaran ini dan berusaha untuk memantapkan lagi perpaduan masyarakat di Malaysia.

Untuk menangani cabaran Integrasi Nasional, guru perlulah menyemai dan memupuk semangat patriotisme secara berterusan dalam kalangan pelajar. Contohnya, semangat ini boleh dipupuk ke dalam diri pelajar daripada aktiviti perbarisan untuk menyanyikan lagu kebangsaan dan lagu patriotik iaitu Negaraku. Ianya dapat diaplikasikan ke dalam perhimpunan mingguan di sekolah. Selain itu juga, semangat patriotisme dapat dipupuk melalui sambutan bulan Kemerdekaan yang diadakan di sekolah. Pelajar boleh melibatkan diri dalam segala aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti mendeklamasikan sajak, syair, pantun, puisi, penulisan karya kreatif, pertandingan nyanyian lagu-lagu patriotik dan lain-lain. Penyertaan mereka dalam aktiviti yang dianjurkan ini akan meningkatkan serta menyemarakkan lagi semangat cintakan tanah air yang tercinta.

Selain itu juga, guru juga boleh memberikan peluang kepada semua pelajar yang terdiri daripada pelajar yang berbilang kaum dan agama untuk berinteraksi antara satu sama lain dan melibatkan diri dengan semua aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Contohnya, penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti Kempen Cintakan Warisan Seni, Kempen Kibar Jalur Gemilang, Pertandingan Menceriakan Kelas sempena Hari Kemerdekaan, Perbarisan Badan Beruniform dan lain-lain akan dapat membina kekuatan jati diri serta menanamkan rasa cintakan kepada bangsa dan negara Malaysia.