Isu Dan Cabaran Bahasa Melayu Masa Kini

8
Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu, Perkamusan dan Terjemahan Isu dan Cabaran Bahasa Melayu Masa Kini Sejarah pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah diangkat sebagai bahasa lingua franca di Asia Tenggara, khususnya pada zaman kemasyuran Kesultanan Melayu Melaka (Dewan Bahasa, Mac 2012). Namun begitu, pada era kini, kebanggaan terhadap bahasa Melayu semakin tenggelam dek pelbagai isu dan cabaran yang terpaksa dihadapi hari demi hari. Berikut merupakan ringkasan isu dan cabaran bahasa Melayu masa kini yang akan penulis huraikan dalam penulisan ini : Antara isu dan cabaran tersebut ialah persaingan dengan bahasa Inggeris di tanah air sendiri, Malaysia. Ini disokong oleh Ridzuan Kamis (2012) yang menyatakan bahawa bilangan pengguna bahasa Melayu semakin meningkat dari setahun ke setahun namun masih tidak dianggap sebagai kuasa bahasa utama kerana terpaksa bersaing atau dalam erti kata lain, dinafikan hak dan upayanya dek kehadiran bahasa lain seperti bahasa Inggeris. Namun begitu, penulis tidak dapat menafikan 1 Isu dan Cabaran bahasa Melayu pada

description

Isu dan Cabaran Bahasa Melayu Masa KiniPersaingan dengan bahasa InggerisPersepsi negatif terhadap bahasa MelayuKemampuan guru mengajar bahasa melayuPengaruh teknologiBahasa rojakPengaruh dialek

Transcript of Isu Dan Cabaran Bahasa Melayu Masa Kini

Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu, Perkamusan dan Terjemahan

Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu, Perkamusan dan Terjemahan

Isu dan Cabaran Bahasa Melayu Masa KiniSejarah pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah diangkat sebagai bahasa lingua franca di Asia Tenggara, khususnya pada zaman kemasyuran Kesultanan Melayu Melaka (Dewan Bahasa, Mac 2012). Namun begitu, pada era kini, kebanggaan terhadap bahasa Melayu semakin tenggelam dek pelbagai isu dan cabaran yang terpaksa dihadapi hari demi hari. Berikut merupakan ringkasan isu dan cabaran bahasa Melayu masa kini yang akan penulis huraikan dalam penulisan ini :

Isu dan Cabaran bahasa Melayu pada masa kini

Antara isu dan cabaran tersebut ialah persaingan dengan bahasa Inggeris di tanah air sendiri, Malaysia. Ini disokong oleh Ridzuan Kamis (2012) yang menyatakan bahawa bilangan pengguna bahasa Melayu semakin meningkat dari setahun ke setahun namun masih tidak dianggap sebagai kuasa bahasa utama kerana terpaksa bersaing atau dalam erti kata lain, dinafikan hak dan upayanya dek kehadiran bahasa lain seperti bahasa Inggeris. Namun begitu, penulis tidak dapat menafikan bahawa pengaruh penggunaan bahasa Inggeris begitu sukar ditepis, malah terpaksa diterima kerana bahasa itu merupakan bahasa ilmu dan komunikasi sejak berzaman lamanya. Dalam erti kata lain, bahasa Melayu sendiri banyak meminjam perkataan daripada bahasa Inggeris lalu diserapkan ke dalam kosa kata bahasa Melayu. Antara contoh kosa kata bahasa Inggeris yang dipinjamkan itu termasuklah catalog (catalog), number (nombor), activity (aktiviti) dan message (mesej). Ini sangat mengecewakan penulis kerana walaupun secara dasarnya bahasa Melayu semakin berkembang sebagai bahasa ilmu, namun kebergantungan bahasa Melayu terhadap kosa kata bahasa Inggeris telah menidakkan keaslian dan ketulenan bahasa Melayu itu sendiri. Hal ini adalah sebaliknya berlaku jika di Negara China. Semua nama asing akan dimandarinkan termasuk nama negara lain dan nama makanan. Sebagai contoh, orang China akan menyebut dan mengeja nama Malaysia sebagai Malaixiya. Aiskrim pula dipanggil xue gao yang bermaksud kuih salji. Bunyinya kedengaran pelik tetapi itulah hakikat yang membuktikan betapa mereka sangat mengagungkan bahasa sendiri sehingga sedaya upaya menolak peminjaman istilah bahasa asing (September 2012).Selain itu, cabaran persaingan bahasa ini jelas terbukti pada 2003 apabila dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan. Perubahan dasar bahasa ini dikatakan perlu untuk mempercepat kemajuan dalam bidang sains dan teknologi negara. Keadaan ini seolah-olah menggambarkan bahawa bahasa Melayu tidak mampu menjalankan fungsinya sebagai bahasa pengantar dalam bidang tersebut (Dewan Bahasa, April 2012). Melihat situasi ini, bangsa Melayu perlu mengambil iktibar daripada sejarah ketamadunan Jepun, Korea dan China. Negara itu mencipta kemajuan sains dan teknologi dalam bahasanya sendiri. Ilmu yang diperoleh dari negara Barat telah melalui proses penjepunan, pengkoreaan atau pencinaan di negara mereka. Alangkah baiknya jika proses seperti ini turut berlaku di negara kita.Seterusnya, cabaran kedua ialah persepsi negatif terhadap bahasa Melayu. Hamdan dan Rohana (2012) turut menyatakan perkara yang sama iaitu bahasa Melayu sebenarnya bukan menghadapi masalah bahasa, tetapi masalah luar daripada bahasa itu sendiri, iaitu permasalahan yang berkaitan dengan sikap atau persepsi tidak yakin terhadap kemampuan bangsa tersebut. Permasalahan ini telah menular daripada golongan rakyat bawahan sehinggalah ke peringkat golongan pemimpin. Contohnya, golongan pelajar menganggap bahasa Melayu hanya perlu dipelajari atas keperluan peperiksaan semata-mata. Tanpa kelulusan Bahasa Inggeris pun, para pelajar masih boleh mendapat tempat di institut pengajian tinggi dan kolej swasta yang bertaburan di dalam dan luar negara. Tidak cukup dengan itu, persepsi negatif terhadap bahasa Melayu turut dizahirkan dengan persepsi yang mengatakan bahawa graduan yang belajar dalam bahasa Inggeris lebih laku di pasaran kerja berbanding graduan bahasa Melayu. Hal sedemikian bukan kerana bahasa Inggeris lebih maju atau bernilai tinggi tetapi kerana kita sendiri yang meletakkan nilainya akibat kealpaan, kerendahan nilai dan jati diri, kekaguman akan bahasa lain, khususnya bahasa Inggeris. Tambah menyedihkan lagi, persepsi memandang rendah akan keupayaan bahasa Melayu ini turut menular dalam kalangan segelintir pemimpin. Ada pemimpin yang dilihat selesa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris walaupun majlis dihadiri 100 peratus orang Melayu dan diadakan di Malaysia. Lidah mereka seolah-olah kelu untuk bertutur dalam bahasa Melayu sebaliknya selesa berucap dalam pengaruh minda bahasa Inggeris (Dewan Bahasa, Mac 2012). Tidak hairanlah jika pemimpin kita sanggup membiarkan bahasa asing untuk menjalankan tanggungjawab sebagai bahasa pengantar ilmu utama dalam sistem pendidikan negara bagi subjek Matematik dan Sains pada satu ketika dahulu. Penulis percaya semua persepsi negatif ini adalah disebabkan sikap bermegah dengan bahasa Melayu mula luntur pada semua peringkat lapisan masyarakat. Kenyataan ini disokong oleh Prof Dr. Teo Kok Seong, pengkaji bahasa Melayu. Berikut merupakan antara petikan kata-kata beliau;Sebenarnya rakyat Malaysia termasuk orang Melayu selaku penutur natif kepada bahasa Melayu, rata-ratanya tidak sayang, tidak bangga dan tidak taat kepada bahasa Melayu. Baik dalam kapasitinya sebagai bahasa ibunda atau etnik, atau dalam kapasitinya sebagai bahasa negara. Cabaran ketiga ialah persoalan tentang kemampuan guru mengajar bahasa Melayu. Isu ini timbul akibat kekurangan guru opsyen Bahasa Melayu yang menyebabkan subjek ini terpaksa diajar oleh guru opsyen lain. Faktornya pada masa kini, kegilaan para pentadbir sekolah untuk mendapatkan guru-guru Bahasa Melayu yang berkualiti mengajar di sekolah mereka sudah tiada lagi seperti pada tahun 1980-an dan 1990-an. Pada mereka, subjek Bahasa Melayu bukan lagi subjek penting yang harus menduduki tempat tertinggi di sekolah. Bukan sekadar itu sahaja, bilangan guru yang berkualiti untuk mengajarkan Bahasa Melayu juga sudah tidak diambil peduli lagi. Apabila banyak kursus Pendidikan Bahasa Melayu di universiti dan maktab perguruan mulai ditutup, suasana pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah akhirnya menjadi lebih mudah. Pembelajaran Bahasa Melayu tidak lagi memerlukan guru yang berkebolehan dalam bidang tersebut untuk mengajarkannya. Ustazah, ustaz, guru sains dan matematik, guru pendidikan jasmani atau sesiapa sahaja boleh disuruh untuk mengajarkan subjek yang suatu ketika cukup penting ini, atas alasan bagi mencukupkan bilangan waktu dalam jadual waktu guru berkenaan. Bayangkan guru yang tidak pernah kenal dengan tatabahasa bahasa Melayu dipaksa mengajarkan subjek bahasa Melayu. Hal tersebut mungkin tidak janggal kepada masyarakat di luar sekolah, tetapi dalam kalangan guru Bahasa Melayu, hal tersebut merupakan suatu kepelikan kerana dikhuatiri yang lahir daripada pengajaran guru berkenaan bukan sistem bahasa yang betul, tetapi mungkin sistem bahasa pasar atau bahasa slanga yang bercempera sifatnya. Apabila timbul kritikan oleh sesetengah pihak yang peka terhadap nasib bahasa Melayu, maka bermacam-macam alas an diberikan, termasuklah andaian yang melucukan ini, bahawa semua guru yang boleh bercakap bahasa Melayu, tentu boleh pula mengajarkan subjek Bahasa Melayu. Di samping itu, isu ini berlaku kerana kekurangan pengetahuan dalam kalangan guru bahasa Melayu itu sendiri. Ini disokong oleh Koh Boh Boon (1986) yang menyimpulkan berdasarkan hasil kajiannya bahawa taraf penguasaan perbendaharaan kata yang diperlihatkan oleh bakal guru Bahasa Melayu masih tidak memuaskan. Daripada kajian yang telah dilakukan itu, jelaslah bahawa penggunaan bahasa Melayu pada peringkat yang paling asas pun masih belum mantap dalam kalangan bakal guru yang sedang mengikuti program pengkhususan Bhasa Melayu, inikan pula guru-guru yang tidak terlatih langsung dalam ilmu bahasa ini (Dewan Bahasa, Mei 2010). Cabaran keempat ialah pencemaran bahasa akibat pengaruh teknologi semasa, seperti penggunaan sistem mesej singkat (SMS), yang menular terutama dalam kalangan remaja dan pelajar. Hal ini merujuk bahasa singkatan yang sering digunakan seperti ko (engkau), amik (ambil), yg (yang), dr (dari), mkn (makan), askum (assalamualaikum) dan awk (awak). Situasi ini menunjukkan betapa tercemarnya bahasa Melayu dalam konteks komunikasi massa. Keaslian, ketulenan dan keindahan bahasa Melayu seolah-olah hilang keupayaan untuk gah dan gagah dalam kalangan masyarakat terutamanya orang Melayu sendiri. Perkataan yang disingkatkan ini dilihat mencemarkan budaya fikir bangsa Malaysia. Pelajar, khususnya remaja, sentiasa terdedah dengan bahasa SMS yang dianggap mudah, cepat dan ringkas untuk berkomunikasi tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap kemarbatan bahasa Melayu. Akibat daripada kebiasaan menggunakannya, pelajar cenderung mengaplikasikan bahasa SMS dalam karangan mereka di sekolah dan menyiapkan tugasan universiti. Hal ini menampakkan tiada kesedaran patriotik terhadap bahasa sendiri. Jika dibiarkan bahasa Melayu akan terpinggir dan seakan-akan hilang upaya untuk bersaing dengan bahasa lain di dunia komunikasi.Cabaran kelima ialah penggunaan bahasa rojak. Menurut Ridzuan Kamis (2012), bahasa rojak ialah bahasa yang terhasil campuran penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan juga bahasa-bahasa lain ke dalam pertuturan dan penulisan. Contohnya ayat berikut:i. I nak pergi shopping di supermarket. (Saya hendak pergi membeli-belah di pasar raya.)ii. Cutenya baby itu. (Comelnya bayi itu.) iii. Sorry, I tak sengaja (Maaf, saya tidak sengaja.)Isu bahasa rojak ini telah banyak diperkatakan oleh tokoh-tokoh bahasa dan para pemimpin. Misalnya, Allahyarham Dato Hassan Ahmad, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pernah menyatakan kekecewaannya kerana orang Melayu tidak mementingkan mutu penggunaan bahasa, seperti menggunakan bahasa Melayu bercampur dengan Inggeris dalam pertuturan seharian. Dalam pada itu, Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dalam sebuah kenyataan akhbar, beliau menyatakan bahawa bahasa kebangsaan kini didapati luntur terutamanya dalam pertuturan kerana ia dicampur aduk dengan unsur-unsur bahasa rojak. Kini, jarang kita dapati orang yang boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan yang utuh. Kebanyakan kita di Malaysia berbahasa Melayu sekerat belut, sekerat ular iaitu sekerat bahasa Melayu, sekerat bahasa Inggeris. Kecenderungan mencampur adukkan bahasa timbul dipercayai kerana didorong oleh factor berpengetahuan lebih daripada satu bahasa atau merasakan perkataan bahasa Inggeris mampu meberikan penerangan yang lebih baik lagi kepada daya fikirannya daripada menggunakan bahasa Melayu.Cabaran keenam dan yang terakhir ialah pengaruh dialek terhadap bahasa Melayu. Bahasa Melayu adalah bahasa yang berkembang secara evolusi dan unik bertambah pula dengan adanya dialek daerah, seperti dialek Utara, dialek Kelantan, dialek Terengganu dan dialek Perak, serta sukuan Sabah, bahasa sukuan Sarawak dan sebagainya. Ada sarjana bahasa menyatakan banyak dialek dan slanga dalam bahasa Melayu sedikit sebanyak menjadi penghalang dan kekangan kepada perkembangan serta kebakuan bahasa Melayu. Jika dilihat dalam konteks negara Malaysia sendiri, dialek percakapan yang wujud sebenarnya atas factor geografi dan asal usul serta susur galur keturunan. Menurut kajian ilmiah, dialek tidak boleh membabitkan mereka yang tidak memahaminya kerana hanya akan menimbulkan salah faham dan kekeliruan makna. Contoh dialek yang digunakan dalam masyarkat Malaysia adalah seperti yang berikut:i. Dialek Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Tidoq ka? Jom pi pekena nasi kandaq. (Tidurkah? Mari makan nasi kandar.)ii. Dialek Terengganu. Aku ada kije. (Aku ada kerja.)iii. Dialek Negeri Sembilan Ekau nak poi mana peneh-peneh ni? (Awak hendak pergi ke mana dalam cuaca panas ini?)Jelaslah bahawa faktor dan pengaruh dialek, longat dan slanga juga meninggalkan impak dalam menghalang keperkasaan bahasa Melayu, baik di peringkat negara mahupun antarabangsa. Kesimpulannya, bahasa Melayu terpaksa menghadapi pelbagai isu dan cabaran dalam era globalisasi masa kini. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu untuk sama-sama memikul tanggungjawab untuk mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu yang pernah dikecapi suatu ketika dahulu. Apalah gunanya kita saling menuding jari antara satu sama lain kerana ini sama sekali tidak akan membantu dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. Bahkna mungkin akan menjerumuskan pula bahasa yang tercinta ini ke lembah kemunduran yang lebih dalam lagi.1