Kepentingan Kesedaran Kepelbagaian Budaya Kepada Guru
Transcript of Kepentingan Kesedaran Kepelbagaian Budaya Kepada Guru
2.0 Kesedaran Kepelbagaian Budaya Kepada Guru
Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak sama ada pihak kerajaan
mahupun badan bukan kerajaan (NGO) bagi mewujudkan dan memupuk perpaduan
yang harmonis dalam kalangan masyarakat Malaysia. Tidak dapat dinafikan bahawa
pemupukan nilai yang baik dan menghormati budaya kaum lain dalam kalangan
masyarakat haruslah bermula daripada peringkat akar umbi lagi. Justeru, guru-guru
sekolah rendah amat memainkan peranan yang besar bagi membentuk dan memupuk
nilai-nilai sosial yang positif di dalam jiwa setiap muridnya tanpa mengira bangsa dan
agama. Pendidikan awal murid-murid mampu mencorakkan dan melahirkan masyarakat
yang berupaya bekerjasama dan bertoleransi bagi membangunkan negara sebagai
satu masyarakat dan organisasi yang utuh bukan sahaja dari aspek luaran malah dari
pelbagai aspek lain.
3. Menambahkan pengetahuan tentang budaya lain.
4. Mewujudkan suasana bilik darjah yang kondusif
5. Membina hubungan dan interaksi antara pelbagai kaum dalam bilik darjah.
2.Masalah pertuturan dalam kalangan murid Cina dan India mempengaruhi kefahaman konsep.
1. Penggunaan tutur kata bebas dari berbaur perkauman dan sensitiviti agama
Kepentingan Kesedaran Kepelbagaian Budaya Kepada
Guru
2.1 Penggunaan tutur kata bebas dari berbaur perkauman dan sensitiviti agama
Guru berperanan mengajar dan mendidik murid-murid di dalam sebuah kelas
yang terdiri daripada pelbagai latar belakang keluarga yang banyak mempengaruhi
tindakan dan kefahaman murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran
berlangsung. Sekolah rendah terbahagi kepada tiga jenis aliran iaitu Sekolah
Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT). Namun begitu, terdapat juga murid Cina dan India yang
belajar di Sekolah Kebangsaan yang menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa
perantara. Oleh itu, guru yang cekap mestilah bijak menyesuaikan diri dengan
suasana bilik darjah dan menjaga perlakuan dan tutur kata supaya bebas
daripada unsur-unsur yang berbaur perkauman dan sensitiviti agama semasa
menyampaikan penjelasan dan penerangan dalam bilik darjah. Hal ini kerana,
sekiranya guru tersilap memberi fakta tentang sesuatu kaum, murid-murid lain akan
menerima konsep yang negatif tentang kaum tersebut dan sekali gus akan mewujudkan
jurang perbezaan sosial yang ketara. Akibatnya, masalah sosial dalam pembelajaran
mereka seperti tiada kerjasama dan tolak ansur semasa aktiviti pengajaran dan
pembelajaran akan berlaku. Maka, rancangan pengajaran yang awal dan rapi
perlu direka terlebih dahulu sebagai langkah berhati-hati supaya guru dapat
meminimumkan kesilapan sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran.
2.2 Masalah pertuturan dalam kalangan murid Cina dan India mempengaruhi
kefahaman konsep.
Kesedaran guru terhadap kepelbagaian budaya yang terdapat dalam sesebuah
bilik darjah mempengaruhi strategi pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan
pelbagai kaedah pengajaran dan teknik pembelajaran yang sesuai amat penting
bagi memastikan kefahaman dan penerimaan pengetahuan murid yang terdiri
daripada pelbagai budaya adalah jelas dan tepat. Masalah dari aspek bahasa dan
pertuturan boleh menimbulkan kekeliruan maklumat sebenar yang ingin disampaikan
oleh guru. Kepekaan guru terhadap murid yang mempunyai masalah berbahasa amat
dituntut. Perhatian yang wajar perlu diberikan kepada mereka yang mempunyai
masalah bahasa dan bertutur. Guru perlu menggalakkan murid-murid yang lemah
bertutur terutamanya murid Cina dan India supaya kerap berinteraksi dan
berkomunikasi dengan murid Melayu untuk memantapkan lagi pertuturan mereka.
Selain itu, kelas pemulihan yang berfungsi membantu murid-murid yang lemah dari
aspek akademik juga dapat membantu mengukuhkan lagi pertuturan mereka. Ada juga
sebilangan murid Melayu yang lemah berbahasa tetapi mereka dapat bertutur
dalam bahasa Malaysia dengan baik kerana dipengaruhi latar belakang keluarga.
Dengan itu, guru seharusnya mengintegrasikan mereka iaitu murid Melayu yang
mampu bertutur dengan baik dengan murid Cina dan India yang lemah bertutur di
dalam kumpulan pemulihan yang sama. Hal ini dapat membantu murid Cina dan India
bertutur dengan lebih baik seterusnya mereka dapat mengikuti pengajaran dan
pembelajaran guru dengan berkesan.
2.3 Menambahkan pengetahuan tentang budaya lain.
Selain itu, pengetahuan tentang adat resam, budaya, kepercayaan dan
sistem nilai pelbagai budaya yang terdapat di Malaysia perlulah dikaji dan diteliti
bagi menambahkan dan meluaskan ilmu pengetahuan guru berkaitan amalan dan
budaya murid-muridnya di dalam bilik darjah. Pengetahuan awal guru terhadap
budaya murid-muridnya amat penting dalam menyusun aktiviti pembelajaran
terutamanya di dalam subjek Kajian Tempatan (KT) dan Pendidikan Sivik dan
Kerohanian (PSK). Kurikulum yang terkandung dalam kandungan sukatan pelajaran
Pendidikan Sivik dan Kerohanian (PSK) umpamanya mengandungi adab-adab dalam
setiap budaya di Malaysia. Justeru, guru lebih mudah mengajar dan membimbing murid
adab-adab tersebut dan menjalankan pelbagai aktiviti kumpulan yang melibatkan
pelbagai kaum di dalam satu kumpulan. Melalui aktiviti ini, perkongsian dan
pertukaran ilmu tentang budaya masing-masing akan berlaku dan secara tidak
langsung aktiviti ini membolehkan jurang perkauman antara murid dapat
dihapuskan. Penjelasan dan penerangan guru juga amat penting bagi mencari
persamaan di dalam perbezaan yang terdapat dalam setiap kaum. Ciri-ciri persamaan
dalam setiap budaya mampu membentuk hubungan yang harmonis sesama sendiri
setelah murid-murid dewasa kelak.
2.4 Mewujudkan suasana bilik darjah yang kondusif
Seterusnya kesedaran guru tentang hubungan yang harmonis antara murid-
murid pelbagai kaum akan mewujudkan suasana bilik darjah yang kondusif.
Kelancaran pengajaran dan pembelajaran banyak disumbangkan oleh kerjasama
dan perhatian yang diberikan murid-murid semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran berlaku. Sebarang gangguan dari murid akan menjejaskan tumpuan
murid-murid lain dan guru. Oleh itu, penyusunan kedudukan meja murid-murid
dalam bilik darjah hendaklah melibatkan semua kaum. Dengan itu, mereka dapat
melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama di sepanjang sesi persekolahan. Konflik
yang timbul sesama murid dalam bilik darjah terutamanya yang melibatkan
perkauman perlu diatasi segera bagi mengelakkan masalah tersebut menjadi
lebih besar. Sebagai contoh pergaduhan antara murid yang melibatkan perkauman
merupakan kes serius yang dapat merosakkan imej negara. Oleh itu, penerapan nilai-
nilai merentasi kurikulum harus diterapkan di dalam setiap mata pelajaran. Penekanan
nilai-nilai positif dan moral pada setiap kali proses pengajaran dan pembelajaran
mampu membentuk dan mencorakkan peribadi murid-murid dalam menghadapi masa
akan datang.
2.5 Membina hubungan dan interaksi antara pelbagai kaum dalam bilik darjah.
Perancangan pengajaran dan pembelajaran guru perlu melibatkan komunikasi
dua hala iaitu interaksi guru dan murid serta interaksi murid dengan murid.
Komunikasi merupakan medium dan saluran yang baik untuk menghubungkan
individu dengan individu lain. Guru mestilah berupaya menyusun dan merangka
pelbagai aktiviti yang melibatkan penyertaan semua murid. Aktiviti pengajaran dan
pembelajaran perlu mengambil kira peluang yang sama rata kepada setiap ahli
kumpulan. Hal ini bermaksud setiap kumpulan yang terdiri daripada pelbagai kaum
perlu mengambil peranan penting untuk menjayakan tugasan yang diberi. Kejayaan
dalam melaksanakan aktiviti tersebut akan membentuk rapo yang positif dalam
kumpulan mereka. Dengan adanya aktiviti yang dirangka dengan baik, guru dapat
mengelakkan prejudis antara murid yang berbeza budaya. Prejudis berlaku dalam
bentuk pandangan negatif yang tersemat dalam hati seseorang yang berbeza kelompok
etnik terhadap kelompok etnik lain (Shamsul Amri Baharuddin,2007:12). Prejudis antara
murid yang berbeza budaya perlu dikikis dan dihapuskan dengan menerapkan nilai-nilai
murni dan baik sangka antara murid dalam bilik darjah.