Kertas Kerja Bahasa Arab
-
Upload
moktar-hussain -
Category
Documents
-
view
387 -
download
12
description
Transcript of Kertas Kerja Bahasa Arab
34
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA ARAB TINGGI
DARI PERSPEKTIF GURU SEKOLAH AGAMA
BANTUAN KERAJAAN (SABK)
Ali bin Muda
SMA Dato’ Haji Tan Ahmad,
Jelebu, N. Sembilan.
Abstrak: Salah satu faktor kelemahan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar aliran
agama khususnya di Sekolah-sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) ialah Sukatan
Pelajaran Bahasa Arab (SPBA) yang terlalu tinggi berbanding keupayaan mereka dalam
penguasaan asas-asas bahasa Arab seperti penguasaan dalam tulisan Jawi dan kemahiran
membaca al-Quran. Penggunaan SPBA tunggal untuk semua pelajar aliran agama di semua
jenis sekolah menengah sedangkan mereka mempunyai aras kebolehan yang amat berbeza
adalah adalah satu langkah yang kurang bijak. Ini secara jelas tidak selari dengan teori
Kecerdasan Pelbagai. Para pelajar ditempatkan di sekolah-sekolah yang telah dikategorikan
berdasarkan pencapaian pelajar dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan
peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terpaksa dan dipaksa mempelajari bahasa
Arab berdasarkan SPBA yang sama di seluruh negara. Hal ini menyebabkan pelajar yang
lemah tidak berupaya mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.
Teknik Pembelajaran Masteri tidak dapat diaplikasikan guru kerana hambatan ujian dan
peperiksaan selaras. Penyedia SPBA berdasarkan analisis keperluan pelajar di sekolah agama
adalah satu langkah yang bijak untuk mengatasi masalah ini. Kekurangan guru bahasa Arab
yang terlatih dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab sebagai bahasa kedua juga
menjadi faktor kegagalan pelajar menguasai SPBA. Menganggap semua guru agama boleh
mengajar bahasa Arab adalah satu anggapan yang jauh dari kebenaran. Buku teks yang
dibekalkan ke sekolah-sekolah tidak melalui ujian kebolehbacaan (readability test) agar
sesuai dengan tahap bahasa Arab pelajar di sekolah menengah. Akibatnya, pelajar tidak
mendapat banyak manfaat daripada buku teks. Di samping itu, pelajar kurang memanfaatkan
kamus yang mereka miliki. Ini disebabkan kamus yang ada di pasaran kebanyakannya tidak
memenuhi keperluan pelajar dari segi konteks makna perkataan dan ayat.
Katakunci: Sukatan Pelajaran Bahasa Arab, guru terlatih, buku teks, kamus Arab
Abstract: One of the weaknesses factors in comprehending Arabic language among religious
school students especially in the Government Aided Religious School (SABK) caused by the
Arabic language syllabus applied in the school is very high when compared to their ability in
Arabic basics such as Jawi writing and al-Quran reading skills. Applying the only one
syllabus on the different students in Arabic language skills is a wrong step. It is not parallel
with Multiple Intelligences theory. The students have been enrolled to the categorized
schools based on their performances in the Assessment Test for Primary Schools (UPSR) and
Persidangan Kebangsaan Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Arab 2012 (PKEBAR’12) • disunting oleh: Mohd Shukari Hamzah, Khazri Osman, Moktar Hussain, Suhaila Zailani @ Hj. Ahmad, Salamiah Ab. Ghani, Hakim Zainal, & Zainuddin Ismail • © Unit Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi • ISBN 978-967-5478-49-9 • http://www.ukm.my/uba/sebar2012/prosiding.htm
35
Secondary Schools Assessment (PMR) examination. But they are enforced to undergo the
single one syllabus nationwide. Therefore, the weak students are not able to catch up the
teaching and learning process and its outcomes. Sadly, the teachers cannot apply the Mastery
Learning technique because they have to finish the syllabus before the uniform tests and
examinations. Providing syllabus based on need analysis is a smart step to coup with the
problem. The small number of expert and trained teachers in teaching and learning Arabic
language is also contribute to the shortness in students‟ Arabic capability. Assuming that all
of the religious teachers can teach Arabic language is a wrong assumption. Besides, the
Arabic text books provided to the schools are not undergoing the readability test so that be
useful to the level of the secondary school students. Hence, they cannot take much benefit
from it. The students also get less interest of the available Arabic dictionaries. The lack of
contextual Arabic dictionary in the market contributes to the problem.
Keywords: Arabic language syllabus, trained teachers, text book, Arabic dictionary
PENDAHULUAN
Isu-isu dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab dan Bahasa Arab Tinggi (P&P BA
& BAT) adalah amat rencam dan pelbagai ragam. Dalam semua aspek, didapati masih
banyak masalah yang dihadapi walaupun terdapat usaha-usaha yang boleh dibanggakan untuk
mengatasi masalah-masalah ini. Menurut Mat Taib Pa (2006), penguasaan bahasa Arab di
kalangan pelajar Melayu amat lemah. Kelemahan mereka pula lebih ketara berbanding
dengan pelajar-pelajar dahulu, walaupun dalam keadaan buku teks yang lebih baik,
kurikulum yang lebih mantap dan guru yang lebih berkelayakan. Kelemahan ini juga
dirasakan semakin hari semakin meningkat.1
Dalam penulisan ini, isu P&P Bahasa Tinggi (BAT) di Sekolah Agama Bantuan
Kerajaan (SABK) menjadi fokus perbincangan. Tidak dinafikan sebahagian besar isu yang
akan dibincangkan adalah juga isu yang sentiasa diperkatakan oleh guru-guru di semua jenis
sekolah menengah yang mempunyai mata pelajaran BAT, namun penulis cuba
mengetengahkan isu-isu yang menjadi permasalahan sebenar P&P BAT di SABK.
BAHASA ARAB TINGGI
Mata pelajaran yang disebut sebagai Bahasa Arab Tinggi ialah satu mata pelajaran yang
diambil murid aliran agama yang telah mengambil mata pelajaran Bahasa Arab di peringkat
peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Ia diajar kepada murid-murid Tingkatan 4
dan Tingkatan 5. Sehingga tahun 2009, ia dikenali sebagai Bahasa Arab Tinggi (BAT)
1 Dasar-dasar Umum Pengajaran Bahasa Arab di Malaysia dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab
di Malaysia, m.s. 1
36
dengan kod peperiksaan di Lembaga Peperiksaan 2361/1 (Kertas 1) dan 2361/2 (Kertas 2).
Mulai tahun 2010, mata pelajaran ini dikenali sebagai „Bahasa Arab‟ semula.
Objektif umum P&P Bahasa Arab di peringkat sekolah menengah ialah
“membolehkan pelajar menguasai empat kemahiran bahasa iaitu mendengar, bertutur,
membaca dan menulis serta mampu mempraktiskannya mengikut tema dan situasi tertentu. Ia
juga bertujuan membekalkan pelajar dengan perbendaharaan kata, kaedah nahu dan sarf dan
hafazan-hafazan terpilih, di samping membina kemampuan pelajar menggunakan bahasa
secara betul dan membina keperibadian pelajar dengan nilai-nilai akhlak mulia”.2
Manakala objektif khusus P&P Bahasa Arab sekolah menengah pula adalah seperti berikut:
i- Mendengar dan memahami siaran-siaran (Arab) serta memperkatakannya
ii- Bercakap dengan fasih dalam situasi tertentu
iii- Membaca dan memahami bahan-bahan (bacaan Arab)
iv- Menulis dan memahami kandungan penulisan dan pelbagai jenis dan tujuan
v- Menguasai kemahiran menulis kaligrafi Arab seperti Khat Naskh, Ruq‟ah dan Thuluth
dengan kaedah yang betul.
vi- Menghafaz dan memperdengarkan hafazan-hafazan dan wazan-wazan sarf yang asas
vii- Menguasai asas kaedah nahu Arab serta mampu menggunakannya secara fungsian
viii- Menguasai sekurang-kurangnya 1,500 perbendaharaan kata Arab serta
menggunakannya dengan betul.3
SEKOLAH AGAMA BANTUAN KERAJAAN (SABK)
SABK adalah sekolah menengah agama yang dahulunya ditadbir urus oleh kerajaan-kerajaan
negeri di bawah Jabatan Agama Islam masing-masing. Kewujudan masalah-masalah
infrastruktur, sumber manusia dan latihan yang berterusan di sekolah-sekolah tersebut
membawa kepada cadangan pengambilalihan oleh kerajaan pusat. Melalui perjanjian
persefahaman (MoU) di antara Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan kerajaan-
kerajaan negeri yang ditandatangani pada 20084, sehingga 2010 terdapat sebanyak 139 buah
SABK di seluruh negara. Bilangan ini jauh lebih besar berbanding Sekolah Menengah
Kebangsaan Agama (SMKA) yang berjumlah 55 buah semuanya.5
2 al-Manhaj al-Mutakamil li al-Madaris al-Thanawiyyah, al-Manhaj al-Dirasi li al-Lughah al-‘Arabiyyah, m.s 3
3 Ibid.
4 Dokumen Perjanjian Persefahaman (MoU) Di Antara Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kerajaan-Kerajaan
Negeri Berkaitan Pengambilalihan Sekolah Menengah Agama Negeri 2008 5 Kertas Makluman Laporan Pencapaian Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dan Sekolah Agama
Bantuan Kerajaan (SABK) Dalam Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010
37
Daripada 139 buah SABK ini, terdapat SABK yang setaraf dengan Sekolah
Berasrama Penuh Agama (KISAS, SMAP Labu dan SMAP Kajang) / Sekolah Berasrama
Penuh Integrasi (SBPI) / Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA). SABK yang
dikatakan setaraf itu ialah seperti Sekolah Menengah Imtiaz dan SMA (Atas) Sultan Zainal
Abidin (Terengganu), Sekolah Agama Menengah Bestari (Selangor), SMA Maahad al-
Mashoor Al-Islami (P. Pinang) dan lain-lain lagi. Penarafan ini berdasarkan syarat
pencapaian 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), fasih membaca
Al-Quran dan mahir tulisan Jawi untuk pengambilan pelajar Tingkatan 1 di sekolah-sekolah
tersebut. SABK kategori ini penulis labelkan sebagai SABK Kelas 1.
Di samping SABK Kelas 1, terdapat SABK yang mensyaratkan pencapaian minimum
3A UPSR, boleh membaca Al-Quran dan menulis Jawi. SABK ini penulis labelkan sebagai
SABK Kelas 2. Manakala terdapat juga di sana sejumlah besar SABK yang tidak
mengenakan syarat minimum UPSR, bacaan al-Quran dan tulisan Jawi, bahkan terpaksa
menerima kehadiran pelajar Tingkatan 1 yang berminat untuk memasuki sekolah menengah
agama. Malahan kecenderungan untuk memasuki sekolah menengah agama kadang-kadang
bukan datang daripada diri pelajar itu, sebaliknya pilihan ibu bapa yang beranggapan sekolah
menengah agama mampu membentuk akhlak dan peribadi yang mulia anak-anak mereka di
zaman cabaran dunia tanpa sempadan ini. SABK yang penulis labelkan sebagai SABK Kelas
3 ini tidak membuat pemilihan dalam pengambilan pelajar Tingkatan 1 kerana jika pemilihan
dan tapisan dibuat, sudah tentu SABK kategori ini akan mengalami masalah kekurangan
murid. Di samping itu, ruang untuk masyarakat mendapatkan pendidikan agama untuk anak-
anak mereka akan menjadi sempit disebabkan pencapaian keputusan UPSR yang tidak
memberansangkan. SABK kategori ini menerima kemasukan pelajar yang tidak tahu
membaca dan menulis Jawi, buta al-Quran, bahkan ada di antaranya yang tidak fasih
membaca dan menulis rumi. Antara ketiga-tiga kategori SABK ini, penulis akan
memfokuskan isu-isu dan permasalahan P&P BAT di SABK Kelas 3.
ISU PERTAMA: Sukatan Pelajaran (SP) BAT yang sama digunakan untuk murid yang
mempunyai latar belakang kelayakan yang amat berbeza.
Tidak dinafikan Malaysia mengamalkan dasar kurikulum berpusat, iaitu satu kurikulum yang
tunggal digunakan di semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan di seluruh negara. Hal ini
termasuklah SP BAT. Persoalan yang seharusnya difikirkan oleh pihak-pihak berwajib
38
khususnya Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia (BPK
KPM), adakah wajar kita menyatukan pembelajaran BA dan BAT di antara murid di SABK
Kelas 3 dan murid di SBP Agama, SBPI dan SMKA? Kita sendiri yang mengasingkan
mereka di sekolah menengah berdasarkan pencapaian mereka dalam UPSR, kebolehan
mereka dalam membaca dan menulis Jawi serta al-Quran, tiba-tiba kita satukan mereka
dengan satu SP yang sama untuk mata pelajaran yang memerlukan asas-asas Jawi dan al-
Quran yang mantap seperti bahasa Arab ini. Murid terpilih kita tempatkan di SBP dan SMKA
yang mempunyai segala kemudahan dan sumber tenaga pengajar yang mencukupi dan
terlatih, manakala murid lemah dan rata-rata miskin kita tempatkan di SABK Kelas 3 dengan
segala kekurangan infrastruktur dan tenaga pengajar yang tidak mencukupi dan tidak terlatih.
Dengan perbezaan status sekolah yang amat jauh ini, kita mewajibkan mereka belajar dan
bersaing dengan SP, penilaian dan peperiksaan yang sama dan seragam. Adakah ini suatu
kewajaran dan keadilan untuk murid-murid ini? Sedangkan SP Bahasa Arab yang
dikeluarkan KPM sendiri menyatakan:
Sepatutnya kita mengasingkan SP bahasa Arab untuk para pelajar di Malaysia. Satu
SP untuk kelompok pelajar di SBP Agama, SBPI, SMKA dan SABK Kelas 1 yang terpilih
dan mempunyai potensi untuk menyambung pengajian di universiti negara Timur Tengah
atau universiti tempatan dalam pengkhususan bahasa Arab. Mereka ini diunjurkan untuk
menjadi pelapis dan penambah nilai kepada guru bahasa Arab dan guru agama yang masih
kekurangan kuantiti dan kepakaran sekarang.
Satu SP bahasa Arab lagi ialah untuk pelajar di SABK Kelas 2 dan SABK Kelas 3
yang memasuki sekolah agama kerana minat mereka atau keluarga mereka kepada
pendidikan agama. Ketika di peringkat menengah rendah, mereka boleh diajar bahasa Arab
dengan SP yang sama dengan kelompok pertama di atas sehingga menduduki peperiksaan
PMR. Apabila mereka tidak menguasai SP bahasa Arab sehingga peperiksaan PMR, maka
apabila mereka naik ke Tingkatan 4 di sekolah yang sama dan tidak berpindah ke sekolah
6 al-Manhaj al-Mutakamil li al-Madaris al-Thanawiyyah, al-Manhaj al-Dirasi li al-Lughah al-‘Arabiyyah, m.s2
39
menengah harian, mereka diajar menggunakan SP bahasa Arab khusus untuk mereka
mengikut keperluan sebenar mereka. Sebagai contoh, mereka boleh diajar bahasa Arab
khusus untuk memahami ibadat solat, wirid dan doa seharian. Mereka diharapkan menjadi
seorang muslim yang faham agama mereka, berakhlak mulia dan mampu memimpin
komuniti mereka seperti menjadi imam dan bilal.
Pelajar-pelajar SABK Kelas 3 yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah
Rendah (PMR) dan memperolehi keputusan yang baik, mereka akan diberi pilihan untuk
berpindah ke SBP atau SMKA. Selalunya mereka akan berpindah ke sekolah yang lebih baik.
Sekali lagi murid di SABK Kelas 3 ini disaring untuk naik ke Tingkatan 4. Kebanyakan
mereka yang tinggal di SABK Kelas 3 ini memperolehi keputusan gagal “E” atau lulus “D”
dalam mata pelajaran BA PMR. Namun dengan segala kelemahan itu, sekali lagi mereka
dipaksa mengambil mata pelajaran Bahasa Arab Tinggi yang sememangnya tinggi dan hanya
sesuai untuk murid-murid yang memperolehi sekurang-kurangnya „B‟ dalam PMR. Inilah
yang dilakukan pengurusan SBPI di mana murid yang gagal mencapai „A‟ atau „B‟ dalam
subjek Bahasa Arab PMR akan ditawarkan ke Tingkatan 4 aliran Sains Tulen atau Sains
Teknikal dengan menggugurkan subjek BAT. Malangnya murid-murid di SABK Kelas 3
yang gagal „E‟ subjek BA PMR pun dipaksa dan terpaksa mengambil subjek BAT dalam
Tingkatan 4.
Analoginya seolah-olah murid yang gagal dalam Matematik Moden PMR dipaksa
mengambil Matematik Tambahan semasa di Tingkatan 4. Inilah perkara yang amat tidak
masuk akal telah berlaku sekian lama kepada subjek BAT di SABK Kelas 3 khususnya.
Justeru, apakah yang ingin kita suarakan? Apakah murid di SABK Kelas 3 yang gagal subjek
BA PMR tidak boleh mempelajari bahasa Arab di Tingkatan 4 dan seterusnya? Jawabnya
tidak. Mereka boleh mempelajari bahasa Arab tetapi bukan bahasa Arab dengan SP BAT
yang dipelajari rakan-rakan mereka di SBP Agama, SBPI dan SMKA. Mereka wajib diberi
pilihan untuk mempelajari bahasa Arab mengikut keperluan mereka sebagai seorang muslim.
Mereka perlu mempelajari bahasa Arab yang mereka gunakan di dalam solat, wirid dan doa
mereka sehari-hari. Di sinilah letaknya kepentingan membuat analisis keperluan (need
analysis) sebelum sesuatu kurikulum itu dilaksanakan ke atas golongan sasar. Pelajar yang
tidak mahir menulis Jawi dan membaca al-Quran tidak mungkin mampu menguasai
40
kandungan SP BAT. Pelajar ini mungkin mempunyai kecerdasan dan potensi yang lain. Dan
dari sinilah juga idea P&P Bahasa Arab untuk tujuan khas perlu diberi perhatian.7
Berdasarkan petunjuk pencapaian BA mereka dalam PMR, tiada keperluan untuk
mereka membuang masa mempelajari sesuatu subjek yang sudah diketahui mereka akan
gagal atau lulus di tahap minimum sahaja di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Apalah ertinya belajar bahasa Arab selama lima tahun dan berakhir dengan kegagalan yang
telah boleh dijangkakan berdasarkan tahap penguasaan tulisan Jawi, bacaan al-Quran dan
kegagalan mereka menguasai asas-asas bahasa Arab di peringkat PMR.
Sebagai contoh, peratus kelulusan calon PMR 2009 (42 orang) untuk subjek Bahasa
Arab di SMA Dato‟ Haji Tan Ahmad, Jelebu, N. Sembilan ialah 28.6%. 39 orang daripada
calon-calon ini telah menduduki peperiksaan SPM 2011 di sekolah yang sama dengan peratus
kelulusan 56.4%. Daripada 56.4% yang lulus ini, 41.0% mendapat kelulusan tahap minimum
„D‟ (7 orang) dan „E‟ (9 orang), manakala 43.6% (17 calon) daripada jumlah calon
keseluruhan mendapat keputusan gagal „G‟. Bila dijumlahkan calon yang mendapat „D‟, „E‟
dan „G‟ (33 calon) maka peratus yang boleh dikira tidak menguasai SP BAT ialah 84.6%. Ini
jelas menunjukkan keupayaan calon menguasai subjek BAT tidak jauh berbeza dengan
penguasaan mereka di peringkat BA PMR.
Jadual 1: Analisa Pencapaian BA PMR 2009 – 2011 SMA Dato‟ Haji Tan Ahmad
TA
HU
N
BIL
CA
LO
N
A B C D E LULUS
BIL
% BIL
% BIL
% BIL
% BIL
% BIL
%
2011
41 2 4.9 0 0.0 9 22.0 13 31.7 17 41.5 24 58.5
2010
27 1 3.7 0 0.0 3 11.1 5 18.5 18 66.7 9 33.3
2009
42 0 0.0 2 4.8 2 4.8 8 19.0 30 71.4 12 28.6
7 Ta’lim al-Lughah al-‘Arabiyah li Aghradh Khassah: al-Nazarah al-Awwaliyyah dalam Pengajaran Dan
Pembelajaran Bahasa Arab Di Malaysia, m.s. 151. Berkaitan model Pengajaran Bahasa Arab Untuk Tujuan
Khas, sebuah buku bertajuk al-‘Arabiyyah li al-‘Ibadah telah dihasilkan oleh sekumpulan guru bahasa Arab di
Pusat Bahasa UIAM.
41
Jadual 2: Analisa Pencapaian BAT SPM 2009 – 2011 SMA Dato‟ Haji Tan Ahmad
TA
HU
N
BIL
CA
LO
N
A B C D E G LULUS
BIL
% BIL
% BIL
% BIL
% BIL
% BIL
% BIL %
2011
39 1 2.6 1 2.6 4 10.3 7 17.9 9 23.1 17 43.6 22 56.4
2010
30 0 0.0 3 10.0 7 23.3 1 3.3 9 3.0 10 33.3 20 66.7
2009
28 0 0.0 0 0.0 0 0.0 8 28.6 12 42.9 8 28.6 20 71.4
Penulis tidaklah mengatakan kelompok pelajar SABK Kelas 3 yang tidak mahir
tulisan Jawi, bacaan Al-Quran dan asas-asas bahasa Arab tidak layak diajar bahasa Arab.
Tetapi penulis berpendapat golongan pelajar ini sebenarnya mempunyai kecerdasan yang lain
daripada kecerdasan Verbal-Linguistik yang berkebolehan menggunakan kata-kata secara
berkesan dalam lisan dan penulisan serta bercakap tentang bahasa itu sendiri. Jika diberi
peluang, mereka boleh menyerlahkan potensi dalam sekurang-kurangnya salah satu bidang
kecerdasan daripada lapan bidang kecerdasan menurut pakar Teori Kecerdasan Pelbagai
(Multiple Intelligences).8
Kelompok pelajar ini boleh diajar bahasa Arab dan boleh menguasainya jika guru-
guru berpeluang mengaplikasikan strategi Pembelajaran Masteri kepada mereka. Dalam
strategi Pembelajaran Masteri, guru perlu menyedari bahawa murid mempunyai kebolehan
dan keperluan yang berbeza. Justeru itu, murid memerlukan pendekatan P&P yang sesuai dan
berkesan. Dengan prinsip bahawa murid normal boleh mempelajari apa yang diajarkan oleh
guru, maka murid dan guru itu memerlukan masa yang mencukupi untuk menguasai sesuatu
hasil pembelajaran yang ditentukan. 9
Namun, guru-guru amat terikat dengan penilaian dan peperiksaan selaras dan seragam
dalam bentuk Ujian Pertama (Mac), Peperiksaan Pertengahan Tahun (Mei), Ujian Kedua
(Julai), Percubaan PMR (Ogos), Ujian Ketiga (September), PMR dan peperiksaan Akhir
8 Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran, m.s. 9
9 Pembelajaran Masteri, m.s. 3
42
Tahun (Oktober) serta peperiksaan SPM (November). Hambatan ujian dan peperiksaan,
peratusan pelajar yang mendapat „A‟ dan peratusan lulus menyebabkan guru dan pelajar tidak
mempunyai masa yang cukup untuk menguasai sesuatu topik.
ISU KEDUA: Kekurangan guru bahasa Arab yang cekap dan terlatih
P&P bahasa Arab untuk para pelajar Malaysia memerlukan guru yang cekap dan terlatih
dalam pedagogi P&P bahasa untuk bukan penutur. Di antara mengajar bahasa ibunda dan
bahasa kedua atau bahasa asing ada perbezaan yang besar. Untuk mengajar bahasa kedua
kepada bukan penutur memerlukan kemahiran tentang kaedah, teknik, pendekatan dan
strategi yang khusus dan berbeza dengan mengajar ilmu agama.10
Ramai yang berpandangan
bahawa apabila seseorang itu bergelar ustaz atau ustazah dan berkelulusan bidang agama,
maka dia boleh mengajar bahasa Arab. Inilah satu kesilapan yang besar. Kerap berlaku guru
yang dilatih di bawah opsyen Pendidikan Islam dihantar mengajar di sekolah yang
memerlukan guru opsyen Bahasa Arab. Sebaliknya guru yang dilatih di bawah opsyen
Bahasa Arab dihantar mengajar di sekolah yang tidak menawarkan subjek Bahasa Arab, lalu
dia mengajar subjek Pendidikan Islam. Hal ini berlaku kerana anggapan ustaz dan ustazah
boleh mengajar Bahasa Arab dan Pendidikan Islam.
Memang tidak dapat dinafikan guru opsyen Pendidikan Islam juga dilatih secara
minor untuk mengajar Bahasa Arab, tetapi latihan secara minor tidak mencukupi untuk
membimbing pelajar untuk menguasai SP BA apatah lagi BAT. Janganlah terperanjat
sekiranya guru yang sudah belasan tahun mengajar BA masih tidak mampu bercakap dalam
bahasa Arab di perhimpunan pagi di sekolah. Malahan masih ramai guru yang telah lama
ditugaskan mengajar BA tidak mampu membina ayat dalam bahasa Arab dengan betul seperti
tidak dapat membezakan penggunaan Alif Laam al-Ta’rif untuk al-Idhafah dan al-Na’tu/al-
Shifah, tidak mengetahui secara pasti bilakah huruf Ya al-Nisbah perlu diletakkan pada al-
Shifah. Ini belum dikira kemahiran menceduk uslub atau gaya bahasa Arab untuk
dipersembahkan kepada pelajar.
Jika kita serius untuk meninggikan martabat bahasa Arab di negara ini, keadaan ini
tidak boleh dibiarkan. Latihan dan kursus kemahiran berkaitan P&P bahasa Arab untuk guru-
guru hendaklah diadakan secara berterusan. Sudah tentu ia tidak mencukupi hanya dengan
10
Fan Tadris al-Lughah al-‘Arabiyyah li ghayr al-‘Arab, m.s. 254
43
latihan semasa ijazah pertama dan kursus perguruan lepasan ijazah sahaja. Pihak berwajib
seperti Bahagian Pendidikan Guru KPM dan jabatan-jabatan pelajaran negeri (JPN) mesti
berperanan melatih guru secara berterusan.
Guru-guru bahasa Arab dan pendidikan Islam sendiri hendaklah sentiasa proaktif
untuk menambah ilmu dan kemahiran dalam bidang P&P bahasa Arab apabila ditugaskan
mengajar bahasa Arab. Amanah yang dipikul dengan bayaran gaji daripada harta rakyat
hendaklah ditunaikan sebaik mungkin. Mereka hendaklah merasa bangga dan bersyukur
diberi peluang menajamkan ilmu yang telah dipelajari di pusat-pusat pengajian tinggi (input)
dengan memahirkan diri dalam aspek penyampaian dan perkongsian dengan anak didik
(output) pula. Tidak wajar sama sekali guru-guru agama yang tidak dilatih dengan opsyen
major bahasa Arab merasa terbeban dengan tugas mengajar bahasa Arab.
Salah satu cara yang berkesan untuk para guru meningkatkan kemahiran dalam
bidang P&P bahasa Arab ialah dengan menambah bahan bacaan dalam bidang tersebut.
Guru-guru bahasa Arab hendaklah mempunyai akses dan menguasai kaedah-kaedah
pengajaran bahasa kedua seperti Kaedah Terus / Langsung / Tentera (Direct Methode /
Toriqah al-Mubasyarah), Induktif (Inductive Methode / al-Toriqah al-Istiqraiyyah), Deduktif
(Deductive Methode / al-Toriqah al-Qiyasiyyah) dan kaedah-kaedah P&P bahasa kedua yang
pelbagai lagi.
Menurut Rohaty (2007), guru yang dikatakan berkesan menguasai subjek-subjek yang
akan diajarnya. Menguasai subjek bererti menguasai konsep-konsep, teori-teori, prinsip-
prinsip, fakta-fakta dan skema-skema dalam disiplin yang diajar.11
Guru-guru bahasa Arab juga hendaklah menguasai strategi pembelajaran yang sesuai dengan
kehendak pendidikan masa kini dan masa depan. Strategi pembelajaran Konstruktivisme,
Pembelajaran Masteri, aplikasi teori Kecerdasan Pelbagai, Pembelajaran Berasaskan Masa
Depan dan sebagainya lagi hendaklah berada dalam pengetahuan, pemahaman dan
kebolehgunaan guru-guru bahasa Arab.
Selain daripada itu, pakar-pakar bahasa Arab di pusat-pusat pengajian tinggi
sepatutnya membuka ruang dan peluang akses untuk guru-guru bahasa Arab di sekolah
terhadap bahan-bahan prosiding seminar, kolokium, tesis dan disertasi yang khusus berkaitan
P&P bahasa Arab sebagai bahasa kedua. Bahan-bahan bacaan yang amat berharga itu tidak
seharusnya dijadikan mutiara yang tersimpan di kutub khanah universiti dan Jabatan
Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD) di KPM sahaja. Salinan pendua
11
Profesion Perguruan, m.s. 206
44
kepada bahan-bahan bernilai ini sepatutnya dipanjangkan kepada Bahagian Pendidikan Islam
(BPI) KPM dan JPN untuk diperbanyakkan ke sekolah-sekolah yang menawarkan
pembelajaran bahasa Arab.
ISU KETIGA: Tahap buku teks yang amat tinggi berbanding kemampuan murid.
Jika ditanyakan soalan kepada guru-guru yang mengajar subjek BA di mana-mana sekolah
sekalipun, sudah pasti mereka akan menjawab buku teks yang disediakan terlalu tinggi dan
tidak sesuai dengan aras kemampuan pelajar. Buku teks sepatutnya menjadi bahan bantu
belajar di mana pelajar boleh membuat rujukan dengan pantas. Malangnya, buku teks yang
ada umpama beban yang dipikul pelajar ke sana ke mari tanpa mendapat faedah daripadanya,
tidak ubah seperti keldai yang membawa sebeban lembaran ilmu yang tidak difahaminya.
Pelajar hanya dapat manfaaat daripada buku teks apabila ia dibaca bersama guru. Jadi tidak
hairanlah apabila guru hanya menterjemahkan segala kandungan dalam buku teks dan pelajar
„menggantungkan‟ makna di bawah setiap perkataan Arab di dalam buku teks tersebut.
Keperluan para pelajar belum dipenuhi dengan hanya mewujudkan buku teks yang
menawan bila dipandang. Kajian tentang kebolehbacaan (readability) sesebuah buku teks
hendaklah dilaksanakan sebelum diedarkan ke sekolah. 12
Dalam satu laporan oleh School
Renaissance Institute (2000) menyatakan usaha memadankan tahap kebolehbacaan sesebuah
buku agar sesuai dengan tahap kebolehan membaca pelajar boleh membantu ke arah kejayaan
seseorang pelajar serta mampu memupuk motivasi mereka. Laporan itu juga menyatakan
usaha mengukur kebolehbacaan sesebuah buku teks merupakan langkah pertama yang perlu
diambil bagi memastikan buku teks yang digunakan sesuai dengan tahap kebolehan pelajar.13
Pasukan panel kawalan mutu mungkin telah melakukan yang terbaik untuk memastikan
ketepatan standard yang dikehendaki oleh Bahagian Buku Teks (BBT) KPM (walaupun
kesalahan fakta, ejaan dan nahu masih wujud dengan banyaknya di dalam sesetengah buku
teks bahasa Arab di sekolah), tetapi bagaimanakah BBT boleh memastikan para pelajar boleh
memanfaatkan semaksimum mungkin buku-buku teks yang diterbitkan dengan kos jutaan
ringgit.
12
Fan Tadris al-Lughah al-‘Arabiyyah li ghayr al-‘Arab, m.s. 268
13 Mengukur Kebolehbacaan Bahan-bahan Bacaan Bahasa Arab dalam Pendidikan Islam & Bahasa Arab
Pemangkin Peradaban Ummah (Prosiding Seminar), m.s. 108-109
45
Salahkah jika kita melakukan anjakan paradigma dengan mengeluarkan buku teks
bahasa Arab yang membolehkan para pelajar membaca dan memahami sendiri apa yang
dibaca? Salahkah jika BBT menerbitkan buku teks yang menerangkan kaedah-kaedah nahu
Arab dalam bahasa Melayu dengan contoh-contoh perbandingan yang ada dalam bahasa
ibunda mereka itu? Sebagai contoh, bab al-Fi’l al-Mabni li al-Ma’lum wa al-Mabni li al-
Majhul boleh dibandingkan dengan operasi imbuhan awalan „me-„ dan „di-‟ dalam bahasa
Melayu. Perkataan Arab akala (huruf pertama dan akhir berbaris di atas - fathah) membawa
maksud „telah memakan‟ akan berubah menjadi maksud „telah dimakan‟ apabila baris huruf
pertama ditukar ke baris depan (dhammah) dan huruf sebelum akhir dibaris bawah (kasrah);
ukila. Cara ini lebih mudah difahami pelajar berbanding cara yang digunakan buku teks sedia
ada yang menerangkan kaedah nahu Arab sepenuhnya dalam bahasa Arab dalam semua buku
teks Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Apalah salah kiranya al-Fi’l al-Mabni li al-Majhul itu
digandingkan juga dengan Past Participle dalam nahu bahasa Inggeris di mana semua pelajar
telah mempelajari bahasa Inggeris selama sekurang-kurangnya enam tahun di sekolah rendah.
Amalan dalam buku teks bahasa Arab selama ini seolah-olah ingin memberitahu bahawa
menerangkan kaedah nahu bahasa Arab dengan bahasa yang telah difahami pelajar adalah
satu kesalahan, dosa besar dan menyalahi undang-undang. Juga seolah-olah buku teks bahasa
Arab yang memasukkan perkataan selain Arab untuk memudahkan pelajar memahami adalah
buku yang tiada „class‟.
Dalam kajian di sebuah sekolah SMKA terhadap faktor-faktor pembelajaran yang
mempengaruhi pencapaian pelajar dalam BAK, Ainon (2004) mendapati faktor buku teks
tidak menunjukkan hubungan yang signifikan dengan pembelajaran pelajar. Sebaliknya
pencapaian pelajar banyak dihubungkaitkan dengan kecenderungan mereka merujuk kepada
guru. Lebih membimbangkan, menurut Misnan (1999) dan Wan Roslan (2004), faktor
kejayaan pelajar dalam peperiksaan banyak disumbangkan oleh pembelajaran berorientasikan
peperiksaan di mana mereka lebih bergantung kepada buku rujukan menjawab soalan
peperiksaan serta hafalan, bukan buku teks.14
Jika pelajar terpilih di SMKA masih tidak dapat
memanfaatkan buku teks untuk meningkatkan pencapaian mereka, cubalah anda bayangkan
14
Mengukur Kebolehbacaan Bahan-bahan Bacaan Bahasa Arab dalam Pendidikan Islam & Bahasa Arab
Pemangkin Peradaban Ummah (Prosiding Seminar), m.s. 112
46
apakah yang akan dapat diperolehi daripada buku teks yang sama oleh pelajar di SABK Kelas
3?.
ISU KEEMPAT: Kekurangan kamus yang benar-benar membantu pelajar menguasai
bahasa Arab
Pelbagai kamus dwi-bahasa, bahkan tri-bahasa di pasaran. Dari segi kuantiti memang telah
banyak. Tetapi dari segi kualiti dan kebolehgunaan dengan berkesan bagi para pelajar
peringkat sekolah, belum ada kamus yang dimaksudkan di pasaran Malaysia. Kamus yang
ada boleh dimanfaatkan oleh pelajar yang telah menguasai asas-asas nahu dan sarf Arab.
Tetapi bagi pelajar yang baru berjinak dengan bahasa Arab, deretan kamus yang ada belum
cukup membantu dalam pembelajaran akses kendiri. Apabila dilihat objektif SP Bahasa Arab
KPM, agak sukar pelajar hendak mencapainya dengan kamus yang sedia ada.
Menurut Rosni (2006), proses pembelajaran dengan menggunakan pelbagai kamus
bahasa dapat membantu pelajar menguasai kosa kata dengan baik. Pelajar perlu diajar
mencatat dan menghafal perkataan yang ditemuinya. Pelajar tidak akan dapat mengetahui
makna perkataan baru yang ditemuinya melainkan dengan cara merujuk kamus. Guru
berperanan dalam membimbing pelajar menggunakan kamus dan menterjemahkan makna
mengikut kehendak ayat. Kamus hendaklah dipelbagaikan dan tidak hanya memadai dengan
sesebuah kamus sahaja bagi menambah pelbagai pengetahuan tentang makna perkataan yang
dicari. Tanpa kamus pelajar akan menghadapi kesulitan dalam penguasaan kosa kata. Begitu
juga pelajar hendaklah membawa kamus persendirian ke dalam kelas. Guru pula hendaklah
meminta pelajar mencari makna sendiri bagi membantu mereka dalam memahami bahan
bacaan.15
KESIMPULAN
Pengajaran dan pembelajaran BAT di sekolah-sekolah SABK Kelas 3 hendaklah dilihat
semula dari segi keperluan pelajar terhadap kandungan SP BAT itu sendiri. Keperluan ini
pula hendaklah diukur dengan kelayakan para pelajar tersebut berdasarkan pencapaian
mereka dalam UPSR dan PMR. Keperluan sebenar pelajar sekolah menengah agama di
Malaysia terhadap pencapaian dan penguasaan keempat-empat kemahiran bahasa Arab
15
Pembelajaran Bahasa Arab Sebagai Bahasa Kedua Melalui Pendekatan Kosa Kata Dan Bina Ayat dalam
Pendidikan Islam & Bahasa Arab Pemangkin Peradaban Ummah (Prosiding Seminar), m.s. 274
47
seperti yang termaktub dalam objektif SP Bahasa Arab juga memerlukan kajian lebih
mendalam. Walaupun menguasai bahasa Arab itu bermaksud menguasai keempat-empat
kemahiran bahasa, adakah semua rakyat Malaysia perlu bercakap Arab? Ini amat penting
agar kita tidak menjulang retorik yang muluk-muluk dalam objektif P&P bahasa Arab,
sedangkan kita sendiri mengetahui dan menyedari bahawa objektif itu tidak mungkin tercapai
dengan infrastruktur, sumber manusia dan persediaan yang kita lakukan.
Pihak-pihak yang berwajib perlu berganding bahu untuk menggariskan semula hala
tuju pendidikan bahasa Arab di Malaysia. Guru-guru bahasa Arab di sekolah, pakar-pakar
P&P bahasa kedua khususnya bahasa Arab di universiti dan bahagian-bahagian yang
berkenaan di Kementerian Pelajaran Malaysia perlu sentiasa duduk semeja mencari
penyelesaian kepada permasalahan P&P bahasa Arab secara umumnya dan P&P BAT di
SABK Kelas 3 khususnya.
RUJUKAN
Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM). (2006). al-Manhaj al-Mutakamil li al-Madaris
al-Thanawiyyah – al-Manhaj al-Dirasi li al-Lugah al-‘Arabiyyah. Kuala Lumpur:
Kementerian Pelajaran Malaysia
Kamarulzaman Abdul Ghani, Hasan Basri Awang Mat Dahan & Nik Mohd Rahimi Nik
Yusoff. (2006). Mengukur Kebolehbacaan Bahan-bahan Bacaan Arab –Satu
Keperluan Dalam Konteks Pendidikan. Prosiding Seminar Pendidikan Islam & Bahasa
Arab Pemangkin Peradaban Ummah. Bangi: Fakulti Pendidikan UKM
Mohd Rosdi Ismail & Mat Taib Pa. (2006). Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab di
Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya
Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff, Kamarulzaman Abdul Ghani & Mowaffaq Abdullah Al-
Qusyeri. (2008). Fan Tadris al-Lughah al-‘Arabiyyah lighayr al-‘Arab. Kuala Lumpur.
Percetakan Watan Sdn. Bhd.
Norzaini Azman & Mohamed Sani Ibrahim. (2007). Profesion Perguruan. Bangi: Fakulti
Pendidikan UKM
Pusat Perkembangan Kurikulum. (2001). Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai Dalam
Pengajaran Dan Pembelajaran. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia
Pusat Perkembangan Kurikulum. (2001). Pembelajaran Masteri. Kuala Lumpur:
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Rosni Samah. (2006). Pembelajaran Bahasa Arab Sebagai Bahasa Kedua Melalui
Pendekatan Kosa Kata Dan Bina Ayat. Prosiding Seminar Pendidikan Islam & Bahasa
Arab Pemangkin Peradaban Ummah. Bangi: Fakulti Pendidikan UKM