KESUSATERAAN MELAYU
-
Upload
ipgm-kampus-kota-bharu -
Category
Education
-
view
3.474 -
download
1
Transcript of KESUSATERAAN MELAYU
GENRE KESUSATERAAN MELAYU DALAM BAHASA MELAYU
OLEH :
CIKGU MOHD RUSLEE BIN MOHD SALLEH
PGSR (BM) 2008/2012
IPGM KAMPUS KOTA BHARU
SEMESTER AKHIR
KETERANGAN LANJUT HUBUNGI 011-17915430 / 011-19958547
KONSEP KESUSASTERAAN
Definisi Sastera
Perkataan “sastera” berasal daripada bahasa Sanskrit “castra” yang
membawa maksud kitab suci. Kesusasteraan pula membawa pengertian
sebagai segala penghasilan sastera yang dinikmati atau disampaikan, baik
melalui tulisan dan pembacaan mahupun melalui lisan dan pendengaran.
(Harun Mat Piah et al;2006 hlm 6). Sastera merupakan satu bidang seni kreatif
yang medium pengantarnya adalah bahasa. Sastera bermula dari tradisi lisan
dan semakin berkembang mengikut peredaran semasa.
Pernyataan ini disokong oleh M.K Danziger dan W.S Jahnson (1983:2)
yang mendefinisikan sastera sebagai satu seni yang menggunakan kata-kata
sama ada lisan atau bertulis. Bahkan sastera juga merangkumi semua aspek
yang menggunakan bahasa yang bersifat kreatif, menurut Ismail Husein
(1998:23). Ini juga ditegaskan oleh Abu Bakar Hamid (1997:13) yang memberi
1
pengertian sastera sebagai satu seni yang bercorak intelektual dan gabungan
kepuasan intelek dan kepuasan estetik.
Karya-karya sastera memaparkan perutusan, amanat serta
lontaran idea dan fikiran pengarangnya. Hasil karya itu mencerminkan gagasan
dan daya fikir pengarangnya yang ingin dikongsi bersama pembaca. Sebuah
karya itu terhasil daripada cetusan gabungan daya rasa, kepekaan dan
keprihatinannya terhadap apa yang diamati dan dialami oleh masyarakat.
Menurut Syed Ali Ashraf (1989:36) sastera bukan sahaja satu bentuk ilmu yang
berseni tetapi ianya merangkumi segala aktiviti manusia secara kreatif.
Meneliti pandangan yang diutarakan oleh para sarjana memperlihatkan
bahawa sastera ditandai dengan pelbagai ciri khusus. Justeru, tugasan ini akan
membincangkan dan menjelaskan konsep kesusasteraan, ciri-ciri khusus
sastera, kategori serta fungsinya dengan contoh-contoh yang bersesuaian.
Dalam hal ini perbincangan akan ditumpukan kepada kategori sastera
mengikut masa dan bentuk seperti yang dijelaskan oleh Harun Mat Piah (2003).
Untuk maksud ini, beberapa bahan dan teks sastera akan dirujuk sebagai
bahan analisis yang mewakili karya tradisional mahupun moden. Antara sumber
petikan yang akan diketengahkan bagi kategori sastera tradisional genre prosa
ialah dari Sejarah Melayu dan Sastera Rakyat. Manakala rangkap
dari Gurindam Dua Belas akan dikaji untuk mewakili sastera tradisional genre
puisi. Sastera Melayu moden yang berbentuk prosa pula akan diwakili oleh
karya-karya Abdullah Munsyi manakala sajak Kamala yang bertajuk “Telok
Gong” pula akan mewakili puisi Melayu moden.
Konsep Kesusasteraan
2
Sastera merupakan satu bidang seni kreatif di mana bahasa adalah
medium pengantarnya. Sastera ditandai dengan beberapa unsur khusus yang
mampu membentuk tamadun dan peradaban sesuatu masyarakat selain
memperlihatkan sikap dan pandangan pengarangnya. (Arba’ie et al,2008)
Secara ringkasnya sastera dilengkapi dengan unsur-unsur yang berikut:
S – Seni bahasa yang indah
A – Akaliah atau sisipan ilmu dan pemikiran pengarang
S – Sensori atau daya sensitiviti pengarang
T – Tersurat & tersirat
E – Estetika atau keindahan dari segi bahasa
R – Realiti kehidupan
A – Alternatif
Sastera Melayu mempunyai seni bahasa yang indah dan tersusun. Diksi
yang digunakan dapat memberi kesan penghayatan kepada pembaca. Ianya
mempamerkan kepakaran dan keahlian seorang pengarang itu untuk
meluahkan dan mengungkapkan makna yang difikirkan. Adunan teknik-teknik
yang sesuai dan ketepatan diksi menjadikan sesebuah karya itu hidup dan
bertenaga.
Selain daripada penggunaan bahasa-bahasa yang indah dan tersusun,
sastera juga diiringi dengan unsur akaliah. Dalam erti kata lain, seorang
pengarang perlu memikirkan perutusan, amanat, atau lontaran idea yang ingin
disampaikan atau dikongsi dan direnungi bersama oleh pembaca. (Arba’ie et
al,2008 hlm 1) Unsur akaliah ini merupakan langkah pertama yang perlu
ditetapkan sebelum terhasilnya sesebuah karya.
3
Dengan perutusan yang diingin disampaikan, seorang pengarang perlu
mengolah dan menggabungkan serta melengkapi karyanya itu dengan daya
rasa atau sensitiviti mereka. (Arba’ie et al,2008 hlm 1) Untuk itu, seorang
pengarang haruslah bersifat sensitif atau peka dan prihatin akan
masyarakatnya. Pengamatan pengarang akan masyarakatnya dijadikan sumber
asas dalam menghasilkan sesebuah karya. Kewujudan pelbagai daya rasa ini
akan membangkitkan dan meninggalkan kesan perasaan kepada pembacanya.
Daya rasa seperti belas simpati, benci , marah atau geram akan
dihubungkaitkan dengan fenomena yang dipaparkan. Karya itu akan lebih
bernilai sekiranya apa yang dipaparkan pernah dilalui atau dialami oleh
pembaca.
Sastera juga mempunyai unsur tersurat dan tersirat. Sastera tidak
terhasil dengan kekosongan.(Ara’ie et al,2008 hlm 5) Ianya terhasil atas
dorongan tertentu dengan menggunakan sumber-sumber yang terdapat di
persekitaran. Penafsiran pembaca yang berencam mengundang pembaca
memikirkan mesej yang ingin disampaikan. Namun tidak semua lambang yang
tersurat itu memberi erti apa yang tersirat. Akan wujud makna-makna simbolik
di sebalik kata-kata yang diungkapkan.
Sastera juga mempunyai nilai estetikanya. Selain pemikiran, gaya
bahasa, bentuk struktur dan tema juga memainkan peranan penting untuk
menilai kesan estetika sesebuah karya itu.
Sesebuah karya sastera juga merupakan cerminan realiti kehidupan.
Persoalan-persoalan yang dipaparkan dalam sebuah karya sastera merupakan
rakaman realiti dalam masyarakat. Ianya merupakan renungan serta
4
pengamatan pengarangnya dan diterjemahkan secara halus dan berhemah.
(Arba’ie,2008 hlm 2).
Sastera yang terhasil merupakan satu alternatif kepada pengarang untuk
meluahkan perasaan, melepaskan kecaman-kecaman dan bauran rasa yang
terbuku di dada. Ianya bertepatan dengan fungsi sastera sebagai alat
pelepasan nilai rasa dan jerit naluri kehidupan manusia sejagat.(Arba’ieetal,
2008 hlm 3).
Kategori Kesusasteraan Melayu
Dalam kesusasteraan Melayu, kategori sastera dilakukan berdasarkan
zaman atau masa sesebuah hasil sastera itu dikesan atau wujud. (Arba’ie et
al,2008 hlm 8) Secara umumnya, pengkategorian sastera akan merujuk kepada
tradisional dan moden. Sastera Melayu tradisional meliputi dua genre iaitu
prosa dan puisi. Genre prosa dan puisi tradisional adalah seperti yang
tersenarai:
Prosa Puisi
Sastera Rakyat PantunSastera Pengaruh Hindu SyairSastera Zaman Peralihan PeribahasaSastera Pengaruh Islam TerombaSastera Panji TalibunSastera Ketatanegaraan Nyanyian Kanak-kanak
5
Sastera Undang-undang Jampi MenteraSastera Saduran Gurindam ZikirCerita Berbingkai Seloka, Kit’ahMasnawi
Manakala bagi kategori Sastera Moden, genre prosa dan puisi moden pula adalah seperti berikut:
Prosa Puisi
Cerpen Sajak Novel Drama
Walaupun kedua-dua sastera tradisional dan moden mempunyai genre
prosa dan puisi, namun, ciri-ciri khusus akan dibincangkan selanjutnya untuk
membandingkan sastera tradisional dan moden.
Ciri-ciri Sastera Melayu Tradisional
Sastera Melayu tradisional merupakan karya-karya yang telah
diwarisi secara turun-temurun. Sastera tradisional disebarluaskan melalui lisan
dan memberi gambaran cara hidup atau budaya sesuatu masyarakat. Ia
bersifat kolektif atau hak milik bersama. Tiada sesiapa yang tahu siapa
pengarangnya dan tidak diketahui tarikh sesuatu sastera itu dihasilkan. Ianya
lahir di kalangan masyarakat masa lampau dan disampaikan secara lisan dari
satu generasi ke satu generasi yang lain kerana pada umumnya masyarakat
pada zaman tersebut masih belum mengenal huruf dan tidak tahu menulis.
Penyebaran sastera Melayu tradisional juga terhad disebabkan khalayak yang
terbatas dan bersifat esklusif.
Oleh kerana ianya disampaikan melalui lisan, banyaklah
berlakunya perubahan dan tokok tambah serta penyesuaian. Tema, latar serta
watak dalam sastera tradisional berpusat kepada masyarakat yang
6
mewarisinya dan dipandang tinggi oleh masyarakat tersebut sehinggakan
karya-karya itu dianggap suci dan keramat.
Ciri-ciri Sastera Melayu Moden
Sastera Melayu Moden pula mempunyai ciri-ciri yang berlainan dengan
sastera Melayu tradisional. Jika sastera Melayu tradisional tersebar melalui
lisan, maka sastera Melayu moden pula disebarkan melalui tulisan. Penyebaran
hasil-hasil sastera yang berbentuk tulisan ini semakin berkembang dengan
kehadiran mesin cetak. Penyebaran ini semakin meluas dan berjaya
menembusi masyarakat pembaca yang ramai. Ini berbeza dengan sastera
tradisional yang hanya diketahui oleh golongan tertentu sahaja. Jika sastera
Melayu tradisional terhad kepada sesebuah masyarakat tertentu sahaja yang
bersifat esklusif, sastera Melayu moden pula merupakan sebaliknya. Ianya
bersifat individu atau perseorangan kerana disertakan dengan nama
pengarangnya. Ianya tidak lagi bersifat kolektif atau kepunyaan umum tetapi
khusus dimiliki oleh pengarangnya. Bahkan sastera Melayu moden mempunyai
sistem hak cipta terpelihara.
Walaupun ciri-ciri sastera tradisional dan moden ini
bertentangan, namun masih terdapat persamaan dari segi fungsi sesebuah
karya sastera itu dihasilkan.
Puisi Melayu Tradisional
Menurut Za’ba, puisi adalah karangan berangkap yang khas dipakai
untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan
melukiskan kemanisan serta kecantikan bahasa.(Arba’ie et al,2008 hlm 9)
7
Pendapat yang sama juga diutarakan oleh Samuel Taylor Coleridge yang
mengemukakan puisi sebagai kata-kata terindah dalam susunan terindah.
(Arba’ie et al,2008 hlm10).
Salah satu bentuk puisi tradisional adalah gurindam. Menurut Md
Ali Bachik (2003), gurindam adalah sebuah wacana yang mengandungi kalimat-
kalimat yang berirama dimana isinya berunsur nasihat dan bentuknya semacam
bidalan. Gurindam juga membawa erti sesuatu perkara itu berlaku kerana ada
penyebabnya dan melalui penyebab itulah perkara tersebut terjadi.
Gurindam Dua Belas merupakan karya hasil karangan Raja Ali
Haji yang termasyhur. Beliau merupakan seorang sasterawan negara dari
Pulau Penyegat, Riau, Indonesia. Gurindam Dua Belas menyentuh perihal
ketuhanan, keagamaan, budi pekerti, kewajipan antara anak dan ibu bapa dan
sebaliknya serta hidup bermasyarakat.
Salah satu tujuan terhasilnya Gurindam Dua Belas adalah untuk
menyedarkan masyarakat tentang pentingnya beragama, berilmu, berbudi
pekerti mulia, mentaati dan menghormati ibu bapa serta banyak lagi. Berikut
adalah berapa baris daripada petikan Gurindam Dua Belas ciptaan Raja Ali
Haji.
GURINDAM DUA BELAS
... Jika hendak mengenal orang berbangsa, Lihat kepada budi dan bahasa,
.. Jika hendak mengenal orang yang berilmu, Bertanya dan belajar tiadalah jemu
... Apabila anak tidak dilatih,
8
Ketika besar, bapanya letih.
Berdasarkan petikan tersebut, dengan cara mengenali atau
mempelajari budi dan bahasa seseorang itu maka ketahuilah kita akan
bangsanya. Budi dan bahasa dalam baris ini bukan sahaja menyentuh pada
sistem linguistik semata-mata tetapi merangkumi juga sistem budaya dan adat
sesebuah bangsa. Cara kita menggunakan bahasa Melayu akan
mempamerkan kelakuan budaya dan taraf sosial kita dalam masyarakat.
Seperti kata peribahasa Melayu, “bahasa melambangkan bangsa, bangsa
melambangkan budaya.” Dari bangsa seseorang kita akan kenali bahasanya
dan dari bahasanya pula, barulah kita kenali budayanya.
Begitu juga dengan cara mengenali seseorang yang berilmu.
Dengan bermodalkan pertanyaan dan sifat ingin tahu, seseorang yang berilmu
itu tidak akan berhenti untuk mempelajari apa yang tidak diketahuinya.
Seseorang yang dahagakan ilmu itu tidak akan pernah jemu untuk mencarinya
walau sejauh manapun seperti hadits yang berbunyi, ‘menuntutlah ilmu
sekalipun sejauh di negeri Cina’.
Berdasarkan petikan di atas, Raja Ali Haji juga menyentuh tentang
pendidikan anak-anak. Ianya merupakan nasihat kepada ibu bapa agar tidak
mengabaikan tanggungjawab mendidik anak-anak dari kecil supaya tidak
meletihkan atau menyusahkan kedua ibu bapanya ketika dewasa kelak.
Memang seharusnya, anak-anak dari kecillah yang perlu diasuh, dididik dan
diberi teguran akan tingkah lakunya agar sentiasa berkelakuan baik dan
berbudi bahasa. Jika tidak dilentur buluh dari rebungnya, atau dari kecil lagi,
maka ketika dewasa, segala tingkah laku dan peribadi seseorang itu sukar
diubah dan diperbaiki.
9
Prosa Melayu Tradisional
Salah satu genre prosa Melayu tradisional adalah sastera rakyat.
Sastera rakyat berfungsi sebagai salah satu wadah hiburan. Ia lazimnya
diceritakan oleh tukang-tukang cerita pada waktu malam untuk menghilangkan
penat selepas bekerja di siang hari. Sastera rakyat juga dikenali dengan nama,
penglipur lara. Lazimnya cerita penglipur lara ini diiriingi dengan alat muzik
tertentu (ms 92), ciri umum tertentu seperti berkisar di sekitar istana, mengenai
putera-putera raja yang tampan, gagah, berani dan sakti dan puteri-puteri raja
yang cantik jelita tiada bandingannya seperti dalam contoh Hikayat Malim
Deman dan Hikayat Anggun Cik Tunggal di mana watak-wataknya berpusat
kepada anak-anak raja. Cerita-cerita penglipur lara ini penuh dengan kisah-
kisah kesaktian dan dewa dewi. Ini kerana masyarakat Melayu ketika dahulu
mempunyai sistem kepercayaan tradisinya yang amat ketara perbezaannya jika
dibandingkan dengan masyarakat moden sekarang. Justeru itu, rata-rata
penceritaan serta konteks cerita sesebuah karya itu menyentuh kepada unsur-
unsur ghaib, dongeng dan mitos serta alam yang luar biasa. Sepertimana
fungsinya sebagai penglipur lara, cerita ini lazimnya bertemakan percintaan
antara wira dengan wirawati dan peperangan-peperangan yang terpaksa
dihadapi oleh wira dalam mencapai sesuatu tujuan.
Selain hiburan, sastera juga membawa unsur didaktik atau
pengajaran. Cerita-cerita teladan merupakan salah satu sastera tradisional
yang berbentuk prosa. Cerita-cerita ini bertemakan pendidikan moral sama ada
berlandaskan peraturan kehidupan sosial dan budaya atau pengajaran agama.
(Arba’ie et al,2008 hlm 104) Jika cerita penglipur lara berkisar kepada anak-
10
anak raja, cerita teladan ini pula lazimnya terdiri daripada manusia biasa.
Kebanyakannya berlatar belakangkan dunia nyata dan menggunakan gaya
pertuturan seharian. Di samping memberikan didikan moral , cerita teladan ini
lazimnya memberikan kesan yang mendalam di jiwa kanak-kanak.
Pastinya ramai kanak-kanak yang mengenali cerita Si Tanggang,
Batu Belah Batu Bertangkup dan Cerita Bawang Putih dan Bawang Merah.
Ajaran utama dalam cerita-cerita teladan ini ialah balasan baik terhadap setiap
kebaikan dan sebaliknya seperti mana yang dapat kita lihat dalam cerita Si
Tanggang. Tanggang adalah seorang anak yang tidak mengenang jasa ibunya
dan durhaka. Bukan sahaja Tanggang tidak mengakui ibunya, dia juga telah
menolak ibunya hingga jatuh ketika ibunya berjumpa dengan Tanggang. Anak
durhaka dan biadap terhadap ibunya ini telah akhirnya disumpah menjadi batu.
Satu pengajaran yang cukup meninggalkan kesan betapa mabrurnya doa
seorang ibu dan balasan yang setimpal yang diterima oleh seorang anak yang
durhaka.
Pengajaran yang sama juga dapat kita lihat dalam cerita Batu
Belah Batu Bertangkup di mana ibu Melur telah ditelan oleh batu belah kerana
kecewa dengan perbuatan anaknya yang tidak meninggalkan walaupun
secebis telur ikan tembakul. Kekecewaan itu telah mengakibatkan ibunya
berlari menyerah diri agar ditelan oleh batu belah.
Dalam konteks kesusasteraan Melayu, pandangan yang diberikan
oleh para sarjana bersifat pelbagai antaranya pandangan Usman Awang yang
mengaitkan sastera sebagai hasil tulisan yang mencerminkan kehidupan
manusia. Antara fungsi utama terhasilnya sesebuah karya oleh seorang
11
pengarang ialah dengan tujuan didaktik atau pengajaran kepada
masyarakatnya. Dalam hubungan ini Usman Awang berpendapat bahawa
sesuatu karya sastera itu bukan hanya untuk tujuan keseronokan sahaja tetapi
juga mengungkapkan gagasan dan pemikiran pengarangnya. Ini juga
ditegaskan oleh A. Samad Said (1996) yang menjelaskan bahawa sastera
adalah rasa dan jerit naluri kehidupan manusia sejagat, ianya merupakan satu
refleksi kehidupan yang diterjemahkan secara halus dan berhemah oleh
pengarangnya.
Sastera juga berfungsi memberikan gambaran tentang kehidupan
masyarakatnya. DalamSejarah Melayu , Sultan Melaka dikatakan sanggup
memenuhi tuntutan Puteri Gunung Ledang demi mencapai hasrat untuk
memperisterikannya. Tuntutan Puteri Gunung Ledang ialah 7 dulang hati
nyamuk, 7 dulang hati kuman, jambatan emas dan istana di puncak gunung
Ledang dan semangkuk darah Raja Muda. Segala permintaan Puteri Gunung
Ledang dapat dilaksanakan oleh Sultan walaupun ianya bermakna
mengorbankan rakyat jelata. Hanya semangkuk darah Raja Muda yang
memisahkan Sultan Melaka daripada mencapai hasrat hatinya. Ini kerana
semua yang terlaksana atau yang dapat dipersembahkan merupakan hasil
penat lelah rakyat . Manakala, untuk mengambil semangkuk darah Raja Muda,
adalah satu pengorbanan yang tidak dapat ditunaikan oleh Sultan Melaka
sendiri.
Peristiwa ini juga memberikan gambaran kehidupan masyarakat
pada waktu itu yang terikat dengan kepercayaan, adat dan tradisi selain
memperlihatkan sejauh mana ketaatan rakyat terhadap raja yang disembah.
Sultan Melaka mengenepikan belas ihsannya terhadap masyarakatnya demi
12
mencapai keinginannya memperisterikan Puteri Gunung Ledang. Peristiwa ini
juga memperlihatkan pengabdian rakyat kepada seorang raja sewaktu
dikerahkan membina jejambat emas dari puncak Gunung Ledang.
Prosa Melayu Moden
Prosa Melayu Moden terdiri daripada genre cerpen, novel dan
drama. Dalam tugasan ini, perbincangan akan tertumpu kepada karya-karya
Munsyi Abdullah.
Menurut Diana Laurenson dan Alan Swingerwoods (1972:13)
hubungan masyarakat dan persekitarannya amat rapat dan saling melengkapi.
Sastera yang terhasil didorong oleh sumber-sumber yang terdapat di
persekitaran sama ada bersifat persoalan, isu-isu ataupun fenomena tertentu
yang dipindahkan dari layar realiti ke dalam coretan rasa, daya kreativiti dan
pemikiran pengarangnya. Oleh itu, pemikiran yang terungkap merupakan
luahan atau kesedaran yang timbul akibat kepekaan,keprihatinan serta
pengalaman peribadi pengarang melihat dunia dan masyarakat dari kaca
matanya.
Karya-karya Abdullah Munsyi merupakan salah satu contoh yang
memperlihatkan gagasan dan pemikiran pengarangnya. Abdullah Munsyi
merupakan seorang pengarang yang menjalinkan pengalaman, sikap dan
pemikirannya dalam semua karya-karyanya. Berbeza dengan sastera
tradisional, karya-karya Abdullah Munsyi bertitik tolak dari pengalaman
pengarangnya sendiri. Beliau memperlihatkan ciri-ciri keindividuan yang tidak
ditemui dalam karya-karya kesusasteraan sebelumnya. Abdullah Munsyi
13
merupakan orang yang pertama mencatatkan pengalaman kehidupannya serta
pelayarannya pada ketika itu.
Jika Sastera Melayu Tradisional menampakkan unsur-unsur
didaktik serta cerminan kehidupan, sastera melayu moden umumnya serta
karya-karya Abdullah Munsyi khususnya, pula menyentuh kepada kritikan sosial
masyarakatnya.
Abdullah Munsyi tidak membenci orang-orang Melayu tetapi
beliau tidak mengerti tentang sikap dan perilaku orang Melayu sendiri terhadap
bahasanya yang diabaikan. Beliau juga mengutarakan persoalan tentang
bahasa Melayu yang akan pupus jika tidak dimartabatkan oleh bangsa Melayu
itu sendiri.
Keberanian Abdullah Munsyi mengkritik masyarakat Melayu
khususnya pada ketika itu disebabkan beliau mendapat naungan Inggeris. Ini
bermakna, beliau bebas dari cengkaman feudal dan tidak terikat dengan
lingkungan istana. Oleh itu, beliau berani memberikan pendapat serta
pandangannya terhadap permasalahan orang Melayu ketika itu. Bahkan beliau
juga mengakui karya serta kritikan yang ditulisnya dengan membubuhkan nama
beliau sebagai pengarang karya-karyanya. Ini bermakna, beliau memikul
tanggungjawab tentang apa yang dikaryakan.
Berbeza dengan sastera melayu tradisional, Abdullah Munsyi
tidak mengabaikan tanggung jawabnya terhadap masyarakatnya. Beliau bukan
sahaja memberikan penyedaran kepada masyarakatnya tetapi dengan berani
14
mengolak langkah mengusulkan beberapa cadangan serta huraian demi
mengatasi masalah yang dihadapi.
Puisi Melayu Moden
Selain daripada memberikan pengajaran atau hiburan kepada
masyarakatnya, sastera juga berfungsi sebagai satu wadah untuk
berkomunikasi tentang kebenaran. Dengan adanya kepekaan dan sensitiviti
dari para penyair, segala peristiwa sosial yang berlaku di dalam masyarakatnya
akan mencetuskan peluang terhasilnya puisi moden yang bertujuan
mendedahkan tentang kebenaran kepada masyarakat pembaca. Penangkapan
Hamid Tuah dan petani-petani miskin oleh kerajaan kerana dikatakan
meneroka tanah secara haram di Telok Gong pada tahun 1967 telah
mencetuskan kesan yang mendalam kepada para penyair. (Arba’ie et al,2008
hlm 39) Suara protes dapat dilihat dalam petikan sajak Kemala bertajuk “Telok
Gong” yang berikut:
Rumah dan tanah saudara, meski buruk
Adalah istana indah kebebasan jiwa
Lihatlah sepuasmu kibaran bendera negara
Dan tanah-tanah rahsia bekas pengkhianatan
Membikin kami lebih berani bertindak
Kami tuntut keadilan! Keadilan yang merata
Suara protes penyair yang diungkapkan dalam sajak bertindak
balas sebagai tanda ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan yang
dianggap tidak bertimbang rasa kepada golongan bawahan.
Begitu juga dengan sajak-sajak yang dihasilkan dalam tahun
pemerintahan Jepun. Rata-rata sajak yang dicipta meniupkan semangat
perjuangan dan menyeru kepada masyarakat umumnya agar menggunakan
15
peluang keemasan yang ada untuk memperjuangkan hak mereka. Semangat
perjuangan yang sedia ada dalam masyarakat Melayu semakin teguh.
Kesediaan mempertaruhkan diri dan sama-sama menegakkan pertiwi serta
cita-cita politik Jepun memberi satu kesedaran dalam masyarakat Melayu.
Rumusan
Berdasarkan perbincangan, didapati bahawa kesusasteraan dapat
dirujuk sebagai hasil karya yang mempunyai mesej dan pemikiran tertentu.
Sesebuah hasil karya adalah pancaran dari kehidupan masyarakat. Selain itu ,
karya sastera juga dapat dikategorikan mengikut genre. Setiap genre itu
ditandai dengan ciri-ciri khususnya.
Setiap karya mempunyai mesej dan fungsi untuk mendidik dan
membina keperibadian ahli-ahli masyarakatnya. Setiap bahagian daripada
unsur dan fungsi di dalamnya mempunyai makna dalam teks karya selain
berfungsi dalam kehidupan masyarakat.
16
PENDEKATAN PEMAHAMAN TEKS
Pengenalan
Sastera merupakan satu bidang yang amat unik. Keunikan bidang sastera akan
dirasai apabila kita menyelami dunia sastera bersama-sama dengan tokoh-
tokoh sastera ataupun dengan tokoh kritikan. Akan tetapi, anak muda masa kini
terutama yang melibat pelajar IPT sekarang kurang meminati bidang sastera.
Namun, semua ini bukanlah satu penghalang kepada kumpulan kami untuk
menyelami bidang sastera seterusnya menyiapkan tugasan ringkas yang telah
diberikan kepada kami.
Konsep Pendekatan
Pendekatan didefinisikan sebagai cara atau langkah-langkah yang diambil bagi
melaksanakan sesuatu tugas, (Kamus Dewan,1998). Definisi yang diberikan
oleh Kamus Dewan sememangnya umum, penulis memberikan takrifan ini
mungkin untuk situasi-situasi yang tertentu seperti menyelesaikan masalah atau
konflik yang timbul dan berbagai-bagai lagi.
17
Akan tetapi, terdapat sedikit perbezaan takrif pendekatan dalam konteks
pendidikan. Takrifan pendekatan dalam kontek pendidikan ialah satu cara
mendekati sesuatu atau perihal mendekati. Bagi lebih memahami, ita lihat
contoh terdekat dengan kita iaitu objektif pembelajaran. Bagi mencapai objektif
pembelajaran, seseorang guru perlu menggunakan beberapa pendekatan yang
bersesuaian dengan tahap keupayaan muridnya. Menurut Gestalt, situasi
mempelajari sesuatu secara keseluruhan dahulu dan kemudian mempelajari
elemen-elemen yang ada di dalamnya. Jika situasi ini diterima sebagai sebuah
teori pembelajaran, maka ia merupakan suatu bentuk pendekatan. Dalam istilah
yang lebih mudah ialah pendekatan merujuk kepada cara bagaimana sesuatu
mata pelajaran diajarkan untuk mencapai objektifnya.
Kaedah
Kaedah pula lebih menekankan penyusunan langkah-langkah untuk
menyampaikan P&P secara sistematik berlandaskan prinsip dan teori
pembelajaran. Langkah-langkah P&P disusun rapi dan kesinambungannya
diikuti dengan teliti supaya ada urutan terarah atau berfokus untuk
menghasilkan proses P&P yang berkesan.
Mangantar Simanjuntak 1982: 72
• Kaedah berbentuk prosedur yang terdiri daripada langkah-langkah atau
peringkat-peringkat yang teratur yang harus dituruti dengan saksama
untuk mencapai tujuan tertentu.
Brown 1980:240
• “Methods, however are difficult to define. They manifest themselves in
such varieties at time that the terms approach may be more accurately
descriptive of these general moods. An approach is a general and
theoretical view of how language ought to be taught, while a method
includes a developed procedure for teaching.”
18
Currie 1973
• “Usually, method is classified by the way we try to achieve the aim, thus
we hear of expository methods, heuristic methods, activity methods and
the like. Method is thus the philosophy of our teaching task is a given
subject in that it orientates us to the teaching. What we have described
as teaching techniques are way in which, this philosophy is realised in
actual class lessons.”
KAEDAH STRUKTURAL
Definisi Kaedah Struktural
19
Kaedah struktural memberi tumpuan kepada sesuatu hasil sastera berdasarkan
plot, perwatakan, latar belakang, tema, suasana, klimaks aksi memuncak,
nada, fokus dan mood. Kaedah ini menegaskan pencerakinan karya sastera
dari sudut pembinaan atau struktur karya. Aspek yang dikaji meliputi tema,
persoalan, perutusan, pengajaran, plot, watak dan perwatakan, latar, gaya
bahasa dan sudut pandangan.pendekatan struktural ialah pendekatan yang
menekankan analisis karya sastera dari sudut pembinaan atau struktur karya.
Kaedah ini berdasarkan pendapat analisis teori struktural kritikan sastera
yang merupakan kaedah paling awal. Pengajaran dan Pembelajaran yang
bertujuan memahami aspek-aspek kesusasteraan, struktur dan binaannya.
Kaedah ini tidak mementingkan penghayatan atau penikmatan sastera. Karya
sastera dianalisis dari sudut pembinaan atau strukturnya. Aspek-aspek struktur
dikaji, iaitu:
tema
persoalan
latar
plot
sudut pandangan
watak perwatakan
gaya bahasa
simbol / lambang
bentuk
Perhubungan antara elemen-elemen ini yang membendung struktur
sesebuah karya itu, di samping mempunyai fungsinya yang tersendiri. Kaedah
induktif sesuai digunakan bagi mengkaji elemen di atas. Bagi pelajar karya
sastera adalah sebagai buah fikiran pengarang, renungan ke dalam diri,
imaginasi, emosi, penerapan pengetahuan, manipulasi dan pengalaman
kerohanian. Kaedah ini membuat penyorotan terperinci terhadap komponen-
komponen di atas.
Kaedah ini dianggap memudahkan pelajar mengkaji unsur estetika,
artistic dan keunikan sastera dengan mengambil lira aspek inrtinsiknya. Contoh-
20
contoh konkrit digunakan untuk memudahkan lagi memahaman pelajar
terhadap sastera. Perhubungan antara elemen dipertontonkan secara langsung
dalam karya yang menunjukkan bagaimana unsur-unsur ini bekerjasama dan
akhirnya terhasil karya yang padu.
Ada dua konsep penganalisisan sastera secara struktural iaitu:
Memahami perhubungan elemen dalam sesebuah karya.
Perhubungan elemen ini akan dapat dikesan apabila analisis
struktur dilakukan terhadap karya-karya kesusasteraan.
Sastera ada kedudukan tersendiri. Ia bebas tanpa ada
perhubungan dengan pembaca.
Falsafah disebalik pendapat ini ialah sesuatu itu wujud bebas bersendirian.
Sifatnya boleh ditemui melalui analisis secara rasional. Manusia itu pula adalah
makhluk yang aktif.
Ciri-Ciri Kaedah Struktural
Ia merupakan perhubungan antara struktur-struktur kesusasteraan seperti
tema, plot, watak perwatakan, latar teknik, gaya bahasa, sudut pandangan dan
sebagainya yang membentuk keseluruhan karya. Dalam P&P sastera,
pemahaman terhadap setiap elemen struktur dan perhubungannya hendaklah
diberikan perhatian.
Kaedah ini menggunakan pendekatan induktif. Para pelajar dibimbing
mencari dan menemui objektif tertentu elemen struktur. Kaedah ini memerlukan
guru yang mahir dan tahu secara mendalam perhubungan elemen struktur
tersebut. Objektif tertentu elemen struktur sahaja yang diutamakan tanpa
mengambil kira aspek-aspek lain. Unsur-unsur struktur diperkenalkan terlebih
dahulu sebelum pengajaran dimulakan dan kemudian setiap unsur itu
dijelaskan secara terperinci.
Pembelajaran lebih banyak dipandu oleh guru. Walaupun pelajar
dibenarkan membincangkan sesuatu isu tentang elemen struktur, tetapi
21
perbincangan itu tidak boleh keluar daripada acuan yang telah ditetapkan oleh
guru.
Bahan bantu mengajar (BBM) tidak dipentingkan, tetapi kefahaman elemen
struktur sahaja dan ini memadai dengan penerangan dan perbincangan ringkas
sahaja. Kaedah ini sesuai di peringkat tinggi sahaja.
Prinsip Kaedah Struktural
Terdapat beberapa prinsip teori yang patut difahami pengkritik, antaranya ;
(a) Keseluruhan, iaitu melihat perhubungan antara struktur secara keseluruhan,
bukannya terpisah.
(b) Perkaitan; setiap satu struktur adalah berkait dengan struktur yang lain.
Tanpa perkaitan ini tidak mungkin makna teks dapat ditemui.
(c) Transformasi; makna terhasil daripada satu proses transformasi. tema
kemiskinan terhasil kesan daripada perhubungan pemilihan bahasa dengan
persoalan.
(d) Regulasi diri; stuktur bergerak dan berfungsi dalam lingkaran tekstual teks,
bukannya akibat daripada pengaruh pengarang atau aspek- aspek di luar teks.
(e) Binari oposisi; maka terhasil daripada setentangan duaan.
22
KAEDAH GLOBAL
Definisi Kaedah Global
Kaedah global ditakrifkan sebagai kaedah mudah seperti simulasi khasnya
berdrama. Kaedah ini mestilah bersesuaian dengan tahap keupayaan murid
dan situasi murid kerana meliputi kepandaian dan kesesuaian tatacara
kehidupan (permainan) kanak-kanak. Lazimnya kaedah ini dilakukan secara
bebas.
Ciri-Ciri Kaedah Global
Ada tiga bentuk aktiviti yang boleh dilakukan dengan menggunakan kaedah
ini:
(a) Aktiviti mimik dengan tidak mengggunakan kata-kata dalam
menyampaikan perasaan.
(b) Aktiviti spontan dengan apa yang ada dan dengan suara.
(c) Aktiviti-aktiviti lain yang berbentuk lakonan.
Pelaksanaan Kaedah Global
(a) Murid membaca dan menghayati karya sastera yang diberikan oleh guru.
23
(b) Guru meminta murid-murid mencari persoalan yang menarik dalam
karya sastera.
(c) Dalam suasana informal guru meminta murid-murid berlakon dan
melakukan gaya aktiviti di atas untuk lakonkan watak.
Guru boleh mengadakan aktiviti seperti:-
(a) lakonan berasaskan gambar.
(b) lakonan berasaskan skrip.
(c) lakonan guna topeng
(d) lakonan guna cerita berlagu.
PELAKSANAAN KAEDAH STRUKTURAL DI DALAM BILIK DARJAH
Pengajaran sastera melalui kaedah ini bermaksud mengajar elemen-
eleman yang membangun karya sastera. Karya sastera seperti novel, drama,
hikayat, cerita rakyat dan cerpen diajarkan melalui pembicaraan tentang
elemen-elemen seperti watak dan perwatakan yang sering dibahagikan kepada
watak protagonist, antagnis, neutral, watak pipih, watak bulat dan sebagainya,
latar cerita seperti latar tempat, latar peralatan, latar budaya, dan latar waktu.
Jenis sudut pandangan pencerita yang terbahagi , sudut pandangan watak dan
sudut pandangan pandangan bawah sedar. Jenis perbualan seperti diolog,
monolog dan multilog. Teknik penceritaan seperti imbas muka dan imbas
kembali. Jenis plot seperti kronologi, antikrologi, plot mudah, plot kompleks dan
tanpa plot. Isi karya sastera iaitu persoalan, tema , pengajaran dan nilai.
Kaedah ini melihat semua unsur yang terdapat dalam karya sastera namun
tidak begitu mendalam dari segi jankauan penjelasannya. Jika ingin melihat
sesuatu unsur dengan lebih mendalam maka kaedah berfokus digunakan.
Cara perlaksanaan di dalam bilik darjah:
1. Guru memilih satu aspek dalam karya berkenaan contohnya perwatakan
atau tema.
24
2. Aspek yang dipilih dikupas dengan lebih terperinci.
3. Perincian yang lebih mendalam seperti definisi plot, urutan plot, jenis plot
yang dimilik karya tersebut.
4. Ujian topikal akan dibuat selepas berakhir pengajarannya
Bersoal-jawab antara guru dan murid-murid. Setiap soalan perlu
perancangan terperinci supaya pendedahan para pelajar terhadap hal-hal yang
ingin diperkenalkan dan untuk ditanggapi terlaksana secara menyakinkan.
Contoh Pengajaran dan Pembelajaran Kaedah Struktur
Permulaan:
1. Para pelajar diminta membaca cerpen “Ibu” dan membuat sinopsis ceritanya
seminggu sebelum pengajaran dimulakan. Sinopsis cerita dibuat secara
individu.
2. Guru turut membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan untuk
mencari beberapa aspek dalam dalam cerpen seperti tema, persoalan, plot,
teknik penceritaan, watak dan perwatakan, latar, gaya bahasa, nilai dan
pengajaran yang boleh didapati.
(a) Kumpulan 1 : Tema dan persoalan
(b) Kumpulan 2 : Plot cerita
(c) Kumpulan 3 : Teknik penceritaan
(d) Kumpulan 4 : Watak dan perwatakan
(e) Kumpulan 5 : Latar
(f) Kumpulan 6 : Gaya bahasa, nilai dan pengajaran
3. Wakil kumpulan dikehendaki bentang hasil perbincangan pada hari P&P
dijalankan. Gaya bahasa, nilai dan pengajaran.
25
4. Wakil kumpulan membentangkan hasil perbincangan masing-masing di
hadapan kelas pada hari P&P dijalankan.
CERPEN “IBU”
Pengarang : Shahnon Ahmad
Sinopsis
Kisah ibu tua yang disamakan dengan kisah sebuah sungai iaitu Sungai Ceper.
Sungai Ceper ialah sungai yang jernih dan mempunyai sumber ikan dan udang,
panjang dan berliku-liku, samalah seperti ibu yang sentiasa aktif melakukan
aktiviti bersawah. Pada waktu malam, Sungai Ceper masih cergas tetapi ibu
tidak. Pada sebelah malam, ibu berehat dan esoknya kembali cergas.
Pada suatu hari, Sungai Ceper melimpah kerana hujan turun di hulu.
Airnya likat dan melimpah menyebabkan sawah padi musnah. Pada tahun itu,
semua penduduk kampung makan ubi gadung kerana padi musnah. Selepas
Ceper melimpahkan air, tiba pula musim kemarau. Sungai Ceper menjadi
cetek, ikan mati, air sungai busuk dan sawah kering sehingga menyebabkan ibu
menggunakan telaga sebagai sumber. Keadaan ini ialah keadaan 40 tahun
yang lalu, iaitu semasa aku masih anak teruna dan ibu masih muda.
Kini, ibu dan ayah tiada lagi. Aku pula sudah bercucu. Sungai Ceper
masih wujud tetapi sudah mula berubah sejak ibu terjatuh, lalu lumpuh kerana
26
terpijak tunggul lama iaitu sepuluh tahun sebelum ibu meninggal. Pada masa
itulah, keluarga aku menderita dan aku berkahwin dengan gadis di kampung itu.
Bapa pula sudah tidak gila burung lagi sebaliknya dia hanya menjaga cucu dan
menjaga ibu.
Ceper kini berbau busuk kerana menjadi tempat pembuangan sampah.
Airnya mengalir lesu bersama-sama sampah sarap yang tidak sepatutnya
dibuang ke dalam sungai itu. Aku dan isteri telah tua dan kini duduk di rumah
menjaga cucu. Pada masa ini, Ceper telah mati dan tidak berfungsi lagi
walaupun masih wujud, tidak seperti ibu yang telah tiada di dunia ini.
Tema
Kegigihan seorang ibu dalam mengharungi kehidupan. Ibu gigih mencari rezeki
dan banyak bergantung kepada Sungai Ceper yang berfungsi sebagai sumber
air kepada tanaman.
Persoalan
1. Persoalan kepentingan air dalam kehidupan.
Air Sungai Ceper yang deras dan jernih digunakan oleh ibu untuk mengairi
sawahnya.
2. Persoalan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar.
Sungai Ceper tercemar teruk apabila manusia membuang segala macam
sampah sedangkan sungai ini semakin cetek dan tidak berdaya membawa
sampah yang ada di dalamnya.
3. Persoalan kasih sayang yang terjalin antara manusia dan alam.
Kasih sayang aku kepada ibu dan sungai yang menjadi sumber air dan rezeki
di kampungnya.
Plot
Binaan Plot
27
(i) Permulaan
Aku menerangkan perasaan sayang dan cinta akan Sungai Ceper dan ibu yang
banyak berjasa kepadanya.Aku terkenang akan sungai ini yang
jernih ,tenteram, deras dan menjadi lubuk ikan. Ibu juga seperti Ceper yang
aktif bersawah dan bekerja. Namun, ibu berehat pada waktu malam manakala
Ceper sama sahaja pada siang atau malam.
(ii) Perkembangan
Kemarahan ibu kepada Sungai Ceper yang melimpah akibat hujan lebat
sehingga memusnahkan tanaman . Ibu juga memarahi sikap suaminya yang
sambalewa terhadap tanggungjawab keluarga dan asyik dengan ketitir.
Kemarahan ibu semakin memuncak apabila Sungai Ceper semakin cetek
akibat kemarau. Hal ini menyebabkan sawah-sawahnya kering , sumber
makanan dan minuman terjejas sehingga memaksa ibu menggunakan telaga
sebagai sumber air. Setelah 40 tahun berlalu,Sungai Ceper semakin tercemar
akibat pengabaian masyarakat. Ibu dan ayah sudah meninggal dunia dan aku
telah pun berkeluarga dan mempunyai cucu.
(iii) Klimaks
Ibu meninggal dunia dan Sungai Ceper semakin sakit. Sungai ini semakin
cetek, alirannya lambat dan banyak sampah daripada pelbagai bahan buangan
berada di perutnya. Airnya busuk kerana bangkai binatang , kain-kain buru ,
plastik, dan sisa-sisa makanan dibuang ke dalamnya. Bapa juga telah
meninggal dunia.
(iv) Peleraian
28
Sungai Ceper masih mengalir tetapi amat lambat. Keadaannya semakin parah.
Aku dan isteri telah tua dan anak-anak pula menggantikan kami. Ceper
dikatakan sudah mati kerana airnya sudah tidak bergerak dan timbunan
sampah tindih-menindih. Ibu benar-benar telah mati tetapi Ceper walaupun
masih wujud tetapi sudah tidak berfungsi lagi.
Teknik Penceritaan
1. Pemerian
Ceper pun serupa. Ia memancutkan airnya begitu deras bagaikan anak panah
yang baru saja lepas dari busurnya.Dan pancutan itu menebuk tebing hingga
mencipta lubuk yang dalam-dalam, menyusur dasar bersama-sama ikan yang
bercahaya matanya, bersama anak-anak dan bapa-bapa udang, bersama lumut
yang lembut kehijau-hijauan dan bercahaya seperti manik-manik dipanah
cahaya lampu.
2. Dialog
“Orang tak sedar diri. Tak tahu tanggungjawab. Air bah habis bunuh padi kita,
awak masih cengkuih ketitir. Suami apa macam ini!”
3. Imbas Kembali
Aku masih ingat waktu itu ibu pun mengamuk juga.Dia marah sangat kepada
Ceper sampai menyumpah-nyumpah kerana habis padi buntingnya mati lemas.
Watak dan Perwatakan
Watak Utama
Ibu
1.Cekap bekerja.
Ibu boleh melakukan sesuatu kerja dengan cepat bermula selepas Subuh
sehingga hampir Maghrib, malah ibu melakukan hampir semua jenis kerja.
29
2.Rajin .
Ibu rajin membuat pelbagai kerja menggunakan tulang empat keratnya, tanpa
bantuan suaminya yang menjadi kaki burung.
3.Bermasyarakat.
Walaupun ibu sibuk bekerja, dia tidak lupa untuk menghadiri kenduri-kendara di
kampungnya dan menziarahi orang yang meninggal dunia.
4.Kuat semangat.
Walaupun Sungai Ceper telah memusnahkan padinya akibat banjir namun ibu
tidak berputus asa untuk mengusahakan sawahnya semula.
Watak Sampingan
Aku
1.Anak tunggal dalam keluarga.
2.Mewarisi pekerjaan keluarga sebagai pesawah.
3. Sudah berumah tangga
4. Penyayang.Aku merupakan seorang anak yang penyayang kerana masih
mengingati pengorbanan ibunya walaupun telah 40 tahun berlalu.
5. Bertanggungjawab.Aku bertanggungjawab menjaga ibunya yang lumpuh dan
ayahnya yang tua.
Latar
Latar Tempat
Sungai Ceper
1. Panjang, berliku-liku, jernih, pasir-pasir berbiji halus dan kelikirnya berkilat.
2. Sumber air bagi kehidupan di sekelilingnya.
3. Tercemar kerana menjadi tempat pembuangan sampah sarap.
30
Latar Masa
1. Masa kini - Aku telah tua, ada anak yang telah besar dan telah bercucu.
2. 10 tahun yang lalu setelah ibu jatuh, lumpuh dan meninggal dunia-ibu sudah
tidak dapat bergerak lagi dan kerja-kerja di sawah diteruskan oleh aku dan
isteri.
3. 40 tahun yang lalu - Ketika ibu masih muda dan aku masih teruna.
4. Siang - sewaktu ibu turun mengerjakan sawah padinya.
5. Malam - gambaran tentang Sungai Ceper yang tetap cergas.
Latar Tempat
1. Di sebuah desa - tempat tinggal ibu, aku dan ayah.
2. Kawasan sawah padi - tempat ibu dan orang kampung bekerja.
3. Sebatang sungai - tempat anak-anak kampung merangau ikan.
4. Telaga - tempat ibu mengambil air ketika kemarau.
5. Rimba belantara - tempat bapa berdenak ketitir.
6. Sungai Ceper - tempat penduduk kampung termasuk ibu mendapat sumber
air.
Latar Masyarakat
1. Masyarakat petani
Mereka mengusahakan tanaman padi secara tradisional. Keluarga aku
mewakili sebahagian daripada anggota masyarakat yang mengusahakan
tanaman padi secara tradisional seperti menajak dan menyisir selut.
2. Masyarakat yang menghadapi kepayahan hidup.
Penduduk di desa aku mengalami kesempitan hidup apabila Sungai Ceper
melimpah kerana banjir dan airnya kering sehingga tidak dapat mengairi sawah
ketika musim kemarau.
31
3. Masyarakat yang tidak bertanggungjawab.
Bapa sanggup menghabiskan masa mendenak burung ketitir di rimba
sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarganya.
Gaya Bahasa
1. Kata ganda - kehijauan-hijauan
2. Simpulan bahasa - naik angin
3. Simile - Ibu tidak lagi cergas waktu malam kerana ibu tidur tergolek bagaikan
batang pisang
4. Personifikasi - ….kudengar ngauman Ceper
5. Hiperbola - …Ceper yang memukul dan membedal tebing hingga runtuh
tanah-tanah, hingga terbongkeh perdu-perdu buluh yang mengapuk tebing
Nilai
1. Nilai bertanggungjawab.
Sikap bertanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri yang ditunjukkan
oleh ibu yang mengusahakan sawah padi bagi menampung kehidupan
keluarganya.
2. Nilai kegigihan.
Walaupun terpaksa menggunakan tulang empat kerat, ibu tetap gigih bekerja
menyara keluarga.
3. Nilai kesabaran.
Ibu terpaksa bersabar melayani kerenah suaminya yang kurang memberikan
perhatian terhadap kebajikan keluarga.
Pengajaran
32
1. Kita hendaklah bertanggungjawab menyara kehidupan keluarga agar mereka
tidak hidup dalam kesusahan.
2. Kita hendaklah menjaga kerukunan rumah tangga agar tidak berlaku
perselisihan faham antara suami dengan isteri.
3. Kita mestilah menyayangi ibu bapa yang telah tua agar kebajikan mereka
terpelihara.
4. Kita janganlah mencemarkan alam sekitar kerana perbuatan itu akan
membawa keburukan kepada masyarakat.
Perkembangan:
Guru mengemukakan soalan demi soalan yang dijawab oleh pelajar-pelajar
satu persatu.
Soalan-soalan yang sesuai:
1. Apakah tema cerpen ini ?
2. Apakah persoalan yang cuba ditonjolkan di dalam cerpen ini ?
4. Mengapakah penulis mengumpamakan ibunya seperti Sungai Ceper?
5. Apakah pengajaran yang boleh didapati daripada cerpen “Ibu”?
6. Bagaimanakah keadaan Sungai Ceper sekarang?
7. Huraikan watak “aku” seperti yang terdapat di dalam cerpen ini.
8. Soalan-soalan daripada aspek gaya bahasa, atau unsur-unsur bahasa
dalam cerpen ini boleh juga disoal.
Penutup
1. Murid menjawab soalan berdasarkan lembaran kerja untuk memastikan
objektif tercapai.
Kesimpulan
Berdasarkan analisis yang telah disenaraikan berdasarkan cerpen “Ibu”
di atas, kesimpulannya ialah kaedah struktural memberi tumpuan kepada
sesuatu hasil sastera berdasarkan tema, plot, persoalan, perwatakan, latar
belakang, gaya bahasa, nilai dan pengajaran. Kaedah ini menegaskan
33
pencerakinan karya sastera dari sudut pembinaan atau struktur karya.
Pengajaran sastera melalui kaedah ini bermaksud mengajar elemen-eleman
yang membangun karya sastera.
Karya sastera seperti novel, drama, hikayat, cerita rakyat dan cerpen
boleh diajar melalui pembicaraan tentang elemen-elemen seperti watak dan
perwatakan. Dari segi ,latar cerita seperti latar tempat, latar peralatan, latar
budaya, dan latar waktu. Jenis sudut pandangan pencerita yang terbahagi ,
sudut pandangan watak dan sudut pandangan pandangan bawah sedar. Jenis
perbualan seperti diolog, monolog dan multilog. Kaedah ini melihat semua
unsur yang terdapat dalam karya sastera namun tidak begitu mendalam dari
segi jangkauan penjelasannya.
Oleh yang demikian, maka guru boleh menggunakan kaedah ini di dalam
kelas ketika mereka mengajar sastera yang melibatkan kaedah pemahaman
teks. Kaedah ini didapati amat sesuai digunakan kerana di dalamnya
mempunyai pelbagai jenis kemahiran sastera yang perlu dikuasai oleh murid-
murid untuk membolehkan mereka cemerlang di dalam pelajaran ini di sekolah.
Jadi , guru perlu menggunakan kaedah yang sesuai supaya pelajaran satera
sentiasa menarik dan tidak menjemukan murid.
34
RUJUKAN
35
Arba’ie Sujud. 2008. Sastera Melayu Suatu Pengantar . Kuala Lumpur : Tinta
Press Sdn Bhd.
Asmah Haji Omar. 2008. Ensiklopedia BAHASA MELAYU. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Che Zainon Omar et.all (2005), Modul Pengajaran dan Pembelajaran Komsas Tingkatan 4-5, Kuala Lumpur: DBP
Harun Mat Piah et al. 2006. Kesusasteraan Melayu Tradisional . Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hashim Awang, Othman Puteh, Ramli Isin, Sahlan Mohd Saman, (1985) Mendekati Kesusasteraan Melayu, KL: Fajar Bakti
Kamarudin Hj. Hussin (1988 ), Pedagogi Bahasa – Perkaedahan, Selangor, Subang : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Kamarudin Hj. Hussin (1998 ), Kaedah Pengajaran Kesusasteraan, Selangor, PJ: Fajar Bakti.
Raminah Hj. Sabran, Rahim Syam, (1985) Kaedah Pengajaran Bahasa Malaysia, Selangor, Petaling Jaya, Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Safiah Osman, (1990) Membaca Satu Pengenalan , K.L.: Berita Publishing Sdn. Bhd.
Siti Hajar Abdul Aziz,(2009), Bahasa Melayu 2, Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
__________________ (1983), Pedagogi Bahasa, Selangor, Petaling Jaya: Siri Longman Sdn. Bhd.
_________________( 1994) KBSM dan Strategi Pengajaran Bahasa, Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
36
37