KOMUNIKASI

25
 61 BA B 5 BEN TU K MESEJ K OMUNIK ASI OBJEKTIF BAB Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya dapat: 1. Mengenal pasti  bentuk mesej lisan dan mesej bukan lisan. 2. Menjelaskan  perbezaan antara makna dan mesej. 3. Mengenal pasti  ciri-ciri mesej lisan dan mesej bukan lisan. 4. Menghuraikan  fungsi mesej lisan dan mesej bukan lisan. 5.1 PENGENALAN Dalam bab yang lalu, kita telah membincangkan tentang model komunikasi. Pemahaman tentang model komunikasi adalah penting bagi memudahkan kita menghubungkaitkan peranan komponen komunikasi yang terlibat dalam menentukan keberkesanan proses komunikasi. Dalam bab ini, kita akan membincangkan dua bentuk mesej komunikasi iaitu mesej lisan dan mesej bukan lisan. Kedua-dua bentuk mesej ini dihasilkan sama ada melalui pertuturan atau pergerakan anggota badan atau penggunaan simbol tertentu untuk menghantar mesej pengirim kepada penerima. Dalam kehidupan manusia, komunikasi bukan hanya sekadar bercakap iaitu menyampaikan sesuatu mesej melalui pertuturan. Mesej juga boleh dicipta dan disalurkan melalui pergerakan badan dan simbol-simbol tertentu. Dalam konteks komunikasi kemanusiaan, kedua-dua bentuk komunikasi, iaitu lisan dan bukan lisan dapat menyampaikan mesej tersurat dan mesej tersirat sesuai dengan persekitaran komunikasi. Dengan kemahiran komunikasi ini kita dapat mentafsir keikhlasan, emosi, penampilan diri, identiti dan gelagat seseorang. 5.2 MESEJ DAN MAKNA Sebelum kita membincangkan bentuk mesej komunikasi lisan, bolehkah anda kenal pasti perbezaan mesej dan makna? Apakah bentuk mesej yang berkesan? Apakah hubungan antara mesej dan makna? Dalam bab-bab

description

PENGANTAR DAN KOMUNIKASI

Transcript of KOMUNIKASI

  • 61

    BAB 5

    BENTUK MESEJ KOMUNIKASI

    OBJEKTIF BAB

    Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya dapat: 1. Mengenal pasti bentuk mesej lisan dan mesej bukan lisan. 2. Menjelaskan perbezaan antara makna dan mesej. 3. Mengenal pasti ciri-ciri mesej lisan dan mesej bukan lisan. 4. Menghuraikan fungsi mesej lisan dan mesej bukan lisan.

    5.1 PENGENALAN Dalam bab yang lalu, kita telah membincangkan tentang model komunikasi. Pemahaman tentang model komunikasi adalah penting bagi memudahkan kita menghubungkaitkan peranan komponen komunikasi yang terlibat dalam menentukan keberkesanan proses komunikasi. Dalam bab ini, kita akan membincangkan dua bentuk mesej komunikasi iaitu mesej lisan dan mesej bukan lisan. Kedua-dua bentuk mesej ini dihasilkan sama ada melalui pertuturan atau pergerakan anggota badan atau penggunaan simbol tertentu untuk menghantar mesej pengirim kepada penerima. Dalam kehidupan manusia, komunikasi bukan hanya sekadar bercakap iaitu menyampaikan sesuatu mesej melalui pertuturan. Mesej juga boleh dicipta dan disalurkan melalui pergerakan badan dan simbol-simbol tertentu. Dalam konteks komunikasi kemanusiaan, kedua-dua bentuk komunikasi, iaitu lisan dan bukan lisan dapat menyampaikan mesej tersurat dan mesej tersirat sesuai dengan persekitaran komunikasi. Dengan kemahiran komunikasi ini kita dapat mentafsir keikhlasan, emosi, penampilan diri, identiti dan gelagat seseorang. 5.2 MESEJ DAN MAKNA Sebelum kita membincangkan bentuk mesej komunikasi lisan, bolehkah anda kenal pasti perbezaan mesej dan makna? Apakah bentuk mesej yang berkesan? Apakah hubungan antara mesej dan makna? Dalam bab-bab

  • 62

    yang terdahulu, anda telah didedahkan secara terperinci tentang proses dan model komunikasi yang membincangkan tentang pengertian mesej. Perkataan mesej adalah asal perkataan Latin missus daripada perkataan mittere yang bermaksud to send atau mengutus. Mesej dan makna adalah dua perkara yang berbeza dalam proses komunikasi tetapi mempunyai kaitan yang saling melengkapi. Tanpa makna, mesej tidak membawa sebarang maksud. Mesej yang tidak jelas menjejaskan makna sesuatu maklumat yang hendak disampaikan. Menurut Stohl (1995), mesej mempunyai empat ciri utama iaitu

    (i) Mesej mempunyai beberapa bentuk iaitu lisan dan bukan lisan. Justeru itu, mesej boleh disampaikan dalam pelbagai bentuk seperti melalui pertuturan, penulisan, gerakan anggota badan dan melalui teknologi komunikasi seperti telefon dan komputer.

    (ii) Mesej mempunyai pelbagai makna. Mesej yang

    disampaikan secara lisan mahupun bukan lisan perlu ditafsir oleh penerima bagi mendapat maksud yang tepat. Mesej yang tersurat (denotatif) mudah difahami manakala mesej tersirat (konotatif) memerlukan pemahaman dan pentafsiran yang tepat sesuai dengan persekitaran berlakunya proses komunikasi tersebut. Contoh mesej bukan lisan ialah menangis. Ada pelajar menangis kerana malu mendapat markah yang rendah. Ada pula pelajar yang menangis kerana kejayaan merangkul anugerah pelajar terbaik.

    Pada pandangan anda, apakah mesej yang boleh dibawa oleh gelagat menangis? Apakah faktor yang mempengaruhi anda memberi tafsiran mesej menangis tersebut?

    (iii) Mesej mempunyai pelbagai fungsi. Mesej yang dibentuk

    bersifat fungsional dan bersifat maklum balas. Ini sesuai dengan konsep komunikasi sebagai suatu proses pertukaran maklumat dan bersifat transaksional. Masihkah anda ingat proses transaksional dan transmisi yang dibincangkan dalam bab model komunikasi? Sifat mesej dapat menggambarkan satu pola hubungan antara pengirim dengan penerima. Justeru itu, mesej dapat berfungsi dalam pelbagai konteks seperti memberitahu,

  • 63

    mendidik, pengulangan, perlambangan dan lain-lain fungsi seperti yang akan dijelaskan dalam perbincangan seterusnya dalam bab ini.

    (iv) Mesej melibatkan pelbagai peringkat. Pembentukan dan

    penyampaian sesuatu mesej melibatkan tiga peringkat yang menjelaskan maksud pengirim iaitu tujuan-maksud-niat sama ada disampaikan dalam bentuk fakta, lisan atau bukan lisan.

    Anda disyorkan membuat pembacaan lanjut dengan merujuk buku Komunikasi antara Manusia oleh Hashim Fauzi Yaacob (2001) terbitan Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.

    Berbalik kepada persoalan tadi, sudahkah anda faham hubungan mesej dengan makna? Mesej bukan makna! Makna adalah pengertian yang diberi oleh manusia terhadap mesej. Proses komunikasi akan lebih efektif dan lancar apabila mesej pengirim dapat difahami dan seterusnya diberi makna yang tepat oleh penerima. Sekiranya kita imbas kembali model-model komunikasi dua hala, mesej dibentuk oleh pengirim semasa proses enkod manakala pentafsiran mesej kepada makna oleh penerima berlaku dalam proses dekod. Dalam hal ini, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pentafsiran mesej supaya sama dengan maksud makna pengirim yang sebenar. Faktor kesediaan untuk berkomunikasi, latar belakang, pendidikan, budaya, pengalaman dan persekitaran berlakunya komunikasi amat mempengaruhi ketepatan pentafsiran makna mesej.

    SOALAN DALAM TEKS

    1. Nyatakan TIGA (3) faktor yang mempengaruhi

    pentafsiran mesej? 2. Jelaskan DUA (2) fungsi mesej menurut Stohl

    (1995).

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

  • 64

    Sila akses laman web Institute of General Semantics www.generalsemantics.org/ yang mengandungi pelbagai artikel tentang bahasa dan kegunaan bahasa. Penekanan diberikan kepada the way we speak and the ways we think and behave.

    5.3 KOMUNIKASI LISAN Lazimnya kita berkomunikasi menggunakan bahasa sama ada melalui pertuturan ataupun penulisan. Kita berinteraksi dengan ahli keluarga dalam persekitaran tidak formal. Bahasa yang digunakan juga tidak formal tetapi masih menerapkan unsur-unsur penghormatan dan kasih sayang. Dalam konteks komunikasi kumpulan pula kita berinteraksi untuk mendapatkan maklumat, pendapat dan bersosial. Bahasa pasar banyak digunakan dalam interaksi sosial. Ini berbeza dengan penggunaan komunikasi formal apabila kita menghadiri perbincangan, temu duga dan perundingan. Komunikasi lisan secara formal dapat memperlihatkan kematangan, keperibadian, emosi dan status seseorang. Menurut Sapir (dlm. Nasariah Mansor et al., 2000), bahasa adalah satu kaedah yang bersifat naluri untuk menyampaikan mesej, emosi dan kemahuan melalui simbol-simbol yang dilahirkan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Manakala Bloch & Trager (dlm. Asmah Omar, 1969) pula mendefinisikan bahasa sebagai suatu sistem lambang pertuturan yang arbitrasi, digunakan oleh ahli-ahli masyarakat untuk berkomunikasi. Umumnya bahasa adalah simbol yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu mesej secara lisan. Justeru itu, komunikasi lisan merupakan pengucapan (penggunaan bahasa dalam bentuk pertuturan dan penulisan) yang disampaikan kepada individu lain dengan tujuan perkongsian makna dalam pelbagai bahasa yang mudah difahami antara pengirim dengan penerima. 5.3.1 Ciri Bahasa Bahasa adalah satu sistem. Bahasa adalah lengkap, sempurna dan bersifat dinamik. Bahasa terdiri daripada sistem bunyi, sistem makna dan sistem

  • 65

    tatabahasa yang diiktiraf. Bahasa yang digunakan untuk pertuturan dan penulisan terikat dengan tatabahasa. Perkataan perlu disusun dalam bentuk ayat yang sempurna dan membawa makna sebelum diucapkan. Penggunaan bahasa yang jelas dan lancar dapat meningkatkan ketepatan pentafsiran makna sesuatu mesej. Pengucapan bahasa turut diiringi oleh komunikasi bukan lisan yang dikenali sebagai paralinguistik.

    Pada pandangan anda, adakah bahasa singkatan yang digunakan dalam perkhidmatan pesanan ringkas (sms) mudah dan jelas difahami? Kenapa?

    Bahasa adalah simbol yang mewakili bunyi (sebutan) yang keluar daripada peti suara. Bahasa atau perkataan yang diucapkan bukan perkara yang sebenarnya. Perkataan hanya mewakili objek yang sebenar. Contohnya perkataan panas yang membawa banyak makna. Panas mungkin merujuk kepada keadaan tidak dingin, atau air yang mendidih, atau suasana ketidakselesaan, atau mungkin merujuk kepada emosi seseorang yang sedang marah dan baran. Cuba anda sebut satu perkataan. Adakah sebutan perkataan tersebut menggambarkan objek yang sebenar? Tentu tidak sebab perkataan hanyalah simbol yang mewakili benda. Perkataan besi itu panas merah menyala tidak panas macam besi panas! Oleh yang demikian, sebelum memulakan perbualan, kita harus memastikan bahawa bahasa yang digunakan mestilah difahami oleh penerima dan sesuai dengan konteks serta persekitaran komunikasi. Bahasa adalah suatu yang abstrak. Adakalanya perkataan yang diucapkan dapat memberi lebih daripada satu makna, lain daripada makna asal yang dimaksudkan oleh pengirim. Justeru itu, bahasa dibahagikan kepada dua ciri iaitu

    (i) Denotatifmakna dalam bahasa kamus yang diiktiraf atau dikenali juga sebagai makna tersurat.

    (ii) Konotatifmakna yang tersirat.

    Bolehkah anda berikan beberapa contoh bahasa denotatif dan bahasa konotatif?

    Selain itu, bahasa pertuturan juga perlu melalui proses pencerapan (mendengar) sebelum sesuatu makna diberi oleh penerima. Dalam proses pencerapan makna, maklumat akan dianalisis oleh penerima sebelum maklum balas diberikan terhadap mesej tersebut. Setiap individu memberi makna yang berbeza terhadap perkataan yang didengar. Faktor

  • 66

    pengalaman, konteks komunikasi, gaya penyampaian dan bahasa yang digunakan akan mempengaruhi seseorang mentafsir sesuatu mesej. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa makna sesuatu mesej bergantung kepada manusia bukan perkataan. 5.3.2 Fungsi Komunikasi Lisan Komunikasi lisan amat penting dalam kehidupan kita seharian. Kita berinteraksi dengan masyarakat sekeliling untuk berkongsi maklumat. Justeru itu, bahasa merupakan suatu komponen yang melancarkan lagi proses sosialisasi seseorang individu. Bayangkan jika anda seorang yang pendiam, pemalu dan rendah diri, adakah anda mempunyai ramai kenalan atau adakah anda dapat menyelesaikan sesuatu masalah dengan mudah? Di sini jelas bahawa tanpa komunikasi lisan kita tidak dapat meluahkan perasaan, menyatakan sesuatu kepada orang di sekeliling dengan jelas dan tepat. Oleh kerana bahasa setiap kelompok masyarakat berbeza antara satu sama lain maka makna sesuatu perkataan dalam masyarakat yang berbeza juga membawa konotasi yang berbeza. Jadi kita perlu berhati-hati dengan apa yang kita pertuturkan. Justeru itu, mempelajari bahasa melalui proses sosialisasi dan pendidikan formal adalah satu cara untuk mempertingkat serta memperluas jaringan sosial kita. Haliday (dlm. Bittner, 1985) telah menyenaraikan tujuh fungsi bahasa sebagai alat komunikasi, iaitu

    (i) Alatanuntuk menyempurnakan sesuatu kehendak seperti memerintah atau meminta.

    (ii) Pentertibuntuk mengawal tingkah laku atau peristiwa

    yang berlaku. (iii) Interaksiuntuk memastikan hubungan sesama manusia

    berjalan dengan lancar tanpa sebarang salah faham, penutur perlu mempunyai pengetahuan dalam dialek, slanga, jargon dan sebagainya.

    (iv) Peribadiuntuk menyatakan atau meluahkan perasaan,

    kemahuan dan sebagainya yang bersifat peribadi. (v) Penemuanuntuk memperoleh ilmu pengetahuan yang

    dinyatakan dalam bentuk soalan-soalan yang memerlukan jawapan.

    (vi) Khayalanuntuk memikirkan atau melakukan sesuatu

    berdasarkan daya imaginasi dan kreativiti sendiri.

  • 67

    (vii) Pernyataanuntuk menyatakan, memerikan, menggambarkan, menjelaskan fakta, peristiwa, pengetahuan dan sebagainya.

    Selain fungsi yang dinyatakan oleh Haliday, terdapat juga fungsi umum komunikasi lisan yang lain, iaitu

    (i) Memberitahubahasa digunakan untuk memberitahu orang lain tentang sesuatu perkara. Contohnya, pemimpin menyampaikan ucapan untuk memberitahu masyarakat tentang pembangunan masyarakat luar bandar sama ada secara bersemuka ataupun melalui media massa.

    (ii) Mendidik dan membujukuntuk mempengaruhi

    individu supaya mengubah sikap, budaya dan pemikiran seseorang dengan memberi maklumat dan kaunseling melalui perbincangan bersemuka. Contohnya, bahasa yang digunakan dalam iklan mestilah menarik dan jelas supaya pengguna dapat mengetahui tentang sesuatu produk.

    (iii) Lambang sesuatu budaya dan identiti bangsa

    kewujudan pelbagai bahasa di dunia secara tidak langsung mewakili bangsa dan budaya penuturnya. Dewasa ini, pengetahuan tentang bahasa kedua dan ketiga selain bahasa ibunda menjadi penting dalam dunia globalisasi. Melalui bahasa kita dapat berinteraksi dengan bangsa lain dengan lancar. Moto Dewan Bahasa dan Pustaka, Bahasa Jiwa Bangsa cukup menggambarkan bahasa sebagai lambang sesuatu bangsa. Kehalusan dan ketertiban ketika berbahasa akan mencerminkan keperibadian dan amalan bangsa seseorang.

    Cuba anda fikirkan fungsi komunikasi lisan selain daripada yang dinyatakan. Terlajak perahu boleh berundur terlajak kata badan binasa cuba anda fikirkan sebab dan kesan komunikasi lisan berdasarkan pepatah Melayu tersebut.

    Amalan komunikasi lisan yang berhemah dan efektif dapat mewujudkan suasana positif ke arah pencapaian matlamat komunikasi. Terdapat banyak strategi dan panduan untuk mempertingkatkan tahap keberkesanan penggunaan bahasa. Bolehkah anda nyatakan beberapa panduan untuk meningkatkan keberkesanan komunikasi secara lisan?

  • 68

    SOALAN DALAM TEKS

    3. Jelaskan maksud konotatif dan denotatif. 4. Huraikan DUA (2) ciri komunikasi lisan. 5. Kenal pasti dan huraikan empat fungsi komunikasi

    lisan.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    Beberapa sarjana berbelah pendapat tentang tulisansama ada dikategorikan sebagai komunikasi lisan atau komunikasi bukan lisan. Beri pandangan dan justifikasi anda tentang perkara ini.

    5.4 KOMUNIKASI BUKAN LISAN Komunikasi antara manusia tidak hanya melibatkan pertuturan. Mesej juga boleh disampaikan melalui perlakuan manusia sama ada gerakan anggota badan secara sengaja atau tidak sengaja. Dalam konteks komunikasi organisasi, ramai pengkaji sependapat bahawa lebih 65 peratus mesej disampaikan melalui komunikasi bukan lisan. Selebihnya adalah mesej yang disampaikan secara lisan. Dapatkah anda bayangkan jika anda bekerja dan bercakap sepanjang hari, apa akan terjadi dengan produktiviti dan kualiti kerja anda? Terdapat juga kajian yang telah membuktikan bahawa apabila interaksi berlaku secara bersemuka, kurang 10 peratus impak datangnya daripada perkataan yang diucapkan, manakala yang selebihnya adalah mesej bukan lisan. Malah sarjana komunkasi menganggarkan hanya 10 peratus komunikasi antara manusia diwakili oleh kata-kata. Manakala 30 peratus diwakili oleh bunyi yang mengiringi suara dan 60 peratus pula diwakili oleh komunikasi bukan lisan (Zulkifli, 2000). Justeru itu, komunikasi bukan hanya sekadar bercakap. Seluruh anggota badan kita juga berupaya mewujudkan mesej-mesej tertentu.

    Berdasarkan pembacaan anda dalam bab-bab terdahulu, apakah yang anda faham dengan komunikasi bukan lisan?

  • 69

    Komunikasi bukan lisan juga dikenali sebagai komunikasi tanpa perkataan. Harrison (1965) berpendapat bahawa penyelesaian yang paling mudah untuk mentakrifkan perbezaan komunikasi lisan dengan komunikasi bukan lisan adalah seperti berikut:

    (i) Komunikasi lisan adalah apa-apa jua perkara yang menggunakan perkataan bertulis dan dituturkan. Dalam erti kata lain bahasa adalah medium untuk menyatakan mesej.

    (ii) Komunikasi bukan lisan menggunakan simbol-simbol

    yang membawa mesej tertentu. Pandangan Harrison ini disokong oleh Knapp (1972) yang menyatakan bahawa komunikasi bukan lisan merangkumi peristiwa perkataan yang tidak ditutur atau ditulis. Contohnya peristiwa marahanda tidak semestinya menyatakan saya sedang marah sebaliknya keadaan marah anda boleh dilihat melalui perubahan anggota badan seperti muka merah, mata besar, kening terangat dan perubahan nada suara. Dalam hal ini kita dapat menilai kemarahan seseorang melalui tanda-tanda komunikasi bukan lisan. Kita juga boleh mentafsir emosi, personaliti, tujuan, keintiman dan status sosial seseorang melalui komunikasi bukan lisan yang dipraktiskan oleh seseorang individu. Dalam proses interaksi antara manusia, amalan komunikasi bukan lisan dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian sesuatu mesej kerana komunikasi bukan lisan berfungsi sebagai pelengkap kepada komunikasi lisan. 5.4.1 Prinsip Komunikasi Bukan Lisan Komunikasi bukan lisan adalah sesuatu yang kompleks untuk difahami. Pelbagai makna boleh ditafsir bagi mewakili satu simbol atau isyarat. Setiap individu mungkin memberi makna yang berbeza mengikut pentafsiran dan konteks komunikasi. Justeru itu, kemahiran memahami komunikasi bukan lisan amat penting dalam mengukuhkan pentafsiran sesuatu mesej. Berikut kita bincangkan beberapa prinsip komunikasi bukan lisan secara ringkas. 5.4.1.1 Komunikasi bukan lisan wujud Komunikasi bukan lisan wujud tanpa kita sedari atau tidak dirancang. Walaupun kita tidak bercakap, duduk diam, perlakuan sebegini dapat memberi mesej kepada orang lain. Malah gerakan anggota badan dan perlakuan kita semasa berinteraksi ada kalanya di luar kawalan. Semua

  • 70

    gelagat ini berlaku secara spontan. Melalui komunikasi bukan lisan kita boleh mentafsir emosi seseorang sama ada sedang gembira, takut, marah, sedih dan sebagainya. Justeru itu, komunikasi sebenarnya wujud tanpa kita sedari dan dapat memberi mesej tertentu tentang diri kita. Apakah tafsiran anda tentang rakan anda yang sering menguap semasa mengikuti kelas? Waspada dengan perlakuan kita. Sebenarnya kita diperhatikan! 5.4.1.2 Komunikasi bukan lisan asas perhubungan Komunikasi bukan lisan dikatakan lebih baik ataupun lebih berkesan digunakan untuk menunjukkan perasaan dalaman khususnya yang menyentuh tentang emosi seseorang seperti sedih, marah, sayang, gembira, takut dan sebagainya. Tanpa komunikasi lisan, gerakan anggota badan masih dapat menyatakan keintiman atau kerenggangan hubungan. 5.4.1.3 Komunikasi bukan lisan suatu proses yang kabur Berbanding dengan komunikasi lisan, mesej komunikasi bukan lisan memerlukan lebih banyak pengamatan sebelum mesej diterjemahkan kepada makna. Komunikasi bukan lisan sukar ditafsir secara tepat. Kita ambil contoh seorang kanak-kanak sedang menangis. Pada fikiran anda apakah mesej menangis kanak-kanak tersebut? Mungkin kanak-kanak tersebut sakit gigi atau mungkin kehilangan duit belanja sekolah atau mungkin kerana dibuli rakan sekolah. Pelbagai andaian mesej yang mungkin anda beri. Di sini jelas menunjukkan bahawa mesej komunikasi bukan lisan sukar ditafsir dengan tepat.

    Bagaimana anda hendak mentafsir dengan tepat mesej komunikasi bukan lisan? Apakah faktor yang perlu dipertimbangkan semasa membuat pentafsiran?

    5.4.1.4 Komunikasi bukan lisan refleksi kebolehpercayaan dan

    mesej tersirat Dalam interaksi lisan dan penulisan, sukar untuk kita mengesan sama ada mesej yang disampaikan benar atau palsu. Sebaliknya komunikasi bukan lisan merupakan satu refleksi emosi dalaman seseorang. Contohnya, guru kaunseling tidak hanya bergantung kepada soalan lisan dalam mencari bukti kesalahan pelajar tetapi melalui gerak anggota badan pelajar yang disiasat, guru tersebut boleh melihat kejujuran atau penipuan pelajar tersebut. Kita biasa mendengar orang berkata mulut kata lain hati kata lain. Untuk mendapatkan kepastian apa yang diucapkan oleh seseorang, kita juga perlu melihat gerakan anggota badannya seperti mata, muka dan

  • 71

    kepala. Semua gerakan anggota badan ini dapat memberi makna tertentu malah orang yang cuba melakukan penipuan sukar untuk bertentang mata apabila berinteraksi.

    Bolehkah anda berikan beberapa contoh bahasa denotatif dan bahasa konotatif?

    5.4.1.5 Komunikasi bukan lisan melengkapi komunikasi lisan Komunikasi bukan lisan melengkapi dan menjelaskan mesej komunikasi lisan sekiranya maksud sesuatu mesej lisan sukar difahami. Contohnya, jika anda mengalami sakit kepala anda tidak semestinya menyatakan saya pening kepala. Dengan perlakuan memicit-micit kepala sudah cukup memberi mesej yang anda mengalami pening kepala walaupun anda tidak menyatakannya secara lisan. Sekiranya anda menyatakan saya pening kepala sambil memicit-micit kepala, perlakuan sebegini dapat meneguhkan lagi mesej lisan anda. Cuba anda fikirkan beberapa beberapa contoh lain.

    SOALAN DALAM TEKS

    6. Beri definisi komunikasi bukan lisan. 7. Jelaskan prinsip komunikasi bukan lisan berikut:

    (i) Komunikasi bukan lisan adalah kabur. (ii) Komunikasi bukan lisan refleksi

    kebolehpercayaan.

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    5.4.2 Fungsi Komunikasi Bukan Lisan Lazimnya komunikasi bukan lisan berfungsi sebagai pelengkap kepada komunikasi lisan (DeVito, 2000). Berikut adalah beberapa fungsi komunkasi bukan lisan. 5.4.2.1 Pengukuhan Komunikasi bukan lisan berfungsi untuk memperkukuhkan sesuatu mesej yang disampaikan oleh pengirim secara lisan. Contohnya isyarat

  • 72

    mata dapat mempamerkan emosi seseorang dengan melihat ke dalam mata seseorang dalam tempoh masa yang lama untuk melafazkan kata-kata cinta atau merenung dengan tajam dan membesarkan mata sebagai tanda marah atau geram. Perlakuan seperti ini dapat mengukuhkan makna mesej yang hendak disampaikan. 5.4.2.2 Pelengkap Mesej bukan lisan juga berfungsi mengiring komunikasi lisan untuk menjelaskan lagi suasana interaksi. Contohnya, Ahmad begitu gembira sambil bersorak apabila mendapat keputusan cemerlang peperiksaan akhir semester.

    Kenal pasti komunikasi bukan lisan yang melengkapi suasana kegembiraan Ahmad.

    5.4.2.3 Percanggahan Mesej bukan lisan juga berfungsi mendedahkan sesuatu mesej yang bercanggah dengan maksud lisan. Contohnya, perlakuan mengelakkan hubungan mata dengan kaunselor dan sering menunduk kepala ke bawah dalam sesi kaunseling dapat ditafsirkan sebagai suatu percubaan untuk menafikan perlakuan salah oleh pelajar yang didakwa melakukan kesalahan. Di sini kita dapat lihat berlakunya percanggahan antara penafian lisan pelajar dengan gerakan anggota badannya. 5.4.2.4 Pengawalan Komunikasi bukan lisan juga dapat mengawal atau menunjukkan satu keinginan dalam mengawal aliran mesej lisan. Cuba anda ketap bibir anda. Apa perasaan anda? Bagaimana anda hendak mengawal rakan anda yang sering menyampuk ketika anda sedang menghayati syarahan? 5.4.2.5 Pengulangan Fungsi pengulangan akan membantu seseorang memahami maksud lisan. Bila ditanya Di mana letaknya bangunan Canselori, anda mungkin menjawab 500 meter dari bangunan perpustakaan, bangunan bewarna putih. Komunikasi lisan anda dituruti dengan menunjukkan arah bangunan yang maksudkan dengan menggunakan tangan. Dalam hal ini, komunikasi bukan lisan tidak saja berfungsi sebagai pelengkap tetapi juga sebagai pengulangan maksud lisan. Cuba anda beri contoh lain yang sesuai.

  • 73

    5.4.2.6 Pengganti Bagi golongan kurang upaya (khususnya mereka yang pekak dan bisu), pergerakan anggota badan berfungsi sebagai pengganti kepada bahasa lisan. Bagi mereka yang normal, komunikasi bukan lisan dapat memperlihatkan emosi dalaman mereka. Contohnya, rakan anda begitu murung sepanjang hari ketika menghadiri kelas. Gelagat murung ini dapat menggantikan bahasa lisan rakan anda yang kini menghadapi masalah kewangan. Secara keseluruhannya, apabila kita berinteraksi, komunikasi bukan lisan merupakan komponen penting dalam menyampaikan mesej. Justeru itu, kita perlu berhati-hati dengan keadaan anggota badan kita. Kita diperhatikan, bukan sahaja bahasa lisan kita. Pastikan ketika mentafsir perlakuan bukan lisan, kita memahami konteks komunikasi, banyakkan bertanya agar kita tidak tersilap membentuk makna mesej bukan lisan. 5.4.3 Bentuk Komunikasi Bukan Lisan Sebahagian besar komunikasi bukan lisan adalah berkaitan dengan tubuh badan kita. Pergerakan tubuh badan ini adalah gambaran emosi dan perasaan dalaman kita yang sukar dikawal dan berlaku tanpa sedar walaupun sebahagian simbol bukan lisan dirancang untuk menyampaikan mesej. Komunikasi bukan lisan boleh dihimpunkan kepada lima kategori iaitu prosemik, kinesik, kronemik, paralinguistik dan artifaktual. 5.4.3.1 Prosemik Prosemik merujuk kepada jarak, ruang atau kawasan. Berdasarkan komponen prosemik, kita dapat lihat bentuk interaksi yang berlaku sama ada berbentuk formal, peribadi, sosial atau awam. Di samping itu, kita juga dapat mengetahui peringkat pengaruh, kuasa dan status sosial seseorang berdasarkan posisi interaksi dan kedudukan fizikalnya. 1. Ruang Penggunaan ruang boleh dibahagikan kepada dua iaitu ruang sosial dan ruang peribadi. Ruang sosial mempunyai sempadan yang boleh dilihat oleh orang lain dan berada dalam keadaan tetap. Sebaliknya ruang peribadi ditentukan oleh sifat-sifat psikologi seperti personaliti seseorang. Edward Hall (dlm. Hashim, 2001) membahagikan konsep ruang kepada tiga iaitu

  • 74

    (i) Ruang tetap bergantung kepada status, perjawatan, pengetahuan, kepimpinan dan kewibawaan seseorang. Tiga prinsip hubungan yang mungkin menggunakan ruang tetap ialah Semakin tinggi kedudukan seseorang dalam

    organisasi, semakin baik ruang yang dimiliki. Biasanya ruang khas disediakan kepada mereka. Contohnya, dalam acara rasmi, suasana tempat duduk di hadapan telah ditetapkan untuk pegawai mengikut kekananan.

    Semakin tinggi kedudukan seseorang dalam organisasi semakin baik perlindungan terhadap ruangnya.

    Semakin tinggi kedudukan perjawatan seseorang semakin mudah mereka menguasai kedudukan orang bawahannya.

    (ii) Ruang separuh tetap tidak dianggap mempunyai mesej

    tetapi cara kita menyusun perabot dan mengatur kedudukan akan memberi gambaran tentang disiplin, keterbukaan dan situasi interaksi.

    (iii) Ruang tidak formal melibatkan interaksi secara tidak

    formal, contoh semasa kita menunggu bas atau beratur di kantin. Keadaan ini menggambarkan situasi terbuka.

    Ruang dapat memberi mesej kepada kita. Sehubungan itu, kita perlu menghormati ruang orang lain agar tidak menimbulkan konflik yang boleh mengganggu proses komunikasi (Samsuddin, 1993).

    Sila akses laman web Center for Nonverbal Studies di www.members.aol.com/nonverbal2/ yang mengandungi kamus komunikasi bukan lisan, kajian mengenai gerakan badan, gestural, ekspresi muka, adornment, fesyen, reka bentuk landskap, mass media dan reka bentuk barangan pengguna. Pusat kajian ini mengkaji komunikasi bukan lisan dari pelbagai perspektif seperti antropologi, seni dan sastera, biologi, evolusi manusia dan neurosains.

  • 75

    Cuba anda bayangkan posisi ruang dan kedudukan semasa menghadiri temu duga, perundingan, mesyuarat dan kaunseling. Adakah wujud perbezaan posisi ruang? Apakah maknanya?

    Ilustrasi di sebelah menunjukkan kedudukan ruang dalam konteks komunikasi yang berbeza. Sumber: www.mhhe.com/tubbsmoss

    2. Jarak Ketika kita berinteraksi, jarak kita dengan individu lain adalah penting. Seorang wanita sudah tentu tidak selesa berbual dengan lelaki yang baru dikenali dalam keadaan jarak fizikal yang dekat. Ini berbeza dengan jarak seorang ibu dengan anak. Mereka boleh berpimpin tangan dan bersentuhan anggota badan ketika berbual. Ini menunjukkan bahawa wujud keintiman dan ikatan kasih sayang. Bagaimana pula jarak anda dengan orang yang anda benci?

    Dalam menghuraikan jarak atau dikenali juga sebagai proksimiti, Hall (1959) telah membahagikan jarak fizikal kepada empat kategori. Setiap bentuk mempunyai ciri dan kesan komunikasi tertentu. Secara ringkasnya, Jadual 5.1 menerangkan empat bentuk jarak fizikal iaitu jarak mesra, jarak peribadi, jarak sosial dan jarak awam.

    Jadual 5.1

    Jarak dan Ciri-Ciri Komunikasi

    Bentuk Jarak Jarak Ciri-Ciri komunikasi Mesra

    0 18 inci

    - Hubungan mesra misalnya suami

    isteri, rakan karib. - Topik perbincangan bersifat peribadi

    dan adakalanya sulit.

  • 76

    Peribadi 18 inci 4 kaki - Hubungan rapat dan saling mengenali misalnya rakan dan saudara mara.

    - Topik perbincangan berbentuk peribadi tetapi tidak sulit.

    - Menunjukkan tahap penyesuaian semasa interaksi.

    Sosial 4 kaki 12 kaki - Hubungan tidak begitu rapat atau

    tidak begitu dikenali. - Bentuk perbincangan adalah formal

    seperti temu duga, perundingan dan mesyuarat.

    Awam 12 kaki 25 kaki - Hubungan tidak rapat dan tidak

    dikenali. - Hanya wujud komunikasi sehala. - Interaksi antara individu terhad. - Topik perbincangan berbentuk formal

    seperti sesi forum, ceramah, taklimat dan seminar.

    Bagaimana anda dapat mengggunakan konsep jarak untuk mempengaruhi pelanggan anda?

    5.4.3.2 Kinesik Secara umumnya, kinesik merujuk kepada gerakan anggota badan manusia semasa berkomunikasi. Dalam konteks komunikasi, kinesik amat penting untuk melihat emosi, tingkah laku dan hubungan antara individu. Kemahiran mentafsir kinesik dapat meningkatkan keberkesanan dan kelangsungan komunikasi. Namun begitu, faktor konteks komunikasi dan budaya perlu diambil kira dalam membuat tafsiran makna mesej kinesik. Kinesik boleh diklasifikasikan kepada beberapa bentuk iaitu isyarat mata, mimik muka, gestural dan sentuhan. 1. Isyarat mata Komunikasi mata mempunyai pelbagai fungsi. Kajian tentang isyarat mata dikenali sebagai oculesics. Melalui mata kita dapat melihat minat, emosi, tumpuan, tujuan, dan maksud seseorang semasa kita berinteraksi. Jelingan, renungan, keayuan, kelayuan mata serta kerdipan mata dapat memberi mesej tertentu. Malah melalui gelagat mata, kita dapat melihat personaliti seseorang sama ada bersifat pemalu, ego, periang dan manja. DeVito (2000) telah membahagikan fungsi mata kepada empat iaitu

  • 77

    (i) Mendapatkan maklum balas dengan memandang terus kepada seseorang.

    (ii) Memaklumkan orang lain tentang keterbukaan saluran komunikasi dengan mengangkat kening mata.

    (iii) Isyarat bentuk hubungan sama ada sebagai tanda perkenalan atau emosi marah serta benci.

    (iv) Pengganti jarak fizikal apabila berada dalam jarak yang jauh antara satu sama lain.

    2. Mimik muka Wajah seseorang dapat memberi seribu makna! Apakah maksud kenyataan ini? Ini bermaksud bahawa raut wajah atau mimik muka dapat memberi pelbagai mesej sesuai dengan konteks komunikasi. Menurut Jalaludin (1985), mimik muka seseorang itu dapat memberi sekurang-kurangnya sepuluh kategori makna iaitu kebahagiaan, terkejut, ketakutan, ketakjuban, kesedihan, kemuakan, kemarahan, minat, tekad dan mengancam. Bolehkah anda tunjukkan ekspresi muka anda berdasarkan ketegori ini. Isyarat muka dapat menggambarkan keadaan dalaman seseorang tanpa disedari malah sukar dikawal. Anda tidak dapat berselindung dengan riak wajah anda sekiranya anda mengalami trauma kemalangan walaupun anda menyatakan secara lisan anda sudah sihat.

    Pernahkah anda melihat rakan anda tersenyum apabila mendapat berita kemalangan rakannya? Kenapa dia tersenyum? Adakah perlakuan ini menggambarkan keadaan dalam dirinya yang sebenar? Imotikon adalah simbol yang digunakan untuk menggambarkan emosi manusia. Apakah mesej yang hendak disampaikan melalui simbol imotikon berikut: :) :0 ;) / :( :( :D :P

    3. Sentuhan

    Manusia sentiasa bersentuhan antara satu sama lain dalam pelbagai situasi dan tujuan. Sentuhan mempunyai tujuan psikiologi dan profesional. Sentuhan anggota badan khususnya tangan dapat menggambarkan hubungan antara individu. Salam berjabat tangan, berpelukan, berpimpin tangan, menepuk bahu semasa bertemu adalah beberapa contoh sentuhan yang membawa makna dan kesan tersendiri. Melalui sentuhan, kita dapat mentafsir emosi seseorang. Sentuhan juga dapat menunjukkan kemesraan, kasih sayang dan pengharapan semasa berinteraksi.

  • 78

    Heslin (dlm. Adler & Rodman, 1991) membahagikan sentuhan kepada lima kategori iaitu

    (i) Sentuhan fungsional sentuhan profesional seperti berjabat tangan.

    (ii) Sentuhan sosial sentuhan merendah diri atau tanda

    hormat seperti bersalaman dan berpelukan semasa bertemu.

    (iii) Sentuhan persahabatan sentuhan mesra seperti

    menepuk bahu dan berjalan berganding bahu. (iv) Sentuhan sayang sentuhan kemesraan dan hubungan

    yang berdasarkan kasih sayang seperti berjalan berpimpin tangan sambil menggenggam erat tangan.

    (v) Sentuhan seks sentuhan yang menimbulkan

    keghairahan.

    Cuba anda kaitkan konsep jarak dan sentuhan. Adakah wujud persamaan atau perbezaan?

    4. Gestural

    Gestural merujuk kepada gerakan anggota badan kita khususnya tangan. Cara kita berdiri, menggerakkan tangan, kaki serta badan, cara duduk boleh menggambarkan sikap dan emosi kita seperti mendorong-menghalang, pasif, keterbukaan, keyakinan, ketegasan dan ketakutan. Mesej gestural juga menggambarkan sifat seseorang sama ada ekstrovet atau introvet (Hashim, 2001). Gestural boleh dibahagikan kepada empat kategori iaitu

    (i) Perlambangan bertindak sebagai pengganti mesej lisan. Contohnya, isyarat jari v yang membawa maksud kemenangan kedamaian atau kejayaan tanpa menyatakan secara lisan.

    (ii) Ilustrasi isyarat gerakan tangan yang digunakan bersama

    ucapan lisan. Isyarat tangan ini berfungsi untuk mengukuhkan mesej lisan. Contohnya, apabila pelajar membuat bising, guru meminta pelajar diam dan menunjukkan jari telunjuk di bibir sebagai tanda senyap.

  • 79

    Perlakuan guru tadi memperkukuhkan larangan membuat bising yang dinyatakan secara lisan.

    (iii) Penyesuaian gerakan anggota badan juga boleh

    menggambarkan penyesuaian diri seseorang dengan emosi atau rangsangan dalaman. Contohnya, perlakuan memicit kepala boleh menggambarkan bahawa individu tersebut mengalami sakit kepala.

    (iv) Pengawalan mesej gestural juga boleh mengawal situasi

    komunikasi dan menonjolkan sifat seseorang. Dalam keadaan berdiri sambil bercekak pinggang, tentu situasi komunikasi yang tegang sedang berlakumarah! Dalam hal ini, gestural dapat mengawal serta menggambarkan situasi komunikasi.

    Ilustrasi di sebelah menunjukkan beberapa contoh gerakan tangan yang membawa maksud tertentu. Cuba anda tafsirkan mesej yang hendak disampaikan dengan isyarat tangan tersebut. Sumber: www.mhhe.com/tubbsmoss

    5.4.3.3 Kronemik Kronemik adalah kajian yang berkaitan dengan gelagat penggunaan masa. Kronemik mengkaji bagaimana manusia menggunakan masa dan menetapkan masa sama ada secara budaya mahupun secara masa realistik (Lewis, 1987). Tafsiran penggunaan masa adalah sesuatu yang subjektif kerana dipengaruhi oleh budaya, status, psikologi dan kesesuaian konteks komunikasi. Masyarakat barat mementingkan ketepatan waktu. Penggunaan waktu sebenar amat penting dalam dunia perniagaan. Justeru itu, mereka yang menepati waktu sebenar adalah mereka yang menepati janji. Bagaimana pula dengan penggunaan waktu budaya? Waktu budaya merujuk kepada waktu yang secara umumnya difahami oleh masyarakat setempat. Berikut adalah beberapa contoh penggunaan waktu budaya: Jumpa saya selepas waktu subuh; Pastikan semua pelajar berkumpul

  • 80

    selepas matahari naik; dan Jarak perjalanan ke kampung orang asli mengambil masa kira-kira empat batang rokok. Berdasarkan beberapa contoh ini, dapatkah anda tentukan masa yang sebenarnya? Manakala masa sebenar pula merujuk kepada masa piawai, 24 jam sehari. Ketepatan penggunaan masa akan mencerminkan tanggapan awal orang lain terhadap kita. Misalnya, pelajar yang sering datang lewat, mungkir janji, tidak menepati masa dianggap sebagai individu yang malas, tidak bertanggungjawab atau tidak boleh dipercayai. Bagaimana dengan diri anda? 5.4.3.4 Paralinguistik Paralinguistik merujuk kepada elemen lisan yang keluar daripada mulut tetapi bukan dalam bentuk perkataan. Paralinguistik adalah isyarat suara dan bunyi yang mengiringi simbol lisan yang diucapkan. Paralinguistik penting kerana makna daripada mesej lisan selalunya bergantung kepada tanda paralinguistik. Bayangkan anda bercakap dengan nada yang mendatar dan kelajuan yang sekata. Apakah emosi dan bentuk ucapan anda? Isyarat paralinguistik penting dalam menentukan kesan komunikasi dan mengenal pasti makna mesej sebenar. Paralinguistik berfungsi untuk menyatakan perasaan, mengawal situasi, mengarah, memberi penekanan maksud dan meningkatkan kadar pembujukan. Bahasa penulisan tidak dapat menggambarkan emosi sebenar. Tiga komponen paralinguistik ialah kelancaran dan kelajuan, nada suara dan kualiti suara. 1. Kelancaran dan kelajuan

    Berapa lancar anda mengemukakan pandangan apabila diminta oleh pensyarah? Adakah anda tergagap-gagap semasa menjawab? Ya, maklum balas anda yang tersekat-sekat, gagap seketika dapat memberi gambaran tentang ketidaksediaan anda dalam mengikut kuliah. Begitu juga ada pelajar yang membentang kertas kerja tugasan dengan laju sehingga rakan-rakan lain tidak dapat memahami idea utama yang hendak disampaikan. Adakah kelajuan ucapan ini menggambarkan pelajar tersebut seorang yang pandai? Pelajar yang bijak dapat menyeimbangkan kelajuan ucapan supaya maklumat dapat dikongsi secara efektif dengan pelajar lain. Beberapa contoh ini, dapat mengetengahkan emosi, pengetahuan dan persediaan seseorang berdasarkan kelajuan dan kelancaran suara ketika berinteraksi. Lazimnya kelajuan pengucapan yang berkesan adalah antara 125 150 patah perkataan seminit. Kelajuan bertutur menggambarkan emosi seseorang dalam kebimbangan dan

  • 81

    ketakutan. Manakala individu yang berada dalam kemurungan, sedih, susah hati, menyuarakan sesuatu dalam nada dan kelajuan yang mendatar. Kelancaran dan kelajuan bertutur boleh disesuaikan dengan konteks komunikasi. Cuba anda bayangkan suasana syarahan akademik dan ceramah politikmanakah yang lebih lancar dan laju? Kenapa berbeza? 2. Nada suara

    Lazimnya nada suara yang tinggi dan rendah secara berselang-seli dapat menekankan sesuatu maksud yang hendak disampaikan. Dalam ceramah politik umpamanya, penceramah menggunakan nada yang agak tinggi ketika menyatakan pendiriannya, sebaliknya menggunakan nada rendah ketika merayu para pengikutnya mengubah sikap. Di sini jelas bahawa, tuturan dengan nada tinggi rendah sesuai dengan konteks interaksi dapat memperlihatkan tahap pendidikan, perasaan, daya pembujukan dan niat-tujuan seseorang.

    3. Kualiti suara Kualiti suara di sini merujuk kepada kejelasan sebutan dan jenis suara. Ada individu yang bersuara merdu, garau dan nyaring. Contohnya, pengacara majlis mempunyai kualiti suara yang baik dan bijak menggunakan nada serta kelajuan yang sesuai ketika mengacarakan sesuatu majlis. Cuba anda lihat rancangan terbitan TV3 Malaysian Top Host. Semua peserta boleh bertutur dengan baik. Perkara yang membezakan mereka ialah kualiti suara dan kebijaksanaan mempelbagaikan gaya suara sesuai dengan kandungan program yang dihoskan.

    Apa pandangan anda jika seorang pensyarah tidak menyampaikan syarahan dengan lancar dan jelas? Apakah mesej yang anda dapat simpulkan apabila anda menghadapi situasi kuliah seperti ini?

    5.4.3.5 Artifaktual Artifaktual merujuk kepada penampilan diri individu sama ada secara penampilan tubuh badan ataupun aksesori diri seperti barang kemas. Penampilan diri yang menarik solekan sesuai dengan fesyen dan majlis, dapat menggambarkan keperibadian seseorang. Begitu juga dengan tubuh badan yang sasa, kulit cerah dan rambut ikal mayang. Kesemua penampilan diri ini dapat memberi mesej tertentu. Pakaian yang mahal dan berjenama juga boleh menampilkan status dan keperibadian seseorang. Pakaian pasukan keselamatan polis dan tentera pula

  • 82

    melambangkan disiplin, ketegasan dan ketangkasan. Kesesuaian pemilihan warna pakaian juga melambangkan emosi dan personaliti seseorang. Ahli psikologi menggunakan pemilihan warna untuk mentafsir personaliti individu. Justeru itu, mesej artifaktual dapat memperlihatkan gambaran awal tentang diri seseorang sebelum interaksi berlaku.

    SOALAN DALAM TEKS

    8. Beri TIGA (3) fungsi isyarat mata. 9. Terangkan EMPAT (4) jenis sentuhan menurut

    Heslin (1991). 10. Apakah yang dimaksudkan dengan paralinguistik?

    Semak jawapan anda di akhir bab ini.

    Untuk bacaan terperinci tentang komunikasi bukan lisan, sila lawat laman web: www.mhhe.com/tubbsmoss yang menyediakan gambar rajah serta bab contoh untuk anda muat turun.

    5.5 RUMUSAN Dalam proses komunikasi antara manusia, mesej boleh disampaikan melalui dua bentuk iaitu secara lisan dan bukan lisan. Kedua-dua bentuk mesej komunikasi ini mempunyai fungsi yang berbeza tetapi saling melengkapi. Lazimnya, kita dapati bahawa komunikasi lisan adalah berkaitan dengan penggunaan bahasa iaitu perkataan yang diucapkan ataupun dalam bentuk tulisan. Dalam konteks komunikasi lisan, mesej komunikasi lebih berbentuk tersurat dan terancang walaupun ada bahasa

  • 83

    kiasan dan puitis yang memerlukan tafsiran yang mendalam. Sebaliknya, komunikasi bukan lisan lazimnya berlaku tanpa disedari diluar kawalan dan jika dirancang ianya adalah mengikut keperluan fungsi seperti yang dinyatakan di bahagian 5.4.2. Mesej bukan lisan terbentuk hasil daripada rangsangan dalaman diri yang mewakili emosi dan keperibadian seseorang. Justeru itu, fungsi komunikasi bukan lisan selain melengkapi mesej lisan ianya juga boleh memberi penekanan, penggantian dan menimbulkan percanggahan kepada mesej lisan. Dalam usaha kita meningkatkan keberkesanan komunikasi, pentafsiran mesej lisan dan mesej bukan lisan hendaklah dibuat secara tepat dan berhemah bagi mengelakkan kesilapan memberi makna sebenar. Oleh itu, faktor konteks, budaya dan latar belakang mereka yang terlibat dalam hubungan tersebut juga perlu diberi perhatian kerana faktor ini dapat mempengaruhi kelancaran serta keberkesanan proses komunikasi.

    SOALAN PENILAIAN KENDIRI

    1. Jelaskan perbezaan makna dengan mesej. 2. Huraikan EMPAT (4) fungsi komunikasi bukan lisan. 3. Huraikan EMPAT (4) bentuk dan ciri jarak fizikal. 4. Apakah yang dimaksudkan dengan prosekmik? 5. Huraikan bentuk-bentuk kinesik.

    Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

    JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

    1. Faktor yang mempengaruhi pentafsiran mesej ialah konteks,

    tujuan, bentuk mesej, budaya, pendidikan dan pengalaman. 2. Dua ciri mesej menurut Stohl (1995):

  • 84

    (i) Mesej membawa pelbagai makna. (ii) Mesej terdiri daripada lisan dan bukan lisan.

    3. Maksud konotatif ialah bahasa yang membawa makna tersirat.

    Manakala denotatif adalah makna bahasa kamus iaitu makna telah ditetapkan seperti yang dinyatakan dalam kamus.

    4. Dua ciri komunikasi lisan [Rujuk bahagian 5.3.1]:

    (i) Bahasa adalah satu sistem. (ii) Bahasa adalah suatu yang abstrak.

    5. Empat fungsi komunikasi lisan [Rujuk bahagian 5.3.2]:

    (i) Peribadi: menggunakan bahasa untuk meluahkan perasaan dan melambangkan keperibadian seseorang.

    (ii) Pernyataan: menggunakan bahasa untuk menyatakan, menjelaskan dan memerikan sesuatu perkara.

    (iii) Penemuan. (iv) Alatan.

    6. Komunikasi bukan lisan adalah komunikasi tanpa perkataan

    (lisan) yang menggunakan simbol-simbol fizikal dan gerakan badan untuk menyampaikan mesej.

    7. Prinsip bukan lisan [Rujuk bahagian 5.4.1]:

    (i) Komunikasi lisan adalah kabur sebab sukar ditafsir dan mempunyai pelbagai makna.

    (ii) Komunikasi bukan lisan refleksi kebolehpercayaan simbol bukan lisan adalah hasil rangsangan emosi dalaman seseorang. Ianya dipancarkan di luar kawalan individu (spontan dan tanpa sedar).

    8. Tiga fungsi isyarat mata: [Rujuk bahagian 5.4.3.2]

    (i) Untuk mendapatkan maklum balas. (ii) Memaklumkan tentang keterbukaan saluran

    komunikasi. (iii) Isyarat bentuk hubungan.

    9. Empat jenis sentuhan (Heslin, 1991): [Rujuk bahagian 5.4.3.2

    untuk huraian lanjut]:

  • 85

    (i) Sentuhan fungsional. (ii) Sentuhan sosial. (iii) Sentuhan persahabatan. (iv) Sentuhan seks.

    10. Paralinguistik merujuk kepada elemen lisan yang keluar daripada mulut tetapi bukan dalam bentuk perkataan. Paralinguistik adalah isyarat suara dan bunyi yang mengiring simbol lisan yang diucapkan. [Rujuk bahagian 5.4.3.4 untuk huraian lanjut].