konstruktivisme dalam P&P Sains

25

Click here to load reader

Transcript of konstruktivisme dalam P&P Sains

Page 1: konstruktivisme dalam P&P Sains

PEMBELAJARAN KANAK-KANAK DI DALAM SUBJEK SAINS MENGIKUT TEORI KONSTRUKTIVISME

1.0 Pengenalan

Pendidikan dilihat sebagai satu ruang yang menyediakan pelbagai peluang

untuk memperkembangkan potensi yang ada dalam diri seseorang individu.

Menurut Syarifah Alwiah (1987), guru merupakan individu yang paling penting

dalam menentukan kejayaan pelajar. Guru menjadi tonggak inspirasi dan

motivasi dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang bermakna.

Pembelajaran yang bermakna itu bergantung kepada pendekatan yang

digunakan oleh guru untuk mengajar iaitu sama ada melalui pendekatan

tradisional atau pendekatan konstruktivisme.

Pendekatan tradisional merupakan pendekatan di mana guru sebagai

pemberi maklumat dan pelajar hanya mendengar dan menerima segala

maklumat yang di sampaikan oleh guru Di dalam pendekatan tradisional ini,

pelajar memainkan peranan yang pasif. Pengajaran secara tradisional ini

mengakibatkan kreativiti pelajar tidak dapat berkembang dan membuatkan

seseorang itu terlalu bergantung kepada guru. Pemikiran yang kreatif dan

kritis tidak dapat di asah. Walau bagaimanapun, pendekatan konstruktivisme

yang menekankan tentang pembinaan pengetahuan berdasarkan

pengalaman dan pengetahuan sedia ada untuk memahami dan menguasai

pengetahuan baru dilihat dapat memberi pembelajaran yang bermakna

kepada kanak-kanak. . Antara unsur penting dalam kontruktivisme adalah:

1. Guru mengambil kira pengetahuan sedia ada murid.

2. Pembelajaran adalah hasil usaha murid itu sendiri.

3. Pembelajaran berlaku apabila murid menghubungkan idea asal

dengan idea baru bagi menstrukturkan semula idea.

Guru perlu mengambil kira struktur kognitif yang telah sedia ada pada kanak-

kanak. Apabila maklumat yang ingin disampaikan disesuaikan dan diserap

1

Page 2: konstruktivisme dalam P&P Sains

untuk dijadikan sebahagian daripada pemahaman mereka, struktur baru

mengenai sesuatu bentuk ilmu pengetahun dapat dibina. Rutherford dan

Ahlgren mengatakan bahawa kanak-kanak mempunyai idea mereka yang

tersendiri tentang hampir semua perkara tetapi tidak pengetahuan mereka itu

semuanya betul. Sekiranya salah faham dan miskonsepsi ini dibiarkan dan

tidak ditangani dengan baik, kefahaman atau kepercayaan asal mereka akan

kekal.

John Dewey menguatkan lagi teori konstruktivisme ini dengan mengatakan

bahawa pendidik yang cekap haruslah melaksanakan pengajaran dan

pembelajaran sebagai proses menyusun atau membina pengalaman secara

berterusan dan menekankan kepentingan penyertaan murid di dalam setiap

aktiviti P&P.

Pada masa kini, teori konstruktivisme di dapati lebih releven dan sesuai untuk

diaplikasikan dalam P&P kerana dapat membantu kanak-kanak dalam

memahami sesuatu perkara dengan lebih mudah sejajar dengan Kurikulum

Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang menekankan kepada empat prinsip

iaitu pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh,

pendidikan seumur hidup dan pendidikan yang sama untuk semua murid.

Walau bagaimanapun, pada tahun 14 Oktober 2010, Surat Pekeliling Ikhtisas

mengenai Perlaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Tahap

Satu telah dikeluarkan untuk di laksanakan mulai tahun 2011. Bagi matlamat

kurikulum Sains Sekolah Rendah ini adalah untuk menanam minat dan

mengembangkan kreativiti murid melalui pengalaman dan penyiasatan bagi

menguasai ilmu sains, kemahiran saintifik dan kemahiran berfikir serta sikap

saintifik dan nilai murni. Antara pendekatan dan pembelajaran sains yang

disarankan ialah pendekatan inkuiri, konstruktivisme dan pendekatan sains,

teknologi dan masyarakat. Apa yang ingin di tekankan di dalam KKBI ini

adalah pendekatan melalui Teori Konstruktivisme di dalam subjek Sains.

Melalui temubual yang telah di jalankan dan juga perbincangan bersama ahli

kumpulan yang lain, dapat di simpulkan bahawa guru percaya latar belakang

2

Page 3: konstruktivisme dalam P&P Sains

murid yang membawa kepada pengalaman sedia ada mereka menjadi faktor

utama yang memberi kesan kepada pembelajaran sains kanak-kanak. Selain

daripada itu, faktor-faktor lain yang dapat mempengaruhi pembelajaran sains

kanak-kanak ialah:

1. Penyampaian dan pendekatan guru

2. Keadaan persekitaran murid

3. Penglibatan murid di dalam aktiviti yang dijalankan

Menerusi perbincangan antara ahli kumpulan juga dapat di senaraikan

beberapa jenis pengalaman sains yang dikenal pasti oleh guru, antaranya:

1. Perbincangan di dalam kelas

2. Eksperimen

3. Simulasi

4. Aplikasi sains dalam kehidupan harian

3

Page 4: konstruktivisme dalam P&P Sains

2.0 Faktor Utama dan Jenis Pengalaman Yang Memberi Kesan Terhadap Pembelajaran Sains Melalui Pendekatan Teori Konstruktivisme

2.1 Pengalaman Sedia Ada Murid

Menurut Arends, R.I.(1998), pembelajaran secara konstruktivisme ini boleh

ditakrifkan sebagai murid membina sendiri pengetahuan atau konsep secara

aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada. Lev

Vygotsky, seorang ahli psikologi Rusia percaya bahawa perkembangan

konsep kanak-kanak berkembang secara berperingkat, logikal dan rasional

dengan bantuan orang lain. Penglibatan dengan orang lain memberikan

peluang kepada kanak-kanak untuk menilai dan meningkatkan pengetahuan

diri memandangkan mereka terdedah kepada pemikiran orang lain dan

berkongsi membina pemahaman baru (Gauvin, 2001).

Menurut Bransford (1979), idea dan pandangan tentang kebolehan seseorang

mempelajari sesuatu perkara baru melalui pengetahuan sedia ada bukanlah

sesuatu yang baru tetapi melalui kajian terkini yang dijalankan, pembelajaran

berasaskan pengalaman ini adalah penting kepada pembelajaran. Walaupun

pengetahuan sedia ada penting untuk menjadikan pembelajaran lebih

berkesan, pendidik hendaklah mengaktifkan atau menghubungkaitkan

pengetahuan kanak-kanak itu untuk digunakan dalam proses memahamkan

sesuatu konsep yang baru agar titik keseimbangan dapat dicapai. Menurut

temubual yang dijalankan, kanak-kanak tidak selalunya dapat melihat

perkaitan antara perkara baru yang dipelajarinya dengan perkara yang

mereka sudah sedia maklum tetapi guru dapat meningkatkan pemahaman ini

dengan memberi perhatian kepada apa yang cuba disampaikan oleh murid

dan menggunakan pengetahuan tersebut sebagai langkah permulaan dalam

memahami konsep sains.

Seterusnya di dalam bilik darjah, guru boleh membantu pelajar untuk

mengaktifkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada itu dengan

membincangkan apa yang bakal di pelajari oleh mereka sebelum memulakan

4

Page 5: konstruktivisme dalam P&P Sains

pengajaran agar pelajar dapat mengingat semula pengetahuan mereka

supaya boleh dikaitkan dengan topik pada hari tersebut. Sebagai contoh,

pelajar Tahun Satu yang belajar tentang haiwan, guru memulakan pengajaran

dengan bertanya haiwan apa yang berada di sekeliling mereka dan kemudian

lebih spesifik dengan bertanyakan haiwan apa yang ada di hutan dan di air.

Kita dapat lihat bahawa guru menggunakan pendekatan deduktif sebagai

salah satu cara untuk menarik minat dan fokus pelajar. Pada waktu ini, guru

boleh membetulkan tanggapan murid yang salah tentang haiwan apa yang

hidup di air dan di darat kerana kebiasaanya pengetahuan murid tidak

lengkap atau pun salah. Guru tidak semestinya perlu tahu apa pengetahuan

yang murid sudah kuasai tetapi sebaliknya guru perlu mengkaji dan meneroka

pengetahuan sedia ada mereka supaya salah faham dan pengetahuan yang

salah dapat di kenal pasti.

Guru yang efektif dapat membantu murid dalam membuat perhubungan

antara pengetahuan lama dan pengetahuan baru dan menguasai konsep

tersebut. Ini dapat dicapai melalui dengan memberi bahan atau aktiviti yang

dapat menolong murid sebagai usaha untuk memberi sokongan kepada

usaha mereka dan meningkatkan kefahaman mereka. Sebagai contoh, dalam

topik haiwan, guru boleh membuat aktiviti mewarna iaitu memberi kertas yang

mempunyai gambar pelbagai haiwan dan meminta murid mewarnakan

haiwan-haiwan yang habitatnya di air sahaja atau di darat sahaja.

2.2 Perbincangan Di Dalam Bilik Darjah

Menerusi aktiviti tersebut, secara tidak langsung guru dapat menerapkan

perbincangan di dalam bilik darjah sebagai pengalaman sains yang dapat

membantu murid mengasah kemahiran berfikir. Berfikir merupakan satu

proses menghubungkan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang ada pada

diri seseorang individu bagi membolehkannya memahami dan mencorakkan

alam sekelilingnya. Mempertingkatkan daya berfikir merupakan salah satu

objektif sistem pendidikan negara. Kemahiran berfikir boleh digolongkan

kepada pemikiran kritis dan pemikiran kreatif. Seseorang yang berfikir secara

kritis akan sentiasa menilai sesuatu idea dengan sistematik sebelum

5

Page 6: konstruktivisme dalam P&P Sains

menerimanya. Seseorang yang berfikir secara kreatif pula mempunyai daya

imaginasi yang tinggi, berupaya menjana idea yang inovatif dan asli serta

boleh mengubah suai idea dan produk sedia ada kepada lebih berkualiti.

Perbincangan merupakan satu proses aktif yang melibatkan guru dan pelajar

dalam persekitaran pembelajaran. Situasi akan terbentuk di mana guru

membentuk suasana dan menjadi pemudah cara untuk pertukaran pelbagai

idea dalam kalangan murid. Sepertimana yang dinyatakan oleh Bond (2001)

bahawa dalam perbincangan, pelajar merupakan pihak yang aktif kerana

perbincangan bukan sahaja dapat merangsang interaksi antara murid secara

bermakna tetapi dapat menggalakkan pelbagai teknik pembelajaran yang

merangkumi kandungan, kemahiran, sikap dan proses-proses pembelajaran.

Walau bagaimanapun, berdasarkan sesi temubual yang di jalankan, terdapat

beberapa elemen penting yang perlu di ambil berat oleh guru apabila ingin

menggunakan teknik perbincangan, antaranya ialah:

(a) Matlamat dan objektif

Perbincangan di dalam kumpulan kecil dijalankan untuk menghasilkan

pembelajaran yang berbentuk proses dan bukan hasil akhir. Perkara ini

berasaskan kepada kehendak di mana murid perlu melibatkan diri dalam

perkembangan kemahiran dan sikap dalam perbincangan kumpulan.

(b) Pemilihan topik dan aplikasi

Topik yang dipilih boleh terdiri daripada tugasan atau pengajaran secara

berterusan di dalam bilik darjah. Perbincangan boleh berkisar tentang

pelbagai topik, subjek, pelbagai tahap perkembangan dan peringkat

umur murid. Apa yang penting, topik yang dipilih perlulah relevan dan

dapat merangsang minat kanak-kanak. Kebiasaannya, isu-isu

berkontroversi dan dilemma moral merupakan topik yang amat baik

untuk perbincangan.

Dalam aktiviti perbincangan guru akan berperanan sebagai fasilitator, di mana

beliau akan membimbing pelajar dengan kemahiran, menyediakan bahan dan

peluang kepada murid untuk menentukan pengalaman pembelajaran. Penting

untuk seorang guru itu untuk bergerak dari satu kumpulan ke kumpulan yang

6

Page 7: konstruktivisme dalam P&P Sains

lain bagi mendengar, memerhati dan menggalakkan setiap murid untuk

melibatkan diri di dalam kumpulan (Brown et al., 1996). Selain itu, dalam

setiap kumpulan kecil itu juga mestilah ada seorang ketua dan pencatat.

Peranan ketua dan pencatat boleh digilirkan antara ahli kumpulan.

Penglibatan murid di dalam aktiviti dapat memberi keberkesanan kepada

aktiviti kumpulan ini dan ia juga bergantung kepada bagaimana guru dapat

menyediakan peluang kepada murid untuk mengambil bahagian dalam

pelbagai peranan.

Perbincangan merupakan suatu pengalaman yang membawa manfaat

kepada kanak-kanak terutama jika kumpulan tersebut terlibat dalam tugasan

yang memerlukan penyelesaian masalah dan membuat keputusan.

Perbincangan dalam kumpulan kecil juga dapat membantu murid yang kurang

memberikan perhatian kepada pelajaran untuk melibatkan diri. Di samping itu,

murid yang pasif dan lemah akan berpeluang untuk mengecapi kejayaan jika

diberikan peluang. Contohnya seorang yang lemah membaca boleh diasah

jika diberikan peluang untuk bercakap di akhir perbincangan.

2.3 Penyampaian Dan Pendekatan Guru

Penentuan kaedah pengajaran dan pembelajaran sains seharusnya

berdasarkan kandungan standard kurikulum, kebolehan dan kecerdasan

pelbagai murid serta sumber dan prasarana yang ada di sekolah. Di samping

berperanan sebagai penyampai pengetahuan dan pakar rujuk dalam bidang

pengajarannya, guru juga berperanan sebagai seorang fasilitator dalam

pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu prihatin terhadap kepelbagaian

jenis kecerdasan di kalangan murid. Kaedah dan aktiviti yang berbeza perlu

dirancang untuk murid yang pelbagai kecerdasan. Selaras dengan Falsafah

Pendidikan Kebangsaan, pendidikan Sains di Malaysia bermatlamat untuk

memupuk budaya Sains dan Teknologi dengan memberi penumpuan kepada

perkembangan individu yang kompetitif, dinamik, tangkas dan berdaya tahan

serta dapat menguasai ilmu sains dan teknologi.

Menurut Vygotsky, Zon Perkembangan Terdekat (ZPD) merujuk kepada

7

Page 8: konstruktivisme dalam P&P Sains

tugasan pembelajaran yang sukar dilakukan sendiri oleh murid tetapi dapat

menguasainya dengan bimbingan orang lain yang lebih mahir. Bagi

membantu murid menguasai isi pelajaran yang berada dalam ZPD, teknik

scaffolding diperkenalkan (Noriati A. Rasid, Boon Pong Ying dan Sharifah

Fakhriah Syed Ahmad, 2009). Scaffolding bermaksud proses membimbing

dan membantu pembelajaran yang menekankan kepada peringkat bimbingan

dan sokongan yang dilakukan mengikut keperluan murid. Bimbingan akan

dikurangkan apabila murid dapat menguasai peringkat demi peringkat. Di

akhirnya, guru tidak lagi membimbing apabila murid berjaya melakukannya

dengan sendiri.

Antara teknik penyampaian dan pendekatan yang boleh dilakukan guru

mengikut scaffolding ialah penjelasan verbal, soal jawab, prompting, cueing

dan tanda isyarat yang lain. Selain daripada itu, Ormrod (2008)

mencadangkan guru mengaplikasikan scaffolding seperti berikut:

1. Galakkan pelajar bertanya dan beri jawapan yang munasabah bagi

persoalan mengapa dan bagaimana yang diutarakan oleh murid.

2. Murid diminta untuk membuat jangkaan terhadap perkara yang bakal

berlaku apabila membuat uji kaji atau eksperimen.

3. Analogi digunakan untuk membantu murid mengaitkan konsep dan

idea baru dalam menghubungkan pengetahun sedia ada murid.

4. Meminta murid membuat refleksi atau memberi pandangan dan

mengaitkan dengan isi pelajaran.

Melalui temubual yang telah dijalankan, guru juga mengambil pendekatan

demonstrasi sebagai salah satu teknik pengajaran. Demonstrasi merupakan

satu cara untuk melatih murid memerhati dan melakukan sesuatu aktiviti

mengikut prosedur. Demonstrasi melibatkan seseorang individu menunjuk

cara di hadapan bilik darjah untuk menerangkan sesuatu aktiviti, konsep auat

prosedur. Murid-murid yang lain akan memerhati, mendengar penerangan

dan melihat sebelum aktiviti yang sama dilakukan oleh mereka. Semasa

proses demonstrasi dijalankan, komunikasi lisan berlaku tentang sesuatu

maklumat daripada guru kepada murid. Proses ini turut melibatkan

penggunaan visual untuk memerhatikan proses, maklumat dan idea.

8

Page 9: konstruktivisme dalam P&P Sains

Namun begitu, guru yang ingin menggunakan demonstrasi dalam pengajaran,

perancangan dan persediaan yang teliti perlu dilakukan. Jika tidak,

pengajaran akan gagal mencapai objektif. Demonstrasi juga akan menjadi

kurang berkesan jika murid tidak diberikan peluang untuk mempraktikkan apa

yang telah ditunjukkan. Selain daripada itu, pembelajaran juga akan menjadi

kurang bermakna sekiranya guru tidak dapat menerangkan dengan

sistematik.

2.4 Eksperimen

Sebagai mana yang telah diterangkan di atas, demonstrasi dilihat dapat

membantu murid membina pengetahuan seperti yang dicadangkan di dalam

teori pembelajaran konstruktivisme. Salah satu pendekatan demonstrasi yang

penting dalam subjek sains adalah eksperimen. Eksperimen merupakan satu

kaedah yang penting dalam memberi kanak-kanak pengalaman sains yang

perlu dijalankan dalam mata pelajaran sains. Murid perlu menguji hipotesis

secara penyiasatan untuk menemui konsep atau idea sains yang tertentu.

Kaedah saintifik digunakan semasa eksperimen melibatkan kemahiran

berfikir, kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif.

Apabila kanak-kanak dapat melihat, memegang dan menggunakan sesuatu

bahan, ia dapat menimbulkan sikap inkuiri yang membawa kepada

penemuan. Inkuiri secara amnya bermaksud mencari maklumat, menyoal dan

menyiasat sesuatu kejadian yang berlaku. Pembelajaran yang dilalui secara

penemuan ini berlaku apabila konsep dan prinsip utama dikaji dan ditemui

oleh murid sendiri. Melalui aktiviti bereskperimen, murid akan menyiasat

sesuatu fenomena dan dapat mencapai kesimpulannya sendiri yang dapat

menstruktur satu pengetahuan baru. Guru kemudiannya membimbing dan

menjadi fasiliatator untuk murid memahami konsep sains melalui hasil inkuiri-

penemuan tersebut. Kemahiran berfikir dan kemahiran saintifik dapat

dikembangkan semasa proses ini.

Pengetahuan itu dapat diaplikasikan dengan persekitaran mereka. Dalam

9

Page 10: konstruktivisme dalam P&P Sains

kajian yang telah dijalankan, pengkaji telah menggunakan satu model yang

dikenali sebagai Model Konstruktivisme Lima Fasa Needham yang telah

dihasilkan oleh Needham di United Kingdom pada tahun 1987. Needham

telah mencadangkan model pengajaran dan pembelajaran ini dalam

"Children's Learning in Science Project" di University of Leeds untuk

meningkatkan pemahaman pelajar tentang sesuatu konsep sains serta

menggalakkan pelajar melibatkan diri secara aktif dalam bilik darjah. Model

Konstruktivisme Lima Fasa Needham ini digunakan oleh guru dalam aplikasi

eksperimen melalui:

a) Fasa 1: Orientasi

Guru menyediakan suasana pembelajaran untuk menimbulkan minat pelajar

terhadap pelajaran. Sebagai contoh, eksperimen dijalankan di dalam makmal

sains supaya suasana pembelajaran yang lebih kondusif boleh ditimbulkan.

b) Fasa 2: Pencetusan idea

Sebelum sesuatu aktiviti atau eksperimen dijalankan, guru perlu mengadakan

aktiviti seperti perbincangan dalam kumpulan kecil, menggunakan kaedah

peta konsep serta membuat laporan dengan menghubungkaitkan

pengetahuan sedia ada dengan pengetahuan baru yang akan mereka belajar.

c) Fasa 3: Penstrukturan semula idea

Apabila suasana dan idea telah dibina, aktiviti atau memberi tugasan

berstruktur diberikan untuk membolehkan pelajar mencabar dan menguji idea

asal mereka atau idea daripada rakan, dan membina struktur pengetahuan

sendiri yang lebih bermakna dan berkesan. Sewaktu ini, kemahiran bahasa

akan membantu pelajar membuat pengubahsuaian atau penyusunan semula

idea secara teratur.

d) Fasa 4: Penggunaan idea

Pelajar akan mengaplikasikan pengetahuan baru dengan menyelesaikan

masalah dalam situasi baru. Ini mewujudkan pemahaman yang baru dan

menggalakkan inkuiri dalam kalangan pelajar. Pada fasa ini, murid diminta

10

Page 11: konstruktivisme dalam P&P Sains

untuk menulis laporan eksperimen berdasarkan apa yang telah dilakukan

atau membincangkan persoalan-persoalan yang timbul.

e) Fasa 5: Refleksi

Pelajar membandingkan pengetahuan asal dengan pengetahuan baru dan

merenung kembali proses pembelajaran yang menyebabkan perubahan

kepada idea mereka. Pelajar juga boleh membuat refleksi untuk melihat

sejauh mana idea asal mereka telah berubah. Guru boleh menggunakan

kaedah penulisan kendiri, perbincangan kumpulan dan catatan peribadi

pelajar untuk meneliti tahap pemahaman pelajar.

Penggunaan Model Konstruktivisme 5 Fasa Needham ini jika diaplikasikan di

dalam P&P dapat membantu murid supaya lebih memahami sesuatu konsep

daripada menghafal. Guru juga dapat menilai pemahaman murid dengan

lebih cepat tanpa perlu bergantung kepada memberi kerja rumah kepada

mereka. Walau bagaimanapun, untuk mengaplikasikan teori ini agak sukar

untuk diguna pakai di sekolah dalam dunia pendidikan yang sebenar kerana

kekangan waktu dan guru juga perlu menghabiskan isi kandungan mata

pelajaran. (Nair & Muthia, 2005)

2.5 Simulasi

Simulasi merupakan situasi pembelajaran yang membolehkan pelajar berlatih

menggunakan kemahiran, belajar mengenai prinsip atau melaksanakan

sesuatu tindakan dalam keadaan terkawal seperti menyerupai situasi

sebenar. Kelebihan menggunakan simulasi sebagai satu teknik mengajar

dalam subjek sains antaranya ialah pembelajaran berlaku dalam keadaan

selamat dan menyeronokkan. Kedua, pelajar boleh diselia dengan rapi

supaya pembelajaran menjadi lebih berkesan, berbanding sekiranya mereka

berada dalam situasi sebenar. Walau bagaimanapun, terdapat tiga prinsip

dalam melaksanankan simulasi iaitu:

.

1. Guru perlu memilih suatu situasi berunsur masalah dan terangkan

11

Page 12: konstruktivisme dalam P&P Sains

dengan jelas

2. Tetapkan peranan-peranan berdasarkan watak-watak dan pililh

pelajar yang sesuai untuk berlakon

3. Tetapkan had masa untuk sesi simulasi.

Antara aktiviti simulasi yang dapat dilakukan ialah penggunaan internet untuk

menerangkan dan membantu murid membayangkan sesuatu konsep.

Sebagai contoh perubahan siang dan malam. Komputer dan internet dapat

membantu murid melihat dan memahamkan situasi kompleks dengan lebih

mudah. Selain itu, main peranan, permainan atau penggunaan model juga

dapat dilakukan di bawah konsep simulasi. Main peranan dapat dilakukan

dengan murid melakonkan sesuatu watak atau peranan secara spontan

berdasarkan beberapa syarat. Melalui aktiviti permainan, murid bermain untuk

mempelajari sesuatu proses atau prinsip. Model pula digunakan untuk

mewakili objek atau keadaan sebenar.

Walau bagaimanapun, dalam membuat pelbagai aktiviti ini, adalah penting

untuk guru berhati-hati dan mengambil kira factor perbezaan budaya di

kalangan murid dan menghormati perbezaan tersebut. (Brown, Collins &

Duguid, 1989). Guru perlu membantu murid untuk melihat perbezaan budaya

ini sebagai satu kekuatan bukannya sesuatu yang lain daripada rakan kelas

yang lain. Kanak-kanak akan berasa terasing sekiranya perbezaan budaya

mereka diabaikan oleh guru sewaktu P&P berlangsung.

12

Page 13: konstruktivisme dalam P&P Sains

3.0 Penutup

Perkembangan dunia teknologi yang pesat bukan sahaja mengubah budaya

dan cara hidup masyarakat kita tetapi juga telah mengubah dunia pendidikan

di Malaysia. Guru tidak lagi menggunakan teknik “chalk and talk” dalam

pengajaran tetapi telah mengubah perspektif mereka dan tanpa disedari

mereka telah pun menggunakan kaedah konstruktivisme dalam P&P mereka.

Melalui temubual yang telah dijalankan dan juga perbincangan antara ahli

kumpulan, dapat disimpulkan bahawa guru pada masa kini semakin sedar

mengenai kepentingan penerapan nilai-nilai konstruktivisme di dalam P&P

subjek Sains. Walaupun guru tidak biasa dengar mengenai istilah

konstruktivisme tetapi cara pendekatan yang digunakan mengamalkan ciri-ciri

tersebut.

Ini dapat dilihat apabila guru mengutamakan kepada pembelajaran

berpusatkan murid dan murid belajar melalui proses membuat atau beraktiviti

seperti eksperimen dan lakonan. Guru juga menggunakan pengalaman sedia

ada murid untuk menstruktur pengetahuan baru agar titik keseimbangan

dapat dicapai sewaktu sesi pembelajaran berlangsung. Ini akan memberikan

pengalaman sains dari aspek perbincangan, kemahiran saintifik dan juga

kemahiran berfikir. Pengetahuan sedia ada murid perlu diaktifkan agar

mereka dapat menghubungkan konsep yang baru dengan apa yang sudah

mereka ketahui sebelumnya.

Kesimpulannya, kanak-kanak akan lebih mudah untuk memahami subjek

Sains sekiranya mereka dilibatkan secara aktif dalam proses P&P dan guru

dapat membantu murid dengan menggunakan Model Konstruktivisme 5 Fasa

dan juga teknik-teknik yang lain yang dirasakan sesuai mengikut perbezaan

individu dalam kelas dan juga pengetahuan sedia ada murid supaya

pembelajaran bermakna dapat dicapai.

13

Page 14: konstruktivisme dalam P&P Sains

Refleksi

Pada mula penerimaan kerja kursus ini di peroleh, saya berasa sangat

susah untuk membuatnya. Hal ini kerana saya tidak dapat gambaran

bagaimana dapat saya melakukan temubual dengan guru dan teori

konstruktivisme yang sebenar kerana telah banyak teori yang telah di pelajari.

Setelah bertanya kepada beberapa orang rakan saya serta di beri

penerangan beberapa kali oleh pensyarah, barulah saya dapat

membayangkan bentuk tugasan yang di kehendaki dan bagaimana penulisan

tugasan yang akan dibuat.

Saya mulakan dengan mencari bahan-bahan yang berkaitan dengan

tajuk kertas kerja yang diberi. Saya mencari dan cuba memahamkan konsep

dan teori konstruktivisme dah aplikasinya di dalam bilik darjah. Sewaktu

menjalankan PBS, kesukaran untuk mendapatkan guru yang mempunyai

masa untuk di temu bual juga membuatkan tugasan ini semakin mencabar

kerana guru-guru di sekolah tersebut sibuk dengan aktiviti pertandingan bola

baling, choir dan sukan merentas desa. Di hari terakhir PBS, akhirnya saya

mendapat kerjasama dari Cikgu Azinawati untuk meluangkan sedikit masa

untuk di temu bual.

Setelah menyiapkan tugasan ini,saya mendapati banyak perkara yang

sangat berguna saya pelajari. Saya lebih mengetahui tentang bagaimana

aplikasi konstruktivisme di dalam bilik darjah dan sebenarnya guru secara

tidak sedar juga telah mempraktikkan teori ini dalam P&P mereka. Selain itu,

kerja kursus ini juga mengajar saya untuk sentiasa memberi komitmen yang

tinggi dan kerjasama yang padu antara ahli kumpulan agar sesuatu yang

susah menjadi senang. Segala ilmu membuat kertas kerja ini sangatlah

berguna untuk saya sebagai guru pelatih agar dapat membantu saya

mengaitkan teori pembelajaran dengan aplikasinya di dunia perguruan yang

sebenar.

Sekian,terima kasih.

14

Page 15: konstruktivisme dalam P&P Sains

Bibliografi

Arends, R. I. (1998). Learning to teach (4th ed.). Boston: McGraw Hill.

Bransford, J.D. (1979). Human cognition: learning, understanding and

remembering. Belmont, CA: Wadsworth Publishing Co.

Brown, J.S., Collins, A., Duguid, P. (1989). Situated cognition and the culture

of learning. Educational researcher (Washington, DC), vol. 18, no. 1.

Brown, A.L., et al. (1996). Distributed expertise in the classroom. In: Salomon,

G., ed. Distributed cognitions: psychological and educational considerations,

halaman 188–228.

Bond. T.E. (2001). “Giving them free rein: Connections in studentled book

groups”. Reading Teacher, 54(6), halaman 574-584.

Elizabeth Murphy. (2011, April 6). Di akses daripada

http://www.ucs.mun.ca/~emurphy/stemnet/cle3.html

Educational Practices (2011, April 6). Di akses daripada

http://www.ibe.unesco.org/publications/EducationalPracticesSeriesPdf/

prac07e.pdf

Gauvain. M. (2001). The social context of social cognitive development. New

York: Guilford Press.

Jabatan Pelajaran Negeri Kedah. (2011, April 8). Kurikulum Standard Sekolah

Rendah Diakses daripada http://akademik.kedah.edu.my/index.php?

option=com_content&view=article&id=111:kssr&catid=1:latest-news

Model Konstruktivisme 5 Fasa. (2011, April 8) Diakses daripada

http://www.teachersrock.net/konstruktivisme.htm

Noriati A. Rasid, Boon Pong Ying dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009).

Siri Pendidikan Guru: Murid dan Alam Belajar. Selangor: Oxford Fajar Sdn.

Bhd.

15

Page 16: konstruktivisme dalam P&P Sains

Saunders, W. L. (1992). The constructivist perspective: Implications and

teaching strategies for science. School Science and Mathematics, 92(3), 136-

141.

Sharifah Alwiah Alsagoff. (1987). Psikologi Pendidikan 1: Konsep-konsep

asas psikologi, psikologi pendidikan dan perkembangan. Kuala Lumpur:

Heinemann (Malaysia).

Stella Vosniadou (2011, April 8). International Academy of Educatation: How

Children Learn. Diakses daripada

http://unesdoc.unesco.org/images/0012/001254/125456e.pdf

Subadrah Nair, Malar a/p Muthiah. Jurnal Pendidik dan Pendidikan, Jil. 20,

21–41, 2005

16

Page 17: konstruktivisme dalam P&P Sains

LAMPIRAN

17

Page 18: konstruktivisme dalam P&P Sains

xq

18