LAPORAN
description
Transcript of LAPORAN
LAPORAN
Program Gotong Royong Sekolah Kebangsaan Khir Johari telah diadakan pada
hari Sabtu bersamaan 25 April 2015 bermula dari jam 8.30 pagi hingga10.30 pagi.
Program ini telah dipengerusikan oleh En. Helmi Bin Mohamad (Guru Besar) dan
dibantu oleh ahli jawatankuasa yang telah dilantik bagi menguruskan program ini.
Seramai 55 orang guru, 2 orang pembantu pengurusan murid, 5 orang pekerja
kontrak pembersihan kawasan serta semua murid telah hadir menyertai gotong-royong
pada hari tersebut.
Bagi memastikan program ini berjalan dengan lancar, pengisian program telah
disusun seperti berikut.
MASA AKTIVITI
8.30 pg Berkumpul di hadapan bilik guru
8.45 pg Bergerak ke kelas masing-masing
9.30 pg Rehat
9.45 pg Aktiviti gotong royong disambung semula
10.30 pg Bersurai
Kawasan yang menjadi tumpuan utama dalam program ini ialah setiap kelas iaitu
bangunan utama sekolah. Segala peralatan bagi menjalankan program ini telah
disediakan oleh pihak sekolah. Perbelanjaan bagi membeli bahan dan alatan adalah
mengikut permintaan bagi setiap kumpulan. Sebanyak RM 500.00 telah digunakan bagi
menjayakan program ini. Sumber kewangan diambil dari derma PIBG.
Perbezaan yang amat ketara dapat dilihat ialah memasang langsir pada setiap
kelas. Warna langsir yang dipasang di setiap kelas mengikut warna tema sekolah iaitu
warna hijau dan coraknya adalah seragam bagi setiap kelas. Kelas jugak diperbaiki cat-
cat dindingnya.
Kumpulan yang membersihkan kelas pula bekerjasama mengasingkan barang-
barang yang tidak boleh digunapakai. Manakala, barang-barang yang masih boleh
digunakan diletakkan di tempat yang sepatutnya. Mereka bertungkus-lumus mengemas
dan membersihkan segala kekotoran yang terdapat pada kelas masing-masing.
Sambutan gotong-royong di Sekolah Kebangsaan Khir Johari amatlah
membanggakan dan diharap penyertaan ibu bapa pada masa yang akan datang dapat
dipertingkatkan lagi. Pihak penganjur bersyukur kerana program ini berjalan dengan
lancar. Sokongan dan gandingan tenaga serta semangat kerjasama daripada semua
pihak serta komitmen sepenuhnya terhadap segala perancangan yang telah dibuat
dapat mencapai objektifnya. Diharap agar aktiviti yang berfaedah seperti ini akan
diadakan lagi pada masa akan datang. Pihak sekolah merakamkan jutaan terima kasih
kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi
menjayakan aktiviti gotong-royong tersebut.