Laporan Isu

46
ISU-ISU PENDIDIKAN DI MALAYSIA GGGC6033 SEMSESTER 1 SESI 2014/2015 TUGASAN KUMPULAN: LAPORAN MELAHIRKAN RAKYAT MALAYSIA DENGAN PENGHAYATAN NILAI (ANJAKAN KETIGA) NAMA AHLI KUMPULAN: Ezza Liyana Bt Badrul Hisham (P76216) Fathiah Bt Mohd Tahir (P76323) Mohammad Riezazzl Bin Ramli (P76394) Muhammad Syawal Bin Amran (P78096) Normaya Bt Mohd Zamri (P72626)

description

,

Transcript of Laporan Isu

ISU-ISU PENDIDIKAN DI MALAYSIAGGGC6033SEMSESTER 1 SESI 2014/2015

TUGASAN KUMPULAN: LAPORAN MELAHIRKAN RAKYAT MALAYSIA DENGAN PENGHAYATAN NILAI (ANJAKAN KETIGA)

NAMA AHLI KUMPULAN:Ezza Liyana Bt Badrul Hisham (P76216)Fathiah Bt Mohd Tahir (P76323)Mohammad Riezazzl Bin Ramli (P76394)Muhammad Syawal Bin Amran (P78096)Normaya Bt Mohd Zamri (P72626)

NAMA PENSYARAH:Dr Mohamed Yusoff Bin Mohd Nor

ISI KANDUNGANBILPERKARA

1.1.0 PENGENALAN

2.2.0 TEORI2.1 Teori Sosio-budaya Vygotsky2.2 Teori Pembelajaran Sosial Bandura

3.3.0 ELEMEN 1

4.4.0 ELEMEN 2

5.5.0 ELEMEN 3

6.6.0 ELEMEN 4

77.0 RUMUSAN

88.0 RUJUKAN

1.0 Pengenalan

Sejak akhir- akhir ini, pelbagai masalah salah laku pelajar dilaporkan sama ada di sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Pelbagai masalah disiplin boleh dilihat dan dibaca melalui media massa mahupun media elektronik. Perkara ini amat membimbangkan serta merisaukan pelbagai pihak. Ini kerana para pelajar sudah mula berjinak dengan salah laku yang melibatkan jenayah yang berat. Mengikut laporan Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2003, terdapat kira-kira 76 300 pelajar yang terlibat dalam masalah disiplin contohnya aktiviti kongsi gelap, lumba motosikal haram, peras ugut, rogol, mencuri dan membunuh (Sarjit Singh Gill, 2004). Bukan itu sahaja, menurut Haslina Hassan (2000), Laporan Gangsterisme di Sekolah Menengah Harian yang didedahkan oleh Kementerian Pendidikan menyatakan bahawa pelajar terlibat dalam pelbagai kes yang membimbangkan seperti dadah, minuman keras, senjata api, serta membuli. Masalah yang melibatkan para pelajar ini secara tidak langsung telah mengheret institusi pendidikan, para guru dan pendidik. Pihak sekolah dan guru terutamanya turut dipersalahkan malah diminta bertanggungjawab di atas salah laku para pelajar. Malah pihak sekolah turut dipersoalkan adakah pihak sekolah dan sistem pendidikan negara kita hanya menekankan kecemerlangan akademik semata-mata tetapi kecemerlangan akhlak dan sahsiah dipandang enteng sahaja. Kesemua ini menimbulkan persoalan mengapa berlaku masalah disiplin yang semakin meruncing. Adakah masih tidak memadai pembelajaran agama dan moral di sekolah dan adakah perlu dipanjangkan waktu pembelajaran agama dan moral di sekolah. Menurut Ahmad Khamis (1999), masalah disiplin yang tidak terkawal ini menimbulkan persoalan samada nilai-nilai murni yang disemai serta dipelihara oleh adab dan budaya sesuatu bangsa sudah terhakis akibat kemodenan.

Pendekatan nilai merentasi kurikulum di sekolah menjadi satu kepentingan dalam pendidikan masa kini supaya nilai-nilai murni dapat menjadi pegangan yang kukuh setiap pelajar. Nilai-nilai yang dipupuk merentasi kurikulum akan dapat membentuk generasi belia yang lebih bertanggungjawab serta menjunjung nilai kerohanian dan kemanusiaan sebagai asas kehidupan. Penghayatan nilainilai murni ini perlu dipupuk kerana ianya menjamin kesejahteraan dan kedamaian masyarakat dan negara. Masyarakat yang bernilai murni menjamin kehidupan yang sejahtera dan harmoni.1.1 Definisi Penghayatan Nilai

Dewan Bahasa dan Pustaka (1994), menjelaskan bahawa hayat bermaksud hidup iaitu dari segi makna yang lain, menghayati bermaksud mangalami dan merasai. Menurut Azma Mahmood (2006), sekiranya sesuatu pelakuan dilaksanakan namun tidak meninggalkan kesan kepada jiwa maka ianya belum lagi dihayati. Ianya merupakan satu bentuk pengukuran yang mana penghayatan nilai atau kepercayaan tertentu tertanam dalam diri seseorang dan berkait dengan prinsip dan pegangan seseorang. Aspek nilai terdiri dari pelbagai elemen iaitu kerohanian, tanggungjawab sivik dan integriti. Kerohanian bermaksud mempunyai pegangan agama yang kuat dan mengamalkannya sebagai asas hidup serta mendukung standard moral yang tinggi. Manakala tanggungjawab sivik pula didefinisikan sebagai berani dan tahu bertindak untuk kebaikan negara, mengambil berat terhadap orang lain dan alam sekitar serta mampu memberi sumbangan kepada masyarakat. Integriti pula menekankan agar generasi yang terbentuk mempunyai keberanian, disiplin dan semangat untuk melakukan perkara yang betul. Penghayatan nilai-nilai murni boleh menjadi benteng kepada amalan-amalan buruk seperti penyelewengan, kejahilan, kecuaian dan kezaliman. Antara akhlak mulia dan nilai murni yang baik yang dianjurkan untuk dihayati oleh insan ialah malu, bersangka baik, benar, sabar, menjaga pandangan dan percakapan dan sebagainya. Penghayatan nilai boleh dididik melalui disiplin, pengajaran, contoh atau model, pengukuhan sosial dengan tingkah laku yang sesuai dan persekitaran yang sesuai yang boleh membentuk tingkah laku. Pelajar perlu digalakkan mencontohi dan mengamalkan nilai-nilai yang baik sebagai satu penghayatan keterampilan diri dan kualiti warganegara yang baik serta prihatin terhadap soal-soal kehidupan dan pembinaan diri (Abd. Rahim Abd. Rashid, 2001).

1.2 Penghayatan Nilai dalam Pendidikan

Penghayatan nilai-nilai murni ini berperanan membentuk kehalusan jiwa dan melahirkan peribadi pelajar yang lebih berdisiplin dan seimbang. Ali Bin Suradin, Eni Eryani Yusoff (2005) menyatakan bahawa nilai-nilai murni merupakan nilai yang dapat membentuk peribadi yang terpuji, akan memberi kesan terhadap pemikiran pelajar. Aspek penting yang jelas dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah pembentukan insan yang berakhlak mulia. Ini membuktikan pentingnya penghayatan nilai kerana nilai murni itu akan membentuk keperibadian seseorang manusia. Pendidikan dan penerapan nilai tidak boleh dipisahkan dan sesuatu pendidikan seakan tidak lengkap andai tiada penerapan nilai murni. Nilai- nilai murni akan membentuk cara seseorang individu itu bertingkah laku, berfikir dan bertindak sehingga menjadi asas dalam kebudayaan atau norma sesebuah masyarakat. Penekanan kepada penghayatan nilai dalam sistem pendidikan dipandang serius dalam pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah ( KBSR) pada tahun 1983 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. Ini jelas membuktikan penerapan nilai murni dalam pengajaran menjadi agenda penting dalam sistem pendidikan negara. Secara tidak lansung, pelajar yang menjunjung nilai murni ini mampu menghadapi cabaran semasa dan juga cabaran masa depan. Cita-cita ini akan tercapai sekiranya mereka menghayati nilai-nilai dan ianya membentuk peribadi dan sahsiah diri yang utuh, kental dan padu.

1.3 Strategi Penerapan dan Penghayatan NilaiTidak dinafikan selama ini nilai nilai telah diterapkan di kalangan para pelajar melalui mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidkan Moral. Penerapan sistem nilai-nilai murni telah diserap sejak di bangku sekolah lagi dan kemudian diajar melalui institusi pengajian tinggi. Namun begitu nilai-nilai murni ini akan lebih kukuh dan berkesan andai para pendidik dapat menerapkannya melalui setiap mata pelajaran yang di ajar. Berbanding penerapan hanya dilaksanakan melalui pengkhususan dua subjek tersebut iaitu Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral maka keberkesanannya adalah terbatas dan kurang di kalangan para pelajar. Pendidikan Moral contohnya dikhaskan kepada para pelajar yang bukan beragama Islam, pendidikan ini bertujuan memupuk keteguhan rohani dan moral pelajar melalui penghayatan nilai murni dan sikap menghormati. Manakala bagi Pendidikan Islam pula, para pelajar Islam diberi pengukuhan akidah, pemahaman dan amalan ibadah dalam kehidupan seharian serta pemantapan akhlak. Maka, adalah lebih berkesan andai segala bentuk pengajaran dan pembelajaran berkaitan nilai murni digerakkan atau diterapkan sentiasa. Penerapan nilai nilai ini sentiasalah dilakukan merentasi kurikulum dan semua pendidik berperanan melaksanakannya. Pelbagai cara boleh dilakukan dalam menerapkan nilai murni ini, bukan hanya boleh dipraktikkan di dalam kelas namun kegiatan luar kelas juga contohnya, aktiviti ko kurikulum, aktiviti sukan, dan sebagainya. Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (2005), nilai-nilai murni dapat dipupuk secara formal dan tidak formal. Masyarakat dan anggota keluarga memainkan peranan penting dalam pemupukan nilai dan sahsiah individu yang positif secara tidak formal. Walaubagaimanapun, pemupukan nilai ini akan lebih terarah jika disampaikan melalui sistem pendidikan formal yang jelas struktumya. Setiap strategi penerapan nilai-nilai murni yang dilaksanakan oleh pihak sekolah meningkatkan tahap penghayatan nilai-nilai murni dalam diri pelajar dan seterusnya dapat membentuk disiplin dalam diri agar tidak melakukan sebarang kesalahan yang bertentangan dengan nilai-nilai.

Sehubungan itu, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah menjadikan penghayatan nilai sebagai agenda utama pendidikan melalui anjakan ketiga yang ditekankan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025). Penghayatan nilai ini disuntik secara jelas merentasi kurikulum dan dimantapkan dalam matapelajaran Pendidikan Islam,Moral dan Pendidkan Sivik serta melalui Ko-kurikulum seperti program Rimup dan program IMurid 1 Sukan.

2.0 TEORIPada bahahagian ini, akan diceritakan mengenai beberapa teori yang boleh dijadikan panduan dalam menerapkan penghayatan nilai dalam diri masyarakat seperti teori sosio-budaya Vygotsky dan teori pembelajaran sosial Bandura.

2.1 Teori Sosio-Budaya VygotskyTeori sosio-budaya Vygotsky merupakan sebuah teori yang menunjukkan kepentingan perkaitan antara sosial dan budaya. Menurut Raghbir Kaur (2012), walaupun Vygotsky bersetuju dengan Piaget bahawa perkembangan kognitif berlaku secara berperingkat, beliau juga berpendapat bahawa interaksi sosial kanak-kanak amat mempengaruhi perkembangan kognitif mereka. Perkara ini menunjukkan bahawa tanpa interaksi yang meluas kanak-kanak tidak akan dapat memperkembangkan pemikiran kognitif mereka. Mereka mungkin akan hanya mengetahui tentang perkara asas sahaja tetapi tidak dapat mengaitkan pengetahuan asas tersebut dengan penerimaan pengetahuan yang baru. Dalam perkataan lain, boleh dikatakan bahawa keinsafan dan kesedaran serta kefahaman individu terhasil daripada pergaulan sosial dan tingkah laku sosial mereka.Dalam teori Vygotsky, beliau menyatakan bahawa bahasa tutur dan pengaruh orang lain dalam dunia sosial kana-kanak merupakan pengaruh penting dalam perkembangan kognitif mereka. Kanak-kanak akan mula berinteraksi dengan ahli keluarga terlebih dahulu sebelum mereka bergaul dengan masyarakat kerana ibu bapa adalah orang pertama yang memberi mereka maklumat bahasa pertuturan dan cara berinteraksi. Oleh yang demikian, ibu bapa perlu sentiasa berinteraksi dengan kanak-kanak sejak dari awal lagi supaya perkembangan mereka dapat dibentuk daripada peringkat awal. Vygotsky menyatakan orang dewasa dan rakan sebaya menyalurkan mental tools kepada kanak-kanak semasa interaksi. Vygotsky telah memerhati dan mengkaji peranan budaya dan komunikasi interpersonal terhadap perkembangan kognitif kanak-kanak. Beliau berpendapat bahawa perkembangan pembelajaran berlaku dalam konteks sosial iaitu melalui persekitaran dunia kanak-kanak yang dikelilingi oleh orang dewasa yang berinteraksi dengan mereka sejak mereka dilahirkan. Menurut Ragbir Kaur (2012), melalui interaksi dengan orang dewasa di sekeliling mereka, kanak-kanak akan dapat menguasai tabiat dan peraturan budaya, gaya bahasa, penulisan serta simbol-simbol budaya. Interaksi ini mendorong perkembangan kognitif mereka dengan memberi makna membina atau konstruk pengetahuan. Perkara ini dapat dijelaskan apabila kanak-kanak banyak berinteraksi dengan orang sekeliling mereka, mereka akan dapat mengenali budaya mereka secara mendalam. Sebagai contoh, kanak-kanak kaum Melayu mendapat pengetahuan tentang gaya makan budaya Melayu dengan menggunakan tangan kerana mereka telah meniru perlakuan tersebut daripada ahli keluarga mereka manakala bagi kaum Cina pula, mereka menggunakan penyepit sejak mereka lahir kerana mereka memerhatikan keadaan tersebut daripada keluarga mereka. Hasilnya, wujudlah beberapa tradisi daripada pelbagai kaum dan setiap kaum dapat menghormati perbezaan budaya ini dan menerimanya sebagai norma hidup dalam masyarakat berbilang kaum. Selain itu, Vygotsky juga menekankan peranan orang dewasa dan kanak-kanak dalam perkembangan seseorang individu kerana kanak-kanak lahir dengan kemampuan untuk memahami dunia luar dan memusatkan perhatian mereka terhadap sesuatu perkara. Namun demikian, mereka tidak banyak memiliki fungsi mental yang bertahap tinggi seperti kemahiran berfikir aras tinggi dan kemahiran menyelesaikan masalah. Fungsi-fungsi mental yang lebih tinggi ini dianggap sebagai alat-alat kebudayaan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak menerusi aktiviti seperti berbicara, berbahasa dan menulis. Alat-alat kebudayaan ini diwarisi daripada ahli-ahli keluarga yang lebih tua yang mana semua pengalaman pembelajaran dibimbing. Pengalaman bersama dengan orang lain yang diperoleh melalui aktiviti-aktiviti ini semakin lama menjadi semakin mendalam dan memberi gambaran kepada kanak-kanak mengenai dunia. Sebagai contoh, masyarakat Melayu amat mementingkan keharmonian kekeluargaan, sikap saling menolong dan saling menghormati antara satu sama lain. Apabila sejak daripada kecil sudah didedahkan dengan unsur-unsur sebegini, kanak-kanak akan menerapkan nilai yang dimuridi mereka sejak daripada kecil ke dalam budaya ataupun akan menjadi suatu kebiasaan bagi mereka. Secara rumusannya, pendekatan sosio-budaya ialah hasil gabungan antara pendekatan behaviorisme dan pendekatan kognitivisme. Oleh itu, pendekatan ini mengambil kira penekanan ahli behaviorisme ke atas kesan atau hasil sesuatu tingkah laku dan minat ahli kognitivisme ke atas impak hasil daripada kepercayaan serta harapan murid itu. Pendekatan ini menekankan penglibatan manusia dalam aktiviti bertingkah laku agar dapat mengekalkan identiti dan hubungan interpersonal dalam suatu masyarakat.

2.2 Teori Pembelajaran Sosial BanduraTeori pembelajaran ini dikemukakan oleh Bandura yang memberi penekanan mengenai bagaimana sesuatu perilaku itu dipengaruhi oleh persekitaran melalui peneguhan dan pemerhatian, cara memandang dan cara berfikir yang kita miliki terhadap sesuatu maklumat dan juga sebaliknya iaitu bagaimana tingkah laku kita mempengaruhi persekitaran dan menghasilkan peneguhan dan peluang untuk diperhatikan oleh orang lain. Menurut Bandura, proses mengamati dan meniru perlakuan dan sikap orang lain sebagai model merupakan tindakan belajar. Beliau telah mengemukakan empat unsur utama dalam proses pembelajaran melalui pemerhatian atau pemodelan iaitu pemerhatian, mengingat, reproduksi dan peneguhan atau motivasi.Jikia kita ingin belajar melalui pemerhatian, kita haruslah menumpukan perhatian terhadap perkara atau subjek yang diperhati. Pada kebiasaannya kita akan memberi perhatian kepada orang yang menarik, popular atau disanjungi namun bagi kanak-kanak, mereka akan menjadikan ahli keluarga terdekat mereka sebagai model dan remaja pula seringkali menjadikan rakan sebaya mereka yang terkenal dan berpengaruh sebagai model. Melalui pemerhatian, seharusnya seseorang itu berupaya melakukan semula tingkah laku yang ditirunya. Apabila seseorang tahu bagaimana sesuatu tingkah laku ditunjukkan dan mengingatinya, seseorang itu memerlukan latihan yang banyak dan bimbingan sebelum menghasilkan tingkah laku model tersebut. Kemudian setelah memperoleh kemahiran atau tingkah laku baharu melalui pemerhatian, seseorang itu memerlukan pula suatu bentuk motivasi untuk melakukannya. Secara kesimpulannya, teori ini menekankan peranan persekitaran dalam pembentukan peribadi manusia. Menurut teori ini, masyarakat yang mendefinisikan tugas dan peranan remaja serta norma-norma yang berkaitan dengan tingkah laku. Manusia pula akan membentuk perasaan, nilai dan tingkah laku melalui pemerhatian terhadap apa yang dilakukan oleh ahli masyarakatnya. Oleh itu, kebanyakan tingkah laku remaja adalah mengikut kehendak ibu bapa dan masyarakat. Tingkah laku yang sumbang adalah akibat daripada pengasuhan dan proses sosialisasi yang kurang sempurna. Perubahan-perubahan dalam masyarakat seterusnya menghasilkan perubahan dalam persepsi terhadap masyarakat. Berasaskan pembelajaran remaja melalui peniruan ini, maka remaja akan mengalami masalah-masalah sosial di mana mereka terjebak dengan unsur-unsur peniruan yang negatif seperti merokok, mengambil dadah dan sebagainya. Bruner (1960) menyatakan bahawa dalam keadaan normal, manusia mampu belajar dengan cara menemui sendiri pertalian di antara pelbagai rangsangan yang terdapat pada alam sekeliling. Menurut beliau, proses pengajaran yang menggunakan kaedah ini dapat menggalakkan murid mencapai celik akal dengan menggunakan pemikiran mereka sendiri.

3.0 ELEMEN 1 Memperkukuh Pendidikan Sivik dengan Menjadikan Perkhidmatan Komuniti Sebagai Prasyarat Untuk Tamat Persekolahan Menjelang 2017

3.1 PengenalanMenurut definisi kamus Dewan Edisi Keempat, Sivik ialah ilmu tatarakyat iaitu ilmu yang mendidik rakyat mengenai ilmu kerakyatan. Kementerian Pelajaran Malaysia pula telah menggariskan keperluan Pendidikan Sivik untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengenai peranan, hak dan tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara untuk melahirkan masyarakat dan warganegara yang bersatu padu dan patriotik demi mencapai kesejahteraan masyarakat, negara dan dunia. Mata pelajaran Sivik telah diperkenalkan di sekolah-sekolah di Malaysia pada tahun 1954 susulan daripada cadangan Laporan Pelajaran Tahun 1952. Ia diadakan sebagai satu cabang pengetahuan untuk memberi latihan kewarganegaraan kepada murid-murid sekolah oleh pihak British, kerana merasakan perlunya suatu pengajaran formal dalam kalangan murid yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Berikutan dengan keperluan ini, bekas Perdana Menteri yang kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein telah menubuhkan Jawatankuasa Pelajaran dan mengesyorkan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan dan laporan ini dikenali sebagai Penyata Razak 1956. Salah satu tujuan yang termaktub dalam penyata ini ialah untuk mengeratkan perpaduan antara kaum sebagai satu rumpun bangsa di Tanah Melayu (Sufean Hussin, 1996). Namun, mengikut peredaran dan kesesuaian zaman, pendidikan Sivik ini telah dirombak semula dan pada tahun 2005 mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) telah diperkenalkan semula dan mula diajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah secara berperingkat. Jika dahulu pendidikan Sivik hanya tertumpu kepada struktur dan jenis kerajaan tetapi kini, mata pelajaran ini memberi tumpuan kepada keadaan semasa masyarakat serta keperluan masa depannya. Berdasarkan keadaan semasa yang melanda golongan remaja, kurikulum mata pelajaran PSK memberi tumpuan utama pada isu perpaduan, patriotisme dan pemahaman kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia. Melalui kurikulum ini, ianya diharapkan dapat melahirkan individu yang bersemangat patriotik, boleh bekerjasama dengan orang lain, mengapresiasi kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia, menyelesaikan konflik tanpa menggunakan keganasan, menyayangi alam sekitar dan menyumbang ke arah pembangunan negara (Huraian Sukatan Pelajaran PSK, 2005).PSK merupakan mata pelajaran yang memainkan peranan penting dalam melahirkan murid yang dapat menunjukkan perasaan bangga dan cinta akan negara. Mata pelajaran ini memberi tumpuan kepada perkembangan diri, hubungan dengan orang lain dan interaksi dengan persekitaran. Kandungan mata elajaran ini membolehkan murid memperoleh pengetahuan, kemahiran dan nilai sivik bagi menghadapi cabaran masa hadapan. Subjek ini menekankan empat prinsip pendidikan yang penting iaitu belajar untuk mengetahui, bertindak, hidup bersama dan membentuk peribadi. Belajar untuk mengetahui membolehkan murid menguasai ilmu bagi membina perasaan dan tingkah laku sivik, belajar untuk bertindak pula merujuk kepada aplikasi pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan harian murid yang dikembangkan menerusi aktiviti di dalam dan di luar bilik darjah. Belajar untuk membentuk peribadi pula membolehkan murid berkembang secara menyeluruh dari segi rohani, intelek, fizikal, emosi dan sosial. Prinsip belajar untuk hidup bersama pula merupakan asas dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Melalui prinsip ini, perpaduan dalam keluarga komuniti dan masyarakat pelbagai kaum dapat dipupuk.Kerajaan telah melakukan beberapa peringkat transformasi pendidikan bagi menyesuaikan rakyatnya ke arah pembelajaran abad 21. Jadi dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2015), kerajaan telah melaksanakan beberapa perubahan untuk memperkukuh pendidikan Sivik dengan menjadikan perkhidmatan komuniti sebagai prasyarat untuk tamat persekolahan menjelang tahun 2017. Khidmat masyarakat merupakan komponen penting dalam kurikulum PSK yang mana aktiviti ini dijalankan di luar jadual waktu persekolahan selama 10 jam setahun dan ianya haruslah berkait rapat dengan pembelajaran akademik di dalam bilik darjah. Tujuan utama bagi pelaksanaan khdmat masyarakat ini adalah untuk membina individu yang bersedia untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

3.2 Isu-Isu Dan Implikasi3.2.1 Kelemahan Pelaksanaan Mata Pelajaran Sivik di SekolahSeperti yang kita semua tahu, PSK merupakan salah satu bidang ilmu yang penting untuk membentuk sahsiah dan jati diri setiap orang murid. Melalui pengetahuan, kemahiran serta nilai-nilai sivik yang diajar dalam mata pelajaran ini, adalah diharapkan murid-murid akan menjadi warganegara yang sihat sahsiah dan tingkah lakunya. Namun disebabkan mata pelajaran ini bukanlah subjek yang terlibat dengan peperiksaan awam, ia dipandang ringan oleh guru-guru dan juga murid. Sehinggakan apa yang dapat dilihat di kebanyakan sekolah, masalah utama mengenai pelaksanaan mata pelajaran ini ialah ia masih lagi dipandang sambil lewa oleh pelbagai pihak terutamanya guru. Seringkali senario yang kita lihat di sekolah-sekolah bahawa masa pengajaran PSK ini sering disalahgunakan sama ada ianya digunakan untuk mata pelajaran lain ataupun dijadikan sebagai masa rehat. Selain itu, mata pelajaran ini juga diagihkan kepada guru-guru sekadar untuk mencukupkan bilangan masa mengajar seminggu supaya seimbang dengan guru yang lain. Malah, tidak menjadi perkara yang pelik dan aneh apabila didapati mata pelajaran ini diajar oleh guru besar atau penolong kanan kerana mereka beranggapan mata pelajaran PSK adalah mata pelajaran yang mudah dan tidak merugikan murid-murid sekiranya guru besar atau penolong kanan tidak dapat masuk ke kelas disebabkan kesibukan masa dengan tugas-tugas pentadbiran. Perkara ini turut disokong oleh Maizura Yasin (2010), bahawa terdapat guru yang tidak menggunakan masa yang dikhaskan untuk mengajar mata pelajaran tersebut. Sebaliknya masa tersebut digunakan untuk menghabiskan atau mengulang kaji mata pelajaran yang lebih penting atau digunakan sebagai waktu bebas. Jika keadaan ini berlaku hampir di setiap sekolah di Malaysia, bagaimanakah penerapan nilai sivik itu akan dapat diterapkan dalam kalangan murid di sekolah? Ketidaktelusan pihak pentadbir dan guru-guru dalam melaksanakan pengajaran mata pelajaran PSK ini memberi impak yang besar kepada masyarakat dalam jangka masa yang panjang. Mungkin pada masa kini kita berasa selesa dengan keamanan dan perpaduan yang dikecapi serta tidak nampak kepentingan pelaksanaan mata pelajaran ini. Namun haruslah diingat bahawa kewujudan mata pelajaran PSK ini sebenarnya mendukung cita-cita negara yang besar dalam memupuk semangat patriotisme dan memasukkan nilai-nilai sivik ke dalam diri setiap rakyat Malaysia dan kerajaan juga sedar sebenarnya pemupukan nilai ini haruslah bermula daripada peringkat bawah iaitu sejak daripada kecil lagi. Ini adalah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jadi, jika nilai-nilai sivik ini tidak berjaya diterapkan sejak daripada kecil, dikhuatiri negara akan melahirkan masyarakat yang kurang patriotik pada masa hadapan dan akan mengganggu keharmonian perpaduan. 3.3 Rumusan- Cabaran dan PendekatanSecara kesimpulannya, pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan dalam menaik taraf pendidikan di Malaysia termasuklah dengan memasukkan khidmat masyarakat sebagai prasyarat untuk lulus peperiksaan menjelang tahun 2017. Namun, pengukuran nilai adalah sesuatu yang abstrak, sukar untuk dinilai dengan hanya menjalani peperiksaan di atas kertas. Jadi program khidmat masyarakat diharapkan dapat memberi kesedaran secara langsung terhadap peranan mereka dalam masyarakat seterusnya menyumbangkan tenaga mereka kepada sesuatu komuniti. Pada 17 November yang lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching telah mengeluarkan suatu kenyataan baharu bahawa PSK yang merupakan mata pelajaran teras tidak akan diajar sebagai mata pelajaran khusus dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Sebaliknya, nilai sivik ini akan diterapkan dalam mata pelajaran Moral, Sejarah dan Pendidikan Islam (Sinar Harian, 2014). Perkara ini adalah wajar kerana jika kita lihat, walaupun kita mempunyai suatu mata pelajaran PSK yang diadakan semata-mata untuk mengajar dan menerapkan nilai-nilai kepada masyarakat, namun ianya masih tidak nampak keberkesanannya. Saban hari, masih terdapat lagi kes-kes masalah sosial dan jenayah yang terpampang di dada-dada akhbar seolah-olah pengajaran PSK tidak berkesan. Jadi, pihak kementerian telah mencadangkan penerapan nilai sivik ini ke dalam tiga subjek berkaitan ini bagi memperkasakan lagi subjek PSK di semua sekolah menengah bagi memupuk semangat patriotisme.

5.0 ELEMEN 3Membangunkan Murid Secara Holistik Dengan Mengukuhkan Keperluan Penyertaan Murid Dalam 1 Sukan, 1 Kelab Dan 1 Badan Beruniform.

5.1 PengenalanKementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melancarkan Dasar 1Murid 1Sukan pada 9 Jun 2011, yang menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan murid seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata dasar itu mewajibkan semua murid yang tidak mengalami masalah kesihatan memilih satu jenis sukan yang ditawarkan oleh pihak sekolah atau dijalankan dengan persetujuan sekolah. Selain itu, KPM juga telah menggariskan beberapa perkara bagi memantapkan pelaksanaan dasar ini iaitu pihak sekolah perlu membuat perancangan sistematik, memaksimumkan penggunaan kemudahan, peralatan dan kepakaran sedia ada, mewujudkan kerjasama dengan agensi berkaitan sukan dan memastikan aktiviti sukan dijalankan sepanjang tahun. Dasar 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada tahun 2011 banyak mendatangkan manfaat kepada murid. Dasar ini penting untuk program pembangunan sukan di sekolah-sekolah dan ianya dikatakan berupaya untuk meningkatkan kadar penglibatan dan penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan atau permainan di sekolah. Oleh itu, pelbagai manfaat dasar tersebut akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam perbincangan seterusnya.Antara manfaat dasar 1Murid 1Sukan ini ialah murid-murid dapat mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah. Hal ini demikian kerana murid-murid yang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah dan terlibat dalam gejala negatif. Sebagai contohnya, murid-murid dapat menyertai aktiviti sukan atau permainan seperti bola sepak, badminton, sepak takraw, bola tampar, bola keranjang, dan sebagainya. Jadi, dengan mengikuti program ini, murid-murid dapat menggunakan masa dengan berkualiti dan dapat mengelakkan diri daripada aktiviti yang kurang sihat.Selain daripada itu, dasar ini juga membolehkan guru-guru mencungkil bakat murid dalam bidang sukan atau permainan. Melalui sukan yang disertai oleh murid, bakat mereka dapat disuburkan dengan bimbingan dan latihan daripada guru kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Murid yang telah dilatih itu boleh mewakili sekolah sebagai pemain bola sepak, hoki, badminton, squash, boling, olahraga, dan sebagainya. Murid-murid dapat membuktikan bakat dan potensi mereka itu dan berlatih dengan gigih untuk mencapai kemenangan. Perkara itu membuktikan bahawa dasar ini dapat mengembangkan bakat murid-murid dalam sukan atau permainan yang diminati oleh mereka.Selain itu, program ini dapat mewujudkan budaya yang mementingkan kesihatan dalam kalangan murid sekolah. Perkara ini penting kerana murid yang aktif dalam aktiviti sukan akan menyebabkan badan mereka sihat dan cergas. Apabila badan mereka sihat, otak mereka akan cerdas dan murid-murid akan mudah untuk menerima ilmu dan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Dengan perkataan lain, murid-murid yang sihat dan cerdas ini akan dapat menjawab soalan dengan cemerlang. Hal ini membuktikan bahawa melalui program ini, murid akan sihat dan cergas serta mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.Seterusnya, dasar ini berupaya untuk menggalakkan penyertaan setiap murid dalam aktiviti sukan atau permainan. Hal ini demikian kerana setiap murid berpeluang untuk melibatkan diri dalam bidang permainan atau sukan yang diminati oleh mereka. Selain itu, perkara ini menunjukkan bahawa tidak ada murid yang diabaikan atau dipinggirkan daripada penglibatan diri dalam permainan atau sukan yang diminatinya. Jadi, dengan cara itu pihak sekolah berupaya untuk melibatkan semua murid dalam aktiviti sukan atau permainan. Oleh itu, jelaslah bahawa dasar ini dapat menggalakkan penyertaan dan penglibatan murid-murid dalam aktiviti sukan atau permainan yang diminati oleh mereka.Melalui dasar ini, usaha untuk memupuk semangat kesukanan dan perpaduan kaum dalam kalangan murid akan menjadi realiti. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan atau permainan tertentu, murid-murid akan menghayati semangat kesukanan ketika melibatkan diri dalam sesuatu permainan atau sukan. Sebagai contohnya, murid-murid turut berpeluang untuk bergaul dengan murid yang berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan dalam sesuatu permainan atau sukan. Perkara ini membolehkan murid-murid berinteraksi dengan lebih erat dengan rakan-rakan sepasukan yang terdiri daripada berbagai-bagai kaum. Justeru, dasar tersebut dapat membentuk murid yang menghayati semangat kesukanan dan perpaduan kaum di negara ini.Jelaslah di sini bahawa dasar 1Murid 1Sukan ini merupakan satu tranformasi baharu yang banyak manfaatnya dalam sistem pendidikan di negara kita. Oleh itu, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat perlu memahami dan menyokong usaha murni ini. Sekiranya usaha ini tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak, sudah tentu hasrat murni tersebut tidak akan tercapai. Jadi, semua pihak perlu bekerjasama untuk merealisasikan perkara ini, ibarat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Dengan usaha yang bersepadu itu, kita berharap agar murid-murid lebih aktif dan bersemangat dalam bidang sukan demi kemajuan dan kecemerlangan sukan negara.

5.2 Isu-Isu, Implikasi, Cabaran, PenyelesaianPelaksanaan dasar 1 Murid 1 Sukan melibatkan semua murid sekolah rendah dan menengah. Melaluinya prasarana sukan di setiap sekolah akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa . Ia tidak memfokuskan kepada sukan semata-mata, tetapi meliputi sukan lain juga. Penglibatan mereka merangkumi semua aktiviti sukan termasuklah melalui pendidikan jasmani, acara sukan tahunan sekolah atau pertandingan sukan antara sekolah. Sebelum ini, Menteri Pelajaran telah menyatakan bahawa ibu bapa akan melihat pelaksanaan dasar 1 Murid 1 Sukan sebagai salah satu komponen program transformasi pendidikan negara bermula tahun ini. Menurutnya dasar tersebut juga adalah untuk mengembalikan kegemilangan sukan di peringkat sekolah selain meningkatkan semangat kesukanan dan kesepakatan masyarakat bermula daripada bangku sekolah.Sementara itu, ibu bapa seharusnya memahami bahawa sukan adalah aktiviti fizikal yang memerlukan pelakunya menggunakan tenaga dan bertindak tangkas seperti berenang, bermain bola dan lumba lari. Aktiviti sukan tertentu seperti bola sepak, bola keranjang, hoki, badminton pula memerlukan pembentukan pasukan yang terdiri daripada beberapa orang individu.Selain itu, pihak pentadbiran sekolah sering melantik guru yang kurang kemahiran dalam sukan sebagai guru penasihat sukan menyebabkan berlakunya kekurangan pengisian dalam slot sukan. Hal ini berpunca daripada masalah kekurangan guru opsyen bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani di dalam sesebuah sekolah. Selain itu perspektif guru yang mengajar Pendidikan Jasmani pula memandang rendah terhadap mata pelajaran ini kerana ia tidak mempunyai nilai dari segi peperiksaan umum. Kebanyakan sekolah terutama sekolah rendah tidak menitikberatkan pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani. Mata pelajaran pendidikan jasmani sekolah rendah mempunyai elemen sains sukan walaupun tidak secara terperinci seperti sekolah menengah. Murid tahap 1 juga diajar tentang perkara-perkara yang dianggap remeh, namun dari situlah kita belajar bagaimana membina kondisi otot, koordinasi dan elemen-elemen sains sukan yang lain. . Dasar 1Murid 1Sukan 1Malaysia bukan sahaja dapat meningkatkan mutu sukan di sekolah dan negara, malah dapat memfokuskan bidang sukan yang perlu dimajukan di peringkat sekolah rendah dan menengah lagi. Dalam hal ini, Malaysia harus terus berazam dan berusaha untuk menjadi sebuah negara maju yang teguh, bersatu dan kekal utuh walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan. Sukan dapat meningkatkan tahap fizikal dan tahap kesihatan dalam kalangan murid dan murid. Pembudayaan 1Murid 1Sukan 1Malaysia juga dapat menjadi nilai budaya yang baik dalam mengekalkan kesihatan di peringkat sekolah rendah dan menengah serta dapat memupuk minda kelas pertama. Kecemerlangan akademik juga banyak bergantung pada kecemerlangan sukan yang melibatkan murid.

3.0Mini-mini KajianMenurut kajian yang dijalankan oleh Syed Kamaruzaman, Muhamad Akbar & Rahmad Sukor (2014), antara faktor yang menjadi cabaran kepada pelaksanaan dasar adalah kekangan daripada ibu bapa. Ini kerana ibu bapa beranggapan sukan ini adalah subjek yang tidak penting dan tidak terdapat dalam peperiksaan. Oleh itu, ibu bapa tidak membenarkan dan tidak memberi dorongan dan galakan kepada murid untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti sukan yang dijalankan seperti kokurikulum dan 1Murid 1Sukan. Selain itu, mereka menganggap bahawa akademik adalah lebih penting daripada kokurikulum (Zaccagnini, 2005). Berdasarkan kajian Mohd Jaflus (2008), hanya seramai 5.6% murid aktif dalam sukan yang mendapat 8A dalam peperiksaan PMR berbanding 56.9% yang mendapat 1A sahaja. Walaupun ibu bapa sedar bahawa mata pelajaran ini penting bagi meningkatkan tahap kesihatan dari segi fizikal dan mental, namun sikap memperkecilkan mata pelajaran ini telah mempengaruhi minda anak mereka (Usha, 2008). Selain daripada kebimbangan ibu bapa untuk membenarkan anak-anak menyertai aktiviti sukan, keupayaan guru-guru sukan dalam menjamin keselamatan murid dalam sukan turut menjadi persoalan. Fenomena ini menjadi semakin serius apabila kes-kes mahkamah yang melibatkan guru-guru sukan akibat kelalaian dalam menjalankan tugas hingga menyebabkan kecederaan murid semakin lazim (Mawarni, Mohd Sofian, Soon, Zarina, & Rosli Jamil, 2006).Ramai murid beranggapan bahawa kegiatan kokurikulum tidak penting dan membuang masa kerana ianya tidak dinilai sebagaimana kegiatan yang melibatkan akademik. Halangan penglibatan murid dalam kegiatan kokurikulum dibebankan lagi dengan pengendalian program- program yang tidak sempurna (Mohd Jaflus, 2008). Sebagai contoh terdapat aktiviti pada hari kokurikulum hanya dikendalikan oleh kumpulan murid yang sememangnya kurang berpengalaman tanpa pemantauan dari guru terlibat. Kesannya murid sekolah tidak berminat untuk melibatkan diri. Menurut Adnan (1990), walaupun sumbangan kokurikulum kepada pendidikan diakui, tetapi konsepnya masih kurang difahami hingga ada yang masih lagi menganggap bahawa kokurikulum sebagai kegiatan luar. Oleh itu, tidak menghairankan jika programnya dilaksanakan secara sambil lewa sahaja dan aktiviti dijalankan secara tergesa-gesa dan tidak diberi keutamaan seperti mata pelajaran akademik.

4.0 RumusanSudah tiba masanya institusi pendidikan yang berpengaruh seperti sekolah dalam komuniti setempat terutamanya di kawasan luar bandar diberi peluang sama-sama membangunkan modal insan. Bagi merealisasikan harapan ini kepimpinan sekolah seperti guru besar haruslah berperanan memikul tanggung jawab tersebut(Ramlan & Ahmad, 2008). Bagi tujuan itu mereka perlulah menempatkan diri mereka dalam kepimpinan komuniti setempat. Melalui cara ini mereka berperanan untuk bersama-sama membantu membangunkan modal insan dalam komuniti setempatDasar 1Murid 1Sukan 1Malaysia bukan saja dapat meningkatkan mutu sukan di sekolah dan negara, malah dapat memfokuskan bidang sukan yang perlu dimajukan di peringkat sekolah rendah dan menengah lagi. Dalam hal ini, Malaysia harus terus berazam dan berusaha untuk menjadi sebuah negara maju yang teguh, bersatu dan kekal utuh walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan. Sukan dapat meningkatkan tahap fizikal dan kualiti kesihatan di kalangan murid dan murid.Usaha membangunkan modal insan perlu dibuat secara holistik dengan penekanan terhadap penguasaan sukan dan ilmu pengetahuan, modal intelektual termasuk ilmu, pembudayaan sikap progresif dengan pengamalan nilai, etika dan moral yang baik (Ahmad, Jailani, & Noraini, 2004). Melalui bidang sukan pembangunan modal insan juga dapat direalisasikan.

Pembudayaan 1Murid 1Sukan 1Malaysia juga dapat menjadi nilai budaya yang baik dalam mengekalkan kesihatan di peringkat sekolah rendah dan menengah ke arah memupuk minda kelas pertama. Kecemerlangan akademik juga banyak bergantung pada kecemerlangan sukan yang melibatkan murid dan murid.Kesimpulannya, melalui pelaksanaan dasar ini dapat meningkatkan sekolah dengan melahirkan rakyat yang mampu menghadapi cabaran baru dalam era globalisasi. Bidang sukan juga adalah bidang penting dalam meningkatkan nama negara di mata dunia pada masa depan. Melalui generasi yang terdidik dan mempunyai ilmu dalam bidang sukan, negara akan mencapai kecemerlangan dalam bidang tersebut.

6.0 ELEMEN 4Mengukuhkan Dan Memperluas RIMUP Mulai 2016 Untuk Memudah Cara Interaksi Antara Jenis Sekolah, Kumpulan Etnik Dan Sosio Ekonomi.

6.1 PengenalanKeunikan Malaysia adalah terletak kepada kepelbagaian kaum yang mengamalkan budaya masing-masing. Dengan adanya perbezaan ini, perpaduan antara kaum merupakan satu perkara penting bagi pembinaan negara bangsa dan membentuk identiti nasional. Usaha mengukuhkan perpaduan perlu dipupuk sewaktu usia kanak-kanak lagi khususnya di alam persekolahan. Dalam usaha mengukuhkan perpaduan, setiap murid daripada pelbagai etnik, agama, budaya dan latar belakang sosioekonomi menggunakan ruang yang ada untuk berinteraksi dan belajar bersama-sama. Sehubungan dengan itu, Kementerian telah memperkenalkan satu inisiatif berkaitan dengan perpaduan iaitu konsep baharu Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP). RIMUP merupakan program yang melibatkan murid pelbagai kaum berinteraksi melalui aktiviti kokurikulum. Ia telah mula dilaksanakan sejak 1986 dan diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi semasa beliau menjawat jawatan Menteri Pelajaran. Pada 2005 RIMUP telah diperluas daripada pelaksanaan di peringkat sekolah rendah kepada pelaksanaan di semua sekolah. Bermula 2013, RIMUP dilaksanakan mengikut kelompok (SK,SJKC,SJKT; SMK, SMKA, SMJK) dalam tiga kategori aktiviti iaitu sukan dan permainan, khidmat masyarakat dan aktiviti memupuk semangat patriotik. Selain daripada aktiviti-aktiviti bersama yang melibatkan pelbagai aliran sekolah seperti sukan dan permainan, lawatan dan juga perkhemahan, perayaan dan perhimpunan serta aktiviti untuk kecemerlangan akademik. RIMUP juga memberi ruang kepada masyarakat setempat dan ibu bapa di peringkat perancangan dan pelaksanaannya. Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di bawah RIMUP juga mampu menyemai sikap kerjasama, tolong-menolong dalam suasana muhibah dalam kalangan murid daripada aliran sekolah yang berbeza.Melalui PPPM, Kementerian berhasrat untuk menambah kekerapan dan intensiti program RIMUP dan disasarkan kepada sekolah yang mempunyai populasi murid yang homogen. Kementerian juga akan memperluas program ini dengan melibatkan sekolah swasta. Selain itu, menerusi pelaksanaan jangka panjang RIMUP secara konsisten di peringkat sekolah. Kementerian Pelajaran Malaysia amat yakin bahawa bukan sahaja ia dapat melahirkan generasi muda yang berupaya membudayakan perpaduan dan meraikan kepelbagaian tetapi mampu juga mewujudkan satu jambatan yang menghubungkan sekolah-sekolah pelbagai aliran di bawah satu aspirasi nasional yang sama. Secara keseluruhannya, RIMUP merupakan program yang diperkenalkan oleh Kementerian untuk mewujudkan integrasi dan perpaduan selaras dengan anjakan ketiga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) iaitu melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai. Namun begitu, pelbagai isu dan cabaran menjadi halangan untuk memastikan program ini berjaya dari segi pelaksanaan dan memberi impak yang positif. Fokus perbincangan ini akan mengetengahkan isu-isu dan implikasi untuk dirungkai dan difikirkan bersama selain membincangkan pendekatan untuk menghasilkan penyelesaian bagi isu-isu yang timbul ini.

6.2 Isu-Isu dan Implikasi 6.2.1 Pemahaman dan Kesedaran GuruSejauh mana pemahaman guru mengenai RIMUP? Sudah tentu tidak semua guru memahami konsep dan matlamat RIMUP secara terperinci. Hal ini kerana dari segi pelaksanaan di sekolah, tidak semua guru terlibat dengan program RIMUP. Hanya guru yang terlibat secara langsung dengan program yang memahami inisiatif tersebut. Menurut Hall dan Loucks (1978), guru tidak mahu mengambil tahu apa-apa perubahan yang berlaku di sekolah sekiranya perkara tersebut tidak memberi makna kepada mereka. Perkara ini tidak wajar menjadi sikap warga pendidik. Guru seharusnya perlu cakna tentang segala perubahan dan perkara yang berlaku bukan sahaja di sekolah namun segala transformasi yang berlaku dalam dunia pendidikan.

Walaubagaimanapun, bukanlah sikap guru yang harus dibangkitkan semata-mata, hal ini kerana penyebaran maklumat daripada kementerian dari segi pelaksanaan juga tidak dijalankan secara berstruktur. Hasil tinjaun yang dijalankan oleh KPM melalui Pelan Penataran Maklumat PPPM, berlaku kecairan maklumat dalam penyebaran PPPM. Guru tidak diberi pemahaman dan penjelasan secara lebih terperinci dimana mereka hanya diberi taklimat sekali sahaja yang sudah pasti tidak mencukupi untuk pemahaman kandungan PPPM .Guru hanya mengetahui perkara asas PPPM seperti 5 aspirasi guru, 6 aspirasi murid dan 11 anjakan tetapi tidak mengetahui secara lebih mendalam apatah lagi elemen-elemen yang terdapat dalam anjakan seperti RIMUP yang sudah pasti diluar pengetahuan guru. Pada hakikatnya guru melaksanakan sebahagian daripada inisiatif yang berkaitan dengan tugas tanpa menyedari inisiatif tersebut tekandung dalam PPPM. Kementerian perlu memantapkan lagi strategi supaya penataran maklumat lebih berstruktur sekaligus dapat memberi pemahaman kepada guru mengenai setiap isi kandungan PPPM. Guru pula perlu tahu, faham, sedar dan bersedia untuk melaksanakan segala inisiatif yang diutarakan dan mampu untuk memberi komitmen yang berterusan.

6.2.2Sikap Murid Kepelbagaian sosio budaya di Malaysia turut memberi kesan kepada murid. Murid-murid mempunyai pendirian tersendiri hasil daripada pengaruh keluarga, budaya, agama dan persekitaran. Neena Sharma (1985), turut menyokong kenyataan ini. Pengaruh keluarga amat dominan dalam sosialisasi politik, dengan tidak menafikan pengaruh lain seperti budaya, persekitaran dan sebagainya turut menyumbang kepada proses ini. Oleh itu, kewujudan murid pelbagai kaum dan sosio budaya di dalam kelas menjadikan mereka prejudis terhadap murid yang berbeza daripada gaya hidup mereka. Maka, murid perlu dibersihkan minda dan fahaman mereka terhadap rakan-rakan mereka yang berlainan agama, budaya dan jantina agar tidak ada jurang antara mereka bagi memudahkan proses pembelajaran. Hujah ini disokong Ridhuan (2010), yang menyatakan bahawa murid yang mempunyai perbezaan latar belakang politik dan sosial, sekolah boleh mensosialisasikan mereka semula mengikut kumpulan yang sama sehingga melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Namun begitu, walaupun murid sudah mempunyai peluang untuk berinteraksi dengan kumpulan etnik yang berbeza di dalam kelas mahupun melalui program RIMUP yang dijalankan namun jurang perpaduan masih jelas kelihatan. Persoalannya apakah berlaku proses asimilasi perpaduan dengan wujudnya interaksi melalui program RIMUP? Asimilasi merupakan satu proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik yang mempunyai berlainan budaya sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang sama.. Menurut seorang pakar sosiologi, Vander Zanden menyatakan, asimilasi ialah satu proses dalam mana-mana kelompok yang berfikir, berperasaan dan bertindak secara berlainan, menjadi satu dalam kesatuan sosial serta budaya yang sama. Pada dasarnya proses asimilasi berlaku apabila wujudnya interaksi yang erat antara ahli kumpulan etnik yang berbeza budaya bagi suatu tempoh yang agak lama. Walau bagaimanapun proses asimilasi seharusnya dibiarkan berlaku secara evolusi serta semulajadi. Sebarang percubaan atau usaha untuk mewujudkan asimilasi secara paksaan pasti akan menemui banyak halangan dan kegagalan.Menurut hasil kajian yang dilakukan oleh sekumpulan pensyarah di Universiti Utara Malaysia terhadap murid-muridnya yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India. Kebanyakan murid-murid mempunyai sentimen perkauman yang tinggi. Polarisasi di alam kampus amat membimbangkan. Para murid lebih suka bergaul dengan kaum sendiri dalam segala hal. Semua ini berlaku disebabkan oleh proses sosialisasi yang dilalui sebelum memasuki alam kampus (Mansor Mohd Nor et al. 2006). Justeru dapat dibuktikan bahawa proses asimilasi tidak berlaku semasa zaman persekolahan murid walaupun ruang untuk mereka berinteraksi antara kaum yang berbeza terbuka luas kerana mereka lebih cenderung untuk bergaul sesama kaum sendiri.

6.2.3 Keberkesanan RIMUPKepelbagaian sosio budaya telah mewujudkan sekolah yang terdiri daripada pelbagai bangsa seperti sekolah kebangsaan untuk semua kaum, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Sejarah juga telah menyebabkan berlakunya perpecahan dalam sistem pendidikan dengan terbentuknya sekolah pelbagai aliran. Sekolah pelbagai aliran menimbulkan kebimbangan ramai pihak. Menurut Comber (2007), interaksi murid hanya terbatas dalam kalangan keluarga dan rakan taulan sebangsa sahaja. Justeru, pemikiran mereka hanya berligar dan dipengaruhi oleh ruang lingkup persekitaran berbau perkauman. Sehubungan itu, pengasingan sekolah mengikut kaum akan memberi impak yang negatif kepada usaha kerajaan untuk membentuk konsep pembinaan negara bangsa yang menjadi pengukur kepada taraf kemajuan negara. RIMUP merupakan salah satu inisiatif Kementerian untuk mewujudkan interaksi antara sekolah yang berlainan aliran. Usaha ini jelas menggambarkan bahawa penekanan semangat perpaduan dan integrasi antara kaum perlu dipupuk sejak kecil iaitu dibangku sekolah rendah kerana ia akan lebih memudahkan mereka untuk menghadapi masyarakat di masa akan datang. Namun begitu sejauh mana keberkesanan RIMUP dalam mewujudkan perpaduan dan intergriti nasional serta menghasilkan murid yang menghayati nilai? Ini kerana interaksi yang diwujudkan melalui program RIMUP hanyalah beberapa hari sahaja. Contohnya aktiviti gotong-royong atau perkhemahan dan sebagainya, interaksi yang terhasil hanyalah sementara dan tidak berterusan. Proses penyatuan dan perpaduan bukanlah satu proses yang mudah dan memerlukan tempoh masa yang panjang. Selain itu, masih banyak sekolah yang tidak melaksanakan program RIMUP. Hanya 20% sekolah rendah yang terlibat dengan pelaksanaan inisiatif ini. Bagaimana pula dengan sekolah yang terpencil seperti sekolah orang asli dan sebagainya ? Apakah terdapat keberangkalian untuk sekolah tersebut melaksanakan RIMUP? Keberkesanan RIMUP masih tidak dapat dinilai sepenuhnya sekiranya masih terdapat sekolah yang tidak melaksanakan program ini.

6.3 Rumusan Cabaran dan PendekatanIntegrasi dan perpaduan kaum yang ingin dicapai oleh kerajaan melalui Dasar Pendidikan berdepan dengan cabaran dan halangan yang besar. Salah satu cabaran utama untuk mencapai perpaduan kaum ini ialah aspek dalaman iaitu perbezaan bahasa, kebudayaan, kepercayaan dan keturunan yang mempengaruhi sikap dan nilai sesuatu kaum. Perbezaan ini menyebabkan setiap kaum di negara ini sukar untuk menerima perubahan yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan dalam dasar pendidikan, kerana pada sangkaan mereka ia melibatkan penerimaan dan pengorbanan iaitu mereka terpaksa menerima unsur kaum lain dan mengorbankan unsur kaum sendiri. Situasi sebegini pasti akan mendapat tentangan daripada pelbagai kaum kerana unsur keturunan, kepercayaan, budaya dan bahasa sudah menebal dalam kaum masing-masing. Cabaran kedua ialah pola kedudukan kaum yang berbeza-beza juga menjadi salah satu cabaran untuk mencapai perpaduan dan integriti kaum. Pola kedudukan kaum adalah berasaskan sumber ekonomi ini berpunca pada zaman penjajahan iaitu dasar British yang mengamalkan sistem pecah dan perintah (divide and rule). Untuk mencapai misi pendidikan iaitu perpaduan dan integriti kaum, jarak kedudukan kaum ini menjadi satu cabaran yang sukar. Kerajaan perlu memikirkan satu cara untuk meletakkan murid-murid daripada pelbagai kaum disatu sekolah yang sama supaya matlamat dasar pendidikan iaitu untuk menyatu dan mengintegrasikan kaum dapat dicapai. Sehubungan itu, inisiatif memperkasakan sekolah kebangsaan (SK) yang terdapat dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan merupakan satu inisiatif yang bernas. SK merupakan wahana terbaik bagi memupuk perpaduan sejak dari peringkat awal persekolahan kanak-kanak. SK perlu mencerminkan budaya Malaysia, menunjukkan pencapaian cemerlang dari segi akademik, kokurikulum serta pembangunan sahsiah dan mempunyai persekitaran yang kondusif. Menjadikan sekolah kebangsaan sebagai peneraju sistem pendidikan Negara dan memastikan sokongan dan pembiayaan secara adil kepada Sekolah-sekolah Agama Rakyat, sekolah kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah mubaligh, sekolah vokasional dalam usaha bersama untuk meningkatkan taraf pendidikan negara. Cabaran ketiga ialah menyediakan guru yang merupakan agen kerajaan untuk menyampaikan dan melaksanakan dasar pendidikan kepada murid dan masyarakat. Oleh itu aspek guru juga menjadi cabaran untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum. Guru perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan yang cukup dan lengkap untuk menghadapi pelbagai situasi di sekolah dan masyarakat sekitarnya. Guru perlu memahami misi, objektif dan matlamat akhir sesuatu dasar pendidikan supaya hasrat perlaksanaan sesuatu dasar itu terlaksana. Oleh itu pihak kerajaan perlu memberi latihan dan kefahaman kepada setiap guru apabila melaksanakan sesuatu dasar yang baru supaya segala perancangan mengikut landasan yang betul dan generasi yang akan datang lahir sebagai individu yang mempunyai sifat cinta dan membudayakan perpaduan serta penghayatan nilai.Kesimpulannya, mengukuhkan dan memperluaskan RIMUP merupakan satu inisiatif yang bagus kerana dapat mewujudkan interaksi antara pelbagai kaum. Namun begitu, terdapat pelbagai isu dan cabaran yang harus dilalui. Selain itu, keberkesanan RIMUP masih tidak dapat diukur kerana RIMUP bersifat konseptual. Pada pendapat saya, RIMUP hanyalah sekadar retorik. Bagaimana perpaduan mahu digapai sekiranya bangsa Melayu pun masih tidak bersatu di Negara kita? Pada hakikatnya, untuk melahirkan individu yang mempunyai penghayatan nilai bukan perkara yang mudah, ianya melalui tempoh jangka masa yang panjang. Pendidikan merupakan salah satu wahana terbaik untuk membentuk individu yang mempunyai penghayatan nilai., akan tetapi masih banyak faktor luar yang mempengaruhi pembentukan sikap individu seperti keluarga, sosialisasi politik, rakan sebaya, dan sebagainya

KesimpulanPelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) merupakan satu usaha murni kerajaan bagi melakukan suatu tranformasi kepada sistem pendidikan yang sedia ada ini. Melalui pelan ini penekanan kepada penghayatan nilai dapat melahirkan modal insan yang mempunyai jati diri yang unggul. Selain itu, nilai-nilai yang dipupuk merentasi kurikulum akan dapat membentuk generasi belia yang lebih bertanggungjawab serta menjunjung nilai kerohanian dan kemanusiaan sebagai asas kehidupan. Penghayatan nilai diterjemahkan melalui Pendidikan Sivik dan Kenegaraan, Pendidikan Islam dan Moral, Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) dan Dasar 1 Murid 1 sukan dapat membentuk sahsiah pelajar yang murni. Semua pihak seharusnya memainkan peranan yang signifikan dalam memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) mencapai sasaran yang diharapkan agar dapat melonjakkan prestasi pelajar ke peringkat antarabangsa. Secara tidak langsung, akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah hub pendidikan di peringkat global yang mampu seiring dengan Negara- Negara maju yang lain.

RUJUKAN

Abd Rahim Abd Rashid. 2001. Nilai-nilai murni dalam pendidikan: Menghadapi perubahan dan cabaran alaf baru. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.Ahmad, E., Jailani, M. E., & Noraini, K. 2004. Peranan Kokurikulum Dalam Pembangunan Kemahiran Generik, 118.Ahmad Khamis (1999). Etika (Pendidikan Moral) untuk Institusi Pengajian Tinggi. Kuala Lumpur ; Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.Ali Bin Suradin dan Eni Eryanti Yusoff Penghayatan Nilai-nilai Murni Ke Arah Pembentukan Disiplin : Prosiding Seminar Pendidikan JPPG 2005, Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn.Azma Mahmood. (2006). Pengukuran tahap penghayatan pendidikan Islam pelajar-pelajar sekolah menengah di Malaysia. Tesis Ph.D. Universiti Kebangsaan Malaysia.Buletin Bulanan Transformasi Kementerian Pendidikan Malaysia : ISU #4, 31 JULAI 2013Comber, L. 2007. Peristiwa 13 Mei: Sejarah Perhubungan Melayu Cina. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd.Dewan Bahasa dan Pustaka. (1994). Kamus dewan (edisi ketiga). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Haslina Hassan (2000). Gengsterisme Di Sekolah Menengah Harian : Mencegah Sebelum Menjadi Barah. dlm. Dewan Masyarakat. Jun. hlm 17-20.Kementerian Pelajaran Malaysia. 2008. Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan 1.

Kementerian Pelajaran Malaysia. 2013. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

James W. Vander Zanden - American Journal of Sociology - Vol. 65 - Issue 5 - 1960 - p. 456

Maizura Yasin. 2010. Tahap Kesediaan Guru Terhadap Pengetahuan Kandungan Pedagogi Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan Satu. Ijazah Sarjana. UPM.

Mansor Mohd Noor, Abdul Rahman Abdul Azizi & Mohamad Ainuddin Iskandar Lee. 2006. Hubungan Etnik Di Malaysia. Selangor: Prentice HallPearson Malaysia Sdn Bhd.

Mawarni, M., Mohd Sofian, O. F., Soon, L. T., Zarina, J., & Rosli Jamil, A. Z. 2006. Persepsi Guru Sukan Terhadap Aspek Keselamatan Dalam Program Sukan, 2(2).

Mohd Jaflus, B. 2008. Faktor-Faktor Yang Menghalang Penglibatan Pelajar Dalam Kegiatan Kokurikulum Sukan Di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Daerah Seremban, 450.

Mohd Ridhuan Tee Abdullah. 2010. Cabaran Integrasi Antara Kaum Di Malaysia: Perspektif Sejarah, Keluarga Dan Pendidikan. Jurnal Hadhari Bil. 3 (2010) 61-84

Neena Sharma. 1985. Political Sosialization and Its Impact on Attitudinal Change Towards Social and Political System: A Case Study of Harijan Women of Delhi. New Delhi: M.C. Mittal.

Pusat Perkembangan Kurikulum. 2005. Buku panduan pengajaran danpembelajaran nilai merentas kurikulum KBSR I KBSM. Kuala Lumpur:Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ragbir Kaur Joginder Singh. 2006. Panduan Ulangkaji Ilmu Pendidikan untuk KPLI, SekolahRendah dan Menengah. Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Ragbir Kaur Joginder Singh. 2012. Panduan Ulangkaji Ilmu Pendidikan untuk DPLI.Psikologi. Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Ramlan, Z. A., & Ahmad, E. 2008. Pendidikan Sepanjang Hayat: Isu,Cabaran Dan Peranan Sekolah Membangun Modal Insan Dalam Komuniti Setempat. Seminar Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pkpgb 2008, 19.

Sarjit Singh Gill (2004). Merotan Sebagai Jalan Penyelesaian ?. dlm. Majalah Masyarakat. Januari.; hlm 18-20.

Sinar Harian Online. Pendidikan Sivik diterap dalam tiga mata pelajaran. http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/pendidikan-sivik-diterap-dalam-tiga-mata-pelajaran-1.334163. [17 November 2014]

Syed Kamaruzaman, S. A., Muhamad Akbar, Z., & Rahmad Sukor, A. S. (2014). Faktor Kekangan Ibu Bapa Dan Persekitaran Sekolah Dalam Pelaksanaan Pengajaran Pendidikan Jasmani Di Sekolah Rendah. Jurnal Kurikulum Dan Pengajaran Asia Pasifik, (April), 115Utusan Online. Enam inisiatif PPPM capai KPI. http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_ Negeri /20140618/dn_05/ Enam-inisiatif-PPPM-capai-KPI : [18 Jun 2014]Zakaria Stapa, Ahmad Munawar Ismail & Noranizah Yusuf. 2012. Faktor Persekitaran Sosial Dan Hubungannya dengan Pembentukan Jati diri. Jurnal Hadhari Special Edition. UKM.