Majlis Agama Islam Selangor lwn Alamelu a/p Krishnan dan ... · PDF file1 Majlis Agama Islam...
Transcript of Majlis Agama Islam Selangor lwn Alamelu a/p Krishnan dan ... · PDF file1 Majlis Agama Islam...
1
Majlis Agama Islam Selangor
lwn
Alamelu a/p Krishnan dan Jabatan Agama Islam Selangor
[Mahkamah Rayuan Syariah Selangor, Shah Alam. Kes Mal No. 10000-043-0030-2015 (YAA
Tan Sri Dr. Ibrahim b. Lembut (Pengerusi), YA Dato’ Seri Dr. Md. Yusup b. Che Teh (Ahli Panel),
YA Datuk Aidi b. Moktar (Ahli Panel)]
[22 Safar 1437 bersamaan 4 Disember 2015M]
Permohonan Pengisytiharan Sebagai Bukan Lagi Islam di bawah seksyen 61(3) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003
Fakta Kes
[1] Responden 1 telah memfailkan Saman dan Pernyataan Tuntutan di Mahkamah Tinggi
Syariah Shah Alam pada 6 Oktober 2009 untuk mendapatkan perintah Pengisytiharan
bahawa beliau bukan lagi Islam berdasarkan kepada seksyen 61(3)(b)(x) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
[2] Perayu, Majlis Agama Islam Selangor dan Responden 2, Jabatan Agama Islam Selangor
adalah badan yang bertanggungjawab dalam memastikan akidah umat Islam khususnya di
Selangor terpelihara. Respenden 2 tidak menentang rayuan Perayu dan tidak memfailkan
apa-apa hujahan dalam kes ini.
[3] Responden 1 dilahirkan pada 29 Jun 1943 dan berbangsa India. Agama asal Responden
adalah Hindu.
2
[4] Responden 1 telah memeluk agama Islam pada 29 September 1968 di Pejabat Agama
Daerah Kota Star, Kedah.
[5] Responden 1 menyatakan tujuan beliau memeluk Islam adalah untuk membolehkan beliau
berkahwin dengan seorang lelaki Islam yang bernama Abdul Kadir. Responden 1 hanya
dapat bersama Abdul Kadir selama setahun sahaja di mana suaminya telah meninggal
dunia setahun selepas berkahwin. Sebelum berkahwin dengan Abdul Kadir, Responden 1
pernah berkahwin dengan Tanggavelu a/l Sinappa Pille dan telah memperolehi seorang
anak perempuan yang bernama Valliamah a/p Tanggavelu.
[6] Responden 1 juga menyatakan beliau tidak pernah diajar tentang agama Islam oleh
suaminya Abdul Kadir dan juga oleh mana-mana pihak. Responden 1 juga menyatakan
bahawa beliau tidak pernah mengamalkan ajaran Islam malah masih kekal mengikut ajaran
agama asalnya Hindu.
[7] Responden 1 seterusnya telah membuat Surat Akuan Berkanun pada 26 November 1993
untuk mengesahkan bahawa beliau mahu menggugurkan nama Islamnya Fatimah Abdullah
kerana tidak pernah mengamalkan ajaran Islam sebaliknya hanya mengamalkan ajaran
Hindu.
[8] Responden 1 menyatakan bahawa sejak tarikh beliau memeluk Islam pada tahun 1968
sehingga kini, Responden 1 tidak pernah mengamalkan ajaran Islam sebaliknya Responden
1 tetap meneruskan kehidupan dengan mengamalkan agama Hindu dan pergi ke kuil.
[9] Responden 1 menyatakan juga setelah beliau memeluk Islam pada tahun 1968, mana-mana
badan Islam tidak pernah menghubungi beliau dan Responden 1 juga tidak pernah
menghadiri mana-mana kursus mengenai agama Islam.
[10] Semasa sebutan kes pada 1 Disember 2010, Mahkamah telah memerintahkan Responden
1 untuk menjalani proses istitabah selama enam (6) bulan di Unit Penasihatan Akidah,
3
Jabatan Mufti Negeri Selangor. Pada 4 Mei 2011, Mahkamah telah melanjutkan tempoh
proses istitabah untuk melengkapkan 12 sesi.
[11] Laporan Istitabah telah diterima oleh Mahkamah semasa sebutan pada 10 November 2011.
Setelah beberapa kali penangguhan, kes ini mula dibicarakan pada 6 Mac 2013. Responden
1 telah mengemukakan dua (2) orang saksi dan Perayu telah mengemukakan seorang saksi.
[12] Mahkamah bicara telah memberi penghakiman pada 13 Ogos 2014 setelah mendengar
keterangan kedua-dua belah pihak, saksi-saksi dan hujahan seperti berikut:
1. Mahkamah meluluskan permohonan Plaintif (Responden 1) berdasarkan
seksyen 61(3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor)
2003.
2. Mahkamah dengan ini mengisytiharkan bahawa Alamelu a/p Krishnan, No.
Kad Pengenalan: XXXX adalah bukan seorang Islam.
[13] Perayu telah tidak berpuashati dengan keputusan tersebut dan telah memfailkan Notis
Rayuan pada 26 Ogos 2014 merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah Selangor terhadap
keseluruhan keputusan tersebut.
[14] Perayu telah mengemukakan sepuluh (10) Alasan Rayuan sepertimana di mukasurat 143-
145 Rekod Rayuan.
Diputuskan
Setelah kami meneliti Notis Rayuan, Alasan Rayuan dan Hujah Pihak-Pihak, maka dengan ini
kami memutuskan seperti berikut :
1. Rayuan Perayu ini ditolak.
4
2. Perintah Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bertarikh 13 Ogos 2014 dalam kes No.
10200-043-0258-2009 adalah dikekalkan.
Peguam Syarie
Perayu : diwakili oleh Mohd. Redzuan b. Ramli dari Tetuan Mohd. Redzuan Ramli
& Assoziates.
Responden 1 : diwakili oleh Puan Sa’adiah bt. Din dari Tetuan Sa’adiah, Khoo, Lo & Co
Responden 2 : diwakili oleh Puan Wan Aizaa bt. Wan Abdullah dari Kamar Penasihat
Undang-Undang Negeri Selangor.
Undang-undang yang dirujuk
1. Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 – s. 17 dan s.18.
2. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 2004 – s. 83 (1).
3. Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 – s. 45.
4. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 - s. 61 (3) (b) (x), s.107 dan
s.108.
5. Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) 2008.
6. Enakmen Undang-undang Pentadbiran Agama (Negeri Kedah) 1962 – s.139, s.140 dan s.141
Kitab-kitab yang dirujuk
1. Fatawa Al-Lajnah Al-Da’imah Lil-Buhuthi Al-Ilmiyyah Wa Al-Ifta’, 3/248.
2. Sistem Kehakiman Islam, Mohd. Saleh b. Hj. Ahmad.
5
Kes-kes yang dirujuk
1. MAIS lawan Nuraishah Wan Yin Chow (Kes no. 10000-043-0040-2014).
2. MAIWP lawan Nor Shahirah Lum Abdullah (Kes no. 14000-043-0031-2011).
3. Majlis Agama Islam Pulau Pinang lawan Siti Fatimah Tan binti Abdullah JH 27:2 (1430H) 185.
4. Pengisytiharan Status Si Mati Nyonya Tahir oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan JH 20:2
(1427H) 221.
Penghakiman YAA Tan Sri Dr. Ibrahim b. Lembut (Pengerusi), YA Dato’ Seri Dr. Md.
Yusup b. Che Teh (Panel), YA Datuk Aidi b. Moktar (Panel), HMRYS.
[15] Setelah kami meneliti alasan rayuan dan hujahan pihak-pihak, kami mendapati isu yang
perlu diputuskan adalah seperti yang berikut;
(a) Sama ada Responden 1 telah memeluk Islam secara sah ataupun tidak.
(b) Sama ada hakim terkhilaf menerima keterangan Responden 1 dan dua saksinya
sebagai iqrar.
(c) Sama ada Responden 1 mempunyai bukti-bukti dan keterangan-keterangan yang
mencukupi menunjukkan Responden 1 telah tidak lagi beragama Islam.
Isu pertama: Sama ada Responden 1 telah memeluk Islam secara sah ataupun tidak.
[16] Isu ini telah disentuh oleh Perayu dalam alasan rayuan pertama hingga alasan rayuan
keenam. Perayu menyatakan bahawa hakim bicara telah terkhilaf apabila mengatakan
dalam alasan penghakimannya bahawa pemelukan Islam Responden 1 adalah tidak
dibuktikan sah mengikut Hukum Syarak atau prosedur. Hakim bicara telah terkhilaf apabila
mempertikaikan dokumen surat pengesahan daripada Pejabat Agama Islam Daerah Kota
Setar sedangkan Perayu dan Responden-Responden tidak mempertikan dokumen tersebut
sehingga ianya ditandakan sebagai ekshibit P5 dalam perbicaraan.
6
[17] Kami telah meneliti berkenaan isu ini dan mendapati bahawa Responden 1dalam
keterangannya mengatakan bahawa beliau telah memeluk Islam di Alor Star, Kedah pada
satu tarikh yang tak diingatinya (mukasurat 56 Rekod Rayuan). Responden 1 telah
mengemukakan ekshibit P5 dan ekshibit Kad Pengenalannya yang tertera perkataan Islam
yang ditandakan P1.
[18] Kami dapati bahawa fakta pemelukan Islam Responden 1 ini telah dipersetujui oleh Perayu
dan juga Responden 2 dalam perbicaraan apabila mereka tidak membantah berkenaan
dokumen P5 dan P1. Oleh yang demikian, kami bersetuju dengan hujah Peguam Perayu di
mukasurat 24 Hujah Penuh Perayu bahawa fakta tersebut tidak perlu dibuktikan kerana
ianya telah diakui. Ini adalah merujuk kepada seksyen 45 Enakmen Keterangan Mahkamah
Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang menyatakan ;
Seksyen 45. Fakta yang diakui tidak perlu dibuktikan.
(1) Tertakluk kepada subseksyen 17(2) tiada fakta perlu dibuktikan dalam
mana-mana prosiding jika pihak-pihak dalam prosiding itu atau ejen
mereka bersetuju untuk mengakuinya dalam pendengaran itu atau sebelum
pendengaran itu mereka bersetuju untuk mengaku dengan apa-apa tulisan
di bawah tandatangan mereka, atau yang menurut apa-apa kaedah pliding
yang sedang berkuat kuasa, mereka disifatkan telah mengakuinya dengan
pliding mereka
(2) Mahkamah boleh, menurut budi bicaranya, menghendaki supaya fakta
yang diakui itu dibuktikan selain daripada dengan iqrar sedemikian.
[19] Kami juga mendapati bahawa Hakim Bicara telah merujuk kepada seksyen 107 dan 108
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [EPAINS 2003] untuk
menentukan sah atau tidaknya pemelukan Islam Responden 1 (mukasurat 132-133 Rekod
Rayuan). Dengan hormatnya kami katakan bahawa rujukan kepada Enakmen tersebut
adalah tidak tepat kerana proses pengislaman Responden 1 berlaku di Negeri Kedah dan
rujukan sepatutnya di buat kepada Enakmen yang berkuatkuasa di Negeri Kedah pada
tarikh pemelukan Islam berlaku pada 29 September 1968.
7
[20] Undang-undang berkenaan pemelukan Islam yang berkuatkuasa di Negeri Kedah pada
tahun 1968 ialah Enakmen Undang-undang Pentadbiran Agama (Negeri Kedah) 1962 yang
kini telahpun dimansuhkan oleh Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah
Darul Aman) 2008. Di dalam Enakmen Undang-undang Pentadbiran Agama (Negeri
Kedah) 1962 hanya terdapat 3 seksyen berkenaan pemelukan Islam iaitu seksyen 139, 140
dan 141. Seksyen-seksyen berkenaan hanyalah berkaitan pendaftaran mualaf di Majlis
Agama Islam Kedah dan tiada peruntukan khusus tentang cara dan syarat pemelukan Islam
sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang terkini seperti EPAINS 2003 dan
juga Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) 2008.
[21] Keterangan Responden 1 dan dua orang saksinya, Surat Pengesahan daripada Pejabat
Agama Islam Kota Star, Kedah (P5) dan Kad Pengenalan Responden 1 yang tertera
perkataan Islam (P1) adalah boleh diterima sebagai bukti yang menyokong fakta berkenaan
pemelukan Islam Responden 1. Tambahan pula, fakta berkenaan juga telah tidak
dipertikaikan oleh pihak Perayu dan Responden 2 pada mana-mana peringkat perbicaraan.
[22] Oleh yang demikian, berdasarkan ulasan-ulasan tersebut, Kami dengan ini mendapati
bahawa Responden 1 telahpun memeluk Islam secara sah mengikut Hukum Syarak dan
Undang-undang pada 29 September 1968.
Isu Kedua: Sama ada hakim terkhilaf menerima keterangan Responden 1 dan dua saksinya
sebagai iqrar.
[23] Isu ini telah dibangkitkan oleh Perayu dalam alasan rayuan yang pertama. Perayu berhujah
bahawa hakim bicara telah terkhilaf apabila menerima keterangan Responden 1 dan dua
saksinya sebagai iqrar menurut seksyen 17 dan 18 Enakmen Keterangan Mahkamah
Syariah (Negeri Selangor) 2003. Dalam alasan penghakimannya di mukasurat 130 Rekod
Rayuan, Hakim Bicara menyatakan bahawa keterangan Responden 1 hendaklah diterima
sebagai ikrar kerana telah memenuhi semua elemen yang dinyatakan dalam seksyen 18(1)
Enakmen Keterangan tersebut.
8
[24] Isu ini telahpun diputuskan sebelum ini dalam penghakiman Mahkamah Rayuan Syariah
Wilayah Persekutuan dalam kes MAIWP lawan Nor Shahirah Lum Abdullah (Kes no.
14000-043-0031-2011). Dalam kes tersebut, Panel Hakim Mahkamah Rayuan telah
menyatakan bahawa keterangan Responden (Plaintif) bukanlah merupakan ikrar dibawah
sekyen 17 dan 18 Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997
(peruntukan yang sama dengan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Selangor 2003)
tetapi ianya merupakan pengakuan kepada apa yang berlaku kepada diri sendiri.
[25] Kami dengan ini mendapati bahawa Hakim Bicara telah terkhilaf apabila menerima
keterangan Responden 1 dan dua saksinya sebagai ikrar mengikut maksud Enakmen
Keterangan Mahkamah Syariah.
Isu Ketiga: Sama ada Responden 1 mempunyai bukti-bukti dan keterangan-keterangan
yang mencukupi menunjukkan Responden 1 telah tidak lagi beragama Islam.
[26] Isu ini adalah berkaitan dengan alasan rayuan pertama, ketujuh, kesembilan dan kesepuluh
Perayu. Pihak Perayu mengatakan bahawa keterangan saksi-saksi yang bukan beragama
Islam tidak boleh diterima sebagai bayyinah dalam kes pengisytiharan bukan lagi orang
Islam mengikut Hukum Syarak dan ianya tidak menepati peruntukan seksyen 83(1)
Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Perayu telah merujuk
kepada otoriti buku Sistem Kehakiman Islam oleh Mohd. Saleh b. Hj. Ahmad, m.s. 228
(rujuk muka surat 15-17 Hujah Penuh Perayu).
[27] Berkenaan isu penerimaan bayyinah saksi bukan Islam, telahpun ada beberapa
penghakiman sebelum ini yang telah diputuskan sebelum ini oleh Mahkamah Rayuan
Syariah di negara ini antaranya kes Pengisytiharan Status Si Mati Nyonya Tahiroleh Majlis
Agama Islam Negeri Sembilan JH 20:2 (1427H) 221 dan kes Majlis Agama Islam Pulau
Pinang lawan Siti Fatimah Tan binti Abdullah JH 27:2 (1430H) 185. Di dalam kedua-dua
kes ini, Mahkamah telah menerima keterangan saksi-saksi bukan Islam sebagai bayyinah
berdasarkan Hukum Syarak dan peruntukan dalam Enakmen Keterangan Mahkamah
Syariah.
9
[28] Di dalam kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang lawan Siti Fatimah Tan binti Abdullah,
Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang telah menyatakan seperti berikut;
“Keterangan saksi Responden boleh diterima oleh Mahkamah sebagai
bayyinah berdasarkan peruntukan seksyen 83(1) Enakmen Keterangan
Mahkamah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 2004”.
[29] Oleh yang demikian, Hakim bicara tidak terkhilaf apabila menerima keterangan dua orang
saksi bukan Islam Responden 1 sebagai bayyinah dalam kes ini.
[30] Di dalam perbicaraan kes ini, Responden 1 telah memanggil 2 orang saksi iaitu anaknya
Valiammah a/p Tanggavelu (SP1) dan juga menantunya Pakinadzan a/l Sakaravathy (SP2).
Manakala Perayu telah memanggil seorang saksi iaitu Ustaz Faizal bin Qayyum (SD1).
[31] SP1 dan SP2 telah memberi keterangan berkenaan kehidupan Responden 1 selepas
memeluk Islam pada tahun 1968. Kesemua saksi-saksi ini telah mengesahkan Responden
tidak langsung mengamalkan ajaran Islam selepas pemelukan Islam beliau dan tetap
bersembahyang mengikut ajaran agama Hindu dan selalu ke kuil di Batu Caves dan Taman
Medan. SD1 pula dalam keterangannya menyatakan bahawa ada patung sembahan di
dalam rumah Responden 1 dan juga gambar Dewa Hindu (mukasurat 76 Rekod Rayuan)
semasa SD1 membuat kunjungan ke rumah Responden 1. Berdasarkan Rekod Rayuan,
kami dapati kesemua keterangan saksi-saksi Responden 1 ini tidak dibantah dan tidak
dicabar keterangan mereka semasa soal balas oleh peguam Perayu dan juga peguam
Responden 2 di Mahkamah bicara. Di dalam kes ini juga Perayu dan Responden 2 tidak
memberikan sebarang keterangan kecuali hanya memanggil SD1 sahaja.
[32] Kegagalan mencadangkan kes Perayu kepada Responden semasa soal balas akan
mengakibatkan pembelaan perayu gagal dan versi Responden harus diterima. Di dalam kes
MAIS lawan Nuraishah Wan Yin Chow (Kes no. 10000-043-0040-2014), Mahkamah
Rayuan Syariah Selangor telah menyatakan sperti berikut;
10
“Efek dari kegagalan Perayu mencabar keterangan Responden dan saksi-
saksi Responden di atas ketika disoal balas dianggap sebagai tidak
mempertikai keterangan tersebut.Apabila keterangan Responden dan saksi-
saksi yang diberikan di dalam mahkamah tidak dicabar atau dibantah
semasa soal balas, maka keterangan itu hendaklah diterima oleh
Mahkamah.Berdasarkan dapatan ini, YA Hakim Bicara tidak terkhilaf
apabila memutuskan Responden telah mengemukakan keterangan yang
mencukupi bagi menyokong permohonan beliau”.
[33] Di dalam kes ini, kami mendapati bahawa Responden 1 telah memeluk Islam kerana mahu
berkahwin dengan suami keduanya iaitu Abdul Kadir. Keterangan Responden 1 dan saksi-
saksinya menunjukkan bahawa Responden 1 tidak memahami ajaran Islam dan tidak
mengamalkannya. Malah Responden 1 masih lagi mempercayai dan mengamalkan agama
Hindu sejak memeluk Islam pada tahun 1968 sehinggalah kes ini difailkan pada tahun
2009. Dalam tempoh 41 tahun tersebut (1968-2009) Responden 1 masih berterusan
mengamalkan kepercayaan agama Hindu dan tiada mana-mana individu atau badan Islam
yang membimbing dan mengajar Responden 1 tentang Agama Islam.
[34] Responden 1 memeluk Islam bagi tujuan untuk berkahwin dengan pasangan Islam semata-
mata pada tahun 1968 tanpa memahami dan mempercayai hakikat Agama Islam yang
sebenar. Fakta ini adalah sama dengan fakta dalam kes Siti Fatimah Tan, Nor Shahirah
Lim binti Abdullah dan Nuraishah Wan Yin Chow yang telah kami rujuk dalam
penghakiman ini dimana semua Responden tersebut memeluk Islam kerana hendak
berkahwin dengan pasangan Islam semata-mata tanpa memahami dan mempercayai
kebenaran Agama Islam.
[35] Berdasarkan Hukum Syara’ seseorang yang berlafaz dengan dua kalimah syahadah itu
adalah memberi pengakuan berkenaan adanya Tuhan yang sebenar iaitu Allah s.w.t dan
memberi pengakuan bahawa sebenarnya Tuhan telah mengutuskan Rasulnya kepada
sekalian alam ini iaitu Nabi Muhammad s.a.w.
11
[36] Di dalam dua kalimah syahadah itu terkandung kepercayaan kepada ketuhanan yang
sebenarnya dan kepercayaan kepada RasulNya. Jelasnya, seseorang yang hendak
mengucap dua kalimah syahadah hendaklah ia beriman terlebih dahulu dengan rukun iman
dan barulah diikuti dengan lafaz syahadah.
[37] Di dalam Kitab Fatawa Al-Lajnah Al-Da’imah Lil-Buhuthi Al-Ilmiyyah Wa Al-Ifta’, 3/248
ada menyatakan mengenai soal keimanan iaitu yang bermaksud:
“Iman yang sebenar dan sah mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah ialah
mengucapkannya dengan lidah, beramal dengan rukun-rukunnya dan membenarkannya
dengan hati adalah tidak mencukupi jika sekadar mengucap dengan lidah. Namun jika
dia meninggal dunia dan pada masa yang sama tidak diketahui tanda-tanda kekufurannya,
maka mayatnya hendaklah dimandikan, dikafankan, dan dikebumikan mengikut cara
pengurusan jenazah Islam. Penyaksian bahawa ‘Tiada Tuhan selain Allah’ adalah
bermakna tiada sembahan yang hak melainkan Allah.Penyaksian seperti ini adalah tidak
memadai hanya dengan kata-kata, bahkan lebih daripada itu mestilah beriman dengan
maknanya dan beramal dengan segala yang diperintahkan”.
[38] Penyaksian bahawa ‘Tiada Tuhan selain Allah’ adalah bermakna tiada sembahan yang hak
melainkan Allah. Penyaksian seperti ini adalah tidak memadai hanya dengan kata-kata,
bahkan lebih daripada itu mestilah beriman dengan maknanya dan beramal dengan segala
yang diperintahkan. Kami dapati keadaan ini tidak berlaku kepada Responden 1. Dari fakta
kes ini, Responden 1 masih berterusan dengan amalan dan kepercayaan agama Hindu
selepas memeluk Islam pada tahun 1968 sehinggalah permohonannya difailkan pada tahun
2009.
[39] Berdasarkan fakta kes dan keterangan yang ada, kami berpendapat tujuan Responden 1
memeluk Islam hanyalah untuk membolehkannya berkahwin dengan lelaki Islam sahaja.
Responden 1 tidak pernah melaksanakan tuntutan-tuntutan Islam dan membersihkan
dirinya daripada perkara-perkara yang syirik. Oleh yang demikian kami berpendapat
12
kelakuan dan amalan Responden 1 telah menunjukkan dengan jelas tentang status
aqidahnya yang telah terkeluar dari aqidah Islam.
KEPUTUSAN
Setelah kami meneliti Notis Rayuan, Alasan Rayuan dan Hujah Pihak-Pihak, maka dengan ini
kami memutuskan seperti berikut:-
1. Rayuan Perayu ini ditolak.
2. Perintah Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bertarikh 13 Ogos 2014 dalam kes No.
10200-043-0258-2009 adalah dikekalkan.